Oleh Zubir Mohd Yunus
Tampan, jelita pakej bonus bagi dua pelakon baru untuk meniti dunia lakonan, selebriti
DUA bintang remaja, Fizo Omar dan Tunku Tiara atau Quiara masih mentah di pentas hiburan, namun hari demi hari mereka semakin rancak menempa nama dan populariti sehinggalah mendapat perhatian peminat dan media massa. Bersama pakej bonus yang dimiliki kedua-duanya – tampan dan jelita, disertai bakat yang digilap tanpa rasa jemu, merendah diri, membuatkan mereka mudah didekati sesiapa saja.
Fizo dan Quiara dilahirkan daripada latar keluarga berbeza, si teruna anak orang kebanyakan, si dara pula kerabat diraja Johor, namun sebaik saja menjejakkan kaki di laman seni, tiada jurang yang mampu memisahkan mereka. Pertama kali mereka digandingkan sebagai pasangan kekasih menerusi telemovie Keliru.
Terbaru, pasangan ‘merpati dua sejoli’ ini menjadi perhatian penerbit, Sahid Juri membintangi drama bersiri 20 episod, Cinta Sempurna terbitan sulung Cerna Media Sdn Bhd. Drama arahan Saipul Bahri Othman ini akan disiarkan pada Ramadan akan datang menerusi Astro Oasis. Namun, mereka bukan lagi sebagai pasangan kekasih, sebaliknya adik beradik. Pun begitu, keserasian memang wujud antara mereka.
Tunku Tiara
Buktinya, mereka beraksi di depan lensa kamera umpama pasangan bercinta apabila pertama kali diberi peluang menghiasi muka depan B*Pop. Tidak dinafikan, 15 minit pertama kedua-duanya kelihatan agak malu-malu ditambah dengan ‘pemantauan’ daripada ibu Quiara yang sentiasa berada di belakang tabir, namun memasuki minit yang seterusnya, Fizo dan Quiara sudah memperoleh ‘rentak’ dan hasilnya, lihatlah sendiri!
Yang pasti, andai kedua-duanya sudah berpunya, barangkali kalau silap jangkaan, mahu saja hubungan mereka dengan pasangan masing-masing berantakan gara-gara cemburu jika alasan yang diberikan tidak diterima akal! Namun, atas dasar kerja dan profesional, selain tuntutan fotografi yang ingin melihat kemesraan kedua-duanya, Fizo dan Quiara ‘rela manja’ membiarkan apa saja perasaan yang tersimpul di dalam hati berlalu pergi.
Fizo sendiri sebenarnya sudah lali dengan gosip cinta apabila dia sering menjadi ‘mangsa’. Pernah dikaitkan dengan beberapa artis wanita, tapi tiada kesudahan dan akhirnya senyap begitu saja. Bagi Fizo, mereka sekadar kenalan biasa, namun gosip tercetus gara-gara tafsiran yang kurang tepat. Kini, Fizo tetap berkawan dengan mereka meskipun tidak membabitkan sebarang perasaan.
Terbaru, khabarnya Fizo putus cinta dengan gadis biasa berusia 21 tahun yang berasal dari utara tanah air, benarkah begitu?
“Kami tak sempat bercinta pun. Baru nak kenal-kenal, tak boleh serius. Akhirnya kami lebih selesa sebagai kawan biasa saja,” kata Fizo sebaik memulakan bicaranya.
Secara jujur, status Fizo ketika ini?
Fizo Omar
“Sebetulnya saya tidak ada komitmen dengan sesiapa pun, solo! Saya tak mahu terburu-buru mencari teman hidup. Namanya pun teman hidup, pastinya saya mahukan yang terbaik kerana kalau diizinkan, kita nak hidup selama-lamanya dengan dia. Lagipun kesibukan membina kerjaya juga antara halangan saya mencari yang benar-benar terbaik.
“Namun, sekiranya dalam kesibukan itu cinta tiba-tiba datang, saya tak mampu menolaknya. Sebagai makhluk ciptaan Tuhan, saya juga memerlukan cinta,” katanya yang sudah membintangi lebih 10 drama, tapi mengakui dirinya tidak pernah terjerat dengan cinta lokasi sesama rakan artis.
Fizo puji kecantikan Quaira
Bagaimana dengan Quiara, kali pertama berlakon dengannya sebagai pasangan kekasih, kini membawa watak adik beradik dan hari ini pula anda berdua dipertemukan kali pertama untuk sesi fotografi, tidakkah wujud sebarang perasaan terhadapnya?
“Quiara? Tipulah kalau seorang lelaki seperti saya memandangnya, tak suka! Dia memang cantik, penampilannya ada daya tarikan tersendiri. Pun begitu, cantik, comel, faktor itu sebenarnya sesuatu yang subjektif. Namun, saya senang berada di sisinya kerana dia seorang yang low profile, tak pernah sekalipun berlagak sombong walaupun kita semua sedia maklum, Quiara berstatus kerabat!
“Dia juga banyak membantu di lokasi terutama dalam Cinta Sempurna. Quiara begitu fasih berbahasa Inggeris. Menerusi drama ini, kami adik beradik baru pulang ke Malaysia selepas 12 tahun menetap di United Kingdom (UK), justeru kelebihannya menguasai bahasa berkenaan, menghidupkan lagi karektor kami. Dia juga mudah mesra, itu yang membuatkan kami ada keserasian di lokasi,” kata Fizo sambil diusik Quiara untuk menghilangkan rasa gemuruh sebaik tangannya disentuh gadis cantik itu!
Melambung pujian Fizo ke atas Quiara memperlihatkan dia benar-benar menyenangi sikap anak saudara kepada penyanyi terkenal, Syafinaz Selamat itu, justeru adakah sudah berbisik sesuatu di hatinya, mungkin berminat mendekati Quiara secara lebih peribadi, sekali gus kalian bercinta suatu hari nanti!
“Aduh, tolonglah saya tak pernah terfikir sampai ke tahap itu! Namun, saya tak berani cakap takbur. Andai jodoh menemukan kami, saya tak mampu melawan kehendak qada dan qadar. Tapi, rasanya tak mungkin terjadi pada diri kami!,” kata Fizo dengan wajah kemerahan melawan malu!
Pernah bercinta ketika usia 17 tahun
Sementara itu, Quiara lebih bersikap terbuka berbicara soal teman lelaki dan cinta sekalipun ibu sentiasa menemaninya sepanjang temu bual. Di awal perbualan kami, terdetik di hati penulis, kerabat seperti Quiara pastinya akan memilih teman lelaki atau calon suami di kalangan kerabat juga, namun ternyata sangkaan itu meleset sama sekali!
“Ramai lelaki yang ingin mendekati atau berkawan dengan saya mempunyai perasaan ‘takut’ semata-mata saya seorang kerabat. Bagi saya, dalam persahabatan tidak ada beza sama ada orang kebanyakan mahupun kerabat. Kalau ada yang berminat dengan saya, paling penting dia kena pandai menambat hati keluarga saya dulu. Lagi saya suka lelaki itu sekiranya dia pandai mengambil hati keluarga kedua-dua belah pihak,” katanya yang tidak lokek dengan senyuman.
Agak mengejutkan apabila Quiara mengakui, dalam meniti usia 22 tahun, dia masih belum punya teman istimewa atau sekadar berselindung perkara sebenar?
“Saya baru nak kenal-kenal lelaki ketika usia mencecah 17 tahun. Bagi saya, bercinta pada usia terlalu muda, sekadar membuang masa saja. Apabila mendengar cerita teman sebaya yang bercinta pada usia awal remaja, leceh betul apabila perlu luangkan masa untuk keluar dating! Terus-terang, saya tak pernah kenal cinta pertama, hanya kawan-kawan macam tu saja. Sekarang saya solo, tidak mencari cinta, kalau cinta datang, temui keluarga saya dulu!,” katanya berterus terang.
‘Ibu tak pernah kongkong’
Mengenai kerjaya seni, sejak zaman persekolahan lagi Quiara sememangnya meminati dunia nyanyian dan tidak hairanlah dia berjaya menempatkan diri sebagai Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2). Pun begitu, ketika dalam perancangan menghasilkan album, cita-citanya bergelar penyanyi sering tergendala kerana tawaran berlakon tidak pernah putus.
“Tak mengapalah, saya pun tak terburu-buru untuk album ini. Namun, keputusan untuk serius berlakon, berbaloi kerana hari demi hari saya semakin teruja, produser dan pengarah terus memberi kepercayaan, namun bidang nyanyian, tak mungkin saya melupakannya begitu saja,” kata Quiara yang sentiasa ditemani ibu ke mana saja sehingga timbul dakwaan dia ‘kehilangan’ kehidupan sosial zaman remaja.
Namun, Quiara tidak pernah menganggap ibu mengongkong kehidupan peribadinya.
“Mama cool, dia tak pernah nak control. Saya juga seperti remaja lain, ada ketikanya saya bersosial bersama teman-teman, namun mama sering mengingatkan saya batasannya. Tapi, apabila tiba waktu kerja, mama mesti ada di sisi saya kerana dia tahu yang terbaik untuk anaknya!,” katanya lagi. Selain Fizo dan Quiara, turut membintangi Cinta Sempurna ialah Ashraf Muslim, Siti Fazurina, Mahmud Ali Basha, Maria Farida, Akhbar Azmi, Khairil Anuar dan penyanyi wanita indie yang sedang menempa nama, Yuna, sekali gus menjadikan single terbaru artis muda ini sebagai lagu tema dan judul drama yang boleh dilawati menerusi laman sesawang, http://www.oasis-cintasempurna.blogspot.com.
Info Fizo Omar
NAMA SEBENAR: Wan Hafizol Wan Omar
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1985
ASAL: Kota Bharu, Kelantan
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Siam, Arab)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Arau, Perlis
PENCAPAIAN: Tempat kedua, Hero Remaja 2007/2008 dan Top 5, Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008
DRAMA: Puteri Salju, Gadis Merah Jambu, Dendam, Keliru, Bisikan Subuh, Bio-Nik, La Dolce Amira, Matahari dan Cinta Sempurna
PENGACARAAN: Gen-X (RTM1)
KOMERSIAL: Celcom, Brylcream, Giant dan Myeg
Info Tunku Tiara
NAMA PENUH: YM Tunku Tiara Yasmin Sofia Tunku Hassan
NAMA GLAMOUR: Quiara
TARIKH LAHIR: 28 Disember 1987
ASAL: Johor Bahru, Johor
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu, British) dan ibu (Bugis, Jawa)
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru
PENCAPAIAN: Top 10, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene dan Top 10, One In A Million musim kedua (OIAM2)
DRAMA: Nur 2 (drama pertama), Raya Sedondon, Kerana Karina 2 & 3, Lolaq, Sadis, Keliru, Ranjau Berduri, Gadis Cuci The Series dan Cinta Sempurna
SYARIKAT: Quiara One Production yang diurus oleh ibunya, Zuraida Selamat (kakak penyanyi popular, Syafinaz Selamat)
Solekan Fizo: Awie BB (012 354 2055)
Pakaian Fizo: Lord’s Tailor
Pakaian Tiara: Koleksi peribadi
Bintang Pop