Archive | American Idol RSS feed for this section

Peluang Saksi Final American Idol Di Los Angeles

30 Apr


KUMPULAN Hujan dijadualkan membuat persembahan pada 3 Mei.

KEMUNCAK American Idol musim kelapan bakal berlabuh 21 Mei ini, malah kini peminat program popular ini sudah mula berteka-teki mengenai siapa yang bakal ke peringkat akhir.

Sejak disiarkan April lalu, Star World dan stesen radio, Hitz FM membuka peluang berharga kepada pemenang bertuah bersama teman untuk menyaksikan secara langsung pertandingan akhir itu nanti di Nokia Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Dengan hanya perlu mengingati kata kunci yang diselit sewaktu siaran rancangan ini di saluran Astro 711 dan terbabit dengan cabaran radio yang dikendalikan penyampai radio JJ & Ean, kini 10 finalis bertuah Star World yang terpilih akan melalui pengalaman Walk Of Fame To Hollywood dalam misi mencari peminat sejati American Idol yang layak untuk bersua muka dengan bintang dan juri program itu secara dekat.

Untuk memeriahkan acara yang bakal berlangsung di Centre Atrium, Cineleisure, Mutiara Damansara pada 3 Mei ini, bukan hanya 10 peserta itu bakal beradu nasib, sebaliknya tiga lagi peserta wild card akan dipilih pada hari terbabit. Lalu, apa yang ditunggu lagi, datanglah ke lokasi berkenaan mulai jam 2 petang dan siapa tahu anda mungkin antara tiga peserta ‘tambahan’ yang dicari itu.

Sertai JJ & Ean daripada Hitz FM bersama keluarga dan rakan tersayang pada petang itu nanti kerana pelbagai material menarik daripada American Idol bakal dimenangi.

Tidak ketinggalan dalam meraikan kehadiran pertandingan akhir itu kumpulan Hujan dan Pesawat akan membuat persembahan untuk menceriakan lagi hujung minggu anda.

Berita Harian

Amal Kara

28 Apr

Susunan Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my


JATUH bangun dalam industri muzik sudah lumrah bagi Kara DioGuardi, 38, malah kehadirannya sebagai juri keempat rancangan televisyen popular, American Idol, turut mengundang pelbagai persepsi.

JATUH bangun dalam industri muzik sudah lumrah bagi Kara DioGuardi, 38, malah kehadirannya sebagai juri keempat rancangan televisyen popular, American Idol, turut mengundang pelbagai persepsi.

Ada yang menganggap kehadirannya sesuatu yang agak menarik, tetapi tidak kurang yang melemparkan kritikan. Namun segalanya kritikan dan pengalaman hidup lalu dianggap sesuatu yang hanya lebih mematangkan dirinya.

Penggubah lagu yang digabungkan dengan tiga juri veteran lain dalam rancangan American Idol ini, turut menyifatkan kejayaan dikecapinya kini bukanlah hasil dirinya seorang lantas biar sesibuk mana jadual sehariannya, dia cuba meluangkan waktu untuk melakukan sesuatu yang dianggap penting kini.

“Pandangan saya mengenai apa yang menjadi keutamaan kini memang berbeza sejak 10 tahun lalu. Saya ingin melakukan sesuatu untuk masyarakat kerana saya fikir saya seorang yang bernasib baik.

 

 

“Saya bekerja keras selama ini, tetapi pada masa sama, mereka yakin dengan kebolehan dan membantu saya hingga berjaya menempatkan diri pada kedudukan kini. Justeru, saya fikir harus melakukan sesuatu pula untuk membantu golongan yang memerlukan dalam industri ini,” katanya.

Menganggap muzik sebagai terapi, Kara membantu ramai penyanyi popular dalam melonjakkan karier masing-masing, antaranya Faith Hill, Christina Aguilera, Gwen Stefani, Santana, Kelly Clarkson, Jewel dan Carrie Underwood.

Sebagai sebahagian daripada kerja amalnya, beberapa tahun lalu dia membantu menubuhkan studio rakaman untuk kegunaan remaja memerlukan di Phoenix House, Los Angeles. Bukan hanya memperuntukkan sejumlah wang, dia turut meluangkan waktu pada hujung minggu untuk memberi tunjuk ajar diperlukan remaja terbabit.

“Ramai yang berbakat yang ingin saya bantu, tetapi tidak semua dapat saya tolong,” katanya yang turut mengambil peluang memberi bimbingan secara individu peserta yang tersingkir dalam program American Idol itu.

Dia akui bersikap terbuka dengan apa saja pandangan orang lain mengenai hasil kerjanya. Baru-baru ini pula, dia juga agak terbuka mengenai kisah lampau dirinya yang mengalami masalah pemakanan.

“Saya tak pernah bercakap mengenainya, tetapi ketika itu, daripada menangani masalah emosi berkenaan, saya cuba melupakannya dengan makanan,” katanya yang mengakui masalah itu berlaku ketika dia masih muda namun berjaya pulih menerusi rawatan.

Ketika menghadapi masalah pemakanan itu, menurutnya, dia tidak memaksa dirinya untuk lapar atau memuntahkan makanan yang dimakannya.

“Ketika saya mula terbabit dalam bidang muzik dan sedar melakukan perkara yang sangat digemari, saya tidak menghadapi masalah itu lagi,” katanya.

Tekanan berada di kalangan golongan yang popular masih dirasainya terutama berada dalam kelompok American Idol, namun dia juga akui sudah mampu mengatasi keadaan sedemikian.

“Saya menjadikannya satu komitmen dalam hidup untuk berhadapan rasa bimbang dan jika takutkan sesuatu, saya pastikan akan melakukannya,” katanya.

Harian Metro

Drama AF7 'Bunuh' Aril

28 Apr

Oleh MOHD. YUSMAN AWANG
yusman.awang@yahoo.com


ARIL (kanan) dikatakan tersingkir kerana pengundi teruja untuk membantu Aishah (dua dari kanan) daripada tersingkir.

BAYANGKAN American Idol disuntik elemen drama membabitkan isu remeh-temeh dan gosip tentang para pesertanya. Bayangkan pula Akademi Fantasia tanpa elemen tersebut.

Memang tidak adil untuk membuat perbandingan antara American Idol dan Akademi Fantasia tetapi apa yang jelas, kedua-dua program realiti TV popular itu memiliki matlamat yang sama iaitu untuk melahirkan penyanyi berbakat dan popular hasil pilihan ramai.

Namun apabila disuntik elemen drama dan gosip cinta, matlamat itu sudah menjadi kacau. Membandingkan produk kelahiran American Idol dan Akademi Fantasia, jenis penyanyi yang bagaimanakah kita harapkan untuk menjana industri muzik?

Lihat bagaimana produk American Idol seperti Kelly Clarkson dan Carrie Underwood yang lebih membanggakan dari segi pencapaian karier muzik mereka berbanding heboh dengan gosip murahan.


ARIL mempunyai jawapan tersendiri kenapa dia memeluk kesemua tenaga pengajar AF7, termasuk Tiara.

Bandingkan mereka dengan produk-produk kelahiran AF. Bukan untuk menuduh produk kelahiran AF tiada yang membuat pencapaian gemilang dalam karier muzik, tetapi majoritinya lebih condong ke arah isu remeh-temeh membabitkan isu peribadi terutama sekali gosip cinta, melebihi pencapaian mereka dalam bidang seni.

Justeru, apabila menyaksikan persembahan memberangsangkan daripada Khairil Azam Pilus atau Aril, pada konsert ketujuh Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) menerusi lagu popular Gigi, Nakal, peserta berusia 24 tahun itu dilihat sebagai produk penting AF.


TANPA ARIL. Pelajar AF7 yang berpeluang ke final, dari kiri, Hafiz, Claudia, Isma, Aishah, Akim dan Yazid.

Namun gara-gara mahu menyemarakkan AF7 dengan elemen drama, peserta yang berpotensi untuk menjadi suatu produk AF yang berlainan berbanding produk-produk AF sebelum ini ternyata telah ‘dibunuh’ peluangnya!

Itu nasib malang yang menimpa Aril, apabila diumumkan sebagai peserta kelapan yang tersingkir pada konsert yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lepas.

Cuba menyelami reaksi Adlin Aman Ramlie terhadap penyingkiran Aril, juri tetap AF7 itu mengakui dia berasa cukup terganggu. Sebelum ini, dalam kritikannya terhadap persembahan Aril, dia melabelkan Aril sebagai produk yang belum pernah ada dalam AF.

Adlin ternyata tidak senang apabila bekas pelajar AF3, Marsha Milan Londoh ‘dimasukkan’ ke kampus AF7 yang kemudian digambarkan dan boleh dilihat oleh penonton menerusi Diari AF7 pada minggu lepas, seolah-olah dia sedang cuba menjalinkan cinta dengan Aril. Malah lebih hebat, ditonjolkan klip Marsha mengurut tengkuk Aril!


PRODUK berbeza. Aril memberikan persembahan hebat yang lain daripada pelajar AF sebelum ini.

HAFIZ menduduki tempat tertinggi di AF7 saat ini.


SEPERTI ada sesuatu yang membelenggu Isma pada persembahannya kali ini.

“Penyingkiran Aril itu menunjukkan faktor populariti dipengaruhi elemen personaliti,” ujarnya kepada Kosmo!.

“Apabila Marsha dimasukkan ke dalam kampus AF7 pada minggu lepas dan ditonjolkan seolah-olah sedang bercinta dengan Aril, saya fikir ia telah mempengaruhi pengundi-pengundi AF7 di luar sana.

“Kemasukan Marsha itu menyebabkan ada faktor luaran yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Marsha dimasukkan ke situ. Akhirnya, gimik yang dilakukan telah memakan diri,” tegasnya lagi.

Tambah Adlin: “Elemen drama yang disuntik membabitkan Marsha itu bukan suatu penjenamaan yang bagus untuk AF. Kesimpulan hasil perbincangan saya dengan beberapa pihak mendapati elemen drama yang cuba diterapkan itu lebih banyak mendatangkan negatif kepada personaliti peserta.

“Pengundi mengundi peserta bukan sekadar berdasarkan persembahan pada malam konsert tetapi juga dari sudut personaliti peserta yang boleh diperhatikan setiap hari menerusi Diari AF. Juri hanya mampu memberikan pengaruh dari segi pandangan terhadap skil dan mutu persembahan peserta.”

Dalam pada itu, Adlin tidak menyalahkan penonton. “Saya tidak salahkan pengundi dalam hal ini kerana mereka ada dua pilihan sama ada menyukai peserta kerana personaliti atau kerana persembahan. Tapi apabila diganggu dengan elemen drama seperti yang dicetuskan dengan penglibatan Marsha itu, bagi saya itu suatu gangguan terhadap personaliti peserta.

“Kalau saya jadi abang, bapa atau pengurus Aril saya saya tidak mainkan elemen itu untuk mengangkat personaliti Aril kerana ia lebih condong ke arah negatif.

“Senario berbeza dilihat terhadap seorang lagi peserta AF7, Hafiz yang dilihat memiliki personaliti yang bersih dan naif, tidak diganggu dengan elemen drama yang boleh meletakkan dirinya dalam suasana seperti yang dialami Aril dan ditambah dengan persembahannya yang bagus, justeru sebab itu dia muncul menjadi pilihan nombor satu pengundi,” tegasnya.

Namun, lain pula pandangan seorang lagi juri AF7, Adibah Noor yang tidak melihat Marsha sebagai punca Aril tersingkir kali ini. Sememangnya Adibah antara yang sangat kecewa sehingga dia meluahkan kepada Kosmo!: “Dengan tersingkirnya Aril, harapan untuk melahirkan bintang yang berkaliber telah hancur musnah!”

Menurut Adibah, Aril sudah sedia maklum apabila Marsha dimasukkan ke kampus AF7 dengan matlamat untuk mengenakannya. “Jadi, Aril hanya menjadi dirinya tetapi dia tahu ketika mana yang perlu dikawal keadaan. Lagipun, Marsha bukan sahaja mengusik Aril, tetapi juga pelajar lain seperti Aishah,” ujarnya.

Dia mengakui tidak memahami apa kehendak pengundi AF7 terhadap peserta. “Aril hanya menjadi dirinya, setidak-tidaknya dia tidak hipokrit. Kalau sikap itu tidak disukai pengundi, saya fikir adakah peserta kena menjadi hipokrit untuk meraih undian penonton?” soal Adibah.

Menyentuh mengenai adakah penyingkiran Aril itu sebagai gimik supaya Aril boleh diundi masuk semula seperti prosedur AF sebelum ini, beritahu Adibah: “Saya rasa itu sesuatu yang perlu dilakukan bagi memberikan peluang semula kepada Aril tidak kiralah penyingkirannya itu suatu gimik ataupun secara kebetulan. Kalau tidakpun ada cadangan supaya pemilihan kemasukan semula dibuat oleh juri.”

Sementara menyentuh mengenai konsert mingguan yang sebelum ini sering meraih kritikan negatif, Adibah menyifatkan berlaku banyak peningkatan di kalangan pelajar pada konsert minggu ketujuh itu.

“Kesemua pelajar lelaki menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan terutama Akim dan Yazid yang akhirnya berjaya keluar dari kepompong mereka. Tapi saya tidak berpuas hati dengan ketiga-tiga pelajar perempuan – Isma, Claudia dan Aishah kerana mereka kelihatan seperti kembali ketika seperti mula-mula menyertai AF7. Saya tidak faham kenapa persembahan mereka seperti ada sesuatu yang membelenggu mereka,” katanya.

Dengan penyingkiran Aril, kini tinggal enam peserta yang masih berpeluang ke final AF7 iaitu tiga pelajar perempuan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, Aishah atau nama sebenarnya Siti Aishah Bujang, 18, Claudia Fay Geres arau Claudia, 24, serta tiga pelajar lelaki iaitu Yazid atau nama penuhnya, Mohd. Yazid Ibrahim, 22, Mohd. Hafiz Mohd. Mohd. Suip, 19, dan Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18.

Kosmo

Wanita Intip Britney Ditahan

20 Apr

LOS ANGELES: Seorang wanita yang ditahan di luar kediaman penyanyi terkenal Amerika Syarikat, Britney Spears, adalah seorang bekas peserta rancangan realiti American Idol yang menjelaskan dia membuat rakaman ala-paparazi.

Miranda Tozier-Robbins berkata, dia mahu menunjukkan betapa teruknya kerja paparazi dan memilih Britney kerana ‘adalah lebih mudah jika rakaman itu membabitkan orang diminati.’

Anggota polis menahan Miranda, 26, selepas pengawal keselamatan ternampak wanita itu meninjau dari luar tingkap kediaman penyanyi itu dengan membawa peralatan kamera.

Miranda berasal dari daerah Fitchburg, Massachusetts, memberi jawapan kepada beberapa soalan wartawan dan mengesahkan identitinya sebagai orang ditahan. Dia tidak menjangka Britney berada di rumah ketika itu, tetapi sedia menjual gambar diambilnya. – AP

Berita Harian

Akhirnya Lulus Ujian – David Archuleta Atasi Populariti Juara

18 Apr

Oleh JESSABELL SOO
jessabell@kosmo.com.my

MENJADI peserta American Idol (AI) pertama yang menjejak kaki ke Malaysia, David Archuleta yang hanya meraih tempat kedua dalam program realiti popular itu tahun lalu membuktikan kekalahannya kepada David Cook bukannya bermaksud dia kurang diminati.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Archuleta sebenarnya lebih diminati di Malaysia berbanding Cook.

Maka, tidak hairanlah Archuleta memilih untuk melawat peminatnya di sini kerana selain Malaysia, penyanyi berusia 18 tahun itu hanya mengunjungi Singapura sebagai destinasi di negara Asia.

Memang tidak sia-sia Archuleta terbang jauh dan menetap selama lima hari dengan jadual yang padat. Menariknya dalam jadual promosinya, dia bukan sahaja ditemu bual di stesen radio, bertemu dengan wartawan serta menghiburkan 5,000 peminat di Amphitheatre Sunway Lagoon. Archuleta juga melawat Sekolah Sri KDU, Kota Damansara untuk bertemu secara dekat peminatnya.


TEWAS sebagai juara, tetapi menang dari segi populariti selepas keluar daripada American Idol tahun lalu.

Demam Archuleta juga dapat dirasakan jika anda merupakan pendengar setia radio terutama stesen Hitz.FM. Setiap kali lagu berhenti diputarkan, juruhebahnya akan bercerita mengenai perkara yang sama iaitu tentang Archuleta.

Malah, kini selepas berakhirnya David Archuleta Asian Promo Tour, stesen radio itu masih lagi hangat membicarakan showcase yang diadakan pada Sabtu lalu.

Itulah kuasa tarikan Archuleta. Peminatnya mula memenuhi Amphitheatre seawal 2 petang walaupun showcase dijadualkan bermula pada pukul 3 petang. Dalam hujan, peminat berebut untuk masuk kerana jumlah audiens yang datang telah melebihi jangkaan.

Maka, disebabkan tidak mahu menghampakan peminat, mereka dibenarkan masuk dan terpaksa memenuhi ruang tangga Amphitheatre. Persembahan hanya bermula 3.50 petang dengan aksi penyanyi jemputan iaitu Hou Ren, Aliff Satar dan Daniel Lee.


MENDEKATI budaya Melayu, si kacak ini dipakaikan samping tenunan songket sewaktu sidang akhbar.

Walaupun perlu menunggu lama, suasana di Amphitheatre tetap meriah dengan jeritan peminatnya. Muncul pada pukul 4.30 petang, Archuleta dengan senyuman memulakan persembahan lagu A Little Too Not Over You diikuti dengan Touch My Hand, Don’t Let Go dan Crush.

Menyanyi tanpa banyak berbicara, peminatnya menyanyi bersama terutama apabila lagu popular Crush didendangkan.

“Saya amat gembira kerana dapat menemui peminat di sini buat kali pertama. Terima kasih Malaysia,” kata Archuleta.

Persembahannya yang singkat tamat pada pukul 4.50 petang tetapi peminat masih belum puas. Sambil menjerit nama Archuleta, dia keluar dengan senyuman dan menyampaikan dua buah lagu nyanyian Vanessa Carlton, A Thousand Miles dan lagu Robbie Williams, Angels.

Maka, ditambah dengan dua buah lagu itu, Archuleta hanya menghabiskan masa selama setengah jam bersama peminatnya.

Mungkin ada yang tidak berasa puas, tetapi melihat wajah peminatnya yang ramai ditemani ibu bapa, mereka ternyata gembira. Pada mereka, senyuman dan lambaian Archuleta sudah mencukupi walaupun dalam masa yang begitu singkat.

Tidak mahu lupa diri

Dua hari sebelum showcase Archuleta diadakan, penyanyi itu terlebih dahulu bertemu dengan wartawan pada satu sidang media. Tampil comel dalam baju Melayu berwarna hijau epal, Archuleta turut dihadiahkan kain songket oleh Pengarah Urusan Sony Music Malaysia, Adrian Lim.


ARCHULETA berjaya membuktikan dia seorang penghibur yang hebat ketika di pentas.

Pertama kali menjejak kaki ke Malaysia, David gembira kerana berpeluang menyaksikan pelbagai budaya berbeza. Sebelum bergelar penyanyi, dia tidak sedar dengan budaya lain di negara luar.

Maka, mencapai populariti pada usia muda telah membolehkan dia keluar mengenali dunia. Namun, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Archuleta berdepan dengan populariti terutama apabila dia menyertai AI pada usia 16 tahun.

“Saya sentiasa mengingatkan diri supaya tidak leka dan tidak lupa diri. Saya masih merupakan David yang sama sebelum menyertai AI. Dengan cara itu, ia membantu untuk mengekalkan nilai moral dalam diri saya.

“Ayah dan keluarga saya banyak membantu saya berpijak di bumi yang nyata. Industri hiburan boleh menjadi sesuatu yang menakutkan dan artis boleh dikelilingi dengan benda-benda negatif. Hubungan rapat dengan keluarga boleh membantu saya menilai baik buruk sesuatu keputusan,” kata Archuleta sambil tersenyum.


PEMINAT Archuleta kelihatan cukup teruja dapat menyaksikan persembahannya secara langsung.

Masih muda dan menunggu masa sesuai untuk mencari teman wanita, Archuleta memberitahu memang banyak benda yang dia terpaksa korbankan apabila menceburi industri hiburan pada usia muda. Namun, itu adalah impiannya dan dia sedikit pun tidak menyesal.

“Memang banyak benda yang terpaksa saya korbankan. Namun, jika saya menjadi orang biasa, saya mesti terfikir mengapa saya tidak terlibat dalam bidang muzik. Saya suka menyanyi dan membuat persembahan.

“Maka, ini adalah pilihan yang tepat. Lagipun, jika saya berpeluang untuk pulang ke rumah, saya masih akan menghabiskan masa bersama keluarga dan kawan-kawan saya,” tambahnya.

Tidak mempunyai banyak pengalaman dalam industri, Archuleta mempelajari banyak benda baru semasa menyertai AI. Maka, berbekalkan pengalaman yang diperolehi semasa menyertai AI, Archuleta mahu mereka terutama golongan remaja yang ingin menjadi penyanyi berani untuk merealisasikan impian itu.

“Kepada mereka yang mempunyai impian dan kesungguhan untuk menjadi penyanyi, ikut sahaja impian anda itu. Namun, anda perlu memiliki daya dedikasi yang tinggi. Seperti AI, saya menganggap ia satu ujian sebagai persediaan diri. Ia satu tugas yang berat tetapi saya gembira kerana berjaya lulus ujian itu.”

Sedang menulis untuk album barunya, Archuleta pada mulanya tidak mempunyai keyakinan diri kerana merasakan penulisan lirik itu satu tugas yang sukar. Namun, dia kini lebih berkeyakinan kerana mahu mempaparkan lebih banyak sisi dirinya kepada peminat.

Mengagumi Kelly Clarkson yang tidak membiarkan benda lain menghalang pemilihan muziknya, pemenang AI musim pertama itu dilihat tidak terperangkap dan sentiasa menggabungkan elemen muzik berbeza dalam karyanya. Itulah contoh yang ingin dipaparkan oleh Archuleta.

“Album pertama dihasilkan dengan tujuan supaya semua pendengar sedar bahawa saya masih muda. Semasa saya membuat persembahan di AI, saya tidak mempunyai peluang untuk menunjukkan kepada audiens sisi muda saya.

“Saya mahu menunjukkan bahawa saya hanya berusia 18 tahun. Lagipun saya tidak akan menjadi remaja selama-lamanya. Untuk album kedua pula, saya ingin menghasilkan lagu lebih matang. Ini kerana saya sedar peminat saya bukannya dari golongan remaja sahaja.

“Tetapi saya ingin kekal jujur terhadap muzik saya dan berkongsi dengan seramai orang yang boleh. Saya mahukan lagu yang punya lebih banyak emosi,” ujar Archuleta pada sidang media yang berlangsung selama 15 minit.

Kosmo

Masih Ada Masa Melepak

18 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

David Archuleta

David Archuleta nasihatkan peminat jangan abaikan pelajaran apabila hendak jadi penyanyi

ADA dua perkara yang begitu sinonim dengan figura remaja yang cukup terkenal ini. Pertama, kegilaannya terhadap bidang nyanyian, dan kedua, senyuman manis yang tidak pernah lekang dari bibir. Itulah dia David Archuleta. Remaja berasal dari Murray, Utah, Amerika Syarikat ini yang pernah mencetuskan fenomena sewaktu dia berada di dalam program realiti, American Idol tahun lalu.

Buktinya, sebaik saja penulis bersama tiga rakan yang lain bertemu jejaka comel ini untuk sesi temubual di sebuah hotel di Bandar Sunway, baru-baru ini David menyambut ketibaan kami dengan senyuman manis yang menjadi ‘trademark’ nya sambil menyanyikan lagu Spotlight yang dipopularkan oleh Jennifer Hudson.

“Saya memang begini kerana nyanyian adalah jiwa saya,” ucap David yang berwajah ceria sambil mempersilakan kami duduk.

Dia yang baru saja muncul dengan album sulungnya ini, kelihatan matang berbanding usianya yang baru saja mencecah angka 18 tahun.

Bagaimana usia semuda itu berhadapan dengan popularitinya yang semakin meningkat dan dikenali seantero dunia?


DAVID memang terkenal sebagai artis luar negara yang murah dengan senyuman.

“Saya masih menjalani kehidupan remaja saya seperti orang lain. Saya masih ada masa bersama keluarga di luar rumah. Malah kalau saya tidak terbabit dengan sebarang persembahan, saya lepak bersama kawan-kawan. Tapi selalunya saya mengundang mereka datang ke rumah, bukannya berjalan-jalan di pusat membeli belah,”ujar David sambil ketawa.

Berkisar mengenai populariti yang melingkari hidupnya, dia berkata berdepan dengan peminat dari serata dunia adalah paling menyeronokkan.

“Ia pengalaman yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya hargai sokongan mereka dan merekalah inspirasi saya,” katanya.

Kejayaan David ini tentunya menjadi inspirasi ramai remaja dan lebih menggembirakan David tidak lokek untuk berkongsi resipi kejayaannya.


ADRIAN mengikat sampin songket David.

“Untuk mereka yang mempunyai keinginan menyertai pertandingan seperti ini, mesti bekerja keras kerana American Idol bagaikan sebuah boot camp untuk melatih mereka yang sememangnya mempunyai bakat. Bagaimanapun, kalau boleh pelajaran harus diutamakan.

“Kita tidak tahu sampai bila menyanyi. Apabila ada pelajaran, sekurang-kurangnya kalau ada apa-apa berlaku, kita lebih bersedia,” katanya.

David, penyanyi naungan Sony Music Sdn. Bhd hadir di ibu negara baru-baru ini bagi mempromosikan album sulungnya yang mengandungi dua lagu popular iaitu Crush dan A Little Too Not Over You, yang turut mencatat kejayaan apabila mencatat angka 100 ribu dimuat turun.

Mengulas laporan kononnya dia ada mendapat tawaran berlakon dalam filem terbitan Disney, David berkata dia tidak tahu menahu berhubung perkara itu.

“Kalau diberi peluang, saya tak kisah untuk mencubanya. Mungkin saya mengambil kelas lakonan sebagai persediaan sebelum menceburi bidang lakonan secara serius,” katanya lagi.

Sebagai bekas peserta American Idol, David turut ditanya calon kegemarannya yang bakal menjadi juara menggantikan David Cook.

“Saya sudah banyak kali terlepas menontonnya kerana sibuk dengan promosi album. Tapi saya sempat menyaksikan persembahan Kris Allen yang menyanyikan lagu Ain’t No Sunshine.

“Persembahan dia cukup menghiburkan terutama dari segi vokal dan susunan muzik lagu itu. Dia berjaya membuatkan lagu itu seperti lagunya dan itulah yang penting dalam pertandingan seperti ini,”jelasnya.

Segak berbaju Melayu

SEHARI sebelum temubual eksklusif ini dilangsungkan, David terlebih dulu bertemu dengan lebih 40 media tempatan dan luar negara seperti Indonesia. Hadir memakai baju Melayu cekak musang, David yang kelihatan begitu teruja apabila kemunculannya pada petang itu di sambut dengan paluan kompang.

“Sungguh selesa kerana sangat lembut apabila disentuh. Saya harap saya akan dapat membawa pulang pakaian istimewa ini,” tutur David yang kelihatan segak berbaju Melayu dan bersampin songket.

Hadir sama pada sidang media itu adalah Pengarah Urusan Sony Music, Adrian Lim.

Memiliki wajah comel, ditambah suara yang cukup merdu pastinya memberi kelebihan buat David untuk memikat hati ramai gadis yang meminatinya. Apatah lagi dalam usia sekarang, tentunya David berkeinginan menjalinkan hubungan cinta sama seperti anak remaja lain.

Bagaimanapun, jelas David perkara itu bukanlah sesuatu yang difikirkannya buat masa ini.

“Saya masih belum bersedia untuk serius dengan mana-mana gadis. Saya masih single dan berilah saya masa untuk mengejar kerjaya dan bertemu dengan ramai orang sebelum memikirkan untuk bercinta. Bila tiba masanya, biarlah ia berlaku,” tutur David optimis,

Sabtu lalu, sebagai rangka promosi, David turut membuat persembahan di Sunway Lagoon Theme Park Ampitheatre. Dia juga melawat sekolah Sri KDU, yang memenangi kuiz anjuran Sony Music dan Hitz.FM.

INFO

Nama penuh: David James Archuleta

Nama Komersial: David Archuleta

Tarikh lahir: 28 Disember 1990

Tempat lahi: Miami, Florida

Genre: Pop

Kerjaya: Penyanyi, penulis lagu dan pelajar

Kebolehan bermain alat muzik:Piano, Keyboards dan Gitar

Pengalaman: Naib Juara American Idol 2008

Jusul album: David Archuleta (2008)

Website: http://www.DavidArchuleta.com

>www.Myspace.com/DavidArchuleta

Berita Harian

5,000 Tunggu Archuleta

14 Apr

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap

PESONA jejaka yang dikenali sebagai David Archuleta, 18, nyata menarik perhatian ramai peminat untuk berhibur bersamanya. Biarpun usia masih remaja, penyanyi asal Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS) ini membuktikan dia mempunyai sokongan peminat dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Populariti dikecapi sejak menang tempat kedua program realiti American Idol musim ketujuh pantas melonjak namanya hingga dikenali ramai.

Sejak Archuleta tampil dengan album debut pada November lalu, peminat juga sebenarnya teruja untuk menyaksikan persembahan penyanyi ini menerusi konsert. Sebagaimana kegilaan peminat di AS sendiri, peminat di negara ini juga ternanti-nanti kehadiran Archuleta.

Nyata, impian peminat tempatan untuk melihat lebih dekat aksi Archuleta di pentas menjadi kenyataan apabila penyanyi itu berpeluang berkunjung ke negara ini minggu lalu.

Persembahan Archuleta dikenali David Archuleta Live In Malaysia di Sunway Lagoon Amphitheatre, Bandar Sunway, Sabtu lalu, tetap menghiburkan walaupun hanya berkesempatan muncul selama setengah jam.

Bagi lebih 5,000 peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan petang itu, mereka sanggup menunggu selama sejam setengah sebelum penyanyi pujaan ramai itu muncul di pentas. Penyanyi Sony BMG Music Entertainment, Misha Omar juga tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan Archuleta.

Untuk menghangatkan suasana, penonton terlebih dulu dihiburkan dengan persembahan tiga artis tempatan, bintang program Astro Talent Quest 2008, Hou Ren diikuti pemenang ketiga, One In A Million musim pertama, Muhammad Alif Mohd Satar (Alif) dan juara Malaysian Idol musim kedua, Daniel Lee.

Kehadiran tiga penyanyi tempatan ini belum cukup membuatkan peminat duduk diam. Sebelum Archuleta muncul, peminat yang hadir sudah menjerit nama penyanyi itu berulang kali.

Suasana hujan lebat di luar persembahan berbumbung itu tidak mematahkan semangat peminat untuk bersesak dan terus menanti Archuleta. Hingga kelibat Archuleta muncul, suasana menjadi bertambah gamat dengan sorakan peminat.

Penampilan Archuleta dengan kemeja bercorak kotak, jeans dan bertali leher menyerlah gaya penyanyi itu yang terus menyampaikan lagu pertama, A Little Too Not Over You.

 

 

Bersambung dengan lagu kedua, Touch My Hand, persembahan Archuleta benar-benar memukau peminat dengan kehebatan vokal dimiliki. Jika sebelum ini peminat hanya menonton kehebatannya di TV, kali ini berpeluang menilai persembahannya secara langsung.

Selain kekuatan vokal, Archuleta juga disenangi peminat kerana sifat mudah tersenyum dan mesra ketika bersama peminat.

Berlalu dengan dua lagu, Archuleta turut menyampaikan lagu Don’t Let Go dan single popularnya, Crush. Untuk empat lagu yang disampaikan, Archuleta menyanyi dengan penuh semangat, apatah lagi peminat tidak melepaskan peluang menyanyi bersama.

Sepatutnya lagu Crush menjadi persembahan terakhirnya tetapi kerana jeritan peminat yang memanggil namanya, dia kembali semula ke pentas untuk mendendangkan dua lagu tambahan, A Thounsand Miles dan Angel. Menariknya, persembahan ekstra ini menyaksikan dia menyerlahkan bakatnya bermain piano sambil menyanyi.

Bagi peminat, persembahan julung kali Archuleta di sini meninggalkan kenangan manis yang tidak dilupakan dan pasti terus dirindui untuk kembali semula. Sebelum persembahan berakhir, dia sempat menyatakan penghargaan pada peminat dan tidak menyangka sambutan yang diterima daripada peminat di sini juga hebat.

“Terima kasih banyak atas sokongan anda semua pada saya selama ini. Pastinya, sokongan anda amat bermakna buat saya dan pengalaman berada di sini cukup menyeronokkan,” katanya.

Bagi Archuleta pula, kunjungan singkat sepanjang empat hari di negara ini tetap memberikan pengalaman indah sepanjang karier seninya yang baru bermula setahun lalu.

Kali ini, dia bukan hanya hadir untuk mengadakan persembahan tetapi juga memberikan kejutan pada guru dan pelajar Sekolah Sri KDU yang menang peraduan Never Been Done Before anjuran Sony BMG dan stesen radio Hitz FM.

Dalam peraduan itu yang terbuka pada pelajar sekolah menengah, pemenang berpeluang bertemu Archuleta dengan lebih dekat. Sekolah berkenaan berjaya mendapat 65,700 mata daripada 104,480 penyertaan diterima.

Pada kunjungan itu, Archuleta turut berkongsi pengalaman sepanjang bergelar penyanyi popular dan mengadakan sesi soal jawab bersama wakil sekolah di situ sebelum menyampaikan dua lagu, Crush dan A Little Too Not Over You.

Dua hari sebelum persembahannya, dia juga hadir pada sidang media. Katanya, dia gembira bertemu peminat di negara ini walaupun mengakui penat apabila terbabit dengan pelbagai persembahan jelajah di lokasi berbeza sebelum ini. Menariknya, pada pertemuan bersama media itu, dia mengenakan baju Melayu dan samping.

“Mungkin ramai peminat beranggapan saya sedih kerana gagal menang American Idol yang lalu tetapi sebenarnya saya tetap gembira dengan apa yang saya lalui hingga kini. Kemenangan bukanlah perkara utama pada saya sejak menyertai pertandingan itu.

“Jika difikirkan, saya masih tidak faham bagaimana saya mampu kecapi kejayaan hingga tahap ini. Bagaimanapun, saya mahu terus berkarya menerusi muzik dan meraih peluang yang hadir selepas membuat persembahan.

“Apa yang berlaku pada saya hari ini tidak pernah saya mimpi sebelum ini. Dalam kehidupan yang dilalui kini, saya sendiri merasakan saya masih melalui kehidupan biasa seperti orang lain kerana saya berpeluang bertemu rakan dan pergi ke restoran.

“Ada juga yang kenal saya ketika di luar tetapi mereka juga faham dengan masa peribadi saya. Ia suatu yang kelakar apabila saya menyertai pertandingan nyanyian tetapi saya bukan suka bersaing. Saya pernah sertai satu pertandingan nyanyi pada usia 10 tahun dan Star Search, dua tahun selepas itu.

“Hingga mencuba nasib menerusi American Idol, saya masih tidak mempunyai hasrat untuk bersaing. Saya lebih gemar meraih peluang menyanyi dan saya memang suka menyanyi,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

David Archuleta Bawa Pulang Baju Melayu

10 Apr

[
Tonton video ]

Teks oleh Haswari Ali
Foto & video oleh Haswari Ali

KUALA LUMPUR, 10 APRIL 2009:  Persalinan Baju Melayu berona hijau lengkap dengan songket yang dipakai finalis American Idol musim lalu, David Archuleta, 19, ketika sidang media sempena kunjungannya di Malaysia semalam, akan di bawa pulang penyanyi itu ke Amerika Syarikat sebagai  buah tangan.

Ditanya portal murai.com.my bagaimana perasaanya apabila menyarungkan pakaian tradisional masyarakat Melayu itu David berkata, dia cukup sukakan rekaan dan kualiti fabriknya.

“Terima kasih, saya cukup menyukainya. Fabriknya lembut dan baunya juga wangi. Pastinya saya akan membawa pulang ke Amerika,” katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Baju Melayu berwarna hijau muda itu adalah hadiah daripada Sony Music Entertaiment Sdn Bhd sempena lawatannya selama 4 hari ke negara ini.

David berkata, dia bangga apabila berpeluang memperagakan baju berkenaan di hadapan peminatnya di sini.

“Ya memang saya menyukai warna hijau ini dan kalau nak tahu warna jingga, kuning dan hijau juga adalah warna-warna kegemaran saya. Di Amerika Syraikat, tak semua orang berpeluang mengenali budaya masyarakat lain. Mungkin dengan pakaian ini, saya akan dapat berkongsi cerita mengenai keistimewaan Malaysia.

“Bagi saya pengalaman seumpama ini adalah cukup menarik dan merupakan satu penghargaan apabila dapat menyarungkan pakaian kebangsaan sesebuah negara di hadapan peminat saya,” katanya.

Tampil dengan album sulung berjudul David Archuleta, kunjungannya ke Kuala Lumpur, turut diserikan dengan sesi lawatan ke Sekolah Sri KDU dan seterusnya persembahan istimewa di Sunway Lagoon Amphitheatre, jam 3 petang esok (Sabtu).

Ikuti temubual bersama David sepanjang sidang media di Sunway Lagoon Theme Park, semalam.

Soalan: Bagaimana anda berhadapan dengan dunia populariti pada saat usia anda hanya 17 tahun?
David: Setakat ini saya berjaya menguruskannya dan suka dengan hasilnya. Tapi saya tak rasa  banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya. Apa yang dapat sekarang adalah sekadar tambahan saja. Apa yang pasti saya dapat mengenali dunia lain.

Soalan: Kehidupan anda sebagai remaja popular. Apa pendapat anda?
David: Saya masih menyukasi kehidupan saya sekarang. Sebab sebelum jadi artis dulu, saya selalu tertanya bagaimana agaknya rasanya membuat persembahan di atas pentas. Saya tak pernah terfikir akan menjadi seperti sekarang ini. Saya masih seperti dulu. Bersama kawan-kawan dan keluarga. Kami lakukan aktiviti seperti biasa. Keluar makan di restoran bersama-sama. Saya rasa peminat di luar sana (AS) faham dengan masa peribadi saya.

Soalan: Kejayaan anda hari ini banyak didorong oleh ayah anda. Bagaiamana anda menghadapinya?
David: Ayah saya sangat penting dalam keluarga. Dia banyak membantu saya  dalam membuat pilihan. Lagipun dalam industri hiburan terlalu banyak perkara gila yang kita tak jangkakan akan berlaku. Kehadiran keluarga sebenarnya banyak membantu saya dan dialah yang banyak menguruskan perkara dengan pelbagai pihak dari lapisan peringkat. Kehadirannya sangat penting.

Soalan: Apa nasihat anda kepada mereka yang ingin menyertai pertandingan realiti seperti anda?
David: Terus ikut apa yang diimpikan. Seperti saya, saya seorang yang mempunyai impian yang sangat besar dan inilah yang saya idamkan selama ini. Memang banyak perkara yang perlu saya laluinya. Perlu juga bekerja keras. American Idol bukanlah landasan yang mudah. Terlalu ramai orang yang berbakat hadir ujibakat jadi saya tidak melepaskan peluang itu. Memang ianya mengambil masa dan perlu banyak kerja keras.

Soalan: Apakah sebenarnya hala tuju muzik anda?
David: Saya memperjuangkan muzik pop. Ramai yang kata saya sepatutnya menjadi seperti Josh Groban, jangan salah sangka. Saya sukakan muziknya. Tapi saya rasa saya bukanlah sesuai untuk saya mempertaruhkan eleman klasikal sepanjang masa. Saya masih rasakan saya 18 tahun dan muda dan saya ingin jadi muda. Saya ingin tunjukkan jiwa muda saya. Saya mahu muzik saya dekat dengan peminat yang seusia dengan saya tapi dalam masa yang sama saya juga perlu mempelbagaikan muzik saya. Peminat saya datang dari pelbagi kelompok usia. Kalau boleh saya mahu tonjolkan emosi saya sebenar dalam muzik saya.

 

Murai

Mahu Hidup 100 Tahun

5 Apr

Barisan Archies atau Arch Angels (gelaran bagi peminat David Archuleta) sudah boleh bersedia sekarang. Penyanyi comel kelahiran program American Idol musim ketujuh itu akan menyemai cintanya di Malaysia.

Archuleta dijadualkan berada di negara ini selama empat hari bermula 8 hingga 12 April ini dalam siri promosi album sulung dengan judul namanya sendiri, David Archuleta.

Tidak lengkap promosi tanpa persembahan eksklusif. Mengetahui permintaan dan tidak mahu mengecewakan tentera Archies, pihak syarikat rakaman Archuleta, Sony Music bekerjasama dengan penaja, DiGi, membawakan persembahan David Archuleta Live in KL di Sunway Lagoon Amphitheatre pada 11 April 2009 bermula pukul 3 petang.

Dilahirkan sebagai David James Archuleta, remaja ini menggamit perhatian khalayak dengan wajah mulus dan senyuman umpama madu setiap kali membuat persembahan dalam pertandingan yang mencetus fenomena, American Idol. Dia juga mendapat kelebihan kerana mempunyai vokal gemeresik – sesuai dengan penampilan dirinya yang sentiasa kelihatan manis.

Biar tidak menjadi juara, Archuleta telah lama menang dalam hati peminatnya. Menerima undian sebanyak 44 peratus daripada 97 juta undian, remaja berusia 18 tahun ini tidak menempuh laluan yang sukar untuk mencipta nama sebagai pendatang baru.

Pada Jun 2008, Archuleta menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Jive Records sebelum November tahun yang sama, dia muncul dengan album sulungnya yang terjual sebanyak 700,000 unit hanya di Amerika dalam tempoh kurang enam bulan. Dan single pertamanya, Crush menjadi kegilaan.

Mengulas mengenai karier seninya yang berkembang baik, kata Archuleta, muzik sudah menjadi darah dagingnya sejak usia enam tahun. Pelbagai pertandingan telah menjadi makanannya dan American Idol bukanlah satu-satunya medan buat dia mempamerkan bakat.

Archuleta pertama kali membuat persembahan di khalayak pada usia 10 tahun dengan menyertai pertandingan nyanyian Utah Talent dan penampilan sulungnya di kaca televisyen pula dibuat setahun selepas itu menerusi program Latino.

“Hanya American Idol benar-benar telah mencabar kredibiliti saya. Dan saya harus berterima kasih kepada klip video Les Miserables yang saya tonton pada usia enam tahun kerana dari situlah cinta saya terhadap bidang ini tumbuh,” kata penyanyi yang banyak dipengaruhi ibunya yang merupakan seorang penggemar muzik Latin.

Malah, tambah Archuleta, perjalanan yang sedang ditempuh kini sungguh luar biasa. Tidak pernah terbayang dia akan menjadi seorang penyanyi ‘besar’.

Katanya: “Saya rasa tindakan saya tidak menghabiskan kelas tarian untuk menyertai American Idol adalah tindakan yang bijak. Dalam masa setahun kebelakangan ini, kehidupan saya berubah secara total. Tapi saya sukakannya kerana ia perubahan yang positif.”

Ditanya apa yang diimpikan saat ini, Archuleta berkata, dia bermimpi untuk hidup selama 100 tahun. Alasannya agar dia mampu terus berkarya dan membikin banyak hal dalam period kehidupan 100 tahun itu.

“Walaupun 100 tahun itu jangka yang panjang dan mungkin akan ada banyak rintangan, tapi ia adalah tempoh yang baik untuk saya mengutip pengalaman dan melakukan banyak perkara supaya kehidupan saya lebih bermakna.

Kosmo

'Tuah' Paula Di Balik Kesibukan

10 Feb

PAULA Abdul, salah seorang pengadil American Idol, menyatakan hidupnya tidak hanya berkisar pada rancangan realiti itu, sebaliknya beliau sibuk juga dengan beberapa aktiviti lain.

Beliau kini sibuk mengendalikan pertandingan Rah! Paula Abdul’s Cheerleading Bowl yang disiarkan di MTV sejak awal bulan lalu, selain merancang membuat lebih banyak rakaman album.

Bisnes penjualan barang perhiasan, ‘Forever Your Girl’, dan beg tangannya yang dilancarkan bulan lalu juga mendapat sambutan hangat.

Sementara itu, beliau terus mendapat sorotan glamor kerana penampilannya sebagai pengadil yang kecoh dalam American Idol.

Beliau mengakui antara wanita paling bertuah di dunia kerana dapat terus menyertai rancangan yang dijangka tercatat sebagai ‘rancangan terhebat di dunia’.

Semangatnya tetap tinggi, lapor laman latimes.com, walaupun baru mengalami episod dijejaki peminat kemaruknya, Paula Goodspeed, yang telah membunuh diri, dan kini digandingi pengadil baru, Kara DioGuardi, dalam American Idol.

Terdahulu, semasa berganding hanya dengan Simon Cowell dan Randy Jackson, Paula Abdul berkata beliau selalu disalah erti.

‘Simon seronok membuat saya selalu kelihatan semacam seorang perempuan gila,’ kata Paula, sambil tersenyum.

Cyberita