Archive | Aziz Satar RSS feed for this section

Anugerah Seniman Timbul Pertikaian

7 Apr

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

BANYAK perkara yang tidak kena dengan penganjuran Anugerah Perdana Seniman 2009 (APS09) yang berlangsung selama tiga hari bermula 4 April hingga semalam di Kuching, Sarawak .

Ini kali keempat majlis anugerah anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) diadakan, selepas di Alor Setar, Kedah, Perlis dan Jakarta, Indonesia.

Perkara ini turut menjadi bualan dalam kalangan 180 delegasi membabitkan beberapa artis veteran yang didatangkan khas dari Singapura. Antara rungutan dan rasa tidak puas hati ahli rombongan membabitkan pengurusan dan penyeliaan yang menimbulkan banyak masalah kepada mereka.

Tidak kurang ada beberapa anugerah diberikan pada malam itu menjadi pertikaian dengan beberapa pihak berkata ia majlis untuk seronok sendiri.

Ia bermula apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diberikan Anugerah Khas Perdana Bintang Seniman Sokongan dan Bantuan Dalam Memartabatkan Industri Filem Tempatan.

Menurut mereka, anugerah itu tidak seharusnya diberikan kepada Finas kerana ia sudah menjadi tanggungjawab badan kerajaan itu membantu penggiat filem sekali gus memastikan industri itu terus hidup dan subur.

Begitupun paling hangat diperkatakan apabila Presiden Seniman, Datuk Mustapha Maarof sendiri diberikan anugerah tertinggi iaitu Anugerah Perdana Seniman Pencapaian Abadi.

Menurut kenyataan yang dicatatkan Bendahari Seniman, Abu Bakar Omar, Mustapha pada peringkat awalnya enggan menerima anugerah itu atas tiga sebab. Pertamanya pembabitan dan sumbangannya dalam bidang seni tidak seberapa jika dibandingkan dengan penerima anugerah sama sebelumnya.

Kedua, Mustapha beranggapan dia sebagai presiden dan sudah tentu ia akan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak apabila menerima anugerah tertinggi pada majlis anjuran sendiri.

Mustapha tidak mahu dianggap seperti masuk bakul angkat sendiri memandangkan Anugerah Perdana Seniman adalah cetusan ideanya sendiri. Seharusnya jawatankuasa pemilihan penerima anugerah memikirkan semula pendapat yang diberikan Mustapha terhadap anugerah tertinggi yang mahu diberikan kepadanya kerana apa dinyatakan adalah benar.

 

 

Begitu pun majlis yang berlangsung di Stadium Perpaduan itu berjalan lancar dengan penerima anugerah lain menghargai usaha dilakukan Seniman.

Berlaku kejutan pada malam itu apabila tetamu kehormat, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika menerima penghargaan Anugerah Perdana Seniman Agung P Ramlee, APS09 mengumumkan kerajaan negeri Sarawak menganugerah Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak membawa gelaran Datuk Amar Bintang Kenyalang kepada Seniman Agung itu.

Menerima anugerah itu bagi pihak Tan Sri P Ramlee adalah warisnya yang juga dramatis, Dian P Ramlee.

Ditemui selepas majlis itu, Dian berkata dia terharu dan tidak menyangka apabila dipanggil untuk tampil ke pentas dan menerima anugerah diumumkan Ketua Menteri Sarawak untuk arwah bapanya.

“Secara jujurnya saya tidak mengetahui apa-apa sebaliknya disuruh datang kerana ada pengumuman hendak dibuat. Mereka tidak memberitahu langsung mengenai anugerah kedua tertinggi daripada Kerajaan Negeri Sarawak kepada arwah bapa.

“Sebagai warisnya sudah tentu saya terharu dan bangga dengan anugerah yang diberikan dan saya tahu ia diberikan kerana sumbangan besar Allahyarham terhadap perkembangan seni negara mahupun dalam kalangan masyarakat di Bumi Kenyalang ini. Malah umum tahu Tan Sri Abdul Taib sendiri adalah peminat setia karya Allahyarham.

“Anugerah ini akan saya serahkan kepada Arkib Negara dan diharapkan dapat dipamerkan di Muzium Peringatan P Ramlee untuk tatapan peminat setianya,” katanya.

Anita Sarawak yang pernah mengharumkan rantau Nusantara dengan bakatnya apabila berjaya mencipta nama sebagai penghibur terkemuka di Ceaser Palace, Las Vegas, Amerika Syarikat dan mengadakan konsert jelajah bersama penghibur Asia lain tahun lalu turut terharu dengan penghargaan diberikan Seniman kepadanya.

Ditemui sebaik menerima anugerah yang disampaikan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin, Anita yang menerima anugerah bagi kategori Pencapaian Cemerlang Penyanyi Bertaraf Antarabangsa berkata, dia gembira dan tersentuh dengan penghargaan diberikan.

“Sepanjang pembabitan sebagai penyanyi, saya tidak pernah mengharapkan sebarang imbuhan. Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai yang terbaik. Selagi bergelar penyanyi, saya terus belajar untuk memperbaiki kelemahan diri. Begitupun, saya berterima kasih kepada Seniman atas anugerah ini,” katanya

Yasmin pula yang menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Filem Globalisasi, tidak dapat menahan rasa terharu apabila menerima anugerah dalam kalangan artis yang selama ini amat diminati dan dihormati.

“Bayangkan bersama saya menerima anugerah ini, Datuk Aziz Satar, yang memang saya minati dan saya panggil Pak Guru. Saya banyak belajar daripada filem yang pernah dia lakonkan. Ini satu penghargaan cukup manis,” katanya yang filem terbaru arahannya Talentime baru ditayangkan.

Turut sama diiktiraf Allahyarham Sudirman bagi kategori Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan. Menerima bagi pihak Allahyarham, anak saudaranya, Fazren Adri.

Aziz pula menerima anugerah Pencapaian Cemerlang Komedi Sepanjang Zaman.

Bagi Aziz atau lebih senang dengan panggilan Pak Aziz , walaupun sebelum ini pernah menerima beberapa anugerah, baginya pengiktirafan yang baru diterimanya itu adalah pengalaman sangat manis.

“Saya gembira kerana anugerah ini diberikan rakan saya yang berada dalam Seniman. Sepanjang 60 tahun pembabitan dalam industri perfileman rasanya ini antara kenangan paling manis apabila bakat yang selama ini saya curahkan diiktiraf orang filem sendiri. Terima kasih saya ucapkan kepada mereka atas penghargaan ini,” katanya.

Tidak ketinggalan penggiat filem muda turut diiktiraf Seniman terutama apabila membabitkan bidang teknologi dan kepakaran. Untuk itu anugerah Pencapaian Cemerlang Pengarah Filem Visual Effect diberikan kepada pengarah Cicak-man, Yusry Abdul Halim.

“Pada saya anugerah ini lebih bermakna kerana ia datang daripada orang filem sendiri. Bukan saya tidak hargai anugerah yang datang atas sokongan peminat, tetapi apabila orang filem sendiri yang mengiktiraf karya yang dihasilkan sudah tentu ia lebih bermakna kepada saya secara peribadi.

“Bermakna usaha dilakukan KRU Movies untuk mempertingkatkan industri filem menggunakan kecanggihan teknologi terkini tidak dipandang sepi. Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya buktikan dengan kepakaran teknologi yang ada, kita mampu menghasilkan filem dengan lebih baik,” katanya yang baru selesai menghabiskan kerja produksi filem terbaru, Magica.

Penerima anugerah lain, Seniwati Mariani Ismail yang mendapat anugerah Penghargaan Khas Bidang Nyanyian dan Lakonan, David Teo (Pencapaian Cemerlang Bidang Penerbitan Filem Malaysia Yang Konsisten dan Box Office), James Lee (Pencapaian Cemerlang Pengarahan Filem Generasi Baru) dan Habsah Hassan (Pencapaian Cemerlang Penulis Lirik Terunggul) .

Majlis diserikan dengan persembahan nyanyian lagu P Ramlee gabungan artis veteran dan 80-an seperti Hashimah Yon, Salwa Abdul Rahman, Azlina Aziz, Liza Aziz, Musley Ramlee, Ahmad Fauzee, Nassier Wahab dan Hail Amir.

Menggegarkan pentas, persembahan Impak Maksima menampilkan beberapa pelakon asal drama muzikal itu seperti Zarina, Dina dan kumpulan Fabulous Cat.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Borak Pak Nil: Virus Yang Tak Mati

29 Mar

Rap
ASSALAMUALAIKUM. Kadangkala Paknil tertanya-tanya juga, ada ke orang membaca coretan Paknil. Yalah, Paknil bukan artis top yang banyak aktiviti seni yang nak dikongsi bersama.

Lagipun, Paknil seboleh mungkin tidak mahu menggunakan ruangan ini untuk mempromosi diari seni Paknil. Paknil benar-benar mahu memanfaatkan kepercayaan yang diberi untuk berkongsi fahaman seni Paknil.

Selama ini Paknil luahkan pendapat bila ditanya wartawan mengenai sesuatu isu saja, tetapi kali ini Paknil boleh terus memberi pendapat mengikut kacamata Paknil.

Secara tidak langsung pembaca juga dapat mengenali diri Paknil secara dekat, sekali gus mengetahui arus fahaman seni Paknil.

Paknil bukan orang bijak pandai dalam bidang hiburan, tetapi Paknil ada haluan pendapat tersendiri. Senang cerita, ini adalah pendapat peribadi Paknil dan tidak mewakili industri.

Kadangkala hairan juga dengan dunia hiburan tempatan yang pada sesetengah aspek masih di takuk lama. Rasanya sebelum terbabit dalam bidang seni lagi Paknil didedahkan dengan masalah sama.

Masalah ketepatan waktu umpamanya. Masih ada syarikat rakaman, syarikat filem, syarikat produksi, penganjur pertunjukan, stesen TV dan radio mengadu masalah ketidaktepatan waktu di kalangan artis. Kalau orang yang mendengar pun dah muak, apalagi mereka yang mengalaminya.

Yang musykilnya, bukan seorang dua artis berperangai macam ini, tetapi berlambak sehinggakan kalau ingin membuat kajian mengenai sikap manusia datang lambat, bidang hiburan inilah lubuknya.

Paknil tidak tahu pula kadar serius penyakit ini dalam bidang lain, tetapi kalau dalam bidang hiburan memang teruk. Ada yang sudah tidak larat untuk mengubati penyakit ini dan terpaksa mengalah dengan keadaan. Hai, bermaharajalelalah artis sedemikian.

Sebenarnya ketepatan waktu adalah kunci kejayaan pada semua pekerjaan, lebih-lebih lagi yang hanya bermodalkan bakat. Kita menjaja bakat kita dan sudah tentu ada pesaingnya.

 

 

Kalau daripada segi ekonomi, bila ada tawaran yang banyak, maknanya pasaran mempunyai pilihan. Kalau produk itu tidak menepati spesifikasi diperlukan, jangan sedih jika produk itu kecundang di pasaran.

Wah, Paknil cakap macam orang yang berjaya sangat dalam bidang hiburan, kan? Anggaplah apa saja, tetapi Paknil rasa berhak menyuarakan perkara yang ramai pihak lepas tangan untuk menegur kerana Paknil antara mangsa.

Paknil berkawan dengan ramai wartawan, Paknil bekerja di stesen TV, Paknil juga cari makan di stesen radio. Paknil turut terbabit dengan majlis korporat.

Paknil juga berlakon dan menyanyi sikit-sikit. Paknil pernah juga mengarah. Kiranya banyak juga cabang seni yang Paknil ikuti dan percaya atau tidak, semuanya ada barah ini!

Barah? Sampai begitu sekali tuduhan Paknil? Yalah, kalau sudah nama pun penyakit yang sukar diubati, barah sajalah istilah yang sesuai. Kalau tidak diubati, semakin melarat jadinya.

Pernah ketika mula Paknil membabitkan diri dalam bidang lakonan filem iaitu hampir 15 tahun dulu, Paknil jadi serik untuk berlakon gara-gara tabiat kumpulan remaja yang turut berlakon ketika itu yang tidak pernah sekali pun datang seperti dijadualkan.

Jadual penggambaran jadi haru-biru gara-gara mereka yang tidak berdisiplin ini. Kru filem, pengarah dan pelakon lain semua naik berang dengan sikap kumpulan ini, tetapi apakan daya sebab projek filem ini harus diteruskan. Jika tidak, syarikat filem akan mengalami kerugian lebih besar.

Ini bukan cerita rekaan, tetapi kisah benar yang berlaku pada Paknil. Pernah satu ketika kami dijadualkan untuk penggambaran di sebuah disko. Penggambaran dilakukan pada waktu siang kerana disko beroperasi sebelah malam.

‘Call time’ (istilah filem untuk waktu mula kerja) semua pelakon dan kru adalah jam 9 pagi. Jam 8 pagi lagi Paknil dah tercegat depan disko bersama ramai pelakon tambahan. Kru pun ada yang belum datang lagi. Tepat jam 9 pagi, disko itu dibuka oleh pekerjanya dan semua yang terbabit sudah tiba.

Muka kumpulan remaja itu masih tidak timbul-timbul. Penggambaran tidak boleh dimulakan kerana adegan ini memerlukan mereka. Ketika ini telefon bimbit baru diperkenalkan dan artis ini antara yang mampu memilikinya. Sayang, kecanggihan teknologi yang ada tidak berfungsi sepatutnya.

Penatlah pihak produksi menelefon tetapi tidak berjawab. Yang mencari di rumah mereka juga sudah diusahakan tapi hampa. Mahu tak mahu, kami kena juga tunggu.

Mungkin kalau lewat satu jam tidaklah menjadi bahan cerita Paknil hari ini, tetapi mereka lewat sembilan jam! Jam 6 petang baru muncul tanpa rasa bersalah.

Mekap pelakon lain pun sudah luntur. Begitu juga ‘mood’ kami. Kehadiran mereka bukan lagi menjadi berita gembira, tetapi disambut dengan rasa menyampah yang maksimum.

Memburukkan lagi keadaan, pengurusan disko tidak benarkan kami melakukan penggambaran lagi kerana perniagaan mereka harus mula beroperasi.

Sewa disko masih harus tetap dibayar. Bayaran pelakon tambahan yang hadir harus tetap dilunaskan. Kami pelakon lain terpaksa menerima hakikat bahawa masa penggambaran semestinya dipanjangkan.

Dari situ timbul beberapa insiden pergeseran sesama kami dan suasana di lokasi juga tidak seharmoni diharapkan. Akhirnya filem itu dibuat dengan ‘cincai bocai’ dan gagal di pasaran!

Iktibar paling nyata dapat dilihat daripada peristiwa ini, kerjaya kumpulan itu berkecai dan terkubur. Walaupun pernah berusaha membuat ‘come back’, sejarah lampau menjadi rujukan kepada semua yang diperlekehkan sehingga usaha mereka untuk muncul kembali tidak diendahkan.

Kesannya menyebabkan Paknil serik untuk berlakon filem, walaupun ramai produser menawarkan watak untuk Paknil dengan bayaran lumayan.

Setelah sekian lama tidak terbabit dengan filem, Paknil secara tiba-tiba teringin berlakon filem semula dan ketika itu Paknil sangkakan mungkin pelakon kita kini berubah dan jauh lebih profesional.

Rasanya pembaca pun boleh tahu filem apa yang Paknil maksudkan sebab Paknil bukan banyak berlakon filem. Tersangatlah sedih di hati Paknil apabila rupa-rupanya penyakit ini masih menular dan tenat.

Pelakon yang berbeza tetapi masalah disiplin yang masih sama. Lebih teruk bila kami menanti kehadiran pelakon utamanya lebih 10 jam! ‘Call time’ jam 9 pagi, tetapi pelakon itu muncul jam 7.30 malam! Ewah, macam berlumba nak cipta rekod peribadi pula mereka ini.

Paknil rasa sedih sangat sebab penggambaran membabitkan pelakon lain seperti Arash Mohammad, Saharuddin Thamby di samping pelakon berpengalaman Zulkifli Zain, M Rajoli dan Datuk Aziz Satar berjalan pada Ramadan. Kasihan juga pada pengarah yang asyik meminta maaf kepada kami.

Paknil tertanya-tanya, sampai bila penyakit ini akan berterusan dan tiada siapakah yang boleh mengubatinya? Industri perfileman kita perlu penggiat yang komited untuk maju. Jumlah pelaburan bertambah besar dan begitu juga risiko perniagaan. Jadi, jangan disusahkan dengan disiplin pelakon yang buruk.

Telinga Paknil juga sudah birat mendengar wartawan mengeluh dengan perangai artis datang lewat yang seolah-olah tiada penghujungnya.

Lebih teruk bila ada juga yang langsung tidak muncul dan gagal dihubungi. Tercegatlah wartawan dan jurufoto menanti ‘artis hebat’ ini dengan penuh setia demi kerana tugas. Sudahnya, bayang pun tidak muncul.

Yang boleh Paknil katakan, sehebat mana sekalipun bakat artis itu, tetapi kalau terjangkit dengan penyakit datang lewat dan MIA (Missing In Action), kelamlah masa depan artis itu. Silap-silap tidak sempat bernyawa pun kariernya.

Dunia hiburan kita ini kecil saja dan setiap perkara yang berlaku pasti cepat tersebar. Bagaimana mungkin artis itu ingin cari makan bila cerita buruknya diketahui ramai?

Secara sombong, mungkin artis itu boleh menyangkakan dirinya kini menjadi pilihan selera peminat, tetapi kita kena berdiri di bumi yang nyata. Setiap yang hebat itu akan pudar dan bila peminat berjumpa dengan yang baru dan lebih relevan, dia mungkin disisihkan.

Ketika itu, penyesalan tidak berguna lagi dan akan dapat kita saksikan episod baru dalam sandiwara kehidupan artis itu. Episod yang bertajuk: Mengemis Sesuap Nasi.

Maaf jika tersinggung. Malah, ingatan ini dibuat untuk diri Paknil juga. Wassalam.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Tiada Usaha Pulihara Studio Jalan Ampas

6 Mar

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

Rap
MESKIPUN bagi kebanyakan pengunjung Jalan Ampas, Singapura, kewujudan sebuah bangunan terbiar usang tercatat No 8, dianggap mencacatkan pemandangan. Sedangkan di tapak itulah suatu ketika dahulu gah sebagai studio penggambaran filem Melayu yang menyimpan pelbagai kenangan dan menjadi gelanggang melahirkan seniman tersohor tanah air.

Studio Malay Filem Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura milik Shaw Brothers beroperasi selama 19 tahun sebelum ditutup pada 1967.

Mengikut sejarah, ia dibangunkan dua beradik, Runme dan Run Run Shaw di kawasan seluas 40,000 meter persegi. Studio itulah yang melahirkan bintang ternama seperti Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee dan rakan seangkatannya termasuk Datuk Aziz Satar, S Shamsuddin, AR Tompel, Datuk Sarimah, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Jamil Sulong serta ramai lagi.

Malah, di situ juga banyak filem lama yang kekal popular dan menjadi bahan bualan masyarakat sehingga kini, terutama koleksi filem lakonan dan arahan P Ramlee menjalani penggambaran.

Bagaimanapun, pemandangan serba kekurangan bangunan berkenaan mengguris perasaan terutama peminat filem Melayu klasik dan artis veteran yang mengunjungi kawasan itu.

Hanya terdapat sebuah batu memorial didirikan di depan studio berkenaan tetapi tiada sebarang usaha dijalankan di kawasan berkenaan termasuk mengekalkan identiti dan warisan studio berkenaan.

Lokasi bersebelahan bangunan studio berkenaan sudah dibangunkan termasuk kelihatan sebuah pusat penjagaan orang tua dan barisan bangunan rumah kedai yang belum beroperasi.

Persatuan Seniman Malaysia, Datuk Mustapha Maarof, berkata sumbangan studio berkenaan tidak seharusnya dilupakan kerana studio berkenaan yang pernah dilabelkan sebagai ‘Hollywood Filem Melayu’ ketika zaman kegemilangannya pada era 1950-an dan awal 1960-an.

Menurutnya, studio berkenaan terpaksa ditutup pada 1967 atas alasan tidak ada lagi sambutan terhadap filem Melayu di Singapura, selain kekurangan bakat baru.

Ini disebabkan ramai seniman dan seniwati filem Melayu ‘lari’ ke Kuala Lumpur berikutan isu politik apabila Singapura terpisah dari Malaysia.

“Apabila menjejak kaki ke studio berkenaan, perasaan yang kami (artis veteran) alami sukar diungkapkan kerana ia tempat mencari makan, menunjukkan bakat dan pelbagai kenangan manis dilalui bersama ketika penggambaran sesuatu filem.

“Antara pengalaman saya di studio berkenaan ialah ketika menjalani penggambaran filem Hang Tuah pada 1956 bersama Tan Sri P Ramlee.

“Kami mendapati keadaannya sudah banyak berubah termasuk barangan lama seperti peralatan penggambaran yang mempunyai nilai sejarah dibiarkan berlapuk. Ia sepatutnya dipulihara sebagai warisan sejarah kerana peranan pentingnya dalam industri perfileman serantau,” katanya.

Sementara itu, artis veteran, Ahmad C, 78, berkata, beliau memulakan kerjanya sebagai pembantu pejabat di studio berkenaan termasuk menghantar mesej kepada artis mengenai jadual penggambaran dari lokasi berkenaan ke sesuatu tempat dengan hanya menaiki basikal.

Menurutnya, biarpun sudah lama tidak mengunjungi studio berkenaan akibat menghidap lelah, pelbagai peristiwa dan kenangan di studio Jalan Ampas terpahat di fikirannya selama-lamanya.

“Ramai yang tertanya bagaimana terdapat perkataan C di belakang nama saya. Ceritanya bermula apabila pengarah sukar memberi arahan kerja di studio apabila terdapat tiga pekerja bernama Ahmad. Oleh itu pengarah berkenaan meletakkan huruf di penghujung nama setiap kami termasuk Ahmad A, Ahmad B dan diikuti nama saya Ahmad C.

“Saya juga mempunyai pengalaman berlakon dalam filem Seniman Bujang Lapok apabila pengarah Ahmad Nesfu menghalau ‘budak tiga ekor’ Bujang Lapok, saya mencelah dengan secebis kertas, “Tuan Director, ini tiga orang tak tahu pasal shooting!”.

“Lebih sayu mengenangkan pahit getir dilalui untuk menyara hidup sesudah Studio Jalan Ampas di Singapura ditutup. Sejak itu saya melakukan apa saja untuk mencari rezeki sehingga kini ‘tersadai’ di Tanjung Buai, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor,” katanya ketika ditemui di kediamannya di rumah pangsa berhampiran Tampines, Singapura, baru-baru ini.

Harian Metro

Sallehuddin Memukau, Surni Tak Sangka Menang

16 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

TUAH ternyata berpihak kepada peserta Selangor, Sallehuddin Hassan, 46, dan Surni Sulasan, 32, (Sabah) apabila menjuarai kategori masing-masing dalam saingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

TUAH ternyata berpihak kepada peserta Selangor, Sallehuddin Hassan, 46, dan Surni Sulasan, 32, (Sabah) apabila menjuarai kategori masing-masing dalam saingan akhir Bintang Nostalgia Klasik Nasional di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, malam Sabtu lalu.

Persembahan Sallehuddin ternyata memukau penonton selain menarik perhatian juri dengan lenggok tari irama Melayu asli selain mengimbau nostalgia llagu klasik. Bapa kepada tujuh cahaya mata itu menyampaikan lagu Tiada Sangka yang dipopularkan S Effendy. Mengulas kemenangan itu, Sallehuddin yang pernah memenangi tempat kedua dalam pertandingan lagu-lagu keroncong peringkat negeri Selangor berkata penyertaan secara suka-suka ternyata membawa tuah kepadanya.

“Sebenarnya saya memasuki pertandingan ini kerana dipaksa bapa mentua. Jika tidak kerana dipaksa, saya tentu tidak menyertai pertandingan ini. Setiap kali terbabit dalam nyanyian, saya pasti mempamerkan yang terbaik. Saya bersyukur kerana tuah memihak kepada saya apabila memenangi pertandingan ini.

“Sebelum ini, saya hanya menyertai beberapa pertandingan kecil dan pernah beberapa kali memenanginya. Saya sendiri tidak menyangka dapat menang pertandingan kali ini. Saya meminati bidang nyanyian sejak zaman kanak-kanak lagi,” katanya yang pernah menyertai persembahan kebudayaan di Indonesia anjuran Kementerian Perumahan Malaysia beberapa tahun lalu.

Bagi peserta termuda, Surni Sulasan yang menyampaikan lagu Ikatan Janji menyifatkan kejayaan itu di luar jangkaan memandangkan menerima saingan sengit daripada peserta yang mengambil bahagian.

“Saya bertuah kerana membesar dengan lagu irama asli dan klasik. Saya juga mengagumi Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan Seniwati Saloma. Kemenangan ini hadiah untuk keluarga yang sentiasa memberi galakan penyertaan saya dalam pertandingan ini. Malah, hampir semua anggota keluarga saya sebenarnya meminati bidang nyanyian,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Saingan tempat kedua dimenangi peserta Kedah, Azmi Sulaiman, 46, yang menyampaikan lagu Perasaan, Mohd Rezal Ahmad, 34, (Cinta Palsu) manakala naib juara wanita, Rosmah Senggari @ Basar, 34, (Janji Membawa Akibat) dan ketiga, Fadilah Che Ros, 41, (Kasih Hilang Sekejap). Hadiah disampaikan pelakon veteran, Datuk Aziz Satar dan Datuk Maria Menado.

Sementara kategori persembahan terbaik dimenangi Azmi Sulaiman. Hadiah disampaikan Presiden T Z Emas Holding Sdn Bhd, Tengku Zaini Raja Baharudin.

Pertandingan anjuran stesen radio, Klasik Nasional di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) ini, menampilkan bakat pengacara Haris Mat Nor dan Sofiah Abdullah yang mengendalikan pertandingan membabitkan 12 peserta yang berjaya dicungkil daripada peringkat saringan sejak Disember sehingga Januari lalu.

Turut bersaing dalam pertandingan yang julung kali membuka penyertaan kepada peserta 30 tahun ke atas itu ialah Mohd Tarmizi Kassim (Cincin Belah Rotan), Aina Syafiah Abdul Hamid (Cinta Pandang Pertama), Mohd Razip Kadir (Bujang Dara), Norhasmah Ibrahim (Sejak Ku Bertemu Pada Mu), Saidin Abdullah (Ruhaidah) dan Siti Rafiah Wahid (Asmara Bertemu).

Sementara itu, Pengawal Radio Klasik Nasional, Johari Selamat, berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan dan perjalanan pertandingan. Menurutnya, sebelum ini pertandingan berkenaan hanya dibuka bagi kategori peserta berusia 16 hingga 30 tahun. Begitupun atas permintaan menggalakkan, pihaknya bersetuju mengubah format kategori dan memberi peluang kepada orang ramai khususnya peminat stesen radio itu sendiri untuk mengambil bahagian.

“Ini sebahagian daripada usaha kami menghargai sokongan pendengar. Kami berharap dengan penganjuran beberapa aktiviti termasuk pertandingan ini memberi ruang yang lebih erat di antara pihak pengurusan radio dan pendengar. Di samping mencungkil bakal nyanyian, penganjuran pertandingan ini secara tidak langsung dapat menggalakkan orang ramai memulihara dan meminati lagu asli,” katanya.

Persembahan peserta akhir diadili juri profesional iaitu Datuk Ahmad Nawab, Datuk Johari Salleh, Datin Fatimah Huri, Mohd Anip Abdul Majid dan Mohd Asnawi Mutaal selaku Ketua Juri.

Penonton turut dibawa mengimbau lagu nostalgia menerusi persembahan artis popular seperti Ahmad Fauzee, Salwa Abd Rahman, Anis Salwa (Bintang Klasik Nasional 2007), Muhaizam Ahmad (Bintang Klasik Nasional 2007), Iffa Izzati (Bintang Klasik Nostalgia 2008), R Ismail, Fatimah M Amin dan penampilan istimewa Tengku Zaini Raja Baharudin.

Persembahan turut diserikan dengan penampilan dua pelawak terkenal tanah air iaitu Isma Aliff dan Mat Over.

Harian Metro

Mimi Capai Sasaran

4 Feb

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

SELEPAS hampir dua tahun membabitkan diri dalam lakonan, impian untuk melebarkan bakat di layar perak menjadi nyata buat pelakon, Mimi Rahzia Tamin atau Mimi, 26.

Gadis jelita kelahiran Brunei ini sudah terbabit dalam lebih 10 drama dan telemovie yang disiarkan di televisyen tempatan. Antara drama yang melonjakkan nama bekas pengacara program berbentuk majalah travelog, Teman (8TV) ialah drama bersiri Iris.

Selain penampilan sulungnya memegang watak utama sebagai Intan dalam MiniNovella, Kerana Ayah yang diadaptasi daripada pertandingan cerpen Fair & Lovely MiniNovella Penuhi Hasrat Hatiku anjuran bersama akhbar nombor satu negara, Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan kariernya, Mimi ternyata bersyukur kerana sasaran dan impian untuk melakonkan watak dalam filem menjadi kenyataan. Pembabitan dalam dua filem berlainan genre iaitu Bunian: Mahkota Seri Helang dan kisah seram, Momok The Movie (MTM) menjadi landasan terbaik untuknya mengukuh nama dalam dunia lakonan.

Pemegang ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors ini berkata, tawaran membintangi filem berkenaan ibarat pucuk dicipta ulam mendatang apatah lagi bagi pelakon baru sepertinya.

“Hendak dikatakan terlalu awal mendapat peluang melakonkan watak dalam filem tidak juga. Ada sesetengah pelakon yang mendapat tawaran filem dulu sebelum drama.

“Saya sendiri meletakkan sasaran penghujung tahun lalu untuk sekurang-kurangnya dapat berlakon dalam satu filem dengan watak yang lebih besar.

“Mungkin rezeki saya pada tahun ini. Saya sendiri tidak menyangka dapat mencapai sasaran itu. Biarpun, masih baru dalam bidang lakonan. Saya berazam menampilkan yang terbaik. Apatah lagi diberi peluang bergandingan dengan beberapa pelakon terkenal tanah air,” katanya.

Mimi memegang watak Puteri Mawar Putih untuk filem Bunian: Mahkota Seri Helang arahan Zaharil Izham Zainon atau Jantan. Filem pertama terbitan produksi Fantasy Films Sdn Bhd itu dianggarkan menelan perbelanjaan lebih RM3.5 juta turut dibintangi pelakon terkenal, Nasha Aziz dan Rusdi Ramli. Penggambaran filem berkenaan dijadualkan bermula 15 Februari ini.

Mimi yang pernah menimba ilmu dengan menyertai Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) kini dalam rangka persediaan untuk menjayakan watak berkenaan.

“Sebagai persediaan, saya melakukan banyak senaman dan aktiviti kecergasan. Ini kerana watak Puteri Mawar Putih banyak membabitkan aktiviti lasak membabitkan penggambaran di hutan dan aksi.

“Watak ini turut membabitkan tarian tapi tidak banyak berbanding Puteri Manja Sakti (Nasha Aziz).

“Saya sendiri tidak pernah berkesempatan berlakon bersama Nasha dan Rusdi. Tidak dinafikan perasaan teruja dan gemuruh itu ada. Sememangnya kesempatan ini adalah peluang bagi saya untuk menuntut ilmu daripada mereka yang berpengalaman dan pernah memenangi anugerah dalam lakonan seperti Rusdi dan Nasha,” katanya.

Mimi turut membawa watak hantu sampuk dalam MTM arahan M Jamil yang memula penggambaran di Temerloh, Pahang, semalam. Filem genre seram itu menyaksikan gandingannya bersama Liz dan Mama Rina Akademi Fantasia (AF6).

Filem berkenaan diterajui Nabil dan Faizal AF4 serta pelakon veteran, Datuk Aziz Satar. Menariknya filem terbitan Galaksi Seni Sdn Bhd (GSSB) adalah dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Menariknya, filem ini dijangka menampilkan pelbagai jenis hantu. Lokasi penggambaran yang kebanyakan berlangsung pada waktu malam mengambil kisah daripada cerita yang pernah berlaku. Ini juga kali pertama saya berkerja di bawah bimbingan M Jamil.

“Penyertaan menerusi filem ini diterima selepas melepasi sesi uji bakat yang berlangsung di Finas, Disember lalu,” katanya.

>Profil

NAMA PENUH: Mimi Rahzia Tamin

NAMA KOMERSIAL: Mimi

TEMPAT LAHIR: Brunei

TARIKH LAHIR: 13 Januari 1983

ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perakaunan, Universiti Teknologi Sydney-Kolej Taylors

KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model

IKLAN: Perodua

PENGACARAAN: Teman (8TV)

TEATER: Lorong Blues

DRAMA: Kerana Ayah, Impian Ilyana, Iris, Dinasti Bilut, Nek Nak, Ritma Kampus, Intan Asmara, Tangisan Bulan Madu, Elit, Cinta Gila, Pasrah, Jula Juli Bintang 3

Harian Metro

Ahmad C Meniti Usia Tua

31 Jan

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap

DALAM menitis usia emas, pelbagai rintangan dan dugaan ditempuhi pelakon dan penyanyi, Ahmad C atau nama sebenarnya, Mohamad Abd Hamid, 78.

Walaupun kurang dikenali berbanding pelakon veteran seangkatan dengannya namun sumbangannya dalam dunia seni tanah air tiada tolok bandingnya.

Bukan saja berganding dengan Kassim Masdor, Aziz Jaafar, Normadiah dan Seniman Agung Tan Sri P Ramlee ketika penubuhan kumpulan Pancar Sitara 1 dan 2 pada era 50-an.

Dia juga sering tampil dalam beberapa filem P Ramlee antaranya Pendekar Bujang Lapok sebagai Ahmad anggota kumpulan samseng, manakala Seniman Bujang Lapok (Encik Ahmad) 1961.

Anak seni kelahiran Singapura ini sekarang uzur kerana bermasalah jantung dan paru-paru.

Tidak cukup itu, dia juga terpaksa berulang-alik ke Singapura untuk mendapatkan pas lawatan biarpun beristerikan rakyat tempatan, Jamaliah Yusof, 57, sejak 1979. Sebelum ini dia menetap

di Kota Tinggi, Johor.

Ahmad C ketika ditemui sewaktu berkunjung ke kediaman seorang kenalannya berkata, selepas menjalani pemeriksaan, pihak hospital memaklumkannya menghadapi masalah paru-paru yang semakin membengkak.

Masalah berkenaan juga menyebabkannya dia tidak berdaya untuk bergerak dan susuk badan serta kaki mula membengkak.

“Sakit jantung yang dialami ini sudah berlarutan sejak pertengahan tahun lalu. Sebelum ini saya pernah menjalani rawatan di hospital Singapura diikuti di Kota Tinggi, begitupun keadaannya masih seperti ini.

“Saya sudah mencuba pelbagai rawatan di hospital dan perubatan cara kampung.

“Hendak bergerak saja saya terpaksa menggunakan tongkat atau bantuan isteri. Pada usia begini penglihatan juga semakin kabur .

“Saya masih mempunyai selera makan namun atas nasihat pihak hospital saya terpaksa menjaga pemakanan supaya tidak memudaratkan kesihatan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kehadirannya ke Kuala Lumpur, dia kini berusaha mendapatkan pas lawatan bagi tempoh yang panjang supaya memudahkan pergerakannya.

“Sebelum ini ada antara kenalan di Johor Bharu yang berjanji untuk membantu membabitkan urusan pasport. Disebabkan untuk mendapatkan pas lawatan berkenaan saya terpaksa berulang alik ke Singapura dan pejabat imigresen di Johor Bharu setiap bulan.

“Walaupun sukar saya terpaksa meminta bantuan dan rayuan kepada kenalan di sini untuk mengatasi masalah itu.

“Dalam keadaan begini, saya tidak berdaya untuk melakukannya setiap bulan. Adalah lebih mudah jika urusan berkenaan dilakukan dalam tempoh setahun atau sekurang-kurangnya enam bulan. Hendak diikutkan, kompleks imigresen yang baru dibina itu memang cantik, tapi agak menyukarkan bagi saya,” kata Ahmad yang berpengalaman bekerja ketika zaman studio Show Brothers, Jalan Ampas sekitar 1948.

Setakat ini, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap hanya bergantung kepada sumbangan rakan artis dan persatuan yang hadir ketika menjelang perayaan.

Malah, dia memaklumkan, Datuk Aziz Satar ada menziarahinya di rumah selain meluahkan hasrat untuk membantu meringankan beban ditanggungnya.

“Pendapatan sekarang tidak menentu. Dalam keadaan kesihatan sekarang yang tidak menentu selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“Saya dan isteri hanya mengharap ihsan daripada pemberian rakan-rakan dan persatuan.

“Saya terpaksa berjimat. Setakat ini, rumah tidak perlu dibayar kecuali bil elektrik dan air yang kadangkala tidak melebihi RM50. Begitupun, saya terpaksa memikirkan soal kos rawatan yang hampir mencecah RM1,000 setiap bulan,” katanya.

Harian Metro

Pelajar UTAR Menang Besar

16 Jan

Oleh Nor Akma Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
MALAM Anugerah Festival Filem & Video Pelajar Malaysia (FFVPM) keenam yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini menyaksikan kemenangan besar penuntut Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) apabila dua karya mereka menang hadiah utama menerusi Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta.

Dua karya itu, The Last Exit diilhamkan Chin Fui Hian, 22, dan Witty Wings oleh Quek Shio Chuan, 22. The Last Exit dipertandingkan dalam kategori Filem/Video Pendek manakala Witty Wings dipertaruhkan dalam kategori Dokumentari.

Pada malam yang penuh kenangan itu, menerusi Anugerah Cipta, The Last Exit menang Sinematografi Terbaik, Suntingan Terbaik, Penata Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik dan Produksi Terbaik. Witty Wings yang dipertandingkan dalam Anugerah Perdana menang Suntingan Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Johan Video Pendek.

Ketika ditemui pada akhir majlis penganugerahan itu, Shio Chuan berkata, idea untuk menerbitkan dokumentari Witty Wings muncul apabila dia melihat masyarakat semakin kurang berminat memelihara burung.

Menerusi Witty Wings, Shio Chuan membongkar kisah kehidupan burung secara mendalam dan turut merakamkan pertandingan Seni Suara Burung di Batu Pahat, Johor.

“Saya juga pergi ke Endau, Rompin, untuk melihat pelbagai spesis burung di sana. Merakamkan kehidupan mergastua itu adalah yang paling susah sekali. Ia terbang ke sana ke mari tanpa dapat kita mengawalnya. Selain saya, tugasan ini dibantu lima lagi rakan dan dapat disiapkan dalam masa seminggu.

“Jadi walaupun saya tidak menjangka akan menang besar pada anugerah ini tetapi kemenangan itu bagai mengubat kerumitan dan kesusahan membuat rakaman dokumentari itu. Kemenangan ini juga bermakna buat saya kerana julung kali menyertai festival ini,” katanya yang bercita-cita menjadi produser selepas tamat pengajian nanti.

The Last Exit pula mengenai keganasan rumah tangga. Jelas Fui Hian, dia mahu masyarakat menyedari keganasan rumah tangga menyebabkan keluarga berpecah-belah dan kesan itu paling dirasai anak.

“Separuh daripada penceritaan dalam video itu berdasarkan pengalaman hidup saya sendiri. Saya juga tidak membuat penyelidikan kerana ia hanya cerita pendek dan kisah penderaan rumah tangga pun banyak disiarkan dalam akhbar.

” Oleh itu saya gabungkan pengalaman sendiri, pembacaan menerusi akhbar dan memerhatikan setiap kejadian yang berlaku di sekeliling kita,” katanya.

FFVPM disertai pusat pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara termasuk Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), UPM, Universiti Teknologi Mara, Melaka, Universiti Lim Kok Wing, Universiti Malaysia Sabah, Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Kolej Yayasan Melaka dan Universiti Malaya.

Suasana malam penganugerah itu diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Mohd Mahyidin Mustakim, Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Maaruf, Pengarah Eksekutif Astro Shaw, Tengku Datuk Anuar Mussaddad dan Presiden Filem Malaysia, Ahmad Fuad Onah.

Antara artis popular dijemput menyampaikan hadiah dan trofi, Hans Isaac, Elly Suriati, Ahmad Idham Nazri, Liyana Jasmay, Shaharudin Thamby, Kencana Devi, Vanidah Imran, Pierre Andre, Siti Shahrizah (Eja), Ahmad Ibrahim (Mat London), Datuk Aziz Satar dan personaliti TV3, Zainal Ariffin.

Malam festival anjuran bersama UPM dan Finas itu dihiburkan dengan persembahan Datuk Ahmad Jais, Amylea AF dan artis UPM.

Harian Metro

Belasungkawa Nasir P Ramlee (1953-2008): Perginya Warisan P Ramlee

18 Dec

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

TIDAK sampai dua bulan pemergian anak angkat Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Sabarudin Ramli (Badim), kita dikejutkan pula dengan pemergian satu-satunya anak kandung Seniman Agung itu, Nasir P Ramlee.

Jika P Ramlee meninggal dunia pada usia muda iaitu 44 tahun, Nasir pula menghembuskan nafas terakhirnya jam 5.10 petang, kelmarin di Hospital Kuala Lumpur kerana komplikasi jantung dan kencing manis pada usia 55 tahun.

Jenazahnya selamat dikebumikan jam 11 pagi keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang, Kampung Baru.

Nasir meninggalkan balu, Suria Bakar, 55, dan tujuh anak termasuk daripada dua perkahwinannya terdahulu. Bersama Suria, Nasir mempunyai dua anak, Zaidi, 17, dan Zakaria, 16, manakala bersama isteri pertamanya, Mariati Abd Rahman, 55, mereka mempunyai tiga anak, Gunina, 37, Gunawan, 35, dan Gurnarisasca, 31. Bersama isteri keduanya, Rashidah Jaafar (Gee), Nasir mempunyai dua anak, Natasya, 23, dan Najwa, 22.

Seperti Badim dan Sazali, Nasir juga anak kesayangan P Ramlee. Nasir yang dilahirkan di Singapura pada tanggal 23 November 1953 adalah anak P Ramlee bersama isteri pertama, Junaidah Harris.

Junaidah adalah pelakon berasal dari Indonesia dan anak kepada pelawak D Harris. Nasir membesar di Jalan Boon Teck yang juga kediaman ramai pelakon Studio Jalan Ampas.

Nasir tidak bertemu ibunya sejak usia enam tahun. Hanya selepas P Ramlee meninggal dunia, Nasir bertemu semula dengan ibu kandungnya di Jalan Martapura, Jakarta.

Selepas bercerai dengan Junaidah, P Ramlee mengahwini Norizan dan kemudian Saloma. Justeru, Nasir juga membesar di bawah Norizan yang ketat menjaga disiplinnya tetapi banyak membentuk karakternya.

Mengimbas latarbelakangnya pula, Nasir memulakan kerjayanya sebagai pemuzik di kelab malam sebelum menyertai EMI sebagai penggubah muzik. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai penyelaras muzik kombo Istana Budaya (IB) sejak April 2002 sehingga sekarang.

Nasir pernah bergandingan bersama Allahyarham Datuk Ahmad Daud, Allahyarham Normadiah, Allahyarham Aziz Jaafar dan Datuk Aziz Satar untuk album Panca Sitara.

Beliau pernah menghasilkan lagu untuk Herman Tino, Rosemaria Abdul Hamid dan Aman Shah. Antara lagu popularnya ialah Rindu Bayangan dendangan Carefree.

Sepanjang berkhidmat di IB, Nasir banyak terbabit dalam persembahan anjuran kerajaan dan di peringkat antarabangsa.

Antara pementasan yang pernah diarahkannya di IB ialah Suzana 60 dan Bonnie M Live In Kuala Lumpur pada 2006.

Sekalipun, nama Nasir tidak segah bapanya, namun tidak dinafikan, beliau juga memberi sumbangan tersendiri dalam memartabatkan industri seni tanah air.

Ketika hayatnya, Nasir sempat menghasilkan Buku Bapaku P Ramlee yang dilancarkan Presiden Badan Warisan Malaysia, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, 29 Mei lalu.

Buku yang dihasilkan selepas 34 tahun bapanya meninggal dunia itu dianggap buku kenangan peribadi Nasir kepada bapanya yang menyingkap kisah suka duka sebagai anak kepada seniman agung tanah air.

Dalam buku itu, Nasir juga menceritakan dia tidak lahir dalam ‘dulang emas’, sebaliknya dibayangi bayang-bayang kehebatan bapa dan nama besar keluarganya.

Sekalipun kesihatannya tidak mengizinkan, Nasir sempat menjayakan persembahan penghargaan buat P Ramlee bertemakan Air Mata di Kuala Lumpur di Panggung Eksperimen (ET), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang berlangsung dua hari bermula 15 Julai lalu bersama anaknya, Najwa.

Buat pertama kali, Nasir juga berkongsi pentas bersama anaknya mendendangkan lagu Senandung Kasih dicipta dan didendangkan bapanya dulu.

Band pimpinannya, Nasir & The Melodies juga mengiringi persembahan artis seperti R Ismail, Datuk Aziz Satar, Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor, Amy Search dan Sara Loo di Laman Santai IB sempena sambutan Hari Seniman Kebangsaan, baru-baru ini.

Beliau juga pernah tampil dengan album komedi, Nasir Tan Sri P Ramlee & Mamu Maidin yang mengembalikan nostalgia peminat mereka pada tahun lalu.

Bakat seninya turut diwarisi anaknya yang juga cucu P Ramlee, Natasya dan Najwa yang mengikuti pengajian dalam jurusan seni di Aswara.

Harian Metro

TV3 Saji Program Terbaik, Berkualiti

1 Oct

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

Tujuh filem terbaik, selain beraneka program muzikal jadi menu istimewa penonton

BUKAN saja menghiburkan tetapi semua program yang disiarkan di TV3 berkualiti untuk disajikan kepada penontonnya sepanjang Aidilfitri tahun ini. Ini termasuklah menyiarkan tujuh filem berturut-turut selama tujuh hari. Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Penjenamaan TV3, Nurul Aini Abu Bakar berkata, segala program yang disiarkan sempena Aidilfitri ini dipilih daripada yang terbaik.

“Kebanyakan program yang disediakan adalah kali pertama disiarkan kecuali filem. Setiap tahun memang TV3 sedia program yang terbaru untuk memberi kelainan agar penonton berasa suatu pembaharuan yang dilakukan pada tahun ini,” katanya pada majlis berbuka puasa yang diadakan stesen itu baru-baru ini,

Berikut adalah antara program yang disediakan TV3 untuk penontonnya sepanjang Aidilfitri.

Filem Raya

Nana Tanjung 2

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 9 malam

Nana Tanjung 2 menyingkap kesinambungan Nana Tanjung dengan kehidupan anak-anak Nana Kassim yang berubah apabila pelbagai cerita timbul sehingga terkena tempias kepadanya. Nana yang mendengar tohmahan jiran memutuskan untuk mengenakan pelbagai syarat kepada bakal menantunya. Filem ini dibintangi Saiful Apek, Fasha Sandha, Waheeda, Jehan Miskin, Azean Irdawaty dan Saffi Jaafar.

Otai

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 malam

Walaupun sudah tiga tahun berkahwin mereka tidak dikurniakan zuriat. Aiman dan Azura mendapat tekanan dengan ayah Aiman iaitu Tan Sri Mansur sekiranya masih gagal mendapatkan zuriat dalam masa setahun, seluruh harta peninggalan akan diwariskan kepada anak yatim. Azura kemudian disahkan tidak boleh mengandung. Maka terpaksalah Azura merelakan Aiman berkahwin lagi. Antara pelakon filem ini ialah Saiful Apek, Nasha Aziz, Saleh Yaakob, Ainul Aishah dan Faezah Elai.

Dunia Baru The Movie

Tarikh Siaran: 3 Oktober

Masa: 9 malam

Opie menerima surat yang ditulis Anizah menyatakan hasratnya untuk ke Thailand dan berkahwin lari dengan Fazley. Anizah begitu nekad sehingga sanggup melepaskan tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ini merisaukan kawannya iaitu Opie, Madihah, Suzanna, Adif dan Tajol. Mereka berpakat mengikut jejak Anizah dan memujuknya agar mengubah fikirannya. Filem ini membariskan Elyana, Pierre Andre, Iqram, Anne Ngasri, Anita Baharom, Baizura Kahar dan Almy Nadia.

Cinta

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 9 malam

Jalinan lima cerita yang meraikan keajaiban cinta. Harris ada segala-galanya, isteri yang cantik, anak dan karier namun isterinya mengakui mempunyai teman lelaki baru. Dyan mengubati hatinya yang sepi dengan mengubah cara hidup adiknya Dhani seorang pelukis jalanan. Ariel menjejaki cintanya yang dibantu oleh Taufiq seorang wartawan muda. Elyas pesara guru yang menghabiskan sisa hidupnya setelah menghidap Alzheimer. Elyas sering menghabiskan masanya di restoran milik janda Rubiah. Antara pelakon filem ini ialah Datuk Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Rita Rudaini, Nanu Baharuddin, Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar, Pierre Andre, Eizlan Yusoff dan Rashidi Ishak.

Rempit vs Impak Maksima

Tarikh Siaran: 7 Oktober

Masa: 9 malam

Shariman dan Bani mempunyai minat yang sama iaitu berlumba motosikal. Mereka menghabiskan masa dengan berlumba haram. Satu hari Shariman ditawarkan untuk menjadi pelumba kereta secara profesional dan Bani masih meneruskan kerja merempit secara haram. Filem aksi ini dilakonkan oleh Awal Ashaari, Zulhuzaimy, Fauzi Nawawi, Jue Aziz, Hafiz, Maimon Mutalib, Jalaluddin Hassan, Watie Elite dan Suraya.

Waris Jari Hantu

Tarikh Siaran: 8 Oktober

Masa: 9 malam

Tina dan Ari berkawan baik dan bersaudara dengan Tok Wan Rimau, penjaga harimau saka. Keluarga Tina kini sedang mencari waris perempuan untuk menurunkan ilmu sakanya. Tok Wan dan harimau saka melindungi keluarganya dan Pekan Mendekar dari bahaya. Ari sering diejek oleh penduduk kampung dengan gelaran ‘Mat Kepit’, atau ‘Mat Patah’. Walaupun begitu, Tina setia berada di sisi Ari, malah menyimpan perasaan cinta yang mendalam terhadap Ari. Filem ini dilakonkan oleh Maya Karin, Rusdi Ramli, Azean Irdawaty, Nanu Baharuddin, Liza Othman, Kavita Sindhu, Zahim Albakri, Riezman Khuzaimie, Rashid Salleh, Zaidi Omar dan Jit Murad.

Qabil Khushry Qabil Igam

Tarikh: 9 Oktober

Masa: 9 malam

Qabil Khushry dan Qabil Igam, anak kepada Ismail dan Tijah. Qabil Khushry amat sayangkan adiknya. Ketika dewasa, Rani jatuh hati kepada Khushry manakala adiknya, Karisma memuja Igam. Bagaimanapun, kerana satu kesilapan, mereka sekeluarga bagaikan tersepit, lalu satu keputusan terpaksa dibuat yang membabitkan satu pengorbanan besar. Antara pelakon filem ini membabitkan Hans Issac, Rusdi Ramli, Erra Fazira, Ziana Zain dan Khatijah Tan.

Ayat-Ayat Cinta

Tarikh Siaran: 10 Oktober

Masa: 9 malam

Fahri Abdillah adalah seorang pelajar pintar dari keluarga miskin yang mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar di Mesir. Dia yang juga seorang berdisiplin dan berdedikasi memulakan kehidupan di Mesir melanjutkan pelajaran dan menterjemah buku-buku agama dengan penuh bersemangat. Hanya satu saja matlamat yang belum tercapai iaitu perkahwinan. Fahri yang adalah seorang yang lurus dan suci tidak percaya pada konsep perhubungan sebelum berkahwin. Filem Indonesia ini dilakonkan oleh Fedi Nuril, Carissa Putri, Melanie Putria, Zaskia Adya Mecca dan Rianti Cartwright.

Program Muzikal Raya

Teratak Siti Nurhaliza

Tarikh Siaran: 1 Oktober

Masa: 10 pagi

Datuk Siti Nurhaliza bakal mendendangkan lagu popular tradisional dan terkini dengan diiringi oleh pemuzik profesional pimpinan Faizal Uzir. Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri. Turut dijemput adik-beradiknya iaitu Siti Saida dan Siti Saerah.

GhazalRock

Tarikh siaran: 2 Oktober

Masa: 10 pagi

Ghazal Rock adalah satu program muzikal lain dari yang lain. Barisan penyanyi terbabit dalam program istimewa ini ialah Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara dipertemukan dalam program khas Raya ini. Ia akan disiarkan selama 60 minit di mana menyaksikan artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu kontemporari yang kekal popular dan diminati ramai.

Komedi Raya

Al-Kisah Kembali

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 5.30 petang

JAKA dan Dhuri sedang mencari anak, Junior mereka yang diculik. Mereka terjumpa dengan kawan lama, Jinbai, Momsteem dan Long Sifu semasa dalam perjalanan mencari anak mereka. Pelbagai rintangan yang melucukan dapat disaksikan sepanjang pencarian menyelamatkan Junior. Drama komedi ini lakonan Apek, Zarina Zainuddin, Shamsul Ghau Ghau, Mommsteem, Aziz Kota, Bob Kuman, DJ Sumo, Redza

Senario Gamatnya Raya

Tarikh: 2 Oktober

Masa: 11 malam

Kisah dua kumpulan anak muda yang ingin merasai suasana baru di hari raya. Anak muda kampung ingin merasai beraya di bandar, sementara anak muda di bandar pula ingin beraya di kampung. Saksikan lakonan Azlee, Aby Yus, Opie Zami dan Bob Kuman.

Simpang Tiga Raya Special

Tarikh: 3 Oktober

Masa: 11 malam

Salman, Saleh dan Mawi menaruh hati kepada Wati. Mereka masing-masing cuba sedaya upaya menambat hati Wati. Dalam diam hati Wati terpaut kepada Salman, Che Pah ibu kepada Wati menyuruh mereka mencarikan lemang tetapi ada saja alasan mereka berikan. Hinggalah Wati sendiri menyuruh mereka, maka pelbagai usaha dan gelagat mereka untuk mendapatkan lemang yang terbaik dan paling sedap untuk Wati sempena persiapan Hari Raya.

Saksikan telatah Abon, Ifa Radziah, Acong Sweetchild, Scha, Buzen, Ropi Cecupak, Ebby Yus dan Sathiya.

Variasi Raya

Ewah-Ewah Raya 1 dan 2

Tarikh: 1 dan 2 Oktober

Masa: 4.30 petang

Program berkonsepkan muzikal & game show ini menampilkan gabungan empat pengacara hebat iaitu Raja Azura, Nabil, Shamsul Ghau Ghau dan Amyza Adnan yang pastinya bakal mencuit hati anda. Turut serta dalam program ini ialah Fabulous Cats, Mas Idayu, M. Daud Kilau, Faradiya, Danny X-Factor dan Mila.

Bagus Sangat Ke?

Tarikh Siaran: 2 Oktober

Masa: 9 pagi

Menampilkan gandingan Didie Alias dan Sheila Rusly sebagai pengacara manakala selebriti yang menjayakan program ini ialah Adibah Noor, Sahri, Dina, Enot, Bob AF2 dan Sumo Fabulous Cat. Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai tiga peserta. Mereka diwajibkan membuat tiga tugasan yang dibahagikan kepada tiga segmen iaitu Ketupat Oh Ketupat, Aduh..Panjut Pulak!! dan Mmmm Sedapnya!!!.

Raya Bersama Fara

Tarikh Siaran: 5 Oktober

Masa: 5 petang

Raya Bersama Fara memfokuskan kepada pengacara wanita popular 2006/2007 Anugerah Bintang Popular Fara Fauzana sebagai pengendali program yang berbentuk bual-bicara hiburan. Antara artis yang terbabit menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar, Azwan Ali dan Darling Ngasri.

Berita Harian

Meriahkan Adilfitri Bersama Rancangan Raya Televisyen

28 Sep

OLEH RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH


MINAH lodeh tipah lepatlah pulak.

SETELAH hampir sebulan berpuasa, kini tibalah masa yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam seluruh dunia untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sempena Aidilfitri yang bakal menjelang tiba beberapa hari lagi, pelbagai rancangan menarik disusun oleh stesen-stesen televisyen bagi memeriahkan suasana hari raya.

Antara rancangan tersebut ialah telefilem, drama, filem, muzikal raya dan pelbagai rancangan yang menyaksikan gandingan persembahan artis-artis terkenal tanah air.

Jika anda mahu meluangkan masa bersama keluarga dan teman-teman di rumah, jangan ketinggalan menyaksikan pelbagai rancangan menarik ini. Sambil menjamu selera dan menghadiri rumah terbuka, anda tidak ketinggalan berhibur dengan rancangan tv menarik.

l Warna-warni Aidilfitri di RTM

Seperti tahun-tahun sebelum ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal bersiaran dengan pelbagai rancangan raya. Eksklusif pada hari raya, penonton RTM 1 berpeluang menyaksikan Siti Nurhaliza bersama peminat pada hari raya kedua pada pukul 11 malam.

Bagi mereka yang inginkan hiburan menjelang raya, jangan lupa menyaksikan sebuah drama muzikal Epilog Cinta Terindah (Bintang-Bintang RTM) yang mengisahkan percintaan dua pasangan ketika zaman muda yang banyak rintangan. Rancangan yang diterbitkan Mohd. Yusni Mohd. Ali ini akan menemui penonton pada Hari Raya ke-10, pukul 3 petang. Ia membariskan artis-artis popular seperti Izwan Pilus, Ramlah Ram, Siti Sarah, Azharina dan Amir (Sofaz).

Selain tayangan filem seperti Jangan Pandang Belakang (raya ketiga; 9 malam) dan Zombie Kampung Pisang (raya keempat; 9 malam), penonton juga disajikan telefilem yang membawa mesej keinsafan seperti Sesuci Al Fitri (raya kedua; 12. 30 tengah malam) lakonan Safura dan Shaharuddin Thamby, Panggilan Raya (raya pertama; 10 pagi) lakonan Emelda Rosmila dan Ijoy Azahari dan Tasbih Terakhir (raya keempat; 12.30 tengah malam) lakonan Nasir Bilal Khan, Jasmin Hamid dan Safura.

Penonton juga dapat menonton Komedi Khas Raya, Selamat Hari Raya Jiran Tetangga lakonan Saiful Apek, Raja Azura, Nabil, Datuk Aziz Satar dan ramai lagi.

Saksikan juga beberapa siri konsert mulai 3 Oktober hingga 5 Oktober pada pukul 3 petang setiap hari dengan persembahan hebat artis-artis tempatan seperti Sofaz, 6ixth, Azharina, Elyana, The Fabulous Cats, Kristal dan Ifa Raziah.

– Kesyukuran dalam kemeriahan bersama TV3

Sementara itu, bertemakan ‘Kesyukuran dalam Kemeriahan’ TV3 mengajak penonton-penonton setianya agar sentiasa bersyukur sambil menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri.

Pada kesempatan ini, stesen televisyen swasta ini mengajak penonton-penontonnya untuk meraikan Aidilfitri dengan meneruskan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah saudara- mara dan sahabat handai dan saling bermaaf-maafan. Sambil bergembira di samping orang tersayang penonton juga diseru agar bersyukur menikmati kurniaan Ilahi. Para penonton bakal disajikan dengan pelbagai aneka ragam masyarakat menerusi filem, telefilem dan program-program hiburan dan jenaka.

TV3 telah menyusun dengan teliti program-program bagi memastikan hanya yang terbaik untuk ditayangkan sempena dengan Aidilfitri bagi menepati cita rasa penonton. Kebanyakan program tersebut mempunyai keistimewaan dan mesej yang tersendiri.

– Tayangan

Telefilem raya TV3 menjelang raya pada pukul 9.30 malam menyaksikan tayangan Mengejar Sinar yang mengisahkan Taufik berhenti kerja setelah mengambil VSS daripada pejabat tempat dia bekerja. Isterinya, Mariam risau kerana dia sedang mengandung anak kedua selepas lapan tahun tidak mengandung. Satu hari, ibu mertuanya terjumpa Ain dan membawanya pulang. Taufik pergi mendapatkan anaknya dan merayu ibu mertuanya untuk memulangkan Ain, namun dia menyalahkan Taufik kerana tidak mampu menjaga Ain. Dapatkah Taufik bersatu kembali dengan anaknya? Saksikan lakonan Rosyam Nor, Erma Fatima, Maimun Mutalib, Fauziah Nawi, Ismail Yaacob dan Aziz M Osman.

Sementara itu, telefilem Takdir Sedang Berbisik bakal menemui penonton pada pagi raya Ketiga yang mengisahkan kemalangan yang menimpa Husin mengubah kehidupan yang baru dibinanya bersama Maimon. Husin lumpuh dan kehilangan pekerjaan sementara itu, Mak Piah hanya bersabar dengan kerenah menantunya, Maimon. Mak Piah menjaga Husin dan anaknya dengan bantuan Mastura, anak Mak Yam yang sedang belajar tahun akhir di universiti . Telefilem ini dijayakan oleh pelakon-pelakon berkaliber seperti Rosyam Nor, Umie Aida, Fauziah Nawi, Faizal Hussein, Ummi Nazera, Ku Faridah Ku Syafie, Bobby Hazreen, Latiff Borgiba, Maimunah Ahmad dan Maimun Talib.

TV3 turut diwarnai rancangan muzikal antara yang paling istimewa ialah Teratak Siti Nurhaliza pada raya pertama pukul 10 pagi . Teratak Siti Nurhaliza merupakan satu program muzikal yang pastinya dinantikan oleh peminat-peminat penyanyi tersohor tanah air yang bakal dikendalikan oleh beliau sendiri.

Program 60 minit ini akan menyaksikan Siti Nurhaliza mendendangkan lagu-lagu popular tradisional dan juga terkini yang menjadi kegilaan ribuan peminat beliau dengan diiringi oleh pemuzik-pemuzik professional yang dipimpin oleh Faizal Uzir.

Program muzikal ini berkonsepkan fusion tradisional dan moden di mana kedua elemen ini digabungkan untuk mendapatkan konsep irama tersendiri sekali gus menjadikan program ini unik dan berbeza dari persembahan Siti Nurhaliza sebelum ini. Bukan itu sahaja, turut memeriahkan rancangan ini, Siti Nurhaliza juga menjemput adik- beradik beliau iaitu Siti Saida dan Siti Saerah untuk bersama-sama membuat persembahan dengannya buat julung-julung kalinya di kaca televisyen.

Di samping itu, penonton pasti terhibur dengan GhazalRock pada Raya Kedua, 2 Oktober, 10.00pagi.

GhazalRock merupakan satu program muzikal ‘lain dari yang lain’ yang pastinya akan menambat hati para peminat penghibur tanah air. Artis-artis popular seperti Ning Baizura, Faizal Tahir, Anuar Zain, Ella dan kumpulan rock, Jinbara yang dipertemukan dalam program khas raya ini. Bersiaran selama 60 minit, program ini akan menyaksikan para artis jemputan mendendangkan lagu tradisional termasuklah lagu-lagu kontemporari yang kekal popular, masih diminati ramai dengan diiringi oleh alunan muzik daripada kumpulan Jinbara sendiri bersama pancaragam ghazal.

Di samping itu, rasai kehangatan Aidilfitri pertama bersama rancangan signatur Saluran Ceria Anda, ntv7 yang akan menyiarkan filem superhero hebat, Batman Begins hasil garapan pengarah lagenda,Christopher Nolan lakonan Christian Bale, Michael Caine dan Katie Holmes dari 11.45 malam hingga 1.45 malam. Dapatkan lebih keriangan dan kegirangan pada hari raya pertama dengan siaran Cirque Du Soleil: Quidam, Cirque De Soleil: Quidam dan Batman Begins pada Rabu, 1 Oktober.

Tidak ketinggalan, temui Om, seorang kanak-kanak lelaki yang berusaha gigih menghias rumahnya bagi memanggil kedatangan malaikat untuk menunaikan harapannya pada hari raya dalam Malam Tujuh Likur, Jumaat, 3 Oktober 2008, mulai pukul 10 pagi hingga 12 malam. Filem ini dibintangi oleh Adam Zakaria, Eira Syazira, Aaron Aziz dan Aida Aris.

Sementara itu, 8tv turut menyiarkan filem istimewa pada raya pertama pada pukul 10.00 malam dengan tayangan filem Lord Of The Rings-The Two Towers.

– Drama keinsafan di saluran Astro

Saluran Astro Melayu seperti Astro Ria, Prima dan Kirana turut menyajikan pelbagai rancangan menarik untuk anda sekeluarga.

Pelbagai drama dan telefilem hebat bakal menemui anda sepanjang tiga hari pertama Aidilfitri. Epilog drama yang dipaparkan membawa mesej tersendiri dan pengajaran yang melahirkan keinsafan kepada penonton.

Antaranya, sebuah drama hebat, Hanya Aku yang mengisahkan tentang sekumpulan penghuni rumah pengasih yang belajar erti keseronokan, cara menghormati orang lain dan untuk menjadi orang yang berguna dalam masyarakat. Drama lakonan Hattan, Baby Erin, Que Haidar, Nabila Huda, Sheila Rusly dan Erma Fatima berkisar di antara golongan bekas penagih, ibu bapa, pasangan hidup, anak- anak dan orang tersayang. Kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat mereka yang hidup dengan dengan cara hidup penjenayah termasuklah mereka yang pernah ditangkap dan disabitkan sebagai pesalah serta dihantar ke penjara.

Drama ini akan disiarkan di Astro Ria pada pukul 11 malam. Aidilfitri anda juga pasti menarik dengan drama Cahaya Lailatulqadar lakonan Beego, Zulhuzaimy, Fauziah Nawi, Jalil Hamid dan Syarifah Sheera. Drama yang akan disiarkan di Astro Prima pada pukul 9 malam ini mengisahkan Adam akhirnya pulang ke tanah air dari London selepas lima tahun bermastautin di sana. Dia merancang untuk membawa pulang sejumlah wang yang besar dari ibunya sehingga mendatangkan kemarahan adiknya, Adi.

– Kesinambungan

Bagi peminat telefilem Takbir Suci 2, kesenimbungan telefilem ini, Takbir Suci 3 akan ditayangkan di Asro Ria pada pukul 11 malam. Ia mengisahkan tentang bagaimana Nora sanggup menyingkirkan ibunya sendiri semata-mata kerana sifat tamak dan dendam yang teramat pada bulan Ramadhan. Saksikan telefilem yang dapat memberi keinsafan kepada semua yang menonton bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.

Sementara itu, penonton juga disajikan dengan pelbagai rancangan hiburan lain seperti Minah Lodeh,Tipah Lepat Berayalah Pulak, Di Bawah Ketiak Isteri Aidilfitri, Gegar Gitu Apek Raya, Ada Cinta Di Hari Raya? Selain beberapa filem mnari untuk tontonan umum seperti Cuci, Chermin, I’m Not Single, Kala Malam Bulan Mengambang dan Anak.

Utusan Malaysia