Archive | Julia Ziegler RSS feed for this section

Pencarian Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008 Bermula

29 Apr

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
afzan@bharian.com.my

ANTARA pereka yang merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008

REKAAN pereka muda Sya Syaharani dan Hatta Dolmat, pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008) lalu, diangkat sebagai busana paling glamor. Adakah ini bererti Anugerah Pereka Fesyen Popular turut dibolot dua nama yang semakin meningkat naik ini?

Kemenangan sentuhan pereka itu dipilih Pengarang Life & Times, the New straits Times Press, Suraya Al-Attas; Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jafar; Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim pada malam anugerah berlangsung 12 April lalu.

Juri melihat selebriti yang menggayakan busana itu iaitu Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita dan penyanyi baru Iz OIAM yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki, sebagai kreatif, berbeza dan menepati tema, sentuhan tenun.

Setuju atau sebaliknya, pembaca berhak menentukan populariti pereka melalui undi sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH. Seramai 24 pereka bertanding dan rekaan itu diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah itu.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari lama web http://www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka bertanding.

Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Pereka yang menang bakal membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Sementara selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang. Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan oleh Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007. Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

Berita Harian

Peluang Pilih Rekaan Popular ABPBH 2008

28 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serimah@bharian.com.my

CALVIN tHOO diapit Ayu Raudah dan Rozita Che Wan.

Kenali barisan 24 pereka dengan melayari http://www.bharian.com.my/klikkhas/PerekaABP/MukaUtama

WALAUPUN Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, sudah berakhir 12 April lalu, namun kegemilangan anugerah berprestij itu masih terus dirasakan.

Merancakkan penganjuran ABPBH 2008, Berita Harian sekali lagi menganjurkan Anugerah Pereka Popular edisi kedua bagi mengiktiraf sentuhan pereka tempatan iaitu mereka yang bertanggungjawab membuat seramai 58 finalis serta artis kelihatan menawan ketika menghadiri acara yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands itu.

Kerjasama daripada 24 pereka yang tidak jemu memberikan sokongan kepada ABPBH sememangnya wajar diiktiraf kerana tanpa mereka acara gilang gemilang ini pastinya tidak akan berwarna-warni. Apatah lagi acara permaidani merah kini antara salah satu daya penarik utama selain majlis anugerah itu sendiri.

Usaha Berita Harian memartabatkan dan memberi peluang kepada pereka muda, nampaknya turut menjadi ikutan beberapa acara anugerah lain yang mengikut jejak langkah Berita Harian apabila mereka mengambil inisiatif menganjurkan acara untuk mengangkat nama baru dalam industri seni reka fesyen tempatan.

Tahun ini, anugerah berkonsepkan Sentuhan Tenun itu menyaksikan pembabitan 24 pereka tempatan. Jika tahun lalu, trofi Anugerah Pereka Popular menjadi milik Lord’s Tailor dan Michael Shu untuk kategori lelaki bagi sut yang digayakan Mawi, sementara Hatta Dolmat pula menerima anugerah bagi kategori wanita untuk gaun bermotifkan batik yang digayakan pelakon tinggi lampai, Julia Ziegler, adakah nasib akan kembali berpihak kepada tiga pereka ini?


MAMPUKAH Sya Shaharani (dua dari kiri) dan Hatta Dolmat (kanan) mengulangi kejayaan pada pasca parti ABPBH 2008?

Selain disertai pereka lama, beberapa nama baru nampaknya turut berminat mencuba nasib tahun ini. Mereka yang bakal bertarung untuk merebut gelaran Anugerah Pereka Popular sekali gus membawa pulang set barang kemas Rafflesia bernilai RM 10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Center serta sebuah trofi sumbangan Berita Harian ialah Anizam Yusof, Shamsu Yusof, Bill Keith, Jovian Mandagie, Albert King, Calvin Thoo, Azura Mazarudin, Rizman Ruzaini, Faizell Azraff, Kent Khalil, Nik Erwan Roseli, Erwan Asbor, Michael Shu, Hazwani Osman, Nazreen Idris, Zery Zamry, Elyana, Khairi Sufi, Hatta Dolmat dan Kenny Loh (Lord’s Tailor).

Sementara muka baru yang pertama kali menyertai ABPBH 2008 ialah Puteri Azalea dan Puteri Yasmin, Zack Ismail, Razman Din, Nurita Harith dan Sya Shaharani.

Ketika pasca parti yang berlangsung selepas berakhirnya ABPBH 2008, sentuhan pereka baru Sya Syaharani yang digayakan pelakon Zizie Ezette dan rekaan Hatta Dolmat untuk kategori lelaki yang diperagakan penyanyi baru Iz OIAM mencuri tumpuan juri terdiri daripada Pengarang Life & Times, New Straits Times (NST), Suraya Al-Attas; Pengarang Sisipan Ratu, Fadzlena Jaffar; Pengarang Sisipan XY, Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Majalah Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim.

Apakah mereka akan mengulangi kejayaan sama dan berjaya pula memikat hati pembaca? Untuk mengenali lebih dekat pereka fesyen dan artis yang menggayakan rekaan mereka serta butiran lanjut mengenai Anugerah Pereka Popular ini bolehlah melayari laman web http://www.bharian.com.my/klikkhas/PerekaABP/MukaUtama.


NANA kelihatan menawan dengan rekaan Faizell Azraff.

Bagi mereka yang ingin membuat undian untuk memilih Pereka Popular dan gaya selebriti mana yang paling menyerlah pada ABPBH 2008, tempoh hari boleh melayari laman web Berita Harian. Bagaimanapun sebelum itu, pengundi hendaklah berdaftar sebagai R@kan BH. Untuk membuat pilihan, pengundi boleh melihat gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka yang bertanding menerusi laman web berkenaan.

Selain pereka yang bakal membawa pulang hadiah, 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi juga bakal menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM 1,000 setiap seorang. Manakala selebriti lelaki dan wanita yang menjadi pilihan pengundi juga bakal memenangi barang kemas juga tajaan Rafflesia bernilai RM 10,0000. Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Berita Harian

Giliran Pembaca Buat Pilihan

24 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
KAGUM dengan kemampuan pereka fesyen tempatan melakukan transformasi dengan menjadikan pemakaian tradisi songket dan tenun kepada satu rekaan moden pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Berita Harian Sdn Bhd sekali lagi menganjurkan Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008.

Masih bertemakan tema songket dan tenun, anugerah yang julung kalinya diperkenalkan pada ABPBH2007 dan mendapat kerjasama publisis popular, Bill Bora bertujuan memberi pengiktirafan kepada pereka fesyen muda tempatan terutama yang hendak mencipta nama dalam bidang fesyen tanah air.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH2008, Hanizam Abdullah, berkata, Anugerah Pereka Fesyen Popular yang memberi peluang dan ruang kepada pereka tempatan untuk mengangkat idea kreatif mereka dalam bidang fesyen.

“Jika tahun sudah, Berita Harian mengangkat batik sebagai tema tahun ini penganjur memilih untuk mengangkat seni tenun seperti songket, pua kumbu dan tenun Pahang.

“Besarlah harapan Berita Harian, agar peraduan ini dapat menyuntik semangat kepada pereka tanah air agar melahirkan sesuatu yang kreatif,” katanya.

Sempena ABPBH2008, 24 pereka fesyen tempatan layak bertanding bagi merebut gelaran Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008 bagi dua kategori yang disediakan, lelaki dan wanita.

Rekaan mereka diperagakan 58 selebriti popular tanah air yang hadir pada malam anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, empat juri terdiri daripada Pengarang Life & Times, New Straits Times (NST), Suraya Al-Attas, Pengarang Wanita Berita Harian, Fadzlena Jaffar, Pengarang XY (sisipan Berita Harian), Shamsul Azree Samsir dan Pengarang Cosmopolitan, Izza Safinaz Ibrahim sebulat suara memilih Zizie Ezette yang menggayakan busana rekaan Sya Syaharani sebagai busana paling glam untuk kategori wanita

Manakala, penyanyi baru Iz OIAM yang tampil unik dengan rekaan Hatta Dolmat memenangi kategori lelaki.

Justeru, apakah Sya Syaharani dan Halta Dolmat akan mengulangi kejayaan mereka dalam peraduan ini?

 

 

Yang pasti, kali ini pemilihan pemenang ditentukan melalui undi SMS yang diterima daripada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang berdaftar sebagai R@kanBH.

Bagi membantu pembaca membuat pilihan, mereka boleh melayari laman web http://www.bharian.com.my yang memaparkan gambar selebriti yang memperagakan rekaan pereka yang bertanding. Pertandingan bermula dari 24 April 2009 hingga 31 Mei 2009 dan pemenang akan diumumkan pada satu majlis yang akan diberitahu kelak.

Hadiah menarik yang bakal diterima dua pereka yang diundi sebagai pemenang untuk Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2008 kategori selebriti lelaki dan wanita adalah barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre dan sebuah trofi setiap seorang sumbangan Berita Harian.

Manakala selebriti lelaki dan wanita yang memperagakan rekaan yang menang menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM10,000 setiap seorang.

Seramai 20 pembaca bertuah yang membuat undian paling tinggi pula menerima barang kemas Rafflesia bernilai RM1,000 setiap seorang.

Tahun lalu, Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH2007 kategori selebriti lelaki dimenangi oleh Kenny Loh dan Micheal Shu untuk pakaian yang diperagakan Mawi, pemenang Bintang Paling Popular ABPBH2007.

Untuk kategori selebriti wanita, pemenang adalah Julia Ziegler yang memperagakan rekaan Hatta Dolmat.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

David Terkejut Nahas Ala Jangan Tegur

15 Apr

KUALA LUMPUR: “Saya terkejut kerana kemalangan yang berlaku sama seperti adegan pembukaan filem Jangan Tegur dan dalam babak itu, Natasha (Julia Ziegler) trauma selepas kemalangan mengelak hantu, tetapi saya menganggap ini takdir Tuhan,” kata prosedur filem, David Teo.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemalangan yang membabitkan beliau bersama pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan pelakon Nadia Mustafar ketika dalam perjalanan promosi filem itu ke Singapura, kelmarin.

Dalam kemalangan jam 10.20 pagi di Kilometer 263.2, Lebuhraya Utara-Selatan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard milik David yang dipandu Pegawai Perhubungan Awam, MIG Production Sdn Bhd, Azahari Abdul Hamid melanggar warga Bangladesh, Mofizul Hoque, 40, yang terbunuh.

Menurut David, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Singapura untuk menghadiri sesi promosi dan tayangan media filem berkenaan di Suntec City, Singapura yang dijadualkan jam 3 petang.

 

 

“Kemalangan itu memang tidak boleh dielakkan kerana di tepi dan belakang kenderaan kami ada lori. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana Azahari tidak panik dan dapat kawal kenderaan dengan baik hingga kami semua selamat,” katanya.

Harian Metro

Lelaki Terhangat ABPBH2008

9 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Ketepikan soal menang dan kalah apabila saling mengagumi antara satu sama lain

KETEPIKAN seketika soal siapa menang, siapa kalah, siapa popular dan siapa tidak, kerana sebelum berdepan dengan hari penentuan pada Ahad ini, sekumpulan finalis lelaki Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 terlebih dulu diraikan dalam satu majlis makan tengah hari oleh Lord’s Tailor baru-baru ini.

Sebaik tiba di Restoran Alexis yang terletak di Pusat Beli Belah Bangsar (BSC), sekumpulan pelakon lelaki ini disambut mesra oleh tuan rumah iaitu Robert Loh dan Loh Lee Lee yang sememangnya bermurah hati untuk meraikan semua finalis berkenaan yang berjaya menempatkan diri mereka sebagai finalis ABPBH 2008,

Seronok rasanya melihat Rosyam Nor, Afdlin Shauki, Mawi, Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Aqasha, Ashraf Muslim, AC Mizal dan Farid Kamil masih boleh duduk semeja walaupun ada di antara mereka berada dalam ruang seni yang berbeza.

Bintang Paling Popular untuk tiga tahun berturut-turut, Mawi umpamanya tidak kekok untuk bersembang bersama finalis lain walaupun kesemua mereka dicalonkan untuk kategori pelakon.

Sambil menikmati hidangan ala barat yang disediakan, rancak mulut mereka bersembang. Dan yang paling rajin bercerita sudah semestinya penghulu segala hero yang ada di situ iaitu Rosyam Nor.

Duduk berborak dengan Rosyam, macam-macam cerita yang terpacul dari mulut pelakon handalan itu. Ada topik serius, lucu dan tak lupa menabur nasihat kepada pelakon muda yang ada dikelilingnya pada masa itu.

Bagi Rosyam perkara pertama yang perlu dititikberatkan oleh seseorang yang bergelar artis, tidak kiralah sebagai penyanyi atau pelakon, adalah penampilan diri. Perkara ini timbul selepas dia melihat pelakon Aqasha yang kini berimej baru dan semakin kacak dengan bentuk badan yang sasa selepas bergiat aktif di gimnasium.

“Untuk menjadi artis, perkara yang harus diutamakan adalah menjaga penampilan diri. Kadang-kadang saya tengok ada yang datang ke majlis dalam keadaan yang selekeh. Misai dan jambang tidak berjaga. Peminat tengok pun tak selera.

“Bukan nak kena pakai mahal-mahal tetapi seeloknya biarlah tampil kemas supaya peminat tengok pun suka sentiasa,” luah Rosyam sekali gus berkongsi petua bagaimana dirinya boleh kekal lama dalam bidang ini.

Kagum dengan pelakon pelapis

SEWAKTU sesi sembang santai itu, sempat juga Rosyam meluahkan perasaan terujanya melihat begitu ramai pelakon pelapis yang untuk memeriahkan industri seni.

“Saya tak pernah anggap mereka sebagai pesaing tetapi lebih seronok kerana kehadiran mereka ini sekurang-kurangnya memberi variasi kepada pelakon yang sedia,” katanya Rosyam sambil memuji Aaron yang dianggap sebagai antara pelapis yang perlu diberi perhatian.

Bagi Aaron pula, kata-kata Rosyam itu ibarat pembakar semangat buat dirinya yang sudah dua kali tercalon sebagai finalis ABPBH. Pun begitu, sebagai orang baru dalam dunia seni di Malaysia, pelakon kacak kelahiran Singapura ini tidak pernah menaruh harapan untuk menang.

“Rasa terharu kerana peminat masih mencalonkan nama saya untuk kali kedua berturut-turut walaupun tahun lepas tiada sebarang drama saya ditayangkan di kaca TV memandangkan waktu itu saya begitu sibuk dengan penggambaran filem dan telefilem terbitan Astro,”ujar Aaron yang kini sedang sibuk di lokasi filem seram berjudul Suaka bersama Julia Ziegler.

Majlis santai dan sederhana ini juga diadakan sempena penganjuran majlis Minggu Setiausaha yang bakal diadakan di Hotel Istana, 22 April ini dengan kerjasama Lord’s Tailor, jenama yang sememangnya terkenal sejak 35 tahun lalu.

Selain finalis ABPBH yang hadir, selebriti lelaki lain yang turut terbabit dalam acara itu termasuklah Iqram Dinzly, Imran Ajmain, Fizo Omar dan Aman Zakaria (model).

Berita Harian

4 Pelakon Muda Gerun Rosyam

6 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

GELARAN ‘hero tua’ yang diberikan kepada Rosyam Nor tidak lama dulu pernah mencarik luka di hatinya. Sekian lama berbakti dan menghambakan diri sebagai pelakon, tidak adakah kata-kata yang lebih manis bagi menghargai perjuangan seninya selama 25 tahun?

Namun, berdirinya Rosyam di samping pelakon muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad, yang turut bersaing dalam Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), yang bakal berlangsung Di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini jelas membuktikan penangan Rosyam masih berbisa.

Mungkin ada yang memandang enteng persaingan ini atau membuat tanggapan zaman kegemilangannya sebagai pelakon disegani akan berakhir dengan kemunculan serta persaingan sengit bakal diberikan keempat-empat pelakon muda itu.

Bagi yang beranggapan seperti itu, mereka sebenarnya mempunyai pemikiran cetek kerana mengapa tidak menilai bagaimana seorang pelakon senior dan berpengalaman seperti Rosyam mampu mempertahankan popularitinya, sekali gus memboloskan diri dalam kelompok lima terbaik bagi kategori itu?

Sedangkan, ramai pelakon lelaki seangkatan Rosyam dan lebih terkenal daripadanya dulu, bukan saja tidak tercalon malah di manakah mereka hari ini?

Seperkara yang pasti, kehadiran Rosyam dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular amat digeruni bintang muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad yang sebulat suara meramalkannya bakal mendominasi kategori itu.

Bagaimanapun, Rosyam melihat persaingan ABPBH2008 bagi kategori itu sesuatu yang sangat menarik kerana dikelilingi aktor muda berbakat besar yang bakal menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

“Kalau kita perhatikan kebanyakan finalis dalam kategori ini semuanya pelakon muda. Berbeza dengan penganjuran anugerah sebelumnya, kali ini saya tidak lagi meletakkan sebarang harapan kerana sudah puas dengan pencapaian yang dimiliki.

“Bagaimanapun, saya melihat ia satu persaingan yang menarik dan memberikan cabaran sebenarnya bagaimana mempertahan kedudukan dan populariti tatkala kebangkitan ramai pelakon muda dan berbakat seperti mereka ini.

“Semestinya saya akan lebih memperbaiki diri dari segi lakonan dan hasil kerja yang ditampilkan. Saya sebenarnya sama sekali tidak menyangka akan dicalonkan sekali lagi kerana pemilihan ini dibuat berdasarkan hasil kerja termasuk penayangan drama dan filem yang dibintangi tahun lalu.

 

 

“Kalau ikutkan saya cuma muncul dalam dua drama bersiri, dua telefilem dan satu program bual bicara. Barangkali pencalonan ini ada kaitan dengan lakonan saya menerusi drama bersiri Rozana yang mendapat sambutan hangat di TV3.

“Justeru, syukur kerana peminat masih menghargai bakat dan karier lakonan saya termasuk menyokong produk serta drama terbitan syarikat saya, Suhan Movies & Trading,” katanya.

Tidak cukup dengan satu pencalonan, Rosyam juga diundi peminat yang melayakkan dirinya menyertai kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang dibarisi pelakon kacak, Farid Kamil, Que Haidar, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Sepanjang pembabitan dalam ABPBH, Rosyam pernah menerima Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular pada 2004, 2005, 2006, dan 2007.

Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dia berjaya menggondol tujuh anugerah bermula 1997 1998, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005. Selain itu, Rosyam juga pernah dinobatkan peminat sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular pada 2002.

Manakala Aqasha melonjak menerusi drama Mentua vs Menantu yang dibintangi bersama Ratu Filem Melayu, Erra Fazira, mengakui terkejut dengan pencalonannya itu.

“Saya sudah berlakon sejak 2001, tetapi ini adalah pencalonan pertama saya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Keputusan yang mengejutkan kerana tidak pernah memikirkannya, namun saya menerimanya sebagai satu penghargaan.

“Jujur saya katakan, tidak kisah kalau tidak tercalon sekali pun kerana saya sering berinteraksi dengan peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Justeru, tanpa tercalon pun saya tahu ada peminat yang sentiasa menyokong karier saya.

“Pun begitu, pencalonan ini saya lihat sebagai bonus juga penghargaan peminat di atas kasih yang melimpah ruah sehingga mereka berusaha mengundi dan menempatkan saya dalam senarai lima terbaik.

“Menang atau kalah, saya tidak menaruh sebarang harapan bahkan tidak rasa ada peluang kerana saya sering muhasabah diri supaya terima setiap keputusan dengan hati terbuka. Kalau menang itu satu bonus dan rezeki daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Audio di HICOM, pelakon yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi serta popular menerusi lagu Embun ini muncul menerusi drama, Bicara Cinta dan

Kasih Mia arahan Rashid Sibir tahun lalu, termasuk Mentua Vs Menantu.

Dia yang bakal muncul dengan filem Rempit V3 pertengahan tahun ini dijadualkan memasuki sambungan penggambaran musim kedua Mentua Vs Menantu sebaik Erra selesai menjalani proses berpantang.

Sementara itu, pelakon kacak kelahiran Singapura Aaron Aziz antara calon akhir yang disebut menjadi pencabar terdekat Rosyam Nor bagi meraih anugerah bagi kategori berkenaan. Masakan tidak, meskipun tiada sebarang kemunculan istimewa sepanjang tahun lalu, Aaron tetap menerima pencalonan dari peminat.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan terima kasih kerana mencalonkan saya dalam kategori berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya terkejut dengan pencalonan ini kerana setahu saya tahun sudah tiada sebarang drama lakonan saya ditayangkan atau boleh menjadi batu pengukur serta dinilai untuk melayakkan menyertai anugerah berprestij ini. Memandang tahun lalu terbabit dengan projek drama dan telefilem terbitan Astro yang akan ditayangkan tahun ini.

“Lagipun, apabila difikirkan saya bukannya berasal dari Malaysia justeru menerima penghargaan sebesar ini tidak pernah saya impikan.

“Berbanding finalis lain, saya antara pendatang baru dalam industri ini. Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa melainkan sudah cukup bersyukur dengan pencalonan ini,” katanya akan muncul dengan telefilem Hang Tuah terbitan Astro.

Terikat dengan penggambaran filem Suaka arahan Pierre Andre dan Dave, wajah ekslusif Astro ini diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Osman dalam filem seram ini. Dia bergandingan dengan pelakon tinggi lampai juga model, Julia Ziegler sebagai Mastura yang mempunyai kelebihan melihat roh dan alam ghaib.

Dalam kelompok lima terbaik, Ashraff Muslim yang melonjak dengan watak Ustaz Amirul dalam drama bersiri seram, Puaka Niyang Rapik, boleh dikatakan pelakon paling ‘junior’ jika diukur pembabitannya dalam bidang lakonan.

Namun, kemampuan membawakan watak yang dihormati penonton misalnya, wataknya sebagai Yusuf dalam drama Yusuf

tambahan mempunyai raut wajah yang tampan dilihat sebagai bonus dan memudahkan dirinya dikenali. Ini adalah pencalonan pertama Ashraf sepanjang penganjuran ABPBH.

“Semua calon akhir bagus belaka melainkan saya yang belum cukup pengalaman ini. Tapi syukur Alhamdulillah atas kesudian peminat mengundi dan ia penghargaan besar buat saya.

“Pengiktirafan ini tidak pernah dijangkakan kerana dulu saya menyaksikan anugerah ini sebagai peminat kepada abang Rosyam dan sekarang saya dicalonkan kategori sama dengan pelakon yang cukup saya kagumi itu. Saya rasa amat kerdil dan belum layak berada di sini.

“Apapun, saya sedang belajar menerima kenyataan ini dan sekali lagi terima kasih kepada peminat melihat bakat dan menghargai lakonan saya,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak kurang hebat dan pernah mencetuskan kontroversi membabitkan kisah putus cinta dengan penyampai radio, Linda Onn, siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad.

“Saya harap pencalonan ini tidak hanya menilai populariti semata-mata, tetapi juga menilai bakat seseorang pelakon itu kerana sebagai pelakon saya suka sekiranya peminat terasa kesan daripada lakonan yang saya persembahkan.

“Cuma saya tertarik dengan gabungan pelakon berpengalaman dan baru dalam kategori ini. Bagi saya semua finalis ada kelebihan masing-masing dan saya tidak meletakkan sebarang harapan dan terpulang pada peminat untuk memilih siapa. Tetapi saya merasakan Rosyam Nor memberikan persaingan hebat kepada semua,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Juanna Gadis Cekal

27 Feb

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MASIH terlalu awal untuk Sari Yanti Mohamad Nazari, 25, menceritakan kehidupan berumah tangga yang baru dilalui bersama suami, Mohd Eddy Casmady Che Hussein kerana usia perkahwinan mereka baru sebulan lebih.

“Buat masa ini segalanya macam biasa saja. Selain menjalankan tanggungawab sebagai isteri, tiada apa yang berubah. Saya masih berlakon dan baru selesai menjalani penggambaran telefilem Bukan Mainan untuk RTM (Radio Televisyen Malaysia) lakonan bersama Fizz Fairuz.

“Kini saya sibuk di lokasi drama Dan Bunga-bunga Berguguran terbitan DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). Drama ini unik dan menarik daripada yang lain kerana dialog disampaikan dalam bentuk pantun.

“Memang susah kerana saya terpaksa menghafal beratus-ratus pantun. Kalau dalam drama biasa, kita berdialog menggunakan percakapan harian, jika terlupa masih boleh ditokok tambah ayat sendiri. Tetapi untuk drama ini, saya tidak boleh lupa walau sebaris ayat.

“Saya dapat bayangkan betapa sukarnya penulis skrip drama ini hendak membuat beribu pantun kerana drama ini turut dijayakan pelakon lain seperti Nisha Dirr dan Cico. Apapun, drama ini sangat menarik.

“Penggambaran dibuat di Melaka dan ia mengisahkan mengenai Sultan Mahmud. Saya pegang watak sebagai Puteri Kesuma Dewi. Bagaimanapun, drama itu tidak ditayangkan di televisyen kerana ia untuk simpanan DBP,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sari muncul dalam drama 26 episod Juanna yang mula disiarkan 11 November lalu di RTM1, Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, jam 10 malam. Drama itu terbitan Gama Taktik Sdn Bhd.

Menerusi drama itu, Sari pegang watak gadis yatim piatu yang malang. Dia berdepan konflik sebagai anak yang dahagakan kasih sayang keluarga. Berlakon sama, Marissa Yasmin, Zulkifly Azari, Ashraf Muslim, Julia Ziegler, Kamaliah Mat Dom, Kismah Johar dan Dian P Ramlee.

Kisah Juanna bermula apabila Juanna (Sari Yanti) yang baru keluar dari pusat pemulihan akhlak untuk pesalah juvana perempuan pulang ke rumah keluarganya dengan azam baru.

Namun kehadirannya kurang disenangi ibu tirinya, Hanis dan Hazril, suami baru ibu tirinya yang lebih muda daripadanya. Mereka menganggap kehadiran Juanna mengganggu kehidupan mereka yang baru berumah tangga.

Hanis kemudian meletakkan syarat anak tirinya itu boleh tinggal di rumah itu tetapi perlu mencari wang nafkah hidup sendiri. Sementara itu, dalam diam, Hazril menjalin semula hubungan cinta dengan kekasih lamanya, seorang model dikenali Nasha tanpa pengetahuan Hanis.

Juanna pula bertemu semula dengan Pak Wan bekas pemandu arwah bapanya yang diberhentikan tanpa sebab oleh Hazril.

Pak Wan yang sememangnya menganggap Juanna bagai anak kandung menawarkan Juanna bekerja di pusat cucian kereta miliknya. Di situ, dia berkawan baik dengan pekerja Pak Wan iaitu Helmi dan Suresh.

Pada masa sama, Juanna cuba berbaik semula dengan teman baiknya Fifi. Di luar pengetahuannya, Fifi menjalinkan hubungan cinta dengan bekas teman lelaki Juanna dikenali Johan. Juanna cuba meyakinkan Fifi bahawa Johan bukan lelaki baik. Sebaliknya Juanna ditempelak Fifi menyebabkan Juanna kecewa.

Apatah lagi Johan adalah punca dirinya dihantar ke pusat pemulihan akhlak sedangkan ketika itu, Juanna hanya bertindak mahu mempertahankan dirinya daripada menjadi mangsa cabul Johan.

Johan yang mengetahui usaha Juanna mahu memisahkannya dengan Fifi naik angin. Dia mula mengancam Juanna namun Juanna berasa selamat dengan adanya Helmi. Apatah lagi mereka sering menjadi bahan usik Suresh yang mengatakan mereka bercinta dalam diam.

Juanna cuba mempertahankan haknya apabila Hazril menghalaunya keluar dari rumah. Alasannya, Juanna masuk campur dalam urusannya. Atas nasihat Pak Wan, Juanna membuang jauh perasaan malunya untuk menemui Iskandar, rakan baik bapanya yang kini membeli syarikat bapanya sebelum jatuh ke tangan Hanis yang tidak bertanggungjawab.

Sedang Hazril begitu bersungguh-sunguh mahu mendapatkan wang daripada Hanis untuk membelikan kereta mewah seperti diingini kekasihnya, Nasha, Hanis pula yang sibuk mahu menandingi kehebatan Datin Anom yang dianggap pencabarnya. Dia tidak sedar perubahan Hazril, apatah lagi suaminya itu bijak menyembunyikan rahsia.

Pelbagai kejadian berlaku yang akhirnya menyedarkan Hanis mengenai kecurangan suaminya itu. Juanna pula mula menimbang untuk melanjutkan pengajian atas bantuan Iskandar. Hatinya berbelah bahagi mahu meninggalkan orang tersayang termasuk Helmi.

Harian Metro

Keluhan Hati Erma Fatima

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.

PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.

Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.

Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.

Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.

“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.

Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

Kosmo

Jihad Anak Seni

4 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ERMA FATIMA bersyukur acara Doa Buatmu Palestin dapat sambutan menggalakkan.

Erma Fatima himpunkan sejumlah besar penggiat seni untuk beramal dalam Doa Buatmu Palestin

TERCAPAI objektif itulah yang dimaklumkan orang kuat Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma Fatima di atas penganjuran acara amal Doa Buatmu Palestin bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza kesan kezaliman rejim Zionis sejak 27 Disember lalu.

Acara yang berlangsung selama dua hari pada 1 hingga 2 Februari lalu di pekarangan Istana Budaya turut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dan Istana Budaya.

Lebih RM100,000 dikumpul mengisi tabung yang bakal diserahkan ke kerajaan di bawah kempen Rayuan Dana Atas Nama Kemanusiaan dan disalurkan ke dalam Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Selain sambutan yang cukup memberangsangkan, ini membuktikan kata pepatah, sepakat membawa berkat.

Himpunan pelbagai nama yang mendiami ruang seni ini termasuklah pembabitan pereka fesyen tempatan menjadi satu simbolik betapa kita sebagai rakyat Malaysia begitu prihatin dan bersatu di bawah satu pendirian menentang sekeras-kerasnya peperangan yang membawa kepada kehancuran manusia sejagat.

Erma berkata, usaha yang dilakukannya ini boleh diumpamakan sekecil zarah, namun begitu, sedikit sebanyak ia mampu menjadi azimat yang setidak-tidaknya boleh mengurangkan penderitaan mereka di sana.


AKSI Dynas, Rabecca Nur Islam dan Julia Ziegler mesra melayan pengunjung di gerai jualan mereka.

Katanya lagi, ini adalah jihad mereka sebagai anak seni untuk melihat keamanan dijunjung dan dikembalikan kepada mereka yang berhak menikmatinya.

“Kejayaan ini bukan kejayaan milik saya seorang, malah daripada pembabitan golongan selebriti, pereka fesyen dan petugas yang terbabit dalam jawatan kuasa acara ini. Paling penting ini adalah keikhlasan membuat kerja kebajikan tanpa bayaran. Sepanjang dua hari berturut-turut, pihak kami tidak bayar satu sen pun kepada artis sebagai contohnya untuk terbabit.

“Malahan artis yang menjual barangan di gerai jualan, sanggup mengeluarkan sejumlah wang sebagai duit sewaan tapak. Yang mana duit itu pun akan disalurkan terus ke tabung. Sumbangan masa, penat lelah dan wang ringgit yang golongan selebriti kita berikan amat dihargai.

“Ini juga sebagai gambaran bahawa artis kita tidak semata-mata tidak semata-mata dalam ruang lingkup kilauan glamor saja, malah ini petanda golongan seperti kami juga sedar dan mula bertindak,” katanya sewaktu ditemui Hip pada malam pertama acara ini berlangsung.

Namun dalam nada gembira, isteri kepada pengarah Bade Azmi turut tidak dapat menyembunyikan rasa ralat apabila masih ada golongan selebriti yang tidak mahu turun padang untuk beramal. Tidak memaksa bahkan menuding jari kepada sesetengah golongan ini, cuma inilah lumrah yang harus diterima biarpun terlalu pahit untuk ditelan.

“Saya faham ada yang terikat dengan komitmen seni. Tapi syukurlah lebih ramai menyatakan tanda sokongan dan sedia memberikan kerjasama,” katanya lagi.

Selain gerai jualan yang turut membabitkan selebriti seperti Fazley Yaakob, Linda Onn, Dynas, Julia Ziegler dan Rabecca Nur Islam, ia turut dimeriahkan dengan acara lelongan yang dilakukan selebriti dan pereka fesyen.

Datuk Siti Nurhaliza yang turut memberikan sokongan kepada karnival lelong dan jualan amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi tujuan mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza, turun padang lagi ke acara ini dengan melelong koleksi barang miliknya.

Pereka terkenal tempatan yang memberikan rekaan mereka untuk dilelong seperti Albert King, Alvin Tay, Azura Mazaruddin, Bill Keith, Iszal (Butik Citra), Calvin Thoo, Jarum Emas, Jovian Mandagie, Kem daripada Kapas Couture. Michael Ong, Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Shaiful Bahrim dan Zang Toi.

Persembahan pentas daripada selebriti tanah air seperti Maya Karin, Amy Search, Betty Banafe, Noryn Aziz, Ezlynn dan ramai lagi turut menjadi tarikan. Pada masa yang sama, tabung bergerak yang diusung ahli jawatan kuasa acara ini turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi menambahkan lagi kutipan derma.

Selain itu, acara pentas turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi daripada Raja Azmi, Khir Rahman termasuk persembahan pantomin. Acara solat hajat turut dilakukan di Istana Budaya bagi memohon keberkatan dan berdoa supaya kemelut kemanusiaan di Gaza akan berakhir. Malah, malam pertama juga diadakan perarakan daripada Persatuan Setiakawan & Persahabatan Malaysia Palestin sebagai tanda protes dan boikot kepada barangan dari Amerika Syarikat.

Sirah Junjungan dipentaskan lagi bulan depan

MENGENAI perkembangan seninya, Erma akan mula sibuk lagi bermula semalam apabila kembali mementaskan teater muzikal Sirah Junjungan buat kali kedua di Istana Budaya selama dua minggu, mulai 9 hingga 22 Mac ini bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul. Kali pertama ia dipentaskan di lokasi dan bulan yang sama iaitu pada 19 hingga 23 Mac 2008.

Menurutnya lagi, beberapa nama besar akan terbabit dan sudah memberikan pengesahan termasuklah Jamal Abdillah yang beraksi lagi buat kali kedua dan Datuk Siti Nurhaliza turut diundang sebagai penyanyi.

Ketika ini, Erma memberitahu sedang cuba mendapatkan dua lagi nama besar untuk sama-sama terbabit.

“Selain Datuk Siti Nurhaliza yang sudah pasti akan terbabit, saya tengah berusaha mendapatkan Datuk Sheila Majid dan Ahmad Dhani dari kumpulan Dewa. Tapi semuanya masih dalam perancangan kerana kita hanya ada lebih kurang sebulan saja untuk berlatih,” katanya.

Bagi pementasan kali ini, pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim dan Vanidah Imran turut sama berlakon.

Teater muzikal ini merakamkan segala peristiwa penting dari tarikh keputeraan Rasulullah hinggalah baginda wafat. Sirah Junjungan membawa khalayak menelusuri perjalanan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi.

Berita Harian

Karnival Raih Lebih RM64,000

1 Feb

Oleh Suzan Ahmad
bhnews@bharian.com.my

MAWI ditemani isteri, Ekin melelong jeans miliknya pada Karnival Beramal Bersama Bintang ABPBH2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, Petaling Jaya, semalam.

Lebih 100 artis sertai program amal bersama Bintang ABPBH2008 untuk Gaza

PETALING JAYA: Karnival Beramal Bersama Bintang ABPBH2008 Untuk Gaza anjuran akhbar Berita Harian semalam berjaya mengumpul jumlah kutipan di luar jangkaan dengan keseluruhannya RM64,250.89.

Lebih 100 artis menyertai karnival yang berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung ke pusat beli belah Amcorp Mall, di sini bermula dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Tarikan utama karnival ialah lelongan koleksi peribadi serta berharga selebriti ternama tanah air, sesi bergambar bersama peminat, jualan rekaan pereka fesyen ternama, makanan dan minuman yang dikendalikan sepenuhnya oleh artis serta persembahan pentas. Barangan eksklusif Berita Harian juga turut dijual.

Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun mengakui sambutan diterima begitu memberangsangkan dan di luar jangkaan.

“Pada awalnya, jam 10 pagi hingga 6 petang dipilih sebab bimbang sambutan tidak menggalakkan. Ini disebabkan selain penganjuran dilakukan dalam masa agak singkat, faktor ramai yang pulang ke kampung bercuti panjang juga terpaksa diambil kira,” katanya yang tidak ketinggalan membeli beberapa barangan lelongan sebagai tanda sokongan.


KELETAH Azrul (kanan) ketika melelong pakaian Anita Sarawak mencuit hati Farah Fauzana.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Firdauz Bujang dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail merangkap penaung ABPBH2008.

Artis yang turut serta termasuk Anita Sarawak, Azean Irdawaty, Rosyam Nor, Mawi, Ekin, Aznil Nawawi, Chef Wan, Amir Luqman, Ahmad Idham, Aizat, Salamiah Hassan dan Atilia, Erra dan Emran, Faizal Tahir, Eja, Fauziah Gous, Linda Onn, Liyana Jasmay, Dia Fadila, Imuda, Jaclyn Victor, Farawahida, Serimah, Meet Uncle Hussein, Bau, Kuman & Geng Jahat, Ifa Radziah, Nassier Wahab, Shamsul Ghau Ghau, Nikki, Ryzal Jelatang, Saida, Saerah, Coda, Michael Shu, Marsha, Zahid dan Nita, Julia Ziegler, Iqram Dinzly, Ikhwal, Nabil, penyampai Hot FM, Winnie K, Sofaz, Sarah Raisuddin, Zizan Nin, Almy Nadia dan ramai lagi.

Hishamuddin berkata, jangka masa karnival itu juga sesuai kerana memberi peluang kepada artis untuk datang secara berperingkat.

Malah, seawal dua jam pertama karnival dimulakan, separuh daripada barang berjaya dijual, dan tidak timbul gerai kosong kerana ada saja artis lain yang sampai untuk menjual dan melelong barangan masing-masing.


ROSYAM Nor melayan peminat dan pembeli buku di gerainya untuk membantu menyumbang ke Tabung NSTP Untuk Gaza, semalam.

“Kami tidak mensasarkan kutipan tertentu, apa saja perolehan pada hari ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa besarnya hati artis tanah air untuk terbabit secara langsung dalam acara amal yang kali pertama seumpamanya dianjurkan,” katanya yang mengagumi keikhlasan dan kesungguhan golongan artis membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin dengan menyumbang secara langsung ke Tabung NSTP Untuk Gaza menerusi karnival ini.

Hishamuddin berkata, berikutan sambutan memberangsangkan, kutipan Tabung NSTP Untuk Gaza yang sepatutnya berakhir 7 Februari depan dilanjutkan sebulan lagi hingga 7 Mac.

Penganjuran karnival ini turut mendapat sokongan pemilik Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, Linda Onn dan Sharifah Zarina yang sudi menaja makanan dan minuman untuk artis dan petugas, manakala bekas peserta Raja Lawak iaitu Along, Angah dan Azrul selaku pengendali acara.

Karnival ini turut mendapat tajaan kek hotel Palace of The Golden Horses, Hotel Prince, Hotel Istana, Hotel Seri Pacific, Hotel Nikko, Hotel Legend, Hotel Grand Millenium, Hotel Berjaya Times Square & Convention Center dan Hotel Renaissance untuk dijual.

Berita Harian