Archive | Emylia Rosnaida RSS feed for this section

Akhirnya Emelda Tunangan Adlin

16 Mar

Oleh Nurhayati Abllah
yati@bharian.com.my

ADLIN dan Emelda ceria selepas majlis pertunangan mereka.

Mereka tetapkan tarikh pernikahan pada 23 Mei

APA yang diharapkan pasangan bercinta selain kasih yang disulam berakhir di jinjang pelamin. Begitulah juga impian bagi pasangan pelakon serasi, Emelda Rosmila, 29, dan Adlin Aman Ramlie, 37 yang kini dalam debaran menunggu hari disatukan.

Keutuhan kasih yang dibelai rapi selama ini diikat dengan tali pertunangan menandakan diri masing-masing sudah dimiliki dan hanya menunggu masa untuk diijab kabulkan.

Emelda atau dikenali dikenali dengan panggilan manja Mel, selamat mengikat tali pertunangan bersama Adlin di rumahnya, Kampung Melayu Batu Lapan, Ulu Kinta, Sabtu lalu. Diiringi restu ibunya, Rokiah Ibrahim, 63, Mel yang mengenakan baju kurung moden berona putih diserikan selendang sedondon kelihatan manis dan tersenyum bahagia menunggu kedatangan rombongan lelaki.

Tanda kasih sayang pasangan itu juga ditonjolkan dengan kesediaan Adlin memilih untuk mengikat tali pertunangan pada tarikh sama dengan tarikh kelahiran Emelda iaitu 14 Mac, sementara tarikh pernikahan 23 Mei depan, bersamaan pula dengan tarikh kelahiran bagi Adlin.

Rombongan lelaki disertai enam kenderaan termasuk rakan baik Adlin, pengarah dan novelis terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman tiba di kediaman Mel, kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan membawa tujuh dulang sebagai hantaran antaranya tepak sireh, kek, buah-buahan, kain pasang dan bunga rampai. Sementara pihak perempuan berbalas sembilan hantaran antaranya kemeja-T Guess, tali pinggang dan sebentuk cincin perak.


MAK MAH mengetuai rombongan peminangan anaknya.

Suasana gembira bercampur pilu apabila menyaksikan ibu Adlin, Ruminah Sidek, 63, menitiskan air mata apabila melihat wakilnya iaitu kakaknya sendiri, Jumaiyah Sidek menyarungkan cincin pertunangan berupa emas putih bertatah berlian ke jari manis Mel sebagai tanda pelakon manis itu bakal menjadi menantunya.

Bagi Ruminah yang dikenali dengan Mak Mah, tiada apa yang menjadi kepentingannya selain melihat Adlin mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati. Sememangnya itu menjadi impian dan doa setiap insan bergelar ibu.

“Mak Mah berharap, pertunangan mereka berakhir dengan sempurna hingga ke jenjang pelamin. Mak Mah bersyukur dan Mel adalah pilihan Adlin. Selama ini mereka berkawan dan sering tertanya-tanya tentang perakhiran hubungan mereka. Jadi apabila sudah bertunang, mereka hanya perlu sabar menunggu untuk diijab kabulkan.

“Mak Mah sering berdoa supaya Allah mempermudahkan urusan kerana hambanya ingin berbuat kebaikan iaitu mendirikan rumah tangga. Mak Mah bersyukur kerana selepas empat tahun menyulam cinta, mereka akhirnya akan disatukan sebagai suami isteri,” luahnya.

Malah tanda kesyukuran Mak Mah untuk menerima Mel sebagainya menantunya terserlah selepas beliau sendiri sanggup menambah jumlah hantaran yang dijanjikan Adlin kepada bakal isterinya sebelum ini.

Ketika perundingan dilakukan, Mak Mah rela hati menambah RM1,000 untuk wang hantaran. Walhal sebelum ini, pasangan itu bercadang untuk menyediakan hantaran perkahwinan sebanyak RM29,000, sementara mas kahwin berjumlah RM1001.

“Perkara itu memang tidak diberitahu kepada Adlin. Mak Mah memang bernazar jika ada di kalangan anak lelaki Mak Mah akan mendirikan rumah tangga, Mak Mah akan tambah wang hantaran RM1,000 daripada nilai yang dijanjikan. Mungkin ia jumlah kecil, tetapi ia bermakna bagi saya sebagai ibu,” kata Ruminah.

Bersyukur majlis lancar

SEMENTARA itu Emelda ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana majlis pertunangan dapat berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Menurutnya bukan mudah untuk melaksanakannya kerana pelbagai halangan terpaksa ditempuh.

“Sepatutnya majlis itu diadakan tahun lalu, tetapi kematian bapa, Abdul Hamid Mad Ally pada Februari tahun lalu menyebabkan ia tertangguh. Lagipun kesibukan kami dalam karier masing-masing juga menjadi halangan untuk kami disatukan lebih awal.

“Bagaimanapun, cadangan mama untuk melihat kami cepat disatukan menyebabkan kami tidak dapat bertangguh lagi. Lagipun kesihatan mama tidak menentu selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di pankreas, Februari lalu,” katanya yang menegaskan tidak mahu mengikat tali pertunangan terlalu lama.

Bercerita detik perkenalannya bersama Adlin, Emelda yang juga anak ketiga daripada empat beradik berkata, dia dipertemukan Adlin dalam satu majlis Tayangan Unggul yang mana ketika itu Adlin hangat dengan lakonan sebagai Sultan Mahmud dalam filem Puteri Gunung Ledang.

“Saya mengkaguminya dan meminati lakonan Adlin. Bermula dari situ, kami berkenalan dengan bertukar nombor telefon. Lagipun, abang ipar saya, AC Mizal juga bertanggungjawab mendekatkan lagi hubungan kami.

“Kami berkawan selama setahun dan empat tahun selepas itu serius bercinta. Bagi saya, Adlin adalah seorang lelaki yang matang dan berbakat dalam kariernya,” katanya yang kini dalam persiapan untuk menjalani penggambaran dalam drama genre komedi terbaru berjudul Jongkang Jongket arahan Adlin sendiri. Antaranya pelakon lain terbabit dalam drama itu ialah, Faizal Yusof, Ruminah, Zaibo, Rosnah Mat Aris dan Sharifah Shahora.

“Mungkin itu adalah penggambaran terakhir saya sebelum sibuk melakukan persiapan perkahwinan. Saya perlu menyusun jadual sebaik mungkin dan bernasib baik Adlin sendiri yang jadi pengarah drama itu,” kata Emelda yang juga adik Emylia Rosnaida.

Bagi pihak Adlin pula, dia bersyukur kerana Allah mempermudahkan urusan pertunangannya bersama Emelda selepas dua kali tertangguh. Bagi dirinya, dalam keadaan usianya menginjak 37 tahun, dia sudah bersedia untuk memikul tugas sebagai seorang suami.

Profil Emelda Rosmila Abdul Hamid

Tarikh Lahir: 14 Mac 1980

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Umur: 29 tahun

Hobi: Melukis, mengembara dan berenang

Makanan Kegemaran: Gulai lemak cili padi

Minuman Kegemaran: Teh O ais

Drama: Kasanova XXL, Manjalara, Sephia, Marikas, Gila Gila Pengantin, Natasha, Trafik Light, Segalanya Berubah dan Aishah, Kekasihku Seru.

Berita Harian

Emelda Dan Adlin Rancang Kahwin

26 Jan

MELANGKAH ke tahun 2009, perasaan dan jantung pelakon Emelda Rosmila, 28 tahun, bertambah debarnya.

Manakan tidak, seperti yang dijanjikan, tahun ini akan menyaksikan Emelda atau lebih mesra dipanggil Mel akan menutup tirai bujangnya dengan sebuah ikatan perkahwinan.

Umum sudah mengetahui siapakah si jejaka yang berjaya menakluk hati gadis ini. Siapa lagi kalau bukan pelakon dan penggiat teater, Adlin Aman Ramlie, 37 tahun.

Masih tercari-cari hari yang sesuai, ujar Mel, dia tidak menafikan perasaan untuk bergelar raja sehari itu membara tatkala ramai rakan artis sudah mendirikan rumah tangga.

Malah ketika usianya mencecah 28 tahun, Mel merasakan ini adalah waktu yang sesuai untuk dia disatukan dengan seorang lelaki sebagai suami isteri.

Yalah… nak buat apa lagi? Usia semakin meningkat. Kalau terus ditangguh hajat yang baik itu entah bila akan dapat berumah tangga.

Akui adik pelakon Emylia Rosnaida ini, menurut perancangan awal, dia dan Adlin akan disatukan pada awal tahun ini, malangnya hajat itu terpaksa ditangguhkan dulu.

Kemungkinan besar perkahwinan mereka akan dilaksanakan pertengahan tahun ini selepas segala kesibukan dapat diselesaikan. Bukan sengaja mahu menangguhkannya tetapi keadaan yang memaksa mereka berbuat demikian.

‘Ingatkan senang nak kahwin. Susah rupa-rupanya. Perancangan sepenuhnya pun belum siap. Duit pun tak ada lagi ni. Sebab itulah kami tangguh dulu,’ ujar gadis yang berasal dari Ipoh, Perak, ini.

Dalam masa yang sama Mel turut terlibat dengan penggambaran drama 26 episod yang mengambil masa 46 hari penggambaran.

Mengakui tahun ini bukanlah masa untuk bergembira kerana kelembapan ekonomi, Mel dan Adlin terpaksa merancang majlis perkahwinan mereka nanti dengan sebaik mungkin.

Untuk tidak melukakan hati mana-mana pihak, mereka akan memastikan semua rakan, sanak saudara dan juga pihak media diundang ke majlis perkahwinan mereka nanti.

‘Kalau nak ikutkan bajet nak kahwin, dah banyak dah keluar sebab itulah kami kena rancang semula majlis itu. Lagipun yang lebih penting lepas kahwin nanti. Macam mana nak melayari rumah tangga tu paling mustahak,’ jelas Mel.

Melihat kepada majlis kahwin sesetengah artis yang ditaja bagai nak rak, Emelda melihat perkara itu sebagai tuah kepada seseorang artis. Namun begitu pelakon ini tidak mengharapkan mana-mana penaja kerana dia lebih rela menggunakan perbelanjaan sendiri.

‘Mel rasa segan kalau ada orang nak sponsor kerana segala idea kita akan terbatas. Banyak benda nak kena patuhi pula nanti kalau terlalu banyak yang menaja,’ katanya.

Empat tahun usia percintaan Emelda dengan Adlin sudah cukup mematangkan mereka dalam melayari bahtera kasih sayang. Adlin yang pernah muncul sebagai pelakon pembantu dalam filem Jogho (1999) mula mencipta populariti kerana kelantangannya memberi kritikan dalam program Akademi Fantasia (AF) tidak lama dulu.

Melihat kepada karakter beliau itu, ramai beranggapan Adlin seorang yang bengis.

Tetapi Mel menafikan tanggapan itu sebaliknya menjelaskan Adlin merupakan seorang yang baik hati dan kelakar.

Menurut Mel lagi, dia sebenarnya benar-benar serasi bercinta dengan Adlin kerana jiwa kedua-dua mereka adalah sama iaitu sederhana.

‘Kalau bercinta dengan orang biasa sekalipun, kalau ada masalah, ia tetap akan berlaku. Cuma apabila sesama artis, ia lebih menjadi bahan bualan ramai sebab golongan itu dikenali,’ jelasnya. — Utusan Malaysia.

Cyberita

'Kuasa Magnet' AC Mizal

28 Aug

fadzilah.bahar@utusan.com.my”.

POPULARITI yang dikecapi oleh pelakon, penyanyi dan pengacara Akademi Fantasia musim keenam ini bukan sedikit. Malah rezeki bekas penyanyi kumpulan rap 4U2C ini semakin hari semakin bertambah. Buktinya cukup jelas, setelah ditawarkan menjadi pengacara di Astro dan duta produk Gelang Bio-Magnetik E-Dymium dan Mayfirst, kini selebriti serba boleh itu melangkah setapak lagi dalam kamus kehidupan peribadinya apabila dia kini menjadi pengedar kepada produk berkenaan.

Menyedari akan kebaikan di sebalik penggunaan gelang Bio-Magnetik, AC dan isteri tercinta Emylia Rosnaida Abd Hamid bersepakat mahu melebarkan sayap perniagaan mereka menerusi produk tersebut.

“Kami bersetuju untuk menjadi stokis produk ini kerana ia merupakan sebuah produk yang bagus apatah lagi selepas saya menjadi duta produk ini saya guna dan tahu akan kebaikannya.

“Jadi, lebih baik kalau saya berkongsi manfaat ini dengan orang ramai kerana ia sesuatu yang berfaedah,” kata AC pada majlis perasmian bangunan barunya E-Dymium Ampang Centre, di Ampang, Selangor baru-baru ini.

Terang pengacara AC Disini ini, hatinya mula terbuka untuk menjadi pengedar produk tersebut setelah menjayakan sesi jelajah seluruh negara mempromosikan produk tersebut lima bulan lepas.

“Masa saya sertai sesi jelajah itu ramai yang datang dan berminat untuk mengetahui tentang kebaikan gelang ini.

“Saya lihat ramai yang berminat dan membelinya. Kemudian pihak E-Dymium pula mengajak saya untuk menjadi pengedar sekiranya berminat.

“Apabila saya fikir semula ada baiknya kerana ia merupakan sesuatu yang berfaedah serta dapat menjana pendapatan, saya bersetuju,” jelasnya sambil tersenyum.

Menyambung perbualan, AC memberitahu, syarikat E-Dymium Ampang Centre yang baru dibuka sejak tiga minggu lalu sudah mula mencuri perhatian khalayak.

“Alhamdulillah selepas hampir tiga minggu kedai ini dibuka, sambutan amat menggalakkan. Orang ramai datang sehingga pukul 3 pagi,” katanya sambil mengalu-alukan rakan-rakan artis yang berminat dengan perniagaan ini boleh menghubunginya.

Ditanya mengenai kebaikan menggunakan gelang tersebut terang AC: “Gelang tersebut direka khas dan mempunyai barisan Magnet Neodymium Biomagnet. Ia mampu menyumbang kesan-kesan terapi semula jadi untuk membantu melancarkan peredaran darah dan sistem saraf manusia.”

Artis semakin dipercayai

Beritahu AC seboleh mungkin dia mahu langkah yang diambilnya menjadi rujukan buat artis yang lain.

Bukan mahu mendabik dada dengan apa yang sedang dilaluinya namun jelas AC, sekurang-kurang masyarakat kini semakin mempercayai artis untuk diambil sebagai duta sesebuah produk.

“Kalau dulu bukan semua orang percaya artis dan melantik mereka menjadi duta produk. Tetapi kini, semakin hari semakin ramai artis jadi duta produk.

“Jelaslah kini artis semakin dipercayai. Mereka (pengeluar) tak akan melantik seseorang artis itu jika mereka merasakan artis tersebut tidak mampu membantu perniagaan mereka,” ujar AC sambil menyatakan rasa syukur dengan rezeki yang diberikan oleh Allah buatnya.

Kerana itu juga, AC mempelawa rakan-rakan artis dan orang ramai untuk berkunjung ke pusat perniagaan E-Dymium Ampang Centre yang terletak di Jalan Dravidan, Bandar Baru Ampang untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai bisnes tersebut.

Kalau ada yang berminat tetapi tidak berpeluang untuk berkunjung ke pejabat berkenaan bolehlah menghubungi wakilnya di talian 03-4278 4604.

Dalam pada itu jelas lelaki ini lagi, dia mengharapkan agar satu hari kelak kawasan tersebut menjadi pusat perniagaan rakan-rakan artis yang lain.

“Setakat ini saya lihat tak ada lagi pusat perniagaan artis. Saya harap sangat kalau boleh kawasan sekitar ini menjadi kawasan untuk rakan-rakan artis yang lain untuk meniaga,” jelasnya bersungguh-sungguh.

Sengaja diusik mungkinkah selepas berjaya dalam bidang perniagaan kelak, AC akan mengundurkan diri dari dunia seni ini sambil ketawa besar kata AC: “Kalau saya kaya sekali pun saya tidak akan berhenti menjadi artis. Sebab orang mengenali saya kerana saya menjadi artis. Malah kerana kerjaya ini membuatkan saya mampu memiliki kehidupan sebaik ini.”

Utusan Malaysia

AC Mizal Mahu Sehebat Aznil

15 Aug

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

DIBERI kepercayaan mengendalikan program bual bicara sendiri iaitu AC Di Sini serta menggantikan tempat Aznil Nawawi sebagai pengacara Akademi Fantasia, AC Mizal kini semakin menjadi tumpuan.

Sangat mengagumi dan menjadikan Aznil sebagai idola, bekas anggota kumpulan 4U2C itu mempunyai hasrat untuk menjejak kejayaan yang sama dikecapi Aznil ketika ini.

Meski menganggap masih baru dalam dunia pengacaraan, AC Mizal sememangnya telah pun membuktikan kemampuannya selepas melalui liku-liku kehidupan penuh kegelapan.

“Terima kasih kepada Astro kerana menghargai hasil kerja saya. Saya sangat bertuah kepada diberikan kepercayaan untuk mengendalikan program sendiri di Astro,” kata AC Mizal.

Menurutnya, melihatkan kejayaan Aznil, dia akan berusaha menguasai bidang pengacaraan yang diakui lebih memberikan kepuasan kerja serta pendapatan lumayan.

“Aznil sudah pun menjadi perunding program kepada Astro. Satu hari nanti, saya pasti akan mengikut jejak Aznil.

“Itulah impian saya. Bukannya mahu menandingi Aznil tetapi dia adalah idola saya,” ujar AC yang akan mula menjalani penggambaran filem terbaru berjudul My Spy terbitan KRU sekitar bulan Oktober ini.

Katanya, disebabkan sibuk dengan AC Di Sini selain menjadi pengacara di majlis-majlis korporat, dia terpaksa mengorbankan beberapa tawaran berlakon terutamanya drama.

Bukannya bersikap terlampau memilih, sebaliknya, AC mahu menumpukan sepenuhnya kepada pengacaraan di samping lakonan dalam filem sahaja.

Ditanya mengenai bidang nyanyian pula, AC yang memilih isterinya, Emylia Rosnaida sebagai pengurusnya berkata: “Memang saya minat menyanyi tetapi sekarang ini tidak ada masa sebab sibuk.”

AC Di Sini dihentikan?

Sementara itu, Hits baru-baru ini berkesempatan menyaksikan siaran secara langsung program AC Di Sini untuk episod ke-100 di Studio 1, Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara barisan artis yang dijemput memeriahkan siaran secara langsung itu adalah Mas Idayu, Edry KRU, Nabil (Raja Lawak) dan Zizan.

Untuk pengetahuan semua, ia merupakan siaran bagi episod terakhir program AC Di Sini sebelum dihentikan.

Bukannya berhenti selamanya atau berkubur, sebaliknya, rancangan bual bicara itu akan berehat seketika sebelum ia disambung semula selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

AC Di Sini memulakan penyiarannya sejak 28 April 2006 dan program bual bicara itu merupakan program terawal yang menggunakan khidmat band pengiring ketika di studio.

Melihatkan kejayaan program itu memasuki 100 episod, tiada apa yang mampu diucapkan oleh AC selain sebak mengenangkan segala pahit manis yang dilaluinya.

“Saya sangat terharu kerana tidak sangka AC Di Sini sudah memasuki episod ke-100 penerbitannya.

“Empat musim AC Di Sini bersiaran dan saya amat berpuas hati dan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan,” katanya.

Jelas AC, mengendalikan AC Di Sini bukan kerja mudah terutama ketika menemu bual soal-soal peribadi berkaitan artis.

“Tapi syukur kerana melalui AC Di Sini, mereka (artis) memberikan kerjasama dan tidak lokek berkongsi kisah peribadi mereka,” ujarnya yang mengimpikan AC Di Sini dapat dilangsungkan di tempat terbuka seperti Dataran Merdeka untuk menarik lebih ramai audiens.

Format baru AC Di Sini

Dalam pada itu, menurut AC, sebaik menyambung kembali penyiarannya selepas Aidilfitri, AC Di Sini bakal tampil dengan format baru.

“Kami mahukan sesuatu yang segar. Buat masa ini, saya dan Astro masih dalam perbincangan untuk format baru itu.

“Berkemungkinan juga AC Di Sini akan bekerjasama dengan sesiapa seperti Nabil Raja Lawak,” jelasnya.

Rancak berborak tentang program AC Di Sini, AC tidak ketinggalan memberitahu Hits mengenai perancangan masa depannya.

Menurutnya, dia bakal menubuhkan sebuah syarikat yang akan dilancarkan pada 24 Ogos nanti.

“Syarikat apa dan jenis perniagaan yang dijalankan akan saya beritahu kepada umum pada tarikh berkenaan,” katanya.

Melihatkan kesungguhan itu, barangkali, wajar sekali AC Mizal diberi penghargaan kerana tidak lupa memikirkan soal masa depan untuk dirinya serta keluarga.

Mungkin juga AC Mizal sentiasa mengingatkan dirinya bahawa ketika berduit inilah sepatutnya digunakan untuk melakukan perkara-perkara berfaedah.

Utusan Malaysia

Saya Tak Jahat – AC Mizal

2 Jul

Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN fadzilah.bahar@utusan.com.my

MUNGKIN masyarakat di luar sana sekadar membuat spekulasi sendiri berkaitan lelaki ini.

Bukan satu atau dua cerita-cerita kurang enak melingkari kehidupan pengacara dan pelakon popular AC Mizal ini.

Semakin mendiamkan diri semakin dirinya dirantai dan dibelenggu dek kata-kata nista yang tiada noktahnya.

Bayangkan bagaimana dia mahu menjalani kehidupan dengan tenang dan damai sedangkan di belakangnya begitu banyak fitnah dilemparkan.

Semuanya berkaitan sikapnya yang dikatakan mengabaikan kedua-dua anak lelakinya iaitu Mohd Shafiq Iman dan Mohd. Shabil Iman hasil perkahwinan terdahulu.

Bahkan bukan itu sahaja ceritanya malah AC juga kini dikatakan sudah tidak mahu mengakui anak-anak tersebut.

Mana mungkin hati seorang bapa sanggup bersikap sedemikian, sehingga sanggup memperlakukan anak dari darah dagingnya sendiri sebegitu.

Menggeleng kepala dan terdiam seketika AC Mizal kala diajukan soalan tersebut kepada diri.

Sambil tersenyum jelas AC: “Saya tak pernah mengabaikan tanggungjawab saya terhadap kedua-dua anak saya. Setiap bulan saya memang ada memberi nafkah dari dahulu sehingga kini. Saya ada segala bukti resit-resit yang saya berikan wang kepada mereka.”

Akui AC, orang ramai sekadar mampu bercerita namun hakikat kebenaran tiada siapa yang cuba untuk mengetahuinya.

“Biarlah saya berterus-terang sebenarnya sudah hampir dua tahun saya tak dapat berjumpa dengan mereka berdua.

“Saya tak tahu apa salah dan silap saya tapi inilah kebenarannya. Apa salah saya sehingga saya diperlakukan sedemikian,” kata suami kepada Emylia Rosnaida ini dalam nada penuh kesal.

Mengulas mengenai dakwaan keenggannya mengakui kehadiran dua anak lelakinya itu, jelas AC: “Saya tak pernah tak mengaku saya ada anak dulu. Cuma apabila saya bercerita tentang kehidupan kini saya hanya bercerita tentang dua anak saya bersama Emylia kerana itu sahaja yang ada depan mata saya sekarang.”

Malah kata AC, sekiranya dia mengabaikan amanah Allah, barangkali juga Tuhan tidak melimpahi rezeki yang semakin baik dalam kehidupannya kini.

“Kalau saya sejahat itu tak mungkin Tuhan berikan saya rezeki sebegini. Alhamdulillah saya menjadi duta produk dan pengacara eksklusif untuk Astro. Jadi fikirlah sendiri semua itu,” katanya dengan wajah yang sungguh kesal.

Enggan memanjangkan cerita

Bukan pintanya keadaan tersebut berlaku namun sebagai seorang insan, dia terpaksa menerima keadaan itu seadanya.

“Dulu memang saya akan ambil mereka setiap Sabtu dan Ahad, dan saya ada memberikan mereka telefon bimbit untuk dihubungi. Tapi selepas itu saya tak dapat berjumpa mereka dan talian telefon tersebut juga sudah tak dapat dihubungi,” terangnya.

Mengakui kadang kala tertekan dan mahu mengambil tindakan terhadap bekas isteri namun setelah dinasihati oleh isterinya maka dia mengambil tindakan untuk mendiamkan sahaja.

“Memang saya boleh saman dia jika dia mengeluarkan cerita-cerita buruk mengenai diri saya. Tapi bila fikir-fikir balik buat apa nak mengeruhkan lagi keadaan.

“Masing-masing ada kehidupan sendiri. Jangan ganggu kehidupan masing-masing. Tapi saya bernasib baik kerana Emylia sentiasa menasihati saya supaya banyak bersabar,” jelas AC yang akan mula menjalani penggambaran filem terbaru berjudul My Spy terbitan KRU sekitar bulan Oktober depan.

Nama Emylia terjejas

Menyambung bicara terang AC, dia juga terkilan apabila fitnah-fitnah tersebut berleluasa nama Emylia turut dikaitkan bersama.

“Orang pastinya akan cakap Emylia ibu tiri yang tidak baik. Tapi orang tak tahu kedua anak-anak lelaki saya begitu menyayangi Emylia . Dulu kalau mereka datang rumah saya, bila nak hantar balik merupakan saat yang paling menyentuh hati. Sebab kedua-dua mereka tak mahu pulang ke rumah ibu mereka,” lafaz pengacara Akademi Fantasia 5 ini lagi.

Walau apa jua tohmahan yang dilemparkan kepada isterinya terang AC: “Kejayaan saya hari ini adalah berkat usahanya. Kalau tak ada dia, tak mungkin saya berdiri di sini.”

Malah atas rezeki yang dinikmatinya hari ini AC baru sahaja berpindah ke kediaman barunya.

“Alhamdulillah itu semua rezeki. Emylia tetap menyuruh saya untuk menyediakan bilik untuk kedua-dua anak lelaki saya. Jadi saya berharap satu hari nanti mereka akan mencari saya kelak kerana sehingga ke hari ini saya tak tak pernah menukar nombor telefon saya,” katanya penuh mengharap.

Utusan Malaysia

Rentak Zed Dan Emelda

3 Jun

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

KOLABORASI Emelda (kiri) dan Zed Zaidi sebagai pengacara mampu menghangatkan rancangan Rentak Juara 2008 yang bersiaran setiap hari Ahad menerusi RTM2.

MEREKA sebenarnya merupakan sahabat baik yang telah lama saling mengenali sementelah kedua-duanya merupakan pelakon pelapis yang kini mula mendaki puncak populariti.Bukan itu sahaja, persahabatan mereka juga bertambah erat sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri Aku Cinta Aku Rindu selama sebulan di Besut, Terengganu yang pernah ditayangkan di saluran Prima (Saluran 105, Astro).

Berbekalkan persahabatan itu, Emelda Rosmila atau lebih mesra disapa Mel mengakui dia tiada masalah untuk bergandingan dengan Zed Zaidi apabila mereka dipilih untuk mengacarakan rancangan pertandingan pencarian bakat baru terbitan RTM, Rentak Juara Rhythm Of Champions 2008 (RJROC 2008) yang sudah pun memasuki musim ketiga pada 6 April lalu.

Untuk musim pertama pada tahun 2004, RJROC menyaksikan gandingan Azwan Ali dan Pool manakala dua tahun selepas itu, ia dikendalikan pula oleh Hezri dan Nabila Huda.

Ini kerana, jelas Mel, berbekalkan persahabatan yang terjalin itu ia sudah cukup untuk memudahkan kerja mereka berdua tatkala berdepan dengan penonton. Apa lagi rancangan tersebut disiarkan secara langsung pada setiap malam Ahad.

“Saya rasa kelebihan ini sudah cukup melancarkan kerja saya dan Zed dalam menghidupkan rancangan tersebut kerana keserasian itu sudah ada dan tidak perlu memakan banyak masa untuk mengenali dan mendalami pasangan pengacara kita.

“Seandainya, saya digandingkan dengan pengacara yang baru dikenali, saya mungkin akan mengambil masa untuk mempelajari karakter pasangan saya itu dan bimbang juga kalau tiada keserasian, nanti akan terjejas perjalanan rancangan ini,” jelas adik kepada pelakon Emylia Rosnaida ini penuh optimistik.

Namun, beliau tidak akan menganggap kerja ini sebagai satu kerja yang mudah kerana banyak lagi perlu dipelajari dan diperbaiki demi memantapkan lagi kerjayanya sebagai pengacara.

“Apabila orang sudah beri kepercayaan kepada kita, maka dengan itu, haruslah kita melakukan yang terbaik bukan?” tanyanya lagi.

Sementelah juga, RJROC 2008 juga kini sudah sampai kemuncaknya apabila siaran akhirnya akan berlangsung pada 22 Jun ini.

RJROC 2008 merupakan rancangan ketiga RTM yang menguji kredibiliti Mel sebagai salah seorang pengacara selepas Interzone dan Majlis Perayaan Ulang Tahun ke-60 RTM.

“Saya tahu bukan mudah untuk menjadi seorang pengacara kerana jika kita tersilap langkah, kita akan menerima tamparan yang cukup hebat dari penonton.

“Dengan itu, saya telah mempersiapkan diri saya dengan melakukan penyelidikan terhadap rancangan ini agar saya tahu untuk menampal ruang seandainya saya tersilap kelak,” jelas Mel yang pernah mencipta fenomena menerusi drama rantaian, Manjalara yang disiarkan di TV3 tidak berapa lama dulu.

Baginya, menjadi seorang pengacara dapat membina keyakinan dalam berdepan dan berkomunikasi dengan penonton.

Oleh itu kata Mel, menjadi tanggungjawab seseorang pengacara untuk tidak membuat penonton mereka berasa bosan menonton sesebuah rancangan yang dikendalikan.

Tambahnya juga, skrip yang telah disediakan untuknya dijadikan sebagai panduan dalam menentukan hala tujunya dalam RJROC 2008 kerana apa yang penting baginya, adalah dia mahu menjadi diri sendiri.

“Nanti kalau kita terlalu ikut skrip, ia akan menjadi terlalu formal dan membosankan penonton. Apatah lagi, ini sebuah rancangan hiburan dan kita mahu semuanya terhibur,” katanya lagi.

Mel turut memberitahu, menjadi pengacara untuk RJROC 2008 tidak menganggu jadualnya sebagai seorang pelakon kerana dia hanya perlu hadir pada setiap hari Jumaat hingga Ahad bagi menjalani latihan bersama Zed Zaidi.

Tambahnya, meskipun dia kini sibuk dengan pementasan P.Ramlee the Musical (PRM), namun, dia bijak mengatur jadualnya agar tidak bertembung dengan latihan RJROC 2008.

“Setakat ini, baru sekali sahaja saya tidak dapat beraksi untuk konsert mingguan kerana ketika itu saya berada di Singapura untuk pementasan PRM. Saya tidak mempunyai masalah dan segalanya berjalan dengan lancar,” katanya yang menggantikan tempat Datuk Siti Nurhaliza sebagai Azizah dalam PRM.

Tempat Mel ketika itu telah diganti oleh Ahmad Kamal Ahmad Adli atau Kamal yang juga wartawan lokasi RJROC 2008.

Untuk konsert akhir kelak, Mel berkata dia akan meneruskan perjuangannya sebagai pengacara dan memberikan yang terbaik.

Saat ditebak dengan soalan kritikan yang diterima olehnya daripada buah hati tersayang, Adlin Aman Ramlie, sambil ketawa manja, Mel memberitahu, kekasihnya itu merupakan pengkritik yang setia dalam apa jua bidang yang diceburinya.

Tidak sah seandainya soalan cinta dan perkahwinan ditanyakan kepada Mel kerana ada khabar angin yang mengatakan Mel dan Adlin akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini.

“Memang ada perancangan ke arah itu (berkahwin) kerana usia perhubungan kami pun sudah mencecah tiga tahun. Tetapi saya terpaksa menangguhkannya dahulu kerana arwah bapa saya, Abdul Hamid Md. Ally baru meninggal dunia bulan Mac lalu. Jadi, saya rasa tidak manis untuk memikirkan tentang berkahwin buat masa ini.

“Kalau saya kata, saya tidak memikirkan tentang perkahwinan, itu bermakna saya menipu. Saya percaya apabila masanya tiba nanti, kami akan mendirikan rumah tangga,” ujar Mel yang turut berasa bangga dan terharu apabila Manjalara mendapat sambutan hangat di Singapura sewaktu ditayangkan di republik itu tidak berapa lama dulu.

Mel turut memberitahu dia juga sudah selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Ku Seru arahan Kabir Bhatia yang akan disiarkan di TV3 kelak serta drama 26 episod berjudul Selembut Sutera Kilauan Mutiara untuk siaran RTM.

Malah, baru-baru ini juga, dia muncul dalam drama khas yang meruntun jiwa sempena Hari Ibu berjudul Demi Masa yang diterbitkan oleh JS Productions Sdn. Bhd menerusi slot Cerekerama di TV3.

Powered by Utusan Malaysia