Archive | August, 2009

Nana, Faizal Bercerai

31 Aug

PENYANYI Siti Nordiana Alias atau Nana, 25, difahamkan ke mahkamah baru-baru ini bagi memfailkan pengesahan lafaz cerai dibuat pasangannya yang juga seorang pelakon, Mohd Faizal Yusof, 31, menerusi telefon.

Menurut sumber, berita perceraian itu disahkan sendiri bapa penyanyi berkenaan. Sebelum ini, rumah tangga yang dibina pada 26 April 2006 itu beberapa kali menjadi perhatian peminat apabila khabar angin mengenai pergolakan perkahwinan mereka dilaporkan media.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan tampil menafikan gosip yang kali pertama muncul beberapa bulan selepas mendirikan rumah tangga.

Berita Harian cuba menghubungi penyanyi itu semalam bagi mendapatkan pengesahan tetapi gagal.

Penyanyi yang popular dengan lagu duet bersama Achik Spin, Bola Bola Api, mula berkenalan dengan pelakon drama Zarul Vs Zarina itu pada 2005. Mereka mengikat tali pertunangan pada November tahun yang sama, disusuli dengan perkahwinan beberapa bulan selepas itu.

–>

Berita Harian

'Jangan Lupa Sejarah Bangsa, Negara'

30 Aug

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

(Dari kiri); Iqbal, Aida dan Hairi.

Tiga juara pertandingan realiti TV ajak peminat dan masyarakat hayati erti kemerdekaan Malaysia

JIWA mereka terharu mengenang semangat perjuangan orang Melayu dulu. Hati kecil mereka menangis mengenang datuk moyang yang terkorban demi untuk memperjuangkan tanah air, bangsa dan agama daripada cengkaman penjajah Inggeris. Ada yang terkorban, ada juga terpaksa mengorbankan diri. Anak dan isteri terpaksa ditinggalkan demi menuntut pembebasan negara.

Namun, generasi hari ini dilihat semakin pudar semangat, semakin lupa akan perjuangan dan pengorbanan orang Melayu dulu-dulu, malah ada sesetengahnya menjadikan hari kemerdekaan sebagai hari cuti, hari untuk berhibur dan berpeleseran di pusat hiburan. apakah generasi Melayu sudah leka dengan nikmat kemerdekaan yang kecapi selama sejak negara bertuah ini merdeka? Betullah kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed suatu ketika dulu bahawa Melayu mudah lupa. Bukan saja lupa akan perjuangan bangsa Melayu di zaman silam, malah fikiran dan ideologi masih di bawah cengkaman kuasa Barat hingga ada yang sanggup menjadi pengkhianat dan pemecah belah perpaduan Melayu.

Biarpun esok (Isnin) Malaysia genap mengecapi kemerdekaan selama 52 tahun, mereka – juara Gadis Melayu, Aida, Hairi (juara Anak Wayang) dan Iqbal (juara Pilih Kasih) tidak pernah lupa akan sejarah bangsa yang harus dijadikan teladan dan iktibar. Mereka tidak sesekali tunduk dengan ideologi luar, malah semangat mahu menyambut kemerdekaan masih menebal dalam jiwa masing-masing. Cara sambutan bukan dengan berfoya-foya tetapi dengan keinsafan dan lafaz ikrar dalam diri untuk sama-sama mempertahankan maruah bangsa dan negara daripada terus dipermain dan dikhianati oleh kaum lain.

Secara jujur, Aida atau nama sebenarnya, Khairul Noormaaidah Zali, 24, akui: “Saya bangga menjadi anak Malaysia, saya bersyukur dilahirkan ketika negara sudah bebas cengkaman penjajah. Sejak sekolah, saya sudah didedahkan dengan cerita dan sejarah perjuangan orang Melayu dulu-dulu betapa siksanya untuk mencapai kemerdekaan.

“Saya antara insan yang tidak sabar-sabar menyambut Hari Kebangsaan, mungkin kerana saya lahir pada bulan merdeka, Ogos. Saya dan teman-teman di Sekolah Agama Al-Ittifaqiyyah, Temerloh, Pahang pernah mempunyai cara tersendiri menyambut detik 31 Ogos setiap tahun. Pernah suatu ketika saya berkumpul bersama teman sekolah yang lahir pada bulan Ogos dihambat guru disiplin. Menjelang detik 12 malam pada 31 Ogos, kami memasang mercun sambil melaungkan kemerdekaan di asrama. Secara kebetulan, seorang warden asrama baru saja bersalin, jadi bayinya terkejut dengan bunyi bising dan menangis sepanjang malam.

“Saya bersama pelajar perempuan bernasib baik kerana kami hanya berdiri di koridor asrama, manakala pelajar lelaki yang berkumpul di padang sambil memasang mercun akhirnya terperangkap… tak dapat nak lari. Mereka dirotan ketika perhimpunan.”

Gadis kelahiran Kuantan ini mengakui dia tidak akan melepaskan peluang menyertai aktiviti yang membabitkan sambutan Bulan Kemerdekaan. Malah, ketika bersekolah dan menuntut di universiti, dia juga kerap bergelar juara dalam apa juga pertandingan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Aida sering menang pertandingan

“Kalau nak ikutkan tidak terhitung dengan jari tetapi saya bernasib baik setiap kali menyertai pertandingan, saya dan kumpulan tak pernah tewas. Saya pernah menjuarai pertandingan drama kemerdekaan peringkat negeri, pertandingan mencipta replika merdeka, pertandingan bina bangunan Parlimen menggunakan kotak dan macam-macam lagi. Inilah dikatakan tuah lahir pada bulan merdeka,” kata gadis manis yang dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan pembaca berita TV3 yang tampan, Saiful Nizam Ismail.

Aida yang juga Duta produk Krypton berkata, dia bersyukur rezekinya melimpah ruah selepas bergelar juara Gadis Melayu.

Dirinya baru saja menyetujui perjanjian menjadi jurucakap dan model bagi syarikat Kryptonworks yang memasarkan produk keperluan harian.

“Saya tertarik bekerjasama dengan Kryptonworks kerana ia melahirkan satu konsep baru dalam dunia niaga masa kini. Dengan memperkenalkan Program Pengagihan Kembali Keuntungan Syarikat Tanpa Syarat berlandaskan platform Sistem Multi Dimensi, Kryptonworks muncul sebagai perintis baru dalam bidang perniagaan. Untuk keterangan lanjut, bolehlah melayari laman web http://www.kryptonworks.com.

“Saya juga tidak menandatangani kontrak dengan TV9 selepas menjuarai Gadis Melayu. Bukan lupa jasa TV9 mengangkat nama saya di mata masyarakat, sebaliknya saya tidak mahu terikat dengan mana-mana pihak. Saya lebih suka bekerja sendiri sepenuh masa dan hanya menjadikan dunia pengacaraan sebagai kerjaya sambilan.

“Bukan tidak yakin dengan dunia hiburan, sebaliknya minat saya ke arah bekerja tetap. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada TV9 kerana memberi saya peluang menjadi hos dokumentari khas, Kembara Gadis Melayu di Afrika Selatan.

“Saya bersama penerbit, Ezzah Aziz Fauzi dan jurugambar ke Cape Town dan Johannesburg pada Jun lalu selama dua minggu untuk menyusuri budaya, adat dan kehidupan orang Islam ketika meraikan Ramadan dan Syawal. Dokumentari dua episod itu akan disiarkan pada hari pertama Aidilfitri ini, jam 1 tengah hari di TV9,” katanya.

Hairi terkenang pasang bendera di kampung

Hairi berkata, dia dan teman sekampung tak pernah terlepas menyambut ulang tahun kemerdekaan setiap tahun. Walaupun hanya mampu membuat dan memasang jalur gemilang sekitar kampung, ia sudah cukup membahagiakan.

“Saya rindu nak sambut merdeka dengan kawan-kawan sekampung. Dulu kami bertungkus lumus buat bendera dan pasang atas pokok sekeliling kampung. Menjelang detik 31 Ogos pula, kami akan lepak atas bumbung rumah beramai-ramai untuk melihat percikan bunga api. Memang seronok waktu itu, macam nak roboh bumbung rumah dikerjakan.

“Bagaimanapun, sejak aktif dengan kumpulan Akrab, saya terbabit dengan teater yang membabitkan bulan kemerdekaan. Sudah jarang mempunyai kesempatan seperti dulu, tetapi saya tetap kenang. Bagi saya, seseorang perlu tahu apa erti kemerdekaan sebelum memerdekakan diri.

“Saya melihat semangat pada jiwa generasi hari ini semakin merosot. Mereka tahu hari kemerdekaan adalah hari untuk bersosial dan berparti di pusat hiburan. Tiada lagi semangat di jiwa mereka seperti orang dulu. Saya sedih melihat keadaan yang berlaku, jiwa dan jati diri anak Melayu semakin pudar,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Akuinya, pembabitan dalam teater sempena bulan kemerdekaan seolah-olah memberikannya jiwa dalam mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan dan pejuang bangsa Melayu di Tanah Melayu. Malah menghayati watak-watak pejuang Melayu dulu membuatnya hiba dan tidak mahu menjadi golongan Melayu mudah lupa.

“Saya sudah bergiat dalam dunia teater sejak berusia 11 tahun, malah semua adik beradik saya terbabit dalam dunia seni sama ada pelakon teater, pereka tari, pemuzik mahupun penyanyi. Bagaimanapun, saya bukanlah datang dari keluarga seni, ibu bapa saya hanyalah anggota polis.

“Selain meminati bidang lakonan, saya juga minat dalam bidang muzik dan nyanyian. Ketika belajar di Aswara selama tiga tahun, saya mempelajari semua alat muzik jenis tiupan. Saya bangga apabila beberapa lagu ciptaan saya dihantar menyertai festival di Jepun. Bagaimanapun, keutamaan saya sekarang adalah bidang lakonan, saya mahu berjaya sebagai pelakon terlebih dulu,” katanya mengagumi aktor veteran, Ahmad Yatim dan Eman Manan.

Iqbal akui baru faham erti merdeka

Bagi Iqbal, dia masih mengingati dialog keramat ketika dalam Pilih Kasih – apa yang merdeka, siapa merdeka, kau, aku atau dia? Akuinya, menerusi dialog dan lakonannya, dirinya semakin faham apa erti merdeka. Dulu, merdeka hanya pada mulut, tetapi kini, semangat dan jiwanya tidak mahu terus dibelenggu pemikiran barat.

“Saya melihat kita sudah 52 tahun bebas daripada cengkaman penjajah tetapi jiwa anak muda masih dijajah. Saya lihat anak muda sekarang lebih suka menyambut merdeka di pusat hiburan, merempit di jalanan dan ramai terpengaruh dengan anasir negatif. Paling tidak seronok apabila kadar jenayah meningkat, kes ragut dan rogol bertambah pada malam perayaan. Jadi ibu bapa mana yang nak melepaskan anak-anak mereka menyambut merdeka. Bagaimana pula anak-anak mahu merasai detik 31 Ogos jika hanya berkurung di rumah?

“Saya pasti sebak pada malam merdeka. Hati saya sayu, dada saya sebak, sukar nak luahkan, hanya mereka yang menunggu detik laungan merdeka, merdeka dan merdeka saja merasainya. Tahun ini, jika ada kelapangan saya bersama keluarga mahu menunggu detik 12 malam di bangunan Parlimen. Saya mahu sama-sama meraikannya dengan rakyat Malaysia,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Iqbal akui, tanggungjawab sebagai juara Pilih Kasih bukanlah tugasan mudah, malah dirinya perlu membuktikan kepercayaan Rosyam Nor memilihnya sebagai juara adalah tepat.

Dengan nada perlahan, anak kelahiran Bagio, Filipina yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu mengakui: “Kadang kala saya takut jika tidak mampu melunaskan kepercayaan dan harapan orang. Bagaimanapun, sebagai insan seni yang masih hijau dalam dunia lakonan, saya tetap menyahut cabaran yang diberikan.

“Mulanya saya tidak mahu menyertai Pilih Kasih, tetapi bapa saya, Mazlan Ibrahim memaksa dan sanggup menghantar saya ke Seremban. Sepanjang perjalanan saya tidak bercakap dengan bapa sebab terlalu mengantuk. Saya tak sangka kesungguhan bapa akhirnya membuka lembaran baru dalam hidup saya. Kalau ikutkan, minat saya lebih cenderung dalam bidang nyanyian, malah saya pernah cuba menyertai Akademi Fantasia 5 dan 6, cuma saya tidak bernasib baik, hanya sempat sampai top 20.

“Pembabitan saya dalam bidang lakonan selepas saya mengikut sepupu yang juga penyanyi, Haziq ke latihan teater Lorong Blues. Sejak itu, saya diberikan ruang membintangi drama bersiri Sofea Zahra, Eologi Buat Cikgu, Panggilan Rayan dan Selamat Pagi Sayang sebelum menyertai Pilih Kasih,” kata remaja yang berketurunan Melayu-Filipina itu.

Info Aida

NAMA: Khairul Noormaaidah Zali

UMUR: 24 Tahun

TARIKH LAHIR: 15 Ogos 1985

TEMPAT LAHIR: Kuantan, Pahang

ADIK BERADIK: Anak ketiga daripada sembilan beradik

PENDIDIKAN: Diploma Bahasa Arab & Tamadun Islam, Kolej Islam Pahang, Sultan Ahmad Shah & Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Utara Malaysia

PENCAPAIAN: Juara Gadis Melayu 2008

Info Hairi

NAMA: Mohd Hairi Safwan Azhan

UMUR: 21 Tahun

TARIKH LAHIR: 16 Januari 1988

TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah

ADIK BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

DRAMA/TELEMOVIE: Mawi Ya Habibi, Takbir Terakhir & Rendang Tok Wan (drama Radio Era)

PENCAPAIAN: Juara Anak Wayang 2009

Info Iqbal

NAMA: Muhammad Iqbal Mazlan

UMUR: 20 Tahun

TARIKH LAHIR: 26 September 1989

TEMPAT LAHIR: Bagio, Filipina

ADIK BERADIK: Anak sulung daripada dua beradik

DRAMA/TELEMOVIE: Sofea Zahra, Eologi Buat Cikgu, Panggilan Rayan, Selamat Pagi Sayang

TEATER: Lorong Blues

PENCAPAIAN: Juara Pilih Kasih 2009

Solekan Aida: Awin – 013-770 2739 (www.seindahwajah.com)

Busana: Istana Budaya

Terima kasih: Ketua Pengarah Istana Budaya, Juhari Shaarani & Penolong Pengarah Perhubungan Awam, Istana Budaya, Puteri Shahda Azza Megat Burhainuddin

Bintang Pop

Tiada Lagi Iklan Yasmin – Adibah Noor

28 Aug

Ditulis oleh Nonie
  
  

“Sebelum ini setiap kali menjelang bulan puasa, kami akan menjalani penggambaran iklan puasa dan raya. Inilah kali pertama kali bulan Ramadhan, tiada lagi hasil kreatif Yasmin Ahmad yang bakal kita tonton.

“Iklan raya terakhir yang kami lakukan bersama adalah Cokodok Monster dan proses penggambarannya penuh dengan gelak tawa dan memang sangat seronok,” ujar Adibah Noor tatkala mengenang kembali kenangan bersama Allahyarham Yasmin Ahmad yang kembali ke rahmatullah pada Julai lepas.

Adibah menyifatkan Yasmin seorang yang pandai menilai hati budi seseorang dan akan membuatkan mereka yang baru mengenalinya selesa untuk berdamping. Yasmin juga tidak pernah mengamalkan sifat prejudis dan sifat kelakar yang ada pada dirinya membuatkan beliau disenangi ramai.

Adibah merupakan salah seorang teman rapat Yasmin yang kerap membintangi filem mahupun iklan yang diarahkan pengarah terkenal itu. Namun, kini beliau tidak lagi dibayangi nama besar tersebut. Cuba mencari kelaian dengan menceburi bidang teater yang pernah ditinggalkannya pada 2002.

Projek Terbaru

“Saya bakal melakonkan watak ikan pari dalam Teater Gamat dan yang terbaru, Cuci The Muzikal yang turut menampilkan Awie, Hans Isac, AC dan Afdlin. Selain teater, saya juga terlibat dengan filem Jin Notti, Hooperz dan Magika namun kesemuanya masih belum ditayangkan lagi,” ujarnya ringkas mengenai perkembangan terbaru dirinya.

Walaupun berusaha memenuhi tawaran berlakon, namun Adibah masih lagi aktif membuat persembahan di majlis-majlis korporat. Jelas beliau, hatinya tetap dalam bidang nyanyian.

“Sebelum penghujung tahun ini, saya berikrar akan muncul dengan album terbaru dan ia akan terdiri daripada pelbagai rentak,” katanya yang turut aktif melakukan kerja amal Kembara Terlalu Istimewa yang turut mendapat perhatian pasaraya The Store dan Islamic Relief Malaysia.

Mangga Online

Awie-Erra Bukan Isu

28 Aug

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

Rap
HUBUNGAN Awie dan Erra Fazira yang pernah bertunang dan berpisah tidak perlu jadi isu, sebaliknya dinilai daripada sikap profesional apabila kedua-duanya terbabit dalam filem Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami terbitan sulung syarikat kakak ipar Awie sendiri iaitu Haliza Misbun.

Menyentuh penyatuan dua pelakon berkenaan dalam filem itu, menurut pakar motivasi dan penceramah bebas terkenal, Profesor Izzi Ali, kisah yang pernah mewarnai sejarah kehidupan kedua-dua pelakon itu tidak perlu disensasikan dan pengalaman sudah mengajar mereka supaya bersikap lebih matang.

Izzi berkata, emosi Awie dan Erra kini dilihat lebih lebih stabil kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri, berstatus ibu dan ayah dan sudah tentu saja mereka tidak terfikir perkara lain melainkan memberi tumpuan kepada keluarga dan kerjaya sebagai artis.

“Saya percaya peminat setia kedua-dua artis ini sedia maklum cerita cinta mereka kini menjadi sejarah, sudah berlalu dan tidak perlu dikenang. Fokus sekarang bagaimana mereka perlu bersikap profesional di lokasi penggambaran untuk menjayakan filem itu.

“Bagi saya, menggandingkan mereka bagi tujuan populariti perkara biasa dalam mana-mana industri perfileman.

“Di luar lokasi, Awie ada tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada tiga anaknya dan Erra yang kini berkahwin dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin dan baru saja dikurniakan anak sulung, Engku Aleesya perlu menjaga batas pergaulan masing-masing.

“Saya berharap mereka bijak menjaga perasaan pasangan masing-masing untuk mengelakkan kontroversi, pergaduhan dan salah faham.

“Saya yakin isteri Awie dan suami Erra, memberi sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk meneruskan kerjaya seni.

“Sebaik-baiknya cerita lama jangan diungkit. Barangkali mereka tidak pernah bertemu semula selepas putus tunang tetapi mungkin ada bertembung di lokasi penggambaran.

“Awie dan Erra mungkin sudah berbincang dengan pengarah dan penerbit filem itu mengenai jalan cerita serta watak diberikan.

 

 
–>

“Jika mereka berasa tidak selesa antara satu sama lain, mereka boleh menarik diri daripada membintangi filem itu. Tetapi saya yakin mereka tidak dipertemukan dalam satu babak,” katanya.

Melalui kolum Soseh-Soseh (SS) pada Rabu lalu, dipersoalkan apa perlu Awie dan Erra disatukan dalam filem kerana kedua-dua artis itu mempunyai sejarah peribadi hebat dan pernah bertunang.

Apakah tujuan Haliza selaku produser untuk memancing publisiti atau mengeksploitasi adik ipar sendiri ?

Bagi Izzi pasangan artis yang putus cinta dan bertemu semula di lokasi atau mana-mana majlis hiburan adalah perkara biasa kerana dunia hiburan kecil ini tetapi mereka perlu kuat emosi.

“Saya tidak boleh komen lebih kerana filem itu pun sedang dalam penggambaran,” katanya.

Dalam filem terbitan Big Production Sdn Bhd., itu Erra berlakon sebagai Markonah, wanita penjual kerepek yang menjadi pembancuh kopi Nikki. Sungguhpun begitu, wanita berusia 40-an itu mempunyai cita rasa tinggi terhadap lelaki.

Andartu Terlampau…21 Hari Mencari Suami arahan Nordin Wahab atau Din CJ turut dilakonkan Ari Wibowo, Fara Fauzana dan Haliza sendiri. Ia mengisahkan Haliza yang pegang andartu bernama Nikki.

Dia terpaksa mencari suami dalam masa 21 hari , jika tidak keluarga akan menjodohkannya dengan lelaki pilihan mereka.

Dalam pencariannya itu, Nikki bertemu dengan pelbagai ragam lelaki termasuk tua yang miang, jejaka kacak perasan, doktor yang lurus bendul dan macam -macam lagi.

Harian Metro

Sudirman Ikon 1Malaysia

26 Aug

Ditulis oleh Nonie
  
  

“Sudirman layak digelar ikon 1Malaysia tetapi sayangnya beliau meninggalkan kita terlalu awal sebelum sempat 1Malaysia diaspirasikan,” demikian luah Datin Seri Rosmah Mansor pada sidang media Tayangan Khas Sempena Kemerdekaan di TV3 Sudirman, One Thousand Million Smiles.

Sudirman Haji Arshad, nama yang tidak pernah luput daripada ingatan setiap insan yang pernah hidup pada zaman kegemilangannya. Seniman pernah mengharumkan nama negara di London menerusi anugerah Penghibur Nombor 1 Asia 1989. Bekas graduan undang-undang Universiti Malaya ini juga seorang penulis, pelukis komik, pelakon dan usahawan semasa hayatnya. Beliau satu-satunya insan seni yang berjaya memikat hampir 100,000 ribu warga kota membanjiri Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menerusi konsert gergasi percumanya pada 1986.

Namun, benar maut tak mengenal usia, tanggal 22 Februari 1992, Sudirman menyahut seruan Ilahi pada usia 37 tahun. Perginya tatkala kita masih dahagakan hasil karya yang membawa makna cukup mendalam menerusi bait-bait lagu yang disampaikan. Sehingga kini, 31 Ogos, Balik Kampung, Chow Kit Road, Ayah dan Ibu dan banyak lagi lagu membawakan nilai sentimental yang cukup berharga pada setiap insan yang mendengarnya.

Atas bakti yang dicurahkan Allahyarham Sudiman, TV3 atas dasar tanggungjawab sosialnya telah menerbitkan satu program khas sempena kemerdekaan untuk membangkitkan kenangan bersama bintang lagenda ini dan menerapkan semangat perpaduan 1Malaysia menerusi Sudirman, One Thousand Million Smiles pada 31 Ogos 2009, jam 10.00 pagi.

“Sudirman sebenarnya telah menerapkan semangat 1Malaysia menerusi lagu-lagu yang dicipta. Konsert terakhir beliau yang diadakan di Melaka, 9 Mac 199 belum pernah disiarkan kepada umum sebelum ini.

“Konsert yang diadakan sempena kemerdekaan ini menunjukkan semangat perpaduan kaum di mana beliau turut menjemput penonton pelbagai kaum ke pentas untuk menjayakan konsert tersebut. Ia amat sesuai sekali dipertontonkan kepada khalayak Malaysia sejajar dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita,” kata Ketua Pegawai Kumpulan Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Sri Farid Ridzuan sewaktu majlis pelancaran.

Selain ditayangkan di TV3, One Thousand Million Smiles turut diterbitkan dalam bentuk VCD dan DVD yang masing-masing dijual dengan harga RM19.90 dan RM22.90. Sebanyak RM1 daripada setiap hasil jualan akan disumbangkan kepada Tabung Bersamamu.

Menariknya konsert ini apabila Sudirman turut menyanyikan lagu I’m A Singer (Kantonis) dan Puthiya Vaanam (Tamil).

 

Mangga Online

Dengarnya… Apa Maksud Salam 1Malaysia?

24 Aug

Oleh Normah Becok

SLOGAN 1Malaysia adalah gagasan yang cukup bagus daripada Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Razak. Ringkas, padat, mudah disebut dan diingat, tetapi besar pengertiannya. Cik Normah perasan, iklan slogan 1Malaysia boleh ditemui di mana-mana dengan mudah. Kanak-kanak kecil juga sudah hafal dan lancar menyebut 1Malaysia.

Bagaimanapun, cerita daripada beberapa kawan mengenai pembaca berita RTM menyebut salam 1Malaysia menjadikan Cik Normah tersenyum. Sebelum itu pun, memang ada rakan-rakan yang bercakap perkara ini.

Kata mereka, perlu sangatkah ke pembaca RTM diminta menyebut salam 1Malaysia? Mungkin orang atasan RTM ada alasan mengapa salam 1Malaysia itu penting.

Cik Normah pun tidak kata ia salah. Cuma Cik Normah risau slogan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri yang kita amat hormati itu, akhirnya boleh menjadi bahan senda dan gurauan pula.

Kata kawan Cik Normah, tanpa ucapan selamat salam 1Malaysia oleh pembaca berita RTM itu, semua rakyat Malaysia sebenarnya sudah faham dan tahu dengan slogan itu. Berita di stesen TV lain pun tidak ada sebut salam 1Malaysia, tapi orang tetap menontonnya juga.

Pada Cik Normah, yang penting bukan fasal kita kena sebut 1Malaysia, tetapi apa sebenarnya maksud 1Malaysia yang diimpikan dan diharapkan oleh Perdana Menteri.

Bagi Cik Normah, penonton lebih selesa kalau pembaca berita TV memulakan ucapan Assalamualaikum dan salam sejahtera, sekurang-kurangnya dalam hati penonton boleh menjawab waalaikumussalam dan terima kasih. Tapi apabila pembaca berita TV di RTM menyampaikan ucapan salam 1Malaysia, apa yang penonton hendak jawab?

–>

Berita Harian

'Kami Suka Peristiwa'

21 Aug

Oleh Esme Johari Wahab
esme@hmetro.com.my

Rap
KERJAYA penyampai berita sentiasa menyediakan pengalaman baru dan menawarkan peluang kepada seseorang meluaskan pandangan terhadap perkembangan dunia luar.

Bagi tiga penyampai wanita baru menyertai rancangan berita Saluran Ceria ntv7, Fazilah Hani Harun, Sharon Tang dan Tan Ley Teng, pemilihan karier bidang penyiaran ibarat warna yang sentiasa menceriakan hidup.

Sekalipun baru empat bulan bertugas tetapi mereka tidak pernah kesal atau mahu segera meninggalkan bidang itu kerana memuaskan kehendak penonton sentiasa menjadi pertimbangan apabila berada di studio berita.

Fazilah, 30, wartawan penyiaran berita, kelahiran Wisconsin, Amerika Syarikat, berperanan penyampai berita Bahasa Malaysia dan pengacara Program

19-Aug-2009 | Oleh: Razif Rosdi Lagu 1Malaysia: Siti, Tomok, Jac Berentap!

19 Aug

Teks oleh Razif Rosdi

KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2009:  Pertandingan Mencipta Lagu 1Malaysia kini semakin hampir ke penghujungnya apabila 10 lagu terbaik telah pun dipilih. Dari bilangan penyertaan tersebut, nama artis popular seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Maya Karin, Jaclyn Victor, Faizal Tahir dan Tomok memberi saingan kepada bakat baru yang menyertainya.

Pertandingan yang diilhamkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak itu memberi peluang rakyat untuk memilih sendiri lagu yang terbaik dan bersesuaian dengan laungan semangat 1Malaysia berdasarkan undian yang dijalankan di laman web rasmi 1Malaysia.

Keputusan lagu manakah yang bakal dinobatkan sebagai juara akan diumumkan pada sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan Malaysia menjelang 31 Ogos 2009 ini.

 
“Saya menyeru rakyat Malaysia agar memesrakan diri dengan semangat 1Malaysia ini. Undilah lagu kegemaran anda di laman web 1Malaysia sekarang. Saya mahu lagu yang dipilih nanti menjadi satu lagu yang benar-benar menjelma dari hati rakyat biasa Malaysia,” kata Datuk Seri Najib.

“Penyertaan amat membanggakan apabila kebanyakan peserta akhir pertandingan ini terdiri daripada kumpulan yang pelbagai dan ia sangat mengagumkan. Malah ada penggubah lagu yang terkenal menyertainya selain muka baru yang masih belum dikenali.

“Semangat 1Malaysia itu jelas sekali berada di hati rakyat Malaysia dan saya harap semua orang akan memilih satu lagu yang dirasakan benar-benar dapat memberikan pengertian 1Malaysia kepada mereka,” ujar beliau.

Difahamkan, dalam tempoh 9 hari sahaja, lebih 350 penyertaan diterima dan ia mencerminkan keharmonian kesemua masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Sementara itu, pemenang pertandingan mencipta lagu ini bakal menerima hadiah wang tunai dan penerbitan sebuah muzik video untuk lagu berkenaan.

Berikut adalah 10 calon Pertandingan Mencipta Lagu 1Malaysia:

1.  Lagu: Satu
Artis: Tomok
Komposer: Shazee Ishak
Lirik: Shah Shamshiri

2.  Lagu: Sehati Sejiwa
Artis: D.Gerard Singh
Komposer: D. Gerard Singh
Lirik: D. Gerard Singh

3.  Lagu: Keranamu Hatiku Malaysia
Artis: Manis
Komposer: Lead
Lirik: Lead

4. Lagu: Satu Malaysia
Artis: Dato’ Siti Nurhaliza
Komposer: Aubrey Suwito
Lirik: Dato’ Siti Nurhaliza

5.  Lagu: Nyanyikan Lagumu
Artis: Maya Karin
Komposer: Ng Ching Ching/ Wong Seng Jinn
Lirik: Ng Ching Ching

6.  Lagu: Lagu Rakyat Satu Malaysia
Artis: Rida
Komposer: Norm Aidid
Lirik: Norm Aidid

7. Lagu: Inilah Malaysia
Artis: Jaclyn Victor & Arch Little Danielle
Komposer: Taja MUH
Lirik: Tun Teja

8.  Lagu: Perpaduan 1Malaysia
Artis: Alex
Komposer: Alex
Lirik: Alex

9.  Lagu: Kami Anak Malaysia
Artis: Noh Hujan, Lah Ahmad, Shila
Komposer: Ashroff Shariff
Lirik: Eka Shariff

10.  Lagu: Malaysia Satu
Artis: Faizal Tahir
Komposer: Audi Mok
Lirik: Nur Fatima

Anda boleh mendengarkan kesemua calon lagu 1Malaysia di http://www.1malaysia.com.my

Murai

Kami Masih Bersama – Almy Nadia

18 Aug

Ditulis oleh Nonie
  
Selasa, 18 Ogos 2009 11:46   

“Saya pun tak nak ambil tahu apa orang cakap mengenai kami kerana yang penting kami masih bersama,” nafi Almy mengenai keretakan hubungannya dengan Fizz Fairuz.

 

Walaupun telah bersama lebih daripada tiga tahun, namun Almy mengakui mereka belum lagi mempunyai perancangan untuk bertunang mahupun mendirikan rumahtangga.

“Memang kami tak plan apa-apa kerana takut tak menjadi nanti diri sendiri yang malu.

“Apa yang penting sekarang, saya nak cari duit dulu dan bila sudah sedia untuk pikul tanggungjawab, barulah saya akan fikirkan semua itu,” ujar Almy yang lebih gemar membicarakan soal kariernya.

Almy kini sibuk di lokasi Senandung Si Dayang memegang watak utama sebagai Puteri. Cerita rakyat ini pernah dipopularkan Datuk Sarimah Ibrahim dan kini diversikan dalam bentuk moden.

“Saya memegang watak Puteri, seorang yang happy go lucky tetapi dikongkong oleh bapanya kerana bimbang dicemuh oleh masyarakat disebabkan kulitnya yang hitam bagaikan arang,” kata Almy yang belum menerima sebarang tawaran berlakon filem selepas Skrip 7707 dan Rasukan Ablasa.

 

Mangga Online

Cinta Ustaz

18 Aug

Oleh Zaidi Mohamad dan Zul Husni Abdul Hamid
zaidim@bharian.com.my, zhusni@bharian.com.my

‘Lantaklah apa orang nak kata’

TIADA prejudis dalam soal cinta kerana ia hak sesiapa saja waima wanita bertudung seperti Waheeda sekalipun. Seperti wanita lain juga penyanyi yang mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia hiburan sebaik saja bergelar isteri, ingin dicintai.

Namun ada kalanya dengan imej Islamik yang ditonjolkan penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, jika salah percaturan dia juga sering menjadi bahan cercaan dan hentaman.

Beberapa siri cintanya yang terdahulu juga berakhir dengan kekecewaan. Malah pernah satu ketika pemilik bernama penuh Norwahidah Abdul Wahab ini tidak mahu terlalu berharap dengan kisah sisi peribadinya. Katanya, dia hanya mampu berserah untuk memikirkan soal kahwin hingga mahu saja urusan pilih menantu diserahkan saja kepada ibu.

Tetapi berbeza dengan kisah kontroversi yang melandanya dengan Ustaz Akhil Hayy, 40, sejak tahun lalu kerana kesudahannya berlainan sekali. Kelmarin, status duda yang dipegang Akhil selama sebulan berakhir apabila bekas penyanyi kumpulan rock D’Riyadh itu memilih Waheeda sebagai isterinya.

Mereka diijabkabulkan di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Baru tepat jam 12 tengah hari. Hakikatnya, pasangan ini seperti hampir kebanyakan pasangan kekasih selebriti lain yang memilih jalan selamat untuk terus berselindung dan menafikan sesuatu yang dirasakan benar. Mahu atau tidak, ketika artikel ini dibaca, pasti ada yang mula menyumpah seranah mengenai pengakhiran ceritera atau ‘sandiwara’ mereka selama ini.

“Penamat ini membuatkan saya nampak kebesaran Tuhan. Pakar motivasi Datuk Dr Fadzilah Kamsah pernah cakap setiap dugaan besar yang ditanggung kita, nescaya akan ada lagi perkara besar yang akan terjadi di kemudian hari. Saya harap pernikahan kami akan menjadi penutup kepada kontroversi yang kencang menghambat hidup kami.

“Saya tahu, perkahwinan ini bukan tiket untuk orang di luar sana terus berdiam diri dan memeluk tubuh tanpa terus mencari alasan untuk menghentam kami. Terpulanglah. Lantak apa orang nak cakap. Saya tak mampu untuk menutup mulut mereka. Ini fasa baru hidup kami,” katanya yang akan tinggal bersama Akhil di Kota Damansara buat sementara waktu.

Bergaya sedondon dengan rona putih, kemunculan Waheeda itu adalah kali pertama selepas dikatakan ‘bersembunyi’ menanggung penderitaan sakit dek buatan orang dan tekanan hidup yang dihadapinya gara-gara berkawan dengan Akhil. Ketika majlis itu diadakan, Waheeda sebenarnya masih dalam proses untuk memulihkan penyakit yang dialaminya.

Majlis yang pada mulanya hanya mengundang beberapa wartawan tertentu saja akhirnya turut disertai wartawan lain yang dapat menghidu majlis pernikahan mereka. Malah, biarpun sudah rasmi sebagai pengantin baru, sudah mula ada cerita kurang enak singgah kononnya majlis ini dipercepatkan kononnya Waheeda sudah berbadan dua.


PASANGAN pengantin bersama tetamu dan dua anak Akhil.

Paling teruk, pasangan ini dikatakan sudah berkahwin sebenarnya dan majlis yang diadakan itu sebagai syarat untuk menghebahkan kepada masyarakat. Tidak setakat itu, ada yang menganggap perkahwinan terbabit turut tidak direstui keluarga Waheeda terutama bapanya, Abdul Wahab Yusof.

“Saya hanya menjemput rakan wartawan yang baik saja dengan saya untuk majlis ini. Bukan kerana berat sebelah tetapi wartawan inilah yang selama ini sentiasa berada bersama saya ketika jatuh dan naik. Jadi sebagai balasan wartawan ini berhak untuk diberi keistimewaan menerima jemputan hari perkahwinan saya.

“Orang di luar sana boleh terus membuat andaian. Kalau mereka masih ada masalah dengan kami, teruskan dan selesaikan apa yang patut. Kalau tidak ia akan terus menjadi isu di sini. Saya sendiri tidak mampu memuaskan hati mereka. Tetapi kalau kami meninggal dunia sekalipun bukan mereka yang akan uruskan jenazah.

“Dari dulu orang cakap saya sudah mengandung. Tapi hingga sekarang pun perut di badan saya masih belum nampak. Biasalah manusia cepat berprasangka negatif. Sebagai contoh apabila bapa saya enggan ditemubual wartawan, ada pihak yang mengandaikan dia tidak sukakan Akhil. Kalau tidak restu, kenapa saudara mara keluarga kami sanggup turun menghadiri majlis?” katanya sambil memberitahu bapanya yang teringin bermenantukan Akhil.

Sedia pikul gelaran ‘ibu segera’

MENURUT Waheeda, perkahwinan ini sebenarnya simbolik kepada penyatuan dua keluarga. Sambil berseloroh, dia memberitahu belum terfikir soal anak dan berbulan madu kerana yang paling penting ialah untuk terus mengukuhkan ukhuwah sesama keluarga kami.

“Selain bergelar isteri kepada Akhil, saya juga secara tidak langsung sudah menjadi ibu ‘segera’ kepada dua orang anak yang dijaga Akhil kini. Mahu atau tidak, saya harus bersedia membiasakan diri dan alhamdulillah mereka (Siti Nur Maisarah dan Mohd Syarif Idayatullah) menerima saya seadanya.

“Biarlah saya uruskan mereka sampai ke satu peringkat, mungkin selepas itu barulah kami memikirkan soal anak lagi. Dengan ini juga, saya juga secara rasmi mengumumkan persaraan di dalam bidang seni. Lalu, fokus saya juga kini hanya kepada rumah tangga dan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Biar kami berkenal-kenalan dulu sesama sendiri,” kata Waheeda yang memberitahu ibu bapanya juga sudah mempunyai cucu ‘segera’.

Sementara itu, Akhil Hayy yang ditemui menyifatkan tanggungjawabnya kini lebih berat apatah lagi menerima kehadiran isterinya dalam keadaan menghadapi tekanan dan masalah hingga sakit. Paling manis juga, pernikahan itu disempurnakan kawan baik Akhil sendiri yang bertindak sebagai Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk Hulu Selangor, Zulkhairi Jaid.

Mengimbas kembali detik persahabatan mereka sejak dua tahun lalu, Akhil sendiri dalam kenyataannya sebelum ini cukup menyenangi sikap isterinya itu. Malah alasan yang terus merapatkan mereka apabila disahkan mempunyai ikatan bau-bau bacang sesama sepupu.

“Ini takdir yang tertulis. Sekalipun jika dia (Waheeda) bukan jodoh saya. Mungkin juga jodoh saya dengan orang lain. Sebagai hamba-Nya, saya hanya berserah kepada Tuhan. Saya juga tidak boleh menidakkan ikatan ini tidak mustahil akan tercerna tanpa rasa cinta. Hati saya terbuka untuk memilihnya sebagai isteri.

“Apa yang terjadi juga ibarat doa rakan wartawan yang seperti mendoakan kami disatukan sebagai pasangan suami isteri sebelum ini. Jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan harapnya selepas ini tidak akan ada lagi isu yang terus mengaibkan kami. Sama-sama kita tutup buku lama dan buka buku baru. Amanah saya kian membesar untuk membimbingnya dan sama-sama ke jalan yang diredai,” kata Akhil yang sewaktu ditemubual enggan memberi komen berkaitan bekas isterinya.

‘Saya doakan mereka bahagia’

PERKAHWINAN antara penyanyi nasyid serta pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy dengan penyanyi, Waheeda tidak mengejutkan bekas isterinya, Maizawati Zainal kerana sudah menjangka hubungan mereka pasti berakhir dengan ikatan pernikahan.

Biarpun pada permulaan agak berat untuk memberi komen kerana enggan lagi dikaitkan dengan bekas suaminya, namun Maizawati, 33, akur serta reda dengan ketentuan Ilahi. Tidak tercalit perasaan terkilan atau terluka, sebaliknya ibu tunggal empat cahaya mata itu memohon supaya semua pihak mendoakan kebahagiaan pasangan itu.

Tenang berbicara dan sesekali berlucu, Maizawati berkata, dia hanya mengetahui mengenai pernikahan itu selepas dihubungi beberapa teman bertanyakan kesahihan berita yang didengar.

“Saya cuma tahu tadi (pagi Ahad). Andai itu yang ditakdirkan untuk bekas suami, saya doakan kebahagiaannya dan semoga pilihannya itu ialah yang terbaik untuk dirinya,” katanya tenang.

Pernikahan Akhil dan Waheeda barangkali pada pandangan masyarakat akan menutup segala spekulasi dan kontroversi yang menyelubungi pasangan itu tetapi tidak kepada Maizawati.

Baginya, masyarakat bebas membuat apa saja andaian namun keutamaannya kini adalah bekerja keras demi masa depan dirinya dan anak-anak.

Semalam yang pahit katanya, sudah lama ditinggalkan dan biar semua itu terbang menjadi kenangan yang tidak ingin diimbas atau diingati kembali.

“Hidup perlu diteruskan dan rasanya tidak perlu lagi saya menoleh ke belakang. Hubungan kami sebagai suami isteri pun sudah berakhir, jadi dia bebas membuat apa saja keputusan.

Pernikahan ini juga adalah haknya. Sebagai bekas isteri, saya cuma memohon kebahagiaan akan sentiasa bersamanya,” kata Maizawati.

Tambahnya lagi, dia tidak pernah menyimpan dendam atau marah dengan apa yang berlaku kerana akur laluan hidup tidak sentiasa membentangkan jalan yang indah.

“Allah Maha Berkuasa, jadi saya serahkan hidup ini kepada-Nya. Untuk apa saya terus berfikir perkara yang tidak lagi menjadi hak saya. Barang yang lepas untuk apa dikenang. Daripada saya memikirkan perkara itu, lebih baik saya merancang masa depan.

“Saya tidak bersendirian sebaliknya ditemani empat anak yang diberikan Tuhan sebagai amanah untuk saya jaga dengan baik. Membesarkan mereka lebih penting daripada memikirkan perkara tidak berfaedah,” katanya.

Hidup kata Maizawati, perlu sentiasa reda dengan ujian Allah dan dia percaya setiap dugaan pasti membentangkan kebahagiaan pada hari muka.

“Sudah rezeki bekas suami saya dia bertemu jodoh dulu.

Soal jodoh semua itu ketentuan Tuhan. Sebagai hamba, saya tidak mahu berburuk sangka. Namun saya percaya, Tuhan menyediakan sesuatu yang baik untuk saya dan anak-anak andai kami gigih berusaha,” katanya.

Maizawati berkata, untuk meneruskan hidup dia kini mengusahakan perniagaan abaya, tudung dan kek coklat menggunakan namanya sebagai jenama.

“Saya sedang mencari ejen di seluruh negara untuk mengembangkan perniagaan ini. Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 019-6450814 untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya,” kata Maizawati.

INFO: Majlis pernikahan Tiada wang hantaran sebaliknya digantikan dengan senaskhah al-Quran di samping mas kahwin berjumlah RM80 serta tujuh dulang hantaran rombongan pengantin lelaki dibalas dengan 11 dulang hantaran daripada pihak perempuan.

Menurut Waheeda, pemilihan al-Quran sebagai ganti wang hantaran disifatkannya sebagai pelengkap segala-galanya.

Majlis pernikahan sepatutnya diadakan pada 21 Ogos ini sempena menyambut kedatangan Ramadan bagaimanapun atas beberapa sebab ia terpaksa dipercepatkan demi memudahkan saudara mara meluangkan masa menghadiri majlis ini.

Majlis bertandang sebelah pengantin perempuan akan diadakan pada 31 Oktober ini di Dewan Bukit Jelutong, Shah Alam dan seminggu selepas itu akan diadakan majlis sebelah pengantin lelaki di Gopeng, Perak.

Kata ibu Waheeda, biarpun gosip hebat melanda anaknya dan Akhil sebelum bernikah, dia yakin jika Akhil kuat sebagai jodoh anaknya, maka teruskanlah. Katanya lagi, mereka sekeluarga berharap Akhil dan Waheeda akan terus bahagia menjadi suami isteri dan kekal hingga ke akhir hayat.

Bapa Waheeda tidak mahu ditemubual.

Dua anak Akhil Hayy, (Siti Nur Maisarah, 12, dan Mohd Syarif Idayatullah, 11, sempat diusik beberapa orang rakan wartawan mengenai panggilan apa yang akan digunakan kepada Waheeda kelak. Ketika ini, mereka membahasakan Waheeda sebagai Auntie Wawa (panggilan manja Waheeda).

Kronologi ‘cinta’ Waheeda dan Akhil Hayy: Awal 2008: Sudah mula tersebar gosip kencang mengaitkan kononnya Waheeda dan Akhil Hayy menjalinkan hubungan cinta. Malah paling teruk ada yang mengandaikan mereka berkahwin secara diam dan tinggal serumah di Damansara.

April 2008: Waheeda pernah memberi kenyataan kepada Hip untuk melupakan dunia hiburan buat selama-lamanya. Bagaimanapun tindakan itu akuinya tiada kena mengena dengan gosip cinta yang membabitkan dia dengan Akhil Hayy. Katanya lagi, apa terjadi persaraan itu akan terjadi pada 2008 juga (dalam masa terdekat).

Mei 2008: Kemenangan Waheeda di Anugerah Industri Muzik (AIM15) terus membuatkan penyanyi ini berbelah bagi sama ada mahu terus kekal dengan keputusannya untuk bersara atau tidak. Bagaimanapun sehingga awal hingga pertengahan 2009, Waheeda masih aktif memenuhi tawaran seni.

Julai 2008: Akhil Hayy juga tegas dengan pendiriannya menafikan gosip yang dia dan Waheeda sudah berkahwin. Penafian itu dibuatnya ketika pelancaran album Akhil Hayy Nasyid Lagenda 2.

Awal 2009: Paling memuncak hingga menjadi isu panas yang cukup menggelegak ialah mengenai kisah laporan portal Murai.com yang mendakwa Waheeda dan Akhil menonton wayang bersama di sebuah pawagam di Petaling Jaya.

14 Januari 2009: Waheeda tampil memberikan kenyataan di dalam Hip. Katanya, mereka menonton wayang pada sebelah malam dan rancangan itu dilakukan pada saat akhir. Waheeda sepatutnya ditemani kawan baiknya, Naurah. Namun, Naurah tidak dapat datang pada saat akhir. Menurut Waheeda lagi, mereka menonton filem berbeza dalam berlainan panggung. Akhil pula menonton filem IP Man pada jam 11.55 malam, manakala

Waheeda menonton filem KM 31 jam, 12.10 tengah malam

Mac 2009: Sewaktu menghadiri sidang media pelancaran drama bersiri TV9, Nana Tanjung, Waheeda menitiskan air mata kerana terus-terusan dihentam dek gosipnya dengan Akhil. Kata Waheeda, dia suka bersama dengan Akhil, namun belum sampai ke tahap bercinta.

Mei 2009: Mengejutkan apabila Waheeda akhirnya menjadi isteri kepada Akhil. Bagaimanapun, itu hanya tuntutan watak yang dipegangnya dalam program Cafe Akhil Hayy yang disiarkan di Astro Oasis. Bulan ini Maizawati (bekas isteri Akhil ketika itu) mula bangkit untuk menuntut cerai.

Jun 2009: Pada 2 Jun lalu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd Ridzuan Mohd Yusof, membenarkan penangguhan kes tuntutan perceraian Maizawati dengan Akhil selepas kedua-dua pihak bersetuju berunding dan

menyelesaikan kes itu secara baik sehingga 15 Julai ini.

Julai 2009: Maizawati dan Akhil sah bercerai talak satu pada 15 Julai di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh melalui proses rundingan secara sulh. Ketika itu, Waheeda terus dilabel sebagai perosak rumah tangga mereka. Waheeda dikatakan orang ketiga yang menjadi punca kepada keruntuhan mahligai perkahwinan itu.

Pada bulan ini juga, Akhil yang ditemui Hip ketika majlis rakaman program Mega Raya Astro membela dan meminta supaya dihentikan menjatuhkan hukuman kepada Waheeda. Malah ketika ini, juga ada yang meramalkan Akhil dan Waheeda akan berkahwin. Tetapi, Akhil masih memberikan jawapan selamat mengenai perkara terbabit.

16 Ogos 2009: Akhirnya Akhil dan Waheeda disatukan sebagai suami isteri pada tarikh ini.

–>

Berita Harian