Archive | Deanna Yusoff RSS feed for this section

Deanna Yusoff Masih Bersinar

9 Apr

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

DEANNA Yusoff masih senang bersendirian.

Deanna Yusoff mula menarik perhatian penulis sejak kali pertama melihat aksi lakonannya sebagai Mastura dalam filem sulungnya, Selubung pada tahun 1992.

Apatah lagi, menerusi filem itu, Deanna dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-10 dengan menewaskan primadona hebat ketika itu, Fauziah Datuk Ahmad Daud yang cukup cemerlang dalam filem Bintang Malam.

Kebetulan juga, Selubung yang merupakan arahan pertama pengarah kreatif, Shuhaimi Baba itu menjadi antara filem tempatan kegemaran ramai.

Sejak itu, Deanna Yusoff menjadi pelakon kegemaran ramai. Dengan bakat lakonannya yang tersendiri tanpa mengikut acuan mana-mana pelakon, Deanna terus mencipta namanya melalui dua filemnya, Abang ‘92 (1993) dan Ringgit Kasorrga (1995).

Meskipun merupakan anak saudara kepada seniwati handalan, Azean Irdawaty, Deanna berjaya membawa dirinya ke persada seni tanah air dengan gaya tersendiri dan langkah yang cukup elegan.

Mungkin kerana statusnya yang begitu, ramai yang beranggapan, Deanna si pelakon dan model jelita ini seorang artis yang sukar didekati dan begitu eksklusif.

Sebenarnya tanggapan itu tidak betul. Pelakon kelahiran London, United Kingdom ini bersifat peramah dan merendah diri.

Tiga jam bersamanya menjalani sesi penggambaran ini, Deanna ternyata begitu profesional. Pengalaman sebagai model telah menjadikannya ‘mesra kamera’, sekali gus membuat jurugambar berasa senang bekerja dengannya.

Santai selepas sesi fotografi itu, Deanna senang berbicara tentang Selubung.

“Selubung memberi banyak kenangan manis buat saya. Ramai yang memberitahu saya, Selubung merupakan filem kegemaran mereka,” katanya menyingkap sejarah 15 tahun lalu.

Bagi Deanna, faktor menyebabkan Selubung menjadi salah sebuah filem klasik digemari disebabkan jalan cerita dan pendekatan yang berbeza diambil oleh Shuhaimi Baba ketika itu.

“Namun, ramai yang tidak tahu terlalu banyak halangan dan dugaan yang ditempuh oleh produksi filem berkenaan dalam merealisasikan Selubung. Walau apa pun, saya berbangga kerana nama saya terpahat dalam sebuah filem hebat yang pernah dihasilkan,” ujarnya tersenyum lebar.

Chermin menguji kredibiliti

Selepas 12 tahun tidak tampil di layar besar, Deanna kini muncul semula mewarnai filem tempatan melalui filem Chermin arahan pengarah muda berbakat besar, Zarina Abdullah. Filem ini menemui penonton tempatan pada 22 Mac lalu.

Sudah tentu ramai tertanya-tanya kenapa setelah sekian lama menyepi, tiba-tiba Deanna muncul semula. Tentu ada sebab yang membuatnya tertarik untuk kembali berada di lokasi penggambaran filem Melayu.

“Jujurnya, jalan cerita dan watak yang ditampilkan dalam Chermin membuatkan hati saya terbuka untuk menerima tawaran pengarah dan penerbitnya. Inilah kali pertama saya membawa watak antagonis. Watak Mastura dalam filem Chermin ini amat berbeza dengan watak-watak yang saya bawakan sebelum ini. Chermin banyak menguji keupayaan saya sebagai pelakon.

“Selepas Ringgit Kasorrga, bukan saya tidak menerima sebarang tawaran berlakon filem tetapi watak yang diberikan adalah stereotaip. Saya cukup bosan dan saya mahu mencuba watak yang berbeza pula.

“Kerana itu, apabila berlakon dalam filem Chermin, ia memberikan saya seribu kepuasan. Saya harus mengucapkan terima kasih kepada penerbitnya, Starry Eye Productions Sdn. Bhd., kerana memberikan peluang itu kepada saya,” kata Deanna yang pernah berlakon dalam dua filem Perancis iaitu Un homme en colere (1999) dan Passeurs d’enfants (2001). Deanna juga pernah bergandingan dengan Jodie Foster dan Chow Yun-Fatt dalam filem Anna And The King pada tahun 1999.

Tidak mungkin bersama Shuhaimi Baba lagi

Pernah timbul desas-desus kononnya Deanna merajuk dan terkilan dengan Shuhaimi Baba.

Tapi jelas Deanna: “Saya tidak pernah merajuk atau berkecil hati dengan dia. Kalau jumpa di mana-mana majlis, saya pasti akan menegurnya dan kami akan bertanya khabar. Saya sentiasa sedar dan tidak akan lupa bahawa dia yang menaikkan nama saya.”

Mungkin penonton tempatan dapat menyaksikan semula gandingan mantap Deanna dan Shuhaimi di layar perak?

“Tidak dan perkara itu tidak mungkin akan berlaku kerana zaman saya bersama Shuhaimi Baba sudah lama berlalu. Caranya sudah tidak kena lagi dengan cara saya.

“Saya mahu mencari satu perubahan demi memantapkan karier saya. Walau apa pun, saya tetap menghormati caranya sebagai salah seorang pengarah yang cukup berbakat,” kata Deanna yang mengimpikan berlakon di bawah arahan pengarah tersohor, Yasmin Ahmad pula.

Tidak pernah kahwin

Berada pada usia 30-an, Deanna Yusoff tidak terlepas dari pertanyaan tentang cinta dan perkahwinan. Ramai yang bertanyakan tentang status sebenar wanita ini kerana sebelum ini ramai yang mendakwa dia telah pun bernikah dengan seorang peguam. Namun, khabarnya kebahagiaan itu tidak kekal lama.

“Ingin saya tegaskan, saya masih solo dan dakwaan mengatakan saya berstatus janda adalah tidak benar. Saya tidak pernah berkahwin seperti yang diperkatakan. Saya ada beberapa teman rapat yang cukup membahagiakan saya.

“Saya rasa soal cinta dan perkahwinan adalah sangat peribadi dan ia akan datang apabila sampai waktunya. Perkara ini tidak boleh dipaksa dan saya tidak akan berkahwin hanya kerana masyarakat mahukan saya berbuat demikian.

“Sudah pasti saya mahukan sebuah keluarga bersama suami dan anak-anak. Saya tidak rasa saya terlalu memilih tapi lelaki takut untuk berdampingan dengan saya kerana tidak boleh untuk mengikut cara saya. Ini kerana saya sudah biasa hidup berdikari dan tidak sentiasa mengharapkan bantuan,” tegasnya.

Album baru?

Ramai yang sedia maklum, Deanna Yusoff juga pernah merakamkan dua album sebelum ini iaitu Divide and Continue (1995) dan Fix (1999). Tidakkah Deanna mahu terus merakamkan album?

“Sudah tentu saya mahu tetapi jika diberi peluang, saya mahu merakamkan album jazz kerana saya sedar kemampuan diri saya. Vokal saya bukan vokal yang komersial. Tetapi, bila berkata tentang album, kita perlu fikirkan juga tentang keuntungan. Tidak boleh terlalu turutkan kata hati. Biarlah masa yang akan menentukan bila saya akan merakamkan album semula.

“Dalam hal ini, saya memuji kawan baik saya, Sean Ghazi yang begitu berani melaburkan sejumlah wang untuk merealisasikan album sulungnya di bawah syarikatnya sendiri,” katanya yang juga menerima undangan nyanyian di beberapa hotel sekitar ibu negara.

Rahsia kecantikan dan Botox

Sebagai seorang selebriti, sudah pasti Deanna Yusoff menitikberatkan soal kecantikan. Apakah rahsianya mengekalkan kejelitaannya?

“Yang saya pentingkan adalah kecantikan di dalam diri itu sendiri dan harus sentiasa gembira. Kerana jika kita mempunyai masalah di dalam diri, ia akan jelas kelihatan pada wajah kita.

“Itu apa yang saya amalkan. Sentiasa berfikiran positif dan senyum selalu. Kalau ada masalah, selesaikan dengan cara yang baik. Saya juga mengamalkan cara pemakanan sihat di samping tidur dan senaman yang cukup,” katanya yang juga merupakan jurucakap produk kecantikan, SKII.

Bagaimana dengan suntikan Botox dan Vitamin C untuk mengekalkan kejelitaan?

Jelas Deanna: “Sudah pasti saya akan mengamalkannya tetapi hanya semata-mata untuk pekerjaan saya sahaja. Itu pun jika keadaan memerlukan saya berbuat demikian. Jika sekadar untuk mengekalkan kecantikan, saya tidak akan menggunakannya.”

Powered by Utusan Malaysia

Pembaharuan Dalam Chermin

23 Mar

TAHUN ini merupakan tahun yang agak ‘menyeramkan’ bagi industri perfileman tanah air. Mana tidaknya, bermula awal tahun ini dan sehingga akhir tahun, dikatakan hampir 15 judul filem dari genre seram dan thriller akan menemui penonton di pawagam.

Bermula dengan filem Syaitan dan diikuti pula dengan Puaka Tebing Biru, kini sebuah lagi filem thriller dan seram iaitu Chermin, yang sudah pun berputar di pawagam sejak semalam (22 Mac).

Setelah menyaksikan filem ini pada majlis tayangan untuk media baru-baru ini, ternyata kepuasan lahir dari setiap mereka yang hadir menontonnya. Kata mereka, Chermin membawa satu pembaharuan di dalam penerbitan filem tempatan.

Apatah lagi, hasil garapan pengarah muda kelahiran Kuching, Sarawak, Zarina Abdullah cukup meyakinkan. Zarina bukan sahaja mengarahkan filem ini malah dia juga menghasilkan skrip, menyunting dan menerbitkan filem ini.

Saat bertemu dengan pengarah berusia 27 tahun ini, ternyata peminat filem seram dan thriller ini berdebar menunggu reaksi penonton tempatan terhadap ‘bayi sulungnya’ itu.

“Sudah pasti, siapa sahaja yang baru pertama kali mengarah filem, akan merasakan debarannya. Begitu juga dengan saya dan apa yang boleh saya katakan, setakat ini saya amat berpuas hati dengan apa yang telah saya lakukan,” kata wanita lulusan New York Film Academy kampus London, United Kingdom ini lagi.

Katanya, ilham untuk menerbitkan dan menghasilkan filem Chermin bermula selepas dia menamatkan pengajiannya pada tahun 2003.

Penggambaran filem Chermin mengambil masa hampir sebulan bermula Ogos 2005. Namun, proses pos produksinya mengambil masa yang lama iaitu satu setengah tahun semata-mata untuk melahirkan kesan khas yang terbaik.

“Kalau ditanya kekuatan filem ini, saya boleh mengatakan, ia terletak pada barisan pelakon dan jalan cerita yang menarik. Apatah lagi filem ini menggabungkan pelakon lama dan baru. Mengarahkan filem ini memberikan satu pendedahan dan kepuasan bagi saya,” jelasnya.

Meskipun baru pertama kali berlakon dan memegang watak utama, ternyata Natasha Hudson mampu menghidupkan watak Nasrin dengan baik sekali hanya melalui ekspresi muka dan permainan matanya sahaja.

Jika dia diberi peluang mengasah bakatnya, tidak mustahil dia mampu meletakkan dirinya sebaris dengan pelakon wanita Pan Asia yang lain seperti Deanna Yusoff, Karen Iskandar, Julia Rais, Sofia Jane dan Maya Karin.

Kata janda muda ini mengenai pengalaman berlakon dalam Chermin, dia menjelaskan: “Ia merupakan satu pengalaman yang cukup berharga apatah lagi apabila berlakon di samping pelakon-pelakon handalan. Saya berpuas hati dengan apa yang saya persembahkan dalam Chermin.

“Saya ingin sentiasa mencuba watak yang baru dan tidak mahu menjadi stereotaip,” katanya yang kini dalam proses akhir penggambaran filem keduanya iaitu Tipu Kanan Tipu Kiri.

Selain Natasha Hudson, Chermin yang menelan kos sebanyak RM 2.2 juta itu juga dibintangi oleh Deanna Yusoff, Khatijah Tan, Farid Kamil, Sheila Mambo, Datuk Mustafa Maarof, Catriona Ross dan Maimon Mutalib.

Powered by Utusan Malaysia