Archive | Agnes Monica RSS feed for this section

'Saya Bukan Tidak Terima Kenyataan'

20 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BAGAIKAN tidak percaya diumumkan tersingkir, Amylea Azizan (Amylea), 22, usahkan tergamam, malah dia hampir rebah di pentas One In A Million (OIAM), Jumaat lalu.

Mujurlah, ketika detik cemas itu berlaku pengacara, Marion Counter sempat mendakap tubuh pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 3 (AF3) itu.

Namun, dalam perasaan yang bercampur-baur Amylea masih gagah meneruskan persembahan terakhirnya menerusi lagu I’m Yours, dendangan asal Jason Mraz dan mengucapkan maaf kepada peminat kerana menghampakan harapan mereka. Andai rakyat Malaysia memberikannya satu lagi peluang, pastinya penonton masih berkesempatan menyaksikan persembahan gadis berasal dari Perlis itu melagukan Yesterday Once More daripada Carpenters, Fallin (Alicia Keys) dan Love Song (Sarah Bareilles).

“Memang tadi saya terasa hendak pengsan, tapi cuba kawal perasaan. Bukan saya tidak boleh terima kenyataan malah setiap minggu pun memang tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan dan selalu ada perasaan akan tersingkir.

“Cuma, ia tidak sehebat apa yang saya rasakan malam ini. Terus-terang, saya amat terkilan bukan kerana tewas apabila sedar sesiapa pun boleh tersingkir dalam program realiti seperti ini.

“Perasaan terkilan terbit kerana tidak berpeluang membuat persembahan pada malam ini yang bertemakan ‘In Concert’. Sudah lama saya nantikan peluang seperti ini untuk menunjukkan kemampuan kepada peminat.

“Mujurlah, saya sempat merakamkan persembahan ketika menjalani latihan semalam (Khamis). Tambah menyedihkan, seluruh ahli keluarga, sepupu, kawan dan saudara-mara hadir pada malam ini untuk memberi sokongan.

“Malangnya, hari ini mereka datang untuk melihat penyingkiran saya. Banyak pengorbanan sudah dilakukan untuk berada di sini dan sepanjang lima bulan saya tidak mengambil sebarang ‘show’ selain terpaksa berjauhan dengan keluarga,” katanya.

Penyingkiran ini menyedarkan Amylea, betapa besar tanggungjawab dan serius pembabitannya dalam bidang muzik. Sedih rasanya tidak dapat melakukan persembahan sedangkan dia sangat teruja untuk menyanyi malam itu.

Dengan penuh yakin, Amylea menambah jika diberikan satu lagi peluang untuk bertahan, persembahan malam itu akan dipastikannya sebagai yang terbaik.

 

 

Malah, hal ini turut diakui pengkritik tetap, Paul Moss yang sempat meninjau sesi latihan peserta dan menyifatkan persembahan Amylea amat bagus. Sehinggakan, Paul meluahkan rasa terkilan dan terpaksa mengatakan segelintir penonton masih kurang bijak menilai.

Sebagai persiapan melakukan persembahan yang bertemakan ‘In Concert’ itu, Amylea mengakui pelbagai usaha dilakukan.

“Menerusi konsert mingguan sebelum ini, kami cuma diberikan masa dua minit untuk membuat persembahan bagaimanapun kali ini setiap peserta mempunyai masa tambahan dua minit sekali gus menjadikan persembahan keseluruhan empat minit.

“Justeru malam ini saya ingin menggunakan peluang sebaik mungkin membuktikan kemampuan kepada rakyat Malaysia. Setiap kelemahan yang pernah dilakukan diperbaiki dalam persembahan kali ini.

“Jika tersingkir di akhir-akhir rancangan mungkin perasaan saya tidak sekecewa sekarang. Rasa seperti ditipu promoter apabila konsert dibatalkan saat akhir,” katanya.

Habuan RM1 juta yang ditawarkan cukup besar ertinya buat Amylea kerana dia merancang melanjutkan pelajaran di Berkeley College of Music, Amerika.

Ditanya, di antara empat peserta yang masih bertahan iaitu Tomok, Nine, Esther dan Aweera, siapakah pada pandangannya layak digelar juara OIAM 3? Tanpa ragu, Amylea memilih Tomok kerana dia bekerja keras untuk mendapatkannya.

“Tomok antara peserta yang rapat dengan saya dan banyak menceritakan pengalaman yang dilalui sejak kali pertama bergelar artis. Pelbagai tohmahan dihamburkan kepadanya dan hari ini Tomok membuktikan dia adalah penyanyi dan pemuzik yang patut dihormati. Atas pengorbanan, kesungguhan dan usahanya, dia layak memenangi hadiah lumayan itu,” katanya.

Semakin hampir melangkah ke peringkat akhir yang cuma tinggal kurang dari dua minggu (1 Mei) Tomok mengakui bimbang dan gementar meskipun setakat ini dia belum pernah berada di Bottom 3. Pada malam itu, Tomok memilih menyampaikan himpunan lagu hits Alleycats iaitu, Jika Kau Bercinta Lagi, Sekuntum Mawar Merah dan Kerana Kau.

“Saya tidak pernah berasa selesa dengan kedudukan saya bahkan berasakan setiap minggu saya yang akan tersingkir. Tambahan pula sejak dua minggu lalu, imuniti dimansuhkan.

“Paling penting bagi saya adalah untuk membuat persembahan terbaik. Ketiadaan imuniti membuatkan semua peserta harus tampil dengan persembahan lebih baik, menambahkan lebih banyak rencah agar penonton dan juri terhibur.

“RM1 juta jumlah yang besar dan untuk mendapatkannya peserta perlu bekerja keras. Sebagaimana disarankan pengkritik (Syafinaz) yang mahu melihat lebih banyak kejutan daripada saya insya-Allah akan dilaksanakan menerusi konsert seterusnya,” katanya.

Syafinaz selaku pengkritik berpendapat, persembahan secara keseluruhan amat baik namun, masih terdapat beberapa kekurangan.

“Saya memilih persembahan Tomok sebagai yang terbaik malam ini. Kalau ikutkan semua peserta pun sudah melakukan yang terbaik. Cuma masih ada beberapa kekurangan. Misalnya Aweera yang berani menyahut cabaran dengan pemilihan lagu yang lain dari kebiasaan, tetapi masih berlaku masalah ‘pitching’.

“Manakala Nine pula, pengawalan vokalnya bagus dan nampak banyak peningkatan cuma lagu yang dipilihnya kurang menarik jika digunakan untuk pembuka atau penutup persembahan,” katanya.

Menyingkap persembahan malam itu, Nine membawakan lagu Keroncong Untuk Ana dendangan asal M Nasir, manakala Aweera melakukan percubaan berani dengan memilih Tak Ada Logika (Agnes Monica) dan Emansipasi (Republic Of Brickfields) dan Eshter (Semua Jadi Satu, One Night Only dan Keep Getting Better).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Tolak Hal Peribadi

9 Apr

Susunan Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap

SEKALIPUN penyanyi dan pelakon Agnes Monica, 22, tidak suka kehidupan peribadinya dikongsi bersama umum, berita pertunangannya dengan pemuda Jepun, Dr Neil Nemeni, tetap dapat dihidu media Indonesia.

Ternyata rahsia di sebalik populariti lagu Matahariku terjawab apabila artis kelahiran Jakarta pada 1 Julai 1986 ini dilamun cinta dengan pemuda dari Negara Matahari Terbit. Namun, setiap kali ditanya kebenaran gosip itu, Agnes menafikannya.

Ini juga bukan kali pertama Agnes menjadi sasaran gosip kerana sebelum ini dikatakan bercinta dengan Bams Samson dan Afgan.

Bagaimanapun, kehadiran pemuda Jepun di majlis pelancaran album barunya, Sacredly Agnezious, 1 April lalu, membuka ruang kepada media untuk bertanya kesahihan berita itu. Pemuda itu kelihatan setia menemani Agnes yang kini tampil dengan imej baru berambut pendek.

Apabila ditanya apakah pemuda Jepun itu adalah Neil yang dikatakan tunangnya, Agnes spontan menafikan.

“Bukan, bukan, salah,” katanya.

Bagaimanapun, apabila terus didesak mengenai kebenaran pertunangannya itu, Agnes hanya tersenyum penuh makna dan akhirnya mengatakan memang ada. Bagaimanapun, penyanyi yang mencetuskan kontroversi di Malaysia kerana lagu Allah Peduli Februari lalu, enggan mengulas lanjut mengenai pertunangannya dengan Neil dan lebih berminat bercakap mengenai album barunya.

Ketika media mendekati pemuda itu, dia cuba mengelak dan sekadar memberi kenyataan ringkas dalam bahasa Inggeris bahawa Agnes seorang yang baik dan dia sangat gembira.

Gosip mengenai pertunangan Agnes disiarkan melalui satu program hiburan pertengahan bulan lalu, tetapi dinafikan sekeras-kerasnya penyanyi yang mula melonjak naik dengan lagu Tak Ada Logika.

Dalam satu majlis pada 24 Mac lalu, media turut memberi bukti mengenai gambarnya jalan berpegang tangan bersama jejaka dikenali Dr Neil ketika di Singapura. Namun, Agnes tetap berdolak-dalik sambil bertanya gambar yang mana mereka maksudkan.

 

 

Selepas itu Agnes berkata, dia tidak mahu berbicara soal peribadi dengan media apatah lagi membahaskannya untuk makluman umum.

“Bagi saya urusan peribadi seperti cinta dan hal lain terlalu bersifat peribadi dan saya tidak mahu bahaskan dengan media kerana ia bukan sesuatu yang perlu dibicarakan kepada umum. Untuk menyatukan fikiran dan prinsip hidup, perlukan waktu,” katanya berlalu pergi.

Ketika majlis pelancaran albumnya yang diadakan di Studio 4, RCTI, bukan saja kehadiran pemuda Jepun itu menarik perhatian wartawan, malah Agnes tampil berbeza dengan rambut pendek.

Ternyata gaya rambut terbaru ini bukanlah atas keinginan Agnes supaya dilihat berbeza, sebaliknya mengakui salah potong hingga rambutnya dipotong pendek.

Apapun kata Agnes, walaupun salah potong dia tidak menyesal kerana berpendapat berambut pendek begitu selesa dan tidak perlu pening memikirkan gaya rambutnya. Malah akui Agnes, rambut pendek ini juga selaras dengan pelancaran album ketiganya.

Majlis pelancaran albumnya turut disaksikan jutaan penonton apabila Agnes mengadakan mini konsert yang disiarkan secara langsung di RCTI. Ia turut diserikan dengan kehadiran Samsons, Hijau Daun dan Armand Maulana yang berkolaborasi dengan Agnes.

Agnes menyampaikan lagu Godai Aku Lagi, Matahariku dan beberapa lagu yang belum pernah dibawakan sebelum ini. Lebih menarik, susunan muziknya diubah dengan sentuhan muzik tradisional dan orkestra oleh Erwin Gutawa.

Kata Agnes, judul Sacredly Agnezious dipilih kerana album terbarunya itu berkisar mengenai dirinya dan dia turut membabitkan diri secara serius dalam pembikinannya.

“Album ini sebenarnya satu karya yang saya hasilkan dan paling ditunggu-tunggu pelancarannya. Sebelum ini menerusi album Nez yang dilancarkan September tahun lalu, kami sengaja hasilkan dalam bentuk edisi terhad dengan dua lagu, Matahariku yang dijadikan soundtrack sinetron Jelita dan juga Godai Aku Lagi.

“Kini barulah yang sebenarnya, tetapi album ini juga dihasilkan dalam dua versi yang satu memuatkan 10 lagu dan satu lagi 13 lagu. Kami juga tampilkan bungkusan yang lengkap dengan kulit album, foto dengan konsep dan lagunya juga berbeza.

“Saya juga tidak hasilkan album setiap tahun sebaliknya bersabar kerana mahukan hasil yang benar-benar bagus. Tiada gunanya keluar album selalu, tapi hasilnya biasa-biasa saja. Sebab itulah saya lebih bersabar kali ini,” katanya.

Untuk album ini, Agnes juga bertindak sebagai penerbit kerana mahu pembabitan yang lebih besar dalam menentukan segala perkara yang ingin ditampilkan. Malah menerusi album ini, Agnes sering tampil funky ketika beraksi di pentas, mahu membuktikan kematangan dirinya dalam menghasilkan muzik.

Katanya, ramai pemuzik hebat terbabit dalam pembikinan albumnya. Antaranya Erwin Gutawa, Pay, Dewiq, Yudis dan Sumantri.

“Saya mahukan kepuasan maksimum. Kalau mixing belum mencapai apa yang diinginkan, kami akan ulang sehingga berpuas hati. Saya bertuah kerana mendapat sepenuh kepercayaan daripada syarikat rakaman Aquarius,” katanya.

Bagaimanapun, Agnes tidak setuju apabila dikatakan ini album idealis bagi dirinya. Katanya, sebagai produser dia juga perlu memikirkan pasaran dan pada waktu sama sudah tentu tidak akan melacurkan idealisme sendiri sebagai penyanyi dan pemuzik.

“Paling penting ia harus seimbang dengan keinginan peminat kerana akhirnya merekalah penentu album ini. Mereka yang mahu dengar dan apa yang mereka mahu serta apa yang saya inginkan perlu diadun menjadi satu,” katanya.

Saat ini Agnes yang juga dikenali sebagai pelakon menerusi sinetron Jelita mengakui memberi tumpuan kepada kegiatan menyanyi dan meninggalkan dunia lakonan buat sementara waktu. Selepas mengukir kejayaan besar di negaranya, Agnes tetap menyimpan impian untuk menembusi pasaran antarabangsa.

“Saat ini saya ingin fokus menyanyi kerana impian saya cuma satu mahu menjadi penghibur yang bisa mencipta lagu. Kalau boleh, saya mahu bekerjasama dengan kumpulan band luar supaya boleh menembusi pasaran luar hingga seluruh dunia,” katanya.

Sebagai persediaan merealisasikan impiannya itu, Agnes cuba mengintai peluang di Eropah bersama pengurusnya. Antaranya ke England bekerjasama dengan Vanya, Maurice dan Shawn. Kemudian Agnes ke Korea bergabung dengan kumpulan F4.

Dalam lakonan pula, Agnes berlakon dalam filem The Hospital bersama Jerry Yan serta duet dengan Keith Martin menerusi album Whaddup A…? Pada 15 Mei 2007, Agnes menjadi penyanyi untuk pembukaan konsert Boyz II Men di Istora Senayan, Jakarta.

MATAHARIKU

Tertutup sudah pintu… pintu hatiku
Yang pernah dibuka waktu hanya untukmu
Kini kau pergi dari hidupku
Ku harus relakanmu walau aku tak mau

Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

Dengarlah matahariku suara tangisanku
Ku bersedih kerna panah cinta menusuk jantungku
Ucapkan matahariku puisi tentang hidupku
Tentangku yang tak mampu menaklukkan waktu

Berjuta warna pelangi di dalam hati
Sejenak luluh bergening menjauh pergi
Tak ada lagi cahaya suci
Semua nada beranjak aku terdiam sepi

PROFIL
Nama sebenar: Agnes Monica Muljoto
Tarikh lahir: 1 Julai 1986
Tempat lahir: Jakarta, Indonesia
Agama: Kristian
Hobi: Ice skate dan badminton
Berat: 49 kilogram
Tinggi: 165 sentimeter
Kerjaya: Penyanyi, pelakon
Sinetron: Pernikahan Dini, Jelita, Kawin Massal
Pencapaian: Most Favorite Female’ MTV 2006, Artis Solo Wanita Terbaik dan Penyanyi R&B Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI) 2006, Artis Terpopuler 2006, Indonesia Kids Choice Award 2008, Most Favourite Female melalui single Matahariku di Anugerah MTV Indonesia 2008.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Godam: Bahasa Melayu – Surat Terbuka Kepada Perdana Menteri

9 Apr

Bersama Salbiah Ani

PUCUK pimpinan negara berpindah tangan dan membabitkan peralihan tiga tokoh penting peringkat nasional iaitu Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak di samping Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, hendaknya membawa nur gemilang kepada bahasa Melayu.

Najib memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dengan slogan Satu Malaysia dan menyaksikan beliau turun padang pada hari kedua selaku pemimpin tertinggi negara dengan meninjau kelompok marhaen China di Jalan Petaling, Melayu (Vista Angkasa) dan India (Brickfields).

Hendaknya semangat kembali ke ‘akar’ ini, turut dipanjangkan kepada orang bahasa dan sastera yang kini menangisi nasib bahasanya kerana bukan saja terpinggir dalam Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI), tetapi juga dalam acara rasmi negara.

Bahasa Melayu seolah-olah ‘kudis’ pada mata orang politik dan lebih menyedihkan apabila layanan sedemikian rupa dilakukan pemimpin Melayu, manakala bukan Melayu daripada Barisan Nasional mahupun pembangkang, masih setia menuturkannya meskipun sudah ada satu dua yang ‘murtad’.

Inilah masanya untuk Najib menunjukkan beliau dan Umno peka terhadap nasib orang Melayu seperti bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sehingga sanggup memastikan kelompok marhaen bangsanya dibela melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pasti ramai bersetuju bahawa tahap kesabaran orang Melayu sudah sampai ke kemuncak kerana ada saja insiden yang mempamerkan perbuatan menjolok ‘sarang tebuan’, dengan terbaru agama Islam turut menjadi bahan sendaan kelompok tidak bertanggungjawab.

Selepas jenuh perkataan Allah cuba dipermainkan The Herald – The Catholic Weekly, terkini seorang pemimpin parti pembangkang peringkat negeri mempersendakan ayat suci al-Quran ketika mengadakan ceramah di Bukit Gantang dan kononnya memetik Surah al-Aura (Surah al-A’raf).

Perbuatan biadap individu ini menimbulkan kemarahan ramai umat Islam negara ini, tetapi anehnya pemimpin tertinggi sebuah parti pembangkang mempertahankan tindakan individu tidak bertanggungjawab itu dan menterjemahkannya sebagai gelombang kebangkitan Islam.

Terhiris hati melihat pengiktirafan secara terbuka yang diberikan pemimpin tertinggi yang warak itu, sedangkan ketika ijtihad ulama Islam diketuai cendekiawan Islam tersohor, Yusuf al-Qaradawi, mengenai hukum haram merokok dan dipersetujui Majlis Fatwa Kebangsaan, tokoh ini membisu.

Mudahnya pemimpin ini mengeluarkan kenyataan itu, seolah-olah tertutup hati dan akal budi untuk melihat, betapa perbuatan terbabit mempamerkan kelemahan Melayu, selain lebih memilukan khalayak bangsanya termasuk berkopiah bertepuk tangan, sedang hakikatnya mereka diperbodohkan!

Sepatah kata seorang teman, sesetengah Melayu Islam mudah melihat perbuatan kafir memetik sedikit surah sebagai menerima hidayah, walhal mereka diperbodohkan secara terbuka oleh rakyat senegara dan berkemungkinan bakal memusnahkan agama serta bangsanya kemudian hari.

Apakah kita enggan belajar daripada penghinaan dan keaiban terkutuk terhadap bangsa mahupun Islam seperti pernah dilakukan Gabenor Indonesia ketika pemerintahan Belanda, Snouck Hurgronje atau hakikatnya kelompok ini buta sejarah!

Hurgronje ketika berkhidmat sebagai penasihat kepada JB van Heutsz mengatur strategi dengan pengetahuannya itu hingga mengakibatkan 50,000 hingga 100,000 nyawa penduduk awam yang tidak berdosa, lebih sejuta lain tercedera dan kecacatan seumur hidup.

Sanggupkah kita merelakan pembohongan Orientalis Belanda yang menyamar sebagai ‘Abd al-Ghaffar (1882-1885) untuk menyelinap ke Makkah bagi mendapatkan kepakaran dan memahami budaya Islam dalam usahanya membantu Belanda menjajah Aceh, tercatat dalam sejarah Malaysia?

Apakah kita juga rela sekiranya tanggapan tidak salah menggunakan nama Allah meskipun sahih lagu untuk gereja, seperti diakui penyanyi Indonesia, Agnes Monica, berketurunan Cina dan beragama Kristian, dalam mempertahankan kontroversi lagunya, Allah Peduli, turut berkembang di Malaysia?

Sesungguhnya banyak peristiwa sudah tercatat dalam sejarah bangsa di Nusantara dan turut terkandung dalam teks Karya Agung Melayu (KAM) seperti Sejarah Melayu mahupun Sulalat al-Salatin yang boleh dijadikan bahan bacaan, renungan dan bermuhasabah diri demi kepentingan bangsa mahupun agama!

Berita Harian

Agnes Yakin Peminat Tak Lari

5 Apr


AGNES menafikan dirinya sakit akibat penurunan sebanyak sembilan kilogram berat badannya. Sebaliknya, kata Agnes, kesibukan membuat jadual makannya tidak menentu.

Penyanyi dan pelakon Indonesia, Agnes Monica, telah dikecam teruk segerombolan golongan yang berasa penyanyi berusia 23 tahun ini tidak sensitif dan menyinggung perasaan rakyat Malaysia dengan lagu berjudul Allah Peduli. Perkataan Allah itu dikatakan tidak seharusnya diguna pakai dalam sebuah lagu.

Bertemu dengan Agnes di Plaza Senayan, Jakarta, Indonesia, artis berbangsa Cina yang menganut agama Kristian ini mempunyai jawapan untuk kontroversi yang tercetus.

Dalam bicaranya, Agnes yang sedang popular dengan single terbarunya, Teruskanlah, ringkas menyimpul situasi dengan berkata: “Jangan mencari musuh. Lebih enak kita semua berteman walau berbeza agama.”

Kamu tahu tentang isu Allah Peduli di Malaysia? Apa komen kamu?

Ya, saya tahu. Sejujurnya baru tahu. Begini ya. Lagu itu sebenarnya lagu yang dibikin khusus untuk dinyanyikan di gereja. Allah Peduli tidak pernah terkandung dalam mana-mana album saya.

Di sini, saya rasa masalahnya timbul kerana bahasa. Dalam agama saya iaitu Kristian, perkataan Allah itu sama maksudnya dengan Tuhan dan Jesus seperti yang terkandung dalam kitab kami.

Di Indonesia, ia juga tidak menjadi satu isu kerana penggunaan perkataan Allah itu juga diguna pakai oleh semua orang yang percaya kepada agama mereka.

Maksudnya sekarang anda berasa tiada yang salah dalam penggunaan perkataan Allah itu?

Ya. Makanya sebab itu saya kata ia adalah masalah bahasa. Begini, kita kalau melihat sisi negatif, maka apa yang kita dapat adalah negatif. Saya bukan tidak sensitif atau peka, tapi itu adalah penggunaan bahasa.

Tapi sensitiviti rakyat atau masyarakat Islam di Malaysia itu berbeza dengan di Indonesia?

Saya bukan orang yang tidak sensitif. Hanya pada saya, jangan kerana masalah bahasa, ia menggoyang keharmonian kita. Jujur, saya tidak akan meminta maaf kerana kesalahan bahasa.

Begini ya, mengapa kita perlu menuding dan cuba mencari kesalahan bahasa ini? Mengapa kita harus membandingkan agama yang kita percayai? Jangan begitu dan membuat perbezaan.

Menurut saya, apa pun pegangan atau kepercayaan seseorang itu, jika dia jahat, maka tetap jahat dan begitu juga sebaliknya. Dan paling penting, Allah Peduli bukan sebuah lagu komersial yang dimainkan di corong radio. Sebaliknya Allah Peduli adalah sebuah lagu gereja.

Tapi kamu tidak takut kalau peminat kamu di Malaysia lari?

Tidaklah, saya percaya peminat saya di Malaysia bijaksana. Saya amat berterima kasih dan menghargai peminat saya. Saya juga tidak pernah menyalahkan pihak yang mengharamkan lagu saya atau menimbulkan isu ini.

Cuma pada pendapat saya, daripada memperdebatkan isu ini, lebih baik kita mencari hal positif dan hidup bermasyarakat dengan lebih harmoni dan saling menghormati antara satu sama lain.

Saya juga meminta jasa baik pihak media Malaysia dan semua peminat agar tidak memanjangkan isu ini. Dengan penjelasan ini, saya berharap kekeruhan yang terjadi mampu jernih.

Okey, kamu baru muncul dengan album ketiga. Apa yang lebih istimewa tentang Sacredly Agnezious ini berbanding dua sebelumnya?

Ia adalah album yang menyaksikan saya menjadi penerbit dan bekerjasama dengan tenaga produksi yang lain. Perasaannya lebih puas kerana saya membikin sendiri karya-karya saya. Ia boleh diklasifikasikan sebagai sebuah album yang lebih energetik dan mempunyai banyak nuansa yang segar.

Kosmo

Jelita Agnes Monica

4 Apr

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN (yang menemubual Agnes Monica atas jemputan Tropic Jaya Entertainment di Jakarta, baru-baru ini)
mizan@hmetro.com.my

Rap

PENAMPILANNYA ringkas tetapi tetap kelihatan anggun dan seksi, apatah lagi dia hanya memakai kemeja labuh.

Jauh berbeza dengan penampilan dalam sinetron Jelita yang ditonton hampir dua juta penduduk negara ini, susuk tubuhnya kurus, manakala rambutnya pula pendek.

Begitulah ‘wajah’ terkini Agnes Monica, 22, yang sempat ditemui Selebriti dan beberapa wartawan media cetak dan elektronik Malaysia di sebuah restoran makanan Jepun di Senayan Square, Jakarta, Selasa lalu, ketika dia bersama keluarganya menikmati makan malam.

Awal pertemuan, dia sedar ramai mengatakan dia semakin kurus kerana sakit.

Namun, katanya, dia kurus bukan kerana sakit, tetapi kerja kerasnya dalam menjalani latihan nyanyian, tarian dan apa saja aktiviti berkaitan industri hiburan yang diceburinya membuatkan badannya semakin susut.

“Ramai mengatakan saya kurus kerana sakit, tetapi sebenarnya tidak. Saya kurus kerana sibuk dengan latihan dan menguruskan karier sebagai penyanyi dan pelakon.

“Latihan untuk tarian saja enam jam sehari. Berat badan saya turun sembilan kilogram sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Menyentuh mengenai rambutnya pula, sambil tersenyum Agnes berkata, segalanya bermula apabila tukang gunting yang memotong rambutnya ‘tersalah potong’.

“Rambut saya ‘salah potong’, justeru saya suruh potong lagi biar jadi pendek. Ternyata saya selesa dengan rambut begini kerana mudah diuruskan,” katanya.

Ketepikan soal wajahnya kerana walau dalam apa jua ‘rupa’ sekalipun Agnes tetap jelita, manakala imej seksi serta lincah dimilikinya tetap terserlah.

 

 

Persoalan utama yang perlu dijawab Agnes adalah mengenai lagu Allah Peduli yang menjadi isu di negara ini.

Ia bermula dengan pendedahan di dalam ruangan Cerita Artis Kita (CAK), Metro Ahad, mengenai lagu itu pada 8 Mac lalu. Lagu itu dipenuhi kalimah Allah sehingga ke ayat terakhir yang menyebut ‘Tak akan pernah dibiarkannya ku bergumul sendiri sebab Allah Yesus ku mengerti’.

Selangor kemudian mengharamkan lagu itu dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) pula menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengharamkan lagu berkenaan kerana boleh mengelirukan umat Islam.

Saat ditanya mengenai kontroversi itu, Agnes mengakui mengetahuinya dan terkejut.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak kecewa dan tidak bimbang kehilangan peminat kerana baginya apa yang berlaku hanya perbezaan bahasa.

“Lagu itu lagu gereja. Di Indonesia, dalam agama Kristian, kita boleh memanggil Tuhan itu Tuhan, Allah dan Yesus. Bagi saya ia tiada masalah, cuma perbezaan bahasanya,” katanya.

Menurut Agnes, dia tidak pernah terfikir lagu dinyanyikannya akan menjadi isu.

Katanya, ia bergantung kepada pendapat masing-masing kerana jika seseorang itu mahu melihat sesuatu itu daripada sudut negatif, banyak perkara negatif akan diperoleh.

“Saya rasa ia (lagu Allah Peduli) bukan sesuatu hal yang perlu diperbesar-besarkan.

“Masyarakat Malaysia harus tahu itu perbezaan bahasa, kalau perbezaan bahasa, ya sudah… tak perlu ada hal yang perlu diperbesarkan lagi,” katanya.

Agnes yang berbangsa Cina dan beragama Kristian berkata, dia tidak perlu meminta maaf kerana tiada sesiapa yang salah dalam hal berkenaan. Katanya, lainlah jika dia orang Malaysia.

“Tiada sesiapa yang salah. Penulis liriknya pun tidak salah kerana di Indonesia perkataan Allah digunakan untuk Tuhan (bagi orang Kristian).

“Sama ada orang Malaysia atau Indonesia, mereka perlu tahu perbezaan bahasa boleh menimbulkan isu sensitif seperti ini. Apa yang berlaku hanya masalah bahasa dan tidak ada yang salah,” katanya.

Menurut Agnes, dia mahu meletakkan noktah kepada isu berkenaan dan berharap ia tidak diperkatakan lagi.

“Cukuplah sampai di sini. Saya tidak menyalahkan orang Malaysia kerana berfikiran begitu.

“Kalau terus menuding siapa yang benar, siapa yang salah, akhirnya kita bercakap mengenai bangsa. Ia sesuatu yang tidak sihat,” katanya yang tenang sepanjang menjawab kontroversi mengenai lagu berkenaan.

Sebagai maklumat, lagu Allah Peduli tiada di dalam album Agnes dan ia hanya dinyanyikan di gereja.

Selain meminta penjelasan mengenai lagu berkenaan, Agnes turut dikhabarkan dengan sambutan sinetron Jelita di negara ini dan ternyata dia menghargai sokongan diberi peminat di Malaysia.

“Saya sangat senang dengan khabar itu, siapa yang tidak suka karyanya dihargai… diminati.

“Justeru, apapun yang terjadi, saya yakin orang Malaysia pintar dan bijak dalam melihat sesuatu isu, termasuk isu seperti itu (lagu Allah Peduli).

“Saya harap isu yang dibahas tadi tidak ganggu hubungan baik sesama kita dan ia tidak ganggu kesenangan saya untuk tampil di Malaysia,” katanya.

Agnes juga mengakui ‘capek’ (penat) untuk menghabiskan penggambaran Jelita.

“Capek! Saya perlu berterusan menangis. Kalau di Indonesia, tayangannya setiap hari dan disebabkan itu saya perlu menyiapkan 50 babak sehari.

“Boleh dikatakan kebanyakan babak memerlukan saya menangis. Sempatlah dalam satu hari mata saya bengkak kerana banyak menangis,” katanya.

Dalam pertemuan selama 30 minit itu, Agnes turut bercerita mengenai album barunya yang dilancarkan keesokan harinya (Rabu) secara langsung di stesen televisyen RCTI.

Album diberi judul ‘sacredly agNEZious’ itu menggabungkan muzik daripada dance R&B, rock, ballad sehinggalah blues dan lebih mantap daripada album sebelum ini.

Buat pertama kali Agnes bertindak sebagai penerbitnya, malah foto untuk ‘cover’ album terhasil daripada ideanya.

“Untuk album ini saya puas kerana ia lahir daripada citarasa dan kehendak sendiri. Saya juga bersyukur dapat bekerja dengan syarikat rakaman yang bersikap terbuka dan bersedia menerima apa yang saya mahukan,” katanya yang kini sibuk mempelajari bahasa Korea dan Jepun selepas berjaya menguasai bahasa Mandarin.

Agnes mempertaruhkan ‘single’ berjudul Teruskanlah dan berita gembira untuk peminat Agnes di negara ini, album berkenaan akan ada di pasaran Malaysia penghujung April ini.

Sementara itu, pada akhir pertemuan, Agnes mengakui dia mempunyai ‘teman tapi mesra’ di Jepun walaupun pada mulanya mengelak ditanya mengenai soal peribadi.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Fida Tunggu Matahari

27 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

APRIL ini, genap setahun, pendatang baru di persada seni tanah air, Rafidah Ibrahim (Fida) bernaung di bawah payung syarikat rakaman tempatan bertaraf antarabangsa.

Namun, sampai sekarang, juara Pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene ini rupa-rupanya masih menagih janji syarikat rakamannya untuk muncul dengan single seperti dijanjikan sebelum ini.

“Saya mengikat kontrak selama dua tahun dengan syarikat rakaman berkenaan, April tahun lalu. Namun sampai sekarang, saya seperti ‘menunggu buah yang tidak jatuh.’ Mengikut perjanjian, mereka sepatutnya buat dua single dan satu album untuk saya. Tapi sampai sekarang, satu single pun tidak ada lagi.

“Syarikat rakaman hanya menabur janji manis dan sampai sekarang, ia hanya tinggal janji saja. Saya ada berbincang dengan syarikat rakaman tapi masih tiada jalan penyelesaian terbaik.

“Justeru, saya memutuskan untuk keluar daripada syarikat rakaman dengan segera sekalipun kontrak dengan mereka belum tamat. Saya terpaksa bertindak sedemikian rupa kerana memikirkan masa depan saya dalam bidang nyanyian,” katanya.

Dalam pertemuan dengan Rap di Studio di Balai Berita, baru-baru ini, Fida, 23, mengakui dia bukanlah berasal daripada keluarga berada.

“Saya anak bongsu daripada 12 beradik dan kini tinggal bersama ibu di Kuala Lumpur. Sebelum ini, saya tinggal di Kuantan kerana menuntut di kolej di sana.

“Pada usia sekarang, sudah menjadi tanggungjawab saya menyara ibu selepas bapa meninggal dunia. Adik-beradik lain sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.

“Kalau orang lain menjejakkan kaki dalam bidang seni untuk mencari glamor, saya pula sebaliknya untuk menyara hidup dengan menjadi hos dan undangan menyanyi.

“Setakat ini, undangan menyanyi tidak putus diterima. Terbaru, saya akan menjayakan persembahan di booth Harian Metro, sempena Karnival Jomheboh TV3 di Kuantan, Pahang pada hujung minggu ini,” katanya.

 

 

Kini, kata Fida, impiannya adalah untuk tampil dengan sekurang-kurangnya single terlebih dulu pada tahun ini.

“Saya mengharapkan ada sinar dalam kerjaya seni tahun ini. Terus terang, saya sudah berasa malu nak bercakap soal single ini. Setiap kali ditemu bual pihak media, soalan itulah yang kerap ditanya, bila saya nak keluar single?

“Sebenarnya, lagu untuk single pertama sudah ada berjudul Matahariku ciptaan dan lirik rakan kolej, Mito. Lagu itu sudah lama dihasilkan dan cuma menunggu masa untuk masuk studio.

“Lagu ini juga tiada kaitan langsung dengan lagu dendangan Agnes Monica yang mempunyai judul sama, Matahari. Apabila lagu Agnes keluar, saya terkejut kerana hampir sama dengan judul single saya. Sebenarnya lagu ini sudah lama dihasilkan sebelum Agnes muncul dengan lagunya itu,” katanya.

Apapun ujian yang datang dalam hidupnya, Fida yang juga ada kaitan keluarga dengan Datuk Siti Nurhaliza (di sebelah bapa) ini tidak pernah patah semangat untuk menempa nama sebagai penyanyi berjaya pada masa depan.

“Saya percaya, kejayaan boleh dicapai menerusi kerja keras. Cita-cita saya ingin menjadi penyanyi versatil dan boleh menyanyi pelbagai genre lagu sama ada irama Malaysia, balada, pop rock, R&B, soul atau jazz.

“Saya juga ingin mencapai kejayaan dengan usaha sendiri tanpa menumpang nama Siti. Justeru, apabila ada suara sumbang yang mengatakan saya muncul di persada seni tanah air kerana ingin menumpang populariti Siti, ia cukup mengguris hati saya.

“Hakikatnya, saya tidak terlintas pun untuk berbuat demikian. Mungkin wajah dan suara saya mirip dengan Siti tapi ia hanya satu kebetulan saja kerana saya ingin tampil dengan identiti sendiri.Paras rupa dan bakat saya ini adalah anugerah Allah yang tidak ternilai,” katanya.

Mengenai bidang pengacaraan pula, kata Fida yang dikenali dalam program program kanak-kanak, Riwayat

Kamil (Astro Oasis) dan Carta Nasyid (TV9), dia juga mengidamkan program bercorak hiburan pula selepas ini.

“Saya sering diberi peluang menjadi hos program bercorak keagamaan kerana imej bertudung ini.

Sebenarnya, saya juga ingin mencuba bakat menjadi hos program lain juga untuk mencari pengalaman dan mengembangkan bakat sedia ada,” katanya.

Bakat nyanyian Fida, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mula digilap sejak di bangku sekolah lagi. Malah, bekas penuntut Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas ini kerap menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat sekolahnya dulu.

Tidak cukup dengan itu, Fida kerap menyertai pertandingan menyanyi dan nasyid di peringkat kolej ketika menuntut dalam jurusan Diploma Perniagaan Kolej Shah Putra, Kuantan.

Antaranya, persembahan pada majlis penutup jubli perak sempena Keputeraan Sultan Pahang, pementasan Teater Legenda Mahsuri anjuran bersama kolej ShahPutra dan Yayasan Kebudayaan Pahang.

>Profil

NAMA: Rafidah Ibrahim

PANGGILAN: Fida

TARIKH LAHIR: 4 Jun 1986

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

AKADEMIK: Penuntut jurusan Diploma Perniagaan, Kolej ShahPutra, Kuantan

STATUS: Bujang

KERJAYA: Model iklan, pengacara dan penyanyi

PROGRAM TV: Perantara Festival Nasyid Kebangsaan ke-18, Carta Nasyid (TV9), Program Astro Oasis: Riwayat Kamil

PENCAPAIAN: Juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene

NAMA: Rafidah Ibrahim

PANGGILAN: Fida

TARIKH LAHIR: 4 Jun 1986

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

AKADEMIK: Penuntut jurusan Diploma Perniagaan, Kolej ShahPutra, Kuantan

STATUS: Bujang

KERJAYA: Model iklan, pengacara dan penyanyi

PROGRAM TV: Perantara Festival Nasyid Kebangsaan ke-18, Carta Nasyid (TV9), Program Astro Oasis: Riwayat Kamil

PENCAPAIAN: Juara Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Jarum Emas: Kita Tak Peduli

22 Mar

Oleh ADAM SALLEH
adam@hmetro.com.my

Rap
BUKAN sekali dua, tetapi berkali-kali Rasulullah SAW dihina. Apabila tiga akhbar di Denmark menyiarkan karikatur Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya ala bom, disokong 17 akhbar lain sebagai tanda pertahankan kebebasan bersuara ala Barat, masyarakat Islam di seluruh dunia melenting.

Tidak cukup di Denmark, di Belanda pula, Ahli Majlis Perundangannya, Geert Wilders menghina Islam melalui filem Fitna, di mana paderi radikal menyebut surah al-Quran dengan disisipkan imej serangan 11 September 2001 di WTC, pengeboman kereta api penumpang di Madrid, Sepanyol pada 2004 dan pembunuhan pengeluar filem Belanda, Theo Van Gogh, di Amsterdam Street pada akhir tahun itu.

Di negara kita, yang termampu ialah protes, kempen boikot produk negara itu dan menyerahkan memorandum kepada kedutaan negara berkenaan, kerana kita juga bengang junjungan besar nabi kita dicerca.

Itu kata di mulut, kata di hati tiada siapa tahu. Seikhlas mana kita pada Rasulullah, acap kali terjadi umpama mencurah air di daun keladi. Sebabnya, kasih itu tidak melekat di sanubari.

Sebagaimana kita maklum 9 Mac lalu, bersamaan 12 Rabiulawal 1430, masyarakat Islam di seluruh dunia meraikan Maulidur Rasul. Saban tahun, majlis yang sejak kanak-kanak lidah saya menyebutnya ‘maulud nabi’ itu begitu retorik, berarak ramai-ramai pada sebelah pagi, tengah hari selesai.

Kalau tidak pun, malamnya ada ceramah dan jamuan. Menyedari betapa singkatnya rasa kasih kita pada Rasulullah berbanding kasih sayang baginda terhadap umatnya hingga ke akhir zaman menyuntik kesedaran pada Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia mementaskan Sirah Junjungan-Tahajud Cinta. (gambar)

Bagai mohon keberkatan, teater muzikal ini bermula pada 9 Mac iaitu hari Maulidur Rasul dan berakhir hari ini (22 Mac) di Panggung Sari, Istana Budaya. Digarap oleh Erma Fatimah, Sirah Junjungan-Tahajud Cinta membariskan ramai pelakon hebat seperti Ahmad Yatim, Vanidah Imran, Mazlan Tahir, Rosdeen Suboh, Rebecca Nur Islam, Aman Graseka, Jesse Lim dan Ustaz Dinie Jurie.

Empat penghibur ternama, Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza, Amy Search dan Mawi menjadi undangan khas bagi menambah lagi variasi teater muzikal ini. Malang pula, sekalipun ada nama besar, tetapi masih tidak mampu merangsang umat Islam di ibu kota untuk menonton teater itu.

Ketika hadir pada hari persembahan membabitkan Siti, saya diberitahu pada hari itu penontonnya ramai sekalipun masih ada kerusi kosong berbanding minggu pertama pementasan bermula.

Apa yang tidak kena? Hal ini turut memeningkan kepala pengarahnya. Harga tiket RM30, RM50, RM80 dan RM100 dan RM150 tidak berapa mahal berbanding konsert Mariah Carey, namun inilah bahana jika menonton teater berkonsepkan Islamik tidak ditafsir sebagai ibadah, sebaliknya dinilai hiburan.

 

 

Dek kerana miskin penonton dan bagi mengelak kerusi Panggung Sari sepi, Erma menghubungi saya minta berurusan dengan pihak atasan Harian Metro (HM) bagaimana mahu menarik ramai penonton.

Sukar menidakkan, ketika berlangsungnya Konsert Alam Muzik M.Nasir, di mana HM dan Berita Harian menjadi media rasmi, produksi Sirah Junjungan pula berlatih di IB, Erma tertarik bagaimana strategi publisiti di akhbar kami membuatkan konsert M Nasir mendapat sambutan di luar dugaan.

Penyudahnya, atas persetujuan HM, untuk satu hari pementasan tiada tiket dikenakan, sebaliknya sesiapa yang membawa HM ke IB pada hari itu membolehkannya menonton Sirah Junjungan secara percuma.

Ratusan pementasan di IB, seingat saya ini julung kali pihak penerbit terpaksa menawarkan masuk percuma untuk menonton teaternya. Agak mengecewakan jika teater merepek meraban tidak menjadi isu, tetapi ini pementasan sempena Maulidur Rasul bagi mengenangkan perjuangan Rasulullah SAW.

Saya difahamkan, tiket lembap untuk hari pementasan Mawi berbanding Amy Search pada malam terakhir (22 Mac), itupun cuma tiket RM30, RM50 dan RM80 yang jalan, tiket RM100 dan RM150 lesu.

Setiap kita menanti kebangkitan Islam. Bagaimana mahu bangkit dalam keadaan Islam ditekan, usah khuatir kerana ‘grand design’ ada pada Allah dan Erma antara penyumbangnya.

Harus diingat, musuh Islam pula tidak jemu-jemu mencalarkan maruah Islam, menghina Rasulullah dan yang terbaru, bagaimana kalimah Allah dijadikan paparan lantai dan kemudian dipijak oleh makhluk berupa ‘syaitan’ bermain gitar dalam permainan komputer, Guitar Hero III-Legends Of Rock.

Permainan ini dibangunkan oleh syarikat Neversoft dan dikeluarkan oleh Activision dan RedOctane. Neversoft adalah sebuah syarikat pembangunan video-game yang berpangkalan di Amerika Syarikat, dan dipunyai oleh Joel Jewett (berasal dari Montana, Amerika) bersama dengan Chris Ward dan Mick West.

Natijahnya, untuk apa kita melenting, kita menyampah apabila Agnes Monica mengalunkan lagu Allah Peduli, walhal tanpa kita sedari kita sendiri tidak peduli untuk mengikhlaskan kasih terhadap kekasih-Nya, Muhammad Rasulullah SAW. Syabas buat Erma dan tenaga produksi Sirah Junjungan.

ADAM: Wahdah Pemangkin Khaira Ummah.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Mais Mahu Saman Majlis Peguam

20 Mar

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail
nazuri@bharian.com.my

Penggunaan kalimah Allah pada undian diterbit dalam laman web dianggap subjudis

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) kerana menggunakan kalimah Allah pada undian yang diterbitkan di laman web pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata tindakan Majlis Peguam itu bersifat subjudis kerana kebenaran menggunakan kalimah Allah oleh bukan Islam masih dalam semakan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Penggunaan kalimah Allah pada undian di laman web Majlis Peguam boleh menggugat sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Laman Web Majlis Peguam mengemukakan tajuk undian sama ada wajar mana-mana bangsa seperti penganut Islam mendapat hak eksklusif perkataan Allah.

Sebelum ini, Mais memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Majlis Peguam kerana menggunakan kalimah Allah dan tindakan itu hanya akan diambil selepas mendapat pandangan pihak lain terutama peguam Mais.

Mohamad Adzib berkata, tindakan undang-undang itu mengikut peruntukan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Katanya, Seksyen 9 enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan sama ada orang Islam atau bukan Islam menggunakan kalimah Allah dalam memperihalkan kepercayaan agama bukan Islam.

Mengenai pengharaman lagu Allah Peduli yang dinyanyikan penyanyi Indonesia, Agnes Monica, Mohamad Adzib berkata, tindakan itu kerana liriknya yang mengelirukan umat Islam.

Beliau berkata, peringkat awal lagu itu, perkataan Allah merujuk kepada umat Islam tetapi seni kata akhir ungkapan ‘Allah Jesusku’ merujuk kepada Allah yang memperanakkan Jesus seperti kepercayaan penganut Kristian.

“Ini adalah penyelewengan kepada kalimah Allah yang merupakan zat maha suci lagi esa yang dikhuatiri mengelirukan umat Islam kerana seolah-olah Allah terikat dengan makhluk ciptaan-Nya,” katanya.

Katanya, larangan itu akan dihebahkan di masjid seluruh negeri menggunakan khutbah Jumaat selain meminta pihak berkuasa agama negeri lain mengambil tindakan sama.

Berita Harian

Stacy Saingi Agnes

18 Mar

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BARU sahaja melangkahkan kaki ke dalam dunia seni sambil membawa harapan tinggi menggunung untuk mencipta nama sebagai penyanyi yang berjaya, Stacy sudah dilabel tidak mempunyai identiti tersendiri.

Pemilik nama penuh Stracie Angie Anam dikatakan meniru dan memperlihatkan corak persembahan penyanyi dari negara seberang, Agnes Monica.

Bukan itu sahaja, dalam usia setahun bergelar penyanyi, dia sudah dilayangkan gelaran Agnes Monica Malaysia yang pada dirinya amat berat untuk dipikul sebagai budak mentah yang baru berusia 19 tahun.

Kepada Stacy, pertanyaan yang sama cuba dilontarkan buat dirinya semasa ditemui pada majlis pradengar album sulung miliknya, Aku Stacy yang berlangsung di Maestro Talent and Management Sdn. Bhd. di Bukit Damansara, Selangor minggu lalu.

Tersenyum manis tanda memahami prasangka umum yang mengaitkan dirinya dengan selebriti yang berasal dari Indonesia itu, Stacy bersedia membuka bicara lalu menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

“Nampak sahaja konsep album kami sama, malah kami juga memiliki persamaan apabila berupaya menari dengan lincah semasa menyanyikan lagu-lagu yang berentak rancak.


STACY mengakui meminati stail dan gaya Agnes Monica.

“Namun ini tidak bermakna saya cuba meniru dia (Agnes) demi meraih perhatian daripada para peminat.

“Kalau didengari betul-betul, saya dan Agnes ada perbezaan dari segi nyanyian,” ungkap anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu bersungguh-sungguh memperbetulkan persepsi umum.

Sekiranya begitulah jawapan Stacy, barangkali ada sesetengah pihak yang beranggapan dia tidak tahu menghargai ‘apresiasi’ yang ditujukan kepadanya.

Walhal, Stacy sebagai individu baru dalam cabang seni sepatutnya berbangga dengan gelaran yang diberikan lebih-lebih lagi apabila dia disamakan dengan artis berpengaruh di negara jiran itu.

Stacy bagaimanapun mempunyai alasan relevan enggan disamakan dengan Agnes. Bukan tidak tahu berterima kasih, sebaliknya dia mahu identiti yang tersendiri tanpa perlu disamakan dengan orang itu dan ini.


AGNES MONICA

“Saya bersyukur apabila dikaitkan dengan nama besar ibarat Agnes, apatah lagi penyanyi itu sudah ada tangga populariti di negaranya.

“Cuma kalau boleh, saya minta supaya tidak terus disamakan dengan Agnes, malah jika boleh saya hendak bersaing dengan dia untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih berjaya.

“Memanglah sebelum ini saya ada mendengar orang ramai bercakap saya ada persamaan dengan Agnes kerana kami berupaya menyanyi sambil menari dalam satu-satu masa dengan lincah.

“Biarpun begitu, saya tidak boleh sesuka hati menilai diri, tambahan pula saya jarang berkesempatan lihat persembahan serta corak nyanyian Agnes ketika di kaca TV atau dalam mana-mana persembahan sebelum ini.

“Saya mengamalkan prinsip buat kerja sendiri dengan bersungguh-sungguh. Selebihnya biarlah peminat yang buat kesimpulan tentang saya,” tutur Stacy yang lahir pada 18 Ogos 1990.

Menyambung bicaranya dalam loghat Sabah, Stacy mengaku Agnes bukanlah idolanya sebelum ini, atau sesudah bergelar seorang penyanyi.

“Tiada maksud saya cuba meniru identiti Agnes disebabkan dia bukannya penyanyi kegemaran saya.

“Diakui saya memang meminati stail berpakaian Agnes yang ditafsirkan begitu sebati dengan gaya saya yang gemarkan pakaian santai dan kelihatan funky di luar atau di pentas.

“Saya mohon sangat selepas ini tiada lagi kata-kata nakal yang mengaitkan saya macam Agnes. Masing-masing punya kelainan tersendiri,” ujar Stacy lembut mohon dimengertikan.

Terbaru, Agnes dilanda kontroversi apabila dia menyanyikan karya berjudul Allah Peduli sedangkan dirinya ialah penganut agama Kristian.

Biarpun sesiapa yang dikaitkan dengan Stacy, paling penting Stacy bijak mengambil yang positif sebagai pengajaran, manakala selebihnya harus dijauhkan dengan segera!

Muncul dengan Aku Stacy

Selepas menjuarai rancangan realiti Akademi Fantasia musim keenam (AF6) setahun lalu, impian Stacy untuk muncul dengan album sulung sendiri sebelum ini, akhirnya tercapai jua.

Tiada lebih membahagiakan Stacy apabila album Aku Stacy yang menampilkan banyak lagu menarik sudah pun berada di pasaran sejak 9 Mac lepas, lantas menemui para peminat di seluruh negara.


STACY (dua dari kiri) sering berjaya menampilkan persembahan penuh bertenaga dengan iringan barisan penari yang mantap.

Dalam nada cukup ceria, album Aku Stacy dianggap memberi signifikan kepada si pemiliknya yang melihat kehadiran album itu sebagai dorongan buat dirinya memulakan langkah sebagai anak seni.

“Sudah tentu saya gembira dengan kemunculan album ini. Aku Stacy memang cukup saya nantikan selama ini,” laung Stacy ringkas yang tidak mampu menyembunyikan riak teruja.

Sambung Stacy lagi, sebagai pendatang baru, dia berpuas hati dengan isi kandungan yang terdapat dalam album miliknya.

“Album ini menampilkan jalur pop dance yang amat sebati dengan jiwa saya apabila menyanyikan lagu rancak sambil menari mengikut rentak.

“Album ini hanya memuatkan dua buah lagu berkonsep balada, selebihnya merupakan lagu-lagu rancak.

“Penghasilan album dengan genre itu disebabkan ada permintaan daripada peminat yang inginkan saya menyanyikan lagu-lagu berirama segar dan pantas.

“Kalau pergi mana-mana termasuk undangan nyanyian, pasti ada peminat datang menghampiri sambil memberikan pendapat agar saya menghasilkan album dengan menghimpunkan irama rancak.

“Dengan saya sendiri yang ada kecenderungan ke arah sama, dan kerana ia memudahkan saya untuk menjayakan persembahan pentas kelak, maka saya terus bersetuju apabila pihak Maestro berhasrat untuk melahirkan album pop dance saya.

“Ia bersesuaian jugalah dengan imej saya sebagai seorang remaja, cergas dan ada sahaja keinginan untuk menari saat muzik dimainkan,” beritahu Stacy tentang personaliti dirinya.

Kalau Stacy terus selesa dengan irama sama, ada kemungkinan selepas ini dia tidak mampu dilabel sebagai versatil.

Umum mengetahui artis yang versatil mempunyai kemampuan bagi membawakan setiap jenis muzik yang diberikan kepada mereka, tanpa ada batas dengan satu-satu genre.

Stacy mengaku agak sukar untuk menyanyikan lagu berentak perlahan lebih-lebih lagi lagu yang dimuatkan ke dalam album sulungnya, Cinta Yang Ku Duga hasil gubahan sepenuhnya oleh Ajai.

“Memang susah sedikit untuk saya menyanyikan lagu ini, malah dalam lagu balada lain saya turut mengalami masalah hendak mengeluarkan emosi dan perasaan dalaman saya.

“Kebiasaannya saya menyanyi lagu rancak, namun selepas ini saya juga akan membiasakan diri dengan menyampaikan lagu berentak perlahan.

“Terus terang dikatakan, banyak perkara yang perlu saya pelajari dalam dunia seni ini, tambahan pula saya masih baru hendak belajar bergelar seorang penyanyi.

“Saya harap agar masyarakat memberi peluang kepada saya untuk pergi lebih jauh, lantas membuktikan saya juga mampu menggenggam impian bergelar penghibur terkenal suatu hari nanti,” akhiri Stacy dengan semangat penuh berkobar-kobar.

Memuatkan sebanyak tujuh buah lagu dan lima daripadanya merupakan lagu-lagu baru, Aku Stacy dapat ditafsirkan kejayaan awal kepada Stacy untuk lebih maju dalam bidang ini.

Antara lagu yang dimuatkan ke dalam album tersebut ialah Gagap, Pakai Buang, Cerah, Cinta Khayalan dan Cinta Yang Ku Duga.

Kosmo

Maipp Gesa Jakim Haram Lagu Nyanyian Agnes Monica

16 Mar

GEORGETOWN: Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengharamkan lagu penyanyi Indonesia, Agnes Monica berjudul Allah Peduli kerana boleh mengelirukan umat Islam.

Yang Dipertuanya, Shabudin Yahaya, berkata arahan pengharaman perlu diseragamkan supaya dapat dikuatkuasakan di seluruh negara.

“Saya masih belum mendengar lagu itu tetapi ada menerima laporan mengatakan liriknya menyentuh sensitiviti agama Islam. Antara liriknya menyebut Sebab Allah Yesusku mengerti,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai lagu penyanyi wanita Indonesia itu yang menggunakan perkataan Allah beberapa kali, manakala perkataan di akhir lagu menyebut Sebab Allah Yesusku mengerti.

Jumaat lalu, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengharamkan lagu itu kerana dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam.

Shabudin berkata, Maipp bersedia dan akur setiap arahan daripada Jakim sama ada mengharamkan lagu itu atau menarik edaran album yang mengandungi lagu berkenaan.

“Bagaimanapun, Maipp tidak boleh mengambil tindakan pada masa ini kerana tiada arahan rasmi daripada pihak atasan berhubung pengharaman lagu berkenaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pihak berkaitan supaya lebih prihatin dan berhati-hati sebelum meluluskan sebarang kemasukan lagu dari luar negara bagi mengelak perkara seumpama itu berulang.

“Penggunaan perkataan Allah oleh agama selain Islam tidak dibenarkan untuk mengelak kekeliruan. Selain itu, mereka perlu berhati-hati memilih lagu pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan bukan Islam diwartakan hujung bulan ini.

“Pewartaan itu dibuat mengikut garis panduan Majlis Raja-Raja berikutan negeri ini tidak beraja,” katanya.

Isu penggunaan perkataan ‘Allah’ timbul selepas akhbar mingguan Herald Catholic menggunakannya dalam edisi Bahasa Malaysia.

Bagaimanapun, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan melarang ia digunakan untuk penerbitan bukan Islam. Sebanyak 10 negeri sudah mewartakannya kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Berita Harian