Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Rap
MENERBITKAN sekuel drama atau filem adakala tidak menjadi seperti yang diharapkan kerana sudah semestinya penonton mengharapkan sesuatu yang lebih baik daripada hasil sebelumnya. Cabaran besar kepada penerbit, pengarah dan pelakon untuk menghasilkan karya kedua supaya menjadi bertambah gah dan gempak.
Begitulah juga cabaran dipikul Penerbit Eksekutif Muzikal Puteri Gunung Ledang 111 (PGLM 111), Datin Sri Tiara Jacquelina yang mementaskan muzikal itu buat kali ketiga di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).
Selain mengharapkan kehadiran penonton baru, pastinya beliau dan tenaga produksi bertungkus-lumus memastikan pementasan ketiga ini mencipta satu lagi sejarah baru dalam dunia pementasan teater tanah air, mahu penonton ‘lama’ menjengah semula IB.
PGLM 111 mula membuka panggungnya kepada orang ramai kelmarin dan akan berakhir 22 Februari ini. Lalu apa yang sudah dianggap molek dan terbaik sebelum ini perlu diperindah dan diperhebatkan lagi. Tambahan menonton teater belum menjadi budaya masyarakat negara ini yang lebih akrab berkunjung ke pawagam untuk berhibur.
Justeru, untuk pementasan kali ini pengarah muzikalnya, Datuk Zahim Albakri, komposer, Dick Lee, penulis skrip dan lirik, Adlin Aman Ramlie, penulis naskah PGLM, Saw Teong Hin, pengarah muzik, Roslan Aziz dan kreografer, Pat Ibrahim bekerja keras mencari ramuan baru untuk PGLM 111.
Antara elemen baru disisipkan kali ini ialah unsur ilusi di mana Gusti Putri Retno Dumilah (Tiara) hilang di sebalik kain batik panjang pengasuhnya, Bayan. Ilusi lain dipaparkan termasuk helah nenek kebayan yang cuba menghalang Hang Tuah (Stephen Rahman) bertemu Puteri Gunung Ledang.
Penonton juga bagai teruja apabila Hang Tuah dapat merasakan kehadiran kekasihnya, Gusti Putri Retno Dumilah di Gunung Ledang di mana Putri dijelmakan di hadapan penonton berada di puncak gunung itu sedang merindukan si Tuah dengan cara yang cukup berkesan.
Pementasan PGLM 1 dan 11 hanya ada lapan set yang dipergunakan dengan sebaiknya untuk kesesuaian setiap babak. Ketika itu, penonton amat tertarik melihat ‘stupa’ yang kadangkala diubah menjadi gunung dan pada masa lain digambarkan kota pemerintahan kerajaan Majapahit.
Stupa itu memainkan peranan cukup besar kepada pementasan PGLM kerana set itu berjaya mengubah ‘mood’ pentas berdasarkan keperluan setiap babak. Untuk pementasan terbaru, peralatan set ditambah menjadi 20 semestinya menjanjikan sesuatu yang lebih menarik.
Menerusi PGLM 1 dan 11, sewaktu Putri digambarkan belayar ke Melaka, hanya layarnya dipaparkan kepada penonton. Waktu itu pun penonton sudah dapat membayangkan pelayaran yang terpaksa direntasi Putri untuk bertemu sang rajuna hatinya.
Dalam PGLM 111 ini, kapal layar dibawa masuk sekali ke pentas. Babak pelayaran itu dihadirkan lebih dekat kepada penonton. Suasana hutan di Gunung Ledang juga ditampilkan lebih ‘hidup’.
Dengan menggunakan teknik kesan khas, nenek kebayan menghilangkan diri dan muncul semula di tempat lain. Jelmaan nenek kebayan kepada Putri juga dipersembahkan dalam bentuk amat menarik.
Penghasilan pementasan bertaraf mega itu juga tidak boleh menidakkan kepentingan kostum. Pemilihan kostum bertepatan dengan jalan cerita dapat menyuntik kepuasan penonton.
Setiap apa yang ditampilkan dalam pementasan itu mesti dititikberatkan. Tiada cacat celanya. Lantaran itu, pasti Tiara berbesar hati sekali apabila pihak Royal Terengganu Songket sanggup menaja songket yang dipakai Putri, Hang Tuah, penari dan watak pembantu lain untuk babak di Negeri Melaka. Segalanya baru dan serba indah belaka.
Menaikkan lagi semangat muzikal itu, penari juga terdiri daripada orang baru. Ia bertujuan memberi peluang kepada bakat baru untuk merasai sama kehebatan PGLM yang berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap dunia teater.
Ukuran tubuh dan ketinggian penari juga hampir sama semuanya. Susunan muzik yang lebih besar membuatkan penonton dapat merasai suasana tegang di Majapahit apabila kekanda Putri, Gusti Adipati Handaya Ningrat (AC Mizal) marah dengan tingkah adindanya itu.
Dengan keberanian Tiara membawa PGLM ke pentas teater, ia bukan saja mengundang khalayak penggemar teater yang baru malah turut dipuji penonton luar negara.
Memetik sebahagian kata-kata Tiara dalam buku cendera mata PGLM 111, “Tiga tahun lalu teater muzikal hampir tak wujud di negara ini. Mungkin kerana ia belum menjadi sebahagian daripada budaya kita, tidak seperti menonton wayang atau konsert.
“Waktu kami pentaskan PGLM buat kali pertama pada 2006 saya ingat lagi bagaimana kami berhadapan dengan tanggapan skeptikal. Namun kami di Enfiniti nekad dan berpegang kepada impian untuk melahirkan pementasan yang boleh dianggap sehebat dan setaraf di London atau New York, hasil kebolehan anak Malaysia.
“Sejauh ini, lebih 100,000 penonton yang kebanyakannya sebelum ini tidak tergerak menonton teater Malaysia datang menyokong kepada PGLM dan Muzikal P Ramlee. Perjalanan kami memang penuh cabaran dan liku, maklumlah kali pertama menginjakkan kaki ke dunia yang belum pernah diterokai.
“Namun apabila menerima maklum balas dari penonton yang mengatakan mereka teruja melihat tahap pencapaian rakyat Malaysia, itu saja cukup memadai sebagai membayar penat lelah sepanjang perjalanan ini.
“Musim ketiga ini juga sangat besar ertinya kepada saya kerana ini kemungkinan kali terakhir beraksis sebagai Putri. Teater tidak mungkin wujud tanpa cinta dan sokongan anda. Mudah-mudahan teatar akan menjadi sebahagian daripada budaya hidup anak kita supaya mereka akan menjadi penonton yang terus membakar semangat penggiat teater kita untuk esok hari,” katanya.
Impian murni Tiara itu hampir tercapai apabila pementasan PGLM 111 menerima ramai penonton kanak-kanak dan remaja yang rata-rata mengakui itulah kali pertama mereka menonton teater anak tempatan. Dek kerana sambutan di luar dugaan itu juga, tiket PGLM 111 habis ditempah sejak Aidilfitri lalu.
Pun begitu, apa yang diperlakukan manusia jarang sempurna. Walaupun sudah tiga kali dipentaskan masih ada kelemahan teknikal apabila mikrofon Tiara dan AC Mizal gagal berfungsi dengan baik menyebabkan pementasan terhenti hampir 20 minit.
Stephen Rahman pula yang sepatutnya semakin segak dan bergaya membawakan watak Hang Tuah kerana ia adalah pementasan ketiganya, beberapa kali tersasul. Kesilapan sekecil itu tidak sepatutnya berlaku atau barangkali Stephen terlalu yakin diri yang akhirnya membahayakan diri sendiri.
Namun AC dan Adlin Aman Ramli (Sultan Melaka) terus cemerlang dengan watak masing-masing. Aksi Sultan Melaka menari di istana masih mampu menggeletek hati penonton meskipun ada yang sudah tiga kali menontonnya.
Harian Metro
You must be logged in to post a comment.