Archive | Sharifah Sofia RSS feed for this section

Sheila Abdull Promosi Filem Cinta Yang Satu

12 Jul

Oleh WANDA IDRIS

SHEILA ABDULL, anak didik terbaru penerbit dan komposer popular Adnan Abu Hassan.

FILEM Cinta Yang Satu mula ditayangkan hari ini (12 Julai). Namun sejak beberapa minggu lalu, ia sudah pun dihangatkan dengan kontroversi.

Semuanya gara-gara heronya, Zulhuzaimy yang dikatakan tidak mahu memberikan kerjasama dalam urusan prapromosi filem tersebut.

Biarpun kecewa dengan tindakan pelakon muda berbakat itu, penerbitnya, Wan Noraini Wan Noh tidak pernah mengenal erti putus asa.

Malah mengakui, terus bersemangat untuk mempromosikan filem arahan Zulkifli M. Osman itu kepada khalayak.

Justeru penerbit itu telah mengatur beberapa rangka promosi yang antara lainnya melibatkan penayangan sedutan filem dan klip video lagu tema filem tersebut di kaca TV tempatan.

Penayangan sedutan filem itu bersama-sama klip video lagu temanya yang berjudul Lepaskanlah diharap mampu meningkatkan minat orang ramai untuk menonton filem tersebut.

Menurut Wan Noraini yang mesra menggelar dirinya Kak Wan, lagu Lepaskanlah diangkat menjadi lagu tema memandangkan ia mempunyai kaitan dengan jalan cerita Cinta Yang Satu yang turut dilakonkan oleh Siti Elizad, Sharifah Sofia dan Nabila Huda.

“Lagu itu dicipta oleh Adnan Abu Hassan dan didendangkan oleh penyanyi baru bernama Sheila Abdull,” kata Wan Noraini ketika memperkenalkan gadis manis itu kepada Mega, baru-baru ini.

Wan Noraini berkata, selain lagu Lepaskanlah, pihaknya juga memuatkan dua lagi lagu dendangan Sheila dalam Cinta Yang Satu. Lagu-lagu itu ialah Asmara Di Hati dan Cinta Luar Biasa.

Kesemua lagu-lagu tersebut terkandung dalam album Sheila yang bakal dipasarkan tidak lama lagi.

Siapa Sheila Abdull?

Mungkin masih ramai peminat hiburan tidak mengenali Sheila Abdull namun dia sebenarnya mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas. Antaranya bersama Yayasan Warisan Johor, Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB), Orkestra Kombo RTM dan penyanyi bagi kumpulan Jazz Johor yang membuat persembahan istimewa di majlis-majlis negeri.

Bagaimanapun, harapannya untuk menjadi artis rakaman tercapai apabila menjuarai pertandingan Suara Bintang Adnan Abu Hassan bagi zon selatan.

Hadiah kemenangan merakamkan lagu single, Asmara Di Hati telah memikat hati Adnan untuk mengambilnya sebagai artis rakaman.

“Rakaman single itu membuatkan abang Adnan berminat menghasilkan album penuh dan saya benar-benar bersyukur,” kata Sheila yang memulakan rakaman albumnya sekitar November lalu.

Bercerita tentang kolaborasinya untuk lagu tema filem Cinta Yang Satu, jelas Sheila, lagu tersebut disukai oleh Wan Noraini apabila diperdengarkan oleh Adnan di studionya.

“Kebetulan ketika itu saya juga berada di studio dan sejak itu saya rapat dengan Auntie Wan,” jelas Sheila sambil memberitahu dia turut berkolaborasi dengan Wan Noraini dalam penghasilan klip video lagu-lagu Lepaskanlah dan Asmara Di Hati yang dimuatkan dalam filem Cinta Yang Satu. Klip-klip video itu bakal digunakan untuk tujuan promosi Cinta Yang Satu.

“Saya seronok kerana selain dapat membantu mempromosikan filem Auntie Wan, dalam masa yang sama saya juga dapat memperkenalkan diri dan lagu-lagu saya,” kata Sheila yang turut menjelajah beberapa lokasi terpilih untuk tujuan promosi filem tersebut bersama para pelakonnya tidak lama lagi.

Pun begitu, Sheila mengakui gementar menunggu reaksi peminat namun berharap kehadiran dalam promosi tersebut dalam dijadikan platform memperkenalkan dirinya kepada khalayak.

Powered by Utusan Malaysia

Wan Noraini Buat Filem Semula Selepas 13 Tahun

29 Sep

Oleh: WANDA IDRIS

FILEM Cinta Yang Satu merupakan filem kedua Wan Noraini Wan Noh, 51, selepas 13 tahun beliau menerbitkan filem kontroversi Wanita Bertudung Hitam.

Ia merupakan penerbitan pertamanya setelah sembilan tahun berhenti daripada mengusahakan rumah produksi.

Walaupun filem pertamanya pernah mengalami kegagalan namun Wan Noraini tetap optimis dalam penerbitan filem.

“Kak Wan mahu aktif semula,” katanya ketika Mega menemuinya di lokasi penggambaran filem Cinta Yang Satu di Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bekas ratu cantik tahun 1970-an itu, Cinta Yang Satu hanyalah sebuah filem komedi romantik santai yang berkisar tentang percintaan tiga segi antara Wira, Jamilah dan Zulaikha.

Namun garapannya akan menjadikan filem itu berlainan daripada filem romantik komedi tempatan yang sering disajikan kepada umum.

Bagi Wan Noraini dan pengarahnya, Zulkifli M. Osman, Cinta Yang Satu ialah sebuah filem komersial dengan sentuhan seni.

Gambaran sifat setiap watak dan pembikinan babak tidak klise. Lebih penting lagi ialah komedinya tidak slapstik.

“Kak Wan memang tak suka menghasilkan komedi yang begitu. Malah sebenarnya Kak Wan sukakan filem seni.

“Tetapi melihat pasaran hari ini yang sukakan filem genre ringan, Kak Wan terbitkan juga filem itu tetapi Kak Wan pastikan ia ada sentuhan seni,” kata Wan Noraini Wan Noh yang senang menggelarkan dirinya Kak Wan.

Katanya, dia begitu selektif dalam memilih pengarah agar keinginannya itu mampu direalisasikan.

“Kak Wan boleh bekerja dengan Arief Karmahani dan Zulkifli M. Osman. Mereka berdua memahami kehendak Kak Wan.

“Malah untuk drama-drama terbitan Kak Wan dulu pun, Kak Wan banyak berkolaborasi dengan mereka berdua.

“Bagi Kak Wan, Zulkifli ialah seorang pengarah yang bagus dalam menghasilkan drama cinta dan komedi romantik.

“Sementara kolaborasi Kak Wan dengan Arief Karmahani pula lebih banyak tertumpu kepada penghasilan drama-drama berat,” jelas Wan Noraini.

*Arahan ke-12 Zulkifli

Zulkifli pula memberitahu, Cinta Yang Satu merupakan filem ke-12 arahannya. Dia mengarah filem terakhirnya, Diari Romeo, beberapa tahun lepas.

Filem pertama arahan Zulkifli ialah Mira Edora yang dihasilkannya sewaktu usianya baru 20 tahun.

“Saya bersetuju untuk bekerjasama dengan Kak Wan kerana ada kelainan yang ingin ditonjolkan dalam filem ini.

“Ia sebuah filem komersial yang berseni ala-ala filem Titanic tetapi komedinya seperti filem My Best Friend’s Wedding dan French Kiss,” jelas Zulkifli yang pernah mengarah filem Kekasih Awal dan Akhir, Cinta Metropolitan, Rimba Malam dan Sahabat.

Kata Zulkifli, dia berkeyakinan filem itu mampu menarik perhatian penonton memandangkan kebanyakan filem yang akan ditayangkan pada tahun depan tertumpu kepada genre aksi.

“Saya rasa pembikinan filem ini kena pada masanya,” tegas Zulkifli.

Bercerita tentang pengarahannya, kata Zulkifli, Cinta Yang Satu merupakan sebuah cerita cinta yang perlukan homework kerana ia banyak bermain dengan perasaan dalaman.

“Ceritanya ringan tetapi wataknya berat,” jelas Zulkifli.

Menelan belanja sekitar RM1.7 juta termasuk urusan promosi dan pemasaran, filem tersebut memulakan praproduksinya sejak Mac lalu.

Kini filem Cinta Yang Satu telah pun siap penggambarannya dan sedang menjalani proses pascaproduksi.

FILEM: Cinta Yang Satu

PENGARAH: Zulkifli M. Osman

PENGARAH FOTOGRAFI: Shazawan

SKRIP: Shafuddin Sharif dan Zulkifli M. Osman

PENERBIT: Wan Noraini Wan Noh

TERBITAN: Wan’s Production Sdn. Bhd.

GENRE: Komedi Romantik

LOKASI: Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

PELAKON: Zulhuzaimy, Siti Elizad, Ezany, Tengku Sheera, Nabila Huda, Sharifah Sofia, Aida Rahim, Harun Salim Bachik, M. Rajoli dan Suhana Yahya

TAYANGAN: 2007

Powered by Utusan Malaysia

Gong Dimensi Baru Genre Seram Tempatan

29 Aug

Filem: Gong
Arahan: Sandosh Kesavan
Lakon layar: Sandosh Kesavan & Gibran Agi
Pelakon: Jehan Miskin, Faizal Yusuf, Sharifah Sofia, Fasha Sanda, Elyana dan Teuku Zakry.

Memang tidak mudah untuk menghasilkan sebuah filem seram yang berkesan. Kisah apa yang belum diangkat dalam genre ini? Yang bertujuan untuk menakutkan penonton atau ilusi yang sekurang-kurangnya mampu menyentak penonton. Dalam sejarah filem, sebahagian efek bunyi dan imej yang sukar dilupakan datang daripada filem-filem dalam genre ini.

Daripada yang bersifat ekspressionis seperti The Cabinet of Dr.Caligari (1919) hingga kepada adaptasi novel seram Dracula, yang bersifat psikologikal seperti Psycho (Alfred Hitchcock) atau adegan seram yang bersifat sensasi yang pada tahap memeranjatkan seperti Omen, Rosemary’s Baby dan The Exorcist atau yang bersifat ideologikal seperti yang dibawakan oleh M. Night Shyamalan dalam The Sixth Sense.

Selepas dikuasai oleh filem-filem seram Hollywood pada dekad 1970-an dan 80-an, genre seram dari Asia terutamanya dari Korea, Jepun dan Thailand mula menguasai penonton pada dekad 1990-an dan awal 2000. Pada peringkat paling buruk, filem dalam genre ini akan diingat kerana unsur eksploitasi dan kehodohannya, atau pada tahap terbaiknya sebagai refleksi daripada sisi paling hitam pengalaman manusia.

Genre filem tempatan pula mula mengalami gelombang baru selepas Shuhaimi Baba berjaya menghasilkan Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM). Genre ini pernah melalui zaman sukarnya apabila Lembaga Penapisan Filem membuat peraturan yang menyukarkan pembikin filem tempatan menghasilkan filem-filem dalam genre ini.

Tetapi selepas PHSM dihasilkan, genre seram mula mendapat perhatian pembikin filem tempatan. Khabarnya tidak kurang daripada lapan filem seram atau misteri sedang disiapkan pembikinannya dan ada yang sedang menanti tayangan. Bagaimanapun cabaran yang paling sukar adalah kepada pembikin filem untuk menghasilkan filem seram yang paling berkesan kepada penonton.

Seram dan misteri

Gong adalah filem tempatan paling baru dalam genre seram dan misteri ini. Gong diarahkan oleh pengarah muda Sandosh Kesavan, lulusan daripada Akademi Filem Malaysia. Filem ini menggabungkan elemen seram dan misteri ke dalam kisah anak-anak muda yang bercuti daripada pengajian mereka di sebuah universiti dengan melawat Yokjakarta, Indonesia dimana di sebuah muzium mereka menemui sebuah gong yang telah berusia 500 tahun.

Gong yang menjadi judul filem ini mempunyai kisahnya sendiri yang kononnya mempunyai kaitan dengan kisah cinta tiga segi antara Ratih Hapsari, Joko Bondowo dan Wijaya, yang berakhir dengan kematian ketiga-tiga orang ini. Trisha (dilakonkan oleh Sharifah Sofia) tidak mempercayai mitos gong tersebut lalu mencurinya dari muzium tersebut. Bagaimanapun selepas itu teman-teman Trisha iaitu Rozan (Jehan Miskin), Didi (Faizal Yusuf), Mira (Fasha Sanda) dan Ika (Elyana) mula mengalami pelbagai peristiwa yang menakutkan seperti jelmaan bayangan yang memerhatikan mereka.

Bukan gong itu sahaja mempunyai mitosnya tetapi rumah yang mereka duduki itu bukan sahaja sebuah rumah lama yang dipenuhi dengan lukisan dan arca tetapi juga tapaknya telah berusia ratusan tahun.

Kisah barang lama yang penuh misteri dan rumah yang dikatakan menyeramkan sebenarnya bukanlah subjek baru dalam filem-filem genre seram.

Walau bagaimanapun bukan bermakna kisah sedemikian itu tidak boleh dibuat ‘recycle’. Hal yang menjadi cabaran besar buat seorang pengarah dan penulisnya ialah bagaimana kisah ini dapat diberikan pendekatan yang baru dan sekali gus memberikan kesan seram yang baru kepada penonton.

Kelemahan skrip

Sebagai pengarah baru, Sandosh Kesavan memperlihatkan keupayaan, tetapi dia masih perlu berusaha keras untuk memperbaiki keupayaannya dalam mengesan kelemahan sesebuah skrip. Sandosh dan Gibran yang menulis lakon layar filem ini perlu tahu mencipta ketegangan yang dramatik, mempertahankan elemen suspensnya dan cuba keluar daripada kegagalan mengolah plotnya untuk adegan yang meyakinkan dan berkesan kepada penonton.

Antara mimpi pelajar Malaysia dengan mitos gong tersebut, mengapa hanya boleh dengan mudah diselesaikan oleh pelajar Malaysia? Persoalan yang paling utama dalam sebuah filem genre seram tentulah akhirnya bagaimana elemen seram dapat dimunculkan dengan berkesan kepada penonton. Inilah cabaran sebenar sebuah filem daripada genre seram.

Apatah lagi dengan penonton filem tempatan yang sudah bagai kepenatan menonton lambakan filem-filem seram Asia yang sudah semakin mengarut. Gong perlu berhadapan dengan realiti genre ini, apakah kesan yang mahu dicipta daripada kemunculan bayangan imej dan roh yang cuba menakutkan watak-watak real dalam filem ini?

Apakah kesan yang dirasai oleh watak-watak tersebut sampai kepada penonton? Imej pelajar dalam Gong adalah imej-imej pelajar yang stereotaip sebagaimana watak pelajar dalam filem-filem tempatan yang lain.

Dangkal dan kelihatan tidak mempunyai daya fikir yang mantap dengan persoalan yang selalunya kelihatan remeh.

Sebenarnya masih ada ruang untuk genre seram berkembang dalam industri filem, terutama filem tempatan. Memang genre ini mempunyai peminatnya sendiri dan saya percaya besar kerana majalah dan buku-buku dalam genre seram sentiasa besar edarannya dan mendapat sambutan hebat.

Tetapi untuk mendapatkan gelombang penonton yang besar cabarannya adalah keupayaan menghasilkan cerita yang kuat dengan lingkungan budaya dan sosial tempatan, dan tentunya berkeupayaan mencipta imej dan kesan khas yang mampu memberikan impak serta mencipta identiti dan stail genre yang khas bersifat tempatan.

Ini adalah cabaran yang perlu dihadapi oleh sejumlah besar filem-filem seram tempatan yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Mampukah pembikin filem tempatan menghasilkan filem genre seram Malaysia sebagaimana yang dilakukan oleh pembikin filem dari Thailand, Korea dan Jepun?

Powered by Utusan Malaysia

Gong Filem Seram Dengan Sejarah Sendiri

21 Aug

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Tiga pelakon utama filem Gong novel Sharifah Sofia, Jehan Miskin dan Elyana bersama penyanyi lagu tema filem berkenaan, Yazer.

HUBUNGAN para pelakon filem Gong tidak putus walaupun penggambaran filem tersebut telah selesai. Sebaliknya, hubungan yang dipupuk selama sebulan berkampung di Yogyakarta, Indonesia itu terus dilayari sehingga kini.

Kemesraan antara Sharifah Sofia dan Elyana jelas terbayang dan masing-masing sudah memahami antara satu sama lain. Gong juga merupakan filem pertama lakonan mereka berbanding Jehan Miskin yang sebelum itu telah mencuba nasib dalam filem Qaisy & Laila.

Apa pun baik Jehan, Sofia dan Elyana, masing-masing mengharapkan yang terbaik untuk filem lakonan mereka.

Sementara Yazer yang dipilih untuk menyanyikan lagu tema filem tersebut berharap pembabitannya itu dapat membuka ruang untuk dia terus melangkah jauh dalam bidang seni suara.

Elyana menyerlah

Sewaktu filem Gong memulakan penggambaran pada 23 Februari 2005, Elyana boleh dianggap masih lagi bertatih dalam bidang lakonan.

Namun dalam tempoh menunggu filem tersebut ditayangkan, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal telah berpeluang mengasah bakatnya menerusi drama Dunia Baru.

Menerusi watak Opie dalam drama arahan Mohd. Hitler itu, Elyana yang popular dengan lagu Diriku Tapak Sulaiman dan Tak Tercapai Akalmu itu terus mendapat tawaran berlakon.

Terbaru, Elyana, 19, berpeluang berlakon filem Dukun, arahan Dain Iskandar Said, terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

“Sejak mula berlakon telemovie Seriau arahan Ellie Suriaty Omar, saya memang tidak yakin dengan bakat lakonan kerana tumpuan utama saya adalah nyanyian. Tapi bila sering mendapat galakan, saya pun ingin terus berlakon. Apa yang pasti drama Dunia Baru banyak membuka ruang untuk saya terus memperkukuhkan diri dalam bidang lakonan,” katanya terus terang.

Menyentuh mengenai lakonannya sebagai Ika dalam filem Gong, Elyana mengaku dia tidak sabar menunggu reaksi daripada penonton.

Tegasnya, sebagai orang yang pertama kali berlakon filem dia telah melakukan yang terbaik dan akan sentiasa memperbaiki kelemahan di masa depan.

Elyana juga berkata watak Ika amat mencabar kerana antara dirinya dengan karakter yang dibawa amat berbeza.

“Ika ialah seorang gadis kampung yang lemah lembut. Sedangkan saya pula kasar, nak bercakap lemah lembut itu sukar sikit. Tapi dengan tunjuk ajar rakan-rakan dan pengarah saya cuba buat yang terbaik,” katanya yang suka melakukan adegan lasak sendiri.

Sepanjang menjalani penggambaran, Elyana memberitahu, dia tidak takut tapi terdapat satu kejadian aneh sewaktu melakonkan watak hantu.

“Masa rakam adegan tersebut pada pukul tiga pagi, rupa-rupanya jurukamera melihat ada dua wajah saya pada lensanya. Bila selesai penggambaran baru saya diberitahu tentang kejadian aneh itu,”ceritanya yang tidak serik untuk berlakon cerita seram.

Justeru itulah dia terus menerima tawaran berlakon Dukun yang menampilkan Umie Aida sebagai pelakon utama.

Pelbagai watak

Bermula dengan sitkom Spanar Jaya, kini nama Sharifah Sofia Syed Hussein, 21, terus mekar dalam dunia seni lakon. Antara drama lakonannya ialah Wahai Kau Cinta, Skuad Elit dan banyak lagi.

Daripada drama, pelakon kacukan Melayu – Inggeris itu terus diintai untuk berlakon filem. Setakat ini Sofia telah berpeluang berlakon dalam filem Gong, Orang Minyak dan Hanya Satu Cinta.

Dia yang sering disalah sangka sebagai Joanna Bessay kerana wajahnya yang mirip pelakon sitkom Kopitiam itu berkata setiap filem yang dijayakan menampilkan watak berbeza.

“Dalam filem Gong, saya berlakon sebagai Trisha pelajar universiti yang banyak mulut dan lasak berbanding rakan-rakan lain. Sementara filem Orang Minyak saya memegang watak sebagai pensyarah dan hampir menjadi mangsa rogol. Sementara dalam filem Hanya Satu Cinta, saya menjadi peguam. Boleh dikatakan setiap filem yang saya lakonkan menampilkan watak yang berbeza,” katanya yang kini mengikuti Diploma Persembahan Seni dan Media di Sunway University College.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berlakon filem Gong, Sofia berkata, biarpun ada adegan yang menyeramkan namun dia tidak serik untuk berlakon lagi.

Jelasnya, sewaktu menjalani penggambaran di sebuah rumah usang, dia merasakan lehernya disentuh.

“Rupa-rupanya ketika penggambaran, ada bayang-bayang di belakang saya dan itulah yang dilihat oleh krew filem berkenaan,” katanya.

Katanya, apa yang berlaku tidak melemahkan semangatnya malah dia akan terus berlakon filem atau drama seram selepas ini.

Jehan laris

Sebelum muncul dalam filem Gong, Jehan Miskin, 26, pernah mencipta nama menerusi filem Qaisy & Laila arahan Raja Ahmad Alauddin. Malah dia juga bakal muncul dalam filem Nana Tanjung hasil garapan pengarah Razak Mohaideen tidak lama lagi.

Apa pun watak yang dibawa ternyata berbeza antara satu sama lain. Menerusi Gong, dia memegang watak Rozan, pelajar yang tegas dan berlagak. Sementara dalam Nana Tanjung yang berunsur komedi dan bakal ditayangkan November ini, Jehan berlakon sebagai Zulkarnain yang bercinta dengan Waheeda.

“Watak Rozan tidaklah begitu menyusahkan tapi persekitaran penggambaran di sana yang membuatkan setiap pelakon perlu melalui pelbagai dugaan,” katanya yang sering muncul sebagai VJ, seminggu sekali dalam program Latido di TV 9.

Jehan yang kini laris bagai goreng pisang panas dapat juga dilihat lakonannya dalam drama Ejen 016.

Dia yang turut berlakon dalam filem Anak Halal, sebagai pengedar dadah, arahan Osman Ali itu berkata, dalam apa keadaan lakonan tetap diutamakan.

“Saya tidak akan menolak mana-mana tawaran yang mendatangkan kebaikan kepada diri dan karier. Namun biar apa pun yang saya lakukan, lakonan tetap nombor satu,” katanya yang menjadi kaki pukul dalam filem 7707, arahan Razak Mohaideen yang telah pun selesai menjalani penggambaran.

Jehan yang turut mengendalikan sebuah program realiti untuk kanak-kanak berkata, dia tidak menghadapi masalah bekerja dengan kanak-kanak.

“Bekerja dengan kanak-kanak seronok dan paling best saya dapat bermain dengan mereka. Biarpun sekali jumpa tapi saya sudah jatuh hati dengan telatah mereka,” katanya yang akan muncul dalam drama bersiri Inggeris bersama Cheryl Samad dan Tony Eusoffe tidak lama lagi.

Album runut bunyi

Kemunculan filem Gong ini turut diserikan dengan soundtrack (runut bunyi) yang menampilkan lagu nyanyian Yazer dan Idayu.

Yazer mendendangkan lagu Cinta Zaman Berzaman, sementara Idayu dengan lagu Paluan Rindumu, kedua-duanya menjadi lagu tema filem ini.

Selain itu, runut bunyi ini turut menampilkan sedutan enam dialog filem Gong yang membabitkan suara Jehan, Fasha, Sofia dan Elyana selain dua minus one lagu tema.

Yazer atau Mohd. Yazer Yusof, 24, itu telah merakam lagu tersebut pada bulan puasa tahun lalu.

“Mula-mula dengar lagu itu susah sikit untuk saya jiwai sebab belum dibuat susunan muziknya. Bila sudah lengkap, saya rasa boleh bawa dengan mudah biarpun lagu itu ada unsur balada sikit,’’ katanya yang bakal muncul dengan album sulung tidak lama lagi.

Album sulung Yazer akan diterbitkan oleh M. Nasir dan setakat ini rakaman sudah 40 peratus. Antara komposer yang terbabit dalam album berkonsep rock itu ialah Tam Spider dan Tony Spider. Malah untuk album yang telah menjalani rakaman sejak bulan ini, Yazer turut mencipta sebuah lagu.

Dia yang banyak mendapat undangan menjayakan persembahan di sekitar Sabah berkata, pada peringkat awal memang ada perasaan berdebar bila tahu M. Nasir menjadi penerbit.

Keresahan itu timbul kerana Yazer takut dia tidak dapat menjalani rakaman pada tahap yang dikehendaki oleh M. Nasir.

“Bila tahu M. Nasir penerbit, saya buat persediaan rapi kerana dia adalah jenis orang yang tidak suka kita buat kerja main-main. Sebagai orang baru saya rasa bertuah mendapat tunjuk ajar daripada Sifu,’’ katanya sambil tersenyum.

Powered by Utusan Malaysia

Ramalan FFM19

12 Aug

Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH

MAYA Karin dan Nanu dua pelakon utama Pontianak Harum Sundal Malam 2.

KEMUNCAK Festival Filem Malaysia Ke-19 2006 (FFM19 ) yang dinamakan Malam Anugerah bakal berlangsung gilang gemilang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam esok.

Debaran FFM19 semakin dirasai apabila tekaan nama pemenang mula menjadi sebutan. Namun filem manakah yang akan muncul sebagai Filem Terbaik 2006 daripada 23 judul filem cereka yang dipertandingkan?

Ramai yang meramalkan Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2) dan Bilut akan bersaing bagi kategori Filem Terbaik.

Kedua-dua filem itu jauh meninggalkan filem lain apabila menguasai senarai calon lima terbaik di FFM19.

PHSM2 memperoleh 14 pencalonan manakala Bilut mengekori rapat dengan jumlah 13.

Calon filem terbaik mungkin condong kepada PHSM2 apabila dikatakan menjadi pilihan awal 35 orang juri walaupun terselit kelemahan kecil di sebalik ‘kekacauan penceritaan’. Tetapi dari segi arahan Suhaimi Baba, ceritanya masih kuat berbanding filem-filem lain.

Bilut pula menampilkan tema patriotik kuat yang jarang dipersembahkan kepada penonton sebelum ini. Subjek pembangunan tanah yang diketengahkan Bilut memang jelas walaupun perjalanan ceritanya tidak konsisten dan agak mendadak.

Gubra juga perlu diberi perhatian. Dari sudut subjek yang diketengahkan, Gubra setia dengan elemen cintanya yang kuat. Ia juga kelihatan hebat kerana gaya pengarahan Yasmin Ahmad yang bersahaja.

Kalau lima juri profesional (termasuk dua juri luar dari Taiwan dan Indonesia) terpikat dengan Gubra, jangan pula sampai wujud kontroversi seperti Sepet di festival lalu.

Dan jangan ketepikan Buli Balik kerana temanya yang menarik dan lari daripada topik biasa filem Melayu. Watak-watak utamanya berkembang dengan meyakinkan dan dikategorikan sebagai sebuah filem yang menarik.

Barangkali kontroversi hanya wujud jika Gol dan Gincu menjadi pilihan juri dan diangkat filem terbaik 2006. Hanya juri profesional yang mengenal manikam.

Sementara itu, senarai lima finalis bagi kategori utama – Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – sudah pun diketahui umum.

Apa yang menarik, nama pemenang memang sukar diramal. Namun tentu satu nama sahaja yang akan dipilih menerima anugerah pada malam esok bagi setiap kategori.

Anugerah Perdana FFM19 akan disiarkan secara langsung di Astro Ria dan Radio Sinar dari PWTC malam esok bermula pukul 8.30 malam.

Senarai Calon dan Ramalan

Pemenang Pilihan MEGA FFM19

Ramalan Filem Terbaik

Pontianak Harum Sundal Malam 2 (PHSM2)

Pengarah Terbaik

Afdlin Shauki – Buli Balik

Bade – Bilut

Yasmin Gubra – Gubra

Bernard Chauly – Gol Dan Gincu

Shuhaimi Baba – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin Shauki

Pelakon Lelaki Terbaik

Afdlin Shauki – Buli Balik

Rosyam Nor – Bilut

Que Haidar – KL Menjerit

Hans Isaac – Pesona Non Grata

Rusdi Ramli – PHSM2

Ramalan MEGA: Rusdi Ramli atau

Rosyam Nor

Pelakon Wanita Terbaik

Eja – Bilut

Sharifah Armani – Gubra

Nur Fazura – Gol Dan Gincu

Erra Fazira – Pesona Non Grata

Maya Karin – PHSM2

Ramalan MEGA: Maya Karin

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

Harun Salim Bachik – Baik Punya Cilok

Hans Isaac – Buli Balik

Rusdi Ramli – Bilut

Que Haidar – Castello

Zul Huzaimy – Remp-It

Ramalan MEGA: Zul Huzaimy atau

Rusdi Ramli

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik

Nor Khairiah – Gubra

Sazzy Falak – Gol Dan Gincu

Sharifah Sofia – Gong

Ida Nerina – PHSM2

Chelsia Ng – Salon

Ramalan MEGA: Sazzy Falak atau

Nor Khairiah

Pelakon Harapan Lelaki

Que Haidar – Castello

Que Haidar – KL Menjerit

Cat Farish – Remp-It

Mohd. Pierre Andre – Salon

Nicholas Teo – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Que Haidar

Pelakon Harapan Wanita

Liyana Jasmy – Castello

Juliana Ibrahim – Gubra

Sazzy Falak – Gol Dan Gincu

Raja Farah – Salon

Carmen Soo – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Liyana Jasmy, Sazzy Falak atau Carmen Soo

Pelakon Kanak-Kanak

Hafizu Din Hamza – Bilut

Mohd. Shahraen – Gong

N.Adruce N.Adelin – Tipah Tertipu The Movie

Ramalan MEGA: Hafizu Din Hamza

Lakon Layar

Afdlin Shauki – Buli Balik

Yasmin Ahmad – Gubra

Rafidah Abdullah – Gol Dan Gincu

Mamat Khalid – Man Laksa

Shuhaimi/ Haslina – PHSM2

Ramalan MEGA: Rafidah Abdullah

Cerita Asal

Afdlin – Baik Punya Cilok

Yusof Noor – Bilut

Yasmin Ahmad – Gubra

Mamat Khalid – Man Laksa

Shuhaimi Baba – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin Shauki

Sinematografi

R. Mukhris – Bilut

Keong Low – Gubra

D.Raghavan – Gong

M.Filus – PHSM2

Hor Chee Leong – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Hor Chee Leong

Penyunting

Sukhdev Singh – Baik Punya Cilok

Bade – Bilut

Bade – Castello

R.Affandi – Gubra

Kamaruddin Abu – PHSM2

Ramalan MEGA: Kamaruddin Abu

Skor Muzik

Afdlin/Ahmad F – Baik Punya Cilok

Khoo Fok Sin – Bilut

Hardesh Singh – Gubra

Megat Azura – Persona Non Grata

Shamsul Cairel – PHSM2

Ramalan MEGA: Afdlin/Ahmad F

Penataan Seni

Azwan A – Bilut

Rosnah K – Gubra

Kamarul Nizam – PHSM2

Hor Kam L – The 3rd Generation

Mazlan AL – Gong

Ramalan MEGA: Kamarul Nizam

Penataan Bunyi

Azman A – Bilut

Azman AH – Castello

Azman A. Hassan – KL Menjerit

Ashley Ibrahim – PHSM2

Ng Kang Wei – Remp-It

Pilihan MEGA: Ng Kang Wei

Lagu Tema

Afdlin – Baik Punya Cilok

Semalam – Bilut

Sesat Dalam Gelap – Castello

Teruja – Gol Dan Gincu

Ku Seru – PHSM2

Ramalan MEGA: Ku Seru

Busana

Izzat – Art Bilut

Izzat – Art Gol Dan Gincu

Dee Hasnan – PHSM2

Hatim – Thai Rock

Eric Cheong – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Hatim Thai

Poster Terbaik

X – Gubra

Red Film – Gol Dan Gincu

Sendosh – Gong

Pesona Picture – PHSM2

Blackbox Pic – The 3rd Generation

Ramalan MEGA: Pesona Picture

Powered by Utusan Malaysia

Gong Filem Tempatan Lokasi Luar Negara

4 Aug

Oleh: WANDA IDRIS

SETELAH lebih setahun pembikinannya, filem Gong kini sudah bersedia untuk menemui penonton. Bakal ditayangkan 26 Ogos ini, Gong merupakan sebuah filem bercorak pengembaraan.

Biarpun menyelitkan elemen mistik dan spiritual, namun filem sulung arahan Sandosh Kesavan ini bukanlah sebuah filem seram apalagi ngeri.

Namun garapan unsur mistik dan spiritual itu pasti memberikan satu kelainan pada produksi yang berlatarkan lokasi di negara seberang, Indonesia.

Malah buat julung kalinya juga, Grand Brilliance Sdn. Bhd. (GBSB) mengadakan seratus peratus penggambarannya di negara luar.

Dengan bajet berjumlah RM1.6 juta, lokasi pilihannya adalah Yogyakarta dengan memilih beberapa tempat menarik antaranya Candi Prandanan, Pantai Parang Tritis dan Muzium Kesenian Yogyakarta.

Menurut Pengurus Besar GBSB, Ahmad Puad Onah, cabaran pembikinan Gong bermula seawal pembentukan corak filem itu yang pada asalnya bergenre seram.

Bagaimanapun, oleh kerana ingin lari daripada genre seram yang pada satu ketika menjadi begitu tipikal apabila banyak produksi tempatan menghasilkan filem sedemikian, pihaknya menukar penceritaannya menjadi sebuah filem pengembaraan.

Mengikut perancangan asal, kata Ahmad Puad, Gong sepatutnya diarah oleh Feroz Kadir sebelum diambil alih oleh Sandosh.

“Dan Yogyakarta menjadi lokasi pilihan kerana kota mistik itu berupaya menyerlahkan unsur supernatural yang menguasai penceritaan Gong,” jelasnya.

Lalu, kata Ahmad Puad, unsur supernatural itu sendiri telah menyerlahkan elemen thriller pada Gong.

Dibintangi lima pelakon remaja popular termasuk Elyana, Sharifah Sofia dan Faizal yang pertama kali terlibat dalam filem.

Penerbitan filem itu juga kata Ahmad Puad, memcatat sejarah tersendiri buat GBSB apabila buat pertama kali mengadakan penggambaran sepenuhnya di luar negara.

Beliau berkata, pembikinan filem itu sendiri satu cabaran buat GBSB, bukan saja daripada segi logistik malah budaya kerja yang berbeza.

“Pembikinan Gong adalah satu pengalaman baru buat GBSB,Ia mencabar kami daripada pelbagai sudut, terutama dalam pengurusan bajet.

“Misalnya, jika di Malaysia kami minta lori tiga tan, maka sebuah lori tiga tan itulah yang akan disediakan. Tetapi di Indonesia, apabila lori tiga tan diminta, yang diberikan ialah tiga buah lori muatan satu tan.

“Mungkin ia kelihatan lucu, tapi itulah yang terjadi,” katanya.

Mengenai pemilihan Sandosh, kata Ahmad Puad, kepercayaan yang diberi kepada pengarah muda itu selari dengan sikap keterbukaan GBSB dalam memberi peluang kepada muka baru yang berpotensi untuk mencipta nama seperti mana yang pernah diberikan antaranya kepada Afdlin Shauki, Erma Fatima malah Yasmin Ahmad.

Gong berkisar tentang pengembaraan lima penuntut universiti iaitu Mira yang dilakonkan Fasha Sandha, Rozan (Jehan Miskin), Trisha (Sharifah Sofia), Ika (Elyana) dan Didi (Faizal Yusof).

Mereka menyertai lawatan sambil belajar ke Yogyakarta tetapi keseronokan lawatan tidak lama apabila satu persatu kejadian aneh berlaku selepas mereka mengunjungi Muzium Kesenian Yogyakarta.

Ini kerana pada kunjungan itu, Trisha telah mencuri sebuah gong purba berusia 500 tahun yang menyimpan cerita tragedi.

Perbuatan Trisha yang mencabar mitos gong yang kononnya akan berlaku sesuatu apabila ia diketuk lima kali berturut-turut, memulakan pengembaraan penuh misteri apabila seorang demi seorang mengalami pelbagai kejadian aneh.

Selain pelakon tempatan, beberapa pelakon baru Indonesia turut terlibat dalam pembikinan filem tersebut.

Powered by Utusan Malaysia

Sofia Alami Peristiwa Seram

30 Jul

Oleh NIEZAM ABDULLAH

NAMA Sharifah Sofia Syed Hussein dalam dunia hiburan mula tercipta ketika membintangi sitcom Spanar Jaya yang disiarkan menerusi saluran ntv7 tidak lama dulu. Bermula dengan siri itu, bakat Sofia dikesan dan dia mula aktif dalam drama-drama terbitan stesen televisyen tempatan.

Bagaimanapun populariti Sofia hanya di dalam drama. Peluang di dalam filem tidak diberikan kepadanya. Bukan tidak percaya dengan bakat tetapi imej kacukan Melayu – Inggeris itu menyebabkan tiada watak yang sesuai untuknya.

Bagaimanapun mungkin rezeki Sofia, ketika hasrat untuk berlakon filem diluahkan kepada Gibran Agi, seorang penulis skrip muda berbakat, pelakon itu terus dilamar untuk membintangi filem Gong terbitan Grand Briliance Sdn. Bhd.

Bagi gadis berusia 21 tahun ini tawaran itu amat memeranjatkan kerana dia tidak penah menyangka ditawarkan menjadi bintang filem. Malah dia juga tidak percaya adakah boleh atau tidak untuk beraksi di hadapan kamera filem.

“Itu semua saya tidak pernah jangka. Saya cuma bergurau dengan Gibran kalau ada watak yang sesuai untuk filem, buatlah untuk saya. Tidak berapa lama selepas meluahkan hasrat itu, Gibran menghubungi saya untuk membintangi sebuah filem seram iaitu Gong,’’ kata Sofia.

Lokasi penggambaran filem itu diadakan di sebuah rumah usang di Indonesia dan akan ditayangkan pada 24 Ogos akan datang.

Ia berkisar mengenai mitos terhadap sebuah gong peninggalan tamadun purba Hindu Mataram yang kini bersemadi di Muzium Kesenian Yogyakarta.

Kononnya akan berlaku sesuatu jika gong berusia 500 tahun itu dipalu lima kali berturut-turut. Lima orang sahabat yang berkunjung ke muzium itu mengalami pelbagai peristiwa ganjil apabila salah seorang daripada mereka tidak mempercayai pantang larang mengenai misteri gong itu.

Menurut Sofia, yang menyeramkan bukan sahaja watak dan jalan cerita filem itu sebaliknya kisah di luar filem juga turut menyebabkan bulu roma para pelakon terpacak.

Ketika penggambaran di sebuah rumah tinggal berusia 40 tahun itu diadakan, Sofia merasai ada sesuatu yang telah memegang lehernya.

“Selepas merasai pengalaman itu saya bercerita kepada krew terlibat tetapi lebih menakutkan, dia nampak bayang-bayang di belakang saya pada ketika itu,’’ kata Sofia.

Menurut Sofia, bukan sahaja dirinya malah beberapa pelakon lain yang terlibat dalam filem itu seperti Elyana, Fasha Sanda dan Jehan Miskin turut merasakan pengalaman seram masing-masing.

Kejadian itu bukan sahaja di lokasi tetapi lebih dirasai apabila salah seorang krew filem itu dari Indonesia meninggal dunia secara mengejut di bilik hotel penginapan mereka.

“Saya terfikir kenapa misteri itu berlaku di depan mata saya. Cukuplah di dalam filem kerana saya seorang yang penakut terutama membabitkan perkara-perkara ghaib,’’ ujarnya.

Bagaimanapun Sofia tidak menjadikan pengalaman itu untuk melemahkan semangatnya malah dia akan terus berlakon filem atau drama seram selepas ini.

Powered by Utusan Malaysia

Noorkhiriah Bergaya Seksi Lepaskan Geram

3 Feb

Oleh: KHADIJAH IBRAHIM (ijah_pg@yahoo.com)

NOORKHIRAH.

MESKIPUN nama Noorkhiriah Ahmad Shapie, 29, tidak sepopular pelakon lain namun lakonannya tidak menghampakan. Dia mampu menjiwai setiap watak yang diberi. Noorkhiriah atau Noor adalah kategori pelakon yang berbakat dan bukan bersandar pada paras rupa.

Namun sejak akhir-akhir ini, Noor seakan mengikut jejak langkah artis yang tidak berbakat. Dia dilihat lebih senang menonjolkan diri dengan gaya seksi untuk menarik perhatian.

Kenapa sejak kebelakangan ini terlalu seksi bila muncul dalam majalah?

NOOR: Entahlah mungkin sekarang ini sudah berani sikit kot. Macam bergaya dalam majalah Mangga bila tengok balik, Noor sendiri hairan macam mana boleh jadi macam itu.

Apa yang membuatkan Noor sanggup bergambar begitu?

NOOR: Kalau nak tahu kat luar Noor memang seksi. Entahlah mungkin semasa fotografi dengan majalah Noor terlalu seronok hingga terlupa. Bila balik kampung, teruk jugalah Noor kena leter dengan mak, habis gambar itu mak koyakkan.

Maksudnya Noor tidak akan pedulikan tanggapan orang kerana fikirkan karier sahaja?

NOOR: Noor tidak boleh nak hipokrit. Noor tahu seksi tidak akan menjamin apa-apa. Noor tahu orang akan nilai kita dari segi pakaian tapi Noor lebih senang dengan cara Noor.

Apakah tujuan sebenar Noor bergambar begitu, adakah untuk mendapat peluang berlakon?

NOOR: Tidak. Sebenarnya Noor geram. Pernah sekali Noor dapat satu skrip yang menarik. Lepas itu adalah mulut-mulut yang cakap si Noor itu apa yang boleh ditonjolkan. Disebabkan sakit hatilah Noor lepas geram dengan cara begitu.

Lagipun selama ini Noor tidak pernah dapat komen apa-apa daripada orang ramai. Tak sangka bila bergaya begitu ada juga yang ambil kisah. Barulah Noor tahu kehadiran Noor dalam bidang ini ada juga pemerhati.

Betul ke khabarnya Noor sedang hangat bercinta dengan Corrie Lee , guru tari Akademi Fantasia tu?

NOOR: Noor dan Corrie Lee tidak bercinta la.

Apa komen Noor kerana ramai yang nampak Noor sering bersama Corrie Lee ?

NOOR: Kalau kata no komen macam mana?

Sejak bila rapat dengan Corrie Lee ?

NOOR: Kami mula rapat Julai tahun lepas sewaktu berlakon drama Rahsia Pohon Cemara di Cameron Highlands. Noor berlakon sebagai pembantu peribadi Sharifah Sofia sementara Corrie Lee jadi pengurusnya. Masa penggambaran kita orang tidak bercakap banyak. Lepas penggambaran barulah kita orang berhubung.

Pertama kali kita orang keluar berdua, September lalu pergi Mid Valley. Lepas itu memang kami sering keluar bersama tapi tidak ada declare apa-apa. Kalau kami bercinta, masalah akan timbul kerana perbezaan agama.

Bagaimana kalau Corrie Lee sanggup bertukar agama?

NOOR: Tak mungkin dan sekarang ini cukup sekadar Noor berkawan sahaja dengan dia. Kalau ada perasaan sayang itu tak taulah, tapi rasa-rasanya untuk bercinta dengan dia tidak mungkin.

Kalau kawan saja kenapa ke mana-mana mesti berdua?

NOOR: Noor tidak ada apa-apa dengan Corrie Lee. Masalahnya timbul salah faham kerana kalau Corrie Lee nak shooting dan tidak boleh pergi ambil skrip, dia akan kata bagi skrip tersebut pada Noor.

Maksudnya orang anggap Noor dan Corrie Lee couple?

NOOR: Itulah masalah kerana Noor dengan dia bukan kekasih. Macam mana tu. Sekarang ini biarlah masa dan takdir menentukan. Sebetulnya Noor dengan dia memang tidak ada apa-apa.

Apa yang menyebabkan Noor suka berkawan dengan Corrie Lee ?

NOOR: Dia ni jenis yang ambil berat tentang kawan-kawan. Kalau Noor tidak sihat dia yang lebih-lebih, tanya sudah pergi ke klinik atau belum.

Keluarga tahu Noor rapat dengan Corrie Lee?

NOOR: Mak Noor memang kenal Corrie Lee sebab raya dulu dia datang ke kampung bersama kawannya, Kenny.

Sekarang in apa kegiatan Noor?

NOOR: Sedang menjalani penggambaran drama sembilan episod, Cinta Semerbak Kayu Manis arahan Shireen Khuzaimi untuk RTM. Noor berlakon sebagai Nor, adik ipar kepada Eja dan isteri kepada Azman Nor.

Kegiatan lain?

NOOR: Noor akan berlakon teater anjuran Kebudayaan Selangor berjudul Zeni, arahan Kamarul A.R. Noor jadi Zeddy adik Zeni (lakonan Zila Bakarin) yang cacat dan duduk di atas kerusi roda. Akan dipentaskan di Majlis Perbandaran Petaling Jaya pada 25 hingga 27 Mac nanti. Dari mula sampai akhir duduk atas kerusi roda sahaja.

Teater lain yang mungkin Noor akan berlakon juga ialah Rubiah arahan Ahmad Tarmimi Serigar dan sebuah teater muzikal anjuran Kebudayaan Pahang, khas untuk Hari Merdeka.

Powered by Utusan Malaysia