Archive | October, 2004

Kursus Pegawai – 43 Penuntut Ulangi Sejarah Cemerlang

23 Oct

Oleh ZABRY MOHAMAD MADZLAN


ABDUL Aziz Zainal menerangkan sesuatu kepada pasangan suami isteri penuntut Kursus Pegawai Ikhtisas KKD Siri 68/2004, Kapten (Dr) Saiful Anuar Ju Ahmad dan Kapten (Dr) Siti Nordiana Dollah di Kem Terendak, Melaka baru-baru ini.

TANGGAL 30 September lalu merupakan detik cukup bermakna buat 43 penuntut Kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja (KKD) Siri 68/2004. Pada hari tersebut, kesemua mereka secara rasminya berjaya menamatkan kursus anjuran Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama sebulan sejak 1 September lalu.

Mereka terdiri daripada 19 Pegawai Perubatan, sembilan Pegawai Pergigian, dua Pegawai Farmasi, lapan Pegawai Tugas Am dan lima Pegawai Tugas Khas.

Upacara perbarisan tamat latihan pegawai-pegawai berkenaan telah diadakan di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (Insan) di Kem Terendak, Melaka.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Abdul Aziz Zainal hadir memeriksa perbarisan dan menyampaikan hadiah kepada penuntut-penuntut cemerlang.

Kapten (Dr) Ahmad Fahmi Mohamad Bustaman, 24, berjaya menerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini memiliki ijazah Sarjana Muda Surgeri Pergigian (DDS) dari Universiti Sains Malaysia.

Sementara itu, anak jati Kuala Lumpur, Kapten (Dr) Shahril Kamal Shafie, 25, dianugerahkan sebagai Penuntut Akademik Terbaik.

Shahril Kamal mempunyai kelulusan ijazah Sarjana Muda Perubatan (MD) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kesemua penuntut Kursus Pegawai Ikhtisas KKD Siri 68/2004 mula melapor diri di Insan pada 1 September lalu.

Upacara perasmian kursus berkenaan diadakan keesokan harinya yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Mejar Jeneral Datuk Pahlawan (Dr) R. Mohanadas.

Selama sebulan berkursus, kesemua penuntut didedahkan dengan asas-asas ketenteraan khususnya yang berkaitan dengan KKD.

Mereka menjalani pelbagai bentuk latihan yang meliputi teori dan praktikal.

Latihan-latihan tersebut banyak memberi penekanan kepada ketahanan fizikal dan mental serta sikap setiakawan dan semangat kerja berpasukan.

Kesemua penuntut terbabit menjalani latihan fizikal yang meliputi jasmani pagi, sukan dan jalan lasak.

Aktiviti-aktiviti fizikal ini diselang-seli dengan sesi syarahan dan kuliah di dewan.

Selain itu, latihan-latihan bercorak ketenteraan turut dilaksana seperti menembak, kawad dan panduarah.

Kursus Pegawai Ikhtisas KKD bermula pada tahun 1960 di mana 68 kursus berjaya dilaksanakan sehingga ke hari ini.

Kursus-kursus berkenaan telah dijalankan secara tetap di Insan mulai tahun 1989.

Sebelum itu ia dikendalikan di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson, Negeri Sembilan dan di Hospital Angkatan Tentera Kinrara (95 HAT), Puchong, Selangor.

Dalam beberapa siri yang dikendalikan sebelum ini, kursus berkenaan turut disertai pegawai-pegawai dari kor lain seperti Kor Jurutera Diraja dan Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan).

Pegawai-pegawai yang pernah menerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik pada siri-siri lalu adalah Kapten (Dr) Muhamad Fuad Daud (1997); Kapten (Dr) Mazdy Ismail (1998); Kapten (Dr) Mohd. Rafizi Muhammad (2000); Kapten (Dr) Shamsul Bahary Muhamad (2002) dan Kapten (Dr) Mohd. Farid Alias (2003).

Berdasarkan sejarah ATM, Kapten (Dr) George Arthur Lopes merupakan anak watan pertama ditauliahkan sebagai pegawai perubatan dalam perkhidmatan tentera iaitu pada tahun 1959.

Powered by Utusan Malaysia