Archive | Noorsyarmilla Jirin RSS feed for this section

Aura Glamor

18 Mar

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mila kagum apabila dirinya dilimpahi kilauan koleksi barangan mutiara Rafflesia

GADIS genit dengan liuk lintuk tubuh badan Mila Jirin comel serta diimbangi bakat, seakan-akan sebiji mutiara yang bersinar melimpahi aura glamor kehidupan penyanyi dan usahawan muda ini.

Lagu single pertama, Persis Mutiara yang didendangkan gadis kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang berusia 21 tahun ini menjadi lambang kepada dirinya dilimpahi kilauan batu mutiara tajaan Rafflesia The Pearl Centre petang hening minggu lalu.

Seolah-olah kagum apabila buat kali pertama disalut mutiara yang menaja Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Mila menyifatkan kualiti yang ada pada koleksi barangan Rafflesia begitu mewah dan bersesuaian dengan harga yang ditawarkan.

Selain hadir ke premis Rafflesia untuk mencuba koleksi mutiara hitam, Mila atau Noorsyarmila ini bakal menggayakan rekaan Nik Erwan Roseli yang turut menyertai pertandingan Anugerah Pereka Popular ABPBH 2008.

Kata Mila, sebelum ini dia pernah bekerjasama dengan pereka fesyen itu beberapa kali termasuk ketika berlangsungnya Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (Mifa) serta menerima tajaannya untuk pembikinan klip video tahun lalu.


FINALIS kategori Penyanyi Wanita Popular menggayakan koleksi mutiara Rafflesia.

“Tahun lalu, Nik ada menghubungi pengurus Mila dan dia pernah menyatakan hasrat menaja pakaian untuk ABPBH. Tetapi ketika itu, Mila sendiri tidak tahu akan layak sebagai Top 5 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Demi menghargai keinginannya selepas diumumkan antara lima calon bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, ingatan Mila terus kepadanya. Alhamdulillah akhirnya kami dapat bekerjasama.

“Selepas berpeluang memperaga busana rekaannya di Mifa, Mila dapati rekaannya cukup melekat di tubuh Mila yang genit ini. Dengan saiz badan Mila yang kecil, memang kesukaran mendapatkan pakaian yang sesuai tidak dapat disangkal lagi. Langkah terbaik untuk menyembunyikan kerendahan Mila ialah memakai gaun potongan pendek paras kaki berbanding potongan labuh,” katanya.

Menurutnya, dia ada melihat contoh rekaannya berkonsepkan rock tapi selepas membuat pertimbangan dengan pihak pengurusan, Maestro Talent & Management, gaun pendek ‘comel’ menjadi pilihan.


KOLABORASI Mila dan pereka fesyen, Nik Erwan Roseli dilihat serasi kerana sudah beberapa kali bekerjasama.

Katanya, bukan bermaksud tidak mahu mencuba gaya rock, cuma pihak Maestro bimbang dia tidak mampu membawa konsep itu.

“Paling penting, rekaan Nik tak akan terus membuatkan Mila jadi pendek lagi,” katanya manja.

Tahun lalu, Mila berjaya dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular ABPBH 2007, namun untuk kali ini, dia secara sejujurnya untuk tidak meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi bersaing dengan nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Stacy, Jaclyn Victor dan Elyana.

Katanya biarpun berbunyi agak klise, sudah memadai apabila berada di peringkat top 5.

“Kalau ada rezeki untuk menang, Mila memanjat kesyukuran. Secara peribadi, Mila belum layak untuk berada di dalam kategori itu, malah banyak lagi pengalaman yang perlu Mila timba demi memantapkan kerjaya ini,” katanya merendah diri.

Cinta Mila kepada bidang perniagaan

DUA tahun merentas onak duri dunia seni, namanya acap kali menerima tempias kontroversi. Satu persatu kisah kurang enak hinggap ke sisinya seperti kisah cinta tidak kesampaian rakan seperjuangannya, Ebi, gosip dibela ‘sugar daddy’, menjadi perempuan simpanan dan masalah membabitkan seorang pereka fesyen.

Lumrah menjadi anak seni, anak sulung tiga beradik ini mengakui pernah menangis dan tersentak apabila gosip membabitkan dirinya mula tumbuh melata.

Seiring dengan kematangan yang diperoleh hari demi hari, Mila kini mengambil pendekatan memekakkan telinga kerana percaya gosip itu hanya mainan dunia seni.

“Menjadi kebiasaan apabila gosip itu mula tersebar, orang yang tidak tahu-menahu perkara sebenar akan mula mempercayai biarpun kebenaran hanya Tuhan yang tahu. Dulu apabila Mila dihentam, Mila akui tidak mampu mengawal emosi dan mudah tersentuh.

“Sekarang Mila sudah mula membiasakan diri dengan rencah dunia hiburan dan tidak terlalu mengambil peduli terhadap gosip liar. Mila tak boleh cepat melatah kerana orang yang suka kita jatuh pasti seronok kalau kita cepat mengalah. Apa yang datang kini ibaratnya seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,” katanya positif.

Mila sambil berseloroh cinta hatinya kini hanyalah kepada perniagaan keluarganya, LuvMILA Corporation Sdn Bhd (LuvMILA) yang beroperasi sejak 0gos tahun lalu. Sebelum ini, Mila pernah mempunyai perkongsian saham dengan syarikat MC Voices & Stars Sdn Bhd, bagaimanapun Mila sudah menarik diri.

“Biarpun sudah tidak lagi bersama MC Voices & Stars, syarikat itu masih lagi bekerjasama dengan Maestro untuk beberapa projek yang dilaburkan.

“Mengenai perniagaan, alhamdulillah sambutan produk kosmetik dan makanan yang diterima amat menggalakkan. Mujurlah ibu bapa Mila banyak membantu menjalankan urusan di pejabat kami di Kota Damansara,” katanya yang sedang merancang pembikinan album kedua dan besar kemungkinan mengikuti keadaan pasaran dengan memasarkan single.

Dua lagu yang turut dinyanyikan Mila turut mendapat sentuhan nukilan lirik daripada Allahyarham Loloq iaitu Cintamu Sayap dan Sanubariku.

Penyanyi yang tak cerewet

SEMENTARA itu, pereka fesyen berkelulusan Diploma Grafik dan Ijazah Senireka Fesyen di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Shah Alam menyatakan rasa senang dapat bergandingan menaja busana kepada Mila. Malah, Nik Erwan Roseli turut menaja ibu mengandung, Dynas.

Pereka berusia 25 tahun ini berpendapat saiz genit yang dimiliki Mila membuatkan penyanyi itu cocok sekali menggayakan rekaan yang menampakkan dirinya comel.

“Mulanya saya mahu menggunakan kombinasi warna hitam dan coklat dengan sedikit sentuhan rock. Atas permintaan Maestro dan persetujuan semua pihak, akhirnya untuk menampakkan Mila comel, saya cetuskan idea dan ilham gabungan dua warna terang.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun. Pada pandangan saya, Mila sangat sporting, berfikiran terbuka, tak cerewet dan boleh memberi pendapat. Apa yang penting gaya busana ini akan diperkuatkan dengan solekan dan dandanan rambut,” kata Nik Erwan Roseli.

Profil Mila

NAMA SEBENAR: Noorsyarmilla Jirin

TARIKH LAHIR: 23 Disember 1987

ASAL: Teluk Kumbar, Pulau Pinang

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Teknik Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Air Hitam, Pulau Pinang

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia musim ke-5 (AF5) dan Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007

ALBUM: Persis Mutiara

FILEM: Apa Kata Hati dan Lu Pikirlah Sendiri The Movie, manakala suaranya turut digunakan dalam filem muzikal Walt Disney, High School Musical yang dialih ke bahasa Melayu. Mila melakonkan watak Gabriella

PERNIAGAAN: Mengusahakan produk kecantikan, Luv Mila yang diselenggara Luv Mila Corporation Sdn Bhd (www.luvmila.com.my)

Info Nik Erwan Roseli

Rekaannya pernah digayakan pelakon dan penyanyi terkenal seperti Siti Sarah, Sharifah Aleya, Farawaheeda, Noryn Aziz, kumpulan Mendua, Milla AF5, Lisa Suriani, Irma Hasmie, The Fabulous Cats.

Untuk mendapatkan khidmat pereka muda ini, hubungi 016-2500935/017-2431482 atau emel nikerwanroseli@yahoo.com.my atau kunjungi laman blog http://www.nikerwanroseli.blogspot.com.

Berita Harian

'Saya Tak Boleh Tamak'

15 Feb

Mila sunyi, nafi ada hubungan dengan Bernard


BERNARD, Mila dan Tony Fernandez masih bekerjasama.

MILA kini mengeluarkan produk kecantikan dalam wanita.

SETELAH lebih setahun menjadi ahli lembaga pengarah MC Voices & Stars Sdn. Bhd. (MCV), Noorsyarmilla Jirin atau lebih dikenali dengan Mila Jirin (juara AF5) telah membuat keputusan berundur daripada syarikat yang ditubuhkan bersama dengan rakan niaganya, Bernard Cheah.

Pengunduran tersebut dibuat Mila kerana dia mahu lebih fokus mengendalikan syarikat barunya iaitu LuvMila Corporation untuk mengelakkan konflik kepentingan antara syarikat.

Bagaimanapun, seperti perjanjian sebelum ini, MVC masih meneruskan kerjasama untuk menerbitkan album Mila yang sedang dalam pembikinan.

Namun di sebalik perpisahan itu, ada kata nakal yang singgah menyatakan ia bukan perpisahan biasa.

Sebaliknya ia juga dianggap perpisahan antara Mila dan Bernard yang didakwa mempunyai hubungan ‘luar biasa’ dengan penyanyi kelahiran Pulau Mutiara ini.

Ikuti temu bual dengan Mila.

VAZZ: Sebenarnya kenapa Mila keluar daripada MCV? Adakah sebab sudah tak sehaluan atau kerana hubungan ‘luar biasa’ dengan Bernard berakhir, maka Mila pun meninggalkan syarikat?

MILA: Tidak, itu tidak benar sama sekali. Antara kami tidak pernah ada hubungan ‘luar biasa’ seperti yang didakwa. Saya tidak bercinta dengan Bernard. Hubungan kami adalah hubungan profesional.

Saya keluar daripada MCV kerana mahu menumpukan komitmen pada bisnes keluarga yang kami tubuhkan sejak bulan Jun tahun lalu iaitu Luvmila Corporation.

Saya jual syer majoriti saya, 41 peratus kepada Bernard dan 10 peratus lagi pada rakan kongsi baru Bernard. Jadi saya tak mahu ada ketidakseimbangan dalam bisnes, maka saya memilih untuk bersama bisnes keluarga. Lagipun saya tak boleh tamak.

Tapi Mila masih akan terus berurusan dengan MCV selepas ini?

Masih. Malah album sulung saya juga akan diteruskan bersama MCV dan Maestro. Sekarang pun saya dalam proses menyiapkan album itu dan sehingga projek ini selesai, saya dan MCV akan terus bekerjasama.

Apa yang dijual Luvmila?

Kami menjual produk kecantikan dalaman wanita iaitu cucian wanita, sabun herba pemutih, semburan intimasi dan produk makanan kesihatan.

Semua produk jualan saya berasaskan herba. Sebelum menjualnya, saya dan ibu telah mencuba produk ini sendiri selama enam bulan.

Kenapa tidak jual produk penjagaan muka, sebaliknya memilih produk kesihatan dan kecantikan dalaman wanita?

Sasaran saya sebenarnya remaja. Seperti sabun herba pemutih, saya tahu tidak ramai remaja, terutama yang masih bersekolah, mementingkan kesihatan dalaman berbanding muka.

Jadi saya fikir, saya mahu membantu mereka lebih peka tentang kepentingan sabun mencuci vagina ini. Sebab itu saya tak tumpukan pada produk kecantikan muka. Lagipun sudah banyak produk kecantikan muka di pasaran.

Malah saya sendiri sedang berusaha untuk meminta kebenaran daripada kementerian berkenaan untuk menjalankan kempen ke sekolah-sekolah untuk bertemu pelajar wanita dan berkongsi rahsia serta impak penggunaan pencuci wanita.

Kedengaran seperti anda sibuk berniaga sekarang ini. Bagaimana dengan kerjaya seni?

Masih berjalan lancar dan saya sering membuat persembahan. Album juga dalam rakaman. Sekarang saya sudah bersedia untuk berlakon. Esok saya akan menjalani satu uji bakat filem. Saya mahu belajar jadi pelakon.

Kehidupan peribadi? Sudah ada kekasih?

Kalau ikut hati, memang nak ada kekasih. Lagipun usia saya sudah 21 tahun. Kadang-kadang saya rasa sunyi juga. Telefon pun tak berbunyi. Pergi tengok wayang pun masih dengan mak dan ayah. Sunyi.

Tapi bila fikir semula, saya pun tak berani nak bercinta lagi sebab takut tak mampu beri komitmen. Saya pun sibuk, masa untuk diri sendiri pun tak ada. Tapi kalau nanti cinta datang, saya tidak tolak. – MALIAH SURIP

Kosmo

Mila, Dafi Semakin Mengerti

27 Jun

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

ACAPKALI bintang-bintang yang dicungkil bakat menerusi program realiti televisyen dipandang sepi.

Bahkan, ada juga yang akan mempertikaikan mutu dan kualiti bintang-bintang tersebut.

Akademi Fantasia (AF) sahaja merupakan contoh terdekat yang melahirkan begitu ramai bakat baru.

Meskipun di awal program tersebut bintang-bintang kelahirannya dikritik dan dipersoalkan kredibiliti mereka, namun hari demi hari kerdipan bintang yang ada pada diri mereka semakin bersinar.

Dafi dan Mila sumber rujukan terbaik bintang kelahiran AF yang tidak boleh diperlekehkan.

Kedua-duanya semakin berani dalam mengharungi perjalanan seni meskipun sudah mula dilambakkan dengan cerita-cerita sinis yang kadang kala memeritkan telinga empunya diri, namun mereka yakin berkat kesabaran yang tinggi antara resipi terbaik bagi kejayaan masa depan.

Mengakui kadang kala serik dan berkecil hati dengan apa yang dialami di sekeliling, namun gadis kecil molek yang juga merupakan juara AF5, Mila sudah mula boleh menerima situasi sedemikian.

Masakan tidak, selepas insiden kisah cintanya yang kecundang hangat dihebahkan, kini kemenangannya di Bulgaria pula dipertikaikan.

Jika hendak dihitung air mata yang menitik, sudah tidak mampu diperkatakan lagi.

“Siapa yang tak sedih dengan apa yang berlaku. Saya selalu juga baca blog-blog di Internet. Dulu kisah peribadi saya diperkatakan sehingga mereka mengaitkan nama ibu bapa saya.

“Kini mereka mempertikaikan pula kemenangan saya pula. Mereka tak mengiktiraf kemenangan saya. Dan pelbagai lagi cerita yang kurang enak dibincangkan. Hati mana yang tak tersentuh dan sedih,” kata Mila pada satu pertemuan bersama Hits baru-baru ini.

Sambung Mila, sewaktu mula-mula berdepan dengan situasi itu air mata sering menjadi teman setia.

“Mula-mula saja kecewa tapi lama kelamaan saya malas nak layan. Sebab utama saya sering membuka blog-blog tersebut adalah untuk mengetahui apa yang disukai dan yang tak disukai masyarakat pada saya. Sekurang-kurangnya saya dapat membaiki kesilapan dan belajar apa yang baik,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Biar apa sekalipun yang dipertikai mengenainya, rezeki masih lagi melimpahi anak kelahiran Pulau Mutiara ini.

Perkhabaran terbaru mengenai kerjaya seninya besar kemungkinan pemilik nama sebenar Noorsyarmilla Jirin ini akan mencuba bidang lakonan pula.

“Insya-Allah saya akan berlakon dalam sebuah telemovie bersama-sama Dafi. Tapi semua itu masih dalam perbincangan. Saya tak ada masalah untuk mengembangkan cabang seni saya kerana bagi saya nyanyian dan lakonan kedua-duanya mempunyai keistimewaan tersendiri,” katanya.

Enggan dibayangi bapa

Di awal kemunculan, jejaka berusia 20 tahun ini dalam AF pelbagai usikan dan ejekan diterima.

Walau apa label diberikan kepadanya sekalipun, pemilik nama sebenar Gadaffi Ismail Sabri ini tidak pula leka.

Menyedari akan fenomena tersebut, anak kepada Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Ismail Sabri ini, menerima keadaan tersebut dengan tenang.

Mengakui terdetik sedikit perasaan berkecil hati namun dia sentiasa menganggap perkara tersebut sesuatu yang kurang serius.

“Masa mula-mula memanglah saya kecil hati tapi bila fikir-fikir balik siapalah saya untuk menghalang semua itu. Bagi saya berdiam diri lebih baik dan memberi tumpuan pada kerjaya saya lebih penting. Hasilnya kini sikap berdiam diri saya itu lebih baik daripada saya bersuara,” jelas peminat setia kumpulan KRU ini lagi.

Akui Dafi selepas senyap senario tersebut, muncul pula cerita baru kononnya dia menggunakan pengaruh bapanya untuk kerjaya seninya.

“Saya bermula dari bawah dan langkah terbaik saya untuk menjadi penyanyi ialah dengan memasuki AF.

“Menerusi AF saya kumpul peminat dan saya bekerja keras untuk memastikan diri saya diterima peminat. Saya tak boleh nak menafikan apa yang mereka nak kata tapi yang boleh saya jelaskan saya bekerja keras untuk semua ini,” jelas anak kedua daripada empat beradik ini lagi.

Tidak menganggap semua itu luka yang semakin merebak, kini Dafi sedang sibuk menyiapkan album solo sulungnya.

“Tinggal sebuah lagu belum dirakamkan iaitu lagu ciptaan komposer Indonesia. Sembilan lagu lain sudah siap semuanya.

“Album ini akan memuatkan lagu ciptaan komposer tempatan dan seberang. Sudah tentu strategi utama ialah untuk memasarkan album ini ke negara itu,” jelas Dafi yang baru sahaja pulang dari Indonesia bagi menjayakan showcase anjuran pengeluar ais krim Wall’s.

Kata Dafi, dia sudah pun beberapa kali berulang alik ke seberang untuk menjayakan sesi fotografi serta promosi.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat bertuah kerana menerusi produk Wall’s, saya sudah mula dikenali di seberang. Jadi saya rasa apabila album saya keluar kelak bukanlah satu masalah untuk saya mencuba nasib di sana,” kata jejaka berbintang Sagitarius ini lagi.

Sementara itu, Dafi dan Mila kini sedang sibuk berlatih untuk konsert Cornetto Love Sparks yang akan diadakan esok di Padang Merbuk, Kuala Lumpur.

Kedua-dua bintang muda ini akan berganding bahu dengan bintang cilik dari seberang, Gita Gutawa serta bintang-bintang AF lain seperti Mawi, Mila, Stacy dan tentunya kumpulan Estranged.

Kepada peminat-peminat Dafi dan Mila, pastikan anda berkunjung ke Padang Merbuk, Kuala Lumpur esok untuk memeriahkan konsert Cornetto Love Sparks.

Utusan Malaysia

Mampukah Akademi Fantasia Terus Bertahan?

26 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

UMUM pastinya mengetahui bahawa Akademi Fantasia musim keenam (AF6) tidak begitu hangat sebagaimana AF pernah mencipta satu fenomena luar biasa pada tahun 2003.

Entah pada siapa perlu dituding jari untuk mencari di mana silapnya AF6 sehingga tidak mampu untuk mencapai kehangatan yang pernah dikecapi sebelum ini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Astro sejurus selepas berakhirnya konsert akhir AF6 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu lalu, sudah cukup memberi bukti bahawa AF6 mencatatkan penurunan jumlah undian yang cukup drastik.

Sepanjang 10 minggu AF6 berlangsung, jumlah undian yang diterima hanyalah 3.8 juta dan pada konsert akhir pula berjaya mengumpulkan 879,000 undian sahaja sekali gus AF6 dianggap sebagai yang paling kecil daripada segi jumlah undian yang diterima.

Sekadar menyingkap sejarah, AF1 misalnya berjaya mencatatkan jumlah undian yang boleh dianggap membanggakan iaitu sebanyak 4.5 juta walaupun ketika itu, AF baru sahaja bermula dan masyarakat baru hendak mengenali rancangan realiti.

Seterusnya, AF2 mencatatkan jumlah undian yang paling banyak iaitu 15 juta undian dan AF2 juga dianggap berjaya melahirkan ramai peserta serta menonjolkan pelbagai bakat yang ternyata menarik perhatian penonton.

Malah, selepas keluar daripada AF2 pun, kebanyakan bekas pesertanya berjaya mencipta kejayaan yang cukup membanggakan seperti Zahid, Adam, Kaer, Farah dan Bob.

AF3 pula, tiada siapa yang mampu menidakkan populariti yang ditempa hanya kerana seorang insan yang menyertainya iaitu Mawi. Namun pun begitu, kehadiran Mawi ketika itu sedikit pun tidak mampu berjaya meningkatkan jumlah undian apabila hanya sekadar mencatatkan 10.9 juta sahaja.

Bermula detik itu, jumlah undian semakin menurun apabila AF4 mencatatkan 7 juta undian termasuk 1.21 juta undian menerusi AFMASUK dan AF5 (6.6 juta).

Daripada statistik ini sudah cukup memberi tanda bahawa AF tidak lagi berupaya untuk memikat hati pengundi dan masyarakat Malaysia untuk terus menatap serta menjadikan AF saban tahun sebagai santapan harian mereka menerusi diari dan konsert.

Mungkin kini, penonton juga semakin bijak untuk mengundi seandainya bakat yang mereka rasakan itu tidak menyakinkan serta tidak mampu untuk di bawa jauh di dalam industri.

Ataupun mungkin kini, penonton juga mempunyai pilihan berdasarkan lambakan rancangan realiti yang ada di negara ini yang merasakan lebih layak untuk dilaburkan wang daripada undian SMS mereka.

Ini sendiri diakui oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah saat ditebak dengan pelbagai soalan daripada pihak media sewaktu sidang akhbar konsert akhir AF6, Sabtu lalu.

“Seperti yang pernah saya katakan beberapa tahun lalu, AF tidak bergantung sangat kepada SMS daripada pengundi dan peminat setia AF kerana kami tahu, mereka mempunyai pilihan untuk berbuat demikian.

“Tetapi, apa pun yang terjadi, kami masih lagi menganggap AF tetap relevan dengan masyarakat hari ini dalam mencungkil bakat-bakat baru serta menjadikan mereka seorang bintang baru di persada seni tanah air,” katanya panjang lebar.

mengembangkan

Katanya, AF merupakan landasan terbaik untuk mengembangkan bakat mereka dan beliau percaya, dengan kemenangan Stacy, misalnya, ia membuktikan bahawa pengundi kini semakin bijak dalam menentukan hala tuju seseorang peserta itu dalam industri hiburan tanah air.

Malah, beliau juga sempat memberikan contoh kejayaan Noorsyarmilla Jirin atau Mila yang dilahirkan oleh AF dan juga juara AF5 yang telah mencipta kejayaan di luar negara dalam satu festival muzik yang diadakan di Bulgaria baru-baru ini.

Zainir juga memberi gambaran awal bahawa AF bakal memasuki musim terbarunya tahun hadapan berdasarkan apa yang telah mereka kecapi menerusi AF6.

“Sudah pasti, selepas ini, kami akan duduk berbincang dan cuba mencari kelemahan serta jalan penyelesaian untuk terus menjadikan AF sebagai rancangan realiti kegemaran rakyat Malaysia,” ujarnya penuh optimis.

Mungkin ramai yang mahu AF direhatkan seketika untuk dua atau tiga tahun kerana kata mereka, bakat-bakat yang dicungkil menerusi rancangan itu sudah tandus dan kering.

Seandainya diteruskan juga, mungkin AF akan terus berdepan dengan situasi yang agak buruk apabila melahirkan bakat-bakat yang kurang berkualiti.

Sedangkan rancangan realiti popular di Amerika Syarikat iaitu American Idol juga berdepan dengan situasi yang sama apatah lagi industri hiburan kita yang skopnya jauh lebih kecil.

Setidak-tidaknya, American Idol membariskan bakat-bakat yang ternyata mempunyai mutu vokal yang baik serta diiringi oleh personaliti yang menarik dan mampu menarik perhatian peminat industri hiburan negara itu.

Tetapi, bagaimana pula dengan kita? Sudahlah bakat yang dipilih pun tidak begitu menyakinkan, personaliti yang ditonjolkan juga kurang menarik.

Namun, di sebalik itu, bukanlah semua bakat yang dilahirkan oleh AF dan rancangan realiti lain tidak bagus. Memang tidak dinafikan ada mereka yang berbakat serta diiringi personaliti yang menarik.

Bukan itu sahaja, peranan Maestro Records Sdn. Bhd. juga amat penting dalam menentukan hala tuju bintang-bintang AF yang dijadikan artis di bawah naungan mereka.

Jangan anggap mereka baru hendak mengenali dunia artis, mereka hanya sekadar diberikan lagu-lagu yang bagaikan tangkap muat sahaja untuk album mereka demi menjimatkan kos penerbitan. Mereka juga berhak diberikan peluang apa yang mereka mahukan dalam menentukan hala tuju mereka dalam industri.

Mungkin juga sudah tiba masanya, Maestro yang diketuai oleh Freddie Fernandez selaku Ketua Pegawai Eksekutif perlu memikirkan mekanisme baru untuk terus melahirkan produk yang berkualiti serta menjaga bakat-bakat ini sebaiknya. Bak kata pepatah, belakang parang jika diasah lagikan tajam.

Sejauh mana AF mampu bertahan, semuanya terletak di tangan Astro. Jangan hanya mahu mengejar keuntungan semata-mata, bakat ditolak ketepi. Perlu difikir, masyarakat kini semakin hari sudah semakin bijak menilai. Jadi, tepuk dada, tanyalah selera.

Powered by Utusan Malaysia

Stacy Juara Akademi Fantasia Ke-6

25 May

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

KUALA LUMPUR 24 Mei – Setelah enam kali Akademi Fantasia (AF) diadakan sejak tahun 2003, buat pertama kalinya peserta dari Sabah, Stacy (gambar) dinobatkan sebagai juara AF6 yang diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini malam ini.

Dengan kemenangan Stacy atau Stracie Angie Anam, 18, dia mengekalkan penguasaan pelajar perempuan untuk kali kedua menjuarai AF selepas Noorsyarmilla Jirin atau Mila pada tahun lalu.

Kemenangan Stacy sudah dijangka kerana bermula dari konsert pertama pada 22 Mac lalu hingga kesembilan, dia sentiasa memberi persembahan bertenaga dan menduduki di tempat yang selesa berdasarkan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) para penyokongnya.

Stacie yang menyanyikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy dengan penuh bangga membawa pulang hadiah yang bernilai lebih RM700,000.

Hadiah itu berupa sebuah rumah banglo di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka bernilai RM550,000 dan juga pakej percutian ke Afrika Selatan, kereta Peugeot 307 XS bernilai RM139,535, wang tunai berjumlah RM25,000 serta sebuah trofi bersalut emas.

Tempat kedua dimenangi oleh Mohammed Idris Mohd. Zaizizi, 22, atau Riz yang menyampaikan lagu 11 Januari dan Hanya Sandiwara.

Dia memenangi sebuah kereta Naza Bestari bernilai RM68,877, pakej percutian ke Afrika Selatan, wang tunai berjumlah RM15,000 serta sebuah trofi.

Sementara itu, Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahmad, 22, yang mempersembahkan lagu Bukan Di Sini (dendangan asal kumpulan Sofaz) dan Ada Untukmu (lagu baru) mendapat tempat ketiga.

Tempat keempat menjadi milik Khairul Nizam Baharom atau Toi dan kelima dimenangi oleh Nadia Haswani Hasnan atau Nadia.

Powered by Utusan Malaysia

Festival Hebat Meski Kurang Popular

22 May

Oleh HARYATI KARIM

PERGINYA jauh sehingga ke Bulgaria. Bukan untuk bergembira, tetapi dia berjuang di pentas Discovery Pop Festival ke-17 yang turut disertai oleh 14 buah negara hanya untuk mengutip secebis pengalaman dan juga dengan harapan membawa pulang kemenangan.

Kemenangan yang bukan hak mutlaknya seorang akan tetapi untuk dikongsi kegembiraannya dengan seluruh yang bergelar warga Malaysia.

Ternyata, bakat serta kepercayaan yang diletakkan ke atas bahu Noorsyarmilla Jirin atau Mila bukan sekadar tinggal harapan akan tetapi sesuatu yang menjadi kenyataan.

Memenangi tempat pertama dalam kategori utama iaitu lagu terbaik menerusi lagu Ilham Di Mata ciptaan oleh Ajai dan lirik oleh Loloq serta penerima Anugerah Khas Juri, meletakkan nama Mila di satu aras yang berbeza kini.

SENYUMAN penuh kebanggaan, Mila di pentas selepas diumumkan sebagai pemenang.

Namun, dalam tawa riang Mila meraikan kejayaannya, hatinya turut tersentak apabila ada pihak yang mengatakan pemergiannya itu tidak lebih daripada menyertai pertandingan yang biasa-biasa saja.

Iyalah, untuk rakyat negara ini, festival yang disertai gadis berusia 21 tahun ini merupakan yang pertama kali didengar, langsung terus dikatakan festival itu tidak layak diiktiraf dalam kamus hiburan negara.

Mila yang hanya tersenyum ketika di ajukan soalan itu, bagaimanapun tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana menganggap festival itu adalah festival murahan.

“Lantaklah saya tidak peduli orang nak cakap festival itu tidak bagus atau tidak punyai kualiti ke apa ke. Apa yang saya tahu peserta tahun lalu yang menang sekarang ini antara penyanyi terkenal di Eropah.” kata Mila bertegas.

Saya faham kenapa Mila perlu meluahkan apa yang berbuku di hatinya. Kepada gadis genit ini, dia juga punya hak dan maruah diri yang perlu dipertahankan.

“Saya sertai festival ini adalah untuk mendapatkan pengalaman yang tidak akan saya perolehi di sini (Malaysia).

MILA disambut keluarga dan teman sekembalinya ke tanah air.

“Kedua saya mahu lontarkan apa yang saya pelajari selama ini. Saya tidak ambil pusing semua hal yang negatif itu, saya tahu sebelum ini tidak pernah ada penyertaan dari Malaysia dan mungkin sebab itu orang Malaysia juga tidak tahu tentang festival ini. Mungkin itu salah satu sebab orang mengatakan festival ini bertaraf rendah ,”jelasnya.

Bagi Mila segala perit jerihnya selama ini terbayar apabila dia diberi penghargaan oleh pihak penganjur dengan memberikannya dua kemenangan yang tidak pernah di jangkakan.

“Kecil atau besar festival itu saya tidak kisah, saya tahu jumlah wang yang dimenangi pun tidak seberapa (RM7,500), tetapi apabila nama Malaysia diumumkan saya rasa terharu sangat,” katanya.

Mengatakan tugas yang dipikulnya bukan satu tugas yang mudah kerana selain membawa namanya, dia turut membawa nama Malaysia bersama.

Tanpa berselindung dia memberitahu saat kemenangan dia membawa bendera Malaysia dan timbul perasaan bangga dalam dirinya kerana menjadi salah seorang rakyat Malaysia.

“Menang itu satu bonus buat saya, sebab anugerah yang dimiliki bukanlah tujuan utama saya ketika mula-mula tiba di Bulgaria,” katanya jujur.

Tawaran bertaraf antarabangsa

Sungguhpun bertanding di pentas antarabangsa yang mana orang di sana tidak memahami sepatah pun Bahasa Malaysia, Mila tetap mendapat layanan bertaraf lima bintang.

Mana tidaknya, kata Mila, orang di sana sangat menghormati dirinya, malah ada juga yang berkenan dengan bahasa ibundanya yang dikatakan sungguh lembut.

KELUARGA turut berkongsi rasa bangga bersama Mila.

“Orang sana suka lagu-lagu saya sebab kata mereka bahasa kita lembut, malah lepas habis pertandingan itu ramai yang minta tandatangan, rasa seperti di negara sendiri pula (ketawa).

“Ada juga pihak juri daripada negara Itali dan Macedonia menawarkan supaya Mila menyertai festival muzik yang diadakan di negara mereka.

“Hati memang teringin sangat tetapi kos hendak ke sana bukannya murah. Jadi kalau ada pihak penaja barulah saya boleh merealisasikan hasrat tersebut sebab bukan semua peserta yang mereka tawarkan untuk sertai festival di sana,” ujarnya.

Bukan itu saja, peserta dari Romania yang rapat dengan Mila sewaktu festival itu dikatakan berminat untuk berduet dengannya.

Tambah Mila lagi, itu semua dilepaskan kepada pihak pengurusan kerana buat masa ini masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang perancangan duetnya itu.

“Kalau jadi mereka akan hantar lagu melalui internet, tetapi itu semua bergantung pada pihak Maestro, harapan saya memang besar kalau ada rezeki Insya Allah,” bicaranya lagi.

Seperti ayam dan itik?

Berkunjung selama tiga hari di sana memberi pengertian yang berbeza buat Mila, kerana kini dia menyedari berapa pentingnya bahasa Inggeris sewaktu berada di negara orang.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Mila memberitahu kebanyakan peserta di sana berkomunikasi menggunakan isyarat tangan jika penterjemah tidak ada di sisi mereka.

“Kelakar juga sebab rasa macam ayam dan itik yang sedang bercakap. Ada yang langsung tidak tahu bahasa Inggeris, lepas itu bahasa mereka pun saya tidak faham, kalau jumpa hanya senyum dan angkat tangan saja,” katanya.

Mula naik harga?Sudah adat jika anugerah berada di dalam genggaman tangan seorang penyanyi, namanya pasti melonjak, begitu juga dengan harga bayarannya. Mungkinkah Mila akan demand selepas ini?

“Saya serahkan semua itu di atas pihak pengurusan, saya tidak tahu sama ada mereka mahu menaikkan harga atau tidak, yang saya tahu saya bekerja dan dapat duit setiap hujung bulan.

“Lagipun itu bukan hal yang boleh saya tentukan. Saya tidak mahu menyerabutkan kepala dengan hal-hal sebegini,” balasnya lagi yang ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin.


BERSEMANGAT persembahan Mila sambil mengenggam jalur gemilang.

Malah, ketibaannya itu turut disambut oleh kelab peminatnya serta ahli keluarganya yang sabar menanti kepulangan penyanyi pujaan ramai ini.

Dia yang tiba di tanah air pukul 7 malam turut menarik perhatian orang di sekeliling balai ketibaan itu termasuk pelancong asing yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengannya.

Powered by Kosmo

Mila Dedah Kisah Cinta

17 Feb

Oleh NIEZAM ABDULLAH

Noorsyarmilla Jirin.

KETIKA kecil molek ini datang ke studio Utusan Isnin lalu untuk mengadakan sesi fotografi, saya melihat matanya agak layu. Saya bertanya kenapa dia kelihatan seperti itu? Lantas jawab Mila, dia baru saja tiba dari Kota Bharu, Kelantan.

Merempuh kesesakan lalu lintas lebih 10 jam kerana orang ramai baru pulang bercuti selepas menyambut Tahun Baru Cina, cukup memenatkan.

Tetapi kata pemilik nama Noorsyarmilla Jirin ini, itulah hakikat yang perlu dibayar selepas dia memilih jalan untuk bergelar penyanyi.

Biarpun penat namun Mila berpuas hati kerana hasrat dan impian untuk menemui peminatnya di seluruh negara selepas keluar dari Akademi Fantasia (AF) tahun lalu dilaksanakannya.

Kebanyakan tempat yang dikunjungi Mila untuk mengadakan promosi, dia akan memandu kereta Toyota Vios yang dimenanginya hasil undian peminat.

“Apabila memandu kereta itu, perasaan Mila terharu apabila memikirkan kemenangan tersebut adalah kerana peminat,” katanya memulakan bicara. Sambil mengenakan solekan Famee Abdullah, pereka fesyen Hatta Dolmat yang menyediakan pakaian untuk Mila turut menggarukan kepalanya.

Kata Hatta, dia pening bagaimana hendak menyesuaikan baju tajaan itu kerana saiz badan Mila begitu kecil bak sebuah bantal pemeluk. Puas dilakukan macam-macam cara akhirnya baju yang agak besar itu dapat juga dikecilkan mengikut bentuk badan Mila.

Buka cerita cinta

Umum sudah mengetahui Mila antara bintang AF yang dikaitkan mempunyai ikatan cinta dengan naib juara pertandingan itu – Ebi. Gosip mengatakan kehangatan cinta mereka mula berbunga selepas kedua-duanya keluar dari rancangan realiti itu.

Namun sebelum ini puas didesak, namun jawapan yang diberi adalah jawapan selamat – “Kami sekadar kawan biasa. Saya sayangkan dia sebagai seorang kawan.”

Ketika gosip cinta mereka diperkatakan, ada khabar angin yang membisik mengatakan kedua-dua mereka sudah tidak sehaluan lagi. Cinta Mila dan Ebi yang selama ini terjalin dikatakan sudah putus di tengah jalan.

Berkesempatan bertemu Mila, soalan itu ditanya. Seperti yang dijangka gadis berusia 21 tahun ini terus menafikan hubungan cinta itu.

Tetapi di sebalik jawapan yang diberi, bagaikan mengesahkan desas-desus selama ini.

“Kami sebenarnya sudah lama tak jumpa. Tak macam dulu,” katanya memberi jawapan yang menyimpan seribu makna. Kenapa tidak macam dulu? Mungkinkah benar desas-desus itu?

Jawab Mila, mereka tidak lagi berpeluang untuk mengadakan promosi bersama. Sebab itulah jarak dan hubungan itu semakin renggang.

“Mila pun sibuk dengan promosi album dan jarang juga bertemu Ebi. Suatu ketika dahulu kami sememangnya rapat,” tambahnya dan terus menafikan hatinya dan Ebi pernah bersatu.

Ibu dan ayah melenting

Mengakui kurang senang dengan gosip percintaan, kata Mila, ibu dan bapanya juga tidak menggemari kisah itu diperbesar-besarkan. Malah lebih buruk lagi kisah terbaru Mila selepas dikatakan putus cinta dengan Ebi, dia dikaitkan dengan seorang ahli perniagaan berjaya berusia 40-an pula.

Gadis yang berasal dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini tidak menafikan dia ada mendengar perkhabaran itu. Malah akibat cerita itu, Mila turut menerima padah apabila ibu dan bapanya melenting.

Bapanya kata Mila, awal-awal lagi sudah memberi amaran supaya tidak sesekali menjalinkan hubungan dengan suami orang.

“Ayah selalu menasihati Mila supaya tidak berkawan dengan lelaki yang sudah berumah tangga.

“Sesungguhnya dia tidak merestui sekiranya hubungan itu benar-benar terjadi,’’ ujarnya.

Bimbang pelbagai kisah buruk mengenainya semakin diperbesarkan, awal bulan lalu keluarganya mengambil keputusan untuk berpindah ke Kuala Lumpur.

Menyewa sebuah rumah teres di Damansara, Kuala Lumpur, ujar Mila, dia lebih selamat apabila ibu dan ayahnya ada bersama. Malah makan minum juga lebih terurus selain dia dapat menjadikan orang tuanya itu sebagai tempat untuk mengadu masalah.

“Selain emak dan ayah, dua adik Mila pun turut mengikut pindah ke Kuala Lumpur. Mila rasa lebih selamat apabila orang tua kita ada bersama kerana mereka pun tidak susah hati dengan macam-macam jenis gosip yang diperkatakan kepada Mila,” ujarnya.

Mengakui buat masa ini dia yang menanggung perbelanjaan keluarga, Mila bersyukur kerana rezekinya dalam bidang nyanyian semakin lumayan.

Bagaimanapun Mila juga tetap beringat dan sedang memikirkan untuk menceburi bidang perniagaan lain kerana tidak begitu yakin dunia seni dapat memberi kesenangan seumur hidup.

Maka Mila tidak terlalu memilih untuk mengadakan pertunjukan asalkan pendapatan yang diperoleh itu dapat disimpan untuk kesenangan hari tua.

Buat permulaan jelas Mila, dia berhasrat menggunakan modal yang ada untuk digunakan oleh ibu dan ayahnya membuka apa juga bisnes kecil-kecilan bagi menghilangkan kebosanan mereka berada di rumah.

Senyum dengan Persis Mutiara

Dipasarkan hujung Disember lalu, Mila boleh mengukir senyuman kerana akhirnya album solo beliau – Persis Mutiara dihasilkan selepas agak lama tertangguh.

Tidak menafikan pada mulanya bimbang kerana AF6 semakin hampir sedangkan sebagai juara program itu musim lalu beliau masih belum mempunyai produknya sendiri.

Namun jelas Mila, penghasilan album itu bagaikan memberikan satu nafas baru untuk dia meneruskan hidup.

“Sebagai penyanyi tentulah kita memerlukan album kerana ia penting untuk mengangkat seseorang apatah lagi pendatang baru seperti Mila ini,” katanya.

Album yang memuatkan lapan buah lagu ini membawa harapan yang tinggi buat Mila kerana dia berharap mendapat sokongan daripada peminat.

Menyandarkan tiga buah lagu selain Persis Mutiara yang dirakam semula, Ilham Di Matamu, Aku Lebih Tahu dan Mila Bila Cinta antara lagu yang dijangka mendapat perhatian pendengar.

Menolak lagu Mila Bila Cinta itu menyentuh kisah percintaannya, ujar Mila lagu ciptaan Audi Mok itu sebuah lagu yang unik yang dicipta khas untuknya.

“Saiz badan Mila yang kecil ini mencetus ilham Audi Mok untuk menghasilkan karya keanak-anakan dengan menggunakan Mila sebagai penyampainya,” jelas beliau.

Selain urusan promosi album, Mila juga akan sibuk dengan latihan bagi memantapkan lagi persembahannya selepas terpilih menyertai Ikon Malaysia yang akan diadakan bulan Mei ini.

Akui agak berdebar kerana bakal bersaing dengan penyanyi senior seperti Liza Hanim, Farawahida, Noryn Aziz dan Farah Asyikin, Mila tidak mengharapkan kemenangan sebaliknya bersyukur kerana terpilih menyertai program itu.

“Melihat artis-artis yang bertanding itu mempunyai kemampuan yang hebat, Mila tidak mengharapkan apa-apa kemenangan cukuplah dapat bersama mereka di dalam pertandingan itu,” katanya.

Sementara itu untuk memperhebatkan lagi promosi album terbarunya, pada petang ini Mila dan Khai akan mengadakan persembahan dan sesi bertemu peminat di pusat membeli-belah Selayang Mall, Batu Caves, Selangor,

Beliau berharap kepada peminat yang selama ini merindui untuk melihat persembahannya supaya dapat memenuhi pusat membeli-belah itu bermula pukul 4 petang.

Powered by Utusan Malaysia