Archive | Robert De Niro RSS feed for this section

Pujian Rosyam Lambung Aaron

28 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


WAJAH dan penampilan pelakon lelaki sejati yang memiliki pakej lengkap untuk bergelar hero Melayu.

BUKAN menjadi perkara biasa apabila aktor terkenal, Rosyam Nor memuji lelaki sejati yang kacak. Lucu dan kedengaran abnormal barangkali apabila Rosyam ‘memuja’ seseorang yang sama jantina dengan dirinya. Individu bertuah yang dimaksudkan Rosyam ialah Aaron Aziz.

Kenyataan itu diluahkan sendiri oleh Rosyam semasa berucap bagi melancarkan drama bersiri terbaru produksi miliknya, Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd., iaitu Rahsia Hati di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Hulu Klang Selasa lalu.

“Aaron bakal menjadi pelakon lelaki pelapis yang berjaya suatu hari nanti di negara ini,” demikian ulas Rosyam hingga membuatkan Aaron yang berada di hadapannya bertukar wajah, menjadi malu dan terkesima.

Aaron yang ditemui pada majlis sama bagaimanapun cukup terharu dengan pujian tinggi melangit daripada Rosyam, yang merupakan senior dalam gelanggang seni lakon tanah air.

“Saya terkejut apabila Rosyam memberitahu tentang perkara ini di depan hadirin semasa berucap dalam majlis ini.

“Secara tiba-tiba, saya terus rasa macam satu tanggungjawab yang amat berat untuk saya pikul selepas ini,” ringkas sahaja jawab Aaron yang masih terpinga-pinga dengan kenyataan Rosyam.

Dalam pada itu, Rosyam turut menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus mencipta kejayaan sebagai pelakon lelaki sejati.

Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak. Pelakon-pelakon itu benar-benar mempunyai kualiti sebagai hero Melayu ditambah dengan kejantanan mereka yang terserlah.


AARON dan Rosyam (tiga dari kanan) bersama karyawan telefilem, Rahsia Hati.

MESRA di samping isteri, Diyana Halik.

Menganggap pujian yang diberikan sebagai berita menggembirakan untuk dirinya, namun Aaron tidak sesekali terbuai dengan pujian yang dilayangkan kepadanya. Itu tekad Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz. Serius kata-katanya.

“Ia menggalakkan saya untuk bekerja lebih kuat dan melakukan yang terbaik pada setiap masa dan keadaan.

“Lantaran itu, saya berikrar untuk tidak mengecewakan harapan Rosyam yang menaruh sepenuh kepercayaan terhadap saya.

“Insya-Allah, jika semua perjalanan seni saya berjalan dengan baik dan bebas daripada sebarang kontroversi, saya rasa tidak mustahil untuk saya mencapai kejayaan kelak,” azam bapa kepada dua orang cahaya mata itu cuba meyakinkan diri.

Jauhi kontroversi memualkan

Ditanya bagaimana jejaka yang berusia 33 tahun itu mampu bertahan dalam dunia seni yang penuh gelora, tanpa menghadapi cerita-cerita sensasi, lekas sahaja balas Aaron.

“Saya tetap dengan cara sendiri dalam melayari karier seni bermula daripada dulu hingga sekarang.

“Saya ada isteri dan anak-anak. Setiap perkara yang ingin saya lakukan terlebih dahulu, saya akan terus fikir dan teringat kepada mereka yang berada di rumah.

“Faktor inilah yang menjauhkan saya daripada terlibat dengan situasi yang meletakkan saya dalam kontroversi,” terang suami kepada Diyana Halik serta bapa kepada Danish Anaqi, 5 dan Dwi Ariana, 3.


AARON memberikan impak lakonan yang tiadatandingannya dalam telefilem, Rahsia Hati.

Lantaran itu, setiap pelawaan lakonan sama ada yang menawarkan bajet tinggi mahupun rendah, tetap diterima oleh Aaron dengan hati terbuka. Alasannya, dia mempunyai perbelanjaan yang harus dilunaskan setiap bulan.

“Banyak bil yang saya kena bayar di Malaysia dan Singapura.

“Oleh itu, saya harus bekerja lebih kuat untuk menyara keluarga,” tambahnya yang dilantik menjadi duta produk kecantikan untuk lelaki oleh L’oreal Paris.

Dalam keadaan bintang Aaron yang semakin bersinar cerah di Malaysia, ia pantas membuatkan teman-teman pelakon di negara kelahirannya punya keinginan untuk mencuba nasib di negara ini.

“Mereka cakap saya sudah terkenal di sini dan ada di antara mereka yang mahu berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan sayap lakonan.

“Saya menyokong niat murni mereka, cuma saya sempat memberikan nasihat agar mereka harus ada niat yang positif terlebih dahulu sebelum memulakan satu-satu perkara.

“Kalau setakat mahu glamor dan meraih kemewahan, maka lebih baik mereka lupakan sahaja angan-angan ini. Ia tidak akan tercapai dengan mudah.

“Saya datang ke sini dengan tujuan untuk memperbaiki mutu lakonan. Popular dan kemasyhuran bukan menjadi agenda utama kepada saya.

“Hakikatnya, saya mahu memberikan kesenangan kepada isteri dan anak-anak saya kerana bidang lakonan merupakan periuk nasi saya,” jawab Aaron yang masih belajar untuk bercakap tanpa ada kedengaran telor bahasa Singapura.

Enggan berlakon teater

Bagi sesetengah pelakon yang bermula di tabir drama atau filem, mereka ada keinginan untuk melibatkan diri pula di pentas teater.

Lain pula hal dengan Aaron yang mengakui belum ada suara hati untuk berlakon dengan produksi teater.

Bukan sombong atau memilih, sebaliknya jiwa Aaron tidak bersesuaian dengan dunia teater yang sifatnya berbeza dengan lakonan dalam drama atau filem.

“Biasanya latihan untuk menjayakan teater mengambil masa yang panjang dan tidak menentu. Terus-terang, saya hanya mampu berikan 10 peratus untuk komitmen latihan yang harus dijalani oleh semua pelakon.

“Saya jenis pelakon yang akan terus menzahirkan perasaan dan watak yang diberikan apabila kamera dipacakkan di lokasi penggambaran.

“Bukan bermakna saya tidak berdisiplin, sebaliknya jika pengarah mula merakamkan babak yang diingini, saya akan berikan seratus-peratus komitmen.

“Saya jenis individu yang tidak suka berlatih secara berulang-ulang kali. Saya lebih suka meluahkan jiwa untuk babak yang sebenar.

“Biarpun begitu, saya tidak boleh cakap sesuka hati kerana mana tahu, mungkin suatu hari nanti saya tergerak hati pula untuk membabitkan diri dalam dunia teater,” sahut Aaron serius.

Sambung kontrak dengan Astro

Bulan Mac lalu, kontrak Aaron sebagai artis residen atau wajah eksklusif di saluran TV berbayar, Astro sudah tamat. Dia mengikat kontrak selama setahun dengan aktres jelita, Erra Fazira.

Tuah nampaknya terus menyebelahi Aaron apabila dia ‘dicintai’ sepenuh hati oleh pihak Astro yang menyambung semula kontraknya hingga tahun depan.

Tersenyum dalam riak penuh kesyukuran. Itu yang dapat diperhatikan apabila perkara tentang penyambungan kontrak dibicarakan kepada Aaron.

Menurutnya, dia bersyukur apabila perjanjian yang memperuntukkan dirinya untuk menghabiskan masa selama 72 jam untuk drama manakala tiga buah telefilem, berjaya disudahkan dengan jayanya.

“Tahun lalu sahaja, saya menghabiskan masa selama sembilan bulan di lokasi penggambaran untuk drama Cinta Gila dan Rahsia Hati.

“Saya risau juga sebab tidak muncul di kaca TV dalam waktu yang panjang, tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat menghabiskan tempoh 72 jam untuk drama.

“Saya rasa berbaloi dapat mengikat kontrak dengan Astro. Kini jadual saya lebih bersistematik. Saya tidak perlu lagi lari ke sana ke mari seperti sebelum ini.

“Secara tidak langsung, saya dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap karier lakonan drama atau filem,” akui Aaron gembira.

Dalam pada itu, Aaron sempat meluahkan impiannya untuk berlakon dalam karya yang cukup dinanti-nantikan selama ini.

“Saya tidak kisah ditawarkan watak gelap, tetapi saya tetap mahukan watak yang menyerupai diri sebenar seseorang individu.

“Contohnya watak Robert De Niro sebagai Al Capone. Ia lebih terarah kepada karya berbentuk autobiografi.

“Sudah sekian lama saya inginkan watak sebagai tokoh-tokoh terkenal dan tertentu,” akhiri Aaron yang sedikit terkilan kerana wajahnya dilihat tuan pengarah tidak ‘menyerupai’ rupa orang kampung dan purba sekali gus menjadi halangan untuk Aaron mencipta variasi dalam dunia lakonan.

Kosmo

Hollywood: Pelakon, Penduduk Berpesta

25 Feb

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
KEJAYAAN filem Slumdog Millionaire mencatat kejayaan besar dengan lapan anugerah termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik pada Anugerah Academy ke-81 kelmarin, turut disambut penuh gembira rakyat miskin di Mumbai, India.

Satu lorong kecil berdekatan landasan kereta api di Mumbai, bertukar menjadi satu pesta apabila mereka beramai-ramai menari dan menyanyi meraikan kejayaan filem arahan Danny Boyle yang banyak paparkan kehidupan orang miskin di Mumbai.

Barisan pelakon filem itu yang terbang dari India ke Los Angeles untuk menghadiri majlis paling prestij di Hollywood itu turut diraikan dalam acara khas selepas selesai majlis anugerah bersama pemenang lain serta tetamu undangan.

Ramai pihak menganjurkan majlis khas ini sebaik saja selesai majlis anugerah yang berlangsung di Kodak Theatre, Los Angeles, sebagai tanda penghargaan dan meraikan pemenang, walaupun dalam keadaan dunia mengalami krisis ekonomi.

Antaranya majlis anjuran Fox Searchlight di ONE Sunset di West Hollywood khusus meraikan kejayaan filem Slumdog Millionaire dan The Wrestler.

Ayush Mahesh Khedekar, 8, yang memegang watak Jamal waktu kecil, hanya minum Coca-Cola dalam tin berbeza tetamu dewasa lainnya meraikan kejayaan itu dengan champange dan minuman keras lainnya bersama hidangan koktel.

Apa yang dilalui Ayush yang tinggal di India, umpama peluang sekali seumur hidup. Ayush duduk di sofa di kelab itu sambil minum soda dalam majlis berlangsung sampai lewat malam.

“Saya sangat teruja,” komen Ayush mengenai kejayaan Slumdog Millionaire.

Katanya, ia sesuatu yang tidak diduga sama sekali. Malah seumur hidupnya tidak pernah bermimpi akan menghadiri majlis Oscar dan filem lakonannya mencatat kejayaan besar.

“Kejayaan ini tidak pernah saya jangkakan dan saya tidak pernah bermimpi berada di sini. Daniel (pengarah Danny Boyle) ada berkata, kalau saya buat bersungguh-sungguh, Oscar akan datang kepada saya. Ternyata kini ia menjadi kenyataan,” katanya.

Madhur Mittal yang memegang watak Salim, tidak melepaskan peluang mengambil minuman setiap kali pelayan wanita lalu membawa minuman.

“Ia jauh berbeza dengan kehidupan biasa saya. Saya datang dari India dan tidak pernah bermimpi berada di sini menghadiri majlis Oscar kerana hanya memegang watak kecil dalam filem ini. Ini hari paling bermakna dalam hidup saya,” katanya.

Tidak jauh dari majlis Fox Searchlight, berlangsung acara lebih meriah anjuran Vanity Fair khusus untuk bintang kelas A Hollywood di Hotel Sunset Tower di West Hollywood.

Pemenang Oscar malam itu diraikan dengan sambutan cukup meriah, apatah lagi majlis tahunan ini tidak dapat diadakan tahun lalu kerana mogok dilancarkan di kalangan penulis Hollywood. Kali ini majlis diadakan di tingkat atas hotel beraksikan panorama indah Los Angeles berbanding sebelumnya di Restoran Morton.

Antara tetamu awal yang tiba ialah Kate Winslet yang menang Aktres Terbaik melalui lakonannya dalam The Reader hadir bersama suami, pengarah Sam Mandes. Sebelah tangannya menggenggam oscar dimenangi dan sebelah lagi memegang gelas champagne sambil membalas pelukan tetamu yang tidak putus-putus mengucap tahniah.

“Britain hebat,” ucap Anthony Hopkins sambil memeluk Kate. Ternyata ucapan itu membuat Kate terkejut kerana menerima ucapan tahniah daripada bintang veteran Britain.

Tetamu lain, Jennifer Aniston bersama John Mayer, Halle Berry, Penelope Cruz (Aktres Pembantu Terbaik), Tilda Swintonm, Amy Adams, Uma Thurman, Jake Gyllenhaal, Reese Witherspoon, Robert De Niro, Tina Fey dan Josh Brolin.

Sementara itu Elton John juga menganjurkan majlis di Pacific Design Center bersama tetamu undangannya yang terkenal dan glamor. Antaranya Simon Cowell, Sharon Stone, Chace Crawford dan Carrie Underwood.

Sementara itu Jennifer Love Hewitt meraikan tetamu dalam majlis tahunan AIDS Project Los Angeles di The Abbey manakala Chevy Chase, Laura Dern serta beberapa selebriti terkenal lainnya berpesta dalam majlis gala The Night 100 Stars di Hotel Beverly Hills.

Tidak ketinggalan, Lindsay Lohan menghadiri majlis anjuran Mercedes-Benz di Montage Beverly Hills sementara Sean Penn yang menang Aktor Terbaik bersama Taraji P. Henson, Marisa Tomei, Amy Adams dan Anne Hathaway yang dicalonkan Aktres Terbaik, antara yang tiba awal di majlis yang diadakan di Governors Ball, Kodak Theatre.

Tetamu dihidangkan dengan udang kara dan udang bersama tiga tingkat kotak pencuci mulut yang disalut cokelat. Penn bersama Emile Hirsch yang turut berlakon dalam Milk dan juga bintang Twilight, Robert Pattinsoni berbual sambil menghisap rokok di luar dewan.

Harian Metro

Scorsese And De Niro Team Up Once More For Mob Film

3 Oct

LOS ANGELES: Director Martin Scorsese and actor Robert De Niro are reuniting once more in a mob film about a contract killer.

The Oscar-winning duo, who have worked together previously on a number of mob films such as “Goodfellas”, “Casino” and “Mean Streets”, will be making a movie adaptation of “I Heard You Paint Houses”, Charles Brandt’s book of the same name.

The mob memoir is based on the life of Frank “The Irishman” Sheeran, a contract killer who is reputed to have carried out more than 25 murders for the mob, including the murder of Teamsters’ union boss Jimmy Hoffa.

The book title is mob slang for contract killings and it refers to the resulting blood-splattered walls and floors after the mob murders.

De Niro, who just wrapped up filming for “Everybody’s Fine”, is set to play Sheeran in the film.

Among the crimes the hitman is alleged to have confessed to Brandt shortly before his death in 2003, is the killing of Hoffa, who disappeared in 1975 and was presumed murdered.

– CNA/sl

Channel News Asia

ASA 2005: Tak Perlu Kontroversi

19 Mar


Aznil dan Raja Azura menghidupkan suasana ASA 2005.

Dalam bidang apa sekalipun anugerah kerana kecemerlangan adalah salah satu pemangkin untuk membuat anjakan kepada yang lebih baik. Proses memberi anugerah adalah saringan yang memisahkan yang terbaik, baik, kurang baik dan buruk.

Proses ini dilakukan oleh individu bebas dan ini adalah satu kaedah untuk memberi penghargaan kepada penghasilan terbaik. Tanpa acara anugerah, yang terbaik barangkali tenggelam kepada yang kurang baik. Mungkin kerana yang terbaik tidak popular atau yang terbaik tidak ditonjolkan kelebihannya.

Anugerah berteraskan kecemerlangan sama sekali bertentangan dengan yang memilih populariti. Maka kalau ada yang tidak popular diberi kemenangan, belajarlah melihat ciri-ciri kecemerlangan yang ada pada sesebuah karya itu.

Anugerah Seri Angkasa 2005 (ASA 2005) baru saja berlalu. ASA 2005 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) adalah satu-satunya acara paling berprestij dalam industri penyiaran tempatan. Ini bukan anugerah RTM sekalipun digerakkan oleh Kementerian Penerangan.

Sebaliknya anugerah ini satu kesepakatan semua stesen radio dan televisyen tempatan. Sama ada ASA 2005 berjaya atau tidak, yang wajar menanggungnya adalah semua stesen penyiaran yang terlibat. Tidak boleh wujud stesen yang cuba lepas tangan atau menuding kelemahan kepada pihak lain.

Sebenarnya tidak ada acara penganugerahan yang paling bermakna selain ASA dalam konteks format baru yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Kadir Sheikh Fadzir. Sebelum ini ASA hanya bertaraf anugerah dalaman yang sama dengan Anugerah Skrin di TV3. Maknanya sebelum ini ASA bukan bertaraf nasional kerana mempertandingkan karya-karya di stesen RTM saja.

Memang sewajarnya Malaysia mempunyai satu penganugerahan yang bertaraf nasional dalam industri penyiaran. Kadir yang memulakan ASA 2004 tahun lalu tentunya melihat keperluan tersebut dan format baru ini adalah satu anjakan yang bermakna dalam industri penyiaran tempatan.

Dalam industri penyiaran Amerika Syarikat (AS) telah diwujudkan Anugerah Grammy. Saban tahun kita dapat melihat individu yang cemerlang dijulang dan seluruh dunia melihatnya menerusi siaran langsung ke 150 buah negara.

Pada acara ASA 2005 yang gilang-gemilang dan turut dihadiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu, stesen RTM mencatatkan bilangan trofi paling banyak, tempat kedua ialah Astro dan ketiga pula ialah TV3.

Kalau kita berfikiran matang, jumlah trofi yang dimenangi oleh RTM misalnya bukanlah satu isu. Kita kena realistik bahawa anugerah ini bukan berkonsepkan kesamarataan. Maknanya jumlah kategori dibahagi dengan jumlah stesen radio dan televisyen.

Kalau ini berlaku, tidak adalah tujuan mencari kecemerlangan dalam industri penyiaran tempatan. Tetapi sesetengah pihak sengaja membawa pemikiran khalayak supaya melihat ASA 2005 tidak telus dan RTM membolot jumlah terbanyak kerana RTM di bawah Kementerian Penerangan.

Ini pemikiran nakal yang melihat acara nasional ini daripada sisi kontroversi, membelakangkan kewujudan juri profesional yang bebas dari mana-mana stesen penyiaran. Dalam Anugerah Grammy, biarlah stesen sama ada CBS atau ABC yang memonopoli, media mereka tidak menjadikan ini sebagai isu.

Lalu jumlah kategori yang dimenangi oleh RTM bukanlah isunya. Ia hanya menjadi isu kepada pihak yang sengaja menjulingkan persepsi khalayak daripada melihat mutu kecemerlangan kepada sensasi yang basi.

ASA 2005 semakin jelas menjadi pemangkin penghayatan khalayak kepada aspek-aspek kecemerlangan. Khalayak diasuh supaya menilai lakonan terbaik, karya terbaik, juruhebah terbaik dan pelbagai jurusan lagi dari aspek kecemerlangan. Memberi anugerah kerana popular tidak akan menyumbang kepada khalayak yang “celik seni” malah semakin membuatkan khalayak “buta seni”.

* ASA 2005 lebih dirasai

Sekalipun tidak banyak publisiti diberikan kepada ASA 2005 tetapi acara ini lebih dirasai oleh khalayak. Malah kalau dibandingkan dengan Festival Filem Malaysia (FFM), ASA 2005 menjadi lebih dekat dengan orang-orang yang tidak terlibat dalam industri penyiaran.

Ini adalah satu kejayaan awal (baru dua tahun) ASA 2005. Difahamkan tahun ini jawatankuasa induk telah membahagi-bahagikan tugas kepada stesen-stesen penyiaran. Misalnya hal-ehwal promosi diberikan kepada TV3, penerbitan kepada Astro dan RTM mengendalikan jemputan tetamu-tetamu kenamaan.

Biarpun TV3 semacam terlupa untuk mempromosi ASA 2005, tetapi tidak menjejaskan keseluruhan sambutan terhadap anugerah ini. Tahun akan datang diharapkan jangan berulang lagi seperti tahun ini di mana pihak media terpaksa mencari pihak yang bertanggungjawab soal promosi. Sepatutnya mereka yang mencari pihak media untuk mendapatkan promosi.

Tentu sekali agak malang apabila ditanya mengenai ASA 2005, ada yang menjawab, “Eh ye ke kami yang buat promosi, tak tau pula le.” Ketika itu hanya tinggal seminggu saja lagi ASA 2005 berlangsung di KLCC. Tidak mengapa, bagi kami di media, ini satu pengalaman supaya kami lebih memahami bagaimana orang lain bekerja.

Astro telah memperlihatkan komitmen yang hebat. Siaran langsung ke semua stesen televisyen dan radio itu adalah hasil kerja warga Astro. Acara malam kedua iaitu malam kemuncak ASA 2005 terserlah gemilangnya.

* Wan Hanafi – Safura

Aktor Terbaik Wan Hanafi Su dan Aktres Terbaik Safura Yaacob bagi sesetengah orang, mereka ini tidak begitu popular. Malah mereka jarang muncul di layar kaca rumah kita.

Tetapi jangan lupa bahawa Wan Hanafi antara pelakon terbaik yang pernah kita miliki. Di kalangan rakan-rakan pelakon teater, Wan Hanafi digelar Al Pacino atau Robert De Niro.

Di pentas teater Wan Hanafi diingati dengan pementasan Anak Tanjung arahan Datuk Noordin Hassan. Dalam ASA 2005, Wan Hanafi dipilih kerana kecemerlangan lakonannya menerusi Anak Penarik Beca yang disiarkan di RTM.

Sebenarnya Wan Hanafi bukan orang baru. Maka kemenangan Wan Hanafi boleh menyuntik motivasi kepada pelakon muda untuk menjejaki beliau.

Safura pula sebelum ini lebih dikenali sebagai penyanyi rakaman dan kelab. Safura juga bukan sembarangan. Beliau adalah pelakon pilihan Dr. Anuar Nor Arai untuk watak utama teater Rokiah Ronggeng di Istana Budaya.

Dr. Anuar seorang pengarah yang sangat pemilih. Banyak tertanya-tanya kenapa beliau memilih Safura untuk watak seberat Rokiah dalam teater noir pertama di negara ini.

Safura memenangi aktres terbaik menerusi lakonan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Perempuan arahan Jurey Latif. Drama ini muncul sebagai drama terbaik dan pengarah terbaik.

* Prema yang versatil

Malam itu tidak banyak yang mengenakan pakaian tradisional. Banyak memilih pakaian moden yang kelihatan seksi dan kelihatan macam di Hollywood. Tetapi deejay radio KL FM, Prema memakai sari.

Prema yang memenangi Anugerah Deejay Radio Wanita Terbaik bukan orang baru dalam dunia penyiaran. Malah namanya sinonim dengan KL FM yang dulunya dikenali dengan Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL).

Mungkin ada yang bertanya di mana deejay-deejay yang sekarang ini lebih popular malah menyaingi artis? Kenapa mereka tidak menang?

Jawapannya tentulah kurang menepati kriteria untuk mendapat deejay terbaik. Prema memang tidak popular malah tidak berasa dirinya macam artis. Tetapi Prema mencurahkan komitmen sebagai deejay, bukan sebagai artis.

* Aznil – Raja Azura

Astro membuat pilihan tepat memilih pengacara Aznil Haji Nawawi dan Raja Azura mengemudikan ASA 2005. Bayangkan kalau tanpa kedua-dua “penghibur” ini di atas pentas, terasa suram juga acara ini.

Komitmen Aznil dan Raja Azura melampaui juruacara. Kalau juruacara sekadar membuat pengumuman tetapi mereka penghibur. Pasangan pengacara ini sebenarnya membuat persiapan untuk kelihatan “hidup” semasa di depan penonton.

Malah kedua-dua mereka memberikan hiburan yang lebih baik daripada nyanyian sesetengah artis pada malam ASA 2005 itu. Penonton rasa terhibur dan ketawa tanpa disengajakan.

Tetapi tidak semua yang boleh melakukan kerja mengacara sambil menghiburkan penonton. Banyak yang jadi merapu apabila mahu menjadikan majlis kelihatan santai. Tetapi majlis santai macam ASA 2005 bukan merapu kerana Aznil dan Raja Azura merancang persembahan secara teliti.

* Tragedi di karpet merah

Kita pun nak karpet merah juga? Seingat kita, karpet merah adalah tradisi Anugerah Academy di Hollywood sana. Tetapi tidak mengapa, asalkan kita tidak menjadi Hollywood sudahlah.

Berdiri di tepi karpet merah di KLCC malam itu terasa macam berada di Anugerah Academy. Aktres dan aktor termasuk personaliti televisyen bergaya hebat. Glamourous terpancar di sini dan kemilau singgah hingga ceruk desa menerusi siaran langsung di semua stesen televisyen kita.

Artis dan personaliti lelaki tidak begitu bergaya kalau dibandingkan dengan yang wanita. Lelaki hanya memakai kot dan seorang dua memakai batik. Nampak kemas dan kacak.

Tetapi yang berfesyen sakan adalah aktres dan personaliti wanita. Kalau ada “mat saleh” tersesat di KLCC malam itu, tentu dia ingat sudah berada di Anugerah Academy.

Pakaian dan fesyen tidak ubah yang dipakai pada Anugerah Academy. Bayangkan pelakon veteran Norlia Ghani pun melaram juga malam itu dengan baju yang mempamerkan bidang dadanya.

Sebelum ini banyak yang riuh-rendah apabila Sofia Jane berkemban dalam filem Perempuan Isteri dan Jalang. Malah tidak kurang juga yang marah sebab Ida Nerina berkemban dalam filem Sepet.

Tetapi pada ASA 2005 tidak kurang juga yang memilih fesyen kemban. Cuma kelihatan lebih moden dan dimaafkan kerana mereka berkemban di atas karpet merah.

Tahun depan mungkin artis-artis wanita kita boleh diberi masa yang cukup untuk memilih fesyen yang sesuai dengan majlis anugerah bertaraf nasional ini. Tahun ini mungkin ada yang tergesa-gesa lalu memakai apa saja yang lintas di depan mata.

Utusan Malaysia