Archive | Pierre Andre RSS feed for this section

Bohsia Sarat Aksi

20 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

SYAMSUL paparkan pelbagai isu remaja dalam filem terbaru yang akan ditayangkan mulai 23 April.

Filem kedua anak Datuk Yusof Haslam diadun mengikut cita rasa remaja zaman sekarang

WALAUPUN isu yang dipaparkan dalam filem ke-24 terbitan Skop Productions Sdn Bhd berjudul Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah isu lapuk namun ia masih relevan untuk dibahaskan memandangkan masalah sosial itu masih menjadi duri dalam daging.

Filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam adalah buah tangan kedua Syamsul Yusof selepas Evolusi KL Drift yang berjaya mengutip RM4.5 juta. Filem genre drama/aksi ini sarat dengan aksi yang sentiasa membuatkan penonton ingin mengetahui apakah yang akan berlaku seterusnya.

Melalui pemikiran Syamsul sendiri sebagai pengarah, pelbagai isu semasa yang dibangkit dalam filem ini hanya berlaku kepada remaja di bawah lingkungan 20 tahun ke bawah.

Dalam usia sebegini, ratanya remaja yang sedang dalam delima mencari identiti diri sering dibelenggu dua pilihan hitam atau putih. Lalu penyelesaiannya adalah hukum karma yang pastinya tidak akan terlepas.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam berkata, filem kedua arahan Syamsul adalah filem yang menepati cita rasanya sebagai remaja.


YUSOF bangga dengan hasil kerja Syamsul.

“Bagi saya ini adalah filem dia yang ingin menunjukkan ekspresi anak muda sendiri dalam membuat filem mewakili generasinya.

“Saya sebenarnya cukup berbangga dengan hasil kerjanya selama ini kerana berani untuk membuat filem yang sememangnya dekat dengan dirinya sendiri. Saya sendiri mengakui dan menghargai karya anak muda ini agar tidak dipandang sepi.

“Kadang kala kita terlupa masa sudah berubah, ada kalanya pemikiran anak muda ini tidak boleh diramal. Ini adalah zaman mereka dan idea yang dikeluarkan menepati cita rasa masa kini.

“Saya juga memuji pengarah muda hari ini seperti Syamsul sendiri, Pierre Andre, Norliana, Farid Kamil yang cukup kreatif dalam berkarya,” katanya mengenai filem itu yang akan menemui penonton di 60 pawagam seluruh tanah air pada 23 April ini.


NABILA sebagai pelakon wanita utama dalam filem Bohsia.

Turut hadir menyaksikan pratonton filem itu ialah Tan Sri Jins Shamsuddin, Ahmad Puad Onah, Mawi, Ekin dan semua pelakon Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam.

Syamsul yang mengambil masa selama 40 hari sebagai tempoh pembikinan filem ini bagaimanapun tidak banyak menghadapi masalah sepanjang penggambaran.

“Alhamdulillah semasa tempoh penggambaran semuanya berjalan dengan lancar. Dengan bantuan Polis Diraja Malaysia saya dapat melakukan kerja dengan sempurna.

“Selain itu, juga saya cukup berbangga dengan pelakon filem ini kerana dapat memberi komitmen yang tinggi sepanjang penggambaran terutama Nabila, Salina, Shaheizy, Aaron dan semua yang memberi lebih daripada apa yang saya inginkan.

“Mengenai sasaran hala tuju filem ini, pertamanya saya hanya mensasarkan penonton dapat menyelami dan mengambil iktibar dari apa yang ingin saya sampaikan dan kedua adalah dari segi kutipan agar dapat menampung kos pembikinan kerana jika tidak tentu saya akan dimarahi ayah,” katanya.

Bagi Nabila yang memegang watak utama sebagai Tasya dia juga menganggap Bohsia memiliki cabarannya yang tersendiri.

“Saya cukup seronok sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana kebebasan yang diberikan pengarah dalam membentuk watak tidak dihalang. Semuanya selepas bergaul dan mengenali geng mat rempit dan gadis bohsia untuk mendapatkan karakter sebagai Tasya.

“Memang ada pengalaman yang sukar untuk saya lupakan apabila diminta untuk membonceng di belakang mat rempit dan motor itu dibiarkan berjalan dengan menggunakan tayar belakang saja.

“Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya, apa yang saya fikirkan adakah saya akan jatuh selepas ini,” katanya.

INFO

Filem: Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam

Terbitan: Skop Productions Sdn Bhd & Grand Brilliance Sdn Bhd

Penerbit: Datuk Yusof Haslam dan Ahmad Puad Onah

Arahan: Syamsul Yusof

Genre: Aksi/Drama

Mula Tayangan: 23 April 2009

Pelakon: Nabila Huda, Syamsul Yusof, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle, Lando Zawawi, Yazid Lim, Nasir Bilal Khan dan Adam Corrie.

Berita Harian

Jangan Tegur Kisah David, Pierre

14 Apr

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

Jangan Tegur, filem yang menjadi detik mula tercetusnya kontroversi antara pengarahnya Pierre Andre dan penerbit filem itu sendiri, David Teo.

Bermula dengan episod meninggalkan lokasi, penggambaran filem yang akhirnya disudahkan oleh orang lain, visual filem yang tidak sempurna, penggambaran semula, melanggar kontrak sehinggalah perang mulut serta ungkit-mengungkit di dada-dada akhbar, episod perbalahan antara Pierre dan David masih tidak bernoktah.

Bahkan, ketika filem terakhir gandingan mereka itu masuk panggung pada 9 April lepas, tiada lagi ruang yang boleh menemukan dua nama itu walaupun untuk promosi filem berkenaan.

Secara kebetulan pula, sekilas tajuk Jangan Tegur itu, seolah-olah membayangkan betapa David dan Pierre jangan lagi ditegur tentang kisah yang mengeruhkan hubungan mereka.

Jika ditegur, bakal terkeluar lagi bermacam-macam kisah dalam kain yang menambahkan bara antara mereka.

Sebagai penerbit, David mahukan yang terbaik untuk setiap sen yang keluar dari poketnya.


KENANGAN. David dan Pierre di lokasi penggambaran Jangan Tegur.

Manakala sebagai pengarah, Pierre pula sudah mengharapkan setiap visual yang dirakamkan memberi kesan kepada penonton, barulah sisi sebenar dirinya sebagai pengarah filem generasi baru dapat dihargai pemerhati seni.

Gara-gara kontroversi yang tercetus juga, sampai ke tarikh bermulanya ‘perang sebenar’ Jangan Tegur di pawagam tempatan, pihak pengedar dan penerbit filem berkenaan masih tidak mempamerkan hasil Jangan Tegur untuk pratonton pihak media.

Cuma sekali, kira-kira dua minggu lalu, filem berkenaan ditayangkan kepada sekelompok pihak yang terdiri daripada wakil stesen TV, penaja serta beberapa wakil media terpilih.

Bukan pratonton seperti biasa, sebaliknya ia diberi gelaran tayangan khas bertujuan sebagai mukadimah kepada pihak stesen TV untuk mendapatkan slot penerbitan drama bersiri kemudian hari.

Sepintas lalu, Jangan Tegur dipuji setiap pasang mata yang pertama kali menyaksikan filem penuh kontroversi itu walaupun kesudahan filem berkenaan tidak mendapat sentuhan si pengarahnya.

“Saya tidak mahu ungkit kisah lalu, biarlah apa yang berlaku jadi tauladan. Apa yang mahu saya tekankan, jika filem Jangan Tegur ini dilihat sebagai filem yang baik, ia bukan hasil kerja seorang sahaja, tetapi atas sokongan dan bantuan orang lain, ini hasil kerja yang berkumpulan.

“Filem ini sendiri dihasilkan oleh sekumpulan krew yang bagus, krew sama yang menghasilkan Jangan Pandang Belakang dan Congkak seperti pengarah fotografi Indra Che Muda, pengarah seni, pengarah muzik dan bunyi serta penolong pengarah.

“Bahkan pengarah dua filem berkenaan, Ahmad Idham banyak membantu mencantikkan Jangan Tegur,” tegas David mengelak untuk menyebut nama Pierre Andre.

Masih lagi bercakap tentang kesukaran yang dilalui bagi menyudahkan filem berkenaan, David berharap, penambahan kos sebanyak RM15,000 bagi penggambaran semula filem terbitannya itu sedikit membuatkan dirinya serik.

Dia serik kerana terlalu percayakan seseorang menyebabkan dia berdepan situasi penggambaran semula yang kali pertama berlaku kepada dirinya sejak menerbitkan puluhan filem bertahun sudah.

Apapun, pinggirkan seketika perdebatan atau apa sahaja pergeseran di antara si penerbit dan pengarah Jangan Tegur itu kerana Jangan Tegur sendiri sebuah filem seram yang berbaloi untuk ditonton awal tahun ini. Ada juga yang menyifatkan inilah filem ‘terbaik’ Metrowealth setakat ini.

Bagi pemerhati filem, ada yang sependapat, asas yang baik, benih dan idea yang baik tetap berupaya menjadi sebuah karya yang baik walaupun proses yang dilalui sangat berliku.

Kosmo

Padah Tegur

14 Apr

Oleh Lokman Zainal Abidin

RAMAI yang tertarik dengan filem terbaru arahan Pierre Andre kerana ia mengetengahkan jalan cerita yang cukup mengerikan tetapi di dunia realiti, perkataan ‘Jangan Tegur’ itu cukup sesuai ditujukan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Baru mencecah empat bulan beberapa individu sudah dikenakan tindakan hanya kerana ‘menegur’ badan induk kebangsaan itu padahal apa yang diluahkan individu berkenaan semata-mata berlandaskan hasrat mahu sama-sama memperbaiki imej bola sepak negara.

Reduan Abdullah (jurulatih Felda United), Zakaria Ab Rahim (pengurus Selangor), Tan Sri Annuar Musa (Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan terbaru, Mat Zan Mat Aris (jurulatih KL PLus FC) semuanya sama ada sudah menerima hukuman, menunggu keputusan atau baru menerima surat tunjuk sebab – atas alasan yang serupa iaitu cuba menegur FAM.

Entah mengapa atau dengan alasan apa, FAM seolah-olah mula menunjukkan taring sebenar dan semakin garang menerkam setiap individu yang bercakap sesuatu yang boleh ‘memanaskan’ hati pemimpin badan induk kebangsaan itu.

 

 

Difahamkan, memang ada peraturan di dalam FAM yang menyebut pegawai atau individu yang terbabit secara langsung dengan arena bola sepak negara tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara sewenang-wenangnya tanpa mendapat kelulusan.

Begitupun, sejak ditubuhkan pada 1933, peraturan itu tidak begitu digunakan dan jika dihitung secara terperinci, jumlah surat tunjuk sebab yang dikeluarkan sejak kebelakangan ini atas alasan mengeluarkan kenyataan tanpa kebenaran adalah jauh lebih banyak daripada 10 tahun lalu.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai situasi itu berkata, sebelum ini, pemimpin FAM memegang prinsip bahawa diplomasi adalah lebih berkesan berbanding hukuman.

“Itulah yang banyak saya amalkan ketika masih memegang jawatan di FAM. Banyak masalah ketika itu diselesaikan menerusi mesyuarat dan sebahagian besar daripada masalah itu dapat diselesaikan secara segera.

“Bukan semua masalah boleh diselesaikan menerusi hukuman dan peraturan dan ada kalanya, ia boleh ditutup hanya menerusi budi bicara. Bagi saya, budi bicara memainkan peranan penting berbanding penggunaan kuasa.

“Memang saya akui bahawa ada peruntukan di dalam perlembagaan FAM yang menyebut pegawai dan individu yang terbabit secara langsung tidak boleh membuat kenyataan secara sesuka hati melalui media tetapi di dalam zaman sekarang, kita perlu lebih terbuka.

“Kita tidak harus berprasangka buruk terhadap mana-mana pegawai yang membuat kenyataan kerana saya berpendapat, pegawai-pegawai ini berniat ikhlas dan mereka mahu sama-sama menaikkan imej bola sepak.

“Mereka bukan baru satu atau dua hari membabitkan diri di dalam sukan ini tetapi kerjaya mereka sendiri adalah bola sepak. Bagi saya, jika FAM tidak senang dengan kenyataan pegawai-pegawai ini, mereka boleh memanggil mereka untuk berbincang dan bukannya terus menghukum,” kata Ibrahim.

Harian Metro

David Teo Terus Aktif Hasilkan Drama

7 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

PELAKON yang akan membintangi Embun Mutiara iaitu Aida, Mas Muharni, Eira Syazira, Anne Abdullah dan Sharifah Shahora.

PRODUSER jutawan, David Teo terus mengambil inisiatif memperkenalkan pengarah baru bagi setiap filem atau drama terbitannya. Ia dilakukan bukan saja untuk mempelbagaikan produk keluarannya tetapi bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pengarah berkhidmat dengannya terutamanya pengarah baru.

Dalam bidang perfileman, David bukan saja membuka peluang kepada pengarah baru sehingga ada di antara mereka kini bergelar jutawan. Antara pengarah yang pernah berkhidmat dengannya seperti Prof Madya A Razak Mohaideen, Ahmad Idham, Pierre Andre, Norliana Samsudin (Yana) dan Farid Kamil.

“Sasaran saya memberi peluang kepada 10 pengarah baru. Sekarang saya sudah memberi peluang kepada tiga pengarah baru,” katanya.

Tidak tertumpu kepada perfileman kerana sejak awal tahun ini lagi, beliau yang juga pemilik syarikat produksi Metrowealth Movie Production kini semakin aktif dalam drama.

Meskipun belum sampai setengah tahun, dramanya turut mengutip rating tinggi seperti drama Mertua vs Menantu yang disiarkan di Astro Prima sehingga berada di tangga ke enam daripada keseluruhan program televisyen seluruh stesen TV.

“Saya tidak memandang siapa pengarah dan pelakonnya tetapi melihat kualiti. Walaupun membuat drama memerlukan modal agak tinggi, namun saya puas kerana setiap drama saya tidak abaikan kualiti,” katanya yang menggunakan teknik filem dalam drama terbitannya.

Syarikatnya kini menerbitkan satu lagi drama bersiri 13 episod yang juga mengambil seorang pengarah baru untuk menghasilkan drama berjudul Embun Mutiara, iaitu Mohd Heykal Mohd Hanifah.

Mohd Heykal, 36 bukan asing dalam dunia seni kerana sebelum ini pernah mengarah drama untuk TV3, Astro Prima dan RTM.

“Sebelum ini saya selalu menjadi pembantu kepada Rashid Sibir. Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Metrowealth dan pernah melihat beberapa drama keluarannya. Memang saya akui drama terbitan syarikat ini agak berlainan daripada drama arahan saya dan pengarah lain,” katanya yang memulakan penggambaran sejak 21 Mac lalu.

Menurutnya, Embun Mutiara adalah cabaran besar buatnya selepas melihat senarai pelakon yang disenaraikan pihak syarikat perfileman itu.

“Saya akan buktikan drama ini akan digarap dengan nilai komersial yang diperlukan penonton. Memang tidak dinafikan terdapat juga muka-muka baru dalam drama ini tetapi saya sangat menaruh harapan besar terhadap bakat mereka.

“Seperti Mas Muharni yang masih baru dalam dunia seni ini tetapi saya percaya bakatnya selepas melihat lakonannya dalam filem Wayang.

Pelakon lain dalam Embun Mutiara ialah Norman Hakim, Awal Ashaari, Anne Abdullah, Aida Aris, Sharifah Shahora,” katanya.

Sinopsis: Embun Mutiara

MENGISAHKAN sepasang adik beradik iaitu Embun dan Mutiara yang dilahirkan dalam tahun yang sama. Embun, kakak kepada Mutiara namun kedua-keduanya mempunyai sikap yang sangat berbeza. Embun dengan sikap yang suka mengarah dan gemarkan dunia glamor manakala Mutiara dengan sikap yang ramah, merendah diri dan disenangi orang ramai.

Mereka tinggal bersama ibunya Athiera yang masih cantik walaupun sudah bergelar janda. Selain itu, Hadi adalah bapa saudara Embun dan Mutiara turut tinggal bersama mereka. Segala kerja rumah diuruskan Mek Nab yang menjadi pembantu rumah sejak turut temurun.

Embun dan Mutiara memilih kolej yang sama tetapi dalam diam-diam Embun mengambil bahagian hiburan sebagai jurusan utamanya manakala Mutiara mengikut nasihat Pakcik saudaranya Hadi yang memilih jurusan kewangan dan terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi penulis.

Berita Harian

4 Pelakon Muda Gerun Rosyam

6 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

GELARAN ‘hero tua’ yang diberikan kepada Rosyam Nor tidak lama dulu pernah mencarik luka di hatinya. Sekian lama berbakti dan menghambakan diri sebagai pelakon, tidak adakah kata-kata yang lebih manis bagi menghargai perjuangan seninya selama 25 tahun?

Namun, berdirinya Rosyam di samping pelakon muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad, yang turut bersaing dalam Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008), yang bakal berlangsung Di Arena Of Stars, Genting Highlands, 12 April ini jelas membuktikan penangan Rosyam masih berbisa.

Mungkin ada yang memandang enteng persaingan ini atau membuat tanggapan zaman kegemilangannya sebagai pelakon disegani akan berakhir dengan kemunculan serta persaingan sengit bakal diberikan keempat-empat pelakon muda itu.

Bagi yang beranggapan seperti itu, mereka sebenarnya mempunyai pemikiran cetek kerana mengapa tidak menilai bagaimana seorang pelakon senior dan berpengalaman seperti Rosyam mampu mempertahankan popularitinya, sekali gus memboloskan diri dalam kelompok lima terbaik bagi kategori itu?

Sedangkan, ramai pelakon lelaki seangkatan Rosyam dan lebih terkenal daripadanya dulu, bukan saja tidak tercalon malah di manakah mereka hari ini?

Seperkara yang pasti, kehadiran Rosyam dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular amat digeruni bintang muda, Aaron Aziz, Aqasha, Ashraf Muslim dan Fahrin Ahmad yang sebulat suara meramalkannya bakal mendominasi kategori itu.

Bagaimanapun, Rosyam melihat persaingan ABPBH2008 bagi kategori itu sesuatu yang sangat menarik kerana dikelilingi aktor muda berbakat besar yang bakal menjadi pelapis kepada pelakon sedia ada.

“Kalau kita perhatikan kebanyakan finalis dalam kategori ini semuanya pelakon muda. Berbeza dengan penganjuran anugerah sebelumnya, kali ini saya tidak lagi meletakkan sebarang harapan kerana sudah puas dengan pencapaian yang dimiliki.

“Bagaimanapun, saya melihat ia satu persaingan yang menarik dan memberikan cabaran sebenarnya bagaimana mempertahan kedudukan dan populariti tatkala kebangkitan ramai pelakon muda dan berbakat seperti mereka ini.

“Semestinya saya akan lebih memperbaiki diri dari segi lakonan dan hasil kerja yang ditampilkan. Saya sebenarnya sama sekali tidak menyangka akan dicalonkan sekali lagi kerana pemilihan ini dibuat berdasarkan hasil kerja termasuk penayangan drama dan filem yang dibintangi tahun lalu.

 

 

“Kalau ikutkan saya cuma muncul dalam dua drama bersiri, dua telefilem dan satu program bual bicara. Barangkali pencalonan ini ada kaitan dengan lakonan saya menerusi drama bersiri Rozana yang mendapat sambutan hangat di TV3.

“Justeru, syukur kerana peminat masih menghargai bakat dan karier lakonan saya termasuk menyokong produk serta drama terbitan syarikat saya, Suhan Movies & Trading,” katanya.

Tidak cukup dengan satu pencalonan, Rosyam juga diundi peminat yang melayakkan dirinya menyertai kategori Pelakon Filem Lelaki Popular yang dibarisi pelakon kacak, Farid Kamil, Que Haidar, Rusdi Ramli dan Saiful Apek.

Sepanjang pembabitan dalam ABPBH, Rosyam pernah menerima Anugerah Pelakon TV Lelaki Popular pada 2004, 2005, 2006, dan 2007.

Manakala untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular dia berjaya menggondol tujuh anugerah bermula 1997 1998, 2001, 2002, 2003, 2004 dan 2005. Selain itu, Rosyam juga pernah dinobatkan peminat sebagai penerima Anugerah Bintang Paling Popular pada 2002.

Manakala Aqasha melonjak menerusi drama Mentua vs Menantu yang dibintangi bersama Ratu Filem Melayu, Erra Fazira, mengakui terkejut dengan pencalonannya itu.

“Saya sudah berlakon sejak 2001, tetapi ini adalah pencalonan pertama saya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Keputusan yang mengejutkan kerana tidak pernah memikirkannya, namun saya menerimanya sebagai satu penghargaan.

“Jujur saya katakan, tidak kisah kalau tidak tercalon sekali pun kerana saya sering berinteraksi dengan peminat yang mengikuti perkembangan kerjaya seni saya. Justeru, tanpa tercalon pun saya tahu ada peminat yang sentiasa menyokong karier saya.

“Pun begitu, pencalonan ini saya lihat sebagai bonus juga penghargaan peminat di atas kasih yang melimpah ruah sehingga mereka berusaha mengundi dan menempatkan saya dalam senarai lima terbaik.

“Menang atau kalah, saya tidak menaruh sebarang harapan bahkan tidak rasa ada peluang kerana saya sering muhasabah diri supaya terima setiap keputusan dengan hati terbuka. Kalau menang itu satu bonus dan rezeki daripada Yang Maha Esa,” katanya.

Baru saja menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Audio di HICOM, pelakon yang terlebih dulu mencipta nama sebagai penyanyi serta popular menerusi lagu Embun ini muncul menerusi drama, Bicara Cinta dan

Kasih Mia arahan Rashid Sibir tahun lalu, termasuk Mentua Vs Menantu.

Dia yang bakal muncul dengan filem Rempit V3 pertengahan tahun ini dijadualkan memasuki sambungan penggambaran musim kedua Mentua Vs Menantu sebaik Erra selesai menjalani proses berpantang.

Sementara itu, pelakon kacak kelahiran Singapura Aaron Aziz antara calon akhir yang disebut menjadi pencabar terdekat Rosyam Nor bagi meraih anugerah bagi kategori berkenaan. Masakan tidak, meskipun tiada sebarang kemunculan istimewa sepanjang tahun lalu, Aaron tetap menerima pencalonan dari peminat.

“Saya terharu dengan sokongan peminat dan terima kasih kerana mencalonkan saya dalam kategori berkenaan untuk dua tahun berturut-turut.

“Saya terkejut dengan pencalonan ini kerana setahu saya tahun sudah tiada sebarang drama lakonan saya ditayangkan atau boleh menjadi batu pengukur serta dinilai untuk melayakkan menyertai anugerah berprestij ini. Memandang tahun lalu terbabit dengan projek drama dan telefilem terbitan Astro yang akan ditayangkan tahun ini.

“Lagipun, apabila difikirkan saya bukannya berasal dari Malaysia justeru menerima penghargaan sebesar ini tidak pernah saya impikan.

“Berbanding finalis lain, saya antara pendatang baru dalam industri ini. Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa melainkan sudah cukup bersyukur dengan pencalonan ini,” katanya akan muncul dengan telefilem Hang Tuah terbitan Astro.

Terikat dengan penggambaran filem Suaka arahan Pierre Andre dan Dave, wajah ekslusif Astro ini diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai Osman dalam filem seram ini. Dia bergandingan dengan pelakon tinggi lampai juga model, Julia Ziegler sebagai Mastura yang mempunyai kelebihan melihat roh dan alam ghaib.

Dalam kelompok lima terbaik, Ashraff Muslim yang melonjak dengan watak Ustaz Amirul dalam drama bersiri seram, Puaka Niyang Rapik, boleh dikatakan pelakon paling ‘junior’ jika diukur pembabitannya dalam bidang lakonan.

Namun, kemampuan membawakan watak yang dihormati penonton misalnya, wataknya sebagai Yusuf dalam drama Yusuf

tambahan mempunyai raut wajah yang tampan dilihat sebagai bonus dan memudahkan dirinya dikenali. Ini adalah pencalonan pertama Ashraf sepanjang penganjuran ABPBH.

“Semua calon akhir bagus belaka melainkan saya yang belum cukup pengalaman ini. Tapi syukur Alhamdulillah atas kesudian peminat mengundi dan ia penghargaan besar buat saya.

“Pengiktirafan ini tidak pernah dijangkakan kerana dulu saya menyaksikan anugerah ini sebagai peminat kepada abang Rosyam dan sekarang saya dicalonkan kategori sama dengan pelakon yang cukup saya kagumi itu. Saya rasa amat kerdil dan belum layak berada di sini.

“Apapun, saya sedang belajar menerima kenyataan ini dan sekali lagi terima kasih kepada peminat melihat bakat dan menghargai lakonan saya,” katanya.

Seorang lagi calon yang tidak kurang hebat dan pernah mencetuskan kontroversi membabitkan kisah putus cinta dengan penyampai radio, Linda Onn, siapa lagi kalau bukan Fahrin Ahmad.

“Saya harap pencalonan ini tidak hanya menilai populariti semata-mata, tetapi juga menilai bakat seseorang pelakon itu kerana sebagai pelakon saya suka sekiranya peminat terasa kesan daripada lakonan yang saya persembahkan.

“Cuma saya tertarik dengan gabungan pelakon berpengalaman dan baru dalam kategori ini. Bagi saya semua finalis ada kelebihan masing-masing dan saya tidak meletakkan sebarang harapan dan terpulang pada peminat untuk memilih siapa. Tetapi saya merasakan Rosyam Nor memberikan persaingan hebat kepada semua,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Kami Hanya Berkawan

27 Mar

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ENGGAN bersandarkan rupa paras menawan dan gosip murahan, Ryzal mahu dikenali peminat sebagai pelakon berbakat besar.

BELUM sempat pendatang baru, Mohd. Shahrizal Jaafar atau Ryzal membuktikan bakat lakonan yang ada, dia mula dihampiri gosip kononnya sedang menjalinkan cinta dengan pelakon, Eira Syazira.

Enggan berselindung, Ryzal mengakui dia baru sahaja berkawan dengan Eira sejak empat bulan lalu, setelah berkenalan di lokasi penggambaran.

“Eira merupakan seorang gadis yang peramah dan berperwatakan menarik. Saya rasa selesa berkawan dengan dia.

“Boleh dikatakan kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing,” terang Ryzal semasa hadir di Studio Utusan, Chan Sow Lin baru-baru ini.

Dengan gosip yang berterbangan bebas itu, barangkali ia dilihat memakan diri kepada Ryzal yang baru sahaja ingin mengukir nama dalam lapangan seni.

“Saya dapati isu ini tidak berikan sebarang kesan mendalam kepada saya dan kerjaya.

“Sebagai seorang pelakon dan dikenali masyarakat, saya juga adalah insan biasa yang ada keinginan untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.

“Saya sedar golongan selebriti sentiasa diperhatikan, namun itu merupakan hak peribadi saya untuk keluar dengan mana-mana perempuan.

“Lagipun, kami hanya berkawan dan tiada sebarang hubungan istimewa,” luah Ryzal tegas.

Sebelum ini, Ryzal sendiri pernah mendengar gosip dirinya bercinta dengan Eira yang disebarkan di media cetak.

“Saya tidak terkejut langsung baca artikel ini apatah lagi untuk melenting.

“Tidak dinafikan, kami pernah keluar berdua-duaan beberapa kali. Secara kebetulan, kami masih solo dan tiada komitmen dengan mana-mana teman istimewa.

“Lantas, saya dan Eira bebas untuk mengadakan temu janji untuk merapatkan lagi perhubungan yang terjalin,” ulasnya yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah.

Hentikan semua gosip yang tidak berasas itu. Ryzal sebaliknya lebih gemar bercakap soal karier seninya yang baru hendak bermula.

“Saya mahu dikenali masyarakat kerana bakat lakonan yang dimiliki apatah lagi hampir setiap hari ada sahaja muka baru yang muncul dalam bidang lakonan.

“Paling utama, saya perlu menggilap bakat lakonan setelah melihat persaingan sengit daripada pelakon lelaki yang sedia ada dan juga muka-muka baru.

“Saya kena ambil lebih banyak ilmu daripada insan-insan seni yang terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon,” luah Ryzal dalam getaran suara berkobar-kobar.

Giliran Ryzal bergelar artis

Kelibat Ryzal selama ini sering dilihat menemani artis terkenal tanah air ibarat Anita Sarawak, Aznil Nawawi, KRU, Dafi, Adam, Ezlynn dan ramai lagi.

Ryzal sebelum ini bertanggungjawab membawa artis di bawah KRU Records menghadiri mana-mana majlis atau pertunjukan pentas sejak beberapa tahun lalu bersesuaian dengan statusnya, Pegawai Eksekutif Promosi KRU Records.

Tugas Ryzal yang hakiki berada di belakang tabir. Kini, siapa menyangka individu yang sekadar menemani artis sebelum ini mula berani melangkahkan kaki untuk terjun ke dunia glamor.


RYZAL mengakui selesa berkawan rapat dengan Eira.

Dalam tempoh panjang memegang jawatan sama, kini Ryzal mula ditugaskan sebagai Pegawai Koordinator Bakat KRU. Ryzal menjadi individu penting dalam mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan.

“Diam tak diam, melebihi empat tahun saya kerja dengan KRU. Pada mulanya saya menguruskan kelab peminat artis dan bekerja secara sambilan disebabkan masih menuntut di Institut Integratif Media Malaysia (MIIM).

“Dengan mengambil jurusan Diploma Komunikasi dan Visual, saya kena bijak bahagikan masa dengan sebaik mungkin untuk bekerja dan belajar dalam satu-satu masa.

“Memanglah memenatkan, namun saya terhibur dapat melibatkan diri secara tidak langsung dalam dunia seni.

“Minat untuk berlakon mula bercambah selepas saya menemani artis ke sana sini sekali gus saya dapat merasai pengalaman sebenar tentang dunia ini.

“Mengenali lebih dekat pihak media dan beberapa produser serta pengarah, maka saya ambil peluang yang ada untuk saya melibatkan diri sebagai pelakon,” ujarnya.

Jejaka berusia 27 tahun itu menyambung, pada mulanya minat untuk berlakon memang tiada dalam direktori hidupnya, yang sekadar mahu bekerja dengan KRU untuk mencari rezeki.

“Tiga tahun lalu, saya boleh diumpamakan ‘kosong’ dan tiada minat untuk berlakon dan muncul di kaca TV.

“Begitupun, saya bersyukur apabila diberikan peluang untuk berlakon menerusi drama bersiri, Dunia Baru, digandingkan dengan beberapa nama besar seperti Elyana dan Pierre Andre.

“Waktu itu banyak pihak yang mengkritik, malah ada memberi komen tentang lakonan saya. Ada yang berkata, saya berlakon macam kayu dan tidak kelihatan semula jadi.

“Puas juga saya kena kritik dan kena marah dengan pengarah, namun saya tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi saya dikira macam budak baru belajar.

“Banyak lagi asas lakonan perlu dipelajari untuk memperbaiki mutu lakonan saya ke tahap yang lebih membanggakan.

“Lantaran itu, saya terima segala pandangan yang diberikan orang ramai terhadap diri,” jawab Ryzal pasrah.

Selain Dunia Baru, Ryzal juga berlakon dalam beberapa buah drama antaranya ialah Jelatang, Cinta Bulan Mentari, Platun Satria, Gadis Cuci dan Suria Di Pinggir Mentari.

Trio KRU sokong Ryzal

Ditanya tentang pihak majikan Ryza, yang barangkali melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap pekerja yang mempunyai kerja sampingan, pantas beritahu Ryzal, KRU cukup memahami situasi itu.

“Alhamdulillah, majikan saya iaitu Norman, Yusry dan Edry faham tentang kerjaya luar saya selain bekerja dengan KRU.

“Majikan saya cukup bertolak-ansur dan mengerti keadaan ini, malah mereka menyokong dan tidak menghalang saya untuk berlakon.

“Saya juga ada kontrak daripada KRU bermula tahun lalu yang tertulis bahawa saya adalah pekerja dan artis KRU,” jelas Ryzal teruja.

Kalau sudah diberi ‘ruang’ istimewa dalam empayar gergasi KRU, maka sudah pasti ada sesetengah pihak bersikap skeptikal mengaitkan Ryzal cukup disayangi KRU hingga menjadi anak emas majikan.


INGIN bekerja keras demi mencapai kejayaan dalam dunia lakonan tanpa mengharapkan bantuan KRU.

Pantas sahaja Ryzal menjawab: “Perkara yang membabitkan anak emas tidak pernah berlaku dalam syarikat KRU.

“Majikan saya tidak pernah bersikap pilih kasih terhadap pekerja mahupun artis yang menaungi KRU Records. Setakat ini memang majikan saya belum mengambil saya berlakon dalam mana-mana projek yang mereka hasilkan.

“Barangkali mereka belum ada sepenuh kepercayaan kepada saya apatah lagi saya masih mentah.

“Saya enggan berlebih-lebihan dalam soal ini. Jika boleh, biarlah KRU sendiri memanggil saya untuk berlakon kerana bakat, bukan kerana saya bekerja bersama mereka,” akui Ryzal lalu tersenyum.

Hentikan gosip itu – Eira

Pelakon popular yang didakwa menyulam cinta dengan Ryzal iaitu Eira mengaku dia mula mengenali Ryzal selepas terlibat dalam penggambaran drama bersiri 26 episod, Issandra kira-kira empat bulan lalu.

“Saya memang berkawan dengan Ryzal. Dia adalah seorang lelaki yang peramah dan menghormati orang lain sepanjang tempoh perkenalan kami.

“Saya okey sahaja berkawan dengan dia, namun perhubungan kami sekadar macam kawan biasa. Cuma tiadalah sampai ingin bercinta dan mempunyai hubungan istimewa.

“Selebihnya saya enggan komen lebih-lebih kerana saya tidak selesa apabila kisah peribadi saya menjadi tajuk perbualan di media cetak dan elektronik.

“Janganlah masyarakat mensensasikan persahabatan saya dan Ryzal. Saya baru sahaja hendak melibatkan diri dalam lapangan seni sekali gus melakar nama sebagai pelakon.

“Kalau perihal peribadi terlalu diuar-uarkan, tetapi mutu lakonan saya masih belum dapat dibuktikan kepada umum, kesudahannya saya juga yang dapat malu kelak.

“Saya merayu sangat agar gosip ini dihentikan. Berilah ruang kepada saya untuk meneruskan kerjaya lakonan berbanding bercakap bab cinta dan perkara remeh-temeh,” luah wanita berusia 25 tahun itu mohon dimengertikan.

Kosmo

Yana Kini Penulis Skrip

25 Mar

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
SEPANJANG enam bulan pertama tahun ini, Norliana Samsudin, 25, atau Yana sibuk dengan aktiviti seninya dengan berlakon, mengarah dan menceburi bidang baru, penulisan skrip.

Sejak berpisah kasih dengan pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre hampir empat tahun lalu, tiada pengganti di hati Yana apatah lagi sekarang dia sibuk bekerja.

“Kalau ada kekasih pun mesti tak tahan dengan saya kerana asyik bekerja. Bagaimanapun, naluri seorang wanita tetap ingin berkahwin dan ada anak. Mungkin dua atau tiga tahun lagi saya akan mengakhiri zaman solo, tetapi belum ada calon.

“Sekarang saya cuba menulis skrip untuk program terbitan RTM (Radio Televisyen Malaysia), Gen-X. Kemudian akan mengarah telefilem dan filem kedua dengan MIG Production sekitar April dan Mei ini. Tak ada masa hendak bersosial. Orang dah beri kepercayaan, saya mesti buktikan saya boleh buat,” katanya.

Yana baru menamatkan pengajiannya di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, November lalu. Oleh itu tumpuannya kini pada kerjaya seni yang semakin memberangsangkan. Meskipun sudah bergelar pengarah filem, Yana masih berlakon dan pada waktu lain dia menolong pengarah filem lain di set penggambaran.

“Saya masih belajar untuk menjadi pelakon dan pengarah yang baik. Sekarang saya berlakon dalam drama 3 Janda yang siap lebih 50 peratus.

“Peranan saya sebagai adik dan janda paling bongsu bersama Rozita Che Wan (Kartika) dan Lisa Surihani (Intan). Sebelum itu saya muncul dalam drama Bionic Man yang diterajui Kamal Adli.

“Sambil berlakon, saya belajar kerana Bionic Man banyak menggunakan CGI. Kalau saya hendak mengikuti kursus CGI secara formal, ia menelan belanja besar dan mengambil masa.

“Saya juga menjadi penolong pengarah ketiga filem Rempit V3 arahan Farid Kamil. Walaupun saya sendiri bergelar pengarah melalui filem pertama, Selamat Pagi Cinta, saya tidak kisah membantu pengarah lain,” katanya.

Yana mengakui pengalamannya belum sehebat mana, jadi dia sedar perlu berusaha menambah ilmu ditambah pula cita rasa peminat sentiasa berubah jadi sebagai pengarah perlukan suntikan idea baru dan segar.

 

 

“Proses pembelajaran berlangsung selagi kita hidup dan saya tidak malu menimba ilmu dengan sesiapa saja. Apabila berlakon dengan orang lama, saya tanya pandangan mereka mengenai perkembangan dunia lakonan dulu dan kini,” katanya.

Pada pertengahan April ini, tambah Yana dia akan mengarahkan telefilem dan selesai saja penggambaran, dia akan menyambung projek filem keduanya, Cinta Alam Maya yang berbentuk ‘thriller’ cinta.

“Sekarang panel skrip MIG dan saya dalam proses terakhir menilai skrip. Seorang daripada pelakonnya Lisa Surihani kerana dia ada ciri yang diperlukan untuk filem itu. Berbanding mengarah Selamat Pagi Cinta, untuk filem kedua ini saya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Jika ramai mempertikaikan kemampuan saya mengarahkan Selamat Pagi Cinta, saya harap untuk filem kedua ini tiada gangguan emosi. Saya menceburi bidang perfileman pun tak ada niat lain melainkan untuk berkarya,” katanya.

Yana berkecimpung dalam bidang seni bermula dengan nyanyian. Bakatnya dikesan penerbit MIG, David Teo. Maka hasil kerjasama itu lahirlah album pertama Yana berjudul Ceria.

“Saya bersama MIG sejak tingkatan lima. Pejabat MIG di Subang Mewah, menjadi rumah kedua saya. David dan isterinya, Jane sudah seperti keluarga angkat saya. Selepas kelahiran album Ceria, saya senyap sekejap sebab sambung belajar di UiTM.

“Bagaimanapun, tujuh daripada 10 lagu yang disisipkan dalam album itu digunakan sebagai lagu tema untuk kebanyakan telefilem dan filem terbitan MIG. Antaranya filem Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Tangkai Jering,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Bos Metrowealth Simpati Nasib Palestin

10 Feb

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

DAVID menyampaikan replika cek sumbangan untuk Gaza kepada Anthony.

David Teo puji usaha dilakukan akhbar kumpulan New Straits Times tubuh tabung khas

PENDERITAAN yang dialami penduduk Gaza akibat bedilan bertalu-talu tentera Israel sememangnya membuatkan penduduk dunia bangkit menghulurkan simpati. Rakyat Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada berasa terpanggil untuk membantu sama, apatah lagi apabila media tempatan saban hari memaparkan kesengsaraan terpaksa ditempuh mereka.

Akhbar kumpulan New Straits Times Press (NSTP) sendiri mengelolakan tabung khas bagi membolehkan penduduk prihatin negara ini turut sama-sama menyalurkan sumbangan mereka.

Baru-baru ini pula, Karnival Amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya, dengan matlamat memungut derma bagi tabung berkenaan. Pembabitan begitu ramai selebriti dan kehadiran ribuan peminat sungguh di luar dugaan, apabila akhirnya lebih RM64,000 berjaya dikumpulkan.

Jumlah itu dikumpul hasil jualan dan lelongan barangan selebriti, jualan kek yang ditaja beberapa hotel, sumbangan terus ke Tabung NSTP Untuk Gaza dan sebagainya.

Produser gigih, David Teo, tidak ketinggalan melahirkan keprihatinannya terhadap krisis kemanusiaan yang melanda Semenanjung Gaza sejak penghujung tahun lalu. Penderitaan anak kecil kehilangan ibu bapa, kakak kehilangan adiknya serta pelbagai wajah derita sebagaimana dipaparkan media menyentuh hati pemilik Metrowealth International Group ini.

Lalu, pada 4 Februari lalu, David tidak mahu menangguhkan lagi niat murni untuk sama-sama menderma apabila dia datang ke Balai Berita bersama sekeping cek bernilai RM5,000 untuk tabung bantuan kemanusiaan berkenaan. Sumbangan terbabit diserahkannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang.

“Apabila tabung berkenaan dilancarkan NSTP awal Januari lalu, saya sudah pun menyimpan hajat untuk turut menderma bagi meringankan penderitaan mangsa kekejaman di Palestin. Sayangnya, ketika itu saya amat sibuk kerana terikat dengan pelbagai projek yang diterbitkan syarikat kami,” katanya.

David memuji tindakan NSTP mengelolakan tabung kemanusiaan itu kerana ia membolehkan rakyat negara ini menyemai sikap suka membantu apabila sesuatu keadaan memerlukan.

“Tidak kisah berapa banyak sumbangan yang mampu seseorang itu hulurkan, asalkan ia dibuat dengan penuh keikhlasan. Tabiat suka menderma ini sebenarnya membantu kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri dan sikap inilah yang seharusnya wujud dalam setiap diri penduduk negara ini,” katanya.

Menurut penerbit berjaya ini, pada hari ini, mungkin rakyat Malaysia dengan rela hati menghulurkan sedikit sumbangan untuk mangsa perang di Gaza. Siapa tahu jika suatu hari nanti, penduduk negara ini pula yang mengharapkan bantuan daripada orang luar?

Semakin aktif menerbitkan filem, drama

SELEPAS Brainscan: Aku dan Topi Ajaib menemui penonton akhir Disember lalu, MIG nampaknya terpaksa menunggu beberapa bulan lagi bagi menyaksikan filem keluaran mereka yang seterusnya memasuki pawagam. Filem arahan Ahmad Idham, Syurga Cinta, dijadualkan tayangan umumnya pada 21 Mei depan.

Kata David, filem komedi cinta berunsurkan dakwah itu mendapat klasifikasi PG13 daripada pihak penapisan filem. Begitupun dia menerima klasifikasi berkenaan dengan hati terbuka.

Kemudian, sebuah lagi filemnya, Jangan Tegur, yang menyaksikan Pierre Andre sekali lagi diberikan peluang mengarah, akan berputar di panggung pada Jun. Filem seram itu turut mendapat klasifikasi PG13. Manakala filem komedi yang dilakonkan kumpulan Senario, Jangan Pandang Belakang Congkak, berkemungkinan besar menemui penonton pada musim Aidilfitri.

Filem yang kini berada pada proses akhir pasca produksi, Remp-It V3 arahan Farid Kamil pula akan menghangatkan panggung negara ini sebelum berakhirnya 2009.

“Biarpun tiada filem MIG yang ditayangkan sehingga Mei ini, namun kami sentiasa sibuk di lokasi kerana menghasilkan beberapa filem serta drama. Jangan Pandang Belakang Congkak dirakam pada penghujung tahun lalu, manakala Remp-It V3 pula pada Januari. Pada minggu kedua atau ketiga Februari, kami merakam pula filem seterusnya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys.

“Ketika ini, kru MIG berada di lokasi menghasilkan siri Jangan Pandang Belakang untuk siaran RTM, diikuti beberapa lagi siri untuk slot Samarinda, Legenda dan Lestary di TV3,”ῠkatanya.

David turut memberitahu, pada tahun lalu, beberapa siri keluaran syarikatnya berjaya mencatat kejayaan tersendiri. Mertua Vs Menantu (setiap Rabu, jam 10 malam, Astro Prima) yang dilakonkan Erra Fazira dan Aqasha umpamanya mencatat 880,000 jumlah penonton. Pada kebiasaannya, siri yang disiarkan di saluran berbayar berkenaan hanya mencatat sekitar 400,000 penonton.

Dijangkakan, selepas pelakon utama wanitanya itu selamat melahirkan anak sulung sekitar Mac, penggambaran sebanyak 26 episod lagi bagi musim kedua akan dimulakan.

Sebuah lagi siri terbitannya, Intan Asmara yang disiarkan menerusi slot Samarinda turut mencatat rating yang membanggakan, dengan 2.8 juta penonton. Sementara Biarlah Rahsia yang ditayangkan menerusi slot Astaka di RTM, menarik perhatian kira-kira 1.5 juta penonton.

Sementara itu, bermula 1 Januari lalu, David dilantik sebagai Anggota Lembaga Finas buat tahun kedua berturut-turut. Perlantikan itu dilihat David sebagai peluang terbaik untuknya sama-sama membangunkan lagi industri perfileman tempatan.

Berita Harian

Depan Mata: Usah Hanya Harap Tuah

9 Feb

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
MALAM kelmarin saya menonton tayangan tengah malam filem terbaru lakonan Angelina Jolie, Changeling arahan Clint Eastwood yang mendapat tiga pencalonan Anugerah Academy ke-81 pada 23 Februari ini termasuk Aktres Terbaik.

Bukan mahu promosi filem Hollywood berdasarkan kisah benar berlatarkan 1920-an ini tapi tertarik dengan satu babak Angelina sebagai Christine Collins, dimasukkan ke hospital sakit jiwa oleh pegawai polis di Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) kerana disifatkan menimbulkan masalah kepada jabatan itu.

Kenyataannya, Christine tidak gila tapi polis menyifatkan Christine bahaya kerana tindakannya disifatkan mencabar kredibiliti pihak berkuasa itu. Sebelum itu, Christine membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya, Walter Collins, 9. Selepas lima bulan menanti, polis membawa khabar gembira apabila anaknya dijumpai.

Dalam satu pertemuan yang mendapat liputan meluas media, Christine terkejut kerana budak lelaki berkenaan bukan anaknya dan menjelaskan kesilapan itu kepada polis. Bagaimanapun, polis memintanya membawa budak itu pulang ke rumah dan terima kenyataan dalam tempoh lima bulan macam-macam boleh berlaku terhadap anaknya hingga dia tidak lagi mengenalinya. Tapi sebagai ibu, Christine tegas mengatakan dia lebih mengenali anaknya.

Teringat pula senario industri hiburan kita apabila berita bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Asma Ghani, 27, atau Mas dimasukkan ke Wad Psikiatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu hingga menjadi perhatian ramai.

Sehari sebelum itu, dalam laporan muka depan Harian Metro, Mas dikatakan mengamuk di balai polis apabila teman lelakinya disaman polis trafik.

Menurut laporan akhbar Jumaat lalu, polis mengambil tindakan menghantar Mas ke HKL selepas Mas dikatakan gagal mengawal emosi ketika membuat laporan mendakwa kerugian RM20,000 ditipu seseorang. Mas juga dikatakan membuat laporan itu jam 11 malam dengan berjalan kaki.

Ibu tunggal dua anak ini dikatakan mengalami tekanan perasaan yang amat berat hingga menimbulkan kekacauan di balai polis dan kini ditahan di HKL. Pihak media, teman lelakinya, Shahrul Azman Mohd Shariff atau Rock, 36, malah Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez tidak dibenarkan melawat Mas. Hanya keluarganya saja dibenarkan berjumpa Mas.

Antara isu ditimbulkan, kemungkinan Mas tertekan kerana ketiadaan album dan hidup berjauhan dengan keluarga yang kini menetap semula di Tawau, Sabah. Ada pula mengatakan masalah peribadi dengan Rock menjadi punca

Sejak keluar AF2, kerjaya seni Mas tidak seindah diimpikan. Sudahlah album yang diharapkan jadi sandaran sebagai penyanyi seperti menanti buah tak gugur, rezekinya juga tiada dalam bidang lain seperti lakonan atau pengacaraan. Jika rakan lain yang sama-sama tiada album, mereka masih mampu menjadi pelakon tapi Mas ada juga dapat peluang berlakon tapi watak kecil saja.

Difahamkan, Maestro pernah berbincang melepaskan Mas untuk bergerak sendiri kerana masalah pasaran album tetapi Mas merayu untuk terus bersama Maestro. Bagaimanapun, pembikinan album asyik tergendala dengan pelbagai masalah dan alasan.

Kisah artis mengalami tekanan perasaan kerana masalah populariti bukan perkara baru. Ramai yang datang ke kota memburu impian menjadi bintang terkenal tetapi tidak semua bertuah berjaya mengecapi kegemilangan dan sanjugan diharapkan.

Malah ada juga yang sudah melalui zaman kegemilangan, tidak mampu menerima hakikat dunia ibarat roda, kadang di atas kadang di bawah. Ketika berada di atas, diri dipuja dan disanjung tetapi tiba masanya orang lain pula menikmati segala kemanisan yang pernah dirasai.

Ada pula yang baru melalui kemanisan, tiba-tiba berhadapan kontroversi hingga menenggelami kerjaya seninya. Saya ingin mengambil contoh pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre yang dikatakan terjebak dengan cinta fantasi bersama wanita yang dikatakan tidak wujud.

Masalah itu dikatakan menjejaskan pembikinan filem terbaru arahannya, Jangan Tegur dan akhirnya filem itu disiapkan tanpa kehadiran Pierre.

Baru-baru ini apabila berbual dengan produser David Teo, nama Pierre turut ditanya. Apakah pengarah muda yang diberi peluang David bergelar pengarah menerusi filem 9 September diikuti I’m Not Single masih merajuk dengannya atau sudah berbaik semula?

Dengan senyuman, kata David, dia masih tidak datang menemuinya, mungkin sibuk penggambaran dengan produksi lain.

Kata David, dia tidak pernah menghalang rezeki mereka di tempat lain, tapi jangan lupa peluang besar yang diberikannya sebelum mendapat kepercayaan orang lain.

Perkara sama dilakukannya kepada pelakon Farid Kamil yang kini diberi peluang menjadi pengarah melalui filem Remp-It VS3.

Suatu masa dulu Farid melonjak naik selepas digandingkan dengan Erra Fazira dalam filem Tujuh Perhentian diikuti beberapa filem lain terbitan Metrowealth Movies Productions (MMP). Tapi dua tahun lalu nama Farid dikatakan agak tenggelam dalam industri hinggalah mengambil keputusan untuk kembali bersama MIG.

Filem Remp-it bukan asing sebenarnya bagi Farid kerana filem yang mencatat kejayaan pada 2003 itu sepatutnya diarahkan sendiri oleh Farid selain menulis skrip dan juga memegang watak utama. Namun, kerana masalah komitmen, tempatnya digantikan Ahmad Idham.

Dalam mengejar populariti, artis juga perlu sabar dan rajin berusaha. Jangan hanya mengharapkan tuah atau nasib kerana kalau gagal ditengah jalan nanti, kalau tidak tabah dan kuat iman, boleh merosakkan diri. Ingatlah, tiada manusia yang tidak berhadapan ujian dan kita perlu bersedia menerima ujian daripada-Nya.

Harian Metro

Temui Ogy Dan Dafi Di Terbuka FINAS Hari Ini

31 Jan

PROGRAM Hari Terbuka FINAS berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 2 Februari ini menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada orang ramai.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd. Aziz, berkata Hari Terbuka FINAS ini adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat peranan FINAS dalam agenda pembangunan industri filem Malaysia.

Ia juga adalah kesinambungan Program Merakyatkan Filem yang dijalankan FINAS sejak dua tahun lalu. Program ini juga diharapkan dapat mengukuhkan hubungan FINAS dengan industri serta orang ramai”.

Antara aktiviti Hari Terbuka FINAS ialah pameran dan jualan produk perfileman, tayangan filem, sesi uji bakat lakonan, sesi bersama artis dan taklimat kerjaya perfileman.

Uji bakat lakonan

Pengunjung berpeluang melihat dan mencuba sendiri peralatan perfileman seperti kamera, kemudahan masuk suara (dubbing) serta mencuba bakat lakonan dengan bimbingan pengarah tersohor seperti Ahmad Idham, Pierre Andre dan dimantapkan dengan tunjuk ajar pelakon Ogy Ahmad Daud, Elie Suriaty, Vanida Imran dan Nanu Baharudin.

Peserta sesi lakonan yang terpilih akan ditawarkan mengikuti Bengkel Lakonan FINAS dan disenaraikan sebagai Bakat Baru di portal Sinema Malaysia.

Sesi uji bakat ini adalah peluang keemasan kepada mereka yang berbakat dan minat secara serius dalam lakonan. FINAS juga mengundang beberapa produser yang aktif untuk menilai sesi uji bakat tersebut.

Peserta terbuka kepada warga negara Malaysia tanpa had umur digalakkan menyertai uji bakat itu. Peserta dikehendaki melakonkan senario yang disediakan oleh FINAS menggunakan dialog atau skrip sendiri.

Sementara itu, gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dan Persatuan Pengeluar Filem (PFM) turut membuka ‘booth’ yang dimeriahkan dengan aktiviti bersama artis dan jualan produk. Persatuan terbabit memberi penerangan potensi kerjaya dalam lapangan masing-masing kepada golongan sasaran terdiri dari pelajar perfileman.

Pameran jentera motor filem ’Evolusi KL Driff 2’ termasuk Lamborgini turut diadakan bagi mempromosikan filem arahan Shamsul Datuk Yusof.

Menambah meriah Hari Terbuka FINAS ialah sesi Bersama Artis yang membariskan pelakon seperti Dafi, Jehan Miskin, Liana Jasmay, Riezman Khuzairi, Irma Hasmie, Aron Aziz, Farid Kamil dan Kenchana Dewi.

Filem Histeria, Los & Faun dan Cicak Man 2: Planet Hitam serta tiga dokumentari terbitan FINAS (Making The Cut, Pipe Dreams dan The Woodsmiths’) juga ditayangkan secara percuma di Pawagam Mini P. Ramlee.

“Finas berharap orang ramai dan penggiat industri khususnya dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti yang dirancang sempena Hari Terbuka FINAS. Bagi memberi ruang kepada orang ramai dan warga filem memberi pandangan dan cadangan, kita telah menyediakan kaunter khas bagi tujuan tersebut sepanjang tempoh program berlangsung”, tambah Fazli.

Berita Harian