Archive | Izwan Pilus RSS feed for this section

RTM Cari Pengacara Baru

3 Jul


PASANGAN pengacara, Izwan Pilus (kiri) dan Abby Nadzri ketika mengendalikan sebuah program TV terbitan RTM, Suara Emas Bintang RTM 2007.

Dikecam, dikritik dan bahkan ada segelintir pihak yang memandang sebelah mata dengan kredibiliti program-program terbitan RTM, itu semua tidak mematahkan semangat tenaga kreatif di belakang tabir stesen TV tertua ini untuk terus mencari dan melahirkan program-program berkualiti.

Bukan hanya program terbitan syarikat swasta, produksi RTM sendiri tidak kalah semangat, antara yang masih bertahan dan ditonton ramai termasuklah Panorama, Agrotek serta Selamat Pagi Malaysia.

Seiring dengan pembaharuan yang sedang direncanakan, RTM mempelawa bakat-bakat baru sebagai pelapis yang akan mengendalikan program-program terbitan RTM yang baru mahupun yang diagendakan semula.

Syarat-syaratnya, berusia dari 22 hingga 30 tahun, mempunyai personaliti menarik, bijak berkomunikasi, berbakat serta boleh menulis dengan baik. Sudah namanya pengacara program majalah TV, pengetahuan luas tentang perkembangan semasa dan umum pastinya satu kelebihan.

Kosmo

Konsert Gegar Olimpik Di RTM1

7 May

Kumpulan 6ixth Sense

MENGAMBIL inisiatif menambahkan kemeriahan Sukan Olimpik 2008, RTM mengambil peluang menganjurkan Konsert Gegar Olimpik ’08 yang akan berlangsung pada 11 Mei ini, pukul 3.00 petang di RTM1.

Bertempat di Pangkalan Lumut, Perak, RTM menjanjikan kepuasan berterusan kepada audiensnya seiring dengan sambutan gilang-gemilang Hari Terbuka Armada 2008 dan ulang tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menariknya, Konsert Gegar Olimpik 2008 bakal menyaksikan kolaborasi artis-artis tanah air dengan seleksi pilihan lagu popular masing-masing dalam menghiburkan penonton sepanjang dua jam siarannya.

Artis-artis yang terlibat dalam konsert berkenaan ialah Mas Idayu, Adam AF, Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus, Sheila Abdul, Vic Teoh, Jerry John, Kumpulan 6ixth Sense dan Butterfingers.

Pastinya kerinduan peminat Mas Idayu yang agak lama aksinya tidak dilihat di pentas terubat menyaksikan kemunculannya menyanyikan lagu-lagu popularnya yang pernah menjadi siulan suatu ketika dulu.

Begitu juga dengan Adam AF yang baru-baru ini menggondol kemenangan menerusi pertandingan akhir anjuran RTM, Hits 1.

Adam bakal menghiburkan peminat setia dengan aksi dan tariannya yang bersahaja selain persembahan vokal mantap dijanjikan Siti Sarah Raisuddin, Izwan Pilus dan Sheila Abdul dalam persembahan mereka.

Namun tidak dikecualikan juga dua nama artis berlainan bangsa, Vic Teoh dan Jerry John yang dianggap bonus menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa ibunda masing-masing.

Sudah tentu juga kemunculan dua buah kumpulan muzik, 6ixth Sense dan Butterfingers mampu memenuhi kepuasan penonton yang sentiasa dahagakan persembahan dengan iringan muzik disampaikan secara langsung.

Kepada anda yang ternanti-nantikan konsert yang mampu menjanjikan kepuasan berterusan, jangan lepaskan peluang menonton Konsert Gegar Olimpik ’08 pada 11 Mei ini pada pukul 3.00 petang di RTM1.

Powered by Utusan Malaysia

Matta Jaja Alternatif Rock Kemelayuan

6 May

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

TIDAK seperti kebanyakan kumpulan dari seberang, Matta amat mudah didekati. Mereka sangat realistik dan spontan lebih-lebih lagi vokalisnya, Sunu Hermaen, 27.

Keselambaan Sunu itu terserlah sewaktu menjayakan per sembahan di Anugerah Planet Muzik (APM) yang ber langsung 20 April lalu.

Tatkala menyanyikan lagu Ketahuan, Sunu turun dari pentas mengacukan mikrofon kepada Datuk Siti Nurhaliza.

“Bagi saya aksi itu sudah cukup sopan dan saya tidak mempunyai niat apa-apa. Melainkan mengajak semua pe nonton menyanyi dan kebetulan terlihat kelibat Datuk Siti di bawah, lalu saya turun menemui penyanyi pujaan saya itu.

“Bangga amat apabila Siti boleh menyanyikan lagu kami. Insya-Allah pada masa akan datang kami ingin menjalinkan kerjasama dengannya,” katanya.

Matta turut dianggotai Setia Permana (Stay), 22, selaku bassist, Dicky Yudha Handika SP (Dicky), 28, dan Yogi Wargana (Igoy), 30, di posisi gitaris, Yudi Permana (Yudee), 26, sebagai pemain keyboard dan Mulyadi Hidayat (Wok), 29, pemain dram.

Jika kebanyakan kumpulan di Indonesia cenderung meng hasilkan muzik eksperimental yang mampu mencetus re volusi baru dalam arena nyanyian, Matta pula mempunyai misi tersendiri apabila kembali pada muzik kekampungan.

“Kami dari awal mencari resolusi supaya kami bisa cepat menjadi kaya dengan membuat satu formula di mana meng hasilkan satu, dua lagu yang enak didengar, tidak bosan dan disukai pendengar.

“Saya sedar tidak semua orang menyukai lagu kami dan tidak semua juga yang tidak senang. Justeru, kalau orang mahu bilang muzik kami ketinggalan, terpulang kerana kami menghasilkan lagu untuk semua golongan dan bikin sebuah album yang boleh dijual.

“Kalau ada yang menganggap album kami kekampungan, itu terserah kepada mereka. Lain masakan, lain cara memasaknya dan kami memang sudah tetapkan tujuan untuk menjadi kaya dan sekarang sedang menuju impian itu.

“Kami tidak mahu menjadi idealis dan enggan menurut jejak langkah kebanyakan kumpulan sedangkan perjuangan mereka itu tidak menguntungkan.

“Saya percaya sebagai artis baru, kami perlu bersandarkan lagu dan muzik yang mampu memikat halwa telinga pen dengar agar mudah memahatkan nama dan mewujudkan empayar di kalangan peminat.

“Namun sebagai pemuzik kami akan terus bereksper imentasi dengan mencari idea baru, aneh dan paling penting bukan menciplak karya luar.

“Jika ada kumpulan berpaksi kebaratan itu terserah mereka. Yang pasti Matta bangga dengan ciri muzik alternatif rock kemelayuan yang kami tampilkan. Malah, sahabat saya dari Eropah yang mendengarkan lagu Ketahuan turut menyukai lagu itu meskipun diterapkan muzik dangdut,” katanya.

Sebelum menempa nama dalam arena perdana, Matta dulunya bergerak sebagai kumpulan indie dan melalui pel bagai kepayahan sebelum mereka dikenali seperti hari ini.

Ketahuan adalah lagu yang berjaya memahatkan nama Matta di persada seni suara Indonesia dan Malaysia, mem punyai sejarah tersendiri yang hampir membunuh karier kumpulan ini.

“Lagu itu ditulis sejak kami masih bergelar kumpulan muzik indie, tetapi waktu itu ia diberikan ‘mood’ R&B. Ketika mahu memasarkan album pertama, kami menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat rakaman.

“Namun Ketahuan kurang mendapat sambutan melainkan sekitar Bandung. Pada saat itu seorang artis dangdut, Uut Permata Sari sudah merakamkan lagu berkenaan dalam versi dangdut.

“Sehinggakan kami terpaksa membuat laporan polis bagi melindungi hak kami, namun menarik balik tuduhan itu kerana enggan masalah ini berpanjangan.

“Kemudian produser syarikat rakaman tadi menyunting Matta sebagai artis rakaman dan dia memberi cadangan untuk merombak semula konsep muzik Ketahuan. Alhamdulillah, kerana Tuhan itu maha adil, nyanyian kami menjadi ber banding Uut,” katanya.

Sebelum ini, media Indonesia pernah melaporkan ke munculan Matta membuatkan kebanyakan kumpulan di Indonesia berasa tergugat.

Saat mendengar pertanyaan itu, Sunu menafikan hal ber kenaan.

“Setakat ini hubungan Matta dengan mana-mana band baik-baik saja. Malah, mereka sangat menyayangi, memberi kami makan dan minum,” katanya berseloroh.

Jualan album sulung Matta ini khabarnya melebihi 200,000 unit manakala 1.2 juta muat turun untuk lagu Ketahuan.

“Album ini sangat istimewa kerana kebanyakan lagu ditulis daripada kejadian nyata. Ia ibarat luahan isi hati. Kami percaya sebuah lagu yang ditulis berdasarkan kisah benar itu mampu membuatkan penghayatan vokalis dan pemuzik lebih ‘feel’ selain pendengar juga berasa dekat.’

Lagu Playboy misalnya kisah benar anggota kumpulan Matta yang paling tampan iaitu Stay manakala Tersenyumlah menceritakan seorang sahabat kami yang mengidap HIV dan lagu ini didedikasikan kepadanya agar dia terus bersemangat menghadapi kehidupan kerana kami sentiasa di sisinya saat susah dan senang,” katanya.

Tambahnya, keistimewaan album berkenaan terletak pada kemampuan mereka bereksplorasi dengan pelbagai elemen muzik dari rock ‘n’ roll, alternatif pop, rock, akustik hing gakan ‘twist’.

Difahamkan, dek kerana terlalu mengagumi kejelitaan pelakon remaja, Diana Danielle yang diundang menjayakan sesi fotografi dengan Matta untuk sebuah majalah, Sunu terus bersetuju menghasilkan sebuah single termasuk lagu duet buat gadis berusia 17 tahun itu.

Sebelah malam di hari dan lokasi sama, Matta mengadakan persembahan di Planet Hollywood.

Sambutannya kurang memberangsangkan barangkali ke rana faktor riwayat Matta sebagai kumpulan baru dengan hanya bersandarkan satu lagu popular.

Pun begitu, soal jumlah penonton tidak sedikitpun men jejaskan persembahan Matta yang ternyata bertenaga.

Sikap spontan dan keramahan vokalisnya, Suno berinteraksi membuatkan mereka yang hadir terasa dekat.

Lapan lagu disampaikan kumpulan berasal dari Bandung, Indonesia ini antaranya Tak Bertepi, Playboy, Penantian, Sumpah Mati, Tersenyumlah, Ibu (sebuah lagu dendangan asal Iwan Fals) sebelum Ketahuan mengambil alih pentas sebagai lagu terakhir.

Persembahan yang bermula tepat jam 9.30 malam tidak hanya dihadiri peminat serta pihak media, malah ia turut dihadiri artis popular seperti Diana Danielle, Izwan Pilus, Isma Halil Hamzah dan kumpulan Peterpan yang menjayakan konsert di Stadium Negara, 27 April lalu.

Acara hiburan itu selesai kira-kira jam 10.45 malam.

Powered by Harian Metro

Maiya Makin Hangat Di Kl

5 Apr

WALAUPUN lagu duetnya dengan Izwan Pilus belum disiapkan, bakat naib juara Anugerah 2007, Maiya Rahman (gambar, bawah) sudah pun diintai stesen negara jiran.

Maiya mendapat undangan menyanyi secara ‘live’ dalam konsert sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada malam ini.

Rancangan yang berlangsung di Dataran Merdeka Kuala Lumpur itu akan ke udara mulai 9 malam di RTM1.

Beliau akan membawakan lagu popularnya, Nongkrong, secara solo dan berduet dengan Izwan, selain menyanyi secara berkumpulan dengan Misha Omar dan Yuni Shara dari Indonesia.

Penyanyi lain yang dijangka menyerikan acara malam ini ialah diva Datuk Siti Nurhaliza, Elyana, Adibah Noor dan Sofaz.

‘Selama Maiya di Kuala Lumpur, beliau juga dijadualkan muncul dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia. Rakan kerja kami, pihak EZS Music, juga mengatur beberapa sesi wawancara dengan stesen radio di KL,’ kata Penolong Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Ketua Unit Pengurusan Artis Mediacorp TV12, Azlan Noor Salim.

Dengan bakatnya yang agak menyerlah dalam bidang lakonan, menerusi percubaan pertamanya dalam siri drama Zero Downpayment yang disiarkan pada setiap Rabu, mungkinkah peluang untuk Maiya dalam bidang drama akan terbuka di Malaysia nanti?

Apa pun, tunggu perkembangan Maiya selepas Anugerah Planet Muzik di KL pada 20 April ini. Beliau dicalonkan dalam kategori Artis Baru Singapura Paling Popular.

Kalau diberi peluang dan pendedahan, tidak mustahil jika Maiya boleh mencipta kejayaan seperti Aliff Aziz di Malaysia, dan siapa tahu, juga dalam bidang lakonan.

Powered by Cyberita

MUZIKfm Ke Jerantut

23 Feb
SEBAHAGIAN daripada kakitangan RTM, KTMB dan deyjay- deyjay MUZIKfm pada majlis pelancaran Jelajah MUZIKfm/ KTMB “Moh ke Tahan.”

BERITA baik kepada para peminat MUZIKfm kerana akan berpeluang bertemu dengan juruhebah kesayangan mereka pada 20 hingga 23 Mac ini, menerusi program radio di lokasi, Jelajah MUZIKfm/KTMB “Moh ke Tahan.”

Ia merupakan satu kejutan yang julung kali dilakukan kepada pendengar terutamanya kepada penumpang keretapi Ekspres Wau.

Program jelajah yang dianjurkan oleh MUZIKfm dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Jerantut dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang itu bakal dijayakan oleh 80 orang termasuk kakitangan MUZIKfm, RTM dan KTMB.

Menurut Pengarah Siaran Radio RTM, Keliwon Pajhar, program itu merupakan langkah terbaru stesen radio tersebut dalam menarik minat lebih ramai pendengar.

“Ini merupakan projek permulaan bagi tahun ini. Sasaran kita ialah untuk mencapai rating satu juta pendengar.

“Sebelum ini, MUZIKfm telah berjaya mencapai melebihi 700,000 pendengar,” katanya.

Sementara itu, Pengawal MUZIKfm, Datin Rosni Yusof berkata, pihaknya mendapat banyak maklum balas daripada pendengar stesen itu yang berada di Jerantut, Pahang menerusi pelbagai acara yang dilakukan oleh stesen itu sebelum ini.

“Oleh kerana itu, Jerantut dipilih bagi menghargai sokongan yang tidak berbelah oleh para peminat di sana,” kata Rosni.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang penjelajahan itu ialah sesi beramah mesra pendengar dan penumpang keretapi yang melibatkan artis dan deejay MUZIKfm, karaoke, aktiviti sosial dan kebajikan serta pengedaran risalah dan cenderamata.

Barisan artis yang bakal terlibat sepanjang sesi penjelajahan tersebut ialah Izwan Pilus, Khadeeja, Khai, Naufara, Zehra Zamri dan One (bekas vokalis Giegiel).

Powered by Utusan Malaysia

Kerlipan Bintang-Bintang Di RTM

13 Feb

BERGELAR artis popular dan meniti dunia glamor memang menjadi impian semua. Kenyataan ini mendorong penglibatan seseorang itu menyertai pertandingan nyanyian yang boleh membuka laluan untuk mencapai hasrat tersebut.

Menyingkap kembali sejarah penglibatan artis-artis kelahiran RTM, maka lahirlah rancangan Bintang-Bintang yang bakal bersiaran sebanyak 14 episod ini bermula Mei nanti.

Dalam setiap episod, ia akan menampilkan dua orang artis yang pernah menyertai pertandingan seperti Bintang RTM, Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI), Golden Teen Search, Bintang Gala 2, Suara 90-an, Idola Patriotik dan pertandingan Klasik Nusantara.

Antara artis yang akan ditampilkan menerusi rancangan istimewa ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Nora, Liza Hanim, Alya dan Dayang Nurfaizah yang pernah menyertai Bintang HMI.

Begitu juga artis hebat yang pernah menyertai dan menjuarai Bintang RTM seperti Farawahida, Ramlah Ram, Sarah Raisuddin, Jamal Abdillah, Rey, Rina, Sharifah Zarina, Rohana Jalil, Noraniza Idris, Misha Omar, Izwan Pilus, Azharina Azhar dan Nurhasmida.

Tidak ketinggalan bintang-bintang kelahiran Suara 90-an, Klasik Nasional, Idola Patriotik, Bintang Gala 2, Bintang Asli Remaja seperti Adibah Noor, Ester Khoo, Anis Salwa, Muhaizam, Rosma Dali, Dia Fadilla, Nurfatima, Sabariah dan Eddie Nazrin yang telah mewarnai industri muzik tanah air dengan bakat mereka.

Sepanjang satu jam bersiaran, rancangan yang masih lagi menjalani penggambaran ini dilakukan secara santai dan rakaman temu bual artis akan diselang-seli dengan klip video artis yang terlibat untuk tontonan kepada peminat.

Daya tarikan utama kepada penonton pastinya berlegar sekitar perkongsian cerita sensasi artis yang sememangnya begitu dinanti-nantikan peminat terutama di kalangan peminat fanatik artis terlibat.

Bukan itu sahaja, turut diselitkan adalah soal kualiti suara mereka yang sebenarnya menjadikan mereka diterima ramai dan mendorong publisiti terhadap kejayaan gemilang dalam kerjaya mereka.

Malah, artis yang terlibat juga akan berkongsi sama cerita jerih-perih bergelumang dengan realiti sebenar menjadi seorang artis.

Ini dilihat begitu berguna sebagai panduan kepada pendatang baru ataupun kepada individu yang berminat melebarkan sayap menjadi artis rakaman.

Meskipun Bintang-Bintang dijangkakan menemui penonton sekitar bulan Mei 2008, namun pastikan tidak melepas peluang keemasan menonton program yang bermanfaat kepada peminat dan penyokong industri muzik tanah air ini.

Powered by Utusan Malaysia

Sertai Aksi Murai Sekarang!

28 Oct

APA AKSI MURAI?
Program realiti web pertama menampilkan artis popular dan peminat fanatik. Artis dicabar peminat untuk melakukan satu tugasan yang tak pernah dilakukan sebelum ini. Setiap episod, artis dan peminat akan berlawan untuk menjadi pekerja terbaik.

SIAPA ARTIS YANG TERLIBAT?

Dafi, Farhan, Izwan Pilus, Awal Ashaari, Farawahida, Fazli Zainal, Ning Baizura, Shawal AF5, Datuk Siti Nurhaliza, Haziq AF4, Nana Era & Mila.

SIAPA HOS?
Setia bersama Ajieb yang juga editor murai.com.my

APA HADIAH?
Pemenang mingguan akan mara ke final untuk merebut hadiah lumayan.

CARA MENYERTAI AKSI MURAI?
Mudah saja. Hantarkan penyertaan anda dalam M-KLON mulai 1 November 2007. Peserta yang terpilih akan ke udara di Astro Ria dan akan dinilai melalui SMS untuk bertanding bersama artis pada episod akan datang.

MACAM MANA MENONTON?
Anda boleh tonton Aksi Murai mulai 21 November 2007 di murai.com.my. Tidak ketinggalan, Aksi Murai juga akan ke udara setiap Isnin, jam 9.30 malam mulai 26 November 2007 di Astro Ria.

APA TUGASAN?
Cuba anda bayangkan artis-artis ini menjadi minah kilang, penjual roti, penternak lembu, pencuci kereta, pemandu bas, dan macam-macam lagi. Mesti gamat!

TARIKH TUTUP PENYERTAAN?

Hantarkan penyertaan sekarang mengikut artis pada tarikh yang ditetapkan.

IZWAN PILUS- Hantar sebelum 15 November 2007

AWAL ASHAARI- Hantar sebelum 22 November 2007

FARAWAHIDA- Hantar sebelum 29 November 2007

FAZLI ZAINAL- Hantar sebelum 6 Disember 2007

FASHA SANDHA- Hantar sebelum 13 Disember 2007

SHAWAL AF5- Hantar sebelum 20 Disember 2007

SITI NURHALIZA- Hantar sebelum 27 Disember 2007

HAZIQ AF4- Hantar sebelum 3 Januari 2008

NANA ERA- Hantar sebelum 10 Januari 2008

MILA AF5- Hantar sebelum 17 Januari 2008


Murai

Konsert Mega Aidilfitri Gabung Baru Dan Lama

7 Sep

Oleh Khadijah Ibrahim

Izwan Pilus, Nita dan Fazli sewaktu mendendangkan lagu medley raya.

MESKIPUN Hari Raya masih jauh lagi namun sebagai persediaan, bahagian penerbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) awal-awal lagi sudah selesai merakamkan Konsert Mega Aidilfitri.

Diterbitkan oleh Mohd. Yusni Mohamed Ali, program itu telah pun selesai menjalani rakamannya pada 17 Ogos lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

Program yang menampilkan 16 artis ternama tanah air itu akan ditayangkan pada 13 Oktober, pukul 8.30 malam menerusi RTM1.

Menurut Mohd. Yusni atau Yus, program yang mengambil masa selama dua jam itu bukan sekadar hiburan tapi ia juga mampu merungkai rindu peminat pada penyanyi-penyanyi kesayangan mereka.

“Berdasarkan konsep itulah, saya sengaja menggandingkan penyanyi baru dan lama. Kemunculan Ramlah Ram dan Liza Hanim yang sudah lama tidak menghasilkan album misalnya mampu memberi ruang untuk mereka mengubati rindu peminat,” kata Yus.

Penonton program ini juga berpeluang mendengar 25 buah lagu daripada artis-artis terlibat.

Lagu-lagu yang didendang bukan sekadar lagu-lagu raya, malah lagu-lagu berkonsep kontemporari juga dipersembahkan.

Tegas Yus, program yang diacarakan oleh pelakon Jasmin Hamid dan penyanyi Nurul itu akan dimulakan dengan medley lagu raya, Menjelang Hari Raya dan Selamat Berhari Raya yang dipersembahkan oleh barisan penyanyi baru.

Mereka yang digandingkan untuk segmen ini ialah Izwan Pilus, Fazli Zainal, Fiq (Juara Mentor 2), Rey (Juara Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Shahir (Naib Juara Suara Emas Bintang RTM 2007).

Sementara penyanyi wanita ialah Farawahida, Nita, Zeti (Finalis Suara Emas Bintang RTM 2007) dan Karen Kong.

Jelasnya, setiap penyanyi berpeluang mendendangkan dua lagu iaitu lagu nostalgia raya dan masa kini.

Antara lagu yang diperdengarkan ialah Indahnya Beraya Di Desa (Jaclyn dan Han), Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Dayang Nurfaizah), Kepulangan Yang Dinanti dan Lelaki Ini (Anuar Zain), Ketentuan (Ramlah Ram), Akan (Karen Kong), Bebas (alternatif mix) dan Bersabarlah Sayang (Liza Hanim), Kasih Tercipta (Faizal), Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Selamat Hari Raya (semua artis).

Program yang berlatar belakangkan set ucapan Selamat Hari Raya dengan tulisan Jawi itu telah direka oleh pereka set KZ.

“Sebenarnya saya minta KZ buat set yang menampilkan unsur-unsur raya tapi dalam suasana moden. Saya sendiri terkejut bila melihat set yang dihasilkan. Pada saya set itu cukup menarik kerana ia melambangkan suasana Hari Raya,” tambah Yus.

Menyentuh mengenai gabungan Jasmin dan Nurul yang turut mendendangkan lagu Pulang Di Hari Raya, kata Yus antara mereka ada keserasian.

Jelasnya, selama ini sering ditonjolkan pengacara lelaki dan wanita. Namun disebabkan ingin kelainan, maka Yus memilih dua wanita yang pada pandangannya bijak berceloteh.

“Kedua-dua mereka walaupun tidak pernah bekerjasama sebelum ini namun masing-masing pernah mengacarakan beberapa program. Saya lihat mereka ada keserasian kerana masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Kesemua penyanyi diiringi oleh tujuh pemuzik yang diketuai oleh Helen Yap (pengarah muzik dan pemain key board), Hillary Ang (gitar), Ujang (gitar), Bong (bass), Joey (dram), Faizal Uzir (keyboard) dan Ameer Firza (perkusi).

Program: Konsert Mega Aidilfitri

Tarikh rakaman: 17 Ogos 2007

Lokasi: Auditorium Perdana, Angkasapuri

Penerbit: Mohd. Yusni Mohamed Ali

Waktu siaran: 8.30 malam, RTM1, 13 Oktober 2007

Artis: Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Fazli Zainal, Ramlah Ram, Faizal (One In A Million), Jaclyn Victor, Izwan Pilus, Liza Hanim, Fiq, Farawahida, Rey, Nita, Shahir, Karen Kong, Han dan Zeti.

Powered by Utusan Malaysia

Raja Farah Memang Anak Emas

13 May

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Raja Farah.

RAJA Farah, namanya tidaklah sehebat pelakon Raja Azura mahupun pengacara Raja Endon Mastura. Tetapi percayalah, dalam masa dua tahun lagi dia akan meniti populariti sebagai mana yang dijulang oleh dua Raja itu.

Kenapa saya berkata begitu? Tengoklah bakatnya semakin menyerlah. Malah ramai produser serta pengarah filem mula memburu gadis berusia 19 tahun ini. Semuanya kerana bakat yang luar biasa yang sedang ditimba oleh beliau.

Orangnya cantik, senyumannya juga menawan yang antara faktor gadis ini semakin laris selain menjadi rebutan. Orangnya tidak banyak bercakap tetapi bijak menuturkan kata-kata. Malah penampilannya di dalam program Suara Emas Bintang RTM sebagai pengacara yang bergandingan dengan Izwan Pilus memperlihat kebolehan luar biasanya.

Dia petah bertutur mengendalikan rancangan tersebut dengan baik dan sesekali mencelah mengikut keperluan skrip rancangan itu. RTM menonjolkan bakat Farah sebagai pengacara. Ternyata tentunya ini satu penghormatan buatnya yang selama ini ingin bergiat aktif di dalam dunia seni.

Tidak hairanlah tawaran demi tawaran diterimanya kini dek kerana populariti yang sedang diraih. Oleh kerana jadual yang ketat, tidak semua tawaran berkenaan dapat diterima.

Akui Farah ketika ini waktu tidurnya belum tentu mencukupi. Sebagai contoh, habis saja mengacara rancangan Suara Emas Bintang RTM pada setiap hari Selasa (pukul 8.45 malam di RTM1), Farah akan bergegas ke lokasi penggambaran yang belum tentu akan habis tepat waktunya.

‘‘Kadang-kadang sehingga pukul tiga atau empat pagi saya berjaga tetapi saya gembira dengan kerjaya itu,” katanya memulakan bicara.

Rezeki mencurah

Tidak menolak apa yang diterimanya itu merupakan rezeki kurniaan Allah, Farah berkata, dia tidak ada impian lain melainkan untuk menggembirakan ahli keluarganya terlebih dahulu.

Pada usia 19 tahun Farah sudah mampu memegang wang yang banyak hasil titik peluhnya sendiri. Memang itu diimpikan oleh setiap manusia tetapi bagi Farah, wang itu bukanlah untuknya seorang diri. Sebaliknya ia digunakan untuk membantu keluarganya terutama membiayai pelajaran dua abangnya yang masih menuntut di pusat pengajian tinggi.

‘‘Orang tengok saya mendapat banyak tawaran berlakon dan tentulah banyak duitnya. Tetapi tidak. Duit saya adalah untuk keluarga. Saya membantu adik-beradik saya belajar kerana ada antara mereka tidak memperoleh pinjaman pendidikan.

‘‘Pada saya, inilah masanya untuk membantu ibu dan bapa yang banyak mengorbankan masa dan tenaga untuk kami empat beradik selama ini,” katanya.

Saya berkata kepada Farah mungkin kerana hasrat hatinya yang murni dengan memberi perhatian terhadap keluarganya itu menyebabkan rezeki terbuka luas untuknya.

Tidak menolak perkara itu, ujar Farah, mungkin kerana doa ahli keluarganya juga untuk melihat beliau berjaya di dalam bidang seni antara faktor membuatkan beliau berada pada kedudukan sekarang. Jika tiada sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga tentulah apa yang dihajatinya selama ini tidak akan terlaksana.

‘‘Saya tidak mahu ahli keluarga saya susah. Pendapatan daripada hasil lakonan, saya utamakan buat mereka. Paling tidak dapat mengurangkan beban ayah kerana pada masa ini hanya dia yang mencari rezeki membantu keluarga,” jelasnya.

Tolak banyak tawaran

Ketika ini farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz ternanti dua buah filemnya yang akan ditayangkan di panggung tidak lama lagi iaitu Anak Halal dan Malaikat Maut. Kedua-dua buah filem itu ternyata menguji kemampuan Farah sebagai pendatang baru yang mula hendak memancarkan sinaran.

Bukan untuk mendabik dada sebaliknya beliau amat berbangga dengan tawaran demi tawaran yang diterimanya kini.

Kerana kesibukan dan tidak mampu untuk memenuhi jadual penggambaran, maka dia terpaksa menolak sebahagian daripada tawaran yang datang melimpah kepadanya itu.

‘‘Saya bukannya jenis orang yang suka menghampakan permintaan orang lain. Kalau boleh saya ingin menerima semua tawaran yang diberi tetapi saya hanya manusia biasa. Tidak semua rezeki yang datang itu saya hendak bolot.

‘‘Saya tak mahu kerana terlalu tamak, saya gagal untuk memberi komitmen terbaik dan akhirnya melingkupkan kerjaya yang sedang saya bina ini,” jelas beliau.

Orang tamak selalu rugi. Benar begitu. Kalau mempunyai sifat tersebut tentunya sumbangan terhadap sesebuah produksi itu tidak dapat disalurkan dengan berkesan.

Tidak seperti sesetengah pelakon, pantang dapat tawaran mereka akan sapu bersih. Tetapi akhirnya tindakan itu mendatangkan seribu satu macam masalah apabila pada waktu yang sama terdapat dua produksi melakukan penggambaran serentak.

Maka tentulah salah satu daripadanya akan terganggu proses penggambaran. Dan tentulah juga menyebabkan orang lain turut merasai terjebak sama dalam masalah yang dilakukan orang lain itu.

Bercerita mengenai drama lakonannya, jelas anak ketiga daripada empat beradik ini, sejak Isnin lalu drama bersiri Manjalara telah disiarkan oleh TV3.

Selain itu drama sitcom Cafe KLIA juga disiarkan setiap hari Isnin di RTM1. Pendek kata, kalau buka sahaja mana-mana stesen televisyen, tidak sah kalau tidak melihat muka pelakon ini.

‘‘Sekarang saya sibuk menjalani penggambaran sebuah drama terbitan Astro sebanyak 50 episod. Memang berat juga tanggungjawab yang saya pikul sekarang selain komitmen sebagai pengacara rancangan Suara Emas Bintang RTM,” ujarnya yang turut menjadi model iklan produk kecantikan Avon.

Sentiasa ditemani ibu

Ramai yang berkata, Farah ni anak emas. Mana tidaknya 24 jam asyik berkepit dengan ibunya Farizah Abu Samah. Sememangnya begitu. Dia memang anak emas. Maklum sajalah Farah merupakan satu-satunya anak perempuan di dalam keluarga itu dan tentulah merupakan orang yang paling disayangi dan rapat dengan ibu.

‘‘Saya percayakan ibu. Dia memang rapat dengan saya. Tentulah dia tak berani melepaskan saya ke mana saja seorang diri.

‘‘Lagipun saya masih muda. Masih banyak pengalaman yang perlu saya tempuhi sebelum boleh dilepaskan berjalan seorang diri,” katanya.

Akui Farah, dia amat bersimpati dengan ibunya yang sanggup menemaninya ke mana saja walaupun ke lokasi penggambaran sehingga lewat pagi.

Walaupun bimbang tindakan itu akan mengganggu kesihatan ibunya tetapi jelas Farah, dia berasa kehilangan seandainya orang yang disayang itu tidak ada bersama.

‘‘Biarlah orang nak kata saya anak emas atau tidak tetapi saya lebih selesa jika ibu yang menjadi pengurus saya sendiri berbanding orang lain. Cuma kadangkala saya kasihan melihat dia yang terpaksa menunggu lama di lokasi saya bekerja.”

Saya bertanya kepada ibunya yang saya panggil Auntie Farizah adakah dia cuba menyekat kebebasan anaknya itu?

Kata beliau, bukan untuk membataskan kebebasan tetapi dalam usia sebegitu muda adalah wajar seorang ibu menemani anaknya bagi mengelak perkara yang tidak elok daripada berlaku.

Malah sebagai ibu dia memahami perasaan orang muda dan akan melepaskan Farah untuk bergerak seorang diri apabila dia benar-benar matang dengan keadaan sekeliling.

Bagaimanapun Farizah tidak menghalang untuk anaknya itu keluar dengan sesiapa tetapi menjadi kebiasaan Farah akan mengajaknya keluar bersama.

Rapat dengan seseorang

Bohonglah budak-budak remaja pada masa ini kalau ada yang kata mereka tidak ada kekasih. Percaya atau tidak yang baru masuk darjah satu pun sudah pandai memilih pasangan.

Tidak menolak hakikat itu, menurut Farah, dia memang mempunyai ramai kawan termasuklah yang boleh dianggap sebagai kawan rapat tetapi tidaklah sehingga hubungan itu berada pada tahap serius. Menurutnya, lelaki itu juga seorang yang baik dan disenangi oleh ahli keluarganya.

‘‘Hubungan kami pada waktu ini kawan rapat. Sebagai manusia tidak dinafikan kita memerlukan seorang kawan tetapi tidak sampai ke tahap untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Seperti penjelasan Farah di awal tadi, dia perlu mencari wang untuk menggembirakan keluarganya terlebih dahulu. Itulah yang penting di dalam hidup.

Kepada Farah, saya percaya jika dia benar-benar serius di dalam bidangnya sekarang, dia mampu menggapai kejayaan yang sedang berada di hadapan ketika ini.

Cuma perlu diingat, menjadi pelakon ataupun penyanyi dugaannya juga tinggi setinggi gunung yang sedang didaki itu. Jika tersilap langkah akan menjunam ke bawah.

Powered by Utusan Malaysia

Hits 1 Akhir Keputusan Yang Dijangka

1 May

SEPERTI yang diramal, pertandingan akhir Hits 1 yang bersiaran langsung di RTM1 pada malam Jumaat lalu menjadi milik Adibah Noor, Misha Omar dan Mawi.

Malah ia menjadi malam istimewa bagi Adibah yang mempertaruhkan lagu Terlalu Istimewa untuk diangkat sebagai bukan sahaja Lagu Terbaik tetapi turut merangkul kategori Persembahan Terbaik yang membolehkannya membawa pulang sejumlah RM30,000 iaitu masing-masing RM25,000 (Lagu Terbaik) dan RM5,000 (Persembahan Terbaik).

Kemenangan lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah itu sendiri mencipta kejayaan berganda bagi mereka apabila awal tahun ini muncul juara Anugerah Juara Lagu Ke-21 (AJL-21).

Namun dalam nada merendah diri, Adibah tetap memberitahu bahawa dia tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi pertandingan yang diasaskan melalui carta lagu Radio Muzik itu.

Malah dia merasakan lagu-lagu Nafas Cahaya, dendangan Misha Omar dan ciptaan sifu M. Nasir serta lirik oleh Loloq dan lagu Bisakah (Aubrey Suwito/Tessh RS) mampu dipilih Lagu Terbaik oleh lima juri profesional iaitu Datuk Wah Idris, penyanyi Nurul, komposer S. Atan, Helen Yap dan diketuai Asnawi Mutaal.

“Lagu-lagu itu adalah lagu-lagu yang bagus,“ kata Adibah ketika ditemui selepas pertandingan itu yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Biarpun mempunyai saingan terdekat namun kata Adibah lagi, platform Hits 1 akhir bukanlah satu persaingan sengit.

“Debarannya tidak seperti di AJL lalu. Malah kami di belakang pentas relaks dan memberi sokongan antara satu sama lain,“ kata Adibah yang muncul solo di pentas persembahan dan menyampaikan surah An-Am dalam bahasa Inggeris sebelum berdendang.

Sementara itu Misha Omar yang gagal ke final AJL-21 boleh berbangga apabila lagu Nafas Cahaya itu berjaya menduduki tempat kedua Lagu Terbaik sekaligus membawa pulang RM20,000.

“Saya telah memberikan yang terbaik dan bersyukur lagu itu berjaya diterima,“ katanya.

Dan Raja SMS, Mawi pula sudah menjangka membawa pulang gelaran Lagu Paling Popular – satu-satunya kategori yang dipilih berdasarkan undian SMS (khidmat pesanan ringkas).

Kala ditanya sampai bila dia mahu bertahan dengan status itu, jelas Mawi, “selagi orang menyebutnya, saya akan menerima dengan hati terbuka.”

Tidak ketinggalan mendapat sorakan sokongan penonton tentunya bekas tunangan Mawi, Diana Naim atau Ina yang berkongsi pentas mempertaruhkan lagu Duhai Hati yang muncul dengan persalinan putih dan diiringi enam anggota koir.

Antara lagu lain yang bertanding pada pertandingan yang diacarakan oleh Beego dan Annahita Bakavoli itu ialah Tanpamu, dendangan Farawahida, Indah Lelapku (Izwan Pilus) dan Jatuh (Adam AF2).

Artis yang mengadakan persembahan pula antaranya A. Halim, Nora, Saleem, Siti Nordiana, Fiq dan Kamal, Hattan, Aris Ariwatan, Dayang Nurfaizah, Ruffedge, Fabulous Cat, Yazer, Hazama dan Jaclyn Victor.

Sekitar Hits 1 Akhir

*Berlaku sedikit masalah teknikal pada speaker sisi pentas yang sedikit sebanyak mengganggu kelancaran pertandingan itu.

*Ketika Misha Omar muncul untuk mengadakan persembahan medley lagu-lagu yang pernah menjuarai Hits 1, kainnya tersangkut pada paku di tangga pentas membuatkan dia tidak boleh bergerak. Tetapi Misha ‘menutupnya’ dengan duduk di tangga sambil membetulkan semula kainnya menyebabkan peminat bersorak.

*Jika Ina tampil putih, Mawi pula memilih hitam dengan konsep persembahan hampir sama iaitu menggunakan koir. Cuma Ina menampilkan fragmen lelaki yang memberinya cinta tetapi kemudian dirampas oleh wanita lain.

*Ina dan Mawi bukan sahaja julung kalinya berkongsi pentas pertandingan malah mereka muncul silih berganti sebagai peserta akhir hits 1 akhir.

*Datuk Siti Nurhaliza tidak hadir pada pertandingan itu dan tempatnya diganti oleh Juwita Suwito, adik kepada pencipta lagunya, Aubrey yang juga seorang penyanyi.

*Jatuh merupakan lagu Adam AF2 yang berjaya ke final Hits 1 buat kali ketiga selepas Terhangat Di Pasaran dan Tak Tahu.

*Adibah Noor, Adam AF2, Mawi dan Ina mendapat tepukan paling gemuruh sepanjang pertandingan berlangsung.

Powered by Utusan Malaysia