Archive | Suhaiza Suhaimi RSS feed for this section

Memey Elak Temui Norman Di Pejabat

24 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
“DIA (Norman Hakim) memang lelaki yang paling rapat dalam hidup saya buat masa ini. Saya memang tidak berkawan dengan lelaki lain. Tapi, sejauh mana hubungan kami berdua sama ada bercinta atau perancangan untuk berkahwin selepas ini, soalan itu perlu ditanya kepada Norman sendiri.

“Maklumlah, kini orang menyalahkan saya kerana keruntuhan rumah tangganya dengan pelakon Abby Abadi. Sebagai wanita, tidak manis saya yang bercakap lebih-lebih perkara ini, seperti pepatah, ‘Takkanlah perigi pula yang mencari timba,” kata Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21.

Terus terang, kata Memey, dia memang menghadapi tekanan kerana sering ditanya status hubungannya dengan Norman sampai hari ini.

“Bilakah semua ini akan berakhir? Itulah juga perkara pertama yang saya fikirkan setiap kali menghadiri sidang akhbar kerana saya tahu orang akan tanya soalan yang sama juga.

“Saya memang sudah bosan untuk menjawab soalan yang sama tapi nak buat macam mana, ia perkara yang tidak boleh dielakkan. Pihak wartawan hanya buat kerja mereka saja.

“Saya juga terpaksa datang untuk menghadiri sidang media drama lakonan saya kerana ia komitmen yang perlu diberikan sebagai pelakon,” katanya.

Memey berkata, dia mengakui tidak ada kebebasan untuk berjumpa dengan Norman seperti pasangan lain.

“Kami juga tidak boleh berjumpa di pejabat Norman kerana setiap kali saya ke sana, pasti ada orang mengekori dan menunggu di sana.

“Kebebasan saya selama ini terganggu kerana setiap pergerakan sentiasa diperhatikan orang. Saya percaya, orang hanya cari sebab untuk mencari salah saya saja sekarang.

“Setiap kali bertemu Norman di pejabatnya, pasti ada orang sampaikan pada pihak media. Kini, kami terpaksa bertemu di tempat lain supaya tidak dihidu orang lagi. Tapi tempat itu masih tempat awam cuma ada kebebasan sikit di situ,” katanya.

 

 

Justeru, kata Memey, dia berharap perbicaraan kes khalwatnya dengan Norman pada 15 Mei ini juga selesai dengan baik.

“Kalau orang tanya bila saya nak kahwin dengan Norman. Jawapan saya mudah saja. Saya belum fikir soal kahwin lagi kerana usia masih muda, baru 21 tahun. Buat masa ini, fokus saya pada kerjaya seni dulu dan membantu keluarga,” katanya.

Memey ditemui ketika pelancaran drama online terbaru, Gua, Mingguan Lelaki di Solaris Mont Kiara, di sini, baru-baru ini.

Mengenai lakonannya dalam drama Mingguan Lelaki, Memey berkata, ini kali pertama dia berlakon di bawah arahan Aziz M Osman.

“Ketika ditawarkan berlakon dalam drama online, Mingguan Lelaki, saya berasa berdebar dan takut kerana tidak pernah bekerja dengan Aziz sebelum ini.

“Namun, banyak ilmu lakonan yang saya boleh belajar dengannya ketika penggambaran kerana Aziz, pengarah yang kreatif. Sebelum penggambaran sesuatu babak itu, kami perlu berlatih dulu sebelum menjayakan babak sebenar dan begitulah babak seterusnya. Ia bagaikan kelas lakonan bagi saya.

“Watak yang ditawarkan pada saya juga mencabar kerana Farah adalah wanita penggoda. Sebelum ini, saya sering diberikan watak gadis kampung yang baik dan jarang dapat karakter seperti ini.

“Ada tiga babak yang saya perlu ulang banyak kali. Antara babak paling susah ialah episod 7, babak Farah perlu menggoda Ilham (lakonan Fazren Rafi) di ruang tamu,” katanya.

Selain itu, Memey baru selesai penggambaran filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak dan drama untuk RTM, Khatan.

Tidak ketinggalan, dia juga terbabit dalam drama bersiri 62 episod, Roda-Roda Kuala Lumpur terbitan Skop Productions.

“Setakat ini, tawaran berlakon tidak pernah putus tapi saya lebih mementingkan aspek kualiti daripada kuantiti kerana saya ingin orang menilai menerusi hasil kerja,” katanya.

Ditanya, sama ada dia mengelakkan diri daripada bergandingan dengan Norman atau Abby dalam drama, Memey berkata, dia tidak ada masalah untuk bergandingan dengan mereka pada masa depan.

“Saya juga tidak kisah jika bergandingan dengan Norman atau Abby sekalipun kerana sebagai pelakon, saya perlu profesional. Cuma setakat ini, saya belum pernah digandingkan dengan mereka dalam mana-mana projek lagi,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

'Norman Lelaki Paling Rapat'

22 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Memey

Memey akui terlalu awal fikirkan soal kahwin

BOSAN dan jelak disuakan persoalan yang serupa namun apa saja yang mampu dilakukan oleh gadis ini untuk menutup mulut mereka yang tidak pernah jemu mendapatkan kepastian daripadanya.

Mahu atau tidak dia terpaksa berdepan dengan pertanyaan demi pertanyaan mengenai pengakhiran hubungannya dengan aktor sensasi, Norman Hakim.

Jauh di sudut hati mahu saja dia melontar jauh segala peristiwa hitam lalu tanpa perlu ada yang terus mengungkit dan membangkit persoalan yang dia sendiri tidak mempunyai jawapannya.

Bagi Suhaiza Suhaimi atau nama komersialnya, Memey Suhaiza, 21, berdiam diri adalah jawapan terbaik daripada terus mengulas mengenai hubungan dengan duda tiga anak itu.

Sebagai gadis, Memey akur tidak manis untuk dia berbicara soal hati apatah lagi bercerita panjang mengenai perancangan masa depan terutama menyentuh soal perkahwinan.

“Lebih baik hal itu ditanyakan kepada Norman. Mungkin dia mempunyai jawapannya. Tidak manis saya sebagai seorang wanita bercerita mengenai soal hati dan perkahwinan selagi belum ada kata putus daripadanya.

“Tetapi saya tidak menafikan dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya,” kata Memey seakan sudah menduga pertanyaan itu pasti kembali diajukan kepadanya ketika pertemuan sempena pelancaran drama online terbaru siaran Gua TV, Mingguan Lelaki, baru-baru ini.

Menyelak tabir hatinya, gadis kelahiran Kota Tinggi, Johor ini jujur meluahkan, fokus utamanya ketika ini adalah memperkukuhkan dulu nama serta memantapkan karier lakonan yang baru setahun dua diceburi.

Apatah lagi pada usia baru mencecah 21 tahun, Memey merasakan masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal perkahwinan.

“Saya masih muda untuk ke arah itu. Biarlah saya bekerja dulu untuk mencari kepuasan dalam dunia lakonan. Tambahan pula keluarga di kampung juga masih bergantung kepada saya.

“Memikirkan semua itu, setiap kali sebelum keluar rumah saya mengumpul kekuatan untuk berdepan dengan masyarakat dan media kerana saya perlu bekerja untuk survival.

“Ada ketika saya berasa begitu penat kerana cerita mengenai kami tidak pernah berkesudahan. Pernah saya tertanya sendiri, bila semua ini akan berakhir kerana saya juga mahu hidup aman seperti dulu,” katanya.

Akui Memey, sejak peristiwa hitam itu hidupnya sudah tidak setenang dulu. Kebebasan yang dulu menjadi miliknya sudah mula terhakis dan suasana itu membuatnya tidak selesa.

“Setiap kali kami berdua di khalayak, pasti ada yang menghebahkannya kepada media. Masyarakat seolah-olah cuba mencari kesalahan saya sedangkan saya juga berhak untuk menikmati kehidupan seperti orang lain.

“Semua itu membuat saya lebih berhati-hati. Saya tidak mahu tersalah langkah lagi kerana orang di luar sentiasa mencari sebab untuk menunjukkan saya yang bersalah atas apa yang berlaku,” katanya dalam senyum hambar.

Terpulang apa juga tafsiran dan penerimaan khalayak kerana bagi Memey, dia perlu meneruskan hidup seperti biasa.

Mujur segala kekalutan itu tidak menghentikan rezekinya dalam bidang lakonan. Rezekinya bagaikan tidak putus kerana tawaran sentiasa mendatangi membuatkan Memey bersyukur kerana Tuhan masih menyayanginya.

Namun, tidak semua tawaran yang datang dikautnya kerana gadis ini mempunyai prinsip kerjanya sendiri.

“Saya lebih memikirkan kualiti berbanding kuantiti. Selesai satu penggambaran, baru saya terfikir untuk menerima tawaran lain.

“Saya tidak mahu terlalu ghairah menerima tawaran itu dan ini tetapi sudahnya saya tidak mampu memberikan hasil kerja yang baik.

“Saya seorang yang menjaga kualiti kerja dan kerana itu saya merencana perjalanan kerjaya supaya mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan sebelum ke sesuatu lokasi baru,” katanya.

Ketika ini, Memey terikat dengan penggambaran drama bersiri 62 episod, Roda Roda Kuala Lumpur selain baru menyempurnakan penggambaran drama, Khatan siaran RTM serta filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak.

Takut namun teruja

MENGENAI pembabitannya dalam drama Mingguan Lelaki, Memey yang membawakan watak wanita penggoda bernama Farah berkata, pada mulanya dia berdebar-debar untuk menerima tawaran itu.

Apatah lagi, drama online bersiri yang ditulis Pengurus Besar Kandungan, Jenama dan Pemasaran Alt Media Sdn Bhd, M Zulkifli Abdul Jalil menemukannya dengan pengarah hebat, Aziz M Osman.

“Saya takut dan berdebar-debar kerana ramai memberitahu dia garang ketika di lokasi. Itu yang membuat saya berdebar.

“Namun memikirkan kredibilitinya sebagai pengarah hebat, saya teruja untuk menimba pengalaman bekerja di bawah arahannya.

“Saya bertuah kerana dia sentiasa memberi tunjuk ajar. Dalam kebebasan yang diberi, dia banyak membantu serta menegur untuk mencorakkan lakonan saya membuatkan saya selesa di lokasi.

“Alhamdulillah, tidak banyak masalah dihadapi meskipun ini kali pertama saya diserahkan watak yang agak berbeza daripada kebiasaan watak yang diberikan kepada saya,” katanya.

Merendah diri biarpun dipuji Aziz akan potensi dan bakat besar yang dimilikinya, Memey berkata, jika tanpa tunjuk ajar serta teguran pengarah itu tidak mungkin dia mampu memberikan persembahan yang dimahukan.

“Durasi untuk penggambaran drama ini agak singkat membuatkan saya tidak mempunyai banyak masa melakukan kajian.

“Lagipun watak Farah agak berat kerana saya perlu menghidupkan watak sebagai wanita penggoda membuatkan beberapa kali penggambaran terpaksa diulangi terutama pada episod ketujuh di mana saya perlu menggoda Fazren Rafi,” katanya.

INFO:

Nama Penuh: Suhaiza Suhaimi Nama Komersial: Memey Suhaiza Tarikh Lahir: 25 Mac 1988 Asal: Kota Tinggi, Johor Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik Pendidikan: Sekolah Menengah Tenggaroh A, Kota Tinggi, Johor Drama: Graduan, Elit, Pasrah, Dunia Baru 3, Roda-Roda Kuala Lumpur, Tragedi Oktober, Lara Rindu Mahsuri dan Farah Syakira. Program TV: Pengacara Diari Anak Seni (RTM)

Berita Harian

Depan Mata: Pahit, Manis Dan Kelat Di ABPBH2008

20 Apr

Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my

Rap
INSIDEN Nabil peluk buah hati, Irma Hasmie sebaik diumumkan menang Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Ahad lalu, antara yang diperkatakan orang sepanjang minggu lalu.

Begitu juga aksi penyanyi Farah Asyikin ketika menyampaikan lagu Hello hingga penonton di Arena Of Stars, Genting Highlands kurang selesa melihat Farah dijulang penari.

Mungkin ia perkara yang tidak disengajakan tapi itulah harga yang harus dibayar apabila mereka terjun ke dunia glamor. Nabil juga sudah memohon maaf secara terbuka atas ketidaksengajaannya itu tapi bak kata pepatah, nasi sudah jadi bubur atau pepatah Inggeris, the damage is done.

Farah juga sudah memberi penjelasan dalam Harian Metro Khamis lalu mengatakan tiada niat tampil seksi atau membuatkan penonton kurang selesa.

Memang tiada salahnya pakaian Farah tapi apabila dirinya diangkat penari sedemikian rupa, membuatkan apa yang tidak sepatutnya nampak sudah disaksikan banyak mata, apatah lagi disiarkan secara langsung di TV3.

Mungkin boleh memberi pengajaran kepada penyanyi lain supaya memilih pakaian lebih sesuai apabila perlu dijulang penari, seperti berseluar panjang. Hakikatnya, Farah memakai stokin gelap dan bukannya mendedahkan paha gebunya di balik gaun paras atas lutut itu.

Sebelum ini, pakaian Farah dikatakan tidak sesuai ketika menjayakan satu program hari raya walaupun hakikatnya menyampaikan lagu moden tetapi sepatutnya memilih pakaian lebih sesuai dengan majlis bukannya gaya ketika menyanyi di kelab malam.

Tidak kurang menariknya, ramai melaram sakan ketika acara permaidani merah sama ada yang ditaja atau koleksi sendiri sesuai tema ‘tenunan songket’. Lebih menarik, ramai juga melaram buah hati.

Jika Norish Karman bersama jejaka kacukan Melayu-Inggeris, Luqman Amin yang juga abang Farahdhiya, pengacara Nurul Alis (Kiki) pula membawa jejaka mat salih. Begitu juga Abby Abadi bersama Zulkifli Ariffin dan Noraliah Lee (Vee) dengan kerabat Selangor, Tengku Yusof.

Menariknya, empat wanita ini memegang status janda tetapi nampaknya ABPBH2008 menjadi medan untuk mereka pamerkan orang istimewa dalam hidup mereka. Kalau sebelum ini hanya mendengar gosip apabila ada mata-mata gelap tidak bergaji bercerita melihat mereka keluar bersama.

 

 

Tapi malam itu, mereka tidak main sembunyi-sembunyi, sebaliknya berkongsi dengan umum siapa gerangan insan istimewa dalam hidup mereka ketika ini. Apabila bersikap terbuka, siapa tahu dengan doa peminat dipercepatkan jodoh mereka.

Pengakuan Norish juga disiarkan dalam Harian Metro, Sabtu lalu. Ternyata Norish tidak berselindung apabila saya katakan dia kini lebih terbuka. Sebelum ini, Norish hadir bersama Luqman ketika tayangan filem Talentime, kemudian konsert mini Anggun.

Sebelum ini, Abby dianggap berani dan sangat terbuka apabila sering bersama Zul tidak lama selepas bercerai dengan Norman Hakim, malah kantoi di lapangan terbang ketika baru pulang dari China.

Hubungan Vee dengan Tengku Yusof pula dikatakan sekejap on sekejap off tapi saya melihat apabila Vee terbuka memperkenalkannya kepada umum, secara tidak langsung menjadi satu jaminan buat si wanita bahawa si lelaki sudah menjadi miliknya.

Kita tunggu pula giliran Norman dan pasangannya, Suhaiza Suhaimi atau Memey mengakui hubungan mereka secara terbuka walaupun hakikatnya ramai sudah tahu, tapi empunya diri mengatakan antara mereka tiada hubungan istimewa walaupun sudah kantoi ditangkap khalwat. Terbaru, gambar mesra mereka meraikan ulang tahun berdua kini disebarkan di Internet.

Begitu juga Fasha Sandha, sejak sekian lama dikatakan ada hubungan istimewa dengan bekas suami Nora Danish tetapi empunya diri juga tidak mengaku. Cuma gambar mereka berdua belum lagi disebarkan di Internet sebagai bukti tetapi gambar beramai-ramai adalah.

Turut mendapat perhatian saya ketiadaan dua pemenang malam itu, Norkhiriah untuk Pelakon Komedi Wanita Popular dan Dynas (Pelakon TV Wanita Popular). Sebagaimana diumumkan pengacara majlis, Sharifah Shahira bahawa Norkhiriah kurang sihat kerana mengandung.

Dynas pula ramai yang tahu mengandung tujuh bulan tetapi tidak ramai tahu dua hari sebelum ABPBH2008, Dynas menerima berita duka anak yang dikandung meninggal dunia. Teringat pengalaman sama yang saya alami pada 2003 apabila bayi yang dikandung selama 24 minggu, tidak sempat dilahirkan ke dunia kerana pergi lebih dulu.

Tentunya ini saat cukup sukar bagi Dynas, apatah lagi kali kedua hamil dan belum berpeluang menatap bayi yang dinantikan bersama suami.

Untuk mengubat hati yang luka, orang selalu kata ada hikmah di sebaliknya. Paling penting, bayi itu menanti ibunya di syurga. Dynas juga menerima berita gembira apabila sekali lagi menang kategori yang pernah dimenanginya tahun lalu.

Bagi Norkhiriah, sebelum ini pernah mengalami keguguran sudah tentu kali ini berhati-hati menjaga kandungan. Tambah-tambah pula pada awal kehamilan dan majlis pula berlangsung di tempat tinggi dan dingin menusuk tulang.

Tahun lalu, Erra Fazira mengalami keguguran ketika menghadiri ABPBH2007 tetapi cepat diberikan pengganti apabila Mac lalu, selamat melahirkan bayi perempuan diberi nama Engku Aleesya Engku Emran.

Mereka juga manusia biasa yang mengalami dugaan dalam hidup serta melalui suka duka sebagai wanita bergelar isteri.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Gagal Ketepi Pertuduhan

8 Apr

Oleh Murni Wan Omar

KUALA LUMPUR: Pelakon Norman Hakim dan Memey terpaksa berdepan proses perbicaraan atas tuduhan berkhalwat, Mei depan selepas gagal mengenepikan pertuduhan yang dihadapi mereka, semalam.

Ia berikutan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, menolak representasi yang dikemukakan bagi meminta pertuduhan terhadap mereka diteliti dan dikaji semula.

Keputusan itu dibuat selepas pegawai pendakwa syarie, Muhamad Nazri Basrawi memaklumkan bahawa Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Datuk Zohdi Toha menolak permohonan itu.

Bagaimanapun, ia tidak akan dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad seperti sebutan kes sebelum ini berikutan hakim berkenaan mendapat nasihat daripada Ketua Hakim Syarie supaya menarik diri daripada mendengar prosiding itu.

 

 

Wan Mahyuddin berkata, beliau dinasihatkan menarik diri berikutan wujud spekulasi dan kenyataan secara terbuka berhubung kes itu terutama di televisyen dan media cetak.

“Saya bukan tidak berupaya mengendalikan kes ini tetapi dinasihatkan menarik diri demi memastikan tidak wujud subjudis. Mahkamah mengingatkan supaya pihak terbabit tidak membuat kenyataan berhubung kes kerana ia boleh menghina mahkamah.

“Diharap semua pihak dapat menghormati arahan ini dan meneliti kod etika kerja masing-masing demi keadilan. Ia membolehkan kes berlangsung tanpa gangguan. Oleh itu kes ini akan didengar di hadapan hakim yang baru,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Nazri memberitahu mahkamah pihaknya sudah menyediakan saksi bagi kes itu dan boleh diteruskan dengan perbicaraan pada bila-bila masa.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakili Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, juga memaklumkan pihaknya juga bersedia untuk perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula.

Harian Metro

Keputusan Representasi Norman Hari Ini

7 Apr

KUALA LUMPUR: Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur akan mendengar keputusan representasi pelakon drama popular, Norman Hakim yang ditangkap khalwat dengan pelakon muda, Memey, sama ada kes itu akan diteruskan atau digugurkan.

Ia berikutan sebelum ini satu representasi dihantar kepada Ketua Pendakwaan Syarie Selangor bagi meminta pertuduhan yang dikenakan terhadap Norman Hakim dan Memey dikaji dan diteliti semula.

Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, tidak mengaku atas pertuduhan khalwat sedangkan mereka bukan mahram atau suami isteri di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Selangor 1995 untuk lelaki dan Seksyen 29(1)(b) untuk wanita, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000.

 

 

Masing-masing dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin hingga kes itu selesai.

Pasangan yang dihambat kontroversi itu sehingga kini tidak pernah membuat sebarang pengakuan mengenai perhubungan mereka, namun keintiman dengan keluarga masing-masing sejak kes itu berlaku, bukan lagi rahsia.

Hadir kali pertama ke mahkamah pada 20 Januari lalu untuk didakwa, kedua-dua pasangan itu berpakaian sedondon rona putih dan sering melemparkan senyuman selain tidak berenggang antara satu sama lain.

Kali kedua, pasangan itu hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes, Memey begitu mesra dengan ibu Norman, Kamariah Kamat, 66, hingga memanggilnya ‘mak’.

Kata Memey, selepas kes khalwat itu, hubungannya dengan Kamariah semakin erat, malah sering mendapatkan nasihat berhubung perjalanan hidupnya termasuk kariernya sebagai pelakon.

Harian Metro

Hakim Kes Norman, Memey Tarik Diri

7 Apr


NORMAN dan Memey keluar dari Mahkamah Syariah Gombak Timur, semalam.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam menangguhkan perbicaraan kes khalwat pelakon, Norman Hakim dan pasangannya, Memey Suhaizah sehingga 15 Mei ini selepas Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menarik diri daripada mendengar prosiding itu.

Wan Mahyuddin membuat keputusan itu selepas Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Zohdi Toha menasihati beliau supaya menarik diri berikutan banyak spekulasi dan kenyataan terbuka mengenai kes berkenaan di televisyen dan media cetak.

“Saya harap semua pihak dapat menghormati arahan ini dan meneliti kod etika kerja masing-masing demi keadilan bagi membolehkan sebarang kes yang didengar di mahkamah berlangsung tanpa gangguan.

“Penarikan diri bukan bermakna saya tidak berupaya mengendalikan kes, tetapi ia berlandaskan nasihat diberi Ketua Hakim Syarie. Ia bertujuan memastikan tidak wujud sebarang subjudis. Jadi kes ini akan diteruskan di hadapan hakim baru,” katanya.

Terdahulu, mahkamah menolak representasi dikemukakan Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 33, dan Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, menerusi peguam mereka, Fakhrul Azman Abu Hasan.

Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi memberitahu mahkamah bahawa permohonan pasangan itu supaya pihak pendakwaan meneliti dan mengkaji semula kes mereka ditolak Ketua Pendakwaan Syarie Selangor.

Berita Harian

Tiada Maaf Abby Bagi Memey

19 Jan

KUALA LUMPUR: Pelakon Abby Abadi berkata beliau tidak akan memaafkan kesalahan pendatang baru, Memey, yang dituduh menjadi punca keruntuhan rumah tangganya dengan Norman Hakim.

‘Tak payahlah dia minta maaf dengan saya. Dia juga tidak perlu mohon maaf daripada saya jika semata-mata hendak tunjuk baik kepada masyarakat. Saya pun sudah tidak kuasa ambil tahu hal mereka berdua,’ kata Abby Abadi, 30 tahun, mengenai kenyataan mohon maaf Memey kelmarin.

‘Saya harap Memey belajar daripada apa yang saya lalui sebab dia pun perempuan. Saya yakin dia akan harungi juga apa yang saya lalui sekarang,’ tambah Abby.

Memey atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 20 tahun, dalam kenyataan pertamanya kepada media selepas dua bulan berdiam diri, berkata beliau tidak berniat melukakan hati Abby.

Beliau, yang ditangkap khalwat bersama Norman pada awal pagi 30 Oktober lalu, berkata hubungannya dengan pelakon drama Gerak Khas itu tidak lebih daripada kawan biasa sesama artis.

Begitupun, beliau tidak dapat meramalkan jika hubungannya dengan Norman akan berubah pada masa depan.

‘Itu semua kuasa Tuhan tapi sebelum kami ditahan memang tiada hubungan istimewa. Sebaliknya, kawan rapat kerana kami mula mengenali di set penggambaran drama Pasrah.

‘Memang benar saya turut belajar mengenai urusan perniagaan bersama Norman dan selalu membantunya di pejabat. Keluarga saya tahu mengenainya dan sebab itu apabila keluar berita kami ditangkap basah, mereka tidak terkejut kerana tahu hal sebenar,’ kata Memey.

Memey turut menafikan Norman datang ke rumahnya di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini bersama keluarganya untuk merisik, bertunang dan bernikah pada masa terdekat.

Menurutnya, pada waktu itu, ibunya mengadakan majlis hari jadi adiknya.

‘Kebetulan Norman berada di Johor dan menghubungi saya. Jadi kami menjemputnya datang ke rumah. Apabila orang keliling melihat keadaan itu, mulalah timbul cerita lain,’ jelasnya. — Harian Metro.

Cyberita

RTM Gam Memey Suhaiza Jika Didapati Bersalah

14 Jan


MEMEY

KUALA LUMPUR – Pelakon Memey Suhaiza Suhaimi, 20, bakal mengikut jejak langkah artis-artis lain seperti Saleem dan Rosnah Mat Aris yang digantung oleh RTM seandainya dia didapati bersalah oleh Mahkamah Syariah atas tuduhan berkhalwat baru-baru ini.

Ketua Pengarah RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid berkata, RTM secara prinsip tidak mahu masyarakat memandang serong terhadap stesen penyiaran kerajaan itu gara-gara menyiarkan paparan drama atau filem lakonan artis bermasalah.

“Dalam kes Memey ini, sememangnya RTM memandang serius kes salah lakunya tapi Memey masih belum dibuktikan bersalah di mahkamah dan pada masa yang sama, cakap-cakap mengenainya hanya jadi mainan akhbar.

“Justeru, RTM tak boleh secara drastik menghukumnya sama ada digam terus atau digantung dalam tempoh masa tertentu,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi semalam.

Kosmo

Tragedi Cinta 2008

29 Dec

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
ISU pemberian gelaran ‘Datuk’ kepada pelakon Bollywood terkenal, Shah Rukh Khan (SRK) oleh kerajaan negeri Melaka, mendahului carta kontroversi dunia hiburan sepanjang 2008.

Ia dinilai berdasarkan beberapa aspek, khususnya penganugerahan ini membangkitkan sensitiviti di kalangan masyarakat umum dan juga penggiat seni tanah air kerana melihat pemberian itu sebagai memperkecilkan sumbangan anak seni tempatan dalam menjana pembangunan industri hiburan.

Mereka juga mempersoalkan apakah sumbangan SRK dalam membangunkan industri hiburan serta perkembangan ekonomi negara? Rasa tidak puas hati ini disuarakan karyawan seni melalui sidang media tergempar Persatuan Seniman Malaysia.

Presidennya, Datuk Mustapha Maarof menggesa kerajaan negeri membuat penilaian sebaik mungkin sebelum mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Bagaimanapun, pada 6 Disember lalu, SRK menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) sempena ulang tahun ke-70, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Seri Negeri, Melaka.

Selain itu, kemelut rumah tangga pelakon popular, Arbaeyah Abdul Manan (AbbY Abadi), 30, dan suaminya Mohamed Norhakim Zaidon (Norman), 32, tidak kurang hebatnya sehingga dilaporkan media hampir sebulan.

Pergolakan rumah tangga Abby dan Norman sudah lama diperkatakan dan hubungan mereka berantakan gara-gara kehadiran orang ketiga yang dipercayai pelakon muda, Suhaiza Suhaimi (Memey). Norman juga dilaporkan tidak pulang ke rumah lebih sebulan sejak Aidilfitri lalu dan juga dikatakan berkahwin secara rahsia dengan Memey.

Bagaimanapun, Norman menafikan mempunyai hubungan istimewa dengan Memey, apatah lagi berkahwin hingga meminta media tunjukkan bukti. Namun, kebenaran terungkai apabila pada 30 Oktober, jam 3 pagi, Norman dicekup pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana disyaki berkhalwat dengan Memey di pejabatnya di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor.

Rentetan kes itu, Abby mengambil tindakan menfailkan cerai pada 3 November lalu. Bagaimanapun, berlaku sedikit masalah hingga Abby mengambil tindakan mencari Norman di lokasi Gerak Khas untuk mendapatkan kerjasamanya memberi maklumat lanjut butir-butir dalam borang permohonannya.

Sebelum ini, Norman dan Abby pernah bercerai pada Mei 2006 gara-gara dikatakan wujudnya ‘orang ketiga’ tetapi rujuk semula dalam tempoh waktu yang singkat atas alasan kasih sayang antara mereka masih kuat.

Bagaimanapun kali ini, Abby nekad dan akhirnya Norman melafazkan cerai terhadap isterinya itu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, 18 Disember lalu.

Satu lagi kisah perceraian menyayat hati membabitkan pelakon sitkom Puteri yang cantik jelita, Nora Mohd Danish Hanif, 26, diceraikan suaminya, Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 33, ketika hamil tiga bulan.

Mahkamah pada 12 Ogos lalu memutuskan lafaz cerai yang dibuat Rizal dalam keadaan sedar sebanyak dua kali menerusi telefon sekitar Februari dan 17 Jun lalu adalah sah. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Jun 2006 dan dianggap ‘loving couple’ di kalangan teman rapat.

Sementara itu, Fasha Sandha yang dikatakan punca kepada keretakan rumah tangga Nora Danish, dipulaukan pihak media gara-gara sikapnya yang tidak menghormati pihak media dengan melemparkan kata-kata kesat kepada wartawan.

2008 boleh dianggap zaman suram bagi pelakon yang muncul dengan filem terbaru, Cicakman 2 itu kerana ‘direhatkan’ daripada sebarang publisiti di media cetak dan elektronik sejak Julai lalu dan dijangka berlarutan dalam tempoh yang panjang.

Kes penceraian membabitkan artis sepanjang 2008 adalah yang terburuk kerana boleh dikatakan ia berlaku setiap bulan dan jumlahnya amat membimbangkan.

Terdapat juga beberapa kes yang masih dibicarakan misalnya Beego, Radhi OAG, Aziz M Osman serta pasangan Erema dan Seri Bayu.

Sementara sah bercerai, Farah Ashikin, Norish Karman, Siti Fairuz, Leina Hangat, Cham VE, Anis Suraya, Emma Akma, Noraniza Idris, Bell Ngasri dan Abby Abadi.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Elegi Sepi, Azharina mengejutkan peminat hiburan kerana selepas membuat pengakuan dia isteri ketiga kepada peguam, Datuk Shukri, seminggu selepas itu mengumumkan dirinya sedang dalam edah.

Beberapa isu kontroversi turut disenaraikan

Rita dan Aidil Zafuan kahwin senyap-senyap

SEPULUH bulan melayari alam rumah tangga, akhirnya perkahwinan rahsia di antara pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Radzak, 21, terbongkar selepas ayah dan ibu Zafuan tampil membuat sidang media di Sikamat, dekat Seremban.

Pada majlis itu, mereka mendedahkan Aidil Zafuan dan Rita berkahwin secara rahsia dan selama ini hanya berlakon di depan mata keluarga sendiri yang masing-masing kononnya masih bujang.

Bagaimanapun, Aidil sudahpun pulang ke pangkuan ayah dan ibunya untuk memohon maaf, sekali gus menjelaskan dari hati ke hati apa yang berlaku selepas dilaporkan menyorokkan perkahwinannya dengan Rita di Selatan Thailand, pada 25 Februari lalu.

Pasangan ini juga dikhabarkan dengan berita gembira apabila Rita disahkan mengandung dua bulan setengah.

Faizal Tahir

JANUARI 2008, pastinya menjadi pengajaran yang cukup berharga buat Faizal Tahir sepanjang bergelar anak seni. Semuanya gara-gara insiden membuka baju yang dilakukannya ketika persembahan sempena konsert ulang tahun 8TV pada 13 Januari lalu.

Sebagai hukuman, Faizal dilarang muncul daripada sebarang rancangan televisyen semua stesen penyiaran selama tiga bulan bermula 15 Januari. Tidak hanya Faizal, pihak 8TV juga tidak terkecuali daripada menerima tempiasnya. Selama tempoh itu, 8TV tidak boleh menyiarkan sebarang rancangan secara langsung, semuanya perlu dirakam termasuk One In A Million.

Insiden buka baju yang menampakkan simbol ‘S’ itu menyebabkan dua lagunya, Mahakarya Cinta dan Kasih Tercipta yang mara ke Anugerah Juara Lagu 22 disampaikan penyanyi lain iaitu Fiq Mentor dan Bob.

Pierre Andre dan cinta khayalannya

SELEPAS berpisah dengan teman wanitanya yang juga pengarah/pelakon Norliana Samsudin, Pierre Andre dikaitkan dengan beberapa rakan artis jelita, antaranya Fasha Sandha dan Julia Ziegler.

Bagaimanapun, pengarah muda ini dikatakan pula menjalinkan hubungan cinta dengan seorang gadis bernama Maya Darina Dahlan Hain.

Tidak lama selepas tersebarnya berita itu, Maya Darina dikatakan pula hanyalah kekasih khayalan Pierre atau yang lebih tepatnya, Pierre dipercayai dibomohkan Maya yang juga dikenali melalui nama samaran Melia dan Molie.

Siasatan media mendapati Pierre bukan mangsa pertama Maya yang dipercayai watak rekaan Elie, bekas pekerja Metrowealth Movies Production. Sebelum ini, Faizal Tahir dan Farid Kamil juga pernah ditipunya.

Sekian lama mendiamkan diri, Pierre akhirnya tampil memberi penjelasan mengenai kontroversi perhubungannya dengan Maya kepada pihak media.

Pierre menafikan dirinya ‘sakit’ atau bercinta dengan Maya yang tidak pernah ditemui. Mereka sekadar berhubungan melalui telefon dan itupun untuk berbincang mengenai kerja. Semua cerita yang tersebar sebelum ini, katanya adalah karut.

Isu Maya Darina juga dikatakan menjejaskan tumpuannya terhadap penggambaran Jangan Tegur, bahkan hubungannya dengan penerbit Metrowealth, David Teo juga dingin mutakhir ini.

Azwan Ali bermusuh dengan Ifa Raziah

SELEPAS dikatakan bermasan muka dengan pelakon dan produser, Sheila Rusly, tahun lalu, pengacara terkenal Azwan Ali kini bermusuhan pula dengan sahabat baiknya, Ifa Raziah.

Semuanya gara-gara Azwan tidak membenarkan Ifa menumpang biliknya sewaktu menghadiri upacara Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2007. Tindakan Azwan itu cukup melukakan hati Ifa hingga rasa terkilan itu disuarakan kepada pihak media.

Pelbagai kenyataan diberikan kedua-dua pihak, namun tidak menampakkan sebarang tanda akan berdamai.

Video lucah Ida Nerina

INDUSTRI hiburan tempatan dikejutkan dengan video rakaman lucah yang dikatakan membabitkan dua pelakon ternama negara, Ida Nerina dan Fauzi Nawawi.

Kedua-duanya menafikan yang dua individu di dalam klip itu adalah mereka.

Zarina An-Julie

SELEPAS tersebar gambar separuh bogelnya dengan seorang jejaka awal tahun ini, pelakon Anak Pontianak, Zarina An-Julie sekali lagi menggemparkan persada hiburan dengan fotonya berbikini dan mengghairahkan sewaktu menghadiri satu ‘parti’ di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.

Gambar yang mendedahkan sebahagian dadanya itu tersebar luas di Internet sehingga mendesak Zarina membuat pengakuan, sekali gus memohon maaf di atas tindakannya itu.

Bagaimanapun, Zarina menafikan gambar separuh bogel yang membabitkannya dengan seorang pemuda sebagai teknik ‘super impose’.

Linda dan Fahrin

SERING mengaku teman tapi mesra, namun apabila hubungan berakhir awal tahun ini, penyampai Sinar FM, Linda Onn dan aktor kacak, Fahrin Ahmad bagaikan menjadi musuh ketat.

Keadaan ini sudah cukup menjelaskan hubungan mereka sebelum ini lebih daripada sebuah persahabatan atau erti kata lain mereka sebenarnya bercinta. Linda khususnya, dikatakan sering menyindir Fahrin melalui blognya sehingga mencalar imej dan maruah pemuda itu.

Sengketa mereka bertambah parah sejak disatukan semula mengendalikan program Sehati Berdansa. Berlaku satu kejadian memalukan apabila Linda ditengking Fahrin ketika raptai Sehati Berdansa minggu keempat.

Harian Metro

Norman Masih Teringat Abby

25 Dec

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Walaupun sudah bercerai, tidak semudah itu untuk saya berkahwin lagi. Berita mengatakan saya akan berkahwin hanya digembar-gemburkan orang. Keutamaan sekarang pada kerja dan anak.

“Jika saya hendak berkahwin lagi, saya akan uar-uarkan kepada media,” jelas Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32, yang kini tampil imej botak.

Dia yang baru bercerai dengan isterinya, Abby Abadi atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, Rabu lalu, berkata belum ada dalam agenda hidupnya untuk berkahwin lagi.

Meskipun tidak lagi tinggal sebumbung bersama anak, dia tidak terlalu sunyi kerana sibuk dengan kerja, namun ada kala keheningan menguasai suasana ketika bersendirian.

“Paling dirasai setiap kali berdoa selepas solat saya mesti mendoakan kesejahteraan Abby dan anak. Oleh kerana sudah biasa, selepas bercerai saya terus berdoa dengan menyebut ‘isteri’.

“Kemudian baru teringat yang kami sudah bercerai lalu menukar doa kepada bekas isteri. Walau di mana berada, saya tetap doakan kebahagiaan dan kesejahteraan Abby bersama anak,” katanya yang ditemui di GSC Signature, The Gardens, Midvalley, semalam, selepas pelancaran Astro Megadrama.

Bagi Norman, dia sering terasa masih dalam satu keluarga walaupun sudah bercerai.

Dia yang ditemani abangnya, Mohd Sophee Zaidon di majis itu masih mengambil berat mengenai anak yang tinggal bersama Abby di rumah lama.

“Saya dan Abby juga masih berhubung menerusi SMS bertanya khabar mengenai anak. Hanya yang terlerai ikatan suami isteri. Setakat itu jodoh kami dan hidup mesti diteruskan.

“Apa yang berlaku akan dijadikan iktibar,” katanya yang baru balik dari Kuantan bertemu rakan kongsi perniagaan berbincang mengenai usaha menerbitkan filem cereka di bawah syarikat D’Empire Studio.

Menyentuh penampilannya baru itu, Norman berkata, dia tiada sebab tertentu membotakkan kepalanya.

“Ini kali pertama saya membotakkan kepala, tetapi tiada sebab tertentu. Mungkin ia simbolik untuk saya memulakan kehidupan baru. Saya mahu menjadi seperti bayi baru lahir dan melupakan kepahitan lalu.

“Anak terkejut melihat gaya baru saya terutama Dania. Hubungan saya dengan anak tetap semesra dulu. Selepas bercerai saya ada membawa mereka bercuti di Genting Highlands,” katanya.

Mengulas isu pemergiannya ke rumah Memey atau Suhaiza Suhaimi dan tersebar gambarnya disambut mesra penduduk di Felda Tenggaroh baru-baru ini, jelas Norman, apabila orang menyambut kedatangannya secara baik, dia juga perlu melayan mereka dengan baik.

“Tiada agenda tersembunyi. Saya ke rumah Memey hanya untuk menjaga silaturahim,” katanya.

Ketika ditanya apabila terbuka pintu hatinya untuk berkahwin lagi kemungkinan Memey pilihannya, Norman hanya menjawab soalan itu dengan senyuman penuh makna.

Norman dan Abby bercerai kerana tiada lagi persefahaman antara mereka.

Keadaan rumah tangga pasangan popular itu tidak dapat diselamatkan selepas Norman ditangkap khalwat bersama Memey di pejabat Norman di Ukay Perdana, 30 Oktober lalu.

Selama hampir enam tahun mendirikan rumah tangga, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, 3 bulan.

Harian Metro