Archive | P. Ramlee RSS feed for this section

Hans Akui Kelemahan Cuci

18 Mar

MESKIPUN Cuci merupakan filem pertama terbitan Tall Order Productions, tetapi ia memperlihatkan sambutan yang menggalakkan daripada para peminat filem Melayu baru-baru ini.

Dengan kos pembikinan RM1.5 juta, filem pertama arahan aktor Hans Isaac itu berjaya mengaut kutipan tiket sekitar RM2.2 juta selepas hampir sebulan ia ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan.

Kejayaan tersebut bukan setakat melegakan pengarah berusia 37 tahun itu, tetapi beliau juga optimis untuk meraih pencapaian yang lebih besar dalam bidang perfileman pada masa depan.

Menurut Hans, dia dan penulis skrip Cuci, Harith Iskander turut mempunyai impian untuk melihat filem-filem hasil karya mereka dicalonkan di Anugerah Academy pada suatu hari nanti.

Jelasnya, dia dan rakan-rakannya dalam Tall Order Production akan bekerja keras bagi menghasilkan filem-filem yang mampu untuk menerjah pencalonan pada anugerah perfileman yang paling berprestij di Amerika Syarikat (AS) itu.

“Harith pernah berkata kepada saya bahawa dia mengimpikan untuk menjadi rakyat Malaysia pertama yang filemnya berjaya dicalonkan dalam Anugerah Academy bagi kategori pencalonan filem dari luar negara.

“Saya fikir tidak salah atau patut berasa malu kalau saya dan Harith mempunyai impian yang sebegitu besar. Ini kerana, semua orang mempunyai impian mereka masing-masing.

“Terpulanglah kepada kita, sama ada sanggup atau pun tidak untuk merealisasikan impian tersebut,” katanya pada sesi Diskusi Filem Tempatan – Cuci di Pawagam Mini P. Ramlee, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Tambah Hans, dia akan mempelajari segala kesilapan yang dilakukannya dalam Cuci dan menganggapnya sebagai pengajaran bagi memperbaiki lagi mutu filem-filem arahannya pada masa-masa akan datang.

Malah, beliau mengaku dan bersedia menerima kritikan-kritikan yang membina daripada semua pihak termasuklah pengkritik filem bagi memastikan peningkatan mutu dalam filem-filem arahannya kelak.

“Saya sudahpun mengenal pasti 60 kesilapan yang telah saya lakukan dalam Cuci. Saya juga sudahpun menulis kesemua kesalahan saya itu untuk tujuan semak semula.

“Saya akui kelemahan saya itu kerana sebelum ini saya tidak mempunyai pendidikan formal atau pengalaman dalam bidang pengarahan filem. Hari ini saya sendiri tidak menyangka akan menjadi pengarah filem kerana cita-cita asal saya mahu menjadi ahli perniagaan,” ujarnya.

Selain para pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan sesi diskusi anjuran Finas itu turut dihadiri para penggiat filem tanah air.

Pada sesi yang dikendalikan oleh pengarah filem tersohor, U-Wei Saari itu, ramai di antara pelajar terbabit tidak ketinggalan memberikan komen mereka sejurus pratonton filem itu diadakan.

Pengarah filem Paloh, Adman Salleh contohnya, turut melontarkan pandangannya tentang jalan cerita serta situasi yang digambarkan dalam Cuci kurang menyerlah di mana secara kasarnya ia belum mampu untuk menyakinkan para penonton.

“Saya dapati Cuci kurang menampilkan teknik-teknik tertentu yang boleh menghidupkan situasi dalam beberapa adegan yang dipaparkan dalam filem ini.

“Misalnya, ketika adegan pertandingan mencuci bangunan diadakan. Sebagai sebuah pertandingan yang besar, Cuci sepatutnya menggambarkan suasana persaingan yang sengit dan juga kemeriahan yang lebih menonjol dalam adegan seperti itu,” katanya yang menyifatkan Cuci mempunyai sedikit persamaan dengan filem Hollywood, Ghost Busters.

Selaku penerbit dan pengarah baru, Hans tidak menafikan tentang kritikan-kritikan berhubung kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam filem sulung arahannya itu.

Sambil menjelaskan soal bajet yang merupakan antara faktor yang membataskan peningkatan mutu dan pembikinan Cuci, Hans berkata:

“Saya berasa bangga apabila Abang Adman menonton dan mengkritik filem saya. Saya akui dan sanggup menerima 100 peratus keburukan (kesilapan) yang telah saya lakukan dalam filem ini.

“Selain faktor kewangan, masalah masa pembikinan yang terhad dan soal keselamatan para pelakon juga menjadi halangan.

“Saya telah cuba untuk menggunakan sebuah helikopter ketika penggambaran filem ini dijalankan di bangunan-bangunan tinggi tetapi ia terhalang kerana hujan yang kerap turun.

“Selain itu, saya juga selalu ‘naik angin’ apabila banyak perkara yang saya mahukan dalam filem ini tidak tercapai. Hinggakan empat walkie talkie rosak kerana saya baling ke dinding. Semuanya gara-gara tidak dapat menahan perasaan,” katanya.

Sungguhpun begitu, Hans bersyukur kerana Cuci bukan sahaja mendapat pulangan modal tetapi dia juga berpeluang mengarahkan filem terbaru arahannya berjudul Minah yang sudahpun tamat penggambarannya baru-baru ini.

Selain Hans Isaac, Harith Iskander dan U-Wei Saari, panel diskusi tersebut juga disertai penerbit Cuci, Gavin Singh serta wartawan Sastera dan Budaya Utusan Malaysia, Abd. Aziz Itar.

Powered by Utusan Malaysia

Adikku Sayang Makin Matang

15 Mar

Oleh: METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

KUMPULAN Adikku Sayang.

BERIKUTAN kejayaan album pertama mereka terjual melebihi 10,000 unit, kumpulan nasyid kanak-kanak, Adikku Sayang kini muncul dengan album terbaru, Zikir Fikir.

Dengan kelahiran album tersebut yang mempertaruhkan 10 buah lagu, kumpulan yang dianggotai lima orang sahabat ini membuktikan mereka masih mendapat tempat di hati peminat nasyid.

Biarpun sambutan masyarakat terhadap lagu-lagu nasyid tidak sehebat satu ketika dahulu, Adikku Sayang tetap positif dan memfokus kepada berdakwah daripada memikirkan soal keuntungan semata.

Adikku Sayang memiliki keunikan tersendiri yang jarang dimiliki oleh kumpulan nasyid lain.

Selain vokalis utama, Muhammad Faris Sohaimi, 13, empat ahli lain iaitu Mohd. Ilham Abdul Halim, 14, Nur Mohd. Aiman Abu Samah dan Abdul Luqman Abd. Razak, masing-masing 13 tahun serta Mohd. Fauzi Affandi, 12, bukan sahaja mampu mengalunkan irama nasyid tetapi berkebolehan dalam menyanyi sambil bermain peralatan perkusi.

Kebolehan yang dimiliki itu menjadikan Adikku Sayang cukup berbeza dan istimewa. Kerana kelebihan itu juga, Adikku Sayang mampu tampil dengan album kedua selepas album pertama dipasarkan dua tahun lalu.

Menyentuh mengenai Zikir Fikir, Mohd. Ilham selaku ketua Adikku Sayang berkata, album tersebut dihasilkan dengan lirik serta melodi yang lebih matang.

“Sesuai dengan peningkatan usia kami, Zikir Fikir memuatkan lagu-lagu berunsur pesanan yang disampaikan dalam bentuk santai. Ia amat bersesuaian dengan remaja dan kanak-kanak seusia kami,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Album Zikir Fikir antara lain menampilkan lagu-lagu seperti Al-Husaini, Indahnya Alam, Rasul Junjungan, Asma’ul Ambiya’ dan Guru Insan Mulia.

Menariknya, bagi memeriahkan lagi album terbaru itu, Adikku Sayang turut berduet dengan Nazrey Johani menerusi lagu 1,2,3 Sayang dan Syah Inteam (Senandung Anak Pejuang).

Adikku Sayang turut merakamkan semula lagu ciptaan dan nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Kasihnya Ibu.

Menurut Mohd. Ilham, melalui album kedua, Adikku Sayang banyak mendapat tunjuk ajar daripada Nazrey dan Syah Inteam.

“Mereka berpengalaman dalam nasyid dan pengalaman itu banyak dicurahkan kepada Adikku Sayang,’’ katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai kelangsungan hayat artis berkumpulan, ada kalanya, sebahagian daripada mereka tidak kekal lama.

Walaupun segelintir yang masih terus ‘bernyawa’ sehingga kini, ahli-ahlinya pula sering bertukar ganti.

Namun begitu, bagi Adikku Sayang, mereka akan pastikan untuk bersama dalam menyampaikan dakwah menerusi irama nasyid.

“Jika diizinkan Allah, kami akan bersama sampai bila-bila,’’ jelas Mohd. Ilham secara ringkas.

Mengagumi Hassan Thornton

Selaku artis nasyid kanak-kanak yang mampu menyanyi sambil bermain peralatan perkusi, Adikku Sayang menjadikan Steve Hassan Thornton sebagai idola mereka.

Kehebatan Hassan bermain perkusi ketika mengiringi persembahan artis-artis terkemuka sememangnya memukau dan dikagumi ramai.

“Setiap daripada kami boleh bermain djembe, conga dan beberapa lagi peralatan perkusi.

“Di waktu lapang, kami akan meluangkan masa untuk berlatih agar mampu buat apa yang beliau (Hassan Thornton) lakukan,’’ kata Mohd. Ilham.

Powered by Utusan Malaysia

Menoleh 2007: Suka Bersulam Duka

30 Dec

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

SEHARI lagi tahun 2007 akan mengucapkan selamat tinggal dan 2008 pula menanti untuk membuka tirainya. Benarlah bak kata orang, sesungguhnya masa itu ibarat emas. Malah dalam surah al-Asr juga turut diperjelaskan tentang betapa pentingnya masa.

Sedar tak sedar masa yang berlalu sudah membawa kita ke hujung tahun. Walaupun terasa bagaikan semalam 1 Januari 2007 disambut tetapi rupa-rupanya kita sudah melalui tempoh 12 bulan dengan singkat.

Pancaindera mengimbas beberapa peristiwa penting yang menjadi kenangan sepanjang 12 bulan berlalu itu. Mudah-mudahan lembaran 2008 membawa satu sinar dan kejernihan baru dalam dunia hiburan nanti.

Tahun 2007 menyaksikan lebih daripada 10 artis mendirikan rumah tangga. Apa yang diharapkan agar mahligai bahagia yang dibina itu akan berkekalan buat selama-lamanya. Kalau boleh imbasan tahun depan, mereka yang mengecapi bahagia sebagai pasangan suami isteri tahun ini tidak ada kisah yang sebaliknya.

BAHAGIA YANG BERTANDANG

*NADIA MUSTAFAR

Tirai tahun 2007 dibuka dengan perkahwinan pelakon drama Nadia Mustafar dengan pasangannya Hazil Izham Ismail. Mereka bernikah pada 30 Mac 2007 selepas setahun melayari bahtera cinta.

*EIZLAN YUSOF

Dengan hantaran sebanyak RM77,777.77 pelakon Eizlan Yusof, 36, memilih Vie Shantie Haroon Khan, 21, sebagai pasangan hidupnya. Kedua -dua mereka diijabkabulkan di Taman Ujana, King Fisher, Kota Kinabalu, Sabah pada 7 Julai 2007. Vie Shantie bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah firma seni bina terkemuka.

*INA NAIM

Melalui detik kecewa apabila pertunangannya dengan Mawi putus di tengah jalan, akhirnya jodoh Nordiana Md. Naim, 23, jatuh kepada penyanyi nasyid, Suhaimi Saad, 27. Kedua-dua mereka selamat dinikahkan pada 12 Ogos 2007 di Masjid Jamek, Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi Johor. Hantaran sebanyak RM10,000. Mereka bertunang pada 6 Jun 2007 dalam satu majlis sederhana yang dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

*AZIZAH ARIFFIN

Personaliti TV3, Azizah Ariffin, 38, yang sekian lama hidup menjanda memilih jejaka kacak, Mohd. Khafairil Mohd. Khalil, 28, sebagai suami. Mereka bernikah pada 18 Ogos 2007 di Kuala Lumpur. Lebih bermakna anak-anak Azizah dengan perkahwinan terdahulu iaitu Danial Afiq, 12, Haikal Afiq, 9, dan Ashriel Afiq, 6, turut merestui perkahwinan ibu mereka. Dalam majlis itu Azizah menerima mas kahwin sebanyak RM555 dan juga cek bernilai RM18,807 bersempena tarikh istimewa pernikahan mereka.

*HAIZA

Setelah enam tahun menjalinkan hubungan, penyanyi dangdut Haiza atau namanya Rohaizah Nordin, 27, akhirnya diijabkabulkan sebagai isteri kepada Norhanafpe Omar pada 24 Ogos 2007. Mereka bernikah di Benut, Pontian Johor. Apa yang diharapkan Haiza, perkahwinannya itu yang pertama dan terakhir untuk mereka.

*LIS DAWATI

Kalau tiada kontroversi, janganlah sebut Lisdawati. Walaupun melalui kehidupan penuh dengan kisah sensasi, pelakon Lisdawati atau Nisdawati Nazaruddin, 28, bernikah dengan seorang duda, pelakon Fauzi Nawawi, 34, di Setapak, Kuala Lumpur pada 9 September 2007. Pada majlis pernikahan itu pihak lelaki memberi hantaran sebanyak RM21,111.11.

*ERRA FAZIRA

Perkahwinan paling sensasi pada tahun ini jatuh kepada pelakon Erra Fazira, 33. Setelah hampir setahun berpisah dengan pelakon Yusry, Erra akhirnya mendapat seorang pengganti iaitu Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Zainal Abidin, 32.

Mereka bernikah pada malam Jumaat, 25 Oktober 2007 di Restoran Puteri, Taman Tun. Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Berbeza dengan perkahwinan lain, pengantin perempuan hanya meminta senaskhah al-Quran sebagai ganti wang hantaran.

Sebelum perkahwinan tersebut Erra Fazira melalui detik kontroversi apabila Hans Isaac mendakwa Erra adalah kekasihnya. Bagaimanapun Erra menafikan mempunyai hubungan cinta sehinggalah hubungan mereka menjadi tegang.

*SHARIFAH ALEYA

Hanya dengan sekali lafaz, penyampai radio Hot FM yang juga seorang pelakon, Sharifah Aleya Syed Zainal Abidin, 24, sah bergelar isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimudin, 27, seorang pemuzik bebas. Mereka bernikah pada 8 Disember 2007 dengan mas kahwin sebanyak RM101.

Aleya yang juga anak kepada aktivis teater Fatimah Abu Bakar itu menerima wang hantaran sebanyak RM10,101.

MEREKA DITAKDIRKAN BERPISAH

Harapkan panas hingga ke petang ruparupanya hujan di tengah hari. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang mahukan perpisahan itu berlaku. Namun jika ia sudah dikatakan takdir, tiada siapa yang mampu mengelaknya. Perpisahan sebenarnya mengajar manusia nilai sebuah pertemuan.

*NURUL DAN AJAI

Lagu Serasi Bersama yang mereka dendangkan rupanya-rupanya tidak lagi serasi. Rumah tangga yang dibina selama 10 tahun akhirnya menemui noktah apabila Nurul dan Ajai berpisah. Ajai atau nama sebenarnya Mohd. Faizal Maas, 32, dan Nurul atau Noorul Huda Abdul Wahab, 30, sah bercerai talak satu pada 28 Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya.

Dalam perjanjian bersama yang ditandatangani pada 8 November 2006, Ajai bersetuju untuk membayar nafkah edah kepada Nurul sebanyak RM1,200 sebulan selama tiga bulan dan juga membayar mutaah sebanyak RM6,000 bagi membolehkan Nurul menunaikan umrah pada bila-bila masa.

Sementara perbelanjaan makan minum, tempat tinggal, persekolahan dan lain-lain keperluan bagi anak mereka, Ayu Nazirah, 10, dan seorang anak angkat, Mohd. Fairul Ihsan, 8, akan ditanggung oleh Ajai.

*AZIZ M. OSMAN

Tiada siapa menyangka, dalam diam-diam rupa-rupanya rumah tangga pengarah Aziz M. Osman, 45, dengan Nur Aliah Lee Abdullah, 33, tidak setenang yang disangka. Mereka berdua berpisah selepas 15 tahun hidup bersama.

Perkahwinan mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Puteri Asyikin, 14, Putera Nur Iman, 12, Puteri Nur Aisya, 9, dan Puteri Nur Ain, 6. Sebelum perkahwinan tersebut Aziz juga pernah berkahwin dan dikurniakan anak iaitu Puteri Nurul Fatehah, 19.

*JAMAL ABDILLAH

Penyanyi yang mendapat julukan raja pop – Jamal Abdillah, 48, gagal mempertahankan perkahwinannya ketiganya dengan Fatimatuzahra Samat, 24. Perkahwinan mereka pada bulan Disember 2005 tidak dapat diselamatkan apabila dan mereka mengambil keputusan untuk berpisah.

Punca perpisahan itu apabila Jamal didakwa sering memukul isterinya. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki Ahmad Zaki Yamani.

*NASH

Hanya 10 bulan melayari bahagia, perkahwinan bekas penyanyi kumpulan Lefthanded, Nash atau Jamaludin Elias, 48, dengan usahawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 44, mengalami keretakan. Pada 24 Oktober lalu Sosilawati membuat permohonan untuk bercerai dengan Nash di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur. Kes mereka masih lagi dibicarakan di mahkamah.

PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA

Bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Hakikatnya mereka yang pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya turut meninggalkan jasa yang tidak ternilai besarnya. Moga Allah mencucuri rahmat kepada insan seni yang telah pergi itu dan sama-samalah kita hadiahkan al-Fatihah buat mereka.

*KASMA BOOTY

Pada usia 75 tahun, pelakon yang seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee – Kasma Booty menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Ampang akibat menghidap paru-paru berair pada 1 Jun 2007. Jenazah Allahyarham yang nama sebenarnya Kahsmah Abdullah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, Kuala Lumpur.

*LOGANATHAN

Penyanyi kumpulan Alleycats, Loganathan Arumugam, 55, meninggal dunia di hospital Mount Miriam Pulau Pinang pada 4 Jun 2007 akibat barah paru-paru. Mendiang meninggalkan seorang balu, Susan, 50, dan dua orang anak iaitu Vigneswaran, 24, dan Priyadashini, 20.

*TONY KASSIM

Pelakon veteran Tony Kassim, 72, atau nama sebenarnya Wan Abd. Rahman Wan Ahmad Tajuddin meninggal dunia pada 12 Ogos 2007. Allahyarham yang pernah membintangi filem Melayu antaranya Anak Dara dan Wan Perkasa yang diterbitkan pada tahun 1960-an menghembuskan nafas terakhir ketika sedang sujud sembahyang tahajud di rumahnya di Pelabuhan Klang, kira-kira pukul 1 pagi.

*IZI YAHYA

Watak antagonis memang sinonim dengan pelakon Izi Yahya. Pada 25 Jun lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian Izi yang berusia 45 tahun akibat mengalami darah beku di kepala ketika sedang menjalani penggambaran drama.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru pada pukul 10.30 pagi. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suraya Abdullah, 39, dan anak tunggalnya Mohd. Zizi, 8.

PANAS DAN KONTROVERSI

*LINDA ONN

Juruhebah Radio Era, Linda Onn dipilih mengendalikan program Live From The Red Carpet sempena Anugerah Academy ke-79 di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 26 Februari lalu mencetuskan kontroversi. Linda tidak mahu muncul dalam program itu sebaik tiba di sana atas alasan ‘pihak tertentu’ melarangnya memakai pakaian rekaan Jovian Mandagie. Apabila pulang, Linda berkata, dia mempertahankan haknya dengan melakukan tindakan itu.

*ROSNAH MAT ARIS

Gara-gara mulut berapi, pelakon Rosnah Mat Aris menerima akibatnya. Pada 16 Februari lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengarahkan TV3 menghentikan siaran rancangan Sensasi selepas pelakon itu mengeluarkan kenyataan sensitif mengenai Nabi Muhammad. Rosnah juga menerima hukuman apabila beliau tidak dibenarkan muncul di mana-mana program RTM selama setahun.

*CATRIONA ROSS

Malang tidak berbau apabila pelakon Catriona Ross cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Rembau, Negeri Sembilan pada 14 April lalu ketika dalam perjalanan pulang dari Johor. Semasa kemalangan, beliau bersama rakannya Jennifer Grovia. Kemalangan itu menyebabkan Catriona patah kedua belah kakinya.

*ASHRAF SINCLAIR

Pengacara dan pelakon Ashraf Sinclair membuat permohonan maaf secara terbuka apabila gambarnya dengan bintang Indonesia, Bunga Cinta Lestari sedang bercium di pantai Bali ketika bercuti pada Ogos lalu tersebar di Internet. Akibat penyebaran gambar itu, Ashraf membuat sidang media untuk memohon maaf. Dia dan Bunga tidak menafikan sedang bercinta.

Powered by Utusan Malaysia

EEE…Hantu Komedi Seram Untuk 2008

14 Dec

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

ANTARA pelakon Eee…Hantu, Ashraf Sinclair (duduk), Yasmin Isa (dari kiri), Syella dan Raja Farah.

Lepas satu persatu filem genre seram sama ada filem tempatan atau dari luar negara menerjah pawagam tempatan, dapat kita simpulkan sememangnya masyarakat kita sukakan filem-filem sedemikian.

Disebabkan penerimaan peminat terhadap filem berbentuk begitu, terbaru sebuah lagi filem seram berjudul EEE…Hantu terbitan MRE Networks Alliance (M) Sdn. Bhd., bakal berada di pawagam tahun depan.

Filem yang disutradara oleh Majed Saleh itu dibarisi pelakon-pelakon muda seperti Ashraf Sinclair, Erry Putra, Yasmin Isa dan Raja Farah.

Dua pelakon dari seberang juga turut diberi peluang menjadi penyeri dalam filem tersebut iaitu Dea Lestari dan Tessa Mariska. Menurut Majed, filem EEE..Hantu berbeza daripada filem hantu yang sedia ada.

“Gaya penyampaiannya disampaikan menerusi penceritaan. Saya gunakan teknik dalam filem-filem seperti zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kita tampilkan pencerita dalam filem ini yang menceritakan tentang kewujudan hantu tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis doa selamat filem itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem EEE… Hantu menceritakan tentang lima sekawan yang mengikuti ekspedisi memanjat Gunung Ledang. Dalam perjalanan tersebut mereka tersesat dan terjumpa sebuah rumah tumpangan. Di rumah tumpangan tersebutlah berlaku segala-galanya cerita berkaitan hantu.

Ditanya kepadanya mengapa perlu dibawa dua pelakon seberang, kata Majed: “Ini antara strategi pemasaran kami, kerana kami mahu memasarkan filem tersebut di sana. Jadi kita perlu menampilkan artis dari sana.”

Tambahnya, mungkin juga vokalis kumpulan Peterpan, Ariel akan diundang sebagai pelakon undangan.

Filem dengan kos RM1.5 juta itu telah memulakan penggambarannya pada 2 Disember lalu.

Powered by Utusan Malaysia

Terus Perjuangkan Agenda Perpaduan

22 Oct

SHAH ALAM 21 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perpaduan masih lagi menjadi satu agenda yang perlu terus diperjuangkan oleh setiap kaum agar semua rakyat dapat menikmati suasana yang sebenar-benarnya.

Menurut Perdana Menteri, usaha meningkatkan hubungan erat sesama kaum perlu diteruskan dan bukan setakat ditunjukkan ketika meraikan perayaan sesuatu kaum sahaja.

‘‘Ini (perpaduan berterusan) perlu agar tidak wujud lagi perkara-perkara yang boleh menimbulkan rasa sangsi, gelisah, kurang percaya serta banyak kesan negatif apabila hal berkaitan agama ditimbulkan.

‘‘Saya percaya perpaduan yang ada sekarang ini dapat ditingkatkan dan dibina untuk menjadikan ia lebih hebat dan kuat lagi pada masa akan datang,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Perdana Negeri Selangor anjuran Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor di Stadium Malawati, di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri.

Dalam pada itu, Abdullah menekankan perlunya kemesraan yang ditunjukkan semasa perayaan dilakukan dengan ikhlas.

‘‘Jadi pastikan apa yang berlaku pada Hari Raya Aidilfitri iaitu kesediaan untuk bermesra dan bermaaf-maafan bukan hanya pada Hari Raya saja.

‘‘Ia merupakan satu kerelaan yang ikhlas yang bukan seperti kata (Allahyarham Tan Sri) P. Ramlee, lain di bibir lain di hati. Kita mahu apa yang diucapkan dan dilakukan adalah sama juga di hati,” tambahnya.

Perdana Menteri memberitahu, setiap rakyat di negara ini dapat menyambut perayaan setiap kaum yang dijadikan satu acara nasional kerana wujudnya kemakmuran di negara ini.

‘‘Suasana seperti ini sangat istimewa dan saya harap ia akan kekal selama-lamanya.

‘‘Kita juga menghormati perayaan lain iaitu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas dan merupakan satu masa atau ketika untuk kita bergaul dan melahirkan suasana baik dan mesra,” katanya.

Kira-kira 20,000 orang membanjiri stadium pada majlis sambutan itu yang turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Khadijah Ibrahim, Ramli Sarip, Alleycats, Awie dan Mawi.

Powered by Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza Rela Berbagi Kasih Sayang

21 Oct

Oleh: TENGKU KHALIDAH BIDIN & WANDA IDRIS

Siti Nurhaliza dan Datuk K bahagia bersama anak-anak.

SEMEMANGNYA bukan mudah untuk mencelah di tengah-tengah kehidupan sebuah keluarga yang sedia bahagia, apatah lagi andainya kehadiran itu sedikit terlewat dari waktunya. Banyak masa dan perasaan yang perlu dikorbankan untuk mengambil hati, menjaga perasaan insan-insan di sekeliling kehidupan baru yang sedang ditempuhi.

Begitu juga Datuk Siti Nurhaliza pada ketika dia berusaha untuk mencuri sedikit kasih sayang daripada diri anak-anak suaminya, hasil dari perkahwinan terdahulu. Penyanyi ini mengakui pada awal perkahwinan dengan Datuk Khalid Jiwa (Datuk K), bukan mudah untuk dia menyesuaikan diri dengan statusnya sebagai ‘ibu tiri’ kepada empat anak lelaki. Tetapi hari ini kelihatan keadaan semakin berubah.

Siti bukan sahaja berjaya menawan hati suaminya, tetapi juga dapat merapatkan dirinya ke dalam kehidupan anak-anak lelaki itu setelah lebih setahun mendirikan rumah tangga.

“Cukuplah kalau Siti hanya dapat jadi kawan baik mereka. Itu saja yang Siti mahu,” kata Siti Nurhaliza apabila diajak berbicara tentang anak-anak suaminya daripada perkahwinan terdahulu. Semenjak sekian lama banyak yang meminta sesi fotografi ini diadakan. Mereka mahu tahu rahsia Siti Nurhaliza membina kasih sayang dengan anak-anak yang sering kali kelihatan wajahnya di banyak acara nyanyian yang dihadiri Siti.

Awalnya bukan mudah mengaturkan sesi ini. Mujurlah setelah Pancaindera memberitahu fokus kami yang tersendiri, keizinan diberikan oleh Khalid dan kami bertemu di satu majlis. Sesi fotografi ini diadakan selepas keluarga ini meraikan kenalan dan sahabat handai di sebuah restoran eksklusif. Kelihatan ketiga-tiganya mesra dengan Siti, dan masing-masing tidak menolak bila diajak bergambar bersama.

* Tak mahu merebut cinta

Menurut Siti, dalam kehidupannya dia selalu memberi kesedaran kepada diri sendiri bahawa dalam apa juga keadaan, dia tidak boleh bersaing dengan anak-anak Datuk K. Yang perlu dilakukan ialah menjadi teman dan rakan yang memahami kepada setiap daripada mereka. Itu saja. Sebagai ketua keluarga, Datuk K dilihat sebagai figura lelaki yang bertanggungjawab.

Siti mengakui pada awal perhubungannya dengan keluarga ini, dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk menjadi akrab seperti sekarang. Hari demi hari Siti kelihatan makin rasi dengan anak- anak suaminya hasil dari perkahwinan pertama. Baik Adib, Ashraff mahupun Aazif, ketiga-tiganya juga tidak lagi kekok bersama Siti. Anak sulung Datuk K, Anas ketika ini sedang melanjutkan pengajian di Australia.

Malah panggilan ‘Mak Iti’ juga semakin sebati di bibir mereka, sebagai menghormati wanita yang dipilih oleh ayah mereka sebagai isteri itu. Melihat kemesraan antara mereka, hati bertanya apa rahsia Siti berjaya menawan hati anak-anak suaminya itu?

Ingin juga berkongsi segalanya dengan pembaca Pancaindera yang banyak bertanya apa yang dibuat oleh penyanyi popular ini dalam menambat hati ketiga anak berkenaan.

Rahsianya? Kata Siti, dia hanya menjadi dirinya yang sebenar dalam setiap apa juga perkara yang dilakukan.

Apabila dia masuk dalam keluarga suaminya, satu yang Siti sedar dia perlu turut sama menggalas tanggungjawab kepada setiap ahli dalam keluarganya.

Menurut Siti, dia sama sekali tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Jauh sekali ada sifat tamak dan haloba dalam mendambakan kasih sayang dari suaminya.

“Melihat apa yang Datuk berikan kepada anak-anak, Siti tumpang gembira. Bagi Siti kalau boleh jadi kawan baik anak-anak Datuk pun sudah cukup. Itu saja yang Siti hendak, jadi kawan baik dia orang. Bukan lain-lain yang lebih-lebih,’’ katanya.

* Belajar jadi ibu

Berapa lama Siti ambil masa untuk membina kasih sayang dengan anak-anak Datuk K? Menurut Siti, memang pada awalnya dia mengambil masa untuk masuk ke dalam keluarga berkenaan. Lebih-lebih lagi di usianya yang masih muda, dengan anak-anak Datuk K yang sudah menjengah remaja, tentunya memakan masa untuk mereka menjadi mesra.

“Permulaan dulu, kita kenal-kenal sebagai kenalan biasa saja. Mula-mula tu ambil masa juga. Siti pun masih belajar sesuaikan diri. Tetapi akhirnya tidak ada masalah. Prinsip Siti senang saja, kalau masa itu Datuk dengan anak-anak, Siti biarkan. Siti tak boleh ganggu, sebab Siti faham anak-anak perlukan ayah mereka juga.

“Dalam apa keadaan sekalipun Siti tak akan halang kalau Datuk lebih utamakan anak-anak sebab Siti tahu itu tanggungjawab seorang bapa kepada zuriatnya,” katanya.

Hubungan dengan anak-anak Datuk K juga akan menjadi proses pembelajaran terbaik untuk Siti menyesuaikan dirinya, seandainya suatu masa nanti dia dikurniakan anak sendiri. Pun begitu Siti tidak nafikan dengan kehadiran tiga anak-anak ini di kediamannya, mereka hidup dalam suasana yang lebih meriah dan ceria.

“Bila ada budak-budak di rumah kita akan jadi lagi ceria. Hujung minggu biasanya mereka datang rumah Siti, bermalam bersama-sama. Hari lain masa mereka banyak di rumah di Bukit Antarabangsa,” katanya.

Dua minggu sebelum hadirnya 1 Syawal, Siti bersama dengan suami dan anak-anak menghabiskan masa ke pusat membeli-belah Pavillion yang baru dibuka di tengah-tengah ibu kota untuk membuat persediaan berhari raya.

* Bersambungkah silaturahim?

Sudah dapat menambat hati anak-anak, ada soalan nakal yang minta kami tanyakan kepada Siti. Setelah lebih setahun masa berlalu, tidakkah jauh di sudut hati penyanyi ini berhasrat untuk cuba berbaik semula dengan wanita yang suatu ketika dahulu pernah hadir dalam kehidupan suaminya.

Bekas isteri Datuk K, Tengku Zawyah Tengku Izham sebelum ini juga adalah salah seorang daripada kenalan Siti, jadi apalah salahnya kalau buangkan yang keruh, ambil saja yang jernih.

Banyak pahalanya kalau kita menjalinkan semula silaturahim yang telah terputus di masa lalu. Bagaimanapun Siti memilih untuk tidak menjawab soalan itu. Malah katanya, kalau boleh bicara kami tidak terarah kepada persoalan itu. Sampai bab ini kita juga terpaksa memahami. Barangkali Siti tidak mahu bicaranya tersalah ditafsir, atau mungkin bakal melukakan.

Justeru bibirnya menegaskan, “jangan sentuh pasal hal itu ya. Siti tak tahu hendak cakap macam mana.”

Sementelah Datuk K juga ada bersama, kami cuba bertanyakan soalan yang sama. Awalnya Datuk K juga enggan mengulas dan meminta supaya tidak ditanya soalan yang sama. Bagaimanapun kerana mahu menyelusuri jauh ke dalam hati mereka, kami minta juga pendapat Datuk dalam soal berkenaan. Sedikitpun komen pun jadilah.

“Saya tak ada masalah. Kalau berbaik pun, anak-anak juga yang senang. Tetapi itulah. Hanya masa yang akan menentukan segala-galanya. Saya percaya suatu hari nanti keadaan akan menjadi jernih semula, kita mengharapkan yang terbaik dalam apa juga perkara pada masa depan’’ katanya.

* Siti tidak lokek

Layanan Siti kepada anak-anaknya menjadikan Datuk K cukup terharu. Malah dalam sesetengah keadaan Datuk K banyak memuji Siti yang disifatkan matang dan terbuka dalam soal berbagi kasih sayang.

“Dia tak pernah kedekut dalam soal kasih sayang. Malah dia yang selalu ingatkan saya supaya telefon anak-anak. Tanya pada saya anak-anak mereka berada di mana? Kalau anak-anak tak datang, dia yang lebih susah berbanding saya,” cerita Datuk K.

Pernah dalam jangka masa hampir sebulan, Datuk K langsung tidak menyentuh buku-buku tugasan sekolah anak-anak akibat kesuntukan waktu. Dia ditegur oleh Siti kerana melupakan tanggungjawab berkenaan.

“Dia pula yang marahkan saya. Kenapa tak periksa buku anak-anak? Sebab itu saya melihat Siti dewasa. Dia tahu masa saya dengan anak-anak, dia tak akan ganggu.

“Kadang-kadang dia SMS saya, bagi tahu dia bangga bila saya betul-betul beri tumpuan pada anak-anak melebihi dirinya. dia tak kisah tentang semua itu,” kata Datuk K lagi.

* Kisah sensitif rumah tangga

Pepatah ada mengatakan lautan tidak akan berhenti geloranya, badai pula tidak akan berhenti melanda pantai. Sama juga dengan kehidupan berumah tangga. Tak akan pernah lekang dari kisah-kisah sedih dan pahitnya.

Baik Siti mahupun Datuk K, menganggap kisah rumah tangga mereka juga begitu. Bagaimanapun baik badai mahupun gelora yang melanda, kebanyakannya terhasil dari pihak luar yang membawa angkara.

Gosip, fitnah dan tuduhan sudah menjadi makanan kehidupan pasangan berselisih usia hampir 20 tahun ini. Pun begitu setiap kali ada cerita buruk mendatang, kedua-duanya tidak cepat melatah. Bukan saja Siti, Datuk K juga tidak lari dari menjadi mangsa gosip.

“Siti tahu siapa suami Siti. Setiap kali timbul cerita macam-macam Siti pun pelik, kenapa nama suami Siti yang selalu dikaitkan. Tetapi Siti tak kisah. Sebabnya Siti memang tahu bagaimana kebenarannya, buat apa hendak peningkan kepala memikirkan hal-hal fitnah seperti itu. Yang Siti hendak ketika ini hidup dalam ketenangan dan bahagia bersama, itu saja,” kata penyanyi ini dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

* Kisah wanita bernama Azizah

Ketika anda menatap edisi ini, sudah empat hari Siti berada di pentas mewah Istana Budaya. Siti memulakan fasa baru kehidupannya sebagai pelakon di pentas teater P. Ramlee The Musical….The Life, The Love, The Inspiration.

Bercakap soal teater berkenaan, kata Siti mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk dia menjadi Azizah, kekasih unggul kepada P. Ramlee lakonan Sean Ghazi.

Siti perlu membawakan seluruh emosi sebagai Azizah supaya tidak memperlihatkan kecacatan sewaktu beraksi.

Apa kata suami melihat Siti di pentas lakonan? Berpasangan dengan lelaki lain pula tu, membawakan watak orang sedang asyik mahsyuk bercinta. Atau sesekali di rumah, Datuk K pun cuba jadi P. Ramlee, untuk membantu Siti menghayati watak Azizah dengan lebih baik?

Kata Siti suaminya ‘okey’ saja. “Tak adalah sampai dia pun turut berlakon jadi P. Ramlee. Tapi sesekali bila Siti bercakap dengan Datuk, dia ada juga usik Siti dengan membalas, “ya Ajijah, nak apa?”

Menurut Siti, dia sebenarnya sangat malu untuk berlakon di hadapan suaminya itu. Sebab itu di rumah, jarang sekali dia berlatih di depan suaminya, kecuali sewaktu Datuk K tiada di rumah.

“Tetapi di tempat latihan kena buat juga. Kadang-kadang dia tengok jugalah sebab Datuk selalu temankan Siti masa latihan jika dia ada kelapangan. Malu ke, segan ke, Siti kena buat juga sebab nanti tiba hari pementasan perasaan malu tu semua kena buangkan jauh-jauh. Jadi Siti masih melatih diri untuk buang segala rasa malu dan segan di pentas,” katanya.

Untuk menyaksikan Azizah lakonan Siti Nurhaliza, masih belum terlambat kerana pementasan ini berlangsung sehingga 3 November ini.

Powered by Utusan Malaysia

Melissa Saila Kembali Dengan Norizan

16 Oct

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

MELISSA SAILA.

AGAK lama juga tidak kedengaran kisah pelakon dan penyanyi, Melissa Saila Alias, 34, beraksi di layar kaca mahupun di layar perak. Apatah lagi untuk menyaksikan dirinya beraksi di pentas sebagai seorang penyanyi walaupun dia pernah merakamkan tiga buah album.

Kemanakah dia menghilang selepas mendirikan rumah tangga dan mempunyai dua orang cahaya mata?

Ketika diumumkan namanya sebagai salah seorang pemegang watak dalam teater muzikal terbaru terbitan Enfiniti Productions Sdn. Bhd., P.Ramlee the Musical (PRtM), ramai yang terkejut dan tidak menyangka sama sekali, nama yang pernah mekar satu ketika dulu, kembali mewarnai pentas teater yang bukanlah begitu asing bagi wanita ini.

Saat ditemui sewaktu sesi latihan teater muzikal tersebut di Istana Budaya, baru-baru ini, Melissa Saila atau lebih mesra di sapa dengan panggilan Lis, menjelaskan dirinya tidak pernah menghilang apatah lagi untuk bersara dari dunia seni.

Kongsi Dalam Gelap

Dengan sekuntum senyuman, Lis memulakan bicaranya: “Saya tidak pernah menghilang. Malah, masih lagi aktif dalam dunia seni terutama sekali bidang teater. Kali terakhir saya beraksi di pentas teater adalah di Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) beberapa bulan lalu.

“Bukan itu sahaja, saya juga kini berjinak-jinak dengan dunia pengarahan filem pendek dan apa yang menggembirakan saya, karya saya yang berjudul Kongsi Dalam Gelap berjaya memasuki senarai sepuluh filem pendek terbaik dalam pertandingan Anugerah Filem Pendek BMW atau dikenali BMW Shorties baru-baru ini,” ceritanya ceria meskipun mencuri masa untuk sesi temuramah ini.

Namun, bukan mengenai kehilangannya yang ingin dirungkaikan tetapi adalah pemilihannya sebagai Norizan iaitu salah seorang wanita penting dalam hidup Allahyarham Tan Sri Dr. P.Ramlee dalam pementasan PRtM yang bakal berlangsung bermula 18 Oktober ini sehingga 3 November depan.

“Jangan fikir hanya kerana saya merupakan anak saudara kepada Allahyarham Puan Sri Saloma saya terus mendapat watak ini. Saya sama juga seperti pelakon lain yan hadir untuk uji bakat.

“Malah, proses uji bakat juga bukanlah senang seperti yang disangka apatah lagi inilah kali pertama saya melibatkan diri dalam teater muzikal. Kami perlu menyanyikan lagu popular P. Ramlee dan beraksi di depan para penilai,” katanya lagi.

Lis turut menjelaskan, watak Norizan bukanlah untuknya sebaik sahaja namanya tersenarai dalam pementasan yang bakal mencetuskan fenomena baru itu tetapi sebaliknya, dia terpilih dengan watak Junaidah yang kini digalas oleh penyanyi yang popular dengan lagu Sangkar, Atilia.

“Saya sebenarnya sudah bersedia dengan watak Junaidah namun apabila diberitahu oleh Zahim Albakri bahawa saya perlu memegang watak Norizan, saya terpaku seketika. Bayangkan, semua persediaan sudah dilakukan. Saya berkata kepada Zahim, berikan saya satu hari untuk ‘jelmakan’ diri saya sebagai Norizan dan akhirnya saya berjaya melakukannya,” kata anak kepada seniwati Mariani itu lagi.

Melibatkan diri dalam pementasan mega itu, jelas Melissa, sememangnya menguji kredibilitinya sebagai seorang pelakon.

“Saya rasa bertuah kerana dapat melibatkan diri dalam produksi sehebat ini. Cabaran saya adalah apabila saya perlu menyanyi dan menari di mana sudah hampir 13 tahun saya tidak menyanyi sejak album terakhir saya, Generasiku pada tahun 1994.

“Dengan itu, saya perlu mengasah kembali vokal saya dan setakat ini saya amat berpuas hati dengan hasil yang saya sendiri tunjukkan,” jelasnya.

Ketika ditanya adakah dia bertanyakan kepada ibunya untuk menghayati watak Norizan, Lis menjelaskan, apa yang dia lakukan adalah menginterpretasikan watak bekas Sulltanah itu dari segi penampilan dan gayanya.

“Norizan sanggup meninggalkan istana demi mengejar cintanya kepada P. Ramlee. Jadi, saya perlu menghayati proses itu. Memandangkan, dia bekas orang istana, saya juga perlu belajar gaya dan caranya berjalan, bercakap dan sebagainya. Saya harap hasilnya akan memuaskan hati penonton kelak,” ujarnya tersenyum.

Powered by Utusan Malaysia

Anak Gemilang Malaysia – Hargai Tokoh Pejuang

5 Sep

PROGRAM akhir Anak Gemilang Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ahad lalu yang memilih penentang Malayan Union dan Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar sebagai Tokoh Anak Gemilang Malaysia harus diteruskan.

Ini kerana dokumentari yang berkisar tentang pengorbanan dan cabaran yang dihadapi oleh tokoh-tokoh masa lalu perlu didedahkan kepada generasi masa kini.

Menurut pakar sejarah negara, Datuk Profesor Ramlah Adam, program sebegitu mampu memberi impak positif kepada anak muda untuk mengenali pejuang silam.

Ramlah yang juga Rektor Kolej Yayasan Melaka menjadi pelobi untuk Onn Jaafar berkata, dengan adanya dokumentari itu, kita bukan sahaja mengimbau kenangan silam malah turut memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh tersebut.

Selain itu, program yang banyak memberi info tentang tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang itu boleh dijadikan rujukan dan disimpan sebagai khazanah negara.

“Kalau tidak kerana jasa mereka, mungkin kita tidak dapat merasai kemudahan yang ada hari ini. Bukan sekadar program sebegitu, malah penghargaan lebih perlu diberi kepada tokoh-tokoh nasionalis tersebut. Contohnya, dengan memberi nama jalan atau menubuhkan yayasan berdasarkan nama mereka,” katanya panjang lebar.

Dia yang begitu lantang bercerita tentang kehebatan Onn Jaafar itu ternyata berjaya menarik perhatian enam juri yang diketuai oleh Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Ujar Ramlah, Onn Jaafar adalah seorang wira yang kurang ditonjolkan walaupun dia memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan orang Melayu.

Kemenangan itu membolehkan keluarga Onn Jaafar menerima wang tunai RM30,000 serta plak.

Anak Gemilang Malaysia merupakan sebuah dokumentari yang diadaptasi dari rancangan The Great Briton, United Kingdom.

Program yang disiarkan di Astro Prima dan RTM sekitar Ogos 2007 itu telah memilih 50 tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada negara.

Daripada 50 orang finalis, hanya 10 dipilih. Selain Onn Jaafar, tokoh lain yang turut ke peringkat akhir ialah Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketiga, Tun Hussein Onn, Pendita Zainal Abidin Ahmad (Za’aba), pengasas MCA Tun Tan Cheng Lock, pakar ekonomi Raja Tun Mohar Raja Badiozaman, Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee, legenda bolasepak Mokhtar Dahari, penyanyi Sudirman Haji Arshad dan tokoh kesatuan sekerja, P. P Narayanan.

Pada majlis tersebut juga penyanyi Sharifah Zarina, Rey dan Farhan turut mendendangkan lagu-lagu bertema patriotik sebagai pembakar semangat.

Powered by Utusan Malaysia

Call Him Encik Negara Ku

26 Aug

Jamaludin Alias, the voice behind many patriotic songs
Jamaludin Alias, the voice behind many patriotic songs

His was the voice generations of Malaysians heard over radio and television, advocating feelings of patriotism.

P. SELVARANI discovers something significantly more about the man with the deep booming voice

Jamaludin Alias, the voice behind many patriotic songs

“SINGING wasn’t my profession. It was my hobby.”

This was the passionate declaration of the bubbly 70-year-old Jamaludin Alias.

Telecoms Department technician, sports writer, sports commentator, news announcer, radio deejay, founding member of and singer with a keroncong band and “government” singer.

Jamaludin was all this and more: He was the first to sing the Negara Ku.

And this was way back in 1957, more than a month before independence in August.

“Tunku (Abdul Rahman Putra Al Haj) wanted a national anthem for Merdeka,” Jamaludin remembers clearly during this interview at his home in Kelana Jaya where he lives with his wife, Kalsom Othman.

“He chose the Perak anthem but changed the lyrics.

“I was then instructed to teach the people to sing the national anthem over radio, under the guidance of (Tan Sri) Dol Ramli with Alphonso Soliano on the piano.

“Every day during that one month before Merdeka, I would slowly sing the song, line by line, for 15 minutes over radio, to help the people learn to sing Negara Ku.”

A recording of the national anthem sung by the Radio Malaya choir — Jamaludin was a member of this choir — continued to fill the airwaves in the years after Merdeka.

As Jamaludin says, there was “no turning back” after that.

He quit his job as a Telecoms Department technician and after a six-month stint at the bilek gerakan (operations room) of the Prime Minister’s Department, he joined Radio Malaya as a part-time announcer, deejay and later as a news announcer and sports commentator.

By this time, Jamaludin, who has a passion for keroncong songs, teamed up with Radio Malaya composer Johar Bahar to form the keroncong band, “Orkes Rindu Malam”, which performed over radio. (The band is still around with a new set of members.)

Jamaludin got into singing young, thanks to his eldest sister, Halimah, a teacher who loved singing.

The 8-year-old Jamaludin, who lived with Halimah in Kampung Baru, Kuala Lumpur, would sing along and it wasn’t long before he started participating in school talent time competitions with his school mate, the late Zain Azman.

By the time he was 17, Jamaludin was already a guest artiste over Radio Malaya, singing keroncong songs.

His break came in 1957 when he was roped into Radio Malaya’s Merdeka Choir under the stewardship of the late Tony Fonseka.

The 20-odd member choir was assembled in preparation for the Merdeka celebrations to sing the many patriotic songs penned by, among others, Johar, Jimmy Boyle and (Datuk) Ahmad Merican.

“For that whole month, we practised every day from 9am to noon.

“There was never a prouder moment than when all of us — Malays, Chinese and Indians — stood in our various (ethnic) costumes at the Selangor Club Padang on the eve of Merdeka.

“We sang Malaya Tanah Airku as we watched the Union Jack being lowered and the Malayan flag raised.”

Earlier that evening, Jamaludin had joined the great P. Ramlee and Saloma and other popular artistes to perform at a pre-Merdeka banquet hosted by Tunku at the Residency.

“And on Merdeka evening, we performed at the floating stage of the Lake Gardens for the public.”

The Information Ministry wasted no time in putting Jamaludin’s voice to good use to inspire a sense of patriotism among the citizens of a new nation through songs such as Putera Puteri.

And at the height of the Confrontation with Indonesia, Jamaludin’s voice boomed over the airwaves to fuel the fire of nationalism with songs such as Malaysia Berjaya, Samudera Raya, Gagah Perkasa and the ever-popular Perajurit Tanah Air, accompanied by the Royal Malaysian Police band.

“(Tun) Ghazali Shafie, who was the information minister, had commissioned the late Saiful Bahari to compose the songs.

“I did the recording for these songs from 7pm to 1am at the Film Unit (later called Filem Negara), which was located at the site of the present New Straits Times building in Bangsar.

“It was hard work but I enjoyed it.”

Jamaludin was paid a “princely” sum of RM50 for the effort.

After each recording, the song would be played before Tunku Abdul Rahman and members of his cabinet for approval before it was broadcast.

Perajurit Tanah Air is Jamaludin’s favourite because of its touching lyrics. It is one song many of us identify with, especially the opening line “Inilah barisan kita…”.

And he was soon singing other campaign songs for the government such as Bahasa Jiwa Bangsa (to promote the national language), Keselamatan Jalan Raya (road safety) and Mari Mengundi (for the general election).

His popularity as a singer of patriotic songs earned Jamaludin the nickname penyanyi kerajaan (government singer).

“I did not mind it (being called the government singer) at all.

“I viewed it as my contribution to the country,” says the grandfather of four.

“I am happy that Malaysians still remember these songs and today’s children are still singing them.

“Some of my songs are still played over (Radio) Klasik Nasional.

“I have done my part and I am proud of it.”

Powered by New Straits Times

Yusnor EF Sertai Aswara

12 Feb

Oleh AZMAN ISMAIL

KEPUTUSAN Akademi Seni dan Warisan (Aswara) Kebangsaan untuk melantik aktivis seni dan penggubah muzik dari Singapura, Yusnor EF bakal membawa perkembangan baru institusi itu khususnya Jabatan Muzik.

Yusnor EF atau nama sebenarnya Mohd. Nor Mohd. Yusofe, 70 akan dilantik menjadi pensyarah tamu Jabatan Muzik mulai Mac depan, sekaligus akan mencurah seluruh pengalaman selama lebih empat dekad dalam bidang muzik dan perfileman Malaysia dan Singapura.

Keputusan tersebut menurut Ketua Pengarah Aswara, Omar Awang sejajar dengan usaha institusi itu menjadi sebuah pusat pengajian ulung dalam bidang seni.

“Selain menyediakan infrastruktur dan meningkatkan mutu pengajaran, pada tahun ini, kita akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar supaya Aswara dapat menjadi institusi seni yang berwibawa.

“Antara lain, kita akan melantik Yusnor EF sebagai tenaga pengajar kerana pengalaman dan kemampuan beliau yang telah menggubah lebih 400 lagu dan muzik,” katanya pada majlis sidang akhbar pengumuman program Aswara sepanjang 2007 di sini baru-baru ini.

Sepanjang tahun ini, antara program kesenian yang telah dirancang ialah mengadakan pementasan teater monolog, bengkel teater boneka, seminar penulisan cereka, bicara filem dan pelbagai pementasan kesenian tradisional.

Sementara itu, Yusnor berkata, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman dalam bidang muzik, kesenian dan lagu sejak penglibatan dalam bidang itu pada era Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Hubungan erat dan segala pengalaman yang Allahyarham curahkan kepada saya, akan saya turunkan kepada pelajar-pelajar Aswara nanti semoga kemahiran yang ada dapat dikongsi bersama.

“Secara peribadi pula, ia merupakan satu bonus kepada saya untuk mendidik generasi baru dalam bidang kesenian khususnya muzik, filem dan lagu,” katanya.

Sepanjang kariernya sebagai penggubah lagu, Yusnor EF telah menulis lirik dan mencipta lagu yang terkenal hingga ke hari ini. Antaranya, Aidilfitri yang dinyanyikan oleh Sanisah Huri dan Gelisah oleh Ahmad Jais.

Dalam pada itu, Yusnor EF berkata, beliau kini sedang dalam proses penerbitan beberapa buku mengenai sejarah seni muzik di Malaysia dan Singapura serta muzik oleh P. Ramlee.

Powered by Utusan Malaysia