Archive | Aishwarya Rai RSS feed for this section

Salman Tampar Aktres Katrina Kaif

1 Apr

MUMBAI: Aktor sasa, Salman Khan, nyata tidak pernah meninggalkan sikap panas baran dan baru-baru ini giliran kekasihnya, Katrina Kaif, berdepan tindakan ganas pelakon itu apabila ditampar kuat pada mukanya.

Menurut laporan, Salman menampar Katrina ketika aktres itu menjalani penggambaran filem dengan pelakon Akshay Kumar.

Salman, yang dilaporkan melawat Katrina pada salah satu set penggambaran, hilang sabar apabila mendapati aktres berdarah campuran Inggeris itu tidak mengendahkan arahannya tidak bekerja dengan Akshay.

Sumber juga berkata, Salman pernah menampar Katrina sebelum ini ketika mereka menikmati hidangan makan malam di sebuah restoran walaupun bintang Singh Is King itu menafikan perkara itu terjadi.

Salman, yang memang dikenali dalam industri perfileman Bollywood kerana tabiat buruknya, sebelum ini pernah dituduh mengasari teman wanitanya. Dia berdepan tuduhan menyerang aktres Aishwarya Rai ketika menjalin hubungan dan meninggalkan kesan lebam pada mata bekas ratu dunia itu.

“Salman bersikap pelik sejak akhir-akhir ini. Dia baru-baru ini singgah di set penggambaran filem Rajneeti semata-mata mengawasi Katrina kerana khabar angin mengenai keintiman pelakon itu dengan pasangannya, Ranbir Kapoor,” kata sumber.

Sebelum kejadian itu lagi, hubungan mereka sudah menunjukkan tanda-tanda retak sehingga ke tahap sudah tidak berhubungan ketika Salman berada di Jodhpur untuk menjalani penggambaran filem Veer.

“Masalahnya cuma satu. Salman langsung tidak berubah. Seperti hubungannya terdahulu dengan Somy Ali, Sangeeta Bijlani dan Aishwarya, baginya, cinta bermakna pemilikan.

“Kali ini tidak terkecuali. Salman mahu menguasai sepenuhnya hubungan dengan Katrina,” kata sumber. – Agensi

Berita Harian

Aishwarya Model Barbie Bollywood

25 Mar


Aishwarya Rai

LONDON: Kecantikan yang dimiliki bintang Bollywood, Aishwarya Rai mendapat perhatian apabila wajah bekas ratu cantik dunia itu bakal diabadikan sebagai model terbaru patung Barbie.

Rai yang pernah memenangi Ratu Dunia 1994 semakin mendapat perhatian apabila turut berlakon dalam filem Hollywood termasuk Bride and Prejudice, Mistress of Spices, The Last Legion dan terbaru Pink Panther 2 bersama aktor Steve Martin.

Beliau diibaratkan menjadi ahli keluarga diraja Bollywood apabila mengahwini anak pelakon bintang filem paling popular India, Amitabh Bachchan, Abhishek Bachchan.

Pemilihan sebagai model Barbie meletakkan pelakon berkenaan sebaris diva Hollywood yang turut menjadi model patung berkenaan seperti Beyonce dan Elizabeth Taylor. – Agensi

Berita Harian

Pinto Mengejutkan Bollywood

14 Feb

Susunan Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com

Kemunculannya dalam filem Slumdog Millionaire membuka mata banyak pihak daripada penerbit, pengarah dan pelakon ternama di Mumbai

SETAHUN yang lalu, mungkin namanya begitu asing pada dunia perfileman antarabangsa.

Siapalah yang mengenali wanita bernama Freida Pinto, kecuali bagi peminat yang peka pada dunia peragaan. Maklum saja, ketika itu namanya sungguh kecil jika hendak dibandingkan dengan Aishwarya Rai, Kareena Kapoor, Rani Mukherjee atau Preity Zinta.

Namun hari ini, rata-rata pemerhati filem memperkatakan mengenai kemunculan si cantik dari Mumbai, India itu. Sejak beberapa bulan lalu, wajahnya sering kali terpampang di dada akhbar dan majalah, ketika melintasi pelbagai majlis anugerah.

Penampilannya yang pertama dalam filem hangat menjadi topik perbualan masa kini, Slumdog Millionaire, bukan hanya menjadikan dirinya aktres paling hebat diperkatakan di Bollywood, malah dia tentunya antara insan paling gembira apabila anugerah demi anugerah diterima filem berkenaan sejak tahun lalu.

Sehingga artikel ini ditulis, sudah 18 trofi Filem Terbaik sudah pun menjadi milik Slumdog Millionaire, termasuk pada Anugerah Akademi Filem British (Bafta) 2009 yang baru saja berlangsung 8 Februari lalu.


GAYA menarik pelakon wanita kelahiran Mumbai ini ketika menghadiri Anugerah Gaya Elle 2009.

Pada 23 Februari nanti, tentunya dunia tertunggu-tunggu, apakah filem drama ini sekali lagi dinobat Filem Terbaik pada Anugerah Academy.

Pinto sendiri yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita pada anugerah Bafta ke-62 terkena tempias kehebatan filem berkenaan.

Malahan pada Isnin lalu, dia dipilih sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Gaya Elle 2009 di London.

Apabila nama mula dikenali, tentulah gandingannya dalam filem berikutnya pun pasti terdiri daripada pelakon ternama juga. Freida turut mempunyai senarai impiannya sendiri apabila berbicara mengenai pelakon lelaki yang ingin didampingi dalam filem.

Pada majlis Elle berkenaan, Pinto mendedahkan betapa dia mengimpikan untuk berlakon di samping bintang terkenal Leonardo DiCaprio dan Johnny Depp.

Katanya juga, peluang beraksi di sisi aktor hebat Jack Nicholson pula tidak mungkin dilepaskan begitu saja seandainya rezeki seperti itu tiba ke riba suatu hari nanti.

“Jack Nicholson ialah seorang pelakon yang sentiasa saya idamkan untuk berlakon bersama. Dia seorang aktor yang mempunyai karakter cukup menarik,” ujar artis berusia 24 tahun ini.

Pinto juga tidak mahu mendabik dada walaupun filem arahan Danny Boyle (yang kini sudah mengumpul 19 trofi termasuk Pengarah Terbaik) yang dibintanginya itu dikatakan pencabar terkuat untuk merebut Oscar nanti.

Pada anugerah itu, antara lain filem Slumdog Millionaire akan bersaing dengan dua filem lakonan Pelakon Wanita Terbaik Bafta 2009, Kate Winslet, iaitu The Reader dan Revolutionary Road bagi kategori Filem Terbaik.

Katanya, Winslet ialah pelakon yang dipuja olehnya kerana bakat besar milik aktres terbabit.

“Pastinya saya akan dapat belajar banyak benda apabila dapat berlakon di sampingnya. Dia bintang yang begitu hebat. Kita sendiri pun sudah banyak bergelak ketawa dan berduka tatkala mengikuti menonton lakonannya selama ini.

“Jadi, peluang beraksi di sampingnya tentulah satu peluang yang cukup memberi makna,” katanya.

Menurut Pinto, dia banyak menerima tawaran berlakon selepas kejayaan filem terbabit, namun dia masih lagi terkejut dengan sambutan luar biasa yang diberikan penonton di tanah air sendiri.

Katanya, semua orang bagaikan gila terhadap filem itu kerana ia mendapat pungutan yang cukup tinggi di seluruh dunia, pencapaian yang jarang sekali berlaku di India.

Info:

SLUMDOG MILLIONAIRE menyaksikan Pinto berlakon sebagai gadis yatim berusia 18 tahun, Latika, yang menemui dua saudara lelaki baru, Jamal dan Salim. Bersama-sama, mereka memulakan perjalanan hidup yang penuh suka dan duka. Malangnya, langkah hidupnya tersasar ke arah onak penuh bahaya dan matlamatnya kini adalah untuk menyatukan dirinya dengan seseorang paling dicintai.

Pinto dipanggil oleh pengarah lakonan yang juga pengarah bersama Slumdog Millionaire, Loveleen Tandon, untuk hadir uji bakat filem berkenaan. Proses itu diikuti oleh sesi uji bakat berbulan-bulan bersama pengarah Danny Boyle. Hanya selepas proses yang dianggapnya menyeronokkan tetapi memeritkan itu, dia akhirnya ditawarkan watak Latika.

SEJAK zaman persekolahan, Pinto aktif membabitkan diri dalam semua kegiatan drama. Dia juga menjadi peragawati selama dua tahun lebih bersama ejen model Elite Model Management India. Selepas mendapat peranan dalam filem terbabit, dia belajar hampir kesemua perkara yang dimahukan daripada pengarah filem itu sendiri. Selepas penggambaran dilakukan, dia tertarik untuk menyertai sekolah lakonan untuk mendapatkan pengalaman. Lalu, dia menghadiri bengkel lakonan dikendalikan guru lakon, Barry John.

MENGINGATI rakaman pertama membabitkannya, Pinto berkata, ia dilakukan pada November 2007 dan kerana terlalu risau, dia tidak dapat melelapkan mata pada malam sebelum penggambaran bermula.

SEPANJANG pembabitannya dalam filem itu, Pinto mula menyedari, industri perfileman adalah untuk mereka yang tidak putus asa berjuang serta mereka yang kuat semangat. paling utama, katanya, seseorang itu mesti percaya pada diri sendiri. Walaupun beratus orang lain menolaknya, dia tidak putus asa dan akhirnya, seorang daripada pengarah terbaik dunia mempercayai bakat dimilikinya.

DI Bollywood, pelakon yang disukainya ialah Tabu. Dia turut menggemari karya Konkona Sen Sharma. Madhuri Dixit pula baginya lambang kepelbagaian bakat, manakala Smita Patil dan Shabana Azmi pula pelakon yang menakjubkan. Dia juga mengagumi Aamir Khan. Pelakon barat yang paling dihormatinya pula ialah Meryl Streep.

Info Freida Pinto:

Tarikh Lahir: 18 Oktober 1984

Bintang: Libra

Asal: Mumbai, India

Filem: Slumdog Millionaire

Program TV: Full Circle

Iklan: India Today, Wrigleys Chewing Gum, Skoda, Hutch, Airtel, De Beers

Berita Harian

FILEM: Cari Batu Permata

8 Feb

Rap
SATU jam setengah ditayangkan, penulis tidak melihat apa yang menariknya terhadap filem ini. Sebenarnya, penulis juga tidak meletakkan harapan The Pink Panther 2 akan lebih menarik daripada sekuelnya yang pertama.

Tidak banyak boleh diharapkan menerusi komedi slapstick dipaparkan Steve Martin. Sebagai Inspektor Jacques Clouseau, watak ‘dungu’ itu kurang menyerlah.

Jalan ceritanya juga ringkas. Sekalipun berciri penyiasatan, Harald Zwart selaku pengarahnya tidak mengetengahkan tugas sebenar seorang detektif. Segala-galanya lebih ringkas dan yang ada hanya komedi yang tidak seberapa.

Dalam sekuel kedua Pink Panther ini, Zwart turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Andy Garcia, Alfred Molina, Lily Tomlin dan bintang Bollywood, Aishwarya Rai.

Namun, semua pelakon ini tidak mampu menonjolkan kredibiliti sebenar apabila berlakon dalam filem komedi. Watak yang digalas sebagai ahli kumpulan Dream Team yang turut sama mencari batu permata Pink Panther yang hilang boleh diibaratkan penyendal kepada filem berkenaan.

Namun, jangan salahkan mereka kerana pengarah dan penulis skripnya menjadikan mereka seperti itu.

DATA

FILEM: The Pink Panther 2

PENGARAH: Harald Zwart

PELAKON: Andy Garcia, Emily Mortimer, Jean Reno dan Steve Martin

GENRE: Komedi

TAYANGAN: 5 Februari 2009

Harian Metro

Urmila Tipu Usia?

8 Feb


URMILA MATONDKAR

MENURUT pelakon Urmila Matondkar, usianya tahun ini baru mencecah 35 tahun. Namun ramai yang meragui pengakuan Urmila kerana fakta ini bercanggah.

Ini kerana pada tahun 1983, sewaktu dia terlibat dalam filem Masoom, pelakon ini berusia 12 tahun. Dia juga lebih tua daripada pelakon lawannya iaitu Jugal Hansraj.

Jika dihitung, usia Jugal sekarang sudah 36. Maka ini bermakna usia Urmila lebih tua daripada Jugal. Sama ada 37 atau 38, bukannya 35 seperti yang didakwa.

Malah jika dibandingkan dengan Aishwarya Rai Bachchan, kulit Urmila terutama pada bahagian wajahnya sudah kelihatan tua. Kedut dan garis di bawah mata mula kelihatan. Usia yang meningkat sudah memamah wajah mudanya.

Semua orang faham, Urmila mahu kelihatan muda supaya dia terus laku dan bertahan dalam dunia seni. Tetapi tidak perlu menipu usia.

Kosmo

Laman Web Perkecil Peranan Aishwarya

4 Feb


AISHWARYA Rai diberi watak kecil dalam Pink Panther 2.

NEW YORK: Promosi Pink Panther 2 memberi peluang kepada aktres Bollywood, Aishwarya Rai, menghadiri semua tayangan perdana di seluruh dunia, meskipun memegang peranan kecil dalam filem itu.

Sebuah laman web memperkecil-kecilkan pelakon itu dengan berkata: “Lupakan saja peranan kecilnya dalam filem ini. Kita semua tahu, ia adalah filem Steve Martin dan peranan Ash (nama jolokan Aishwarya), tidaklah begitu banyak.

“Anggapan itu tidak diambil pusing oleh Ash yang kini bersedia menghadiri tayangan perdana di banyak bandar raya di seluruh dunia bermula dengan New York,” kata laman web itu.

Suami, Abhishek Bachchan, juga berada di New York. Mereka akan menyambut ulang tahun Abhishek esok dengan disertai ibu serta bapa mentua, Jaya dan Amitabh.

Selepas itu, Ash akan menuju ke Eropah termasuk Paris, Madrid serta Moscow, Russia untuk meneruskan promosi The Pink Panther 2 dalam 15 hari akan datang, dengan destinasi terakhir di pesta filem Berlin.

Sementara itu, Aishwarya dilaporkan enggan menerima anugerah penghargaan oleh kerajaan Perancis kepadanya semata-mata kerana bapanya sedang sakit.

Aktres itu dilaporkan terpaksa menolak untuk hadir ke majlis penganugerahan ‘Officer Dan Ordre Des Arts Et Des Lettres’ itu sehingga bapanya benar-benar pulih untuk bersamanya ke Paris.

“Terima kasih, tapi bukan sekarang,” Ash dilaporkan memaklumkan perkara itu kepada kerajaan Perancis selepas anugerah awam kedua tertinggi itu menamakan beliau sebagai antara calon yang akan menerima.

Aktor Hollywood, Meryl Streep dan Robert Redford sebelum ini turut menerima anugerah itu, selain Shah Rukh Khan. – Agensi

Berita Harian

Rai Minta Tangguh

3 Feb


RAI (kiri) bersama ibunya, Vrinda di Institut Perubatan Kokilaben Dhirubhai, Mumbai pada 26 Januari lalu.

NEW DELHI – Selebriti Bollywood, Aishwarya Rai mengejutkan pihak berkuasa Perancis setelah pelakon itu enggan menerima anugerah bintang kehormatan yang diberi kepadanya, lapor sebuah akhbar semalam.

“Terima kasih, bukan sekarang (untuk saya terima anugerah tersebut),” kata Rai.

Pelakon filem Mistress of Spices itu dianugerahi Officer Dan Ordre Des Arts Et Des Lettres yang merupakan darjah kedua tertinggi untuk orang awam.

Darjah itu pernah dianugerahkan kepada aktres Meryl Streep, aktor Robert Redford dan Shah Rukh Khan.

Pingat tertinggi untuk orang awam, Legion d’honour pula diterima oleh pelakon Amitabh Bachchan, Satyajit Ray dan Pandit Ravi Shankar dari India.

Namun, Rai bukan tidak mahu menerima anugerah itu tetapi dia mahu majlis penganugerahan itu ditangguhkan kerana bapanya, Krishna Raj Rai tidak sihat.

“Saya mahu seluruh ahli keluarga termasuk ibu, bapa, adik, suami dan keluarga mentua menghadiri majlis itu. Bapa saya tidak sihat dan saya mahu dia menyaksikan peristiwa penting itu,” katanya.

Bagaimanapun, Krishna dilaporkan sudah kembali sihat dan Rai meminta Kerajaan Perancis mengadakan majlis tersebut di Paris ketika dia menghadiri majlis tayangan perdana filem Pink Panther 2. – Agensi

Kosmo

Eva Mendes Teratas Senarai Impian Lelaki

24 Jan


Eva Mendes (kiri) dan Megan Fox

Aktres kelahiran Cuba pilihan lelaki, Megan Fox tempat kedua diikuti model Marisa Miller

LONDON: Bintang filem The Spirit yang seksi, Eva Mendes mengejutkan hampir semua pihak selepas beliau mengungguli tangga teratas senarai ‘wanita paling diimpikan’ berdasarkan kajian pendapat majalah online, AskMen.

Aktres kelahiran Cuba berusia 34 tahun itu menduduki tempat pertama dalam undian yang meminta lelaki menamakan wanita ideal yang memiliki ciri kelakar, pintar dan berkarektor selain mempunyai tarikan seks.

Mendes yang berada di tempat keempat dalam senarai tahun lalu yang dikumpulkan halaman web AskMen.com gembira dengan kedudukan terkini dengan berkata:

“Inilah ciri paling menarik lelaki iaitu memberikan penghargaan hingga membolehkan saya berada di tempat teratas. Terima kasih semua.”

Eva mengatasi aktres Transformers, Megan Fox yang menduduki tempat kedua manakala model Victoria Secret, Marisa Miller dan model glamor Britain, Keeley Hazell masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.

Fox dinamakan sebagai ‘wanita paling seksi di dunia’ tahun lalu oleh majalah FHM tetapi hanya mampu berada di tempat kedua dalam undian membabitkan lebih 10 juta pembaca majalah AskMen.com.

“Ia menakutkan tersenarai sekali lagi dalam AskMen.com! Ia tahun yang menarik dan mengetahui saya mempunyai peminat yang mencukupi untuk mengundi dan menyokong saya amat menakjubkan,” kata Marisa Miller dalam satu kenyataan.

Pendatang baru yang tersenarai tahun ini termasuk Isla Fisher yang berada di tempat ke 31, penyanyi I Kissed A Girl, Katy Perry di tempat ke 38, dan isteri Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, Carla Bruni, di tempat ke-76.

Aktres Scarlett Johansson yang berada di tempat ketujuh berkata: “Ia satu penghargaan kepada saya terpilih di kalangan 10 juta pembaca AskMen sebagai seorang daripada wanita impian.”

Pengacara Project Runway, Heidi Klum; pemenang Oscar, Halle Berry, Kate Beckinsale, Jessica Biel; bintang Confession of a Shopaholic, Isla Fisher; Charlize Theron; superstar Bollywood, Aishwarya Rai dan calon Oscar 2009, Penelope Cruz dan Angelina Jolie, turut tersenarai.

Bagaimanapun, penyanyi Britney Spears tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas yang turut membariskan penyanyi Christina Aguilera, Carrie Underwood dan Beyonce. Britney berada di tangga ke-90.

Begitu juga dengan Madonna yang tidak tersenarai dalam kedudukan ke-50 teratas malah juga tidak berada dalam senarai 99. – Agensi

Berita Harian

Kareena Puji Aishwarya

8 Jan


Kareena Kapoor

Aktres kagum bekas Ratu Dunia berjaya urus kerjaya selepas kahwin

MUMBAI: Aktres Kareena Kapoor yang tidak mempunyai hubungan baik dengan bekas Ratu Dunia, Aishwarya Rai, dan keluarga Bachchan, kini dilaporkan berusaha memulihkan keadaan dan menegaskan beliau tidak mahu lagi mengingati perkara yang sudah berlalu.

Malah pelakon itu menjadikan Aishwarya sebagai contoh dan mengakui tertarik dengan keupayaan Aishwarya menguruskan dirinya selepas berkahwin.

“Aishwarya nampaknya menjadi begitu teliti selepas berkahwin dengan Abhishek Bachchan. Beliau menguruskan kehidupan peribadi dan profesionalnya dengan baik. Beliau juga amat teliti mengenai filem dan pengarah,” katanya.

Dalam laman web OneIndia, Kareena dilaporkan mengikuti perkembangan karier jejak langkah menantu Amitabh dan Jaya Bachchan itu dan berkata ia adalah jalan yang akan diikutinya selepas berkahwin.

Sumber berkata, ia menunjukkan Kareena begitu serius untuk berkahwin dengan kekasihnya, Saif Ali Khan tetapi menegaskan ia cuma tidak akan berlangsung dalam masa terdekat kerana jadualnya ketat sehingga 2010.

“Saif pula sedang dalam menyiapkan sebuah pangsapuri istimewa dan cuma akan lengkap menjelang tahun 2010,” katanya.

Hubungan Kareena dan keluarga Bachchan mula keruh berikutan perpisahan Abhishek dan kakaknya, Karisma, empat bulan selepas mengumumkan pertunangan mereka. Walaupun Kareena menafikan perkara itu, media terus menyiarkan laporan keengganan Abhishek berlakon bersamanya. – Agensi

Berita Harian

Kidman Meminati Aishwarya Rai

3 Jan

MUMBAI: Perasaan kecewa bintang Bollywood Aishwarya Rai selepas beliau digugurkan daripada menjadi duta jenama Nakshatra dan L’oreal, terubat apabila pelakon Hollywood terkenal Nicole Kidman membuat kenyataan terbuka bahawa beliau meminatinya.

Kidman mengagumi bakat yang ditunjukkan dalam filem lakonan Aishwarya, Bride and Prejudide, lapor The Hindustan Times.

Filem terbaru lakonan Kidman, Australia mula ditayangkan di negara itu hari ini.

“Saya adalah peminat Aishwarya Rai dan filem lakonannya Bride and Prejudice. Saya berpeluang menemui beliau buat kali pertama pada majlis makan malam sempena meraikan 100 Orang Paling Berpengaruh anjuran majalah Time pada 2005 di New York. Saya berasa beliau sangat cantik.”

Sebelum itu, pelakon Julia Roberts menyifatkan Aishwarya sebagai ‘salah seorang wanita paling cantik di dunia dengan mata hijau yang menawan’.

Aishwarya digantikan pelakon Katrina Kaif bagi jenama Nakshatra dan Sonam Kapoor untuk barangan berjenama L’oreal.

Beliau bagaimanapun, tidak begitu bimbang dengan perkembangan terbaru itu dan berazam terus mengembangkan kerjayanya.

“Aishwarya hanya tidak gembira apabila beliau dilabel sebagai wanita berwajah ‘lebih 30-an’. Beliau tidak menolak hakikat usianya, tetapi kurang senang dengan cara beliau dilabel,” kata satu sumber yang rapat dengannya. – Agensi

Berita Harian