Archive | Achik Spin RSS feed for this section

Siapa Juara Bintang Klasik Nasional 2007?

3 Aug
FINALIS Bintang Klasik Nasional 2007. Barisan depan dari kiri: Mohd. Zaidi Zen, Muhaizam Ahmad, Muhaimin Azzahan, Mohamad Hasnul Hassan, Rahayudean Rahmat dan Fazrul Misran.Belakang dari kiri: Nadia Adha Mohd. Abid, Eliana Marfika Mokhtarudin, Fify Emelia Shazlin Murshaidi, Anis Salwa Alaluddin, Dayangku Nurul Fattihah Umi Qalthum Pengiran Zainal Abidin dan Nurliza Usup.

SERAMAI 12 peserta akan bertanding bagi merebut gelaran juara Bintang Klasik Nasional 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pukul 8.30 malam ini.

Pertandingan akhir yang disertai enam peserta lelaki dan enam peserta wanita dari zon timur, tengah, selatan, utara, Sarawak dan Sabah itu akan disiarkan secara langsung menerusi RTM1 dan Radio Klasik Nasional.

Pemenang bagi kategori lelaki dan wanita akan menerima wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan. Naib johan akan mendapat RM5,000, trofi dan sijil, tempat ketiga menerima RM3,000, trofi dan sijil sementara enam pemenang saguhati masing-masing akan mendapat RM1,000, trofi dan sijil.

Kesemua peserta akan mendendangkan lagu malar segar yang ditentukan oleh pihak RTM dengan iringan Orkestra RTM.

Sementara itu markah akan dinilai oleh juri profesional berdasarkan mutu suara (50 peratus), pengawalan suara (25 peratus) dan penghayatan (25 peratus).

Selain bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam nyanyian lagu-lagu lama, Bintang Klasik Nasional 2007 juga bertujuan untuk memberi pendekatan kepada rakyat tempatan agar menghargai khazanah lagu-lagu Melayu lama agar tidak pupus ditelan zaman.

Menariknya, juara lelaki dan wanita Bintang Klasik Nasional akan mewakili negara ke pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 yang melibatkan penyertaan juara dari Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia.

Pertandingan akhir Bintang Klasik Nusantara 2007 akan diadakan pada 7 September depan di PWTC pukul 8.30 malam.

Pada malam ini juga beberapa penyanyi undangan akan tampil memeriahkan pertandingan akhir Bintang Klasik Nasional 2007. Mereka ialah Ramli Sarip, Kopratasa, Sofaz, Achik Spin, Siti Nordiana, Siti Sarah, Haziq, Bob dan Velvet.

Powered by Utusan Malaysia

Kuiz Demam Bola Sempena Piala Dunia FIFA 2006

28 Mar

Oleh: WANDA IDRIS

SEMPENA Piala Dunia FIFA 2006 yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 9 Jun ini, RTM akan menyiarkan sebuah program game show yang diberi judul Demam Bola.

Muncul dengan konsep unik dan menghiburkan, Demam Bola merupakan sebuah program kuiz hiburan yang berkisar mengenai perlawanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Dihoskan oleh pelakon dan penyanyi AC Mizal, program terbitan Nafalia Corporation Sdn. Bhd. itu akan disiarkan di TV1 bermula 2 Mei hingga 12 Julai ini.

Program 31 episod yang disiarkan selama setengah jam setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis itu bakal menghiburkan para peminat bola sepak dengan aksi lucu para peserta dan artis jemputan.

Menurut Pengarah Operasi Nafalia Corporation, Mohd. Najib Jaafar, setiap peserta yang menyertai program itu bukan sahaja mempunyai pengetahuan yang luas mengenai perlawanan bola sepak dunia empat tahun sekali itu tetapi juga ceria dan aktif.

“Demam Bola merupakan satu anjakan paradigma dalam penerbitan game show tempatan. Konsepnya diilhamkan oleh pihak produksi membabitkan kos penerbitan hampir setengah juta ringgit,” kata Najib ketika ditemui selepas pelancaran program itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Zahid Hamidi di Finas, Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

Najib berkata, kira-kira 1,000 peserta datang untuk uji bakat program itu yang diadakan selama dua hari di Petaling Jaya, Selangor beberapa bulan lalu.

Namun hanya 16 kumpulan yang dipilih untuk meneruskan saingan dengan setiap kumpulan diwakili dua peserta dan seorang artis jemputan.

Kumpulan-kumpulan yang akan bersaing ialah Al-Kurawi, Viva, Jaring FC, Anak Belalang, Putrajaya FC, Rembat, Merah Bersatu, Rimba Bara, Deras, Biar Betul, Gol FC, Yeob FC, Jaguh, Romeo FC, Juara FC dan Jentayu, satu-satunya pasukan tunggal yang diwakili peserta wanita.

Sementara artis jemputan yang bakal memeriahkan Demam Bola ialah Mamat, Cat Ruffedge, Aidil AF3, Deja Moss, Dia Fadilla, Raja Azura, Angelina Tan, Sathiya, D-Va, Hans Isaac, Ezlynn, Pija Mentor, Arnieza Amir, Khadeeja, Achik Spin dan Siti Nordiana.

Kesemua 16 kumpulan itu perlu bersaing untuk mendapatkan tempat lapan terbaik bagi membolehkan mereka mara ke peringkat suku akhir.

Daripada lapan kumpulan, hanya empat kumpulan terbaik akan dipilih untuk meneruskan perjuangan ke separuh akhir. Kumpulan yang berjaya ke pertandingan akhir akan menerima pelbagai hadiah menarik dan wang tunai.

Kata Najib, pertandingan itu menyediakan hadiah utama iaitu peluang menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia antara tuan rumah Jerman dengan pasukan Costa Rica.

“Seorang calon bertuah (sama ada peserta atau artis jemputan) yang mendapat markah tertinggi pada siri program tersebut akan memenangi Kasut Emas tajaan Adidas.

“Pemenang kumpulan bukan sahaja berpeluang ke Jerman tajaan penerbangan Emirates malah diberikan wang poket sebanyak RM5,000 oleh Hotlink,” jelasnya.

Setiap peserta yang bergelar juara pula, selain akan menerima trofi daripada Nafalia Corporation, juga akan turut membawa pulang motosikal edisi terhad Moskito RX125 Fussball Fever tajaan MZ Motorrad Sdn. Bhd. selain tiket penerbangan ke Jerman tajaan Emirates, jam tangan Orient tajaan A.D Time Sdn. Bhd. dan wang tunai sebanyak RM5,000.

Kumpulan yang menang tempat kedua pula akan menerima hadiah setiap seorang, tiket penerbangan ke Dubai, sepasang jam tangan Alain Delon dan wang tunai RM3,000.

“Pemenang pusingan pertama seramai 72 orang turut menerima pakej percutian daripada Glory Beach Resort, baucer Adidas, baucer Burger King dan pek permulaan edisi terhad Piala Dunia Hotlink,” kata Najib.

Menampilkan tiga segmen utama iaitu Sepak Mula, Separuh Masa dan Masa Kecederaan, setiap segmennya disesuaikan dengan ciri-ciri perlawanan bola sepak.

“Menariknya, pada segmen Masa Kecederaan, pelbagai telatah lucu dapat dilihat apabila para peserta perlu bermain bola sepak dengan menutup mata.

“Sekiranya keputusannya adalah seri, maka Masa Tambahan akan diberikan kepada mereka untuk menentukan pemenang,” kata Najib.

Menurutnya, rakaman program tersebut telah dimulakan sejak 18 Mac lalu dan akan berakhir pada 25 Mac ini.

Mengenai pemilihan AC Mizal sebagai pengacara program itu, Najib berkata, syarikatnya telah membuat pilihan yang tepat.

“AC Mizal bukan sahaja seorang pengacara yang bersahaja dengan lawak selambanya tetapi dia juga merupakan seorang peminat bola sepak yang mempunyai pengetahuan yang luas,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Benang Emas Album Duet Nana Dan Achik

21 Dec

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

SEKARANG ini Nana sibuk mempromosikan album duet keduanya bersama Achik Spin, Benang Emas, yang telah berada di pasaran sejak Isnin lalu.Kali terakhir Nana merakamkan album duet dengan Achik adalah pada tahun 2003 menerusi album Istimewa Untukmu yang dijual melebihi 100,000 unit.

Sambutan hebat yang diberikan terhadap album tersebut mendorong pihak FMC menghasilkan album duet seterusnya.

KKAlbum Benang Emas yang berkonsep pop itu menampilkan lima lagu baru dan lima lagu lama. Antara lagu lama yang dipilih untuk dendangan Nana dan Achik ialah Aci-Aci Buka Pintu, Antara Matamu dan Mataku, Bersama Pertemuan Ini, Mari Bermain Tali dan Mungkinkah Terjadi.

KKKata Nana, kesemua lagu lama itu disusun semula muziknya oleh John Goh dan didendangkan mengikut gaya serta lenggok Nana dan Achik. Lagu yang paling disukai oleh Nana ialah Bersama Pertemuan Ini yang pernah dipopularkan oleh Francissca Peter dan Roy.

KKMenurut Nana, album yang telah dirakamkan sewaktu bulan puasa lalu menampilkan lagu Tatasuria ciptaan Aidit Alfin sebagai single terbaru. Sebelum ini lagu Benang Emas ciptaan Eddie Hamid berjaya menyertai pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 20.

KKKK”Nana dan Achik akan mula menjalani promosi Januari ini. Kami dijangka menjelajah ke seluruh negara termasuk Brunei,” ceritanya.

KKJelas Nana, dia tidak menghadapi masalah berduet dengan Achik kerana masing-masing sudah faham kehendak penerbitnya iaitu Eddie Hamid, Aidit Alfin, Patrick Kamis, Adinda Amirul dan John Goh.

KKNana yang sentiasa tersenyum sewaktu bercerita itu berkata, selain merancang perjalanan seni dia turut memikirkan masa depan.

“Nana perlu bekerja kerana tahun depan Nana berazam untuk membeli rumah sendiri. Sekarang ini Nana dan keluarga masih menyewa,” katanya terus terang.

Powered by Utusan Malaysia

Siti Nordiana – Terima Wang Hantaran RM17,000

30 Nov

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN

TERSENYUM MANIS… Siti Nordiana tenang menerima cincin pertunangan daripada ibu Faizal.

PADA 20 November lalu, Achik Spin melangsungkan perkahwinan. Beberapa hari selepas itu, penyanyi Syura pula bertunang. Ahad lalu (27 November), pasangan duet Achik, Nana atau nama sebenarnya Siti Nordiana pula melangsungkan pertunangan dengan Faizal Yusup,27, di rumahnya di Kuala Lumpur.

Pastinya ramai mengetahui, Nana telah hampir setahun berkawan dengan Faizal, pelakon drama Zarin Zarina, Atas Nama Cinta, Neon dan kini bakal muncul dalam filem baru, Gong.

Mengambil keputusan bertunang pada bulan kelahirannya, Nana dengan gembira bersyukur dengan apa yang telah ditakdirkan sambil menepis dakwaan sesetengah orang yang beranggapan ikatan pertunangannya terjadi untuk mengaburi kekecewaannya terhadap perkahwinan Achik yang pernah digosipkan dengannya.

“Saya dah tahu orang akan cakap macam tu. Sebenarnya saya tak rasa apa-apa. Saya tidak berniat begitu pun. Sebabnya saya memang tak rasa kecewa langsung apabila Achik kahwin. Malahan saya gembira lagi sebab gosip antara kami tidak akan diperkatakan lagi.

“Kebetulan tak sangka bulan ini Achik kahwin, Syura bertunang. Semuanya satu kebetulan. Saya memilih bulan ini sebab bulan kelahiran saya yang ke-21.

Asalnya nak buat masa hari jadi saya pada 22 November. Tapi tarikh tu jatuh pada hari Selasa. Orang ramai bekerja. Tak sesuai kalau nak membuat jemputan,” kata Nana yang nampak manis mengenakan pakaian tajaan Persona Butik dan dihias cantik oleh Aim pada petang itu.

Tambahnya lagi, keputusan untuk bertunang diambil kira selepas kedua-dua pihak berbincang bersama-sama.

“Saya fikir lebih baik bertunang daripada berkawan lama-lama. Keluarga kami pun menasihatkan lebih baik ada ikatan. Tak eloklah sebab kami selalu keluar sama. Lagipun rasanya saya pun tak nak main-main lagi. Benda baik apa salahnya disegerakan,” kata Nana yang enggan menyatakan tarikh perkahwinannya.

Majlis pertunangan berlangsung dengan meriah pada petang tersebut dengan dihadiri hampir 200 tetamu terdiri daripada saudara mara Nana, Faizal dan para peminat. Pihak lelaki hadir bersama rombongan 10 buah kereta.

Upacara menyarung cincin di jari manis Nana disempurnakan oleh ibu Faizal sendiri. Faizal yang berbaju Melayu sedondon hanya hadir seketika dan terpaksa pulang awal kerana mempunyai urusan lain.

Wakil Faizal membawakan 15 dulang barangan bertemakan biru serta wang hantaran RM17,000 dan dibalas oleh pihak perempuan 13 dulang barangan berwarna merah dan putih.

Apa pun sekalung tahniah MEGA ucapkan kepada pasangan tersebut kerana bijak memilih untuk membina sebuah ikatan bagi melerai segala persoalan yang bermain di minda peminat selama ini. SELAMAT BERTUNANG!

Powered by Utusan Malaysia

Achik, Tasha Sama Cantik, Sama Padan

23 Nov

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

ACHIK, Tasha…Sama cantik dan sama padan.

Sama cantik dan sama padan itulah yang boleh dikatakan kepada pasangan pengantin muda ini. Achik Spin dan Tasha telah selamat diijabkabulkan pada Jumaat lalu dengan sekali lafaz di hadapan Imam Masjid Sungai Landak, Ampangan, Negeri Sembilan.

Dengan mas kahwin sebanyak RM48, anak kelima daripada 10 beradik ini memberikan wang hantaran RM15,000 dan barangan hantaran sebanyak sembilan dulang berbalas 13 dulang.

Ahad lalu, kedua-dua mempelai diraikan pada majlis persandingan di rumah keluarga lelaki. Pengantin tiba tepat pukul 1.45 petang disambut dengan iringan paluan kompang dan berzanji.

Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md.Shaari dan Tasha atau nama sebenarnya H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof tiba dengan penuh keceriaan pakaian pengantin berwarna merah jambu yang ditaja oleh T.H Collection.

Melangkah perlahan, kedua-duanya diiring duduk di atas pelamin yang sedia menanti di luar rumah. Ini memberi peluang kepada tetamu yang hadir, menyaksikan upacara menepung tawar mempelai.

Penuh adat istiadat, selesai upacara menepung tawar, Achik dan Tasha di bawa makan beradat pula.

Dianggarkan seramai 800 tetamu hadir pada majlis persandingan Achik di Seremban itu.

“Alhamdulillah, tetamu yang hadir melebihi dari yang dijangkakan. Terima kasih kerana hadir dan saya gembira dengan kedatangan semua pihak,” kata Achik dengan nada yang cukup gembira.

Para tetamu pada majlis itu turut dihiburkan dengan nyanyian dari anggota keluarga Achik. Sesekali dihiburkan juga dengan celoteh deejay yang tak jemu-jemu mengusik mempelai.

Mengakui cintanya pada Tasha sebagai cinta pandang pertama, kata Achik, dia bersyukur dengan kehidupannya kini.

“Pertama kali terpandangnya, hati saya tersentuh dan saya yakin dialah pilihan hati saya selain cantik di mata, banyak lagi yang menarik hati saya untuk memilih dia sebagai teman hidup saya,” kata Achik yang mengenali Tasha sejak tiga tahun lalu setelah diperkenalkan oleh abang Achik sendiri.

“Dengar-dengar syarikat rakaman saya, FMC mahu menaja bulan madu saya. Tapi belum ditentukan destinasinya. Tapi saya tak boleh nak berbulan madu jauh-jauh sebab paspot Tasha dah hilang.”

Begitu kata Achik ketika ditanyakan tentang perancangan bulan madunya ketika ditemui selepas majlis persandingannya.

Namun kata Achik, dia akan memilih satu destinasi yang menarik untuk dijadikan tempat bulan madunya.

“Buat masa ini saya akan menetap di Seremban dulu. Bulan depan baru saya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan karier saya seperti biasa.

“Lagipun album duet bersama Nana (Siti Nordiana) akan berada di pasaran. Insya-Allah pada hujung bulan ini,” kata Achik.

Powered by Utusan Malaysia