Archive | Ahmad Stokin RSS feed for this section

Pengalaman Baru Junainah

13 Aug

OlehZaharian Osman

APABILA pertama kali ditawarkan berlakon untuk filem pendek, para pelakon yang dah biasa beraksi di depan kamera pun tidak tahu apa yang boleh dijangkakan.

Pelakon mapan seperti Junainah Jumari (gambar) dan Ahmad Stokin hanya ikut arahan tetapi sukar menggambarkan hasil imej lakonannya.

Namun setelah menonton hasil filem pendek lakonan mereka, Bapaku Sazali, mereka tersenyum gembira pula.

Junainah, 50 tahun, yang diperkenalkan pada seni lakonan ketika berusia 12 tahun, menyukai peranan terbaru beliau.

Kata Junainah, yang membawa watak isteri Sazali (Ahmad Stokin): ‘Tidak sangka watak isteri kali ini merubah tanggapan saya. Saya boleh lakukan lebih daripada apa yang sering saya lakukan sebelum ini.’

Baru-baru ini, bertempat di Scape (Orchard), penerbit dan karyawan filem bebas, Kelvin Ke Jinde, menayangkan tiga filem pendek, termasuk Bapakku Sazali hasil karya dan arahan Sazali Masraji.

Pengarah muda itu diberi mandat oleh Kelvin untuk mengarah filem ini sementara Kelvin sendiri bertindak sebagai pengarah fotografi dengan menggunakan kamera definisi tinggi (high definition).

Menurut Sazali Masraji: ‘Saya amat senang dengan kerjasama yang telah ditunjukkan oleh semua pelakon. Sikap mereka cukup profesional.’

Ketika filem itu ditayangkan kepada kira- kira 100 para undangan yang terdiri daripada karyawan filem bebas, para pendukung watak, kru serta para penaja dan penonton nampak tertarik dan begitu asyik memberi tumpuan.

Seorang daripada mereka, Ellen Nicol, 83 tahun, dari Australia Barat, yang kebetulan bercuti di sini, mendapati filem Bapakku Sazali kaya dengan nilai ketimuran sebuah keluarga.

Konflik bapa (lakonan Ahmad Stokin) dan anak (Shah Iskandar) amat jelas terpancar sehingga beliau begitu terkesan dengan penghayatan watak serta nilai yang diterapkan karyawan muda filem hari ini.

Menurut Junainah lagi, walaupun isu konflik bapa-anak bukanlah baru, ia tetap tidak remeh.

Bagi pelakon muda, Shah Iskandar, 26 tahun, pengalaman berlakon di samping dua pelakon mapan ini pula memberi pengalaman yang cukup berharga.

‘Saya mendapat perspektif baru mengenai dunia lakonan setelah bergandingan dengan Ahmad Stokin dan Junainah Jumari. Dorongan yang diberikan mereka akan menjadi inspirasi berterusan untuk saya memperbaiki lakonan pada masa akan datang.’

Filem pendek ini dijangka menyertai festival filem pendek di Berlin, Jerman, lewat tahun ini.

Cyberita

Advertisements