Archive | Jasmin Hamid RSS feed for this section

Ujian Menerbitkan Noda Semalam

30 May

Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my

AKSI Remy Ishak (kanan) yang turut membintangi telemovie Noda Semalam di lokasi penggambaran.

MENGHASILKAN sebuah telemovie barangkali dianggap sebagai kerja mudah bagi sebilangan besar penonton.

Hakikatnya, hanya penerbit dan pengarah sahaja yang terpaksa menelan pelbagai keperitan dan kesukaran ketika proses penghasilan sesebuah telemovie dibuat.

Bagi syarikat produksi Zeel Production Sdn. Bhd., yang menerbitkan telemovie Noda Semalam untuk siaran TV3 malam esok menerusi slot Cerekarama, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Bahkan, penerbitnya, Md. Fadzil Teh tidak terduga akan diuji sedemikian rupa untuk menghasilkan buah tangan terbaru syarikat produksi yang diketuainya itu.

Noda Semalam arahan sutradara, Muhammad Murali Abdullah memaksa Fadzil berhadapan dengan cabaran yang bukan kecil.

Cabaran pertama bermula apabila hero utama telemovie itu menarik diri pada saat-saat akhir akibat terikat dengan komitmen lain.

“Saya bernasib baik kerana Ezany Nizarif bersedia mengambil alih tugas itu. Biarpun ditawarkan di saat-saat akhir, namun Ezany memberikan lakonan yang hebat dan menepati kehendak produksi,” kata Fadzil kepada Hits ketika berkongsi cerita mengenai produksi Noda Semalam.

Sangkaan Fadzil pertukaran hero akan menamatkan cabaran produksi Noda Semalam rupanya meleset apabila salah seorang jurugambar yang sering menyertai produksi Zeel Production pula terpaksa menarik diri kerana terikat dengan urusan keluarga.

Sekali lagi, Fadzil dan team produksi memikirkan pengganti yang boleh mengambil alih tugas tersebut.

Ujian terus menghimpit produksi Noda Semalam selepas salah seorang aktor utama telemovie itu, Razali Buyong pula membawa khabar duka apabila kakaknya meninggal dunia ketika penggambaran sedang berlangsung.

“Menyedari kedudukan Razali yang sedang berduka dan tidak mampu memberi komitmen terhadap telemovie ini menyebabkan kami terpaksa mencari pengganti lain.

“Alhamdulillah, Zulkifli Zain menyatakan kesediaannya menggantikan tempat Razali,” kata Fadzil menyambung perbualan.

Kesediaan Zulkifli menggantikan Razali membuatkan seluruh team produksi Noda Semalam dan Fadzil bersemangat untuk meneruskan penggambaran.

Namun begitu, ketika di lokasi penggambaran Noda Semalam yang berlangsung di Batu 14, Hulu Langat, Selangor, Zulkifli pula pengsan dan keadaan itu sekali lagi mengejutkan seluruh team produksi.

“Sudah tentu kami semua bimbang. Tetapi, Alhamdulillah, selepas melakukan pemeriksaan, beliau (Zulkifli) disahkan sihat,” terang Fadzil lagi.

Berkat kesabaran dan kerja keras semua pihak akhirnya membuahkan hasil dan Noda Semalam bakal ditayangkan malam esok menerusi slot Cerekarama.

Selain Ezany dan Zulkifli, Noda Semalam yang menampilkan skrip tulisan Abdul Rahim Awang turut mempertaruhkan aktres tersohor tanah air, Fauziah Nawi, Jasmin Hamid, Shaheizy Sam, Delimawati, Remy Ishak dan ramai lagi.

Telemovie ini memparkan kisah seorang anak malang yang menghidap penyakit leukemia cuba menjejaki ibu kandungnya.

“Jalan cerita telemovie ini mungkin sesuatu yang biasa bagi sebilangan besar daripada kita. Namun, penekanan yang diberikan dalam cerita ini ialah bagaimana mesej disampaikan dan bagaimana audiens menerima mesej berkenaan,” kata penerbit itu lagi.

Noda Semalam juga jelas Fadzil, menghadiahkan penonton sisi lakonan Fauziah yang berbeza dengan pendekatan lakonannya sebelum ini.

Fadzil sedar ramai yang mempersoalkan kenapa Zeel Production terus menawarkan Fauziah watak yang stereotaip.

“Saya berani beri jaminan, lakonan Fauziah kali ini jauh berbeza daripada apa yang pernah kita tonton sebelum ini,” janji Fadzil kepada audiens mengenai lakonan Fauziah Nawi dalam Noda Semalam.

Noda Semalam jelas Fadzil, masih mengekalkan pendekatan drama yang berteraskan air mata kerana ia memenuhi kriteria penerbitan telemovie untuk slot Cerekarama.

Selain jalan cerita dan pelakon, Zeel Production juga ujar Fadzil sering menitikberatkan pemilihan pengarah untuk mengemudi sesebuah produksi.

Dan untuk Noda Semalam, pengarah Murali menjadi pilihan lantaran keyakinan Fadzil terhadap karisma sutradara itu.

Murali sebelum ini pernah memberikan sentuhannya pada telemovie Janji Seorang Anak juga terbitan Zeel Production.

“Saya menyenangi kerja Murali. Dia begitu teliti dalam segenap aspek penerbitan telemovie.

“Murali sentiasa memastikan semua kerja penerbitan dilakukan sehingga proses terakhir sebelum menyerahkan hasilnya kepada saya.

“Yang istimewanya, Murali juga sangat arif terhadap kerja-kerja penataan muzik. Ini memudahkan kerja-kerja produksi,” kata Fadzil merakamkan penghargaan pada pengarah itu.

Powered by Utusan Malaysia

Sam Tidak Pilih Watak

5 May

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

BERIKAN apa saja watak kepadanya, sudah pasti dia cuba melakukannya sebaik mungkin. Malah tidak seperti pelakon lain, Shaheizy Sam Abdul Samad, 26, langsung tidak membataskan lakonannya bagi karakter tertentu.

Shaheizy Sam atau lebih mesra dengan panggilan Sam sudah agak lama membabitkan diri dalam dunia lakonan. Biarpun tidak meraih anugerah, bakat lakonannya cukup menyerlah.

Adik pelakon berbakat, Zizie Izette ini bukan saja mendapat pujian menerusi lakonannya malah kerap ditawarkan pelbagai watak membintangi beberapa drama tempatan.

Pelakon segak yang mula diperkenalkan di layar perak menerusi Sama Tak Serupa arahan Yuzman Wahid sekitar 1994 itu, mengakui meminati lakonan sejak kanak-kanak malah menaruh impian untuk mencipta nama di pentas antarabangsa suatu hari nanti.

“Memang lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa saya. Minat terhadap lakonan sudah timbul sejak kanak-kanak lagi. Apatah lagi ketika itu ibu, abang dan kakak yang banyak memberi inspirasi kepada saya turut terbabit dalam bidang seni.

“Saya menyimpan impian untuk melangkah ke Hollywood suatu hari nanti. Malah mengidam berlakon di samping pelakon yang cukup saya minati, Al Pacino,” katanya.

Sam yang pernah popular ketika zaman remaja menerusi telefilem Pa’e sehingga menerima pencalonan dalam Anugerah Skrin dan Bintang Popular 97/98 cukup mengagumi lakonan beberapa nama besar dalam dunia lakonan seperti Fauziah Nawi, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rosyam Nor.

Dia memaklumkan tidak gemar menghadiri sesi uji bakat sebaliknya hanya bergantung kepada syarikat pengurusan bakat selain kenalan dalam bidang berkenaan untuk menerima tawaran membintangi drama.

“Tidak kira karakter apa sekalipun yang ditawarkan, saya tetap cuba melaksanakannya. Saya pula lebih suka watak yang berat dan mencabar kerana benar-benar menguji kemampuan seseorang pelakon. Saya pula mudah beranggapan setiap watak yang diberikan adalah mencabar.

“Saya akan sentiasa mengenali karakter dan menilai kelebihan atau kelemahan setiap lakonan yang berjaya diselesaikan,” katanya.

Sam baru saja selesai penggambaran telefilem Noda Semalam arahan Murali Abdullah untuk siaran slot Cerekarama TV3, 31 Mei ini. Dalam telefilem sempena Hari Ibu itu, Sam membawa watak Hasan, seorang pemuda kampung yang bersikap kasar dan bengis.

Turut membintangi drama terbitan Zeel Production Sdn Bhd itu ialah Fauziah Nawi, Jasmin Hamid, Ezany Nizariff, Nurul Akma Afida, Balkish, Rosley Idris dan Zulkifli Zain.

Mengulas pengalaman pertama bekerja di bawah bimbingan Murali, Sam berkata ia satu pengalaman yang cukup berharga kerana pengarah berkenaan seorang yang bersikap terbuka, kreatif selain kerap berkongsi pandangan bersama pelakon dan kru produksi yang terbabit.

“Hasan menggambarkan watak seorang yang penuh dengan emosi kerana memikirkan banyak masalah berkaitan keluarga dan kesempitan hidup di kampung. Malah sikap baran sukar dikawal menyebabkan penonton pasti tidak menyukai watak itu,” katanya.

Lakonan Sam juga dapat dilihat menerusi drama Graduan arahan Rashid Sibir, KL Menjerit (Fairuz Loy), Impak Maksima (Ahmad Idham) serta Elly (Jat Lee) yang disiarkan di ntv7 setiap Jumaat jam 8.30 malam.

Powered by Harian Metro

Yuzwan Wahid (1956-2008): Lebih Berjaya Dalam Bisnes

4 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

SEHARI selepas pemergian Allahyarham Yusni Jaafar, kelmarin warga seni dikejutkan pula dengan berita kematian penerbit dan pengarah cukup aktif sekitar 90-an, Datuk Meswan Dol, 51 atau lebih dikenali dengan nama Yuzwan Wahid di kalangan orang filem.

Meswan disahkan meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang yang dideritai sejak tiga tahun lalu.

Menurut anaknya Mohd Hatta, 22 bapanya disahkan meninggal dunia pada jam 10 pagi di Pusat Perubatan Shah Alam selepas menerima rawatan intensif di hospital itu sepanjang tiga minggu lalu.

Semua ahli keluarga termasuk isteri, Datin Azizah Ibrahim, anak, Zariyatul Akma, 23; Mohd Helmi, 19 dan Nurul Najiha berada di sisi Allahyarham sewaktu beliau menghembuskan nafas terakhir.

Sebelum bergelar penerbit dan pengarah, Meswan terlebih dulu menjadi pelakon dan pernah membintangi beberapa drama sekitar 80-an.

Pada 1993, di bawah produksi sendiri Daya Pentas Sdn Bhd (DPSB), Meswan menerbitkan dan mengarah filem pertama, Antara Gadis menampilkan pelakon popular waktu itu, Mas Anizan dan Zarina Zainuddin.

Walaupun filem sulung terbitan produksinya gagal di pawagam ia langsung tidak mematahkan semangat Meswan untuk menerbitkan filem kedua Sama Tak Serupa (STS) pada 1995.

Filem yang skripnya turut ditulis sendiri Meswan, menampilkan lebih ramai pelakon popular seperti Aznil Nawawi, Anne Ngasri, kumpulan Nico, Sasha, Jasmin Hamid dan Razzi Rahman. Selain itu DPSB pernah menghasilkan drama antaranya Geregai dan Kemelut.

Beberapa artis yang pernah bekerja dengan Meswan turut terkejut apabila terbaca berita disiarkan Harian Metro dan menyampaikan salam takziah buat keluarga Allahyarham.

Pelakon, Zarina Zainuddin berkata selepas Allahyarham meninggalkan dunia perfileman mereka tidak lagi berhubung. Begitupun, katanya dia sering mengikuti perkembangan Meswan dalam dunia perniagaan dan politik.

“Sewaktu menjayakan filem Antara Gadis, selain menjadi pengarah dia turut berlakon. Setiap kali berbual, Allahyarham selalu bercerita mahu berjaya dalam pelbagai bidang yang diceburi.

“Waktu itu sebagai rakan, saya mahupun Mas Anizan selalu mengusik dengan mengatakan dia berangan besar, tetapi tidak sangka selepas itu apa yang dikatakan dikotakan. Perniagaannya benar-benar berkembang dan kerana sibuk dia terpaksa melupakan dunia perfileman.

“Namun, untuk berjaya dalam dunia hiburan terutama filem, sebenarnya dia tidak boleh senyap kerana orang akan lupa. Begitupun saya berasakan kecenderungan Allahyarham lebih kepada dunia perniagaan dan politik berbanding seni,” katanya.

Aznil Nawawi membintangi filem arahan Meswan, STS pula berkata sebagai penerbit, Allahyarham seorang yang sangat pemurah.

“Walaupun filem STS waktu itu tidak mendapat sambutan dan DPSB mengalami kerugian tetapi saya tetap mendapat bayaran penuh mengikut seperti apa yang dijanjikan.

“Satu lagi sikap Allahyarham yang saya cukup ingat adalah, dia suka menggembirakan hati orang. Mengambil contoh dia selalu membawa piza di lokasi semata-mata mahu melayan kerenah rakan pelakon lain, sedangkan waktu sama makanan sudah disediakan.

“Pada hari raya, pelakon filem STS turut menerima bonus. Padahal waktu itu filem belum lagi ditayangkan. Sebagai penerbit dia juga seorang yang peramah.

“Sekarang walaupun sudah bergelar Datuk dan tidak lagi aktif sebagai penerbit tetapi kalau bertemu di mana-mana, dia akan datang dan menegur saya dulu,” katanya.

Powered by Harian Metro

Jasmin Hamid Sah Bercerai

14 Feb

KUALA LUMPUR ῖ Dramatis terkenal, Jasmin Hamid disahkan bercerai talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 4 Februari lalu.

JASMIN dan Ian Rashid.

Menurut sumber, pengesahan perceraian itu adalah susulan permohonan cerai secara baik oleh Jasmin, 34, dan pasangannya Ian Rashid Macquistan, 35, yang dibuat pada hari yang sama.

Hakim Syarie, Tuan Dr. Mohd. Naim Mokhtar mengesahkan perceraian tersebut selepas Ian Rashid melafazkan cerai talak satu terhadap Jasmin di dalam mahkamah.

Terdahulu, pada 25 Januari lalu, Jasmin telah memfailkan cerai secara taklik di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Bagaimanapun, dia telah menarik balik permohonan tersebut pada 30 Januari lalu dan dibenarkan oleh mahkamah keesokan harinya.

Bagaimanapun Jasmin yang terlibat dalam filem animasi Budak Lapok tidak dapat dihubungi berhubung perkara ini.

Mereka telah berkahwin pada 15 Disember 2000 dan hanya dikurniakan seorang anak lelaki bernama Ian Haziq yang berumur kira-kira tujuh tahun.

Powered by Kosmo

Kepincangan Keluarga Dalam Bicara Aur Dengan Tebing

11 Sep

Menyayangi keluarga adalah nilai murni yang perlu dipupuk sejak kecil. Tanpa kasih sayang, institusi kekeluargaan menjadi pincang. Itu antara mesej drama bersiri terbaru, Bicara Aur Dengan Tebing terbitan Tenview Sdn. Bhd., yang mula bersiaran hari ini setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1.

Drama 13 episod ini mengisahkan kehidupan Mia (lakonan Rita Rudaini) dan Yeen (Jasmin Jamid), dua beradik perempuan yang dibesarkan oleh bapa tunggal, Omar yang bergantung hidup pada hasil menoreh getah. Mia mengalami masalah dyslexia yang menyebabkan dia tidak dapat menguasai pelajaran dan lembab dalam segala bidang. Kekurangannya itu membuatkan dia lebih disayangi ayahnya sehingga menyebabkan Yeen merasa dirinya disisihkan dan tidak diberi perhatian oleh ayahnya.

Yeen menjadi bertambah benci kepada Mia apabila Mia sering dijadikan bahan ejekan kanak-kanak sebaya kerana kelembapannya sehingga dia merasa menyesal menjadi kakak Mia.

Apabila meningkat remaja, Yeen yang belajar di sebuah universiti mula menjalinkan hubungan dengan seorang pemuda, Jinggo yang tidak disukai oleh ayahnya. Hubungan mereka diketahui oleh ayah dan bapa saudara Yeen (Pak Ngah) setelah Mia menceritakan segalanya. Ayah Yeen memaksa Jinggo mengahwini Yeen, tetapi Jinggo enggan dan menuduh Yeen yang cuba menggodanya. Yeen malu dan melarikan diri ke Kuala Lumpur menjadikan kebencian Yeen terhadap Mia semakin meluap-luap.

Yeen bernasib baik kerana diterima bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat pembinaan. Kecantikan dan kelincahan Yeen telah berjaya menarik perhatian seorang jurutera baru di situ, Razuan. Namun, Yeen tidak menyedari bahawa dia perlu bersaing dengan Dina, seorang jurutera kanan yang juga ingin merebut cinta Razuan. Kemenangan berpihak kepada Yeen apabila Razuan berhasrat memperisterikannya sementara Dina pula menyimpan dendam.

Yeen berbangga tinggal di rumah milik ibu bapa Razuan di sebuah kawasan perumahan mewah. Yeen yang menumpang kesenangan Razuan, menjadi lupa daratan dan mula berkawan dengan rakan-rakan yang setaraf dengannya sahaja.

Mia yang hidup terkontang-kanting di kampung selepas kematian ayah mereka, tidak diperdulikan Yeen sehinggalah Pak Ngah campur tangan mendesak Yeen membawa Mia tinggal bersamanya di bandar sekiranya dia ingin mewarisi tanah pusaka peninggalan arwah ayahnya.

Sejak itu, bermulalah episod duka dalam hidup Mia yang malang. Yeen memperlakukan Mia seperti orang gaji. Kelembapan Mia sering menjadi punca kemarahan Yeen terhadapnya. Setiap kali balik dari pejabat, Yeen akan menjadikan Mia sebagai tempat melepaskan marah.

Dalam pada itu, Dina meneruskan agendanya membalas dendam terhadap Yeen sehingga akhirnya Yeen terpaksa meletak jawatan. Dina tidak berhenti setakat itu sahaja, dia dengan beraninya meminta Razuan memohon kepada mahkamah untuk berpoligami. Habuannya, Razuan mendapat saham yang diserahkan oleh Dina kepadanya. Razuan mula gelap dalam dunia materialistik ciptaan Dina.

Yeen terperangkap memandangkan dia kini tidak bekerja dan dia terpaksa menerima Dina sebagai madunya yang sah jika ingin terus hidup senang.

Tekanan emosi Yeen bertambah memuncak apabila dia mengetahui bahawa tiada satupun harta yang ditinggalkan ayahnya untuk dirinya. Sejak Yeen tidak mempedulikan keluarganya di kampung, ayahnya menyerahkan semua harta miliknya kepada Mia.

Kebencian Yeen terhadap Mia tidak dapat dibendung lagi apabila suatu malam dia mendapati suaminya cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap Mia. Yeen sebaliknya menuduh Mia sengaja menggoda suaminya. Yeen hilang pertimbangan sehingga sanggup membelasah Mia hingga separuh mati.

Pastikan anda menonton drama menyayat hati Bicara Aur Dengan Tebing mulai hari ini pukul 11.05 pagi menerusi slot Sutera di RTM1. Drama ini dilakonkan oleh Jasmin Hamid, Rita Rudaini, Wan Hanafi Su, Arash Mohammad, Aqasha dan ramai lagi.

Powered by Utusan Malaysia

Konsert Mega Aidilfitri Gabung Baru Dan Lama

7 Sep

Oleh Khadijah Ibrahim

Izwan Pilus, Nita dan Fazli sewaktu mendendangkan lagu medley raya.

MESKIPUN Hari Raya masih jauh lagi namun sebagai persediaan, bahagian penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) awal-awal lagi sudah selesai merakamkan Konsert Mega Aidilfitri.

Diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali, program itu telah pun selesai menjalani rakamannya pada 17 Ogos lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Program yang menampilkan 16 artis ternama tanah air itu akan ditayangkan pada 13 Oktober, pukul 8.30 malam menerusi RTM1.

Menurut Mohd. Yusni atau Yus, program yang mengambil masa selama dua jam itu bukan sekadar hiburan tapi ia juga mampu merungkai rindu peminat pada penyanyi-penyanyi kesayangan mereka.

“Berdasarkan konsep itulah, saya sengaja menggandingkan penyanyi baru dan lama. Kemunculan Ramlah Ram dan Liza Hanim yang sudah lama tidak menghasilkan album misalnya mampu memberi ruang untuk mereka mengubati rindu peminat,” kata Yus.

Penonton program ini juga berpeluang mendengar 25 buah lagu daripada artis-artis terlibat.

Lagu-lagu yang didendang bukan sekadar lagu-lagu raya, malah lagu-lagu berkonsep kontemporari juga dipersembahkan.

Tegas Yus, program yang diacarakan oleh pelakon Jasmin Hamid dan penyanyi Nurul itu akan dimulakan dengan medley lagu raya, Menjelang Hari Raya dan Selamat Berhari Raya yang dipersembahkan oleh barisan penyanyi baru.

Mereka yang digandingkan untuk segmen ini ialah Izwan Pilus, Fazli Zainal, Fiq (Juara Mentor 2), Rey (Juara Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Shahir (Naib Juara Suara Emas Bintang RTM 2007).

Sementara penyanyi wanita ialah Farawahida, Nita, Zeti (Finalis Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Karen Kong.

Jelasnya, setiap penyanyi berpeluang mendendangkan dua lagu iaitu lagu nostalgia raya dan masa kini.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah Indahnya Beraya Di Desa (Jaclyn dan Han), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Dayang Nurfaizah), Kepulangan Yang Dinanti dan Lelaki Ini (Anuar Zain), Ketentuan (Ramlah Ram), Akan (Karen Kong), Bebas (alternatif mix) dan Bersabarlah Sayang (Liza Hanim), Kasih Tercipta (Faizal), Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Selamat Hari Raya (semua artis).

Program yang berlatar belakangkan set ucapan Selamat Hari Raya dengan tulisan Jawi itu telah direka oleh pereka set KZ.

“Sebenarnya saya minta KZ buat set yang menampilkan unsur-unsur raya tapi dalam suasana moden. Saya sendiri terkejut bila melihat set yang dihasilkan. Pada saya set itu cukup menarik kerana ia melambangkan suasana Hari Raya,” tambah Yus.

Menyentuh mengenai gabungan Jasmin dan Nurul yang turut mendendangkan lagu Pulang Di Hari Raya, kata Yus antara mereka ada keserasian.

Jelasnya, selama ini sering ditonjolkan pengacara lelaki dan wanita. Namun disebabkan ingin kelainan, maka Yus memilih dua wanita yang pada pandangannya bijak berceloteh.

“Kedua-dua mereka walaupun tidak pernah bekerjasama sebelum ini namun masing-masing pernah mengacarakan beberapa program. Saya lihat mereka ada keserasian kerana masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Kesemua penyanyi diiringi oleh tujuh pemuzik yang diketuai oleh Helen Yap (pengarah muzik dan pemain key board), Hillary Ang (gitar), Ujang (gitar), Bong (bass), Joey (dram), Faizal Uzir (keyboard) dan Ameer Firza (perkusi).

Program: Konsert Mega Aidilfitri

Tarikh rakaman: 17 Ogos 2007

Lokasi: Auditorium Perdana, Angkasapuri

Penerbit: Mohd. Yusni Mohamed Ali

Waktu siaran: 8.30 malam, RTM1, 13 Oktober 2007

Artis: Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Faizal (One In A Million), Jaclyn Victor, Izwan Pilus, Liza Hanim, Fiq, Farawahida, Rey, Nita, Shahir, Karen Kong, Han dan Zeti.

Powered by Utusan Malaysia

Jasmin Hamid Goyah Lagi?

15 Apr

Pelakon Jasmin Hamid pernah menafikan kisah rumah tangganya berantakan. Kata pelakon yang Joyah cemburukan itu, dia dan suaminya masih lagi bahagia di alam rumah tangga. Joyah cemburu bukannya sebab dia popular, tapi bila tengok pinggang Jasmin yang bak kerengga tu.

Memang orang macam Joyah ni suka menghargai kecantikan wanita lain dan Jasmin adalah antara artis yang punya aset ‘body’ yang cukup menarik. Maklum saja, kenan anak patung. Hah, kisah dia minta cerai dan bakal diceraikan itu hanyalah dusta semata-mata, itu kata Jasmin dalam banyak akhbar sebelum ini.

Tup-tup timbul lagi cerita baru pula dah. Joyah dikhabar kisah perselisihan faham antara Jasmin dan suaminya memang berlaku, bukan cakap-cakap kosong semata. Kata sumber Joyah, Jasmin dan suaminya itu tidak bersefahaman lagi dan masing- masing sudah membawa haluan sendiri. Itu cerita baru yang sampai ke telinga Joyah kelmarin. Tengah menggelegak lagilah ni kiranya, cerita panas terbaru.

Kata sumber yang menyuruh Joyah percaya 100 peratus kata-katanya itu, kekeruhan itu sengaja ditutup sebab belum masanya untuk pasangan berkenaan mengumumkannya. Itu sebabnya mereka merahsiakan.

Entahlah! Yang mana satu hendak percaya, Joyah sendiri keliru sebenarnya. Yang pasti sumber Joyah turut menyampaikan Jasmin kini sedang intim dengan seseorang berpangkat Datuk di Kuala Lumpur.

Katanya, hubungan itu dilihat agak istimewa dan Jasmin juga khabarnya cukup bahagia dengan perhubungan baru itu. Itulah mulut orang, tak boleh tutup. Joyah sangka baik bila si penyampai memberitahu cerita itu. Mungkin Datuk yang rapat dengan Jasmin itu penerbit drama atau filem. Bila ada bisnes yang hendak dikongsikan, tentulah selalu berjumpa.

Ini buat orang membuat tanggapan pelbagai sedangkan antara mereka tak ada apa-apa pun. Apa pun rasa-rasanya selagi isu ini tidak jelas, orang akan terus bertanya. Kepada Jasmin, Joyah harap bersabarlah. Memang dunia artis ni, tak boleh lari dari sebarang prasangka. Juga tidak boleh lari dari kenyataan dan kebenaran meskipun manusia cuba untuk melindunginya.

Powered by Utusan Malaysia

Stesen TV Mana Akan Monopoli Hadiah ASA 2005?

10 Mar

Oleh ABD. AZIZ ITAR

SALAH satu adegan menarik drama Sutun.

ANUGERAH Seri Angkasa (ASA) mula dicetuskan oleh Kementerian Penerangan Malaysia pada 1972 dan ia merupakan anugerah berprestij yang mengiktiraf para penggiat penerbitan program-program radio dan televisyen terbitan RTM sahaja.

Bagaimanapun, mulai tahun lalu, kementerian itu membuka peluang kepada stesen-stesen penyiaran tempatan yang lain untuk turut serta mempertandingkan hasil penerbitan warga kerja masing-masing.

Ternyata peluang itu tidak disia-siakan dan ia mendapat sambutan dan kerjasama menggalakkan. Sejak itu, ASA mula mempertandingkan hasil kerja stesen-stesen penyiaran bukan sahaja RTM tetapi juga Astro, TV3, ntv7, 8TV, Star fm, Best 104, Cats fm, AMP, Manis fm dan IKIM fm.

Ini sekali gus menjadikan ASA bukan setakat medan untuk mempertandingkan hasil kerja para penggiat bidang penyiaran tetapi juga menjadi medan persaingan di kalangan stesen-stesen penyiaran terbabit.

Trend itu dapat dilihat apabila setiap stesen penyiaran berlumba-lumba menghantar pencalonan karya terbaik terbitan masing-masing.

Perkembangan itu memperlihatkan peningkatan jumlah pencalonan daripada 439 pada tahun lalu kepada 757 pencalonan pada tahun ini.

Selain itu, jumlah anugerah juga meningkat dari 49 kategori pada tahun lalu kepada 60 kategori pada ASA 2005 yang akan berlangsung mulai malam ini dan malam esok di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

ASA secara tidak langsung memperlihatkan penguasaan sesebuah stesen penyiaran.

Kelebihan itu tentunya berpihak kepada RTM memandangkan stesen penyiaran milik kerajaan itu memiliki saluran radio dan televisyen terbanyak berbanding stesen lain.

RTM, misalnya, mempunyai dua saluran TV iaitu TV1 dan TV2 selain 32 saluran radio yang tentunya mempunyai ramai tenaga kerja dan jumlah program yang diterbitkannya.

Sama seperti tahun lalu, ASA kali ini sekali lagi memperlihatkan RTM menerima pencalonan tertinggi iaitu 66 pencalonan berbanding Astro (31), TV3 (39), ntv7 (12), 8TV (11), Star fm (9), Best 104 (15), IKIM fm (2), manakala Cats fm dan Manis fm pula tiada pencalonan.

Tahun lalu RTM yang menerima pencalonan terbanyak telah meraih lebih separuh anugerah ASA daripada keseluruhan kategori yang dipertandingkan.

Antara anugerah yang dimenangi oleh RTM pada ASA 2004 ialah Penyampai Berita TV Terbaik yang dimenangi oleh Norasikin Abdul Rahman, Penyampai Berita Radio Terbaik (Noraini Ibnu), Drama Bersiri TV Terbaik (Sumayyah), Komedi Bersiri TV Terbaik (Ada-Ada Saja) dan Pengulas Sukan TV Terbaik (Hasbullah Awang).

Bagaimana pula dengan ASA 2005? Mampukah RTM membolot lagi anugerah yang diiktiraf oleh kerajaan itu?

Calon-calon manakah yang mampu memberikan saingan dan seterusnya menggondol hadiah berupa wang tunai dan trofi pada ASA kali ini?

Perlu diingat, walaupun RTM masih menerima banyak pencalonan dalam hampir keseluruhan kategori yang dipertandingkan, tetapi saingan tahun ini lebih sengit.

Stesen TV3 dan Astro adalah antara saingan terdekat RTM. Kedua-dua stesen TV swasta itu tahun ini dilihat membariskan calon-calon yang berpotensi tinggi menggondol sebanyak mungkin anugerah utama ASA walaupun kuantiti pencalonannya tidak sebanyak RTM.

Sebagai contoh, lihat sahaja anugerah utama ASA 2005 iaitu kategori Anugerah Drama TV Terbaik. Ia menyenaraikan RTM menerima tiga pencalonan iaitu drama Sutun, Anak Penarik Beca dan Bila Tsunami Melanda. Tetapi Astro mencalonkan satu sahaja dramanya iaitu Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan. Begitu juga TV3 yang mencalonkan Neraka Cinta.

Sutun yang menampilkan kisah masalah identiti remaja dan Anak Penarik Beca yang sarat dengan mesej kesedaran terhadap nilai kekeluargaan tidak mustahil mampu menarik minat panel juri.

Bagaimanapun, Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan yang dilakonkan oleh Safura Yaacob sarat dengan kisah dilema seorang wanita dan tema itu tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja.

Peluang cerah untuk Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan muncul sebagai pemenang bagi kategori tersebut apabila Safura menerusi drama itu turut dicalonkan sebagai Pelakon Wanita TV Terbaik.

Kategori Anugerah Pelakon Lelaki TV Terbaik pula mungkin akan menimbulkan kejutan. Saingan tiga finalisnya iaitu Rosyam Nor menerusi drama Sehelai Selendang Sutera (TV3), Nasir Bilal Khan (Sayangku Salina 2 – TV3) dan Wan Hanafi Su (Anak Penarik Beca – RTM) nampaknya begitu sengit.

Bagi kategori ini, lakonan Wan Hanafi Su sebagai ayah dan pengayuh beca tua mampu mengejutkan banyak pihak.

Sementara itu, kemenangan bagi kategori Anugerah Pengacara TV Terbaik diramalkan berpihak kepada Astro apabila stesen TV itu mencalonkan Aznil Nawawi, Linda Onn dan Jason Yeoh bagi bersaing dengan Norzie Pa’wan Chik (TV3) serta Dylan Liong (8TV).

Aznil nampaknya tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan anugerah yang dimenanginya pada tahun lalu walaupun dia sendiri tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk menggondol anugerah itu memandangkan penilaian juri berdasarkan hasil kerja setiap calon dan bukannya populariti.

ASA 2005 mungkin bakal menimbulkan beberapa kejutan dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Kita tunggu sahaja keputusan, kejutan dan kemeriahan anugerah berprestij itu yang diiktiraf oleh kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan dunia penyiaran tempatan.

ASA 2005 yang menyediakan 60 anugerah menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM515,000 berserta trofi.

Drama TV Terbaik

RTM – Satun

Astro – Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan

RTM – Anak Penarik Beca 2

TV3 – Neraka Cinta

RTM – Bila Tsunami Melanda

Pengarah Drama TV Terbaik

RTM – Harun Salim Bachik (Bila Tsunami Melanda)

TV3 – Erma Fatima (Neraka Cinta)

RTM – Shahrul Azad Mohameddin (Sutun)

Astro – Jurey Latiff (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)

RTM – Fauziah Abdul Rahman (Sanggar Madu)

Drama TV Bersiri Terbaik

Astro – Dalam Hati Ada Cinta

RTM – Haryati 2

TV3 – Inspirion

RTM – Dan Di Situ Ada Doa

RTM- Usia

Pelakon Wanita TV Terbaik

Astro – Safura (Hari-Hari Terakhir

Seorang Perempuan)

RTM – Fauziah Nawi (Daun Ketupat Kering)

TV3 – Azizah Mahzan (Tasbih Bergerak Di Jarinya)

RTM – Wan Maimunah (Ratu Hatiku)

RTM – Intan Azura (Bila Tsunami Melanda)

Pelakon Lelaki TV Terbaik

TV3 – Rosyam Nor (Sehelai Selendang Sutera)

RTM – Ku Mohd. Yusri Ku Ab. Rahman (Sutun)

TV3 – Nasir Bilal Khan (Sayangku Salina 2)

RTM – Harun Hashim (Bila Tsunami Melanda)

RTM – Wan Hanafi Su (Anak Penarik Beca)

Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik

RTM – Rusdi Ramli (Daun Ketupat Kering)

Astro – Faizal Yusof (Surat Dari Bulan)

RTM – Mohd. Hanis Kamal (Anak Penarik Beca)

RTM – Kazaruddin Saisi (Sutun)

Astro – Sharonizam (Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan)

Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik

TV3 – Azean Irdawaty (Kesetiaan)

RTM – Rosnah Johari (Sutun)

RTM – Azizah Mahzan (Darling… Aku Benci Tapi Rindu)

TV3 – Fauziah Nawi (Titik-Titik Noda 2)

RTM – Linda Hashim (Bila Tsunami Melanda)

Hiburan Bersiri TV Terbaik

Astro – Konsert Akademi Fantasia 3 Minggu Ke-3

RTM – Zoom In Bersama Sheila Majid

TV3 – Mentor Episod 7

Astro – Macam-Macam Aznil

RTM – Zoom In Bersama Noraniza Idris

Pengacara TV Terbaik

TV3 – Norzie Pak Wan Chik

Astro – Jason Yeoh

Astro – Linda Onn

8TV – Dylan Liong

Astro – Aznil Nawawi

Program Realiti TV Terbaik

Astro – Diari Akademi Fantasia 3 Musim Ke-3

TV3 – Explorace

8TV – Malaysian Idol Musim Ke-2

TV3 – Malaysian Top Host

TV3 – Mencari Cinta

Pelakon Lelaki Komedi TV Terbaik

Astro – Saiful Apek (Gitulah Raya)

RTM – Sathiya (Kopikau)

TV3 – Abu Bakar Omar (Mejar Tamrin)

RTM- Sabri Yunus (Salam Pantai Timur)

Astro – Hamid Gurkha (Barat Ke Timur)

Pelakon Wanita Komedi TV Terbaik

TV3 – Aliza Abdullah (Labuna Labuni)

RTM – Nik Sayyidah (Salam Pantai Timur)

TV3 – Didie Alias (Labuna Labuni)

RTM – Jasmin Hamid (3T 3 Dara)

TV3 – Shiela Rusly (Kiah Katering)

Komedi TV Bersiri Terbaik

RTM – 3T 3 Dara (Siri 2)

RTM – Ngam Kecewa

RTM – Salam Pantai Timur

TV3 – Senario

DJ Radio Wanita Terbaik

KL fm (RTM) – V. Prema

Star Rfm – D.J. Lim

MY fm (AMP) – Wan Wai Fun

Labuan fm (RTM) – Wahidah Mohd. Yaacob

Muzik fm (RTM) – Noraznita Noran

DJ Radio Lelaki Terbaik

Perlis fm (RTM) – Mohd. Shah Hashim

MY fm (AMP) – Jack Lim Teik Yin

KL fm (RTM) – Mohd. Azlam Omar

KL fm (RTM) – Kzie Kamarulzaman

Klasik fm (RTM) – Izani Zakaria

Powered by Utusan Malaysia

Mya Zara Drama Terbaru Samarinda

19 Jan

Oleh Nor Fadzilah Baharudin

Setelah hampir dua tahun menyiarkan slot Samarinda yang mendapat sambutan hangat daripada para penggemar drama bersiri televisyen, TV3 sekali lagi tampil dengan drama terbaru berjudul Mya Zara yang mula disiarkan setiap Selasa hingga Khamis pukul 10.30 malam.

Memandangkan slot Samarinda sentiasa mengumpul jumlah penonton yang tinggi, TV3 yakin Mya Zara juga mampu menarik minat penonton sama seperti drama-drama terdahulu.

Pengurus Besar Kumpulan Khidmat Jenama TV3, Farisha Pawanteh berkata, TV3 sentiasa mencari perubahan dalam setiap programnya.

“Kami yakin drama-drama begini mampu menarik sejumlah penonton yang ramai. Ini merupakan satu pemberian terbaik daripada TV3 untuk penggemar drama-drama Melayu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama Mya Zara di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mya Zara masih mengekalkan plot penceritaan kehidupan masyarakat Melayu dalam dunia korporat, pergolakan dan konflik keluarga di kalangan ahli-ahli perniagaan.

Drama terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) dan diarahkan oleh Feroz Khan ini membawa penonton menghayati kepayahan hidup seorang gadis yang bernama Mya Zara.

Mya Zara yang berasal daripada sebuah keluarga yang mewah mengalami keperitan hidup akibat perbuatannya enggan berkahwin dengan lelaki pilihan ayahnya.

Dia dihalau dari rumah oleh ayahnya dan di sinilah bermulanya konflik dalam diri Mya Zara untuk mencari kekuatan diri dan berdikari dalam meneruskan kehidupan tanpa sokongan dan kekayaan keluarganya.

Berkat kegigihan dan semangat yang cekal akhirnya Mya Zara mampu membina empayar perniagaannya sendiri.

Drama hebat lakonan Eja, Azhar Sulaiman, Syukery Hashim, Azean Irdawaty, Jasmin Hamid dan Azizan Nin ini sedang ditayangkan di TV3.

Powered by Utusan Malaysia