Archive | Ayu Raudhah RSS feed for this section

Anita, Stacy Gegarkan ABPBH2008!

11 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini

KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.

Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.

Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.

Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.

Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.

Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.

“Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008,” katanya.

Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.

Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.

Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.

Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.

Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.

“Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas”, kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008

Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.

Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.

Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.

“Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.

Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.

ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.

Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.

Berita Harian

Calon Bintang Popular?

10 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Serimah Mohd Sallehuddin
bhnews@bharian.com.my

SITI dan Saerah akan menggayakan busana Rizman dan Ruzaini pada malam kemuncak ABPBH 2008.

Lebih sedekad di persada seni, masih ramai peminat sayangkan Siti

UNTUK mengekalkan kedudukan sebagai penyanyi wanita disukai ramai bukanlah mudah. Paling tidak, setiap kali album dikeluarkan, perlu ada lagu yang benar-benar memikat hati peminat atau pendengar.

Tidak cukup dengan itu, imej dan pekerti yang baik harus juga dipertahankan. Selebihnya, mungkin faktor nasib memainkan peranan. Sekurang-kurangnya itulah kata kebanyakan artis yang sudah lama memakan garam.

Bagaimanapun wanita jelita dari Kuala Lipis ini sudah membuktikan, dia mampu melakukannya selama lebih sedekad iaitu sejak 1996. Malah sejak tahun itu sehingga hari ini, belum ada penyanyi wanita yang mampu menggugat kedudukan istimewanya dalam dunia seni. Ramai juga penyanyi wanita lain yang dikatakan bakal menjadi pengganti, tetapi wanita bernama Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini kekal berkuasa di persada seni.

Bukan di kalangan penyanyi wanita saja namanya dijulang, bahkan penyanyi ini pernah menguasai kedua-dua dunia lelaki dan wanita buat beberapa lama sehingga kehadiran bintang Akademi Fantasia, Mawi. Sejak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1996 sehingga ABPBH 2001, Siti menjulang trofi Bintang Popular sebanyak lima kali. Dia sekali lagi merampas kedudukan itu daripada Rosyam Nor (ABPBH 2002) dan Saiful Apek (ABPBH 2003) pada ABPBH 2004.

Tentunya pencapaian yang bukan kecil untuk seseorang artis mengungguli takhta Bintang Paling Popular sebanyak enam kali. Sehingga kini, dalam sejarah 21 kali penganjuran ABPBH, hanya wanita bersuara lunak ini yang berupaya melakukannya.


SITI akan membuat persembahan, manakala Saerah akan menyampaikan trofi.

Bukan sekadar itu saja, kerana beliau turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjulang trofi Penyanyi Wanita Paling Popular selama 11 tahun berturut-turut. Sejak ABPBH 1996, dia belum pernah melepaskan trofi itu ke tangan penyanyi wanita lain. Bukan kehendaknya, namun peminat bagai sukar sekali hendak menidakkan kemampuan Siti menguasai undian yang diberi.

Tahun ini, mampukah penyanyi yang baru saja muncul dengan album Lentera Timur itu mengekalkan anugerah yang sama apabila pencabar baru seperti Stacy, Mila dan Elyana turut bersaing?

Usah dilupa pada Jaclyn Victor yang pernah menewaskan Siti pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-14 dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik. Tentunya persaingan yang dikira sengit, menyaksikan peminat penyanyi baru dan lama ini cuba menentukan siapakah antara mereka lebih masyhur di persada muzik negara.

Siti sendiri, seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak pernah meletakkan harapan yang menggunung setiap kali namanya dicalonkan ke peringkat akhir anugerah itu, yang menyerahkan kuasa ke tangan peminat sepenuhnya.

“Setiap kali Siti dicalonkan sehingga ke peringkat Top 5, setiap kali itulah Siti melihatnya sebagai tanda kepercayaan diberikan peminat kepada Siti. Siti sendiri tidak boleh hanya duduk berdiam diri apabila peminat meletakkan harapan di bahu Siti. Maknanya, Siti perlu bekerja keras untuk memastikan karier Siti sentiasa mahu ke hadapan dan peminat sendiri mendapat kepuasan daripada hasil kerja Siti lakukan.

“Menerusi ABPBH, peminat diberi peluang sepenuhnya untuk memilih artis popular kesukaan mereka. Begitupun, peminat hari ini amat bijak kerana mereka tidak memilih begitu saja.

“Apa saja pilihan dilakukan, ia berteraskan hasil kerja kita sepanjang tahun berkenaan. Lalu, sebagai penyanyi bertanggungjawab, kita harus sentiasa ada keinginan untuk terus memantapkan kerjaya, bukan hanya untuk peminat malah untuk kebaikan industri seni itu,” ujar Siti ketika ditemui sewaktu menjayakan persembahan Sirah Junjungan – Tahajud Cinta di Istana Budaya, baru-baru ini.

Siti tidak lupa untuk berterima kasih kepada peminat yang nyata tidak henti-henti menghulurkan sokongan padu kepada dirinya, dalam apa juga situasi yang dihadapi.

“Peminat tidak perlu risau seandainya rezeki tidak menyebelahi Siti pada kali ini. Begitu juga sekiranya Siti sekali lagi menaiki pentas menerima trofi, kerana perkara paling penting ialah Siti akan terus memberikan sumbangan dalam dunia seni,” kata penyanyi Di Taman Teman ini.

Pada acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung di Arena of Stars Genting Highlands, 12 April ini, isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini tentunya akan menaiki pentas utama di hadapan ribuan peminat yang dijangka memenuhi arena. Untuk mengatakan dia menaiki pentas menerima trofi, pasti masih terlalu awal. Yang pasti, Siti akan berada di atas pentas untuk menghiburkan penonton dengan persembahannya.

Selain Siti, bakal menggegarkan Arena of Stars dengan persembahan mereka ialah Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Faizal Tahir, kumpulan Kristal, Hujan, Aizat, Siti Sarah, Stacy, Farah Asyikin, Diddy, Ayu Damit, L Ramlee, Jeffrydin dan Datuk A Rahman Hassan.

“Maaflah, Siti belum boleh bercerita mengenai konsep persembahan dan lagu yang akan didendangkan nanti kerana semua itu masih pada peringkat perbincangan lagi,” katanya yang turut menerima ‘kejutan’ tersendiri apabila suami tercinta muncul tiba-tiba sewaktu berlangsungnya sesi fotografi.

Peluang Saerah untuk menyerlah

SEBAGAIMANA kakaknya, Saerah juga akan menaiki pentas ABPBH 2008. Bukan sebagai penyanyi buat persembahan, sebaliknya dia dan seorang lagi kakaknya, Saida, diberikan amanat sebagai penyampai anugerah pada malam penuh gemilang itu.

“Tentu sekali peluang yang diberikan penganjur ini satu pengalaman yang bererti buat saya kerana inilah kali pertama saya ke pentas untuk menyampaikan anugerah sebagai artis.

“Ia peluang yang begitu dihargai kerana ramai lagi artis berharap dapat mengambil bahagian dalam acara sebesar ini. Jadi, saya amat berbangga apabila artis baru seperti saya dan Saida terpilih,” kata Saerah.

Pada malam kemuncak ABPBH 2008 itu nanti, bukan hanya Saida dan Saerah yang akan menyerikan majlis sebagai penyampai trofi. Mereka akan disertai barisan selebriti lain seperti AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lis Dawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Menyentuh perkembangan kerjaya muziknya, wanita peramah ini berkata, dia kini dalam proses menyiapkan album duo bersama Saida, yang diterbitkan oleh syarikat rakaman SNP Sdn Bhd.

“Mengikut perancangan, album kami akan berada di pasaran sekitar Jun ini. Ia bakal memuatkan lapan lagu, dengan masing-masing mempunyai dua lagu secara solo. Tiga lagi lagu dirakam secara duet, manakala sebuah lagu akan menyaksikan kami tiga beradik,” katanya.

Berita Harian

Bosan Digosip Lelaki Kaya

9 Apr

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

Rozita Che Wan, Ayu Raudhah diberi penghormatan sebagai penyampai di ABPBH2008

BUKAN sekali dua namanya dikaitkan dengan lelaki. Rasanya si empunya diri ini juga sudah bosan kerana setiap kali bertemu media, pasti soalan mengenai lelaki yang sering diajukan kepadanya. Walaupun jenuh Rozita Che Wan membuat penafian, namun cerita itu bagai tiada kesudahannya.

Sewaktu sesi fotografi bersama Hip baru-baru ini yang dilakukan di butik milik pereka fesyen Calvin Thoo di Lot 10, Bukit Bintang, soalan mengenai lelaki langsung tidak.

Hadir bersama adiknya, Ayu Raudhah, Rozita atau lebih akrab di sapa Ita lebih selesa apabila ceritanya mengenai lelaki tidak diperbesarkan. Tegasnya, dia kini masih solo dan andai benar akan menamatkan zaman jandanya, perkara baik itu tidak akan disorokkan.

Kehadiran Rozita dan Ayu petang itu adalah untuk melihat sendiri bagaimanakah bentuk rekaan busana yang akan mereka gayakan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di di Arena Of Stars, Genting Highlands, hujung minggu ini.

Jika tahun lalu, Rozita hadir di ABPBH sebagai calon tetapi kali ini, dia hadir bersama adiknya itu sebagai penyampai anugerah dan bagi tugasan itu, mereka diberi penghormatan untuk menggayakan busana berasaskan tenunan songket rekaan Calvin.

Jelas Rozita, walaupun tidak tercalon kali ini namun dia tetap gembira untuk hadir di majlis yang mengumpulkan ramai selebriti itu.

“Tak tahulah kenapa nama saya boleh tercicir kali ini. Mungkin saya tak banyak berlakon drama bersiri tahun ini dan banyak muncul dalam telefilem maka peminat pun tak perasan,” kata Rozita yang tidak kecewa apabila gagal tersenarai sebagai finalis tahun ini.

Mengulas rekaan Calvin, pelakon ini mengakui dia memang selesa dengan hasil kerja pereka kreatif itu.

“Calvin tahu ukuran badan saya. Setiap kali menyarungkan pakaian rekaannya, memang terletak dan tak perlu nak ubah sana sini. Macam saya sendiri, suka baju yang bentuk ikut badan dan Calvin memang pakar dalam hal ini,” cerita Rozita yang menggemari warna-warna terang dan polos apabila memilih pakaian untuk digayakan.

Tak mahu jodoh dengan artis

JIKA si kakak kerap dikaitkan dengan lelaki berpangkat dan bergelar, lain pula dengan si adik. Sejak menceburkan diri dalam bidang seni, jarang sekali kedengaran Ayu Raudhah atau Ayu digosipkan dengan ramai lelaki.

Cuma yang kedengaran adalah hubungannya dengan pelakon Pekin yang khabarnya kini sudah tinggal sejarah.

“Memang kami pernah bercinta sebelum ini tetapi sudah tiada jodoh, nak buat macam mana,” kata Ayu.

Namun begitu, kata Ayu, Pekin lelaki yang baik dan disebabkan itulah dia tidak ada masalah untuk terus berkawan dengan lelaki itu.

Ditanya apakah artis masih lagi menjadi pilihan, pantas Ayu menggelengkan kepala.

“Lagipun mak Ayu sendiri tak berapa setuju jika suami Ayu di kalangan artis,” jelas gadis berusia 24 tahun ini.

Sejak menceburkan diri dalam bidang lakonan, ini adalah kali pertama Ayu muncul dalam ABPBH. Bukan bersikap sombong atau tidak mahu bergaul dengan artis lain cuma Ayu lebih senang menontonnya di rumah jika tidak ditugaskan apa-apa pada acara tahunan itu.

“Tahun ini saya ada tugas yang perlu dilakukan di sana. Kali ini, saya dan kakak menjadi penyampai. Rasa berdebar juga kerana pastinya pada masa itu seluruh perhatian akan tertumpu pada saya dan kakak kerana kami akan mengumumkan keputusan yang amat penting bagi finalis,” kata Ayu yang juga mengagumi rekaan Calvin Thoo yang disifatkannya sebagai elegan dan bercita rasa tinggi.

Calvin guna khidmat penata gaya khas

BERTUAH sungguh nampaknya Rozita dan Ayu apabila busana yang akan mereka gayakan pada malam kemuncak ABPBH 2008 adalah ciptaan eksklusif Calvin untuk mereka. Menjelaskan perkara itu menurut Calvin kesibukannya memenuhi tempahan membuatkan dia hanya mampu menyiapkan pakaian untuk dua artis itu saja.

“Hanya dua artis saja yang akan menggayakan rekaan terbaru saya. Rozita antara artis yang setia dengan saya dan tak pernah cerewet. Untuk Rozita, busananya nanti akan mengikut karakter yang pernah dibawakan di dalam lakonan, sedikit classy dan ada sentuhan old Hollywood. Sangat dramatik manakala adiknya pula lebih kepada imej remaja.

“Saya akan mendapatkan bantuan khidmat penata gaya berpengalaman dari Indonesia iaitu Cicko Bachtiar. Pendek kata dari hujung rambut hingga hujung kaki, penampilan Rozita dan Ayu akan mendapat khidmat Cicko,” jelas Calvin mengulas tugasannya untuk mencantikkan dua beradik sensasi dan jelita ini.

Bersesuaian dengan konsep tenunan yang menjadi tema tahun ini, Calvin berkata untuk mereka, tenunan songket akan menjadi pilihan.

“Rozita suka dengan warna terang dan potongan mengikut bentuk badan, jadi, saya memilih songket berwarna biru atau ungu. Manakala bahannya pula daripada kain dutchess satin. Ayu pula akan mengenakan songket bersama fabrik sutera.

“Yang penting pakaiannya nanti tidak keterlaluan serta bersesuaian dengan imej remajanya,” kata Calvin yang mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan rekaannya itu.

INFO:

Nama: Raudah Che Wan Nama Komersial: Ayu Raudah Usia: 24 tahun Tarikh Lahir: 7 Disember 1984 Tempat Lahir: Alor Star, Kedah Tinggi: 158 cm Berat: 49 kilogram Status: Solo Kerjaya: Pelakon Drama: Dilema Wanita, Timur Mencinta Barat Merindu, Manjalara

Nama: Rozita Che Wan Usia: 35 tahun Filem: Dunia Baru The Movie, Sepi, Jangan Tegur, Kantoi dan Sifu & Tongga Drama: Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique, Ayyad, Baraku Genggam, Sebelum Sejadah Terbentang dan Dewi Di Sebalik Cermin

Berita Harian

Impak Pereka Fesyen Malaysia!

4 Apr

Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my

Tampil istimewa, XY – Ikon Lelaki minggu ini menghimpunkan 10 pereka fesyen lelaki yang bakal menyemarakkan Fiesta Fesyen Berita Harian. Inspirasi rekaan mereka – songket dan tenun turut digayakan bintang pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2008) kelak. Raikan aura fesyen mereka!

BUKAN mudah menghimpunkan 10 pereka fesyen tanah air dalam satu sesi fotografi kerana masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan perincian terakhir rekaan bagi dua acara besar anjuran Berita Harian bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian yang bakal mewarnai pusat beli-belah One Utama, Petaling Jaya, lusa, serta majlis gala di Hotel One World, keesokannya, disusuli kemuncak ABPBH 2008 di Genting Highlands pada 12 April ini cukup memadatkan diari kumpulan pereka muda ini.

Namun, 10 pereka ini masih sempat meluangkan masa menjalani sesi fotografi eksklusif bersama XY – Ikon Lelaki. Ini membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka dalam menyokong acara berprestij yang bakal disertai selebriti dan pereka fesyen tanah air.

Riuh studio fotografi di Balai Berita dengan kehadiran insan kreatif ini. Malah, suasananya persis kesibukan di pertunjukan fesyen. Namun, kali ini merekalah menjadi bintangnya!

Daripada topik harian hinggalah keresahan mengejar deadline – semua pereka berkongsi keseronokan menanti dua acara besar ini. Seharusnya, masing-masing mahu rekaan yang ditampilkan sempurna dan mencuri tumpuan tatkala digayakan di pentas catwalk.

Hatta Dolmat; Rizman Ruzaini; Calvin Thoo; Nazreen Idris; Hazwani Osman; Amir Luqman; Shegar; Nik Erwan Rosdi dan Zery Zamri – masing-masing berkongsi inspirasi rekaan dengan identiti fesyen Malaysia.

Inspirasi Hatta Dolmat

TERKENAL dengan rekaan penuh perincian, pereka fesyen berbakat besar, Hatta Dolmat tidak ketinggalan memeriahkan Fiesta Fesyen Berita Harian serta malam kemuncak ABPBH 2008. Kali ini, pereka fesyen kelahiran Kuala Sungai Baru, Melaka ini akan mereka pakaian Nurul Huda Abdul Wahab, Siti Sarah, Sheila OIAM dan Iz.

“Tema songket bukanlah halangan bagi saya kerana sebelum ini pernah menerapkan tema sama di sebuah majlis anugerah hiburan. Menjadi kebanggaan pereka fesyen kerana mampu menerapkan tema tradisi dalam menzahirkan rekaan pakaian,” kata Hatta yang sudah empat tahun terbabit dalam ABPBH selepas pertama kali mereka pakaian untuk Jacklyn Victor dan Fasha Sandha pada ABPBH 2005.

Kata Hatta, ABPBH adalah platform terbaik untuk pereka baru tanah air dalam mengembangkan bakat, seterusnya berorientasi dengan idea baru rekaan.

“Sepanjang terbabit dalam majlis anugerah ini, saya dapat melihat perkembangan positif penganjur yang tidak saja memberikan publisiti buat artis, pada masa yang sama turut memartabatkan industri fesyen tanah air.

“Ini dapat dilihat menerusi pembabitan artis dengan pereka fesyen termasuk Anugerah Best Dress yang diperkenalkan tahun lalu dan tahun ini pula dengan Fiesta Fesyen Berita Harian,” kata teruja.

Profil

Nama: Muhammad Hatta Dolmat

Umur: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mata (UiTM), Shah Alam.

Pencapaian:

Juara Anugerah Pereka Fesyen Muda 2003.

Juara pertandingan akhir Trofi Pesona Pengantin 04/05.

Juara Anugerah Jarum Berlian 2005.

Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006: rekaan pakaian terbaik digayakan oleh Erra Fazira.

Anugerah Rekaan Pakaian Terbaik sempena Anugerah Bintang Popular 2007.

Juara kategori Ethnic Chic di Singapore Fashion Designer Competition 2007.

Naib juara Project Runway Malaysia 2007.

Gandingan duo Rizman Ruzaini

NAMA Rizman Ruzaini antara yang paling menonjol di kalangan pereka fesyen angkatan baru. Memilih konsep less is more menjadi antara trademark pereka fesyen muda ini. Lebih menarik, jika kebanyakan pereka fesyen bergerak solo, label Rizman Ruzaini menampilkan koloborasi dua pereka fesyen ini.

Rizman Nordin dan Wan Ruzaini Wan Jamil yang bekerjasama menubuhkan label Rizman Ruzaini sejak lebih dua tahun lalu menggalas cabaran besar untuk ABPBH kali ini apabila mereka pakaian untuk penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Selain Siti Nurhaliza, pereka fesyen yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini juga akan berfantasi dengan rekaan untuk pelakon Fasha Sandha, Sari Yanti dan Siti Saerah.

“Secara peribadi, saya melihat adalah satu usaha baik ABPBH memilih tema songket yang mana mampu mengangkat martabat khazanah songket yang menjadi identiti negara.

“Menjadi tugas pereka fesyen mencipta sesuatu yang berbeza melalui tema begini. Apatah lagi songket adalah 100 peratus identiti Malaysia berbanding batik yang juga popular di Indonesia,” kata Rizman Nordin.

Wan Ruzaini turut memuji usaha membantu pereka fesyen tempatan mengetengahkan bakat pada majlis berprestij.

Profil

Rizman Ruzaini

Dipelopori dua pereka, Rizman Nordin, 24; dan Wan Ruzaini Wan Jamil, 24.

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Butik Rizman Ruzaini Creations beroperasi pada awal tahun ini.

Terbabit dengan perekaan fesyen sejak dua tahun lalu.

Artis yang pernah menggayakan busana Rizman Ruzaini antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Erra Fazira, Ning Baizura.

Pencapaian:

Terpilih sebagai lapan pereka terbaik untuk Pereka Busana Pengantin Malaysia Great Eastern Mall.

Peserta akhir pertandingan Jarum Berlian 2003.

Penerima anugerah busana terbaik Rafflesia 2008 melalui busana diperagakan artis Fazura

Terbabit dengan perekaan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Aura Calvin Thoo

SEJAK beberapa tahun lalu, ABPBH cukup sinonim dengan pereka fesyen tempatan, Calvin Thoo. Masakan tidak, pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini menjadi pilihan ramai selebriti popular tanah air. Pengalaman selama 13 tahun dalam industri fesyen meletakkan Calvin Thoo antara pereka fesyen disegani ramai.

Tahun ini, Calvin dipertanggungjawab mereka gaun malam bertemakan songket dan tenun untuk pelakon cantik Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan Marsha. Pentas ABPBH 2008 bakal menyaksikan kreativiti Calvin dalam memberi variasi pada songket dengan nafas baru.

Ditanya cabaran mengetengahkan songket dalam majlis anugerah berprestij seperti ABPBH, Calvin berpendapat, menjadi tanggungjawab pereka fesyen berfantasi dengan lakaran sebelum memberi impak besar melalui rekaan.

“Saya tidak mempunyai banyak masalah mengetengahkan songket. Sebelum ini, ramai pelanggan dari kalangan kenamaan dan kerabat diraja memilih elemen songket dan tenun dalam persalinan. Saya juga menerapkan kain songket ketika majlis persandingan Lisdawati sebelum ini,” katanya.

Profil

Calvin Thoo

Umur: 37 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Fesyen) RMIT Australia.

Pencapaian:

Menimba pengalaman dalam bidang fesyen selama lebih 10 tahun di luar negara.

Memulakan label Calvin Thoo pada 2003.

Peserta peringkat akhir Piala Seri Endon Batik 2004.

Membuka butik Calvin Thoo pada 2005 di gedung beli-belah Lot 10, Bintang Walk, Kuala Lumpur.

Hasil rekaan Calvin diperagakan pada acara antaranya Minggu Fesyen Kuala Lumpur, Anugerah Fesyen Antarabangsa Malaysia dan Festival Fesyen Islam KL.

Seksi cara Nazreen

TERKENAL dengan rekaan seksi, pereka fesyen yang makin dikenali, Nazreen Idris mengakui agak sukar menerapkan identiti rekaan bertemakan songket dan tenun. Baginya, menjadi tanggungjawab pereka fesyen meletakkan prinsip dalam setiap rekaan.

“Meskipun kita cenderung mengetengahkan elemen feminin dan seksi dalam rekaan, unsur sebegitu tidak boleh diterapkan apabila menggunakan kain songket.

“Menjadi tanggungjawab seorang pereka fesyen meletakkan martabat tinggi songket yang menjadi identiti Malaysia,” kata Nazreen yang akan menyiapkan persalinan Linda Onn, Siti Saida dan Intan Ladyana di malam kemuncak ABPBH 2008.

Ditanya pendapat dirinya mengenai kain songket, secara peribadi pereka fesyen kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui penerimaan masyarakat makin meluas dalam mengangkat martabat songket sebagai budaya dan identiti Malaysia.

“Ketika menuntut dulu, saya memilih melakukan kajian mengenai kain songket. Sebab itu, saya cukup berhati-hati menggunakan kain songket untuk sebahagian daripada hasil rekaan kerana ingin memastikan martabat songket terpelihara,” katanya.

Profil

Nazreen Idris

Pendidikan: Diploma Seni Reka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Terbabit menyediakan busana untuk artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, pemenang tempat ketiga Animax Fashion Ability 2007.

Antara artis yang pernah mendapat sentuhan Nazreen: Datuk Khatijah Ibrahim, Anne Ngasri, Diana Danille, Linda Onn, Intan Ladyana, Siti Saida dan Faezah Elai.

Warna Zery Zamry

JIKA ramai pereka fesyen memilih perincian yang melengkapi rekaan pakaian, Zery Zamry pula sebaliknya. Pereka muda kelahiran Kelana Jaya, Selangor ini memilih warna sebagai tarikan rekaan. Seperti sebelumnya, pereka yang memiliki label butik Zery Zamry Couture ini akan menyiapkan adi busana penyanyi Elyana dan pelakon Norish Karman.

Mengetengahkan konsep minimalis, Zery berusaha memodenkan songket melalui rekaan.

“Sebagai pereka muda, menjadi tanggungjawab kami berusaha sebaik mungkin memastikan songket menjadi pilihan ramai. Apabila digayakan artis, ia setidak-tidaknya menjadi ikutan dan dilihat ramai orang. Apatah lagi, ABPBH cukup membantu pereka fesyen membina nama di Malaysia,” katanya.

Tiga tahun terbabit serius sebagai pereka untuk artis yang bertanding di ABPBH, Zery mengakui sambutan dan publisiti cukup membantu memeriahkan industri fesyen tanah air.

“Ya lah, artis dan pereka fesyen saling memerlukan dan secara tidak langsung ABPBH dilihat sebagai jambatan merancakkan lagi industri fesyen di Malaysia,” kata pereka berusia 25 tahun ini.

Profil

Zery Zamry

Pendidikan: Universiti Teknologi Mara (UiTM) pengkhususan Fesyen.

Pencapaian:

Anugerah Jarum Berlian 2006.

Finalis Project Runaway Malaysia.

Tranformasi Shegar

BERPENGALAMAN 12 tahun dalam bidang hiasan dalaman, Shegar Chandra Sekaran atau lebih dikenali sebagai Shegar kini menyahut cabaran dengan ‘terjun’ ke bidang rekaan pakaian. Tiga tahun dalam dunia fesyen, usaha itu tidak sia-sia apabila rekaannya mula diperkata umum.

Malah sempena ABPBH 2008, Shegar dipertanggungjawabkan mereka pakaian Cheryl Samad. Bukan kali pertama, koloborasi Shegar sudah cukup sinonim bersama pengacara terkenal itu.

Kata pereka berbakat berusia 36 tahun ini, beliau cukup teruja mengetengahkan tema songket lalu mengangkat martabat khazanah negara itu.

Baginya, songket jika disesuaikan dengan bentuk rekaan dan padanan fabrik lain mampu menterjemah hasil rekaan menarik dan bertaraf antarabangsa.

“Saya cenderung dengan rekaan potongan clean cut dan menggemari sesuatu yang simple. Justeru itu, saya akan memastikan rekaan Cheryl nanti dipengaruhi elemen begini,” kata Shegar.

Profil

Shegar Chandra Sekaran

Pendidikan: Ijazah dalam Hiasan Dalaman daripada Saito Akademi, Kuala Lumpur.

Pencapaian:

Beliau berkecimpung dalam dunia hiasan dalaman lebih 12 tahun tetapi mula berjinak-jinak dengan dunia fesyen sejak tiga tahun lalu.

Mulai tahun ini tekadnya untuk menyertai lebih banyak acara fesyen seperti Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan Festival Fesyen Islam KL.

Terpilih sebagai pereka pakaian Anugerah Juara Lagu 2008 disifatkan antara pencapaian tertingginya dalam kerjaya sebagai pereka fesyen.

Sentuhan Nik Erwan

SESUATU yang istimewa cuba disampaikan pereka fesyen kelahiran Shah Alam, Selangor ini. Mengakui bakal menerapkan hingga 40 peratus kain songket dalam busana ciptaannya, Nik Erwan Roseli teruja kerana terbabit dalam dua acara besar bulan ini.

Fiesta Fesyen Berita Harian dan ABPBH 2008 menjadi medan terbaru buat Nik Erwan berfantasi dengan gaya dan hasil ciptaan cemerlang. Untuk acara berprestij ABPBH 2008, Nik Erwan mereka pakaian untuk pelakon Dynas, Mila Tini Hot FM dan kumpulan Fabulous Cats.

“Menambah lagi pesona rekaan, saya memilih warna terang yang akan digabungkan dengan warna songket. Begitupun, rekaan tidak harus terlalu menonjol dan sarat, sebaiknya biarlah lebih sederhana supaya nampak lebih anggun dan menawan.

“Majlis begini adalah platform terbaik buat pereka fesyen tanah air membina nama dan dikenali ramai. Pengalaman terbabit dalam ABPBH beberapa tahun kebelakangan ini nyata memberi impak besar untuk saya melebarkan bakat,” katanya yang bercadang untuk memasarkan pakaian ready to wear pada masa akan datang.

Profil

Nik Erwan Roseli

Kelulusan: Diploma dalam Jurusan Grafik; Ijazah dalam Jurusan Rekaan Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pencapaian:

Memenangi Anugerah Koleksi Terbaik pada Persembahan Akhir Peringkat Ijazah pada 2008.

Menyertai persembahan MIFA pada 2008.

Terbabit dalam Royal Of Art di One World Hotel 2008.

Menghasilkan pakaian untuk ramai selebriti termasuk Datuk Siti Nurhaliza, Mendua Reality Television Gangstarz dan Sharifah Aleya.

Cabaran tersendiri Hazwani

BUKAN sekadar berfantasi rekaan gaun pengantin, Hazwani Osman juga boleh mereka pakaian lelaki, Justeru itu, ABPBH dan Fiesta Fesyen Berita Harian menguji bakat dalam menghasilkan rekaan untuk lelaki dan wanita.

Malah, Hazwani akan mencipta sesuatu yang berbeza buat Faizal Tahir dan Jamal Abdillah.

“Bukan senang untuk mencipta kelainan dalam pakaian lelaki. Tidak seperti wanita, rekaan lelaki harus disesuaikan dengan keadaan dan material yang digunakan termasuk jenis kain.

“Jika tidak kena dengan gaya, tema songket hanya akan menampakkan rekaan untuk lelaki seakan-akan pakaian rasmi pelayan di hotel,” akui Hazwani jujur.

Sambil memuji usaha mengetengahkan tema songket, Hazwani berkata menjadi tanggungjawab pereka fesyen tempatan dalam mengetengahkan nilai tradisi tempatan.

Profil

Hazwani Osman

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen (Kepujian) UiTM Shah Alam dan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka (Fesyen) UiTM Sri Iskandar, Perak.

Pencapaian:

Pakaian Terbaik Lelaki (Ijoy) Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Finalis top 20 Mifa 2006.

Finalis Trofi Pesona Pengantin 2005.

Finalis Jusco Young Designer 2003.

Mereka pakaian selebriti seperti Nasha Aziz, Mawi, Fazura, Fara Fauzana, Faizal Tahir, Fazli Zainal, Mila, Diddy AF, Dafi, Awal Ashaari, Sharifah Shahira dan ramai lagi.

Sensasi rekaan Amir Luqman

AURA gaya pereka fesyen ini cukup terserlah. Itulah kelebihan pereka fesyen, Amir Luqman sehingga terpilih menjadi penata gaya rakaman televisyen bagi Miss Universe 2008, Dayana Mendoza. Di acara kemuncak ABPBH 2008, Amir akan merealisasikan sentuhan rekaan untuk calon Artis Baru Wanita Popular, Scha.

Kata Amir, dia gemarkan sesuatu yang berbeza di samping konsep seni dalam setiap rekaan. Meskipun itu, dia juga memastikan nilai kemelayuan diterapkan dalam rekaan pakaian.

“Tema songket adalah langkah permulaan dan usaha yang baik untuk memartabatkan khazanah negara. Diharapkan dengan usaha sebegini sekurang-kurangnya mampu mengetengahkan songket di peringkat antarabangsa.

“Apatah lagi, selebriti dan fesyen cukup sinonim dan menjadi kerjasama terbaik dalam mencipta kelainan. ABPBH dilihat landasan yang baik dalam kerjasama pereka fesyen tempatan dengan selebriti tanah air,” kata Amir yang juga pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004.

Profil

Amir Luqman

Pencapaian:

Peserta akhir Piala Seri Endon 2005

Pemenang tempat kedua Piala Seri Endon 2004

Peserta akhir Star KL Fashion Week Designer Award 2005

KL Fashion Week 2006 – Berjaya Times Square

Stylo Fashion Festival 2008 – Pavilion Kuala Lumpur

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA)

Ahli Persatuan Pereka Fesyen Bumiputra (BDA)

Isetan Young Designer Promo 2006

Penata gaya Miss Universe 2008 Dayana Mendoza untuk rakaman televisyen.

Berita Harian

ABPBH 2008: Gabungan Artis Lama, Baru Di Pentas ABPBH 2008

19 Mar


SEBAHAGIAN artis yang akan menjadi penyampai anugerah pada ABPBH 2008.

SESUATU acara penganugerahan belum tentu berjaya sepenuhnya jika ia tidak dikendalikan oleh hos berkaliber. Bukan saja pengacara perlu bijak mengawal perjalanan majlis, malah dengan suntikan jenaka spontan, acara pasti berlangsung dengan lebih sempurna.

Secara tradisi, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) sentiasa mengetengahkan pengacara yang mampu menghidupkan keadaan. Tidak kira lelaki mahupun wanita, sering kali pengacara anugerah ini menyerlahkan kehebatan mereka di pentas tatkala memikul beban yang bukan kecil.

Nama seperti Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Anita Sarawak, Salih Yaakob dan Sharifah Shahira sememangnya agak sinonim dengan penganjuran anugerah berprestij ini. Mereka pengacara yang cukup dikenali dengan kemampuan menghidupkan suasana dengan gaya penyampaian serta lawak menggeletek jiwa.

Pengacara itu juga sudah tentu berdebar-debar setiap kali berada di pentas utama. Maklum saja, bukan sekadar penonton di arena yang menyaksikan setiap kelakuan mereka, malah jutaan penonton di rumah turut memberikan perhatian. Lalu, profesional mana sekalipun seseorang pengacara, pasti ada sekelumit rasa gementar apabila mereka berdiri di depan khalayak.

Shahira yang terpilih mengendalikan acara kemuncak ABPBH 2008 di Arena of Stars Genting Highlands pada 12 April ini tidak terkecuali. Akui wanita cantik ini, walaupun sudah sekian lama bergelar pengacara, malah kali kedua mengendalikan ABPBH, dia masih lagi tidak dapat menghilangkan debaran di dada terutama apabila diberi kepercayaan mengacarakan anugerah sebesar anjuran Berita Harian ini.

Begitupun, pelakon ini tetap menyahut cabaran yang diberikan, dengan menganggapnya sebagai penghormatan cukup tinggi untuk dirinya.


TIGA penyanyi veteran yang akan menghiburkan penonton pada malam kemuncak, dari kiri; A Rahman Hassan, L Ramlee dan Jeffrydin.

Pada acara gilang-gemilang bertemakan Sentuhan Tenun itu nanti, Shahira akan berpasangan dengan pelakon Adlin Aman Ramlie. Gandingan mereka pastinya membuatkan peminat ternanti-nanti acara kemuncak, apatah lagi ABPBH 2008 menjadi acara pertama kedua-dua insan popular ini disatukan sebagai pengacaranya.

Apakah nanti Shahira mampu menangkis ‘serangan’ Adlin menerusi jenakanya? Apakah juga dia berjaya memintas lawak spontan si lelaki yang baru saja menjadi tunangan pelakon Emelda Rosmila? Sama-sama kita tunggu acara kemuncak ABPBH 2008 yang akan berlangsung beberapa minggu dari sekarang.

Selain pengacara, tentu sekali artis yang bakal mengadakan persembahan pada malam gemilang itu juga menjadi tumpuan. Jika barisan artisnya kurang memberangsangkan, tentulah peminat berfikir dua kali sama ada untuk terus menonton rancangan berkenaan atau berpindah ke saluran lain.

Justeru, ABPBH sentiasa menampilkan penyanyi atau penghibur terbaik untuk memastikan peminat sentiasa melekat di saluran sama setiap kali ABPBH berlangsung. Formula yang dilihat cukup mengesankan kerana setiap kali berlangsungnya anugerah ini, setiap kali itulah rekod rating tontonan diperbaharui.


KUMPULAN Kristal antara artis yang bakal menggegarkan Arena of Stars, 12 April ini.

Kali ini, sekumpulan penyanyi popular, gandingan baru dan lama, disenaraikan penganjur untuk menghangatkan lagi majlis anugerah.

Penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anita Sarawak, Jamal Abdillah, Siti Sarah dan kumpulan Kristal sudah semestinya menjanjikan persembahan yang tidak akan dilupakan peminat. Tidak cukup dengan nama besar itu, diundang sama ialah angkatan baru seperti Faizal Tahir, Hujan, Stacy, Aizat, Diddy, Farah Asyikin dan Ayu OIAM.

Lebih menarik, ABPBH 2008 tidak melupakan penyanyi yang terlebih dulu memeriahkan industri muzik tanah air. Lalu, peminat akan bergoyang sama dengan irama merdu dendangan Datuk A Rahman Hassan, Jeffrydin dan L Ramlee. Tentu sekali gabungan persembahan yang amat menarik bakal berlaku pada acara kemuncak nanti.

Tidak lengkap majlis anugerah tanpa kemunculan penyampai yang menghiasi pentas. Pada edisi ke-22 ini, sekali lagi senarai selebriti yang panjang disediakan penganjur untuk menyerikan lagi acara. Mereka mewakili pelbagai bidang seni seperti lakonan, nyanyian, pengacaraan dan penyampaian radio.

Penyampai anugerah kali ini terdiri daripada AG Hot FM, Amy Mastura, Ayu Raudhah, Eizlan Yusoff, Farid Kamil, Fizo Omar, Kieran, Lisa Surihani, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi, Ekin, Maya Karin, Nora Danish, Norish Karman, Que Haidar, Linda Jasmine, Rozita Che Wan, Saida, Saerah, Umie Aida dan Zizie Ezette.

Info:

MAJLIS pengumuman tema, pengacara, penyampai dan artis persembahan ABPBH 2008 berlangsung dalam suasana cukup meriah di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, 17 Mac lalu.

PENGACARA majlis, Faizal Ismail dan Anne Hot FM, memperkenalkan barisan pengacara, penyampai dan artis diperkenalkan kepada wakil media. Sebelum itu, dua selebriti jelita, Nurul Alis (Kiki) dan Diana Danielle memperagakan rekaan songket oleh Zack Ismail dan Calvin Thoo.

DIPERKENALKAN juga ialah barisan pereka fesyen yang akan bersaing sesama sendiri dalam Anugerah Pereka Fesyen Popular ABPBH 2008. Pereka terbabit bertanggungjawab menyerlahkan penampilan selebriti lelaki dan wanita pada acara kemuncak di Genting Highlands nanti.

TURUT menjadi perhatian hadirin ialah patung dengan pakaian songket dari Kraftangan Malaysia, yang menghiasi beberapa sudut lokasi majlis.

Berita Harian

Tegar Menelan Kritikan

13 Nov

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

KRITIKAN yang diterima bukan menjadikan dirinya seorang yang kalah. Dia sebaliknya bangkit menelan kritikan yang sering dilontarkan terhadapnya.

Dia seorang yang cantik, berbakat dan sanggup bekerja keras. Itu antara faktor yang berjaya melonjakkan dirinya muncul sebagai salah seorang pelakon drama yang dikenali ramai sekarang ini.

Mula muncul dengan drama berjudul Dilema Wanita pada tahun 2005, selangkah demi selangkah Ayu Raudhah Che Wan mula mengasah bakatnya melalui drama-drama tempatan sehingga membuatkan dia kini menjadi buruan penerbit mahupun pengarah.

Apatah lagi bila watak gadis lemah-lembut dan baik terlalu sinonim dengan dirinya di layar kaca, Ayu tampak kukuh dengan identiti tersendiri.

Sudah suratan dirinya apabila menceburi bidang yang juga diterokai kakaknya, Rozita Che Wan yang tidak dinafikan kejelitaannya, dan kelebihan Rozita ialah dia terlebih dahulu menempa populariti berbanding Ayu.

Namun, Ayu tidak menjadikan kritikan tersebut sebagai suatu elemen negatif yang mampu melemahkan semangatnya dalam dunia lakonan.

Sebaliknya, Ayu menjadikan kritikan itu sebagai suatu kekuatan buat membina dan mengembangkan lagi karier lakonannya.

Dan kerana kritikan itu jugalah timbul semangat dalam dirinya untuk menolak segala kritikan tersebut untuk menceburi dunia sama dengan Rozita.


MIOR HASHIM MANAP

Inilah medan yang boleh dijadikan peminat mereka untuk menilai sendiri perbezaan bakat lakonan yang ada pada dirinya dan Rozita.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna Ayu sengaja mahu menunjuk-nunjuk perbezaan sebenar antaranya dan Rozita.

Cuma, dia sebenarnya begitu teringin mendapatkan watak adik-beradik bersama Rozita. Dengan itu, Ayu dapat merasakan kerjanya pasti seronok bila sentiasa didampingi oleh kakak tersayang yang dipanggil dengan nama ringkas, Kak Ita.

Mengulas mengenai perkara itu, beritahu Ayu, “Memang orang sering membandingkan bakat saya dan Kak Ita. Itu tidak salah. Cuma saya bersyukur Kak Ita sering menjadi pembimbing dalam membina kerjaya saya.


DARI MATA ARISA sarat dengan kisah cinta, keluarga dan kasih sayang.

“Walau apa pun saya selalu berangan-angan yang suatu hari nanti kami dapat berlakon bersama sebagai adik dan kakak. Mesti seronok kalau impian itu jadi kenyataan. Maklumlah, bila dah adik-beradik berjumpa, perangai gila-gila mulalah keluar.

“Dan saya rasa, inilah masanya untuk kami lebih bermesra. Biasalah kalau dah masing-masing sibuk, susah kami nak berjumpa walaupun sekejap,” katanya meluahkan keinginan tersendiri.

Berlakon dengan diri sendiri

Namun peluang untuk Ayu bergandingan dengan Rozita nampaknya belum menjelma. Biarpun begitu Ayu berpeluang berlakon dengan dirinya sendiri menerusi drama rantaian arahan Mior Hashim Manap dalam produksi terbaru terbitan Bright Network Sdn. Bhd., Dari Mata Arisa.

Tidak melihatnya sekadar suatu tawaran lakonan biasa, ia ternyata memberi sedikit cabaran kepadanya, apatah lagi apabila terpaksa menghayati dua watak yang berbeza.Satu pendedahan baru buatnya kerana inilah saat dan ketika buat Ayu bagi membuktikan bakat yang dimilikinya.

“Pada mulanya, agak sukar untuk saya membawakan dua watak yang berlainan kerana saya perlu menyesuaikan diri dengan penghayatan yang berbeza.


PELAKON-pelakon yang mendapat kepercayaan Raja Alawiyah dan Mior bagi menjayakan drama rantaian ini.

“Namun, dengan bantuan pelakon-pelakon lain serta pengarahnya, abang Mior, saya dapat membawakan watak ini seperti yang dikehendakinya.

“Elok juga belajar dari dia. Banyak ilmu boleh dapat. Ditambah pula dengan pengalamannya sepanjang berada di bidang ini, banyak yang diajar olehnya,” ujarnya.

Persepsi skeptikal masyarakat

Menyelami Dari Mata Arisa yang diadaptasi daripada novel karya Bikash Nur Idris, Kau Sayangku, ia mempunyai mesej tersendiri dalam mengubah persepsi skeptikal segelintir masyarakat tentang wanita yang sering diperlekehkan.

Drama 40 episod yang telah pun ke udara setiap Isnin, pukul 9 malam di RTM1 sejak 3 November lalu bagaimanapun masih kelihatan klise kerana mengangkat elemen yang telah biasa ditonjolkan sebelum ini.

“Saya tahu drama-drama saya kebanyakannya cerita yang ditonjolkan lebih kurang sama sahaja iaitu mengangkat martabat wanita,” akui penerbit Dari Mata Arisa, Raja Alawiyah Raja Lop Idris.


RAJA ALAWIYAH penerbit wanita prolifik yang berhati waja.

Namun dia mempunya hujah tersendiri kenapa dan mengapa sering menjadikan wanita sebagai medium bercerita dalam karya terbitannya.

“Cuba fikirkan, jika saya sebagai penerbit wanita tidak buat cerita macam ini, siapa yang akan buat? Menerusi drama ini saya lebih tonjolkan watak Arisa sebagai wanita sopan santun yang tahu membawa diri dan tidak mudah dikaburi dengan kekayaan lelaki yang cuba mengejar cintanya.

“Apa yang diperlukannya bukanlah harta, tetapi sebuah cinta sejati yang mampu memberi kebahagiaan kepadanya hingga akhir hayat,” beritahu penerbit yang sememangnya cukup terkenal dalam melahirkan drama berunsur feminisme ini.

Apa yang menarik, karya ini mengembalikan semula Mior Hashim Manap sebagai pengarah drama selepas sekian lama mendiamkan diri.

Selain Ayu, Dari Mata Arisa mempertaruhkan nama-nama yang sudah dikenali seperti Ashraf Muslim yang melakonkan watak Eddy, Syed Aiman (Akif), Maizurah Hamzah (Maliah), Kenchana Devi (Shamala) dan Mahmud Ali Basha (Muhammad).

Mengulas soal tanggungjawab, menurut Mior dia terpaksa menyesuaikan diri dengan konsep dan gaya pengarahan terkini drama tempatan kerana hampir tiga tahun dia tidak mengarah.


AYU RAUDHAH kepingin berlakon bersama kakaknya, Rozita Che Wan.

“Saya merasakan ia lebih sofistikated. Sekarang ini, cara penyampaian drama perlu lebih cepat seperti mana kita menghasilkan klip video muzik. Itu satu cabaran yang perlu saya hadapi.

“Bagaimanapun, istilah puas hati tidak pernah ada dalam diri saya kerana saya tahu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi untuk drama rantaian ini, saya sudah melakukan yang terbaik dan saya harap penonton puas hati dengan hasil kerja saya,” katanya.

Kosmo

Jaga Pantang

31 Aug

Oleh ZULIATY ZULKIFFLI
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Kejelitaan model serta dramatis terkenal, Rozita Che Wan, sering diperkatakan dan perhatian terhadapnya semakin bertambah apabila empat adik beradik perempuannya berkongsi rupa paras menawan kakak mereka.

Justeru, ramai ingin tahu rahsia kecantikan lima beradik itu dan cabaran dihadapi ibu mereka, Bedah Saad, 55, dalam membesarkan lima anak gadis jelita bersendirian selepas kematian suami 19 tahun lalu.

“Tak ada apa-apa rahsia… itu semua anugerah Allah,” kata Bedah ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Taman Mawar, di sini.

Nyata, ibu tunggal itu cukup berahsia dan keberatan berkongsi kisah hidupnya kerana baginya, cukuplah cerita Rozita dan adiknya, Ayu Raudhah yang juga dramatis, tersiar di media, sedangkan dia hanya wanita biasa yang tiada keistimewaan.

Selain Rozita, 34, dan Ayu Raudhah, 24, tiga lagi anak perempuan Bedah yang turut memiliki rupa paras menawan ialah Rahaiza, 26, Robithoh, 31, serta Rahimah, 35.

Robithoh baru saja melangsungkan perkahwinan dengan anggota kumpulan lawak Senario, Lan Pet Pet minggu lalu, Rahimah tidak berminat menceburi dunia hiburan manakala Rahaiza aktif sebagai peragawati.

Selain lima anak perempuan, Bedah dikurniakan dua anak lelaki masing-masing berusia 20 dan 29 tahun. Mereka bekerja sendiri dan tidak berminat mengikut jejak langkah kakak dan adik mereka sebagai pelakon.

“Robhitoh memang tidak minat jadi pelakon, tetapi tak sangka pula dia bertemu jodoh dengan artis,” kata Bedah.

Di sebalik sikapnya yang berahsia, Bedah bagaimanapun mendedahkan, ketika muda dia sebenar turut berminat menjadi pelakon, namun hasratnya tidak kesampaian kerana sifatnya yang terlalu pemalu.

“Ketika itu saya hanya gadis kampung, nak jadi artis hanya angan-angan kerana malu dan tak tahu nak pergi uji bakat dan sebagainya,” katanya.

Menurut Bedah, sebab itu apabila Ayu Raudhah meminta izin dan menyatakan minatnya untuk bergiat aktif sebagai peragawati serta menjadi pelakon drama, dia tidak membantah, sebaliknya memberi galakan supaya Ayu berjaya dalam bidang seni.

Tidak lama kemudian Rozita pula mengikut jejak adiknya menjadi pelakon drama selepas berhenti kerja sebagai pramugari dan mula menceburi bidang lakonan sekitar 2005.

“Biar mereka saja yang menjadi pelakon dan makcik hanya memberi sokongan serta galakan supaya berjaya dalam kehidupan, asalkan mereka tidak lupa asal usul serta pandai menjaga maruah diri.

“Pernah juga Rozita membawa makcik untuk menjalani uji bakat, tetapi disebabkan malu makcik bertukar fikiran kerana segan bila duduk di depan kamera,” katanya ketawa.

Ketika ditanya mengenai cabarannya yang terpaksa bersendirian dalam membesarkan tujuh anak, termasuk lima anak perempuan yang jelita, Bedah cuma berkata, sebagaimana ibu tunggal lain, segala kepayahan terpaksa diharungi dengan tabah.

“Suami meninggal dunia akibat penyakit barah ketika saya berusia 35 tahun. Pada masa itu anak masih kecil dan belasan tahun. Untuk membesarkan mereka, saya mengambil upah menjahit baju kurung dengan upah RM15 sepasang.

“Waktu itu memang sukar menjalani kehidupan sebagai ibu dan ayah mereka, tetapi untuk memastikan mereka berjaya, saya gagahkan diri untuk mencari wang dengan hasil titik peluh seorang diri,” katanya.

Malah, kata Bedah, sampai sekarang dia masih menjahit baju kurung anaknya setiap kali Aidilfitri dan adakalanya anaknya membeli baju kurung kerana tidak mahu menyusahkannya.

“Saya senang tengok anak berjaya kerana mereka ada bakat dan sanggup berusaha gigih demi untuk mencari wang hasil titik peluh sendiri. Mereka pernah suruh saya berhenti buat kerja kerana mahu sara hidup saya, tetapi sekarang saya menjahit baju secara sambilan saja dan bukan macam dulu,” katanya.

Ditanya adakah dia dan anaknya mengamalkan petua untuk menjaga kecantikan, nenek empat cucu berusia lapan bulan hingga 12 tahun itu berkata, dia sangat mengambil berat soal pemakanan.

“Setiap kali bersalin pula, saya berpantang dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan bentuk tubuh langsing. Saya tidak makan apa-apa jamu tapi jaga pemakanan harian dan banyak minum air suam, selain bangun awal setiap hari,” katanya.

Harian Metro

Tiada Masa Untuk Skandal

26 Aug

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


“JANGAN ingat orang suka bergaya hanya untuk memikat VIP,” tegas Maria.

BUKAN senang menjadi wanita jelita bernama Maria Farida, biar pun hidupnya kelihatan sempurna tetapi tercalit banyak kekecewaan di hatinya.

Bukan kecewa kerana hidup berseorangan semenjak sekian lama selepas bercerai dengan suami, sebaliknya ibu kepada Mizan Ashley (11 tahun) ini berhak merasa kecewa apabila dirinya sering saja menjadi mangsa tohmahan berita negatif.

Mungkin kerana itu, Maria seakan-akan menjauhkan diri daripada media dan hanya melakukan kerjanya sebagai pelakon tanpa sebarang publisiti di akhbar mahupun majalah.

Peluang bertemu dengannya pada majlis ramah mesra bersama pelakon Sutera Maya yang turut melibatkannya digunakan sepenuhnya untuk mencungkil isi hati wanita yang berusia 39 tahun ini.

“Selama ini, saya tidak menghilang cuma saya sibuk dengan kerja dan kurang lakukan sesi fotografi. Malah cerita saya di akhbar dan televisyen pun agak kurang.

“Kalau cerita di akhbar pasti tidak ada lain kecuali gosip saya dengan orang kenamaan, padahal itu semua berita palsu. Saya tidak pernah keluar dengan mana-mana orang kenamaan,” ujarnya.


DIAPIT dua gadis jelita dalam drama bersiri Sutera Maya, Intan Ladyana (kanan) dan Faezah.

Dia juga dengan tegas mengatakan gosip itu sedikit sebanyak telah membuatkan dia mengambil langkah untuk tidak terlalu menonjol kerana bimbang cerita yang sama akan muncul dikemudian hari.

“Kalau hendak kata saya kecewa dan merajuk, memang benar juga. Saya kurang puas hati dengan mereka yang menulis cerita tidak betul seperti itu. Saya bukan lari dari wartawan tetapi saya kecewa sebab balik-balik cerita yang sama keluar tentang saya.

“Saya risau bila orang luar pun terpengaruh dan menyangka saya adalah perempuan yang hanya keluar dengan VIP sahaja. Sedangkan realitinya saya bukan perempuan begitu,” terangnya minta dimengertikan.

Dia juga menjelaskan pekerjaannya sebagai pelakon tidak pernah putus dan membuatkan dirinya sentiasa sibuk. Oleh kerana itu, dia tidak pernah mempunyai masa untuk intim dengan banyak lelaki atau orang yang tidak dikenalinya.

“Saya sibuk, mana ada masa untuk ada skandal dengan mana-mana lelaki. Lebih teruk ada yang mengatakan saya keluar dengan lelaki yang saya tidak kenal pula tu. Tolonglah, jangan membuat cerita yang tidak benar tentang saya.

“Apa yang membuatkan saya paling geram dan sangat kecewa ialah cerita yang keluar di internet dan blog-blog. Mereka tulis macam mereka lebih tahu siapa saya daripada saya sendiri,” katanya lagi merayu simpati.

Walaupun begitu, Maria yang sudah masak dengan industri seni tanah air, hanya mampu memekakkan telinga tentang apa yang dibicarakan orang ramai mengenai dirinya. Baginya berdiam diri lebih baik dan dia enggan menjirus minyak ke api yang sedang marak. Kelak, gosip dan tuduhan hanya akan tinggal tuduhan tidak berasas.


DRAMA Sutera Maya bukti Maria Farida masih aktif dalam dunia lakonan.

Mungkin gosipnya dengan VIP sering muncul kerana personalitinya yang kelihatan dia hanya layak untuk mereka yang bergelar VIP sahaja bukannya orang biasa.

“Salah ke saya suka bergaya? Saya sudah dibesarkan macam ini kerana menjadi model sejak berumur 16 tahun lagi. Sebab itu saya tidak tahu untuk kelihatan comot sebaliknya suka sentiasa nampak cantik.

“Tetapi jangan ingat orang suka bergaya hanya ingin memikat VIP. Saya akan berpakaian lengkap seperti hari ini, apabila ada penggambaran atau acara yang memerlukan saya berpakaian seperti ini.

“Kalau tidak, saya juga seorang wanita yang ringkas dan hanya mengenakan baju-T dan seluar jeans sahaja untuk ke mana-mana,” katanya.

Watak jahat dan penggoda

Salah satu lagi faktor yang menyebabkan orang ramai sering tersalah anggap akan dirinya mungkin kerana Maria sering sahaja diberi watak antagonis dalam lakonan. Ditambah dengan karektor wanita penggoda berimej seksi, mungkin di dunia realitinya mereka menganggap itu adalah Maria yang sebenarnya.

Dan itu turut diakui tuan empunya diri.

“Mungkin sebab itu mudah orang terpengaruh, tetapi itu hanya tuntutan watak dan kebetulan hanya watak antagonis yang mudah melekat di minda penonton dan saya segera dicop begitu dalam kehidupan realiti.

“Saya harap peminat dan orang ramai boleh faham dan terima, jangan mudah terpengaruh dengan watak saya dalam drama kerana itu hanya sekadar lakonan tetapi di luar saya seorang yang sangat lembut dan tidak kasar. Malah saya juga tidak suka bergaduh dengan orang lain,” tegasnya.

Tambahnya, selain watak jahat dan penggoda dia juga pernah melakonkan watak perempuan kampung, tetapi lakonannya itu tidak begitu menyerlah berbanding ketika dia membawakan watak hitam.

Masih mencari cinta

Ramai yang menyangka perempuan sepertinya mudah saja untuk memperoleh cinta. Lihat sahaja tubuhnya yang langsing, kulitnya yang putih mulus serta bait bicaranya yang sungguh lembut, petik saja jari pasti ‘berbaris’ lelaki yang yang sudi menghuni hatinya.

Bagaimanapun, berlainan pula dengan Maria, sungguhpun memiliki kejelitaan, untuk mencari lelaki yang ingin dibuat sebagai teman hidup bukanlah satu perkara yang mudah.

“Siapa yang tidak mahu berkahwin dan hidup dengan orang yang dicintai, tetapi saya rasa ramai lelaki takut untuk mendekati diri saya mungkin sebab cerita-cerita VIP itu.

“Mereka menyangka saya perempuan yang hanya terima lelaki kaya dan ternama. Padahal bukan begitu. Bekas teman lelaki saya dulu pun orang biasa saja. Jika ada jodoh saya akan bertemu dengan seorang lelaki tetapi buat masa ini saya gembira dengan hidup sekarang,” tuturnya jujur.

Gara-gara Kabir Bhatia


” ”

Beralih kepada drama terbaru lakonannya, Maria mengatakan dia begitu teruja untuk terlibat dalam drama 60 episod ini kerana drama yang diarahkan oleh dua pengarah muda, Hadzrin dan Jet Lee ini turut mendapat sedikit garapan daripada pengarah filem terkenal Kabir Bhatia.

“Saya terima watak dalam drama ini kerana Kabir turut terlibat. Saya tahu hasil tangan Kabir yang akan menjadikan drama ini sebuah drama yang bagus dan berkualiti,” ujarnya lagi.

Jelas Maria lagi, drama yang memulakan penggambaran sekitar Julai lalu dan akan tamat penggambarannya pada penghujung November tahun ini, juga melibatkan beberapa pelakon muda.

“Seronok sebab dalam drama ini saya akan mempunyai anak-anak yang sudah besar panjang. Sebelum ini drama lakonan saya semuanya dapat anak-anak yang kecil tetapi kali ini berbeza. Kami semua pun sudah umpama sebuah keluarga yang besar kerana mereka semua muda dan masih baru, memang saya anggap macam anak-anak saya sendiri (ketawa),” bicaranya lagi.

Selain Maria drama Sutera Maya yang akan memulakan tayangannya pada 1 September dalam slot Akasia di TV3 ini, turut membariskan nama-nama seperti Intan Ladyana, Ayu Raudhah, Faezah, Fouziah Ghouse, Rebecca Nur Islam, Erry Putra, Mustapha Kamal, Irfan dan Liza Abdullah.

Kosmo

Bulan Madu Di Mekah – Pelayaran Cinta Mazlan, Robithoh

23 Aug

Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my

TANAH Suci Mekah merupakan lokasi yang begitu bermakna buat pelawak terkenal Lan Pet Pet. Ini kerana di sanalah lokasi bulan madu Lan Pet Pet bersama isteri yang dikahwininya, Robithoh Abu Bakar@ Che Wan.

Rupa-rupanya inilah sebabnya apabila ditanya mengenai perancangan berbulan madu, anak jati Kedah itu bercadang untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan nanti bersama isteri tersayang.

“Kami hanya rancang nak ke Mekah, ke tempat lain tidak fikir lagi kerana saya sibuk dengan promosi filem terbaru nanti,” tutur Lan.

Apa yang pasti, Mekah jugalah menjadi pencetus buat pemilik nama Mazlan Ahmad ini terbuka hatinya untuk menamatkan zaman bujang yang telah diharunginya selama ini.


AKIBAT terlalu gemuruh Lan terpaksa melafazkan akad nikah sebanyak empat kali.

Ia kerana selepas berkunjung ke sana, tiba-tiba sahaja Lan merasakan suatu keperluan buatnya untuk segera mendirikan rumah tangga.

“Selepas balik umrah pada tahun 2006, saya bagi tahu mak untuk kahwin, mak cakap kahwinlah cepat-cepat, umur saya pun dah banyak,” beritahu Lan pada majlis persandingannya di Jalan Langgar, Alor Star Rabu lepas.

Menurutnya lagi, ketika mengerjakan umrah bersama bapanya itu dia seolah-olah mendapat petunjuk dan bayangan dengan siapa dirinya akan berkahwin ketika berdoa di Tanah Suci.

“Bayangan ketika itu jelas dan saya nampak wajah itu ketika berdoa, selepas itu barulah saya ambil keputusan untuk bagi tahu mak untuk kahwin,” jelasnya.

Wajah bertuah yang menjelma di kalbu dan nurani Lan tidak lain dan tidak bukan, gadis manis yang dikenalinya sejak 14 tahun lalu, Robithoh atau panggilan manjanya, Rubi.


HEBAT. Cincin pemberian Lan Pet Pet buat isteri tersayang.

Selalu usik RubiMengimbas kembali mengenai perkenalannya dengan Rubi, menurut Lan dia mengenali Rubi sejak di bangku sekolah lagi iaitu ketika aktif dalam sukan berbasikal.

Rubi ketika itu berumur 17 tahun belajar di Sekolah Menengah Tun Sharifah Rodziah, Jalan Kuala Kedah, manakala Lan menuntut di Sekolah Menengah Darul Aman, Alor Star, Kedah.

“Saya selalu jumpa dia di sekolah, selalu usik-usik dia dan Rubi senyum saja, orang kata usikan bawa bahagia.

“Selepas itu saya jumpa dia balik selepas jadi artis, saya usik dia lagi sehinggalah sekarang,” ujarnya anak bongsu ini.

Lan,39, dan Rubi,31, yang masing-masing berasal dari Alor Star, Kedah itu menjelaskan, hubungan mereka kembali serius pada tahun lepas dan mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Februari lalu.


SUDAH berkenalan selama 14 tahun hubungan Lan dan Rubi mulai serius pada tahun lepas.

Rahsia untuk kejutanPada majlis akad nikah dan perkahwinannya itu, Lan mengotakan janjinya untuk mendedahkan segalanya mengenai perkahwinannya bersama adik pelakon terkenal Rozita Che Wan itu.

Ia berikutan sebelum ini, hal tersebut menjadi kontroversi apabila Lan dikatakan cuba merahsiakannya dari pengetahuan pihak media dan rakan-rakan termasuk rakan baiknya dalam Senario, Azlee dan Wahid.

Namun, usai majlis akad nikahnya di Masjid Al-Bukhary Rabu lepas, Lan menuturkan memang menjadi niatnya untuk menyembunyikan majlis perkahwinannya bagi memberikan kejutan kepada semua pihak.

“Apabila ia terdedah awal di media, semua kawan-kawan, adik-beradik ‘bergaduh’ dan masing-masing terkeliru dan bertanya saya, betul ke saya nak kahwin 20 Ogos ni.


LAN sengaja merahsiakan mengenai perkahwinannya daripada semua pihak untuk membuat kejutan.

“Memang saya nak buat semua orang keliru dan biarlah berita kahwin ini mengejutkan semua orang memandangkan hubungan kami memang tiada gosip sebelum ni,” ujarnya.

Badi nombor lapan?Selain kontroversi merahsiakan perkahwinannya, ada sesuatu yang agak unik sempena pernikahan dan majlis persandingan Lan dan Rubi, apalagi kalau tidak nombor lapan.

Lan mengakui begitu gemarkan nombor lapan sebab itu dia memilih untuk berkahwin pada Rabu lepas yang bersamaan dengan 18 Syaaban, yang mana Syaaban merupakan bulan ke lapan dalam kalendar Islam

Pada majlis akad nikah, mas kahwinnya bernilai RM888 dan hantaran kahwin pula RM8,000.

Cuma yang menimbulkan tumpuan ialah apabila Lan agak gugup ketika majlis akad nikah, sehingga terpaksa berkali-kali melafazkan akad nikah.

Nasib baik dia tidak terkena badi nombor lapan kerana dia tidaklah sehingga melafazkan akad nikah sehingga lapan kali, tetapi cuma empat kali sahaja sehingga terpaksa ditenteramkan oleh abang-abang dan ayahnya.

“Memang gementar dan gugup. Inilah seumur hidup saya rasa gementar macam ini.

“Walaupun saya telah hafal akad sebelum ini, keadaannya tidak sama seperti hafal skrip berlakon. Berada di depan iman adalah keadaan yang sukar digambarkan,” ucapnya.


KELUARGA artis. Lan kini menjadi ipar Rozita Che Wan dan Ayu Raudhah.

Keistimewaan RubiApabila ditanya mengenai keistimewaan Rubi pada matanya, Lan tanpa teragak-agak menceritakan isterinya itu seorang yang beriman.

“Dia juga tahan dengan perangai saya yang ‘gila-gila’. Saya cintakan Rubi bukan kerana rupa paras tetapi kerana hatinya.

Rubi pula menyatakan, dia jatuh cinta dengan pelakon dan pelawak itu kerana sikap Lan yang bertanggungjawab dalam menjaga ibu bapanya sendiri.

“Dia jenis boleh harap, kalau kita perlukannya bila-bila masa sahaja dia mesti datang untuk bantu.

“Lagi satu, sudah tentu saya sukakan Lan sebab dia kelakar dan selalu buat lawak,” tuturnya yang juga merupakan kakak kepada pelakon jelita, Ayu Raudhah.

Pada majlis persandingan itu, Rubi yang bekerja sebagai perunding pelaburan di sebuah bank terkemuka di Kuala Lumpur itu turut menerima tujuh dulang hantaran dari pihak lelaki dan membalas hantaran dengan sembilan dulang.

Kosmo

Ayu Raudhah Kini Jadi Sebutan

27 Jan

Oleh: NIEZAM ABDULLAH

AYU RAUDHAH.

SAAT menerima panggilan telefon untuk mengadakan sesi fotografi Pancaindera, dia bagaikan teruja. Perkataan pertama dari mulut Ayu Raudhah Che Wan ini ialah terima kasih kerana memberi ruang tersebut.

Beliau mengakui, bukannya mudah untuk mendapat peluang menghiasi muka depan sisipan hiburan popular hari minggu ini. Mana tidaknya, sudah dua tahun melibatkan diri dalam dunia seni, tiada pun ruang yang diberikan untuk dia mengembangkan lagi popularitinya.

“Terima kasih. Tak sangka saya dapat peluang menjadi penghias cover Pancaindera,” katanya. Ketika hadir ke studio, beliau ditemani seorang lelaki. Saya bertanya siapakah gerangan jejaka itu? Boy- friend atau siapa?

Menepis persoalan mengenai teman lelaki, lantas Ayu memberitahu lelaki itu adalah abangnya bernama Roshidi. Terbayang sebelum ini kakaknya, pelakon Rozita Che Wan turut ditemani lelaki yang merupakan adiknya sendiri apabila ke mana-mana.

Mudahlah kalau adik-beradik yang menjadi pembantu peribadi. Tak payah nak susah-susah bayar gaji kepada orang lain.

“Kerja dengan adik-beradik lebih senang. Tidak ada pantang larangnya. Kalau hendak marah pun boleh sebab dah kenal dari kecil.

“Pada Ayu, tidak ada masalah kalau kita ambil mereka bekerja dengan kita kerana darah daging sendiri, tentunya tak ada banyak masalah,” katanya sambil menoleh abangnya.

Tak salah tumpang populariti

Umum sudah mengetahui dalam keluarga Che Wan, Ayu merupakan orang pertama yang terlibat secara serius dalam bidang lakonan. Beberapa bulan selepas itu barulah kakaknya Rozita mengikut jejak Ayu. Percaya atau tidak jika dibandingkan kedua-dua mereka, ternyata Rozita lebih popular daripada adiknya.

Malah ruang menjadi cover majalah pun lebih berpihak kepada Rozita berbanding Ayu sendiri.

Tidak mencemburui kehebatan kakaknya itu sebaliknya Ayu bersyukur melihat kejayaan Rozita yang diraih secara mendadak berbanding dirinya yang naik secara ‘merangkak’.

Populariti yang diraih Rozita itu menyebabkan Ayu dikatakan cuba menumpang populariti kakaknya, tak kiralah dalam bidang lakonan ataupun publisiti di media.

Tanpa berselindung Ayu mengakui Rozita sedikit sebanyak membantu menaikkan namanya. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat selain menganggap rezeki Rozita itu boleh dikongsi bersama. Malah Ayu juga tidak berkecil hati sekiranya ada pihak yang mengatakan dia menumpang populariti Rozita.

“Tidak salah kalau ada yang kata saya tumpang populariti kakak saya. Hakikatnya dia yang mencipta nama lebih awal daripada saya walaupun dalam lakonan saya yang bermula dahulu,” ujarnya.

Menurut Ayu, antara faktor dia agak di belakang dalam dunia hiburan adalah kerana drama lakonannya sebelum ini lambat ditayangkan berbanding drama-drama kakaknya. Dek kerana itu, Rozita lebih dahulu dikenali berbanding dia.

Bagaimanapun Ayu tidak selamanya mengharapkan orang lain untuk dikenali tetapi dia sudah mempunyai tapaknya sendiri untuk berjaya sama seperti pelakon drama lain.

Malah Ayu yakin kemunculannya dalam beberapa buah drama termasuklah drama KL Menjerit yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria akan mengangkat namanya seperti yang diimpikan.

Mahu serius berlakon

Ingin menjadikan bidang lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, secara terus terang Ayu memberitahu dia ingin menjadikan bidang lakonan sebagai sebahagian daripada sumber pendapatannya.

Ayu yakin dia mempunyai masa depan yang cerah kerana bakatnya kini semakin dihargai apabila pengarah dan penerbit drama memberikan banyak tawaran berlakon untuknya.

Bukan untuk menyombong tetapi akui Ayu ada juga tawaran berlakon yang terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan skrip yang diberikan.

“Memang Ayu nak serius dalam bidang lakonan tetapi tak semua skrip itu boleh diterima. Kalau ada yang tak bersesuaian kenalah kita ketepikan.

“Tindakan itu bukan bermakna Ayu terlalu memilih tetapi kalau kita tidak mampu membawa watak yang diberi lebih baik kita menolaknya dengan cara baik. Pelakon lain pun berbuat demikian juga,” ujar beliau.

Ketepikan soal cinta

Bercerita mengenai kisah cinta Ayu memberitahu masih terlalu awal untuk bercakap mengenai teman lelaki. Walaupun keluarga tidak kisah siapakah calon yang sesuai untuk menjadi bakal suaminya namun anak keenam daripada tujuh beradik ini belum memikirkan ke arah itu.

Sebelum ini ada khabar angin mengatakan dia mempunyai hubungan dengan seorang pelakon tetapi itu semua sekadar gosip biasa dalam dunia hiburan.

“Saya tidak bercinta dengan sesiapa kerana pada masa ini ingin serius untuk berlakon. Saya mahu mencari rezeki dahulu,” ujarnya.

Kata Ayu, azamnya pada tahun 2008 dia mahu meningkatkan lagi kerjayanya dan berhasrat untuk memiliki rumah sendiri hasil dari titik peluhnya itu. Dia ingin mengambil peluang pada usia muda untuk terus bekerja keras agar mampu merancang masa depannya kemudian hari.

Walaupun pada waktu ini persaingan dalam bidang lakonan begitu sengit dengan kemunculan ramai bakat-bakat baru namun ia bukanlah halangan untuk Ayu terus berjaya. Apa yang penting katanya persaingan itu perlu diambil dengan sihat dengan tidak menjatuhkan orang lain.

“Untuk berjaya bukannya mudah. Setiap hari kita kena bersaing dan Ayu tidak pernah melihat kemunculan bakat baru akan menggugat kedudukan seseorang,” katanya.

SEPINTAS LALU

Nama penuh: Ayu Raudhah Che Wan

Nama panggilan: Ayu

Tarikh lahir: 7 Disember 1984

Umur: 24

Tinggi: 158 sentimeter

Berat: 50 kilogram

Pendidikan: Sijil Pelajaran Malaysia

Hobi: Menari dan membeli-belah

Bilangan dalam keluarga: Anak ke-6 daripada 7 beradik

Kerjaya: Model dan pelakon

Makanan kesukaan: Laksa

Minuman kesukaan: Teh ‘O’ ais limau

Penyanyi diminati: Jennifer Lopez

Pelakon diminati: Johnny Deep

Lagu diminati: R&B

Emel: ayuchewan&yahoo.com

Powered by Utusan Malaysia