Archive | Umi Kalthum RSS feed for this section

14 Pesuruhjaya Kehakiman Baru Angkat Sumpah

31 Dec

PUTRAJAYA: Empat belas Pesuruhjaya Kehakiman baru semalam mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi di Istana Kehakiman di sini.

Lapan daripada mereka dipilih daripada kalangan ahli kehakiman iaitu Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, 51, Pengerusi Mahkamah Perusahaan Datin Yeoh Wee Siam, 55, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Datuk Halijah Abbas, 51, Pendaftar Mahkamah Rayuan Datin Zabariah Mohd Yusof, 49, Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya Tarmizi Abdul Rahman, 52, Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak Rhodzariah Bujang, 47, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Akhtar Tahir, 49, dan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Ravinthran a/l Paramaguru, 46.

Yang lain ialah Peguamcara Negara Datuk Zaleha Yusof, Penggubal Undang-undang Parlimen Datuk Nor Bee Ariffin, 51, Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-undang, Datuk Mary Lim Thiam Suan, 51, Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman Dr Hassan Abdul Rahman, 54, dan dua Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Kamardin Hashim, 53, dan Yaacob Md Sam, 50.

Pelantikan mereka berkuat kuasa 5 Januari ini. – Bernama

Harian Metro

14 Pesuruhjaya Kehakiman Angkat Sumpah Jawatan

30 Dec

Oleh Mohd Hamizar Hamid
mizar@bharian.com.my

PESURUHJAYA Kehakiman yang baru dilantik bergambar kenangan selepas majlis mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi di Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Seramai 14 Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini semalam, yang berkuat kuasa Isnin depan.

Mereka ialah Pesuruhjaya Kehakiman Peguamcara Negara, Datuk Zaleha Yusof; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Halijah Abbas; Penggubal Undang-undang Parlimen, Datuk Nor Bee Ariffin.

Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-undang Jabatan Peguam Negara, Datuk Mary Lim Thiam Sua; Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid; Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman, Dr Hassan Ab Rahman.

Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Kamardin Hashim dan Yaacob Md Sam; Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Datin Yeoh Wee Siam; Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datin Zabariah Mohd Yusof; Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Tarmizi Abd Rahman.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Rhodzariah Bujang serta Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, P Ravinthran.

Mereka mengangkat sumpah di depan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi; Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; dan Hakim Besar Sabah serta Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Pelantikan dibuat mengikut Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara.

Zaki dalam ucapannya berkata, semua Pesuruhjaya Kehakiman yang baru dilantik perlu jujur serta bijak menangani persekitaran serta berupaya mengelak pengaruh masyarakat luar.

“Mereka boleh meneruskan persahabatan dengan rakan, tetapi jika mendapat maklumat ada antaranya yang bersikap tidak jujur dan ingin mengambil kesempatan maka perlu berterus terang,” katanya.

Berita Harian

Cari Lagu Bertemakan Aidilfitri

1 Oct

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ANITA dan Mahathir mengimbas kembali zaman muda mereka ketika motosikal Vespa menjadi kegilaan.

Anita Sarawak akui tidak berpeluang rakam lagu raya

KETIKA menyaksikannya mendendangkan lagu Pulang Di Hari Raya, nyanyian asal adik tirinya, Noor Kumalasari, pada sesi rakaman program Retro Raya di Astro baru-baru ini, barulah tersedar rupa-rupanya Anita Sarawak tidak mempunyai lagu bertemakan Aidilfitri.

Anita yang lebih senang membahasakan dirinya Kak Nita bukanlah nama asing dalam industri muzik, tempatan mahupun antarabangsa. Lalu, terasa pelik juga apabila tiada satu pun lagu raya daripada penyanyi ini yang boleh peminat nikmati, dulu mahupun kini. Sedangkan, nama seperti Tan Sri P Ramlee, Saloma, D J Dave, Datuk Sharifah Aini, Sanisah Huri, Sudirman, M Nasir, Noor, Aishah, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza saban tahun kembali bersarang di fikiran peminat apabila lagu raya mereka dimainkan semula. Kesempatan berbual dengannya sebaik saja rakaman lagu terbabit selesai digunakan untuk bertanyakan hal berkenaan.

“Baru sebentar tadi ada peminat dari Johor yang turut bertanyakan soalan lebih kurang sama. Nampaknya, mereka juga mahukan Kak Nita menyanyikan lagu raya. Anda juga berfikir begitu?

“Memang jauh di sudut hati Kak Nita teringin sekali untuk memiliki atau menyanyikan lagu raya Kak Nita sendiri. Cuma, rasanya sehingga kini peluang saja yang belum datang. Justeru, mungkin Kak Nita akan mengusahakannya sendiri. Kak Nita mungkin boleh merakamkan satu atau dua lagu raya untuk tahun depan, atas usaha Kak Nita sendiri,” ujar Anita yang kelihatan anggun dalam gaun ciptaan Ashley dari Kapas Couture.

Ditanya mengapa dia tidak bekerjasama saja dengan pihak KRU yang sebelum ini pernah menghasilkan album Seksis dan Another Dimension untuk dirinya, Anita menjelaskan, dia tidak boleh bergantung kepada ketiga-tiga beradik berbakat itu saja.


PASANGAN bahagia ini memilih pakaian daripada Kapas untuk sesi fotografi raya dan rakaman program TV.

“Kak Nita sedar, mereka juga sentiasa sibuk dengan pelbagai kerja lain. Lagipun, bukan Kak Nita saja yang berada di bawah bumbung mereka. Jadi, biarlah mereka siapkan dulu kerja yang lain. Apatah lagi, Kak Nita juga baru saja menerbitkan single Ular bersama mereka,” katanya.

Sebelum lagu raya dapat dirakam, Anita mengaku, perkara pertama yang harus diberikan tumpuan adalah mencari komposer yang benar-benar mampu melahirkan sebuah irama yang akan dikenang bagi jangka waktu yang panjang.

“Kak Nita tidak ada komposer yang boleh Kak Nita kata paling digemari kerana di negara ini begitu ramai pencipta lagu yang berbakat. Masing-masing mempunyai kepakaran dan kelebihan mereka sendiri. Cuma kini, kami perlu mencari komposer yang serasi dan memahami kemahuan kami untuk tujuan terbabit,” katanya lagi.

Sambut lebaran di Las Vegas

MENYENTUH mengenai hari raya pula, Anita memberitahu, sayang sekali dia tidak dapat berada di negara ini untuk menyambut Aidilfitri. Sehari selepas rakaman Retro Raya, artis eksklusif Astro itu terbang bersama suami, Mahathir, ke Las Vegas. Mereka juga akan singgah di Chicago, sebelum menyambung perjalanan ke Tuscany, Itali.

“Kak Nita terpaksa terbang ke Vegas untuk melihat kediaman serta hartanah kami di sana. Lebih kurang sebulan juga Kak Nita berada di Amerika Syarikat (AS) dan Itali. Kemudian, Kak Nita akan terbang balik ke Kuala Lumpur, mungkin pada minggu kedua raya,” katanya sambil menggenggam erat tangan suami di sisi.

Katanya, sebelum terbang ke AS, dia sudah pun ‘beraya’ bersama keluarganya di ibu kota. Sememangnya, Anita tidak akan meninggalkan Kuala Lumpur tanpa terlebih dulu bertemu mata bersama ibu tirinya, Datin Umi Kalthum serta adik-beradik yang lain.

Masih berbual mengenai Aidilfitri, penyanyi yang ramah ini berkata, sudah tentulah orang yang paling dirinduinya pada hari mulia itu ialah kedua ibu bapanya, Allahyarhamah Siput Sarawak dan Allahyarham Datuk S Roomai Noor.

“Namun Kak Nita reda kerana Kak Nita tahu, mereka kini berada di tempat yang jauh lebih baik berbanding kita semua. Begitu juga sehingga kini, kenangan beraya bersama mereka tetap bersemadi dalam diri Kak Nita.

“Masih Kak Nita ingat bagaimana kami semua pernah beraya dalam banjir sewaktu di kampung. Apa lagi, semua biskut raya diangkut ke atas katil. Langsir yang baru ditukar juga tenggelam dalam air. Semua itu Kak Nita sudah rasai. Ia pengalaman yang tidak mungkin Kak Nita lupa sampai bila-bila.

“Lagi satu, apabila saja ibu menyediakan baju kurung, Kak Nita minta baju kurung yang berpoket besar-besar. Bukannya apa, supaya senang kami hendak minta duit raya banyak-banyak,” cerita Anita sambil ketawa kecil.

Beralih topik, Anita memberitahu, dia teringin sekali merakamkan lagu berbentuk kelakar seperti yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.

“Buat ketika ini, biarlah lagu Ular itu puas diputar dulu. Apabila semuanya sudah selesai nanti, barulah mungkin Kak Nita masuk studio semula untuk rakaman lagu baru. Jika diikutkan hati, Kak Nita mahu menyanyikan lagu kelakar seperti dulu. Kak Nita sudah merakamkan lagu pop, lagu jazz dan rock bersama KRU. Jadi, untuk projek seterusnya, mungkin Kak Nita hendak cuba lagu kelakar pula,” ujar Anita yang sudah 44 tahun membabitkan diri dalam seni.

Berita Harian

Guna Lesung, Bukan Mesin

20 Aug

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

Jamu yang dihasilkan ini memang Opah tumbuk sendiri. Dengan cara sedemikian, keaslian sesuatu jamu akan dapat dikekalkan. Biasanya, proses penyediaan jamu Opah akan mengambil masa seminggu lebih.

APABILA menyentuh mengenai penjagaan dalaman wanita, ia sememangnya tidak lepas untuk dikaitkan dengan pengambilan sesuatu jamu terutamanya bagi wanita yang baru bersalin.

Ramai daripada mereka mengamalkan pemakanan jamu bagi memastikan peredaran darah berjalan lancar, mengembalikan tenaga serta berasa segar seperti sebelum mengandung.

Amalan memakan jamu sudah dipercayai sejak zaman nenek-moyang kita dahulu. Bagi memastikan ia tidak pupus ditelan waktu, ada di antara mereka mewariskan tradisi membuat jamu kepada anak cucu masing-masing.

Tidak terkecuali bagi pengamal rawatan warisan tradisional, Sharifah Umi Kalthum Syed Mohd. Zin atau lebih dikenali dengan panggilan Opah Umi.

Pada usia mencecah 68 tahun, Opah Umi masih bertenaga untuk menghasilkan jamu yang diwarisi daripada neneknya ketika masih kecil lagi.

Menurut Opah Umi, kerajinannya membantu neneknya menumbuk jamu setiap hari membolehkan dia mengenali semua herba dan rempah ratus yang digunakan bagi menghasilkan jamu tersebut.

“Opah masih ingat lagi ketika berusia sembilan tahun, Opah sering membantu nenek menumbuk jamu. Opah tolong kerana kasihan melihat nenek menumbuk jamu keseorangan. Namun, siapa sangka berkat kerajinan dan keikhlasan Opah membantu nenek, akhirnya Opah berjaya mengingati dan mengenali semua herba yang digunakan sekali gus mampu menghasilkan jamu sendiri.

“Terdapat hampir 25 campuran herba dan rempah ratus yang Opah gunakan untuk penyediaan jamu tradisi ini. Antaranya ialah serapat, biji kani, lada putar, lada hitam, lada ekor, kulit kayu manis dan banyak lagi.

“Kesemua herba tersebut Opah peroleh daripada orang kampung Opah di Perak,” jelas Opah Umi sambil menunjukkan campuran pelbagai jenis herba dan rempah ratus di depannya.

Tidak seperti jamu tradisi lain, jamu Opah Umi dihasilkan sendiri tanpa sebarang bahan pengawet atau menggunakan mesin untuk mengisar dan menghancurkan campuran herba tersebut.

“Jamu yang dihasilkan ini memang Opah tumbuk sendiri. Dengan cara sedemikian, keaslian sesuatu jamu dapat dikekalkan. Biasanya, proses penyediaan jamu Opah akan mengambil masa seminggu lebih.

“Terdapat lima proses dalam penyediaan jamu yang Opah hasilkan. Pertama, segala campuran herba itu perlu dibasuh dan dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian, ia akan dijemur selama tiga atau empat hari sehingga betul-betul kering. Tujuan dijemur ialah supaya ia mendapat sinaran cahaya matahari yang mempunyai khasiat tersendiri.

“Apabila campuran herba dan rempah ratus ini benar-benar kering, barulah Opah akan menggorengnya di dalam kuali tanpa minyak atau orang tua-tua panggil ‘goreng sangan’. Setelah itu, barulah ia ditumbuk sehingga lumat dan sebati sebelum dibiarkan kering sehari semalam.

“Proses terakhir yang dilakukan ialah mengayak jamu yang telah ditumbuk hancur dan dimasukkan ke dalam botol atau dijadikan pil,” ujar Opah Umi panjang lebar.


OPAH UMI bersama rangkaian produk rempah ratus serta jamu yang dihasilkannya sendiri.

Selain mempunyai kepandaian membuat jamu tradisi, Opah Umi turut menawarkan khidmat urutan tradisional bagi ibu-ibu lepas bersalin, kanak-kanak, bayi serta mereka yang mengalami kecederaan seperti terseliuh kaki atau tangan.

Tambah Opah Umi, urutan yang dilakukannya tertumpu kepada mencari urat pesakit seperti urat belikat, pinggang, punggung, paha, kaki dan sebagainya dengan menggunakan ibu jari dan jari tangan.

“Urutan sebenarnya bertujuan untuk melancarkan perjalanan darah, mempercepatkan proses pemulihan tenaga, mengurangkan keletihan, memecahkan lemak di badan, menaikkan seri muka serta memulihkan pusingan haid yang betul.

“Urutan untuk wanita selepas bersalin pula dapat memulihkan sakit urat, kesakitan pada otot dan sendi badan, di samping memulihkan fungsi peranakan wanita, membuang angin meroyan dan sakit kepala,” kata Opah Umi sambil memaklumkan bahawa wanita yang bersalin secara normal boleh mula mengurut selepas hari ketiga bersalin selama tiga hari berturut-turut.

Tetapi bagi mereka yang ingin merasa lebih segar, dinasihatkan supaya melakukan amalan berurut pada penghujung tempoh berpantang iaitu hari ke-42, ke-43 dan ke-44 diikuti pada hari ke-60 dan ke-100. Manakala bagi wanita yang bersalin melalui pembedahan, mereka hanya boleh berurut sebulan selepas bersalin.

Urut mengikut sains sukan


URUTAN di bahagian tapak kaki membantu melancarkan peredaran darah.

PAKAR Perunding Obstetrik & Ginekologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan menegaskan bahawa wanita yang bersalin secara pembedahan caesarean tidak digalakkan menjalani sebarang rawatan urutan.

“Mereka bukan tidak boleh menjalani urutan tetapi perlu memastikan masa yang sesuai iaitu selepas luka pembedahan sembuh sepenuhnya. Namun, jika urutan tersebut tidak menyentuh langsung bahagian abdomen atau perut, ia dibenarkan untuk mengurangkan rasa letih wanita yang bersalin,” kata Dr. Jamiyah yang juga merupakan Timbalan Pengarah (Ikhtisas), PPUM.

Sementara itu, Pakar Fisioterapi Sukan, Mohd. Nasrul Ahmad Tajudin, berkata, jika seseorang individu mengalami kecederaan seperti terseliuh kaki atau tangan, mereka sebenarnya tidak boleh terus pergi berurut kerana ia akan mendatangkan mudarat kepada pesakit.

“Dalam perubatan sains sukan, jika seseorang terseliuh di mana-mana bahagian tubuh, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengawal kesakitan yang dialami atau dalam erti kata lain mengurangkan bengkak dari aspek fisioterapi.

“Contohnya, jika buku lali kelihatan bengkak, ia menandakan bahawa tisu lembut dalam otot atau kapilari darah kita cedera. Ia mungkin disebabkan hentakan atau koyakan pada bahagian tersebut. Dalam kes sebegini, jika pesakit terus dibawa berurut, ia akan menambah kecederaan sedia ada,” jelas Nasrul yang merupakan fisioterapi di Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, menurut Opah Umi, semuanya bergantung pada diri individu itu sendiri. Jika mereka percaya dan yakin bahawa menerusi urutan tradisional, kesakitan mereka boleh berkurangan atau sembuh, ia boleh diteruskan.

“Memang Opah akui perubatan moden juga memainkan peranan penting, tetapi rawatan secara tradisional tidak kurang hebatnya, asalkan tukang urut tersebut merupakan seorang yang pakar dan mahir dalam teknik mengurut.

“Cuma, berdasarkan pengalaman Opah, ramai juga pesakit yang mengalami kecederaan terseliuh pulih selepas melakukan beberapa sesi mengurut,” kata Opah Umi sambil tersenyum mengakhiri bicara.

Kosmo

Ibu Gemilang Lahirkan Tujuh Doktor

11 Jun

Oleh HAAYATUL IZZAH BADARUDDIN

Anis Abdullah (kiri) bersama suaminya, Md. Noh Yunos dan salah seorang anak mereka, Dr. Umi Kalthum pada majlis Anugerah Ibu Malaysia 2008 di PWTC, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR 10 Jun – Dilihat dari luar, kehidupan Anis Abdullah dari Muar, Johor tidak jauh berbeza dengan warga emas lain. Sebagaimana wanita berkeluarga yang lain, beliau seorang ibu yang penyayang.

Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa di sebalik sifatnya itu, wanita berkulit putih ini sebenarnya seorang ibu yang amat istimewa.

Tujuh orang anak yang dilahirkannya menjadi doktor termasuk tiga orang doktor pakar.

Kecemerlangan kesemua anak Anis dalam akademik dan kini terlibat dalam kerjaya sebagai doktor perubatan bukanlah sesuatu yang pernah diimpikan oleh pesara guru berusia 65 tahun itu.

Kejayaan anak-anaknya membolehkan Anis – yang lahir dalam keluarga Cina sebelum diserahkan kepada keluarga Melayu ketika berusia tiga bulan – menerima Anugerah Ibu Gemilang sempena Majlis Anugerah Ibu Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Anugerah itu disampaikan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah pada majlis sambutan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Anak sulung Anis, Datuk Dr. Azhar Md. Noh, 43, merupakan seorang pakar bius di Hospital Ampang Puteri. Dr. Azhar belajar bidang perubatan di Universiti Glasgow, Scotland, manakala anak kedua, Dr. Muhammad, 41, seorang pakar urologi, juga berkhidmat di hospital yang sama.

Anak ketiga, keempat dan keenam beliau, Dr. Nor Shahidah, 40; Dr. Raha, 38; dan Dr. Nor Hafizah, 34, kesemuanya lulusan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) dan kini mengusahakan klinik persendirian.

Dua lagi anaknya iaitu Dr. Nor Bahiyah, 35, dan Dr. Umi Kalthum, 28, adalah lulusan Trinity University College di Dublin, Ireland, kini masing-masing bertugas di Hospital Pakar Yayasan Salam dan sedang melanjutkan pengajian untuk menjadi pakar mata.

Anis berkata, beliau dan suami, Md. Noh Yunos, seorang pesara kerani, bersikap tegas dan mementingkan pendidikan anak-anak.

“Kami bersikap tegas kerana tidak mahu anak-anak merasai kehidupan susah yang kami lalui dulu.

“Anak-anak dipastikan mendapat pendidikan duniawi dan ukhrawi yang sempurna seawal usia lima tahun lagi, walaupun kami tahu ibu bapa pada dasarnya tiada kuasa menentukan masa depan anak-anak,” katanya kepada pemberita.

Anis yang bermenantukan lima orang doktor memberitahu, dalam mendidik anak-anak, beliau memberi tumpuan kepada masa depan mereka.

“Apabila kita fokus pada masa depan, ia membolehkan kelemahan diri diperbaiki. Jika melihat ke belakang pula, kita hanya akan mengganggu fokus tersebut,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Karya Imuda Serikan Galeri Perfileman Finas

16 Jan

Oleh ABD. AZIZ ITAR

JINS Shamsudin (bersongkok) bersama Imuda (kanan) dan para pelakon veteran ketika merasmikan Program Tiada Gambar Seindah Lukisan bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SELAMA ini, Galeri Perfileman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur agak sunyi sepi tanpa pengunjung terutamanya para pencinta dunia filem Melayu.

Ini kerana, lokasi galeri yang menempatkan pelbagai khazanah perfileman tanah air itu bukan sahaja tersorok, malah tidak banyak aktiviti yang dianjurkan bagi menarik perhatian para pengunjung sejak ia dibuka pada tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, mulai bulan ini perbadanan itu telah merancang pelbagai aktiviti di galeri perfileman tersebut supaya apresiasi di kalangan peminat filem Melayu dapat dipertingkatkan.

“Kami menyasarkan tiga kelompok pengunjung iaitu artis-artis baru, pelajar dan orang ramai agar kerap berkunjung ke galeri ini dengan terbabit sama dalam aktiviti-aktiviti yang akan kami adakan sepanjang tahun ini.

“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuklah peraduan melukis potret artis-artis veteran dan pertandingan menyanyi karaoke lagu-lagu lama,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Tiada Gambar Seindah Lukisan Bersama Imuda di Galeri Perfileman Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Finas, Tan Sri Dr. Jins Shamsudin itu menerima sumbangan potret wajah-wajah artis veteran yang dilukis oleh Imuda untuk dipamerkan di galeri itu yang dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Sebagai permulaan lima potret pelakon veteran iaitu Datuk Maria Menado, Datuk Sarimah Ahmad, Datin Rosnani Jamil, Datin Umi Kalthum dan Latifah Omar akan mengisi ruang pameran galeri itu mulai 12 Januari lalu.

Jelas Mohd. Mahyidin, bagi menarik orang ramai berkunjung ke Galeri Perfileman Finas, pihaknya akan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah bas percuma.

“Kami akan menyediakan sekurang-kurangnya tiga buah bas bagi membawa para peminat filem Melayu dari sesebuah kawasan terutamanya dari luar bandar bagi berkunjung ke sini.

“Kami juga akan mengenal pasti sekolah-sekolah tertentu dan membawa para pelajar mereka ke galeri ini bagi mendapatkan pendedahan tentang dunia perfileman Melayu.

“Pelbagai aktiviti akan diadakan di Galeri Perfileman Finas yang mana setiap aktiviti berbeza pada setiap minggu,” ujarnya.

Tambah Mohd. Mahyidin lagi, selain Finas, aktiviti-aktiviti di galeri itu juga akan dibantu oleh Portal Cinema Malaysia yang kini mempunyai lebih 2,000 ahli dan sembilan Kelab Pencinta Filem yang terletak di bawah kendalian perbadanan tersebut.

Sementara itu, pelukis dan pelakon Imuda berasa bangga kerana diberi kepercayaan oleh Finas untuk melukis potret pelakon-pelakon veteran dan dipamerkan di galeri itu.

“Saya memang gembira apabila idea saya untuk mengabadikan potret artis-artis veteran di galeri ini yang saya usulkan dua tahun lalu diterima oleh Finas.

“Selain itu, saya mahu artis-artis veteran bukan sahaja dihargai tetapi potret-potret mereka juga dapat ditatapi oleh para peminat filem Melayu pada hari ini hinggalah generasi akan datang.

“Selepas ini, saya akan melukis beberapa potret artis-artis veteran lagi di mana senarai nama artis-artis veteran itu akan diberikan oleh pihak Finas,” katanya.

Tambah Imuda atau nama sebenarnya A. Rahim Muda, 47, beliau mengambil masa lima hari untuk menyiapkan sebuah potret yang menggunakan cat minyak.

Selain pelancaran program itu, turut dianjurkan ialah pertandingan melukis potret yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu profesional dan amatur serta acara berkaraoke lagu-lagu yang dipetik daripada filem-filem Melayu lama.

Hadir sama pada majlis itu ialah pelakon veteran Sarimah Ahmad, Maria Menado, Umi Kalthum, Rosnani Jamil dan Timbalan Ketua Pengarah Finas, Mohd. Zulkifli Ab. Wahab.

Powered by Utusan Malaysia

Rekaan Jelita Kegigihan Dua Adik-Beradik

23 Sep

Oleh: BINTU RASYADA A.RAHMAN (e-mel wanitamingguan@utusan.com.my)


ASIAH Yusoff (kiri) dan kakaknya, Umi Kalthum.

SIAPA kata wanita profesional malu turun padang menyingsing lengan untuk berniaga? Mungkin benar, dengan kedudukan yang sudah selesa mengapa perlu kembali melakukan kerja-kerja yang agak melecehkan.

Mungkin juga ada yang berasa malu terutama dalam sektor peruncitan, takut dikatakan tidak ada ‘kelas’.

Tapi, itu bukan alasan kepada dua beradik ini, Asiah binti Yusoff, 56, dan kakaknya, Umi Kalthum, 60, yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan.

Asiah, bekas peguam dan Umi, bekas pengurus sumber manusia sebuah syarikat korporat ternama berjaya membuktikan pengalaman menggalas jawatan profesional bukan penghalang untuk meneruskan minat mereka dalam perniagaan.

Hasilnya wujudlah butik Rekaan Jelita yang sudah beroperasi sejak April lalu.

Ketika diusik penulis mengenai tradisi wanita Kelantan yang suka berniaga, kedua-duanya mengiakan kata-kata itu.

“Dah seperti darah daging, paling kurang pun mesti ada jual tudung ataupun makanan secara kecil-kecilan,” kata Asiah sambil tersenyum.

Menurut wanita berkelulusan undang-undang dari sebuah universiti di United Kingdom dan kini memiliki syarikat penterjemahan, House Of Istilah, semuanya bermula dengan ajakan kakaknya yang tidak betah duduk bergoyang kaki selepas bersara sebagai Pengurus Sumber Manusia Kumpulan Sime Darby tiga tahun lalu.

Katanya, pada mulanya mereka hanya menjadi stokis produk tuala wanita berherba bertempat di Keramat.

Selepas itu, Umi yang minat dengan fesyen ingin mencuba menjadi pembekal kain dan pakaian siap wanita seperti baju kurung, baju kebaya dan sebagainya.

Justeru, mereka mengambil tiga pekerja yang mempunyai kelulusan dalam bidang jahitan bagi menghasilkan pakaian siap dan turut menerima tempahan.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut mengupah tukang jahit kontrak bagi menghasilkan lebih banyak pakaian dalam jangka masa yang singkat.

“Alhamdulillah, perniagaan kami mendapat sambutan,” sambung Umi pula.

Disebabkan tempat urusniaga ketika itu tidak sesuai untuk dijadikan butik dan lokasi yang kurang strategik, mereka mencari kedai baru dan akhirnya menemui tempat sesuai iaitu di Jalan Ipoh.

“Selain menjual kepada pemborong, ada juga pelanggan yang ingin membeli dalam kuantiti yang kecil. Jadi mereka lebih selesa kalau kami ada butik,” katanya.

Beliau tidak menolak bahawa tertubuhnya butik itu adalah kerana kekuatan mereka adik-beradik. Selain Umi dan Asiah, seorang lagi adik mereka, Nor Mahiran turut membantu dari segi promosi.

Bercerita bagaimana mereka berjaya hingga ke peringkat ini kata Umi, ia bukan satu perkara yang mudah.

Sebagai satu keluarga yang besar, 13 adik-beradik semuanya, ada yang terpaksa berkorban untuk memberi peluang kepada yang lain.

“Kami adik-beradik sangat rapat. Memang itu yang diterapkan oleh ibu kami. Bercerita tentang arwah ibu, saya cukup mengaguminya. Walaupun dia hanya pandai membaca tulisan jawi, tapi bukan masalah untuk mendidik anak-anak mencintai ilmu,” kata Umi.

Kerana itulah boleh dikatakan kesemua adik-beradiknya berjaya dalam hidup berkat usaha yang tidak berhenti.

“Macam saya, dulu masa bekerja ingat selepas bersara mahu berehat. Tapi, disebabkan sudah biasa bekerja saya tidak kisah menghabiskan masa di butik ini,” katanya.

Asiah pula mencelah, mereka sebenarnya ingin memberi pelanggan merasai pakaian berkualiti pada harga yang berpatutan.

“Kami sebenarnya ingin mencari pemborong sebanyak mungkin. Kami ingin menjual pakaian secara pukal kerana ia lebih murah dan menjimatkan, tapi dalam masa yang sama tetap mementingkan kualiti,” ujarnya.

Kata Asiah, Rekaan Jelita mampu menghasilkan pakaian siap sebanyak 300 hingga 500 pasang dalam masa dua minggu.

“Bagi pelanggan yang datang sendiri ke butik ini juga akan mendapat diskaun hingga 20 peratus,” katanya.

Selain kain dan pakaian siap, Rekaan Jelita juga menjual tudung, batik lukis, pakaian sembahyang, kemeja lelaki dan juga blaus wanita.

Terdapat juga makanan sejuk beku seperti karipap, samosa, kuih kacang, martabak, kuih koci, lepat dan keropok lekor.

Rekaan Jelita kini beroperasi di 142, Bangunan UMNO Selangor, Jalan Ipoh (bersebelahan Bank Rakyat). Maklumat lanjut hubungi 019-2129029 atau 019-2726362.

Utusan Malaysia

Alahai Bawang Merah Bawang Putih

15 Dec

SETIAP minggu bermula Isnin hingga Khamis, sebilangan besar wanita, lelaki tanpa mengira usia dan kanak-kanak duduk menghadap kaca televisyen.

Tumpuan mereka hanya satu, menyaksikan siri Bawang Merah Bawang Putih (BMBP), telenovela Indonesia yang telah meraih rating tertinggi di Malaysia dengan 3.5 juta penonton.

Tanyalah kepada siapa sahaja, apa istimewanya cerita BMBP kepada mereka.

Tidak ada jawapan pasti. Yang jelas setiap hari Isnin hingga Khamis dari pukul 2.30 petang hingga 3.30 petang, kedai kopi, kantin, pejabat, dan di mana sahaja ada kaca TV dipenuhi oleh para peminat siri ini.

Apa seronoknya menonton BMBP? Juga tidak ada jawapan.

Seperti orang lain saya juga tidak terkecuali menonton siri ini setelah mendengar pelbagai komen mengenainya. Biarpun mungkin sesetengah orang menanggap ia tahyul dan pelik, pada saya siri ini ada tarikan luar biasa di kalangan masyarakat Malaysia. Biar apa orang nak kata, nak menulis dan mengulas mesti kena menontonnya.

Seperti juga keberkesanan kisah Bawang Putih Bawang Merah (BPBM) versi Malaysia yang dibintangi Siti Tanjong Perak, Latifah Omar dan Umi Kalthum, demikian juga yang berlaku kepada BMBP versi Indonesia.

Bezanya, versi Indonesia dalam bentuk moden, fesyen terkini dan rumah mewah, sedangkan BPBM Malaysia yang telah disiarkan lebih 40 tahun lalu sekadar berkemban dan hidup di rumah usang di dalam sebuah kampung yang terpencil.

Hakikatnya, kisah ibu tiri telah berjaya menawan hati masyarakat Malaysia. Dan apabila dikaitkan dengan ibu tiri pastinya watak jahat yang terbayang. Demikian yang terjadi dalam BMBP versi Malaysia dan Indonesia.

Saya tertarik menulis tentang BMBP minggu ini kerana ingin memberi pandangan mengenai keunikan siri versi Indonesia yang kini sedang panas bermain di bibir para peminatnya di Malaysia.

Malah pada saya siri ini juga sesuai dijadikan teladan dalam kehidupan serta menjana institusi keluarga di negara ini. Maksud saya yang postitif. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Demikian yang ingin saya sampaikan. Bukan bermaksud memuji atau menyokong. Saya tidak mahu mengulas mengenai filem dan para pelakonnya sebab saya bukan jauhari dalam bidang tersebut. Yang ingin saya sampaikan adalah pengisian dan jalan ceritanya.

Saya berani menulis kerana telah menyaksikan sendiri betapa siri ini bagaikan besi berani kepada sesetengah orang.

Dalam perjalanan balik ke utara saya singgah di R & R untuk makan dan berehat. Terkejut saya melihat orang ramai memenuhi sebuah gerai yang menyediakan TV. Ada yang duduk dan ramai yang berdiri. Melihat jam sudah pukul 2.30 petang.

Rupanya mereka menunggu siri BMBP bermula.

Menghadiri satu majlis perkahwinan di kampung, saya turut melihat senario yang sama. Penanggah berselerak meninggalkan tugasan mereka. Siasat punya siasat, mereka berhimpun di rumah jiran untuk menonton siri ini. Bayangkan!

Saya yakin mereka akan setia menonton walaupun dimaklumkan ia akan tamat sekitar Februari tahun depan .

Biarpun sebahagian orang yang anti filem Melayu atau filem Indonesia mengatakan ia tidak logik, pada saya terpulang kepada penilaian masing-masing. Tepuk dada tanya selera.

Secara peribadi, siri ini tidak ada bezanya dengan program realiti TV yang menjadi kegilaan masyarakat Malaysia masa kini. Bezanya BMBP kisah masyarakat, program realiti TV menjurus kepada hiburan. Ada pendekatan masing-masing, ada keistimewan, ada kelemahan.

Jika dilihat secara positif, BMBP memenuhi aspirasi masyarakat masa kini yang memerlukan nilai-nilai murni dalam membentuk hubungan kekeluargaan.

Kita jangan ambil kira kehadiran si pari-pari yang cantik menggunakan tongkat sakti untuk mematikan musuh Bawang Putih. Juga pancaran mata magik nenek kebayan untuk melawan musuhnya. Itu sekadar sampingan. Kata orang penyedap cerita.

Kita harus melihatnya daripada sudut kejujuran dan keikhlasan dalam kehidupan, perebutan harta benda, sikap tidak hormat sesama saudara, sikap tamak, serta ketirisan dalam membantu sesama manusia.

Kita perlu melihatnya daripada aspek sikap tolong menolong, bantu membantu serta keprihatinan sesama insan yang berdepan dengan kepayahan.

*Positif

Maknanya, lihatlah secara positif. Ada yang boleh diambil sebagai contoh. Tidak semua karut dan tahyul. Jika tidak, masakan ada yang melekat di kerusi untuk menontonnya. sehinggakan ada suri rumah yang bergelut menghabiskan kerja-kerja rumah sebelum pukul 2 petang kerana tidak mahu terlepas menyaksikan siri ini.

Begitu juga kalau hendak keluar rumah, mesti selepas siri ini tamat. Kalau diajak suami bertandang ke mana-mana pada waktu ini, minta maaflah, ramai yang akan menolak.

”Saya kagum dengan cara siri ini ditampilkan. Ia boleh memukau kita untuk terus menonton. Tak macam setengah drama tempatan, tengok sehingga empat lima siri, belum tahu jalan ceritanya.

“Sudahlah begitu, kebanyakannya kisah cinta sahaja. kisah suami isteri curang dan macam-macam lagi yang tidak dapat membantu meningkatkan nilai-nilai murni,

“Akak akan pastikan semua kerja rumah beres sebelum pukul 2.00 petang, Kalau nak berjalan tunggu selepas siri ini tamat. Rugi kalau tak mengikutinya,” kata seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Ton kepada saya.

Saya tersenyum. Tercabar dengan keyakinan Kak Ton terhadap siri BMBP. Lalu saya cuba menjolok hatinya dengan berkata, cerita tersebut kan tahyul.. mana ada pari-pari zaman ini.

“Hai dik..cerita BMBP versi Malaysia dulu pun tahyul juga, mana ada manusia bertukar menjadi ikan dan tulangnya apabila ditanam menjadi pokok besar…” tambah Kak Ton dengan mata terbeliak.

Alamak! Terpukul lagi saya dengan kata-kata Kak Ton. Jawapan suri rumah berusia hampir 60 tahun itu menyebabkan saya tersentak. Begitu tinggi minda wanita warga emas itu.

Lalu tanya saya kenapa menontonnya beriya-iya sedangkan masih banyak drama tempatan yang menarik untuk ditonton.

“Banyak bezanya dik… lakonannya mantap, aksinya bersahaja. Mesej dan dialognya jelas. Walaupun dalam loghat mereka tapi ia mudah difaham. Kita turut terasa kalau ada yang menyentuh perasaan khasnya bab Bawang Putih menangis dan merintih. Juga apabila si ibu tiri yang bernama Rika Sumanto itu membeliakkan mata dan menjerit sehingga terbuka luas mulutnya. Macam hendak sumbat dengan kain mulutnya itu,” tambah Kak Ton serius.

Alahai…fanatik betul Kak Ton ini dengan kisah ini. Kata-kata Kak Ton mematahkan keinginan saya untuk terus bertanya. Kalau saya kata macam mana pun, Kak Ton tetap membela BMBP. Lalu saya mematikan perbualan kami setakat itu.

“Cuba adik perhati, mana ada drama tempatan yang padat macam itu. Ada drama kita yang baik tetapi ia sekadar kisah cinta. Kalau ada kisah keluarga pun, bab anak tinggal emak sebab lupa diri setelah kahwin anak orang kaya, suami tinggal anak isteri setelah berpoligami. Tapi yang macam siri BMBP belum ada yang saya nampak.

“Contohnya watak kanak-kanak Olivia itu….lakonannya menyerlah, aksinya lincah dan cerdik. Dia ada karisma sebagai pelakon walau masih kecil. Di sini, watak kanak-kanak masih ringan. Setakat dua tiga dialog kemudian hilang, Peluk mak, peluk nenek habis. Saya ingin melihat ada pelakon kanak-kanak yang boleh membawakan variasi watak seperti Olivia dalam BMBP di Malaysia,” ujar Kak Ton mencabar.

Sekali lagi saya hilang kata-kata. Tinggi fahaman Kak Ton tentang industri filem walaupun usianya telah lanjut. Tiada siapa dapat menghalang Kak Ton terus menonton BMBP. Begitu juga dengan berjuta-juta peminatnya yang lain.

Pada saya BMBP ada pendekatan dan keistimewaannya yang tersendiri. Sebagai manusia imej ibu tiri tetap ada pro dan kontranya. Walaupun kita tidak lagi mendengar anak-anak diseksa ibu tiri secara terbuka, hakikatnya masih berlaku. Jika tidak secara fizikal dari segi mental sebab ramai anak-anak yang tertekan setelah bapa atau ibu mereka bernikah lain.

Apa pun kepada para peminat siri ini, hanya satu pesanan saya. Jangan terlalu fanatik. Ambil yang mana baik dan ketepikan yang buruk. Kalau nak diikutkan kata orang siri ini khurafat, pada saya banyak lagi drama yang dianggap khurafat ditayangkan termasuk juga filem-filem Inggeris, China, Tamil, Hindi, Sepanyol dan lain-lain. Anggaplah ia sebagai hiburan semata-mata.. Ada mesej yang boleh dijadikan teladan sekiranya kita mengambilnya secara positif.

Pun begitu sebagai rakyat Malaysia saya tetap kagum dan bangga dengan cerita BMBP versi Malaysia yang sehingga ke saat ini masih melekat di minda saya.. Lakonan Siti Tanjong Perak, Umi Kalthum dan Latifah Omar tetap tiada tandingan sampai sekarang.

Menutup kata, sudi-sudilah merenung kata-kata ini buat ingatan kita bersama.

Tinggi-tinggi matahari, bulan bintang jadi saksi, hukum Tuhan kita patuhi, bahagia hidup sampai ke mati.

Salam.

– NORMALA HAMZAH (kaknor@utusan.com.my)

Utusan Malaysia

Tribunal Set Up To Expedite Disputes Between Homebuyer And Developer

6 Aug

KUALA LUMPUR Aug 5 – The Tribunal for Homebuyer Claims was set up to enable disputes raised by homebuyers against housing developers worth not more than RM25,000 to be easily resolved, the High Court heard Tuesday.

Senior Federal Counsel Umi Kalthum Abdul Majid said this was stated by the Minister of Housing and Local Government when presenting the Bill in respect of the amendment to the Housing Developers (Control and Licensing) Act 1966 in parliament.

She said that matters heard in the tribunal would not entail the engagement of lawyers nor take a long time to resolve and therefore would be a cheaper mode for disputes resolution.

“It can therefore be seen that it was the expressed intention of parliament to provide for immediate relief and remedy to existing aggrieved homebuyers,” Umi Kalthum said.

She said that the Act is also a piece of social legislation with the object to provide a measure of protection to the homebuyers, who are economically in a weaker position, in their relationship with the housing developers, and therefore the purposive approach of interpretation must be adopted to enable the full effect of the Act to be achieved.

Umi Kalthum was submitting before Justice Datuk Mohamed Raus Sharif who heard the application for judicial review brought by a housing developer, Puncakdana Sdn Bhd, against the tribunal and 50 housebuyers.

Puncakdana has applied to the Appellate and Special Powers Division of the High Court stating that the tribunal has no jurisdiction to hear or determine claims brought before it by the 50 housebuyers.

Meanwhile, counsel T.Vicknaraj who acted as friend of the court or “amicus curae” told the court that the initial objective of the Act was to protect homebuyers and govern recalcitrant developers.

Therefore, he said, to interprete it otherwise would defeat the intention of parliament to protect the housebuyers.

Vicknaraj, from the National Housebuyers Association, also told the court that he was directly involved in drafting the amendment to the Act in March 3, 2000.

Vicknaraj, who appeared with Azharuddin Ahmad Jais and Balvinder Singh as amicus curae in the hearing, said that the task force drafting the amendment included representatives from the Housing and Local Government Ministry, housing developers and various consumer groups.

“The scale of justice in commerce is not fair for the man in the street and the Act is there to balance it,” he said.

In its application, Puncakdana maintained that the Act does not expressly provide for retrospective effect, therefore the tribunal could not hear and determine dispute cases arising from sale and purchase agreements signed before Dec 1 2002 when the tribunal was formed.

The developer is seeking an order to quash the awards given by the tribunal to six of 50 housebuyers who lodged complaints of late delivery of their houses and failure to complete the common facilities.

The company also sought a declaration that the tribunal has no jurisdiction to hear and determine the claims lodged by the 50 housebuyers and a declaration that the awards were invalid, ultra void and of no effect.

Puncakdana is also seeking for an Order of Prohibition to stop the tribunal from proceeding with hearing and determining the claims lodged by the remaining 44 housebuyers, costs and other reliefs deemed fit by the court.

On June 17, Justice Mohamed Raus directed that the developer’s application for judicial review be heard together with another application of the same nature by Westcourt Corporation Sdn Bhd, as a test case.

Another developer, Fadason Holdings Sdn Bhd has also applied for judicial review against the tribunal and 39 housebuyers and the case is fixed for hearing before the same court.

The decision in the case will have a binding effect on other cases of the same nature in the future.

Hearing continues.

Utusan Malaysia