SETIAP kali pasangan artis Hollywood melangsungkan perkahwinan, ramai yang sebenarnya akan meneka sejauh mana ikatan suci itu akan bertahan. Bukan bermaksud mahu mencurigai mahligai cinta mereka.
Namun, status perkahwinan kepada mereka bagaikan satu permainan. Bila suka bersama. Bila benci bercerai. Senario ini bukan sahaja popular di kalangan artis Hollywod tetapi juga semakin ‘hangat’ di kalangan masyarakat moden.
Seperti Julia Roberts dan Lyle Lovett, pasangan ini berkahwin pada 27 Jun 1993 walaupun hanya berkenalan selama tiga minggu. Notis perkahwinan diberikan 72 jam sebelumnya dan berlangsung di Marion, Indiana. Namun, tidak sampai dua tahun, pasangan ini bercerai.
Aktres Selma Blair dan pemuzik Ahmet Zappa pula melangsungkan perkahwinan pada 24 Januari 2004 di Los Angeles. Blair kemudian memfailkan penceraian atas alasan tidak serasi pada 21 Jun 2006.
Bagi Jennifer Lopez yang baru menimang anak kembar, dia sebenarnya sebelum ini pernah berkahwin dengan penari, Cris Judd. Bertemu Judd semasa merakamkan klip video, Love Don’t Cost A Thing, pasangan ini disatukan pada 29 September 2001.
Malangnya, perkahwinan itu hanya mampu bertahan sehingga Jun 2002 apabila Lopez mula bercinta dengan aktor Ben Affleck. Lopez dan Judd akhirnya bercerai secara rasmi pada Januari 2003.
Aktor komedi Jim Carrey pula pernah berkahwin dua kali. Isteri pertamanya, Melissa Womer melahirkan anak mereka, Jane Erin Carrey pada 6 September 1987. Mereka berkahwin pada 28 Mac 1987 dan bercerai secara rasmi pada tahun 1995.
Carrey kemudian mula bercinta dengan Lauren Holly dan berkahwin pada 23 September 1996 tetapi hubungan mereka tidak mampu bertahan sehingga satu tahun. Kini dia sedang bercinta dengan aktres Jenny Mccarthy.
Begitu juga dengan hubungan antara pemenang Oscar Helen Hunt dan Hank Azaria. Mereka berkahwin pada tahun 1999 tetapi telah bercerai setahun kemudian.
Sementara itu, Carmen Electra mula mendapat perhatian media apabila dia melangsungkan perkahwinan dengan pemain bola keranjang, Dennis Rodman dari tahun 1998 sehingga 1999. Perkahwinan itu bertempat di Las Vegas, Nevada.
Dia kemudian mempunyai hubungan sulit dengan bekas suami Pamela Anderson, Tommy Lee. Pada 22 November 2003, Electra berkahwin dengan Dave Navarro dan bercerai pada 20 Februari 2007. Dia kini bercinta dengan pemain gitar Korn, Rob Patterson.
Itu antara senarai artis yang ‘kahwin kilat’ di Hollywood. Dan bagi mengetahui lebih lanjut kisah kahwin kilat Drew Barrymore, Renee Zellweger, Jessica Simpson, Britney Spears dan Nicolas Cage, ikuti petikan di bawah ini.
Drew Barrymore dan Tom Green
Pada Julai 2000, Tom Green bertunang dengan aktres Drew Barrymore. Barrymore kemudian membawa Green ke dalam barisan pelakon filem Charlie’s Angels yang diterbit dan dilakonkan olehnya sendiri.
TAHUN 2005 menyaksikan Drew dan Tom berkahwin dan bercerai.
Green dan Barrymore kemudian berkahwin pada 7 Julai 2001, namun menjelang 17 Disember tahun yang sama, mereka memfailkan penceraian, atas alasan tidak mempunyai persefahaman. Pasangan ini bercerai secara rasmi pada 15 Oktober 2002.
“Drew Barrymore merupakan pengguna dadah yang sedang diubati. Namun, dia menawarkan marijuana kepada Tom Green sejurus selepas mereka berkahwin. Tidak lama kemudian, Tom mula berasa mual dengan tingkah laku kemurungan neurotik Barrymore,” kata satu sumber.
Renee Zellweger dan Kenny Chesney
Renee Zellweger pernah dikaitkan dengan Josh Pate, George Clooney, Jim Carrey dan Jack White. Namun, pada 9 Mei 2005, aktres ini akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan penyanyi lagu-lagu country, Kenny Chesney di satu majlis di pulau St. John.
ISU penipuan memusnahkan perkahwinan Renee-Kenny.
Mereka bertemu pada Januari 2005 semasa menghadiri konsert amal tsunami. Bagaimaapun, pada 15 September, 2005 mereka mengumumkan mengenai perpisahan mereka hanya selepas berkahwin selama empat bulan.
Zellweger memberikan sebab ‘penipuan’ sebagai alasan perpisahan.
“Itu cuma bahasa mudah yang sah dari segi undang-undang dan tidak berkaitan dengan perwatakan Kenny. Saya secara peribadi akan berterima kasih jika anda (media) tidak melaporkan berita ini secara melampau atau berlebihan. Kami mahu melalui pengalaman pahit ini secara peribadi,” kata Zellweger kepada pihak media.
Penceraian mereka disahkan pada Disember 2005.
Jessica Simpson dan Nick Lachey
Pada 26 Oktober 2002, Jessica Simpson, yang ketika itu berusia 22 tahun, berkahwin dengan Nick Lachey. Selepas sebulan berhadapan dengan spekulasi tabloid, Simpson dan Lachey mengumumkan perpisahan mereka pada November 2005.
Simpson memfailkan penceraian pada 16 Disember 2005 dengan alasan tidak bersefahaman. Penceraian secara rasmi disahkan pada 30 Jun.
“Oh, ia sangat menyakitkan hati,” ujar Simpson kepada majalah Elle pada 6 Februari 2007 mengenai pandangan bekas suaminya bercinta dengan Vanessa Minnillo.
SAMA cantik, sama padan, tetapi pernikahan Jessica dan Nick gagal bertahan.
Ramai yang menyatakan Simpson berasa cemburu tetapi dia menafikannya.
“Saya rasa saya terlalu sukar untuk dicintai. Mungkin saya selalu menakutkan mereka (lelaki) sehingga mereka larikan diri. Namun, saya tidak pernah kesal dengan perkahwinan bersama Lachey selama tiga tahun.
“Saya bangga dengan perkahwinan itu. Nick seorang lelaki yang baik. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana dia menjadikan saya insan lebih baik,” katanya dalam program bual bicara yang di hoskan Ellen DeGeneres.
Britney Spears dan Jason Allen Alexander
Britney Spears mungkin terkenal dengan pelbagai kontroversi. Sebelum berkahwin, dia pernah menjalin hubungan dengan penyanyi, Justin Timberlake selama empat tahun. Hubungan mereka tamat pada tahun 2002.
BRITNEY dan Jason Allen mencipta rekod perkahwinan terpantas di kalangan selebriti Hollywood.
Namun, pada 3 Januari 2004, Spears mengejutkan dunia apabila dilaporkan berkahwin dengan kawan baiknya semasa kecil, Jason Allen Alexander di The Little White Wedding Chapel, Las Vegas.
“Perkahwinan itu hanya bertahan selama 55 jam. Mereka berpisah kerana Britney sendiri merasakan dirinya tidak mengenali Jason dengan mendalam,” kata satu sumber.
Penyanyi bermasalah ini kemudian berkahwin dengan penari, Kevin Federline pada 18 September 2004 dan kemudian bercerai pada Julai 2007.
Nicolas Cage dan Lisa Marie Presley
Pada usia awal 20-an, Nicolas Cage pernah bercinta dengan Elizabeth Daily dan Uma Thurman. Dia kemudian terlibat dengan Christina Fulton, ibu kepada anaknya, Weston Coppola Cage yang dilahirkan pada 26 Disember 1990.
IKATAN perkahwinan Nicolas dan Lisa Marie hanya bertahan selama empat bulan.
Aktor ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya, aktres Patricia Arquette dikahwininya pada 8 April 1995 dan bercerai pada 18 Mei, 2001. Lisa Marie Presley pula merupakan isteri kedua Cage.
Mereka berkahwin pada 10 Ogos 2002 berpisah empat bulan kemudian pada bulan Disember. Penceraian mereka disahkan pada 16 Mei 2004.
“Kami tidak sepatutnya berkahwin pada mulanya,” kata Cage yang kini merupakan suami kepada Alice Kim.
Kosmo