Teks oleh Thani Hasbullah
KUALA LUMPUR, 20 MEI 2009 : Pentas Istana Budaya (IB) bukanlah baru buat Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin tetapi beraksi dalam konsert secara solo adalah sesuatu yang baru bagi Penyanyi Wanita Paling Popular itu.
Buat pertama kalinya, Siti akan menterjemahkan perjalanan seninya dalam dunia hiburan selama 15 tahun bagi tatapan semua peminat pada 26-28 Jun 2009 ini dalam sebuah acara yang digelar Konsert Satu.
Pada sidang media pengumuman Konsert Satu di IB semalam, Siti menggambarkan persembahannya kelak sebagai sesuatu yang sangat istimewa dan tidak pernah ditonjolkan sebelum ini.
“Sejak awal remaja lagi Siti telah menceburi bidang nyanyian sehinggalah Siti telah dewasa dan seterusnya berada pada tahap sekarang. Banyak sudah pengalaman yang Siti lalui dan bermacam-macam perasaan pernah rasai. Semua itu akan Siti gabungkan menjadi Satu.
“Inilah konsert yang idamkan sejak sekian lama. Ia adalah konsert pertama Siti yang dibuat secara eksklusif. Sebelum ini Siti hanya membuat persembahan dalam konsert tribute di IB mahupun pentas lain. Untuk makluman semua, konsert ini juga bertujuan mengumpul derma kepada badan kebajikan yang akan ditentukan kelak,” kata Siti.
Siti juga menjelaskan, idea Konsert Satu tercetus daripada saranan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah memberi inspirasi One Malaysia atau Satu Malaysia.
Kata Siti dalam konsert itu dia akan mendendangkan sekirang-kurangnya 30 buah lagu termasuk sebahagian lagu dalam album terbarunya, Lantera Timur. Konsert itu akan mengenengahkan Pat Ibrahim sebagai Pengarah Konsert dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik. Ia anjuran Yayasan Nurjiwa.
Bagi Pat yang sebelum ini terbabit dengan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical dan P Ramlee The Musical bersama Datin Seri Tiara Jacquelina, konsert Siti kelak akan menjadi sesuatu yang menarik serta meninggalkan kenangan manis kepada mereka yang menontonnya.
“Saya harap konsert ini akan menjadi konsert yang terbaik. Dengan konsep yang ditonjolkan kelak, belum ada lagi artis tempatan tampil dengan konsert yang seumpamanya.
“Kita tahu pentas IB adalah antara terbaik di dunia. Rugi kalau saya tidak menggunakan sepenuhnya elemen-elemen yang kita ada. Saya akan banyak menggunakan kesan bunyi dan cahaya bagi memberikan kesan dramatik.
“Konsert ini akan mempunyai jiwanya yang tersendiri. Walaupun ia tidak menggunakan okestra penuh, kami akan menggunakan 20 pemuzik serta 25 penari. Siti akan terlibat dalam bentuk lakonan, nyanian dan tarian,” kata Pat.
Turut hadir pada sidang media semalam ialah suami Siti, Dato’ Seri Khalid Mohd Jiwa dan Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani .
Tiket kini sudah mula dijual dengan harga RM80, RM120, RM180, RM250 dan RM300. Ia boleh didapati di kaunter tiket IB, Triways Travel & Tours (KLCC & Taman Tun Dr. Ismail), Malaysia Travel Bureau, MTB (MATIC), Sri Amera Holiday Sdn. Bhd di Level 1, Plaza Sentral Shah Alam , Pasar Awam Presint 16, Putrajaya serta Ticket Charge, Signature Office Suite, The Boulevard, Midvalley, KL.
Ia juga boleh didapati dengan menghubungi pusat panggilan di talian 03-41498600 (Isnin – Jumaat, jam 9 pagi – 6 petang).
Murai