Archive | Ajai RSS feed for this section

Winnie Kok Kini Winnie K

31 Aug

SELEPAS lama menanti akhirnya dia muncul. Kali ini bukan sahaja dengan album baru malah dengan nama baru, Winnie K atau dahulu dikenali dengan nama Winnie Kok.

Kau Ada Di Sini merupakan album sulungnya dalam bahasa Melayu selepas menghasilkan tiga buah album Mandarin.

Diterbitkan di Indonesia oleh Trinity Optima Productions yang turut dinaungi penyanyi Rossa dan kumpulan Ungu, album ini mendapat sambutan memberansangkan di sana.

Lagu Aku Ada Di Mana juga merupakan single pertama Winnie yang dicipta oleh Dewiq yang menjadi siulan para pendengar di negara seberang.

Walaupun diterbitkan oleh syarikat di Indonesia, album ini memuatkan lagu-lagu ciptaan komposer terkenal tempatan antaranya Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Audi Mok dan Nurul.

Bertemakan cinta, 12 lagu dimuatkan dalam albumnya ini dengan kebanyakan lagu-lagu yang ditampilkan berentak rancak.

Antara lagu-lagu lain yang ditampilkan adalah Di Taman Magis, Sampai Bila, Kekasih Gelapmu, Cahayakan Cinta dan Tak Bisa Memilih.

Winnie turut berkolaborasi dengan Cat Farish, Shazee dan Caprice untuk lagu-lagu Keahirnya, Untuk Kita Bersatu dan Hatiku Tak Tahan Lagi.

Album: Kau Ada Di Mana – Winnie K

Edaran: Warner Music Malaysia

Utusan Malaysia

Terus Kekal Identiti Rap

26 Aug

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

KITA berjaya akhirnya. Kemenangan kumpulan One Nation Emcees (ONE) di konsert akhir Gang Starz 2 (GS2), malam kelmarin, bagai menebus kembali maruah negara selepas tahun lalu peserta tuan rumah tewas di gelanggang sendiri di tangan wakil Indonesia, The Lima.

Barangkali ada yang menganggap keputusan itu berat sebelah, namun biarkan mereka dengan andaian masing-masing. Apa yang nyata, kemenangan ONE yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu sesuatu yang cukup dinanti-nantikan rakyat negara ini dan ia keputusan yang ‘neutral’.

Mengapa dikatakan sebegitu rupa, kerana ONE bukan saja mendapat undian SMS (khidmat pesanan ringkas) penonton paling tinggi, malah turut meraih mata selesa juri profesional mewakili 50 peratus.

Dari segi persembahan, ternyata kumpulan ini mempunyai ramai penyokong setia dan ia terbukti setiap kali nama ONE dilaungkan pengacara, Fara Fauzana dan Faizal Tahir, ribuan penonton menjerit simbolik tanda sokongan mereka.

Kejayaan ONE ini sekali gus membenarkan mereka membawa pulang hadiah lumayan berupa wang tunai, AS$100,000 (RM330,000) berserta trofi dan kontrak rakaman.

Penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Kumpulan dianggotai Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 21, Nur Hasan Baias (Jojoe), 32, Mohd Norzaidi Edris (Zydee), 26, dan Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), 25, turut menerima hadiah sumbangan Hotlink selaku penaja rasmi iaitu wang tunai RM10,000 dan pakej pelancongan ke Bali atas sejarah yang dilakar mereka sebagai peserta paling banyak menerima undian SMS sepanjang empat bulan GS2 berlangsung.

Mimi mewakili peserta ONE berkata, walaupun gembira dengan kejayaan mereka, dia melihat kemenangan itu sebagai satu tekanan kerana sedar tanggungjawab bertambah berat selepas ini.

“Sebagaimana yang dijanjikan, kami akan meneruskan perjuangan dan merencanakan karier seni yang lebih serius. Namun, buat masa ini kami mengambil peluang untuk berehat selepas empat bulan bertungkus-lumus menjayakan program ini.

“Jika berpeluang merakamkan album, kami mahu mengetengahkan konsep krump & blues selain terus mengekalkan identiti kami sebagai kumpulan rap.

“Berhubung wang yang dimenangi, kami mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan selain membantu keluarga,” katanya.

Pada persembahan malam itu, ONE membawakan lagu Give It To You, Kuda Hitam, Madu & Racun dan Don’t Phunk With My Heart secara medley.

Bagaimanapun, gimik persembahan bersama penyanyi veteran, Datuk Jeffrydin menerusi lagu Kenanganku dan Mas Mona memperlihatkan daya kreativiti yang tinggi daripada kumpulan ini.

Sementara itu Farid berkata, secara keseluruhan GS2 mengalami peningkatan baik dari segi jumlah undian dan penonton jika dibandingkan tahun lalu.

“Banyak yang kita pelajari daripada musim lepas. Melalui pemerhatian kami berpuas hati dengan penganjuran musim ini. Ramai orang sudah kenal apa itu GS.

“Dari segi undian dan rating juga mengalami peningkatan 40 peratus. Undian untuk ONE misalnya, 30 peratus lebih tinggi dari peserta lain.

“Beberapa kumpulan berkemungkinan diserapkan ke dalam Prime World kerana mereka mempunyai bakat yang bagus dan kami sentiasa ingin mengikuti perkembangan mereka dari masa ke semasa.

“Bukan sekadar ONE saja tetapi juga kumpulan lain. Selain itu kami juga sedang mengintai syarikat rakaman yang mampu menawarkan kontrak terbaik buat bintang GS2,” katanya.

Dalam konsert akhir di Stadium Malawati, Shah Alam itu, setiap peserta diwajibkan mendendangkan dua lagu satu secara berkumpulan termasuk duet bersama artis jemputan. Secara keseluruhan, semua peserta memberi persembahan membanggakan.

Barangkali konsert akhir satu-satunya peluang yang tinggal untuk membuktikan kemampuan sekali gus meraih hadiah lumayan yang ditawarkan.

Bagaimanapun, kolobrasi kumpulan D’Reborn dan penyanyi sensasi Dayang Nurfaizah yang diberikan gelaran Beyonce Knowles Malaysia menerusi lagu Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy paling meninggalkan kesan.

D’Reborn dari Indonesia dan dianggotai Daniel Meskers Tomodok (Akung), 28, Raymond Colliam Loke (Monte), 22, Alexander C Nubatonis (Alex), 23 dan Marian Marcelona Christy (Christy), 23, turut mempertaruhkan lagu Because Of You, Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan.

Manakala, satu lagi kumpulan mewakili tuan rumah, Akasia memberi persembahan sengit dan penuh warna menerusi lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tidak Tahan duet bersama ratu etnik, Noraniza Idris.

Akasia dianggotai lima gadis manis, Noorhafizah Sulaiman (Cah), 20, Nurul Ramadhanis Ahmad (Nurul), 25, Siti Halijah Dolah (Et), 27, Suria Mawarni Ramlan (Suria), 26, dan Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), 22, turut memperdengarkan lagu Layar Batuta, Salam Terakhir, Destinasi Cinta dan Joget Siapa Dia.

Manakala, Paragon Child tampil dengan persembahan energetik bersama artis undangan mereka, Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie.

Pun begitu, persembahan peserta berasal dari Filipina dan dianggotai Julius C Lacandula (Julz), 20, Jerwin B Nicomedez (Ewen), 18 dan Rainner Melgarejo (RJ), 24, menerusi set ke-2 dilihat lebih menyerlah dari segi vokal.

Mereka menyampaikan lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Impossible Dream lebih baik sekali gus mendapat pujian positif dari juri terutamanya juri jemputan, Syafinaz Selamat.

Begitu juga dengan 3.5 yang dibarisi tiga gadis jelita dan seksi, Jelicca Mateo (Jeli), 24, Sherylad B Deza Virgen (Sharra), 27 dan Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), 28, yang tampil dengan persembahan mempesonakan berbanding konsert mingguan sebelum ini.

Paduan suara antara tiga wanita Filipina ini dengan Lah Ahmad menerusi lagu Ceritera Cinta dan Endless Love disampaikan penuh penghayatan.

Manakala untuk set kedua, 3.5 melontarkan vokal hebat mereka menerusi lagu Survivor, Power Of Love, De Ja Vu dan Proud Mary.

Juri yang terbabit di konsert final ialah Sheikh Haikal dan Ajai selaku juri tetap manakala Syafinaz dan Audi Gemora yang diterbangkan khas dari Filipina selaku juri jemputan.

Sistem penjurian masih mengekalkan format di konsert mingguan iaitu 50 markah daripada juri sementara 50 lagi SMS penonton.

Konsert yang dibanjiri lebih 12,000 penonton itu dihangatkan lagi dengan persembahan kumpulan Matta dari Indonesia yang membawakan lagu Ketahuan dan Playboy manakala juara GS musim pertama, The Lima memilih Buronan Cinta dan Separuh Masa.

Apa kata mereka

RJ (PARAGON CHILD) :

“MENGIMBAS kembali persembahan sebelum ini kami tidak berasa akan ke peringkat akhir apatah lagi persembahan kami sering mendapat kritikan juri. Pernah pada satu minggu kami berasa akan disingkirkan.

“Justeru, dapat bertahan sampai tahap ini sudah membuatkan kami gembira. Buat masa ini kami belum sempat membuat perancangan kerana masih menunggu peluang dan kalau boleh masih mahu berkarya di sini.

“Kami begitu seronok tinggal di Malaysia dan Datuk Farid juga ada memberitahu saya dia mahu membantu jika kami mahu bekerja di sini.”

ALEX (D’REBORN) :

“TENTU sekali terbit perasaan kecewa apabila tidak menang kerana seluruh keluarga dan peminat mengharapkan kami berjaya dalam program ini. Apakan pula kami bukan orang senang.

“Namun, peluang sampai ke peringkat ini pun sudah membuat kami bersyukur. Tambah menggembirakan, beberapa hari yang lalu kami ada menerima tawaran untuk melanjutkan karier seni di Malaysia. Bagaimanapun, semuanya masih dalam perbincangan.”

JELI (3.5) :

“3.5 sering hampir tersingkir namun kami berjaya bertahan sehingga konsert akhir. Walaupun sedar kedudukan SMS kami agak goyah namun itu tidak menghalang kami menyimpan impian untuk menang.

“Sekurang-kurang jika tewas pun secara bermaruah. Malam ini sebenarnya kami hanya ingin berhibur dan menghiburkan peminat dengan membawakan lagu yang cukup dekat dengan 3.5.

“Kesempatan ini terima kasih buat semua yang membimbing kami dan tahniah juga kepada ONE.”

Harian Metro

Gang Starz Siapa Jadi Pilihan?

24 Aug

Oleh WANDA IDRIS

ONE Nation Emcees, Akasia, D’Reborn, Paragon Child dan 3.5 – lima kumpulan, masing-masing dari Malaysia, Indonesia, Filipina akan berentap malam ini untuk menjadi yang terbaik dan seterusnya membolot hadiah berjumlah AS$100,000. Ini merupakan jumlah wang tunai paling lumayan pernah ditawarkan oleh sebuah program realiti terbitan tempatan.

Siapakah yang layak menjadi juara musim kedua Gang Starz? Adakah kumpulan dari Indonesia akan sekali lagi berjaya mengungguli pertandingan ini selepas kumpulan The Lima? Atau apakah musim ini kemenangan akan berpihak kepada kumpulan One Nation Emcees yang selalu tampil dengan persembahan penuh bertenaga?

Mungkin juga Paragon Child yang dianggotai oleh remaja comel dengan genre R&B akan memberi saingan bersama-sama Akasia dan 3.5 yang jelita?

Semuanya bergantung kepada persembahan yang ditampilkan pada malam ini yang akan disiarkan secara langsung di TV3 Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pukul 9 malam.

Dibandingkan musim pertamanya tahun lalu, finalis Gang Starz tahun ini nampaknya perlu bersaing sengit memandangkan jurang markah yang tidak jauh berbeza antara satu dengan lain.

Justeru agak sukar membuat ramalan terhadap kumpulan mana yang mampu membawa pulang wang kemenangan serta peluang rakaman album.

Perkara ini turut diakui penasihat vokal, Azmeer yang memberitahu, kelima-lima kumpulan yang berjaya ke peringkat akhir itu mempunyai harapan yang sama untuk bergelar juara.

“Tahun ini bukan macam tahun lalu yang kita nampak ada jurang antaranya finalis. Tahun ini standard kualitinya meningkat menyukarkan kita untuk meramal siapa juaranya.

“Apa yang pasti, siapa yang kreatif dengan penampilan persembahan yang mantap mempunyai peluang cerah untuk menang,” kata Azmeer pada sidang akhbar Gang Starz akhir, Selasa lalu.

Sememangnya, pada persembahan akhir nanti, setiap kumpulan bukan sahaja dikehendaki mempamerkan kolaborasi keharmonian vokal antara ahli kumpulan malah perlu kreatif dalam membuat susunan muzik bagi lagu yang dipilih.

Ia menjadi sebahagian unsur kreativiti yang akan dinilai oleh juri pada malam akhir yang memberikan 50 peratus markah kepada markah keseluruhan.

Selain itu gerak tari persembahan yang ditampilkan oleh setiap kumpulan juga memberi kelebihan untuk menerima undian daripada peminat yang mewakili separuh daripada jumlah permarkahan.

Justeru, suara, rupa dan kualiti seorang bintang akan dinilai malam ini oleh para juri dan peminat dalam usaha mencari yang terbaik untuk bergelar juara.

“Apa yang dimahukan pada persembahan itu nanti tentunya kelainan dari segi kreativiti mencorakkan sesebuah lagu yang dipilih mengikut identiti kumpulan masing-masing,” tambah Azmeer.

Dikatakan tiga kumpulan – One Nation Emcees, D’Reborn dan Paragon Child mempunyai harapan yang cerah pada pertandingan akhir malam ini memandangkan persembahan bertenaga yang ditonjolkan pada saban minggu.

Selain persembahan yang konsisten, masing-masing juga sering menerima pujian juri malah Shamimi Amalina Norhisham (Mimi) daripada One Nation Emcees mengakui, kumpulannya yang dikatakan pesaing rapat D’Reborn dan Paragon Child menjanjikan persembahan terbaik pada malam final nanti. Apalagi kerana kedua-dua kumpulan itu mempunyai tahap energi yang sama dalam persembahan dengan kumpulan One Nation Emcees.

Namun tegas Mimi, pembabitan kumpulan Akasia dan 3.5 juga tidak boleh diperlekehkan memandangkan keserasian keharmonian vokal antara anggotanya biarpun genre mereka berbeza.

“Kerana itu malam final nanti, kami hanya mahu memikirkan soal memberikan persembahan terbaik, menonjolkan muzik kami dan selebihnya, mahu gembira di atas pentas.

“Kalau nak dikatakan peluang, saya rasa kelima-lima kumpulan mempunyai peluang sama rata. Pun begitu, kami akui, semangat juang kami adalah 200 peratus untuk bersaing dengan kumpulan dari Indonesia dan Filipina yang selama ini terkenal dengan kehebatan vokal mereka,” kata Mimi.

Memperjuangkan irama hip hop, selain Mimi, One Nation Emcees turut dianggotai oleh Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe),

Anggota kumpulan Akasia juga bersikap optimis dan menganggap mereka mempunyai harapan yang sama dengan kumpulan lain untuk menang biarpun genre pilihan mereka lebih kepada pop etnik.

Ini kerana kekuatan dan kemantapan vokal dan persembahan yang sekata daripada semua finalis dan sejak berlatih seminggu yang lalu, mereka juga mendapat tips daripada penyanyi jemputan pilihan mereka, Noraniza Idris.

“Seperti kata Azmeer, peluang adalah sama rata dan kami menganggap kami juga mempunyai harapan untuk menang jika rezeki berpihak kepada kami,” kata Siti Halijah Dolah (ET) mewakili teman-temannya Suria Mawarni Ramlan (Suria), Ezdianie Hayatie Omar (Nanie), Nurul Ramadhanis Ahmad Khuzari (Nurul) dan Noorhafizah Sulaiman (Cha).

“Siapa yang tak mahu menang dan saya percaya semua finalis bekerja kuat untuk mendapatkan gelaran juara,” kata anggota Paragon Child, Bagi Paragon Child, Julius C. Lacunda (Julz) pula.

Namun mereka berpendapat, berada di kedudukan apa pun, yang penting, mereka mahu memberikan persembahan mantap dengan menjalani latihan pesat selain menjaga stamina melalui senaman termasuk berjogging dan berenang.

D’Reborn pula mengakui sukar menjangkakan siapa yang mampu menduduki carta teratas pada malam final itu nanti memandangkan markah juri dan peminat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan talian tetap agak rapat antara satu sama lain.

Pun begitu, jika kemenangan berpihak kepada mereka, D’Reborn yang dianggotai oleh Alexander C. Nubatonis (Alex), Daniel Meskers Tomodok (Akung), Marian Marcelona Christy (Christy) dan Raymond Colliam Loke (Monte) telah menyimpan impian untuk mendermakan sebahagian daripada jumlah wang kemenangan kepada Sekolah Menengah Desa Cempaka, Nilai, bagi membantu pelajar kurang upaya di sekolah itu menjayakan projek Smart Agriculture Techno System.

Sementara dalam usaha memberikan persembahan terbaik mereka, tiga jelitawan 3.5 – Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef), Sherylad B. Deza Virgen (Sharra) dan Jellica Mateo (Jeli) – mengakui sejak berjaya ke peringkat akhir, mereka sudah mula membuat persiapan rapi.

Selain mengadakan latihan yang bersungguh-sungguh, 3.5 juga mula membuat latihan untuk meningkatkan stamina selain menjaga pemakanan masing-masing.

“Ini peluang sekali seumur hidup. Pastinya kita mahu memberikan hanya yang terbaik,” kata Sharra yang mahu mempamerkan kelebihan masing-masing dalam usaha mencari markah penjurian tertinggi daripada juri dan penonton.

Pada malam ini, setiap finalis dikehendaki memberikan persembahan untuk dua buah lagu masing-masing didendangkan bersama kumpulan dan secara duet bersama artis jemputan.

Dalam usaha memberikan karya muzik mantap, One Nation Emcees memilih Datuk Jeffrydin sebagai artis undangan mereka dengan lagu pilihan Mas Mona dan Kenanganku. Bagi mereka, memilih lagu lama untuk diberi susunan muzik berkonsepkan hip hop adalah lebih mudah berbanding lagu-lagu masa kini malah Jeffrydin sendiri merupakan artis pujaan mereka.

“Beliau juga seorang yang sangat optimis selain amat memberikan kebebasan kepada kami dalam usaha memberikan nafas baru kepada lagu-lagunya,” kata Mimi. Bagi persembahan berkumpulan solo pula, One Nation Emcees memilih lagu-lagu Kuda Hitam, Madu Dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart.

Paragon Child pula memilih Ezlynn memandangkan artis popular itu adalah antara artis yang mampu menyanyi dan menari dengan baik selain mahu menjadikannya penyeri.

Memilih lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie bagi kolaborasi mereka bersama Elzynn, lagu Seribu Tahun, It’s Gonna Be Me dan Imposibble Dream pula menjadi pilihan bagi lagu berkumpulan.

Lah V.E pula menjadi pilihan 3.5 sebagai artis jemputan dengan memilih lagu-lagu Ceritera Cinta dan Endless Love untuk kategori duet manakala solo berkumpulan pula lagu-lagu Power Of Love, Deja Vu dan Proud Mary.

D’Reborn yang memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan untuk kategori berkumpulan solo bakal berkolaborasi dengan Dayang Nurfaizah dengan lagu pilihan Seandainya Masih Ada Cinta, London Bridge dan Baby Boy.

Sementara Akasia yang memilih Noraniza Idris bakal berduet lagu Ting Ting, Dondang Dendang dan Hatinya Tak Tahan dan memilih lagu Salam Terakhir, Destinasi Cintan dan Joget Siapa Dia untuk lagu persembahan berkumpulan.

Sementara itu, penerbit Gang Starz musim ini, Mohamad Suffian Isa memberitahu, talian undian sudahpun dibuka sejak malam 17 Ogos lalu dan bakal ditutup sehingga konsert akhirnya malam ini.

Diacarakan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana, juri tetap iaitu Ajai dan Sheikh Haikel akan memberikan ulasan dan markah di samping dua dua juri jemputan dari Malaysia dan Filipina.

Konsert akhir ini juga bakal disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda dengan dua artis undangan iaitu kumpulan The Lima dan Matta.

Menurut Suffian, setiap peserta final akan diberikan masa selama lima minit setengah untuk setiap persembahan dengan pemilihan artis jemputan adalah atas pilihan finalis sendiri.

Malah lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah pilihan masing-masing selepas mendapat pandangan daripada penasihat.

“Kita juga berbangga kerana artis jemputan memberikan komitmen terbaik mereka untuk menjayakan latihan bersama peserta akhir,” kata Suffian.

Suffian juga menjelaskan tidak dapat membawakan wakil semua negara bagi menjadi juri pada konsert akhir namun menegaskan juri yang dipilih akan bersifat neutral daripada segi penilaian dan pemarkahan.

Utusan Malaysia

Kumpulan Malaysia Juara Gang Stars Musim Kedua

24 Aug

25/08/2008 12:16am

SHAH ALAM 24 Ogos – Kumpulan dari Malaysia, One Nation Emcees berjaya menjadi juara Gang Starz musim kedua dengan membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$100,000 (RM325,545) dalam pertandingan akhir yang diadakan di sini malam ini.

Kejayaan kumpulan itu sekali gus meleburkan harapan dan impian empat kumpulan lain iaitu Akasia dari Malaysia, 3.5 dan Paragon Child (Filipina) serta D’Reborn (Indonesia) untuk bergelar juara.

Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan.

Tahun lalu, menyaksikan kumpulan trio dari Indonesia, The Lima berjaya dinobatkan sebagai juara sulung program realiti terbitan TV3 itu.

Dalam konsert akhir itu, One Nation Emcees berjaya memberikan persembahan yang cukup menarik sehingga mampu menarik perhatian pengundi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mewakili 50 peratus daripada jumlah markah keseluruhan.

Selebihnya, adalah hasil markah yang diberikan oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Sheikh Haikel serta dua juri undangan iaitu Syafinaz Selamat dari Malaysia dan Audie Gemora (Filipina).

Kumpulan yang dianggotai oleh Shamimi Amalina Norhisham atau Mimi, Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) itu membuat persembahan menerusi rangkaian lagu-lagu seperti Kuda Hitam, Madu dan Racun serta Don’t Phunk With My Heart.

Bukan itu sahaja, mereka turut berduet bersama Jeffrydin untuk lagu Mas Mona dan Kenanganku.

Konsert akhir itu turut diserikan dengan persembahan daripada kumpulan The Lima dan juga kumpulan dari Indonesia, Matta.

Gang Starz musim kedua yang dihoskan oleh Faizal Tahir dan Fara Fauzana itu telah mula bersiaran sejak 18 Mei lalu dan menyaksikan PZG menjadi kumpulan pertama disingkirkan seterusnya diikuti dengan Faith, Brown Tone, South Trio, Step, 3 Voices dan D’Raz.

Selain Malaysia, Singapura serta Indonesia, Filipina dan Thailand merupakan dua buah negara yang buat pertama kalinya beraksi dalam Gang Starz musim ini.

Utusan Malaysia

Siapa Juara Gang Starz 2?

22 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


LIMA kumpulan yang akan berentap pada konsert akhir Gang Starz 2.

SETELAH empat bulan mengharungi pelbagai rintangan, lima kumpulan iaitu One Nation Emcees, D’Reborn, Paragon Child, 3.5 dan Akasia bakal berentap di pentas akhir Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) Ahad ini.

Berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, kelima-lima mereka harus tampil terbaik bagi merebut hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM325,545).

D’Reborn yang merupakan wakil tunggal Indonesia terpaksa menggalas cabaran besar apabila ditentang hebat oleh masing-masing dua buah kumpulan dari Malaysia serta Filipina.

Malaysia diwakili One Nation Emcees serta Akasia manakala Filipina pula dengan Paragon Child dan 3.5.

Siapa bakal bergelar juara tiada yang tahu namun undian sudah pun dibuka bagi membolehkan orang ramai mengambil bahagian memilih kumpulan berbakat untuk menaiki tangga juara.

Untuk persembahan akhir ini, setiap kumpulan diberi tanggungjawab membuat tiga persembahan iaitu persembahan pengenalan, secara kumpulan dan duet bersama artis jemputan.

Paragon Child contohnya memilih untuk berduet dengan Ezlynn menerusi lagu Hi Hi Bye Bye dan Hips Don’t Lie manakala 3.5 (Lah V.E – Ceritera Cinta/ Endless Love), D’Reborn (Dayang Nurfaizah – Seandainya Masih Ada Cinta/ London Bridge/ Baby Boy), One Nation Emcees (Datuk Jeffrydin – Mas Mona/ Kenanganku) dan Akasia (Noraniza Idris – Ting Ting/ Dondang Dendang/ Hatinya Tak Tahan).

Persembahan kumpulan pula, D’Reborn memilih lagu Taman Rashidah Utama dan Roman Picisan diikuti One Nation Emcees (Kuda Hitam/ Madu Dan Racun/ Don’t Phunk With My Heart), Akasia (Salam Terakhir/ Destinasi Cinta/ Joget Siapa Dia), Paragon Child (Seribu Tahun/ It’s Gonna Be Me/ Imposibble Dream) dan 3.5 (Power Of Love/ Deja Vu/ Proud Mary).

Menariknya, juara Gang Starz musim pertama, The Lima diberi penghormatan membuat persembahan pembukaan di samping kumpulan Matta yang akan menyanyikan dua buah lagu iaitu Jatuh Cinta Lagi dan Ketahuan ketika selingan sebelum pengumuman pemenang.

Menurut Penerbit Gang Starz 2, Mohd. Sufian Isa, bagi juri akhir nanti, pihaknya masih mengekalkan Ajai dan Sheikh Haikel di samping dua lagi juri jemputan dari Malaysia serta Filipina.

“Persiapan telah dilakukan dengan rekaan pentas khas serta layar skrin lebih besar. Untuk itu, kita mengharapkan orang ramai dapat hadir ke Stadium Malawati bagi memeriahkan konsert akhir Gang Starz.

“Konsert akhir ini akan disiarkan ke Filipina dan Indonesia melalui siaran tertunda,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Jelas Mohd. Sufian, untuk konsert akhir, pemilihan lagu dan artis jemputan dilakukan sendiri oleh setiap kumpulan meskipun ia cukup terhad terutama bagi Paragon Child dan 3.5.

“Sungguhpun begitu, menerusi konsert Jom Heboh yang disertai, mereka mampu membuat pilihan bagi artis yang mengadakan persembahan pada konsert berkenaan.

“Latihan bersama artis jemputan berjalan dengan baik dan untuk konsert akhir ini, kita lebih menekankan kreativiti dan bukannya meniru bulat-bulat penyanyi asal,” ujarnya.

Bagi Azmeer yang telah bersama Gang Starz 2 sejak awal lagi pula, kualiti setiap peserta untuk musim ini adalah tinggi.

Justeru, katanya, agak sukar baginya untuk meramalkan siapa yang bakal menjuarai Gang Starz 2.

Sementara itu, Hits berkesempatan menemu bual setiap kumpulan yang akan berentap di pentas akhir Gang Starz 2 ini.

Selain bertanyakan debaran menanti konsert akhir dan persiapan, setiap kumpulan turut ditanya mengenai apa yang akan dilakukan dengan wang sebanyak AS$100,000.

Ada yang ingin menyambung pelajaran, melancong dan menderma, tidak kurang, ada juga menyimpan hasrat untuk menamatkan zaman bujang seperti Daniel Meskers Tomodok atau Akung dari D’Reborn.

Utusan Malaysia

Gang Starz Tak Lupa Kerja Amal

20 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my


FAIZAL Tahir memulakan persembahan Konsert Amal Gang Starz 2 dengan lagu Sampai Syurga di Shah Alam, Selangor Ahad lalu.

SABAN minggu melihat mereka beraksi di konsert sebelum bertanding pada peringkat akhir, Ahad ini, krew produksi termasuk peserta Gang Starz musim kedua (Gang Starz 2) berkesempatan melakukan kerja-kerja amal.

Bertujuan mengisi dana bagi membantu insan yang memerlukan, pujian harus diberikan kepada mereka atas kepekaan terhadap soal kebajikan sekalipun sibuk melakukan persiapan di konsert akhir.

Bermula dengan kerja-kerja amal mencuci kereta di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur yang berlangsung pada 9 Ogos lalu, aktiviti selama dua jam itu sebagai kempen memungut dana untuk membiayai rawatan pesakit di Institut Jantung Negara (IJN).

Selain lima finalis iaitu One Nation Emcees, D’Reborn, 3.5, Paragon Child dan Akasia, ia turut disertai kumpulan D’Raz serta pengacara Gang Starz 2, Faizal Tahir.

Tidak cukup dengan itu, pada 13 Ogos pula, D’Reborn dan One Nation Emcees memikul tanggungjawab tersendiri dalam menjayakan aktiviti amal masing-masing.

D’Reborn yang dibarisi Alexander C. Nubatonis atau Alex, Marian Marcelona Christy (Christy), Raymond Colliam Loke (Monte) dan Daniel Meskers Tomodok (Akung), telah dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Cempaka, Nilai, Negeri Sembilan.

Bersama-sama dengan pelajar kurang upaya, mereka menyertai Maxis Cyberkids-2 Camp dalam membantu membersihkan tapak bagi projek Smart Agriculture Techno System (SATS).

Projek itu melibatkan penciptaan satu sistem pengaliran yang dicipta khas bagi memudahkan golongan kurang upaya melibatkan diri dalam tanaman hidroponik.

Bagi One Nation Emcees pula, mereka diterbangkan khas ke Kuching, Sarawak bersama krew program Bersamamu untuk melihat sendiri bagaimana keperitan hidup sebuah keluarga di Sebuyau.

Sepanjang berada di sana, Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae), Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), Mohd. Norzaidi Edris (Zydee) dan Nur Hasan Baias (Jojoe) membantu krew penerbitan menjayakan rakaman Bersamamu yang akan ditayangkan pada Ramadan nanti.

Program amal kemudiannya berterusan menerusi Konsert Amal Gang Starz yang berlangsung di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam, Shah Alam, malam Ahad lalu.

Meskipun konsert yang dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu mendapat saingan penyiaran perlawanan akhir badminton Sukan Olimpik Beijing 2008 antara Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China, apa yang penting adalah matlamat mengisi tabung kebajikan tercapai.

Konsert amal itu dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Faizal Tahir menerusi lagu Sampai Syurga diikuti The Lima (Kau Ada Dia) dan Paragon Child (You’re Beautiful).

Lain-lain kumpulan yang mengadakan persembahan adalah Flava (Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk), Akasia (Tak Tercapai Akalmu), Atilia (Selalu Denganmu), 3.5 (Hero), One Nation Emcees (Dua Dunia/ Karma) dan D’Reborn (Imagine/ Heal The World).

Menariknya, konsert terbabit menampilkan persembahan istimewa daripada tenaga pengajar seperti Azmeer dan Sazlan (koreografer).

Juga kepada juri iaitu Ajai dan Sheikh Haikel, sekian lama mengkritik dan memberikan jumlah pungutan bintang, mereka tidak ketinggalan menyumbang lagu pada malam itu.

Ajai berduet bersama Christy (D’Reborn) dengan lagu Maafkan Cinta manakala Sheikh Haikel (Witula).

Penerbit Gang Starz 2, Mohd. Sufian Isa berkata, konsert amal itu diterbitkan dengan hasrat memberi peluang kepada orang ramai menderma.

Ia juga, katanya, turut memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta menjalankan aktiviti kebajikan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.

Ceritera konsert akhir Gang Starz 2

Sementara itu, Mohd. Sufian yang ditanya mengenai konsert akhir nanti berkata, ia pasti menjanjikan saingan sengit kerana membariskan lima kumpulan hebat.

Ujarnya, konsert akhir akan memperlihatkan pelbagai warna persembahan antaranya Akasia berkonsepkan etnik kreatif, One Nation Emcees (hip hop) dan D’Reborn (R&B).

Berkenaan kualiti pula, jelasnya, buat masa ini, kesemua kumpulan dilihat masih belum menunjukkan taring masing-masing.

“Kita dapati mereka belum dapat menyanyi dengan baik di depan orang ramai. Oleh itu, saya berharap mereka dapat mengatasi masalah tersebut pada konsert akhir nanti.

“Kumpulan yang beraksi di konsert akhir semuanya hebat dan kita tidak dapat mengagak siapa bakal juara,” katanya sambil menambah sebanyak 15,000 keping tiket sudah dicetak untuk konsert akhir.

Kata Mohd. Sufian, konsert akhir tidak mempunyai konsep namun ia terbahagi kepada dua iaitu persembahan kumpulan dan persembahan bersama artis jemputan masing-masing.

“Konsert akhir bakal menjanjikan persembahan terbaik setiap kumpulan dan kita berharap agar orang ramai dapat berhimpun di Stadium Melawati, Shah Alam Ahad ini,” jelasnya.

Utusan Malaysia

Marsha Cari Pengurusan Baru?

4 Aug

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
liza.zakaria@utusan.com.my


KOLABORASI… Duta Tinge, Spritzer, Marsha dan Rynn Lim.

NAMA Marsha Milan Londoh bukan lagi asing di kalangan peminat seni hiburan tanah air. Mula dikenali sejak menyertai program realiti yang cukup fenomena iaitu Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), pesona gadis manis berketurunan Kadazan – Dusun itu sehingga kini masih lagi utuh.

Tiga tahun menggenggam gelaran sebagai artis yang dipayungi pengurusan Maestro Talent, Marsha kini lebih memahami tentang asam garam hidup sebagai individu yang sering menjadi perhatian umum.

Berdepan dengan pelbagai kerenah peminat serta pernah menjadi buah mulut orang terutama berkaitan kisah cinta ‘tidak menjadi’ dengan jejaka satu akademi dengannya iaitu Kefli, Marsha tidak mudah melatah.

Malah, dijadikan iktibar untuk lebih berani melangkah sebagai artis yang punya matlamat.

Perjalanan seni gadis berusia 23 tahun itu kini bukan sahaja statik sebagai seorang penyanyi tatapi juga turut melebarkan sayapnya kelapangan lakonan serta jurucakap produk.

Diam tak diam, perjalanan seni Marsha sudah menginjak ke tahun yang ketiga diuruskan oleh Maestro Talent & Management (Maestro) yang dinaungi sejak keluar dari AF3.

Kini, menurut Marsha dia baru sahaja tamat tempoh kontrak tiga tahun bersama syarikat itu.

“Kalau diikutkan sekarang ini kontrak saya dengan Maestro sudah habis. Tidak tahulah sama ada Maestro mahu sambung kontrak saya atau tidak. Semuanya masih lagi dalam perbincangan dan saya tidak boleh komen lebih.

“Dari hati saya sendiri, kalau boleh saya mahu keluar dari Maestro,” luah Marsha jujur dari hatinya.

Menurut Marsha pihak pengurusannya itu semakin banyak komitmen kerana setiap tahun bebanan mereka bertambah kerana perlu menguruskan bintang-bintang AF yang baru.

“Setakat ini pengurusan Maestro terhadap saya memang bagus, cuma fokus mereka terlalu ramai, sebab itu saya rasa perlu cari pengurusan baru,” kata Marsha tanpa berselindung.

Menurut Marsha dia menyedari banyak perubahan yang dilaluinya sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang artis.

“Perkembangan kerjaya saya setakat ini semuanya baik dan saya memang nampak perubahannya. Dari seorang penyanyi mula berkembang sebagai seorang jurucakap dan juga pelakon.

“Banyak yang saya dah nampak, sebab itu saya tidak boleh mengeluh. Apa yang pasti, saya masih belum puas hati lagi kerana mahu cuba mencapai lebih banyak perkara,” tutur Marsha penuh harapan.

Kepingin miliki album

Setiap artis yang bergelar penyanyi pasti bercita-cita memiliki album solonya sendiri. Begitu juga dengan Marsha, keinginan punyai album semakin membuak-buak dan perkara ini bukanlah baru diluahkannya.

“Sudah tiga tahun saya sebagai penyanyi tetapi masih belum ada album lagi. Kalau kita tengok, artis-artis realiti baru ramai yang sudah ada album.

“Sekarang ini, sejak jadi artis bawah syarikat Ajai, sekurang-kurangnya saya nampak seperti bakal memiliki album,” kata Marsha lagi.

Tambah Marsha kini dia sedang sibuk mempromosikan album runut bunyi, filem Sayang You Can Dance terbitan Wake The Baby.

Dalam album tersebut, Marsha mempertaruhkan single Bila Aku Cinta serta duet terbaru bersama Ajai menerusi lagu Sayang.

Menurut Marsha, dia sudah bersedia untuk memiliki album dan untuk memantapkan kerjaya nyanyiannya, kini dia sedang mencari kelas nyanyian untuk disertainya.

Semakin ligat berlakon

Sejak memulakan cabang baru dalam lapangan lakonan, gadis bermata cantik ini mengakui mula meminati dunia lakonan.

“Semenjak berlakon drama bersiri online, Kerana Karina saya sudah semakin minat berlakon. Dari drama tersebut, saya memperoleh banyak pengalaman dan ilmu tentang lakonan.

“Jadi, rasanya kenapa tidak saya sambung minat tersebut dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan kerjaya nyanyian saya,” katanya.

Menurut Marsha, dia bakal ke set pengambaran siri Kerana Karina musim ketiga sekitar bulan depan.

Keseronokan berlakon siri Kerana Karina membuatkan dia tidak berasa ragu-ragu untuk menerima tawaran berlakon dengan produksi lain.

Terbaru, Marsha baru sahaja habis pengambaran drama 26 episod, Mega Sekeping Hati yang bakal di tayangkan di RTM tidak lama lagi.

Marsha memegang peranan utama sebagai Suzana dalam siri yang turut dijayakan oleh pelakon jelita, Maria Farida itu.

Cerita Marsha, siri tersebut menceritakan tentang dua era yang berbeza. Karakter Suzana merupakan seorang pelajar kolej yang sering menjadi rebutan para pelajar lelaki di kolej yang sama.

“Cabaran yang saya lalui ketika berlakon dalam Mega Sekeping Hati ialah terpaksa berdepan dengan krew yang berlainan dengan set Kerana Karina.

“Apabila keluar dari kelompok orang-orang yang kita dah biasa kerjasama memang rasa susah sangat nak sesuaikan diri pada mulanya. Bagaimanapun, lama kelamaan saya sudah boleh sesuaikan keadaan dengan orang-orang baru,” katanya.

Jurucakap produk

Rezeki gadis yang berasal dari Tamparuli, Sabah ini rupa-rupanya tidak hanya tertumpu dalam bidang nyanyian dan lakonan semata-mata. Baru-baru ini, Marsha terpilih sebagai jurucakap produk Tinge, Spritzer bersama artis berbangsa Cina, Rynn Lim.

Ini merupakan kali ketiga Marsha menjadi jurucakap produk selepas Power Root tiga tahun lalu dan produk Nivea pada tahun lalu.

Menurut Marsha, rasional utama dia menjadi duta Tinge, Spritzer adalah kerana air mineral berperisa itu merupakan minuman kesihatan yang memberi banyak khasiat kepada orang ramai.

“Spritzer memang kita semua tahu antara jenama yang besar dalam pengeluaran air mineral. Kini sudah memberi nafas baru kepada Tinge dalam dua perisa iaitu lemon dan buah-buahan.

“Ia merupakan salah satu minuman yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana rendah kalori. Jadi, saya rasa teruja untuk menjadi duta kepada produk-produk yang membawa kebaikan seperti ini,” kata Marsha mengakhiri perbualan.

Utusan Malaysia

Kegagalan Mematangkan Syed Azmir

8 Jul

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

SYEN Azmir yakin media dan artis negara ini menerima kehadirannya dengan baik biarpun dia berasal dari Singapura.

CUBAAN pertamanya menerusi album sulung berjudul Prosa X yang muncul di pasaran April tahun lalu dilihat bagaikan gagal menaikkan nama serta populariti artis tinggi lampai dari Singapura ini.

Mempertaruhkan konsep progresif rock, namun entah di mana letaknya kesilapan, kehadirannya sebagai penyanyi umpama tidak dirasai andai dibandingkan dengan rakan senegaranya yang lain seperti Aliff Aziz, Imran Ajmain atau Taufik Batisah.

Selepas merangkul gelaran naib juara dalam program realiti Anugerah terbitan sebuah stesen televisyen Singapura sekitar 2005, popularitinya seolah-olah tenggelam hingga menimbulkan rasa kecewa.

Sungguhpun begitu, empunya diri bernama Syed Azmir Syed Azman yang baru sahaja menjangkau usia 24 tahun pada 26 Jun lalu nyata enggan mengaku kalah dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu pengajaran.

“Memanglah kecewa kerana ia melibatkan karier dan saya amat mengambil berat akan perkara ini. Bagi saya, sambutan terhadap album pertama cukup baik walaupun hakikatnya tidak ramai yang mengenali diri saya.

“Mungkin kurang promosi agaknya berbanding artis-artis Singapura lain. Tapi tidak mengapa kerana itu semua adalah pengajaran dalam mematangkan saya,” katanya kepada Hits pada sesi fotografi di studio Utusan, baru-baru ini.

Syed Azmir merupakan artis naungan Wake The Baby Records, sebuah syarikat rakaman milik komposer terkenal, Ajai.

Album Prosa X menampilkan 10 buah lagu seperti Kuasa Cintamu, Episod Lelaki, Padamkan Cerita Cintaku dan Pandangan Pertama.

Ujar Syed Azmir, meski menyedari tidak begitu dikenali, dia mampu berbangga kerana menjadi pendahulu dalam menghasilkan album di Malaysia jika dibandingkan dengan artis Singapura lain yang mencuba nasib di negara ini.

Melangkah ke album kedua

Selepas muncul dengan Prosa X yang dianggap sebagai satu eksperimen dan meneliti segala kekurangan yang ada, Syed Azmir memberitahu, dia kini sedang mengatur langkah untuk tampil dengan album kedua.

Bakal menjalani rakaman selepas Hari Raya Aidilfitri nanti, ia tidak lagi berkonsepkan progresif rock apabila album kedua akan memperlihatkan kekuatan sebenar Syed Azmir iaitu R&B.

“Saya memang suka R&B. Justeru, untuk album kedua, Ajai telah memberi kebenaran malah dia sendiri yang mencadangkan saya supaya membawakan konsep itu.

“Sekarang ini saya sedang bekerja keras dalam mencari lagu. Mengikut perancangan, ia akan dipasarkan Januari tahun depan,” jelasnya yang turut berjinak-jinak dalam lakonan menerusi drama Projek Cerpen di Singapura.

Syed Azmir kecewakan bapanya?

Sementara itu, asyik bercerita tentang album, Syed Azmir menarik perhatian Hits apabila memberitahu bahawa dia pernah mengecewakan bapanya, Syed Azman Syed Abdul Aziz, 47.

Semua gara-gara tindakannya yang mengambil keputusan menggantung but bola sepak bagi memberi tumpuan kepada karier sebagai penyanyi.

Masakan tidak, sejak dari kecil iaitu ketika berusia 11 tahun, dia telah dihantar oleh bapanya menjalani latihan di sebuah akademi bola sepak di Singapura.

“Saya merupakan orang pertama dalam keluarga yang menjadi penyanyi. Bapa memang tidak suka kerana dia mahu saya teruskan karier sebagai pemain bola sepak.

“Sememangnya dia kecewa. Setahun rasanya dia menyimpan perasaan atas keputusan yang saya lakukan iaitu bergelar penyanyi. Tetapi, sekarang dia sudah okey,” katanya yang berkecimpung dalam arena bola sepak bersama pasukan remaja Singapura sejak berusia 13 hingga 18 tahun.

Anak sulung daripada tiga beradik ini pernah beraksi dalam Liga Singapura menerusi pasukan Sembawang Rangers pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, pada 2005, Syed Azmir yang berasal dari Bedok, Singapura meninggalkan sukan bola sepak kerana terbabit dalam program Anugerah.

“Ibu saya ( Rashimah Zainal) yang menyerahkan borang menjalani uji bakat program itu kepada saya. Dia amat menyokong dan tidak sangka, selepas melalui pelbagai peringkat, saya berjaya merangkul tempat kedua.

“Bertitik-tolak daripada itu, saya fikir yang saya perlu meneruskan bidang nyanyian. Ini kerana sepanjang menyertai Anugerah, saya mendapat sokongan daripada penonton yang mengundi saya ketika itu,” ujarnya.

Merindui sukan bola sepak

Tiga tahun sudah berlalu iaitu sejak menggantung but bola, kini Syed Azmir tidak bisa berpatah ke belakang dan dia perlu meneruskan kehidupan sebagai penyanyi.

Namun, di lubuk hatinya, tidak siapa yang tahu bahawa dia sebenarnya menyimpan perasaan rindu terhadap sukan bola sepak.

“Memanglah rindu sebab ia telah sebati dalam hidup sejak saya masih kecil lagi,” jelasnya yang pernah dikatakan menjalin cinta dengan pelakon Liana Jasmay.

Lucu terkenang gosip bersama Ashraf Sinclair

Dalam pada itu, Syed Azmir ketika diajukan soalan mengenai pengalaman sepanjang berkecimpung dalam dunia nyanyian memberitahu agak lucu terkenangkan gosip liar iaitu kisah ‘hubungannya’ dengan Ashraf Sinclair.

Walaupun tidak mengambil endah akan gosip berkenaan, dia agak terkilan kerana nilai persahabatannya dan Ashraf telah disalah erti.

“Kami berada di bawah pengurusan yang sama iaitu Beyond Events. Rumah saya di Kuala Lumpur pun dekat dengan rumah Ashraf. Itu yang membuatkan kami rapat. Lagipun, teman wanita Ashraf dan bekas teman wanita saya berasal dari Indonesia.

“Justeru, kami punyai cita rasa yang sama dan ia membuatkan kami berdua selesa berkongsi segala cerita,” jelasnya sambil ketawa besar.

Utusan Malaysia

Babak Akhir 'Drama Gimik' Step

2 Jul

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA liza.zakaria@utusan.com.my

TERSINGKIR῅ Kumpulan Step akur dengan keputusan penyingkiran yang menolak kumpulan mereka dari terus bersaing dalam Gang Starz 2.

TUJUH minggu bertahan dengan hanya berlandaskan gimik persembahan, akhirnya kumpulan Step yang merupakan satu-satunya wakil tunggal Thailand, terpaksa akur dengan keputusan peminat yang tidak lagi memihak kepada mereka.

Mahu atau tidak, itulah realiti yang terpaksa ditempuhi oleh anggota kumpulan itu yang dibarisi Pongpan Kongkakul, 20, Supavee Tachapanyasin, 17, Suriya Oupanun, 19, Wisarut Buabao Virgen, 21, dan Auranush Keawrakon, 20.

Ditemui sebaik tamat konsert minggu ketujuh Gang Starz musim kedua, Ahad lalu, ternyata kesedihan lima remaja itu sukar dibendung.

Agak malang bagi kumpulan itu kerana tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik, tambahan pula proses pembelajaran mereka sedikit terganggu kerana masalah tersebut.

Kerana kekurangan itu, mereka berasa kurang berkeyakinan untuk berhadapan dengan saingan dari para peserta dari negara lain yang rata-rata mempamerkan persembahan vokal yang meyakinkan.

“Walaupun terkeluar, kami tetap gembira kerana tidak berasa asing. Tambahan pula, rakyat negara ini melayan dan menerima kami dengan baik sama seperti kumpulan-kumpulan lain yang bertanding.

“Daripada seseorang yang tidak pernah memegang mikrofon dan tidak ada asas nyanyian, sekarang kami sudah bertambah yakin di atas pentas. Selepas tamat belajar nanti, kami akan teruskan perjuangan dalam bidang nyanyian,” kata ketua kumpulan itu, Wisarut Buabao Virgen.

Mengulas tentang penyingkiran kumpulan Step, juri tetap rancangan Gang Starz 2, Ajai dan Sheikh Haikel berpendapat, penyingkiran itu memberi kebaikan kepada kumpulan Step kerana telah banyak ketinggalan berbanding kumpulan-kumpulan lain yang bertanding.

“Kalau nak kejar kumpulan-kumpulan lain, memang susah sebab mereka perlu belajar asas nyanyian terlebih dahulu. Masalah mereka bukan masalah biasa, tetapi kritikal. Sebenarnya, mereka boleh menyanyi, cuma perlu ambil masa yang panjang untuk mempelajarinya.

“Susah juga mengajar mereka, kita cakap lain, mereka nyanyi lain. Selalu sangat nyanyi salah nota. Perkara ini nampak tak cantik sebab melibatkan pertandingan,” jelas Ajai tentang kelemahan kumpulan Step.

Bagi Sheikh Haikel pula, kumpulan itu memberikan persembahan yang jujur sepanjang pertandingan kerana cuba mempamerkan kekuatan yang mereka ada.

“Mereka tahu kekuatan mereka adalah tarian, sebab itu mereka cuba memberi yang terbaik dalam persembahan tarian berbanding vokal. Bagaimanapun, yang paling utama dalam Gang Starz adalah vokal,” katanya.

Peserta Indonesia

kian menonjol

Berbicara tentang prestasi para peserta Gang Starz minggu lalu, Ajai dan Sheikh Haikel sependapat, bahawa tiga kumpulan yang mewakili negara seberang, Indonesia lebih menonjol berbanding peserta lain.

Mereka ialah D’Raz, D’Reborn dan 3 Voices.

“Sebelum ini kita nampak peserta negara, One Nation Emcees agak menyerlah. Tetapi pada minggu ini memang nampak perbezaan.

“Contohnya kumpulan 3 Voices yang menyanyikan lagu Unfaithful minggu ini, pemilihan lagu mereka memang sangat bagus. Sesuai dengan not suara mereka,” kata Sheikh Haikel.

Bagi Ajai pula, kumpulan D’Raz dan D’Reborn antara contoh kumpulan yang mampu menyanyi dengan harmoni dan komunikasi dengan penonton yang baik.

“Apa yang para peserta harus belajar lagi adalah dari segi penghayatan dan harmoni. Mereka semua perlu tahu bagaimana nak buat harmoni dengan betul dan tepat,” kata Ajai lagi.

Kumpulan lain yang tersingkir sebelum ini ialah PGZ pada minggu kedua, Faith (minggu ketiga), Brown Tone (minggu kelima) diikuti South Trio pada minggu lalu.

Dengan penyingkiran Step, peluang untuk tujuh lagi kumpulan yang bakal beraksi pada hari Ahad, 13 Julai ini terbuka luas.

Mereka terdiri daripada peserta negara, One Nation Emcees dan Akasia.

Selain itu, peserta Indonesia, D’Raz, D’Reborn dan 3 Voices di samping peserta Filipina iaitu 3.5 dan Paragon Child.

Rancangan yang dikendalikan oleh pasangan pengacara Faizal Tahir dan Fara Fauzana itu menawarkan ganjaran berupa AS$100,000 (RM325,545) di samping peluang merakamkan album.

Utusan Malaysia

Browntone Voted Out Of 'Gangstarz'

16 Jun

Singaporean quartet Browntone was dropped from TV3's reality talent series 'Gangstarz', held at the MBSA Auditorium  last night.
Singaporean quartet Browntone was dropped from TV3’s reality talent series ‘Gangstarz’, held at the MBSA Auditorium last night.

SHAH ALAM: Singaporean quartet Browntone became the latest casualty of TV3’s reality talent series Gangstarz (Season 2), held at the MBSA Auditorium here last night.

The harmony group was placed among the bottom two positions along with South Trio from Malaysia after receiving the least SMS (short messaging system) votes from viewers at the end of the show.

Their innovative performance also failed to impress the show’s critics, comprising singer/composer/producer Ajai, Singapore’s rapper/composer Sheikh Haikel and guest judge actor/director/singer Afdlin Shauki.

With Browntone’s departure, the show is left with nine harmony groups from Malaysia, Thailand, the Philippines and Indonesia.

They will continue their battle to emerge as the best vocal group in the region.

The contestants’ performances were accompanied by musicians led by composer-arranger-producer Helen Yap.

The winner, to be determined by viewers via SMS and the jury’s votes, will receive US$100,000 (RM320,000) and a recording contract with a local record label.

Hosted by Faizal Tahir and Fara Fauzana, the show was aired live.

 

Powered by New Straits Times