Archive | November, 2008

Kenali Gaya: Baju Labuh Lepas Punggung Tutup Kelemahan

30 Nov


WARNA gelap bagi bahagian bawah badan sesuai untuk mengelakkan penonjolan bentuk paha dan pinggul.

Material berkilau, lembut tak sesuai jika berbadan gempal

Soalan:Saya gadis remaja bertudung berusia 19 tahun. Saya berbadan gempal tetapi masalahnya ialah kegemukan di pinggang ke kaki (gemuk bawah seperti di paha, pinggul). Apa fesyen sesuai boleh saya gayakan untuk menutup dan menampakkan bahagian bawah badan saya tampak kecil? Ema Hussin.

Jawapan:Bagi mereka yang berbadan agak gempal saya sarankan anda memakai pakaian yang tidak terlalu ketat di bahagian atas. Tujuannya untuk melindungi bentuk tubuh supaya tidak terlalu jelas.

Pemilihan kain pula sebaiknya jenis material yang tidak berkilau dan terlalu lembut kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk badan anda.

Pilihan warna lembut atau pastel bahagian atas (baju) sesuai untuk anda kenakan jika ingin keluar beriadah atau ketika menghadiri majlis kasual.

Manakala pilihan warna ceria sebaik-baiknya dipakai untuk ke majlis lebih formal dan padanan untuk kedua-dua pilihan baju berkenaan adalah sebaik-baiknya di dalam warna gelap seperti hitam dan coklat tua.


Jovian Mandagie

Tujuan pemilihan warna gelap untuk bahagian bawah badan adalah untuk mengelakkan bahagian bawah paha dan pinggul kelihatan nyata.

Ada taktik lain yang boleh dilakukan untuk menutup paha dan pinggul anda yang besar, caranya dengan mengenakan pakaian (baju) yang lebih panjang dan labuh menutupi paras pinggul. Cuba dan lihat kelainan gaya, pasti anda tampil lebih bergaya.

PROFIL: Jovian Mandagie

Usia : 22 tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing

Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.

Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.

INFOJika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

Optimistik Nasha

30 Nov

MEMILIKI fizikal yang tidak akan pernah dilupakan orang dan disempurnakan wajah jelita, Nasha Aziz umpama seorang ikon perawan dunia hiburan.

Memulakan kerjaya di pentas glamor seawal usia 19 tahun, model dan pelakon yang lahir pada 14 Mei 1971 ini telah melewati pelbagai fasa manis dan pahit dalam kehidupannya.

Selain suksesnya Nasha di layar lebar, paling lekat di memori, sensasi dia diintip melalui kamera yang dipasang di kediamannya selain kisah cinta yang selalu tidak kesampaian.

Namun Nasha tetap optimis serta berani berhadapan dengan realiti. Putus tunang dengan Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof sekitar tahun ini bukan alasan untuk dia tidak terus melangkah ke hadapan.

Kini, Nasha akui, dia akrab dengan seorang lelaki berbangsa Cina, Tang Wing Poh, yang baru memeluk Islam pada Ramadan lalu dengan nama Islamnya, Nur Iman Tang.

Dalam satu sesi temu bual sebelum ini, Nasha menjawab persoalan tentang hubungan mereka berdua dengan ringkas: “Kami memang rapat dan sudah enam bulan saya berkawan dengannya. Dia bukan peluk Islam sebab saya, tapi dia memang mempraktikkan amalan Islam sejak sekian lama.”

Hanya selepas dua tahun terjun ke bidang lakonan menerusi filem milik Julie Dahlan, Kad Cinta, Nasha yang dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-14, menerusi filem Bara (1999) yang memang sejak dahulu kurang gemar menggembar-gemburkan kisah peribadinya.

Nasha lebih selesa jika khalayak menumpukan perhatian terhadap perjalanan seninya.

Terbaru, bersama pelakon-pelakon Scha Yahya, Irma Hasmie, Remi Ishak, Zizan Nin dan Hans Isaac, Nasha membintangi drama 13 episod berjudul Awan Dania.

Membawa peranan pramugari senior bernama Kay, dia menghidupkan watak seorang senior atau jurulatih di akademi latihan yang selalu bersikap tegas terhadap Dania (lakonan Scha) kerana sikapnya yang kurang feminin.

Awan Dania yang ditayangkan setiap Isnin pada pukul 9.00 malam, di Astro Ria (saluran 104) menceritakan tentang kesungguhan Dania bergelar pramugari dan keazamannya melepasi peringkat latihan biar terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai matlamatnya.

Kosmo

Bukan Saya Yang Desak – Abby

30 Nov

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

KUALA LUMPUR – Pelakon Abby Abadi menegaskan beliau tidak pernah mendesak Skop Production supaya menggugurkan Norman Hakim daripada drama bersiri Gerak Khas.

Menurut Abby, meskipun beliau akan muncul semula dalam drama berkenaan namun tidak pernah membuat sebarang syarat kepada penerbit berkenaan supaya ‘menyingkirkan’ suaminya itu.

“Tak ada kena mengena dengan saya. Saya tidak pernah mempengaruhi penerbit supaya singkirkan dia (Norman). Ya, memang saya akan kembali semula ke dalam Gerak Khas, tetapi menyingkirkan dia, bukan atas kehendak saya,” tegas Abby.

Pengarah Urusan Skop Production, Datuk Yusof Haslam kelmarin mengakui bahawa khidmat Norman sebagai pelakon utama drama itu akan ditamatkan bermula pertengahan Disember ini, selain turut mengumumkan kemunculan semula Abby.

Dapatkan berita selanjutnya di Kosmo!.

Kosmo

Santai Di LA

30 Nov

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN

Rap
TIGA tahun asyik bekerja, pada penghujung Ramadan lalu, Azline Arifin atau Ezlynn, 27, bersama pengurusnya, Adam Fahmi, meluangkan masa bercuti sebulan di Los Angeles (LA), Las Vegas dan San Francisco, Amerika Syarikat.

Sesekali bercuti, Ezlynn sanggup berhabis kerana baginya bukan senang dia dapat bercuti panjang. Selama ini Ezlynn hanya mendengar keindahan dan pelbagai keunikan negara ‘Uncle Sam’ itu daripada kawan-kawan yang pernah ke sana.

Bagi memanfaatkan setiap detik berada di sana, empat bulan sebelum berangkat ke AS, menerusi Internet Adam mencari destinasi menarik untuk dilawati. Percutian itu dirancang dengan teliti.

“Perjalanan ke sana mahal. Tiket penerbangan untuk dua orang saja dah berapa. Jadi sebaik-baiknya kami merancang lebih awal hendak pergi ke mana. Tak adalah baru sampai di sana terpinga-pinga dan tak tahu arah tuju.

“Setiap destinasi yang dirancang kami dapat pergi. Memang seronok sangat. Betullah kata orang, jauh berjalan luas pandangan. Segalanya baru bagi saya. Cara hidup masyarakat di sana berbeza dengan kita. Sambil berjalan itu, ada juga membeli-belah sebagai kenangan. Pulang ke tanah air bertambahlah beg.

“Namun apabila mengenangkan tak tahu bila lagi saya akan ke sana, saya ‘pejamkan’ mata saja. Barangan berjenama seperti beg tangan dan kasut yang dijual di sini agak mahal. Jika beli di sana, harganya murah sikit. Banyak jugalah beza harganya,” katanya.

Ezlynn dan Adam juga merasai pengalaman beraya di luar negara. Jelas Ezlynn, dia tak rasa raya langsung, tambahan di LA tidak ramai orang Melayu.

“Saya dah jangkakan perkara itu, tetapi hendak buat macam mana kerana itu saja masa yang ada untuk bercuti. Insya-Allah tahun depan saya akan sambut raya dengan meriah bersama keluarga di Ulu Kinta, Perak,” katanya.

Antara tempat dilawati di LA, Universal Studio, Hollywood Walk Of Fame, Rodeo Drive, Pantai Malibu, Disneyland, Long Beacah dan Beverlyu Hills.

“Sempatlah juga saya ke Disneyland. Taman fantasi yang sangat mengujakan. Seronok bertemu pelbagai watak kartun yang diminati sejak kecil seperti Mickey Mouse dan Donald Duck.

“Kami juga melawat kawasan perumahan mewah Hollywood yang menjadi tempat kediaman Tom Cruise, Posh dan David Beckham, Frank Sinatra dan Christina Aguilera.

“Saya turut menonton konsert Janet Jackson di Staples Center. Sambil menyanyi Janet menjerit memberitahu penonton usianya sudah 50 tahun. Tetapi showmanshipnya mengalahkan artis muda. Itu antara pengalaman manis saya di LA,” katanya.

Selepas dua minggu berada di LA, Ezlynn dan Adam ke San Francisco dan Las Vegas. Di sana mereka ke Penjara Alcatraz, Hard Rock Cafe Las Vegas, Grand Canyon, menyaksikan pertunjukan silap mata David Copperfied, persembahan Ray Romano dan Kevin James dan pementasan teater Mamma Mia.

“Untuk ke Grand Canyon kami terpaksa menaiki helikopter kerana ia kawasan cerun. Tiba di Grand Canyon kami menaiki bot pula.

“Kami juga menyaksikan pementasan teater Mama Mia. Tiketnya agak mahal tetapi sangat puas hati. Balik sini saya menonton filemnya pula. Persembahan mereka sangat luar biasa. Saya akan menyaksikan teater itu lagi apabila ia dipentaskan di Istana Budaya, Disember ini,” katanya yang teringin hendak pergi ke negara Eropah pula.

Sekembalinya dari bercuti, Ezlynn kembali sibuk dengan aktiviti seni dengan membuat persembahan makan malam dan majlis anjuran syarikat korporat.

“Tahun depan saya akan mengacara dan berlakon semula. Ada tawaran yang masih dalam perbincangan. Saya dan Adam juga dalam usaha mencari lagu untuk dimuatkan dalam album terbaru yang bakal diterbitkan oleh Ezlynn Entertainment. Selama empat tahun menimba pengalaman, rasanya kami mampu bergerak sendiri,” katanya.

Harian Metro

Kenali Gaya: Baju Labuh Lepas Punggung Tutup Kelemahan

30 Nov


WARNA gelap bagi bahagian bawah badan sesuai untuk mengelakkan penonjolan bentuk paha dan pinggul.

Material berkilau, lembut tak sesuai jika berbadan gempal

Soalan:
Saya gadis remaja bertudung berusia 19 tahun. Saya berbadan gempal tetapi masalahnya ialah kegemukan di pinggang ke kaki (gemuk bawah seperti di paha, pinggul). Apa fesyen sesuai boleh saya gayakan untuk menutup dan menampakkan bahagian bawah badan saya tampak kecil?
Ema Hussin.

Jawapan:
Bagi mereka yang berbadan agak gempal saya sarankan anda memakai pakaian yang tidak terlalu ketat di bahagian atas. Tujuannya untuk melindungi bentuk tubuh supaya tidak terlalu jelas.

Pemilihan kain pula sebaiknya jenis material yang tidak berkilau dan terlalu lembut kerana ia akan menonjolkan lagi bentuk badan anda.

Pilihan warna lembut atau pastel bahagian atas (baju) sesuai untuk anda kenakan jika ingin keluar beriadah atau ketika menghadiri majlis kasual.

Manakala pilihan warna ceria sebaik-baiknya dipakai untuk ke majlis lebih formal dan padanan untuk kedua-dua pilihan baju berkenaan adalah sebaik-baiknya di dalam warna gelap seperti hitam dan coklat tua.


Jovian Mandagie

Tujuan pemilihan warna gelap untuk bahagian bawah badan adalah untuk mengelakkan bahagian bawah paha dan pinggul kelihatan nyata.

Ada taktik lain yang boleh dilakukan untuk menutup paha dan pinggul anda yang besar, caranya dengan mengenakan pakaian (baju) yang lebih panjang dan labuh menutupi paras pinggul. Cuba dan lihat kelainan gaya, pasti anda tampil lebih bergaya.

PROFIL: Jovian Mandagie

Usia : 22 tahun

Kelulusan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, Universiti Lim Kok Wing

Pereka muda ini sering menjadi bualan kerana cetusan ilhamnya yang segar berinspirasikan gaya Malindo. Dia juga sering terbabit menghasilkan persalinan untuk selebriti terkenal antaranya Datuk Sharifah Aini, Datuk Siti Nurhaliza, Linda Onn, Misha Omar, Amber Chia, Kris Dayanti dan Rossa.

Sebarang pertanyaan, hubungi Jovian di Jovian Mandagie, 95, Jalan Telawi, Bangsar, Kuala Lumpur atau 03-22844095.

INFO
Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

Bimbang Jadi Ikutan

30 Nov

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan SHAMRAN SARAHAN

KUALA LUMPUR: Barangkali ada beranggapan ia kebetulan, tetapi realitinya belum pernah industri hiburan tanah air menyaksikan terbongkar kisah sekurang-kurangnya 18 artis terbabit masalah rumah tangga dengan sebahagian besar membabitkan kes perceraian hanya dalam tempoh 11 bulan.

Lebih ‘menakjubkan’, dalam tempoh itu perceraian di kalangan golongan terbabit berlaku hampir setiap bulan.

Berdasarkan rekod, penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23, membuka tirai episod perceraian 2008 apabila bercerai dengan suaminya Datuk Sukri, 50, pada Februari lalu.

Ini diikuti penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28, dengan Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei), sehinggalah yang terakhir pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29, dengan Nur Farhana Mahamad Fauri, 26, (24 November). Noraniza Idris, 40, turut bercerai untuk kali kedua dalam tempoh berkenaan, tetapi tarikhnya tidak diketahui.

Menarik mengenai kontroversi membabitkan Bell, pelakon filem baru Antoo Fighter itu pernah membuat penafian menghantar SMS cerai kepada isterinya dan mengakui hanya mengikuti sesi kaunseling di akhbar ini, tetapi kebenaran akhirnya terungkai apabila kes SMS itu dibawa ke mahkamah sehingga sah bercerai talak satu.

Selain perceraian, beberapa artis turut terbabit pergolakan rumah tangga dengan kisah pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32, dan Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30, paling hangat diperkatakan, terutama selepas Norman ditangkap khalwat dengan pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20. Abby meminta supaya diceraikan tetapi sehingga hari ini tiada kisah terbaru daripada mereka.

Kisah penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, atau Erema yang memfailkan cerai terhadap suaminya, Jamaludin Sulik atau Seri Bayu, 43, juga mendapat perhatian kerana permohonan cerai dibuat ketika penulis lirik itu menderita penyakit saraf dan dalam keadaan tidak upaya.

Kes tuntutan cerai Erema akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya Selangor, 1 Disember ini.

Turut tersenarai dalam kontroversi pergolakan rumah tangga sepanjang tempoh 11 bulan ini ialah pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 28, atau Beego dengan isterinya Intan Shahira Mohd Shahru, 27, yang kesnya masih dalam perbicaraan dan penyanyi, Jamaluddin Elias, 48, atau Nash dengan Sosilawati Lawiya, 44, yang perbicaraan kes perceraian mereka sudah selesai tetapi masih tinggal berasingan walaupun mahkamah memutuskan mereka sah sebagai suami isteri.

Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46, pula meragui status perkahwinannya dengan ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, sehingga terpaksa mencari penyelesaian di Mahkamah. Kes ini masih dalam perbicaraan.

Terbaru, penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31, atau Radhi OAG turut terbabit dalam kemelut pergolakan rumah tangga di kalangan artis apabila isterinya, Shazlin Sharif, 30, memohon fasakh dan pengesahan perceraian. Bagaimanapun, Radhi tidak hadir buat kali ketiga 25 November lalu.

Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), ia fenomena membimbangkan, manakala Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi Pemuzik Dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) mahu campur tangan untuk membantu dengan mempertimbangkan mengadakan kursus mengenai pentingnya institusi perkahwinan dan kebahagiaan rumah tangga kepada golongan terbabit.

Presiden PGSM, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata apabila timbul masalah membabitkan artis, sekalipun mengenai pergolakan rumah tangga, ia wajar diberi perhatian serius kerana mereka (artis) ‘milik masyarakat’.

“Artis perlu sedar mereka ada peminat yang mengikuti perkembangan hidup mereka. Sebab itu mereka perlu berhati-hati dan bersikap rasional dalam apa jua tindakan yang bakal diambil.

“Segala keputusan, sama ada suka atau tidak, mereka perlu fikir panjang. Ini kerana permasalahan itu, mahu tidak mahu, terpaksa dikongsi dengan peminat dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, dia khuatir perceraian di kalangan artis dianggap perkara biasa dan secara tidak langsung menjadi ikutan membuta tuli.

“Kita tidak mahu tanggapan begini terjadi, ia (perceraian) dianggap norma biasa. Orang akan kata, perceraian bukan perkara asing lagi, apatah lagi membabitkan artis,” katanya.

Tambah beliau, artis juga tiada pilihan dan perlu menjadi contoh dan teladan baik kepada peminat dan masyarakat yang memerhatikan mereka.

Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof, pula berkata adalah wajar artis yang hendak berkahwin diberi kursus tambahan atau ceramah khas mengenai kepentingan perkahwinan.

Katanya, walaupun ada kursus dijalankan jabatan agama, perlu ada ‘pengisian’ tambahan kepada artis supaya mereka lebih memahami tanggungjawab yang perlu ditunjukkan dalam masyarakat.

“Saya akan usulkan dalam mesyuarat akan datang mengenai masalah (perceraian) ini dan mencadangkan supaya diadakan ceramah atau kursus tambahan. Kita akan meminta kerjasama jabatan agama terbabit untuk melaksanakannya.

“Bukan niat mencampuri urusan rumah tangga artis lain, tetapi sebagai orang lama dalam bidang ini, artis perlu sedar tanggungjawab mereka besar, tidak saja kepada isteri dan keluarga tetapi masyarakat,” katanya.

Mustapha berkata, artis tidak boleh mendabik dada dan mengambil sikap sambil lewa, terutama dalam kes perceraian, kerana mereka perlu fikirkan akibat perbuatan mereka.

“Saya faham, bukan senang menjadi artis. Saya melaluinya selama bergelumang dalam dunia seni, sebab itu saya nasihatkan mereka (artis) supaya berhati-hati dengan apa-apa jua tindakan dan tingkah laku.

“Mereka perlu pandang ke depan, jika tersilap langkah banyak kesan negatif. Ia bukan saja membabitkan keluarga dan diri sendiri, malah kerjaya, termasuk produksi, pengarah filem dan drama, atau penerbit lagu dan sebagainya.

“Artis tidak sama dengan orang biasa, banyak perkara perlu diambil kira dalam sesuatu keputusan, meskipun membabitkan masalah peribadi. Ada kala, saya bersimpati dengan apa yang menimpa artis, tetapi itu cabaran yang perlu mereka galas,” katanya.

Presiden Papita, Datuk M Daud Wahid, turut bersetuju jika artis yang hendak melangsungkan perkahwinan atau sudah berkahwin diberi kaunseling dan pendedahan agama dengan lebih mendalam mengenai pentingnya menjaga keutuhan rumah tangga yang mereka bina.

Katanya, memandangkan lumrah menjadi artis yang tidak terlepas daripada perhatian masyarakat, cara berkenaan penting bagi memberi kesedaran kepada golongan terbabit.

“Bagi saya, dalam hal ini kekuatan agama penting. Namun saya sedar dunia artis ini lain, banyak dugaan perlu dilalui. Artis itu perlu bijak menangani masalah mereka,” katanya.

Pun begitu, kata beliau, artis perlu menyokong saranan mengadakan kursus tambahan, ceramah dan kaunseling.

“Kalau artis tidak datang ke program dirancang, itu juga menjadi masalah. Sebab itu kesedaran dalam diri artis perlu ada,” katanya.

Selain artis, masalah rumah tangga golongan selebriti di kalangan pengacara televisyen turut mendapat perhatian. Pada 26 November lalu, Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan pengesahan lafaz cerai pengacara rancangan 360 Darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI), Mazidul Akmal Sidik, 41, terhadap isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38.

Pada 28 November lalu pula menyaksikan Pengacara rancangan 999 terbitan TV3, Zakiah Anas yang memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, terpaksa menunggu hampir sebulan lagi untuk mendengar kes berkenaan kerana suaminya tidak hadir.

>Kes-kes

Bercerai

1. Penyanyi, Azharina Azhar atau Azharina, 23 – Datuk Sukri, 50 (Februari).

2. Penyanyi, Farah Asyikin Zulkifli atau Farah Asyikin, 28 – Dr Fariz Yahya, 30 (26 Mei).

3. Pelakon, Nor’ Ashikin Karman atau Norish Karman, 34 – Datuk Hashimuddin Abdul Kadir, 60 (15 Julai).

4. Penyanyi, Siti Fairus Sheikh Mohamed atau Siti Fairuz, 44 – Mohamad Zainuddin Kordi, 45 (14 Julai).

5. Pelakon, Nora Mohd Danish Hanif atau Nora Danish, 26 – Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 38 (12 Ogos).

6. Penyanyi Norazlina Abd Rahman atau Leina Hangat, 36 – Muhammad Jamal Delaloy Abdullah, 40 (6 Ogos).

7. Penyanyi kumpulan VE, Charma Adizalilullah Abdul Khalil atau Cham VE, 30 – Karmila Khalid, 31 (8 September).

8. Penyanyi, Tengku Anis Soraya Tengku Sulaiman atau Anis Suraya, 28 – Wan Kasmaizi Wan Kamaluddin, 28 (14 Oktober).

9. Pelakon, Emma Akma Yunus atau Emma Akma, 39 – Mohd Kamal Jaafar Sidek, 34 (29 Oktober).

10. Pelakon, Nasrizal Ngasri atau Bell, 29 – Nur Farhana Mahamad Fauri, 26 (24 November).

11. Penyanyi, Noraniza Idris, 40 – dirahsiakan. (Tarikh tidak diketahui)

Bergolak

1. Pelakon, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32 – Pelakon, Arbaeyah Abdul Manan atau Abby Abadi, 30.

2. Pelakon, Mohd Aszerul Nizam Abdullah atau Beego, 28 – Intan Shahira Mohd Shahru, 27.

3. Jamaluddin Elias atau Nash, 48 – Sosilawati Lawiya, 44.

4. Pengarah dan pelakon, Aziz M Osman, 46 – Nor Radhiah Ramli, 22.

5. Penyanyi dan pelakon, Mohd Radhi Razali, 31 atau Radhi OAG – Shazlin Sharif, 30.

6. Penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25 – Penulis lirik, Jamaludin
Sulik atau Seri Bayu, 43.

Harian Metro

Tarikan Awan Dania

30 Nov

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com.my

Rap

CANTIK, lincah dan bergaya adalah ungkapan tepat bagi menjelaskan personaliti tiga pelakon ini, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 24, atau mahu dikenali sebagai Scha Al-Yahya, Irma Hasmie Ibrahim, 26 dan Farah Alya As’ri, 24.

Mereka bertiga dipertemukan dalam drama Awan Dania yang kini sedang bersiaran di Astro Ria, setiap Isnin, jam 9 malam. Drama 13 episod itu masih menjalani penggambaran di Akademi Air Asia, Sepang. Terikat dengan komitmen pada drama itu, Scha, Irma dan Fara setiap hari menghabiskan masa di akademi itu.

Pelakon lain drama itu, Mohd Zalimie Ishak atau mesra dengan nama Remy Ishak, 26 dan Nasha Aziz, 37. Tiga lagi watak utamanya, Hans Isaac, Zizan Nin dan Umie Nazeera. Namun mereka tidak menyertai sesi fotografi itu kerana tiada terbabit dalam penggambaran pada hari itu.

Mengenakan sut tiga lapis rona merah darah, sekali pandang mereka adalah sebahagian daripada kakitangan tetap syarikat penerbangan tambang murah terulung itu. Berbeza dengan Scha yang pernah berkhidmat selama setahun dengan Air Asia, semestinya dia tidak kekok pegang watak utama sebagai pramugari bernama Dania. Tetapi ia kejutan buat Irma dan Farah kerana selama ini mereka menyangka pekerjaan di langit biru itu senang.

SUSAH JADI PRAMUGARI

Sorong troli makanan dan melayan penumpang. Itulah gambaran Irma dan Farah mengenai pekerjaan yang dipandang glamor itu sebelum mereka berlakon drama itu. Awan Dania memberikan gambaran sebenar kerjaya itu dan kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan itu.

Kata Irma, bukan senang seperti yang difikirkannya sebelum ini. Ia bermula dengan proses temuduga dan selepas berjaya mereka terpaksa menghadiri pelbagai kelas termasuk kelas penampilan diri, etika berpakaian, belajar mengenai pesawat dan sistem yang ada di dalamnya, aspek keselamatan serta berenang.

“Untuk menjadi pramugari ia memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan mental serta fizikal. Kerap diadakan ujian untuk mengetahui tahap kecekapan dan kemahiran pelatih. Sangat menarik dan membuka minda saya terhadap kerjaya ini,” katanya yang pegang watak ‘budak baik’ bernama Fifi.

Berlakon drama berepisod seperti Awan Dania banyak mencuri masanya sehingga dia terpaksa menolak beberapa tawaran projek lain. Pun begitu, Irma yang sudah empat tahun melayari hidup sebagai anak seni semakin bijak mewarnai karektor.

“Dulu saya tidak tahu apa-apa mengenai lakonan kerana tidak terfikir pun hendak jadi pelakon. Selepas menang pertandingan Gadis Jelita, David Teo (Penerbit MIG) terus ambil saya menjadi artisnya berlakon dalam filem Cinta Fotokopi. Saya hanya fikir selepas menang hendak jadi model sambilan dan bekerja sebagai juruteknik berdasarkan pengkhususan yang diikuti di UTM (Universiti Teknologi Malaysia), Jalan Semarak.

“Namun cita-cita dan takdir hidup saya berbeza. Jadi saya berlakon saja dengan mengikut arahan pengarah. Hendak tanya apa pun saya tak tahu. Saya bukan dilahirkan untuk menjadi orang seni dan tidak minat berlakon.

“Tetapi pengalaman menukar pandangan saya terhadap bidang lakonan. Selepas tiga tahun minat berlakon datang kerana sudah tahu apa itu lakonan. Apabila dah minat saya rajin bertanya pengarah. Dulu paling susah berlakon watak menangis. Pengarah pernah ketuk kepala saya dengan skrip kerana tak boleh menangis.

“Lama kelamaan barulah tahu saya kena ‘masuk’ dalam watak itu baru kita boleh menghayati kesedihan watak itu. Perasaan malu juga menyebabkan lakonan saya terbatas. Gaya rambut dan baju pun tidak pernah berubah. Sekarang saya tahu, setiap watak yang diberikan berbeza personaliti,” katanya.

DARI SUKA-SUKA TERUS MINAT

Scha pula berkata, bukan cita-citanya menjadi pramugari. Saja mencuba nasib langsung berjaya. Tetapi selepas setahun bekerja, kerjaya itu tidak sesuai dengannya. Lalu dia berhenti dan menyertai pertandingan Dewi Remaja 2006/2007. Kemenangan itu membuka hala tuju baru dalam hidupnya apabila terjebak’ dalam persada seni.

“Setiap yang berlaku dalam hidup saya tanpa dirancang. Saya ingat jadi pelakon pun tak lama. Tetapi apabila dah banyak kali berlakon dan tahu selok belok dalam bidang in, saya rasa suka pula. Lagipun sampai bila saya asyik hendak mencuba kerja baru. Usia kian bertambah.

“Jadi inilah kerjaya saya sekarang. Sepanjang dua tahun berlakon, saya nampak bidang ini menjanjikan masa depan cerah jika rajin berusaha.

“Saya tahu bukan senang jadi anak seni. Oleh itu saya bulatkan hati mahu nama saya bersih tanpa gosip panas. Misalnya sekarang saya agak rapat dengan Fahrin. Saya mengaku berkawan dengannya tetapi sejauh mana hubungan kami biar Allah tentukan.

“Jika benar ada sesuatu di antara kami kami berdua, saya akan mengaku pada masyarakat. Saya tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Saya juga tidak mahu terlalu ‘expose’ diri kerana itu membuatkan orang mudah menabur segala bentuk fitnah. Lepas habis kerja balik rumah.

“Saya sudah melalui zaman remaja yang menggembirakan jadi sekarang tumpuan untuk masa depan. Pernah juga rasa ‘give-up’ berlakon kerana gagal puaskan hati penonton. Mereka komplen lakonan saya ‘keras’. Saya memang begini dan memang susah hendak berlagak seperti ‘wanita Melayu terakhir’. Watak Dania yang ala tomboi dalam drama ini memang secocok benar dengan jiwa saya,” katanya.

FARAH PUAS WATAK JAHAT

Farah pula bermula sebagai penulis skrip dengan Astro. Awal tahun ini dia berhenti dan bergerak sendiri. Mengenali ‘orang dalam’ stesen satelit itu dia ditawarkan berlakon drama Renjis 1, Lu Fikirlah Sendiri (program Nabil Raja Lawak), telefilem berjudul Popular serta muncul dalam drama Front Page dan filem Otai.

Dengan raut wajah yang sombong, Farah ditawarkan pegang watak Puteri dalam Awan Dania. Jelasnya, Puteri bukanlah jahat sangat. Dia cuma suka berlagak dan tidak mahu ‘kalah’ dengan kawan-kawan sebab itu orang nampak dia jahat. Hati dia tidak busuk mana pun.

“Puas bawa watak jahat dan tidak kisah jika pengarah terus menawarkan watak itu. Biarlah orang kata ia stereotaip tetapi saya suka. Tidak pernah bosan jadi jahat kerana kejahatan manusia dalam dunia ini pelbagai.

“Setakat ini Awan Dania platform terbaik saya memperkenalkan diri kepada masyarakat,” kata bekas graduan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

REMY TAK SOMBONG

Remy antara pelakon yang sedang meningkat naik, dilabel sebagai sombong dan mula lupa diri kerana jarang melayani permintaan wartawan mengadakan sesi fotografi dan temubual dengannya.

Menangkis tohmahan itu, jelas Remy dia masih baru dan masih dalam fasa menyesuaikan diri.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon banyak. Ada juga penggambaran drama yang tiada jadual khusus. Seperti saya berlakon dalam Awan Dania ini, tumpuan sepenuhnya kepada produksi ini. Boleh dikatakan saya selalu berada dalam keadaan ‘on call’. Bila-bila masa orang panggil untuk penggambaran.

“Sebagai pelakon baru saya sedar diri. Saya belum ada keberanian minta pengarah menetapkan jadual saya. Nanti saya dikatakan dah mula ‘besar kepala’ dan sebagainya. Oleh itu saya tidak berani berjanji dengan wartawan bila boleh bertemu mereka. Takut gagal memenuhi janji.

“Saya juga tidak berani minta wartawan datang ke lokasi tanpa kebenaran pengarah. Saya memang ada dengar orang kata saya sombong tetapi saya tak sangka pula perkara sekecil itu boleh jadi isu. Saya tahu saya masih bertatih dalam industri.

“Untuk menjernihkan semula keadaan, selepas habis penggambaran Awan Dania, saya akan bercuti dua minggu dan menghubungi wartawan. Waktu itu bolehlah saya memperuntukkan masa untuk apa juga sesi fotografi,” katanya.

NASHA PUJI PELAKON BARU

Nasha Aziz yang berlakon sebagai jurulatih pramugari, tiada masalah bekerja dengan Irma, Scha dan Farah.

“Bekerja dengan mereka menggembirakan saya. Di bilik solek seronok dengar mereka berbual. Mendengar celoteh mereka membuatkan saya teringat masa sebaya mereka dulu. Saya juga buat mereka rasa senang dengan kehadiran saya. Sebagai pelakon baru, lakonan mereka bagus dan mereka cepat belajar.

“Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri dan mereka laksanakan arahan pengarah dengan baik. Dalam cerita ini fokus utama kepada Dania dengan dibantu watak Puteri, Fifi dan Iman (Umie Nazeera). Kru produksi pun bagus dan saling menghormati. Tidak pernah saya dengar mereka mengumpat sesama sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Hong Kong dan Shanghai untuk tugas peragaan seusai penggambaran drama itu tamat.

Mewakili Irma dan Farah, Scha berkata, mereka juga suka bekerja dengan Nasha yang sangat mesra.

“Nasha tak sombong. Dia yang banyak mengajar kami cara hendak membawa karektor masing-masing. Tak adalah dia membiarkan kami terkontang-kanting. Mulanya segan juga tetapi dengan caranya yang begitu ringkas kami senang dengan kehadirannya,” katanya.

Harian Metro

Usah Salah Sesiapa

30 Nov

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN

Rap
PEMENTASAN Impak Maksima The Musical (IMTM) di Istana Budaya, sudahpun berakhir 22 November lalu. Sebelum IMTM dipersembahkan, pengarahnya, Ahmad Idham Nadzri, menerima pelbagai kritikan termasuk isu pengunduran Awal Ashaari dan Jue Aziz daripada teater itu.

Untuk memastikan IMTM berjalan lancar, Idham melantik Zul Huzaimy Marzuki, sebagai Pengarah Artistik yang turut dipertanggungjawabkan melatih penari dan pelakon teater itu. Namun dikatakan latihan diberi Zul terlalu ‘keras’ dan antara sebab Awal ‘angkat kaki’ dari teatar itu.

Menurut Idham, apa yang berlaku dalam produksi teater itu tidak perlu diperbesarkan.

Menyentuh isu Awal dan Zul, jelas Idham, dia tidak menerima aduan daripada Awal mengenari cara latihan yang Zul kendalikan.

“Oleh itu saya ingat segalanya baik. Jika ada yang mengadu pasal Zul, tentu saya akan tegur dia. Tak tahulah pula jika ada yang ‘bercakap’ di belakang. Apa yang saya tahu, selama lebih kurang 8 hari berlatih, saya tengok persembahan Awal tiada peningkatan.

“Bukan tiada peningkatan langsung tetapi terlalu kecil, orang lain boleh buat tetapi dia tak dapat buat. Apa yang saya nampak, lakonan Awal tidak mencapai tahap yang kita mahu. Pementasan sebenar tinggal beberapa minggu lagi.

“Saya bimbang Awal tidak dapat membawakan watak Ayie dengan baik kerana berlakon filem dan drama tidak sama dengan teater. Setiap kali selepas latihan saya panggil Awal dan bertanya apa masalahnya.

“Saya beritahu dia, kalau hendak berlakon buat betul-betul. Masalahnya mereka ingat mereka bagus dan sensitif tak tentu pasal. Jelas Awal, masa terlalu singkat untuk belajar dan waktu sama dia ada komitmen lain sebagai pengacara.

“Lalu dia mengambil keputusan menarik diri. Saya masih mahu beri dia peluang muncul dalam IMTM dengan mengecilkan watak Ayie. Jadi saya beri masa semalaman untuk dia berfikir tetapi keesokan hari pengurus dia beritahu Awal tarik diri.

“Dia langsung tidak beritahu saya dia tidak puas hati dengan Zul. Dalam perkara ini, nampaknya Awal tidak jujur dengan saya. Sebagai pengarah teater kenapa dia tidak beritahu cerita sebenar.

“Apabila dia beritahu ada komitmen lain, takkan saya hendak minta dia terus berlakon dalam IMTM. Tetapi jika dia beritahu tidak suka cara Zul mengajar, saya boleh beritahu Zul supaya menggunakan cara lain. Saya rasa cara Zul dah betul. Mungkin terdapat salah faham di situ kerana mereka tidak faham apa itu teater,” katanya.

Demi kejayaan teater itu kata Idham, apa yang dia dan tenaga belakang tabir fikirkan termasuk Zul, Cat Farish dan Belalang hanya mahukan yang terbaik. Begitu juga dengan Den Wahab selaku Penerbit Bersama IMTM.

“Zul banyak pengalaman dalam teater, jadi saya serahkan kepadanya untuk melatih mereka. Saya pun belajar dengan Zul. Pada saya, kita tak akan marah orang tanpa sebab. Bukan saja Awal, pelakon lain pun kena marah termasuk Zarina (AF), Zed Zaidi dan Dynas.

“Kebanyakan pelakon mula berlatih selepas raya. Penari diberi latihan dulu. Tetapi mereka tekun belajar. Siapa sangka Zed Zaidi yang tidak tahu apa-apa pasal teater berjaya menunjukkan lakonan cemerlang sehingga penonton benci tengok karektornya yang jahat. Lakonan Zarina dan Dynas juga bagus.

“Pada bulan puasa, Awal datang berlatih. Itupun sekejap ada, sekejap tak ada kerana ada kerja lain. Saya beritahu mereka untuk menjadi pelakon teater yang bagus mereka perlu berkorban, memberi tumpuan dan buat kajian. Berlakon teater juga bukan kerana wang tetapi kepuasan.

“Saya juga beritahu mereka, jika tiada asas berlakon teater mereka mesti berlatih bersungguh-sungguh. Semua pelakon menerima layanan sama rata tiada yang mendapat layanan VIP.

“Mereka tidak pernah belajar teater dengan Ahmad Yatim. Teater adalah ‘makanan’ dia dan padah jika pelakon main-main dengannya. Zaman saya popular sebagai pelakon dulu pun, saya pernah kena marah dengan Kalam Hamidi.

“Kalau kita ini hebat dan dahsyat sangat berlakon, lainlah. Dengan guru teater jangan banyak tanya sebab kita dalam proses belajar.

“Tujuan Zul hanya ingin mencurahkan ilmu teater supaya mereka jadi bagus. Saya pernah kena sergah dengan Ahmad Yatim.

“Awal rugi meninggalkan IMTM kerana dia bermula dengan filem dan drama cerita itu. Saya ingin memberi peluang Awal mencipta nama dalam dunia teater tetapi nampaknya dia menolak. Oleh itu jangan salahkan sesiapa termasuk tenaga pengajar.

“Selepas Awal meninggalkan produksi IMTM, saya terkial-kial mencari pengganti. Beberapa nama dihubungi tetapi mereka sudah ada tawaran lain. Orang yang paling sesuai menggantikan Awal ialah Zul. Tetapi Zul tak mahu berlakon. Dia sentiasa memikirkan cara terbaik untuk mengajar pelakon IMTM.

“Sehari IMTM tiada pelakon utama di set. Hanya Zul yang tahu segalanya tetapi dia memang tidak bersedia untuk berlakon dan lebih kepada kerja belakang tabir,” katanya.

“Selepas saya, Cat dan Belalang puas memujuknya, baru Zul bersetuju. Ini kerana dalam masa yang terdesak saya tidak nampak orang lain sesuai melainkan Zul.

“Dalam menjelaskan isu ini, saya tidak memihak kepada sesiapa. Saya hanya menceritakan perkara sebenar dan apa yang saya tahu. Masa saya berbincang dengan Awal, Zul tak ada. Kenyataan Zul betul iaitu lakonan Awal tiada peningkatan bukan masalah dia disingkir dari IMTM.

Harian Metro

Finalis Etnik Kreatif AJL23 Sudah Ditemui

29 Nov

Teks oleh Razif Rosdi

Lagu Persoalan Cinta nyanyian penyanyi hitam manis, Farawahida kini menempah tempat ke final Juara Lagu Ke-23 (AJL23) apabila melepasi saingan separuh akhir kategori Etnik Kreatif malam tadi.

Lagu ciptaan Julfekar dan Ku Seman Ku Hussein itu berjaya seringan dengan 2 lagi lagu iaitu Doa Dalam Lagu (Mawi & Heliza / Ajai /Loloq) serta Dusta Berkalang (Aiman/ Hafidz Hamidun/ Ahmad Fedtri Yahya). 

Saingan separuh akhir Muzik Muzik itu berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral dan dihoskan oleh Cheryl Samad dan Faizal Ismail.

Selain 3 lagu itu, 7 lagi karya ciptaan tempatan dipertandingkan. Namun penyanyi asal lagu Songo, Amy Search tidak dapat hadir dan dia digantikan dengan Mok.

Dua lagi kategori yang akan dipertandingkan selepas ini adalah Balada pada 5 Disember dan Pop Rock (12 Disember). Ia menyaksikan lebih banyak lagu dan penyanyi popular seperti Ziana Zain, Faizal Tahir, Mila, Meet Uncle Hussein dan Anuar Zain bertanding.

Senarai calon separuh akhir Muzik-Muzik dipilih melalui undian yang dibuat pada setiap minggu, berdasarkan tempoh kedudukan sesebuah lagu dalam carta.

Sebanyak 104 lagu daripada 3 kategori ini dicalonkan untuk bertanding namun hanya 34 lagu sahaja berjaya ke pusingan separuh akhir sebelum mara ke final untuk layak digelar juara AJL23.

Senarai calon Etnik Kreatif

1.  Doa Dalam Lagu : Mawi & Heliza
2.  Jarak Rindu : Azfar
3.  Puteri Tarian Kasih : Anis Aneesa
4.  Pujangga Merindu : Syura
5.  Songo : Amy Search
6.  Persoalan Cinta : Farawahida
7.  Panas : Ifa Raziah
8.  Dusta Berkalang : Aiman
9.  Mengharap Sinar : Dior
10. Lambaian : Fazli Zainal

 

Murai

Karaoke Hujung Minggu

29 Nov

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

TIDAK selamat, tersorok, kotor, dipenuhi kaki minum dan dikelilingi GRO. Persekitarannya yang suram turut dikaitkan dengan kemungkinan ia menjadi lokasi pengedaran dadah.

Itulah stigma atau sebahagian pandangan negatif masyarakat terhadap pusat hiburan karaoke sedekad yang lalu.

Hari ini, dengan penjenamaan semula, telah mengangkat taraf premis hiburan yang menjadi kegemaran sebahagian besar muda-mudi kota.

Red Box, News KTV dan Green Box antara pusat-pusat karaoke yang menyediakan pelbagai kemudahan, dekorasi dan gajet keselamatan. Malah, kini ia menjadi destinasi bersantai seisi keluarga.

Menurut laman web ensiklopedia, Wikipedia, karaoke berasal dari bahasa Jepun kara (kosong) manakala oke-sutora (orkestra). Ia merupakan sejenis hiburan yang membolehkan individu atau kumpulan menyanyikan lagu terpilih dengan iringan muzik yang sedia terakam dalam alat audio visual.

Menyelami budaya di Asia, bilik bersaiz kecil atau bersederhana sering menjadi tumpuan berbanding berkaraoke di khalayak ramai. Di dalam bilik tersebut pengunjung bebas menyanyi tanpa rasa malu dengan bayaran tertentu.

Jika tiada sebarang aktiviti pada hujung minggu, Shara Fedayu Sarif, 24, mengisi masa lapangnya berkaraoke bersama rakan atau adik-beradiknya.


NINI RUZANNA (kiri) dan Shara Fedayu berpendapat aktiviti karaoke dapat menghilangkan tekanan.

Kepada akauntan muda ini, daripada terjebak dengan pelbagai aktiviti yang tidak bermoral atau jenayah, lebih elok bersantai dengan teman-teman di premis karaoke.

“Plot drama tempatan atau antarabangsa yang selalu menampilkan aksi ‘panas’, kaki mabuk, maksiat, lelaki gatal dan perempuan GRO di pusat karaoke, antara faktor yang membuatkan orang ramai kurang senang dengan kewujudan pusat-pusat karaoke. Sedangkan semua itu tidak berlaku sepanjang saya berhibur di pusat karaoke ini.

“Namun, kita juga perlu bijak memilih pusat karaoke yang betul,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur yang merujuk pada pusat karaoke kegemarannya, Red Box Ria di pusat beli-belah Sogo dan Red Box; di The Gardens dan The Curve.

Shara yang mula aktif berkaraoke sejak usia sembilan tahun menjelaskan, sebelum diperkenalkan keistimewaan di Red Box, biasanya dia hanya menyanyi di rumah dengan set kelengkapan karaoke yang dibelinya.

Namun semuanya berubah selepas mengikut rakannya berkaraoke di Green Box, Plaza Low Yat, Kuala Lumpur. Seterusnya, dia mencuba pula di beberapa cawangan Red Box yang lain. Ternyata Red Box jauh daripada gambaran buruk di kaca TV atau filem.


SELAIN menyanyi, pengunjung berpeluang menjamu selera dengan hidangan yang disajikan secara bufet.

Shara yang gemar menyanyikan lagu bernada tinggi berpendapat, Red Box antara sudut lepak gaya baru di kalangan muda-mudi. Sambil menyanyi, pengunjung juga berpeluang menjamu selera dengan pelbagai sajian bufet, menganjurkan parti hari jadi atau majlis istimewa bersama teman.

Selebriti tempatan seperti Awal Shaari, Elyana, Kru, Adam AF2, Nita (Malaysia Idol 2) dan Sheila Abdul juga memilih pusat karaoke untuk menganjurkan sidang media, pelancaran album, majlis bertemu peminat dan majlis hari jadi.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan tatkala mengunjungi pusat karaoke ini. Sistem keselamatan di sini dikawal rapi apabila setiap lorong dan sudut disimbahi dengan cahaya lampu yang terang dan diletakkan kamera litar tertutup (CCTV), bagi mengelakkan risiko jenayah.

“Lagipun suasana Red Box tidak seperti pusat karaoke lama yang kelihatan suram dan gelap,” ujarnya. Red Box menyuntik suasana ceria dan gembira apabila menampilkan elemen dekorasi dan hiasan dalaman menarik. Lebih istimewa, kebanyakan cawangan Red Box beroperasi dalam pusat beli-belah bagi memudahkan pengunjung terutamanya mereka yang berkeluarga,” ujar peminat setia selebriti Erra Fazira dan Ziana Zain ini.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2005, Red Box Ria yang berpangkalan di Sogo, Kuala Lumpur, sentiasa menerima pengunjung daripada kelompok sederhana. Nini Ruzanna Hassan, 24, antara pengunjung setia yang melakukan aktiviti karaoke bersama suami dan dua permata hatinya. Persekitaran dan ruang bilik yang selesa dan selamat membuatkan hatinya terpikat untuk menjadikan Red Box sebagai destinasi aktiviti karaoke bersama keluarga pada hujung minggu.


RED Box menyuntik elemen ceria.

“Sebelum berpindah ke Kuala Lumpur saya dan suami gemar berkaraoke di salah sebuah pusat karaoke di Sarawak. Tapi, set kelengkapan dan mesin yang digunakan tidaklah sehebat di Kuala Lumpur.

“Di Red Box, segala-galanya menggunakan aplikasi komputer yang canggih. Kita hanya perlu menekan alat kawalan jauh dan mengikut arahan yang tertera pada skrin tanpa perlu menunggu lama. Set sofa yang disediakan juga empuk dan sentiasa kelihatan baru serta bersih,” kata Nini yang gemar berduet bersama suaminya.

Nini yang bertugas sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan juga mempunyai memori manis bersama Red Box. Pelawaan suaminya untuk karaoke telah dikejutkan dengan meraikan majlis hari lahirnya.

Menurutnya, mereka bebas menyanyikan atau menari tanpa mengganggu pengunjung lain. Ini kerana bilik yang ditawarkan kedap udara dan mempunyai pintu.

“Anak-anak pun seronok ke sini kerana sambil ibu bapa mereka menyanyi dan sesekali menjadi penyanyi latar. Red Box juga menghimpunkan koleksi lagu yang sesuai untuk kanak-kanak.

“Selain itu, saya juga kerap membawa adik-beradik dan bapa untuk menyanyi,” tambahnya.

Kosmo