Archive | Maizurah Hamzah RSS feed for this section

Filem-Filem Santapan Aidilfitri

13 Oct

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

SUDAH menjadi satu kelaziman apabila tibanya Aidilfitri, penerbit filem tempatan mula berlumba-lumba untuk menayangkan filem-filem mereka buat santapan penonton yang mahu meluangkan masa menonton filem di Hari Raya.

Tahun ini juga tidak terlepas bagi dua buah filem Melayu iaitu Otai dan Budak Lapok yang sama-sama berentap dan bersaing untuk memastikan filem mereka mendapat sambutan.

Namun, laluan mereka bukanlah mudah kerana mereka juga perlu bersaing dengan filem-filem Hollywood yang ditayangkan pada musim raya ini. Namun, semuanya terpulang pada selera penonton. Dalam menikmati kehebatan filem luar, janganlah kita lupa dengan filem kita sendiri. Kalau bukan kita yang menyokongnya, siapa lagi.

Mari kita lihat filem-filem yang ditayangkan sempena musim Aidilfitri ini untuk santapan para penonton.

* Tajuk: Otai

– Penerbit: Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Line Clear Motion Pictures

– Pengarah: Profesor Madya A. Razak Mohaideen

– Pelakon: Saiful Apek, Nasha Aziz, Salleh Yaacob, Azean Irdawaty, Yassin Yahya dan Aznil Nawawi

– Genre: Komedi

* Tajuk: Budak Lapok

– Penerbit: Matahari Animation & Production Sdn. Bhd.

– Pengarah: Anwardi Jamil dan Zulkeflee Mohd. Said

– Penyumbang suara: M. Hasrul Syafiq M. Ismail (Ramlee), M. Hafizuddin Mahmudi (Ajis), M. Eric M. Fuzi (Sudin), Sabri Yunus (Bapa Ajis), Vanida Imran (Ibu Ajis), Maizurah Hamzah (Cikgu Rokiah) dan Isma Aliff (Osman)

– Genre: Animasi

* Tajuk: The Bourne Ultimatum

– Penerbit: Universal Pictures

– Pengarah: Paul Grengrass

– Pelakon: Matt Damon, Joan Allen, Julia Stiles, David Strathaim dan Edgar Ramirez

– Genre: Aksi cemas

* Tajuk: No Reservations

– Penerbit: Castle Rock Entertainment

– Pengarah: Scott Hicks

– Pelakon: Catherine Zeta Jones, Aaron Eckhart, Abigail Breslin, Patricia Clarkson dan Bob Balaban

– Genre: Romantik komedi

Powered by Utusan Malaysia

2 Hati Duga Kesetiaan Persahabatan

22 Jul

Oleh: WANDA IDRIS

PENDUKUNG utama drama 2 Hati, Linda Rafar (kanan) dan Jue.

’PERBEZAAN personaliti menyatukan mereka namun ujian duniawi menduga kesetiaan persahabatan mereka.’

Itulah ungkapan untuk menggambarkan situasi drama 2 Hati yang menghiasi slot Lestary di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam, bermula 18 Julai lalu.

Kisah persahabatan yang diselubungi cemburu, hasad dengki dan pengkhianatan itu menggandingkan Linda Rafar dan peserta Malaysia Most Beautiful, Zuliana Abdul Aziz atau Jue.

Diterbitkan oleh Asia Media Content Sdn. Bhd., 2 Hati diarahkan oleh Faisal Ishak yang sebelum ini pernah menangani drama bersiri popular seperti Natasha.

Kalau kita menyaksikan sedutan drama 26 episod itu, tidak dinafikan seakan-akan ada persamaan garapan antara 2 Hati dengan Natasha.

Ia diakui sendiri oleh Faisal. “Tapi ada kelainan antara kedua-dua drama itu,” tegasnya pada sidang akhbar pelancaran 2 Hati baru-baru ini.

Menurut Faisal, aspek situasi menguatkan drama Natasha tetapi bagi drama 2 Hati, karakter yang menjadi tonggaknya.

“Karakter Nadia dan Kyra yang membawa perjalanan cerita ini. Watak-watak itu mempunyai kekuatan masing-masing dan mereka juga ada bahagian putih dan hitam dalam hidup

“Kedua-duanya bersahabat tetapi ia satu persahabatan yang amat berbeza,” kata Faisal yang mengakui gemar menonjolkan isu kekeluargaan, masalah sosial remaja dan pengorbanan cinta.

“Ia juga genre yang diminati audiens,” tambah Faisal yang mengharapkan drama itu mendapat sambutan menggalakkan seperti mana yang diterima drama Natasha yang berjaya memikat hati 3.96 juta penonton pada setiap kali ia ditayangkan.

Faisal sebelum ini pernah mengarah drama-drama seperti Rafflesia, Balkis, Selumbar Di Hati Mama dan Impian Ilyana.

Masih menjalani penggambaran di beberapa lokasi termasuk Pulau Pinang dan Cameron Highlands, 2 Hati turut dibintangi Jalaluddin Hassan dan Mustapha Kamal selain beberapa bakat-bakat baru seperti Iqram Dinzly, Fezrul Khan, Fizz Fairuz dan Marisa Yasmin.

Turut membuat penampilan istimewa ialah Fasha Sandha, Nabila Huda Suhaimi dan Maizurah Hamzah.

2 Hati berkisar tentang kehidupan dua gadis iaitu Nadia dan Kyra yang menjadi sahabat baik setelah bertemu di kolej.

Kyra, lakonan Jue, tampil sebagai seorang gadis yang pemalu dan pendiam serta amat dikongkong oleh bapanya setelah satu peristiwa menimpa keluarganya.

Watak Nadia yang didukung oleh Linda pula ialah seorang gadis yang ceria dan diberi kebebasan penuh oleh bapanya.

Walaupun mempunyai latar belakang berbeza, mereka kemudian menjadi sahabat baik sehingga sikap cemburu dan dengki Nadia terhadap Kyra menimbulkan konflik dan mengugat persahabatan mereka.

Namun, kata Linda, bukan mudah menyempurnakan watak gadis bernama Nadia.

“Pengembangan watak Nadia mencabar saya. Daripada seorang gadis yang ceria, manja dan disukai oleh semua lelaki, dia akhirnya hilang arah selepas kematian bapanya. Kemudian dia dirogol dan menjadi perempuan yang tidak elok,” jelas Linda mengenai wataknya.

Linda gerun melakonkan watak itu. Katanya: “Saya ni jenis kalau berlakon, saya akan berlakon betul-betul. Jadi saya takut penerimaan orang terhadap watak itu.”

Mengakui bahawa bayaran yang diterimanya lumayan, Linda menganggap drama itu juga sebagai satu come back dalam dunia lakonan.

Jue pula mengakui dia pernah tawar hati untuk melibatkan diri dalam bidang showbiz kerana pernah dilanda gosip yang kurang enak.

Malah dia menyepikan diri selama hampir setahun setelah menyertai program Malaysia Most Beautiful kerana tidak mahu dikatakan menumpang populariti orang.

“Tapi saya merasakan buat apa mensia-siakan peluang yang ada, apatah lagi setelah menyertai program realiti terbitan TV3 itu semakin ramai orang mengenali saya,” jelasnya.

Akhirnya dia menerima tawaran melakonkan watak Kyra. Kata Jue, drama itu merupakan drama TV pertama lakonannya.

Sebelum ini Jue pernah terlibat dalam bangsawan Naga Chini bergandingan dengan Ako Mustapha dan Jehan Miskin.

“Saya menyukai skrip drama 2 Hati. Kisahnya menyedihkan,” kata Jue sambil memberitahu wataknya berkembang daripada seorang gadis yang fragile (lemah) kepada seorang yang matang.

Tambah Jue: “Tidak sukar membawakan watak Kyra. Sifat kelembutan Kyra itu ada dalam diri saya yang mudah mengalirkan air mata.”

Ditanya apakah yang mendorongnya untuk kembali aktif dalam bidang seni, kata Jue: “Tawaran daripada TV3 serta sokongan dan galakan daripada Jehan (Miskin).”

Diusik apakah dia kini menjalinkan hubungan dengan aktor muda itu, kata Jue, “Buat masa ini, apa yang boleh Jue katakan ialah kami memang rapat.

“Jue menyukai Jehan kerana dia seorang yang sangat profesional. Dia banyak memberi sokongan dan tunjuk ajar pada Jue,” katanya yang mengakui mengenali Jehan pada November lalu dan rapat sejak Februari lepas.

Powered by Utusan Malaysia