Archive | Helven RSS feed for this section

Adik-Beradik Sedia Khidmat Urut Badan, Kaki Demi Kebajikan

7 Aug

OlehNorhaiza Hashim

HAMPIR setiap minggu, para terapis syarikat spa, Mind N Body, ‘turun padang’ mengurut badan dan kaki golongan kurang berupaya atau susah di rumah-rumah kebajikan dan kelab masyarakat (CC) pada kadar bayaran yang amat rendah.

Bagi kebanyakan peniaga, ia mungkin satu kerja yang melecehkan.

Tetapi tidak bagi para pemilik Mind N Body, Encik Yusoff Hussin, dan kakaknya, Cik Ramlah Hussin.

Mereka merasakan satu nikmat menyediakan khidmat urut badan dan kaki demi kebajikan.

Menurut Encik Yusoff, Mind N Body banyak terlibat dalam beberapa kegiatan anjuran Woodlands CC, Boon Lay CC dan Tanjong Pagar CC.

Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila sebuah rumah bagi pesakit tenat menghubungi mereka untuk mengurut seorang pesakit di sana.

‘Apabila sampai di sana, kami mendapat tahu bahawa pesakit itu adalah seorang pesakit barah yang hanya menunggu masa,’ kata Encik Yusoff.

Pada 16 Ogos nanti, Mind N Body akan menaja sebuah kumpulan band, Helven, untuk mengadakan konsert mini di Meranti Home.

Selain melakukan kerja-kerja kebajikan, syarikat itu juga pergi ke lokasi syarikat-syarikat korporat seperti Chiltern House dan Surbana untuk menyediakan khidmat mereka.

Ia memberikan manfaat kepada perniagaan mereka kerana ia merupakan satu alat pemasaran yang amat berkesan untuk usaha niaga mereka.

‘Setiap kali kami ‘turun padang’, kami akan membawa terapis-terapis kami dan menyediakan katil dan tempat duduk untuk menjalankan urutan. Kami juga tidak lupa meletakkan bau-bauan aromaterapi seperti berada di dalam kedai.

‘Bagi kami, ia merupakan satu peluang bagi kami mendekati bakal pelanggan kami. Kami boleh berbual dengan mereka dan mereka dapat merasakan khidmat kami dahulu sebelum mereka memutuskan untuk menjadi pelanggan tetap kami,’ kata Encik Yusoff.

Hampir 60 peratus daripada mereka akhirnya menjadi pelanggan Mind N Body yang ditubuhkan sejak 2002 di Bukit Timah Plaza.

Syarikat itu mempunyai seorang terapis wanita dan dua terapis lelaki.

Janji temu telefon perlu dibuat terlebih dahulu bagi mendapatkan khidmat mereka.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi 9061-1407.

Cyberita