Archive | Zaiton Sameon RSS feed for this section

Seniman Beli Mesin Hemodialisis

9 Oct

Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bercadang membeli sebuah mesin hemodialisis bagi meringankan beban ahli Seniman yang mengalami masalah buah pinggang tidak berfungsi.

Mesin tersebut akan ditempatkan di sebuah klinik yang boleh diguna pakai oleh mana-mana ahli Seniman yang memerlukannya.

Salah seorang ahli Seniman yang sering menggunakan mesin hemodialisis ialah Hussein Abu Hassan.

Menurut Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof, setakat ini pihaknya sedang mencari tempat yang sesuai untuk menempatkan mesin tersebut.

“Bila kami sudah kenal pasti lokasi, kami akan beritahu ahli. Kami perlu meletakkan mesin tersebut di klinik kerana ia perlu dikendalikan oleh seseorang berkelayakan.

“Untuk ahli Seniman, penggunaan mesin tersebut adalah percuma. Bagaimanapun orang luar boleh menggunakannya tapi dikenakan bayaran,” katanya yang ditemui selepas majlis sumbangan Hari Raya kepada anggota Seniman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, harga sebuah mesin tersebut dianggarkan bernilai antara RM30,00 hingga RM40,000.

Jelas Mustafa, Seniman beruntung kerana sehingga kini telah berjaya mengumpul wang simpanan sebanyak RM300,000 dalam Amanah Raya.

Katanya, wang tersebut diperoleh hasil daripada komisen penjualan slot RTM kepada syarikat penerbitan.

Antara produksi yang menggunakan slot yang dimiliki oleh Seniman ialah Skop Production, Suhan Movie, Metrowealth Movies, Articulate TV dan Ambang Entertainment.

“Wang daripada slot RTM yang berjaya dikumpul ialah RM70,000 dan wang sedia ada dalam Amanah Raya ialah RM230,000. Jadi jumlah semua wang simpanan ialah RM300,000.

“Seniman berharap dapat membantu ahli-ahlinya dari semasa ke semasa. Memang kami tidak memberi pencen kepada ahli tapi setiap masalah yang dihadapi oleh ahli, kami akan segera atasi,” katanya yang menerajui Seniman sejak tiga tahun lalu.

Pada majlis yang sama, Seniman telah mengeluarkan wang sebanyak RM35,000 untuk diberikan kepada 35 artis termasuk balu artis. Setiap daripada mereka menerima sumbangan sebanyak RM1,000.

Antaranya ialah Hussein Abu Hassan, Karim Latif. Neng Yatimah, Hamid Gurkha, Taman Idris, Sukirman Sudiro, Yazid Sobrani, Zaiton Sameon dan Mimi Loma.

Powered by Utusan Malaysia