Archive | Rosyam Nor RSS feed for this section

Dengarnya… Peserta Pilih Kasih Ditempeleng

29 Apr

Oleh Normah Becok

Rosyam Nor

KELAKAR juga Cik Normah dengar cerita mengenai gelagat peserta uji bakat rancangan realiti Pilih Kasih, terbitan Suhan Movies. Setakat ini, sudah lima bandar sudah disinggahi pasukan Rosyam Nor untuk mencari pelakon baru.

Bandar itu ialah Johor Bahru, Seremban, Kota Bharu, Kuantan dan Kota Kinabalu. Pada 2 dan 3 Mei pula, mereka akan membuat sesi di Queensbay Mall, Pulau Pinang dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam. Akhir sekali, pada 9 dan 10 Mei, uji bakat Pilih Kasih diadakan pula di The Spring, Kuching.

Khabarnya, pelbagai telatah dapat dirakam Rosyam dan pasukannya sewaktu sesi uji bakat terbabit. Antara yang perlu dilakukan peserta pada hari terbabit ialah menghasilkan babak lakonan berdasarkan situasi yang diberi. Maka, bermacam-macam ragam lakonan dapat disaksikan sewaktu mereka cuba menawan hati panel pemilih.

Antaranya, ada adegan tampar-menampar, serta babak yang memerlukan peserta uji bakat menunjukkan muka sedih. Rosyam khabarnya terbeliak biji mata apabila ada sebahagian peserta yang menampar betul-betul rakan lakonannya sewaktu uji bakat. Apabila sudah ditempeleng betul-betul, maka merah padam jugalah wajah si peserta yang satu lagi.

Ada pula peserta yang diminta menunjukkan emosi sedih, terus saja menangis teresak-esak. Wah! ‘gitu’! Kata Rosyam, dia sendiri pun tidak mampu berbuat demikian. Selalunya dia akan ambil masa untuk mendapatkan mood sedih. Tetapi lain ceritanya dengan peserta Pilih kasih yang boleh terus mengalirkan air mata, disertakan dengan raungan sekali. Itu belum kira peserta yang menangis sambil menyeka air mata, ala kanak-kanak ‘gitu’.

Cik Normah sendiri tidak sabar hendak menonton rancangan Pilih Kasih apabila ia dijadual menemui penonton secara langsung mulai 6 Jun ini, di TV2. Sebelum itu, rancangan berbentuk diari dikenali sebagai Kisah Pilih Kasih akan disiarkan di saluran sama, mulai 25 Mei. Ia disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 8 malam.

Siapakah agaknya di antara ramai-ramai peserta itu, yang akhirnya dipilih Rosyam untuk menjadi pelakon yang akan beraksi di sisinya dalam filem Kekasih? Nampaknya kita kenalah tunggu sampai rancangan berkenaan tamat beberapa bulan lagi.

Berita Harian

Depan Mata: Jac Layak Jadi Mentor?

27 Apr

Rap
PERANG program realiti sudah bermula. Jika One In A Million musim ketiga (OIAM3) menutup tirainya Jumaat ini untuk memilih juara ketiga selepas Suki dan Ayu, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) pula menyusul pertengahan Mei.

Mei juga bakal menyaksikan pertarungan peserta Bintang RTM dan Mentor musim ketiga. Matlamatnya sama, mencungkil bakat baru dalam bidang nyanyian seterusnya melahirkan sebutir bintang di empat stesen televisyen, OIAM di 8TV, AF (Astro), Bintang RTM (RTM) dan Mentor (TV3).

Tidak cukup saingan mencungkil bakat penyanyi, diperkenalkan pula program mencari pelakon.

Bukan satu, tetapi ada dua program yang punya konsep sama, Anak Wayang untuk siaran Astro dan Pilih Kasih (RTM). Sebelum ini ada Audition di ntv7, tetapi hanya sempat bersiaran dua musim terus hilang.

TV3 pula tampil dengan Mentor musim ketiga memperkenalkan enam mentor, Adibah Noor, Lah VE, Awie, Ajai, Mas Idayu dan Jaclyn Victor. Mereka bakal membimbing protege yang berjaya dipilih hasil uji bakat.

Konsep Mentor agak unik dan berbeza kerana mentor akan menurunkan segala ilmu dimiliki kepada seorang protege. Apabila enam mentor itu diperkenalkan, tertanya -tanya juga mengapa Jac?

Bukan menidakkan kemampuan penyanyi Gemilang itu, tetapi rasanya baru saja kita lihat pahit getir dan perjuangan Jac dalam program realiti Malaysian Idol. Kini sudah menjadi mentor untuk membimbing protege?

Sudah tiada lagikah artis kita yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menjayakan program itu? Sudah tentu ramai yang lebih layak, lagipun program itu hanya memerlukan enam mentor.

Sekadar memberi beberapa contoh, Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Sharifah Aini, Aishah, Datuk DJ Dave, Anuar Zain, Ziana Zain, Ramlah Ram, Rahim Maarof, Amy Mastura, Deja Moss, Camelia, Francissca Peter, M Nasir, Jamal Abdillah, Ella dan Fauziah Latiff.

Cuma mungkin masalah komitmen atau pun mereka tidak menjadi pilihan kerana faktor populariti. Maklumlah, untuk menarik penonton, perlukan artis popular.

 

 

Dalam pengejar populariti, sememangnya stesen televisyen meletakkan percaturan kepada nama-nama popular. Kehadiran artis yang sudah ada nama sebagai peserta menjadi tarikan OIAM dan konsep ini turut digunapakai AF7 apabila membuka penyertaan kepada artis yang pernah merakamkan album.

Kalau pesertanya tidak popular, pengacaranya perlu artis dikenali. Mungkin atas dasar itu, Anak Wayang memilih dua pelakon popular, Fazura dan Rusdi Ramli sebagai pengacara.

Mungkin RTM perlu menggunakan pendekatan ini untuk Bintang RTM kerana saban tahun program itu kurang diperkatakan walaupun menampilkan peserta yang punya vokal mantap.

Apabila dinamakan perang, tentulah masing-masing mengatur strategi untuk memastikan program mereka menarik perhatian penonton. Kalau tidak ramai yang menonton, bermakna program dianjurkan tidak popular.

Antara AF, OIAM, Mentor dan Bintang RTM, mana satu lebih popular dan menjadi sebutan? Rasanya AF lebih berjaya bukan sekadar mencipta fenomena malah satu ketika sampai deman dengan pelbagai kejutan saban minggu hingga ramai ternanti-nanti apa lagi bentuk kejutan diperkenalkan.

Kalau diikutkan jumlah penonton yang melanggan Astro, banyak manalah berbanding mereka yang boleh menonton saluran percuma.

OIAM dan Mentor bertuah kerana 8TV dan TV3 berada di bawah payung Media Prima Berhad yang ada stesen radio Hot FM, Fly FM dan One FM. Tidak cukup dengan itu, bantuan rakan media dari akhbar kumpulan New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP).

Bintang RTM juga mempunyai ruang sama kerana stesen kerajaan itu ada RTM1 dan RTM2 dan juga stesen radio tapi kalau diukur dari segi populariti, Bintang RTM paling bawah.

Mungkin RTM memerlukan rakan media untuk menyokong program mereka. Begitu juga Anak Wayang dan Pilih Kasih yang mempunyai konsep sama, perlu mengatur strategi sendiri. Bagaimana caranya? Tentulah melalui publisiti dan promosi yang dilakukan sama ada percuma atau berbayar.

Tapi dalam dunia berkiblat kebendaan dan wang ringgit, tiada yang percuma. Kalau ada duit, semua boleh jadi. Bukan maknanya sogok rasuah untuk membodek tapi melalui pembelian iklan di media cetak. Itu cara paling mudah dan berkesan.

Saya sarankan beli iklan di akhbar nombor satu Harian Metro yang mempunyai lebih dua juta pembaca. Astro sanggup melabur wang yang banyak bagi memastikan publisiti dan promosi program terbitannya di akhbar kumpulan NSTP terutama AF dan Anak Wayang.

Pilih Kasih juga perlu peruntukkan bajet besar untuk publisiti. Rasanya bajet bukan masalah kerana Suhan Movies & Trading Sdn Bhd mendapat tajaan RM4.3 juta daripada syarikat telekomunikasi.

Lebih-lebih lagi untuk merealisasikan azam Rosyam Nor mahu mencipta sejarah melalui Pilih Kasih sekaligus menaikkan rating RTM.

Sesuai dengan bajet besar dan azam besar, publisiti juga perlulah besar, jangan nanti orang bercakap mengenai Anak Wayang tetapi Pilih Kasih kurang menjadi pilihan.

Kalau masih ada berpegang cara lama dengan meminta simpati daripada rakan media atau bermodalkan air liur dan muka manis, sekali dua mungkin boleh tapi untuk memastikan publisiti besar-besaran dan berterusan, kuasa duit sangat penting.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Pelakon 'Pulaukan' Majlis Rosyam

25 Apr

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ROSYAM marah, kecewa dan geram dengan telatah ‘bintang’ dramanya.

BUKAN senang untuk melihat pelakon senior seperti Rosyam Nor, 42, meluahkan perasaan yang terbuku di hatinya.

Dalam sikapnya yang sentiasa nampak tenang dan gemar bergurau dengan orang di sekelilingnya, baru-baru ini Rosyam melampias rasa amarahnya di depan media pada sidang akhbar drama Rahsia Hati.

Rosyam meluahkan amarah bukan kepada pekerjanya, bukan juga kepada pihak media atau pereka cerita gosip tidak berasas tentang dirinya. Sebaliknya amarah itu terhambur kepada pelakon-pelakon yang membintangi drama terbaru terbitannya, Rahsia Hati.

Keluh-kesah itu dilontarkan setelah dia berpendapat, pelakon terlibat tidak memberi sokongan pada acara pelancaran drama yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang.

Tatkala majlis berlangsung, skrin TV yang disediakan jelas memaparkan wajah-wajah artis hebat yang membintangi drama 40 episod itu. Antaranya ialah Rita Rudaini, Watie Sadali, penyanyi Nurul Wahab dan Ifa Raziah.

Majlis yang sepatutnya dimulakan awal terpaksa ditunda semata-mata menunggu kehadiran pelakon-pelakon berkenaan.

Malangnya, sampai ke sudah, keempat-empat ‘bintang’ itu tidak juga muncul dan majlis Rosyam seolah-olah ‘dipulaukan’ pelakon sendiri.

Sebaliknya pelakon yang hadir hanya Aaron Aziz dan Arash Mohamad, selain pelakon pembantu seperti Rosnah Johari dan Mohd. Azlan Kamiran.

“Saya memang kecewa. Sudahlah tidak datang, mereka langsung tidak beri sebarang alasan kenapa tidak hadir.

“Perkara ini benar-benar membuatkan saya berasa kecewa kerana mereka tidak dapat hadir bagi membantu saya mempromosikan drama Rahsia Hati,” luah Rosyam.

Kepada Rosyam, sidang akhbar cukup penting kerana ia bukan sahaja untuk kebaikan produksi, malah menjadi satu ruang untuk pihak media mendapatkan sumber bagi mempromosikan drama berkenaan secara lebih teratur apabila ia ditayangkan di stesen TV, Astro Prima.

“Sebab itu saya kata majlis ini juga penting untuk para pelakon sendiri untuk promosikan diri mereka kepada pihak media,” katanya.

Kosmo! difahamkan pelakon jelita, Rita Rudaini memang tidak dapat dihubungi oleh pihak produksi, termasuk Rosyam sendiri.

Bagaimanapun kalangan peminat tentunya faham akan keadaan Rita yang kini sedang sarat mengandung dan sudah mengehadkan aktiviti seninya semenjak beberapa bulan lalu. Untuk Rita, dia boleh dimaafkan.

Tetapi bagaimanapun pula dengan artis-artis lain?


MASIH ada penyeri, tiga pelakon lelaki dari kiri, Azlan, Arash dan Aaron ‘menyelamatkan’ sidang akhbar Suhan Movies.

Bukan sahaja memberi teguran kepada pelakon Rahsia Hati, sebaliknya lelaki yang sudah 25 tahun mengabdikan dirinya dalam dunia seni juga menganggap nasihat itu ditujukan kepada keseluruhan anak seni lain.

“Pelakon tidak hanya perlu ada bakat dan paras rupa menawan semata-mata. Sebaliknya mereka juga hendaklah ada etika perhubungan awam yang baik.

“Artis kenalah berdisiplin. Mereka kena datang ke sidang media yang diadakan penerbit untuk pihak media.

“Walaupun ada komitmen lain dan hanya dapat datang lewat ke majlis ini, sekurang-kurangnya tunjukkan muka sudah memadai,” nasihat Rosyam tegas.

Rahsia Hati mengisahkan tentang perbalahan adik-beradik tiri iaitu Syamir lakonan Aaron, Fazlan (Mohd. Azlan Kamiran) dan Nadia (Watie). Salah seorang daripada mereka ada niat buruk untuk mengaut harta keluarga mereka setelah didesak oleh ibunya, Maria (Ifa).

Ia juga memaparkan cinta tiga segi di antara Syamir, Ammar (Arash) dan Kamalia (Rita). Akhirnya Kamalia memilih Syamir sebagai calon suaminya. Mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang dirancangkan oleh Maria.

Selepas kemalangan, Syamir mengalami masalah kesihatan dan merahsiakan perkara sebenar daripada Kamalia. Dia bertindak menjauhkan diri daripada Kamalia hingga mendorong Kamalia berkahwin dengan Ammar.

Drama bersiri itu menjadi projek kedua terbesar produksi Rosyam selepas Dinasti Bilut dengan 80 peratus lokasinya dijalankan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, selebihnya di Terengganu.

Ia membabitkan kos berjumlah RM1.6 juta dan memakan masa selama empat bulan setengah untuk diselesaikan.

Rahsia Hati mula ditayangkan pada 23 April lalu, setiap hari Khamis pada pukul 10 malam di saluran Astro Prima.

Kosmo

Rosyam Yakin Tarikan Rahsia Hati

24 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

Rosyam Nor

ROSYAM NOR mempunyai impiannya sendiri tatkala bersedia menerbitkan drama bersiri Rahsia Hati, yang mula disiarkan Astro Prima semalam. Siri yang ditayangkan selama sejam setiap episod itu diharapkannya untuk mencatat rating yang tinggi, seterusnya mengatasi pencapaian siri lain siaran stesen berbayar berkenaan.

Ketika ini, Mertua Vs Menantu terbitan Metrowealth muncul program dengan rating paling tinggi dalam kategori terbabit.

Rosyam tanpa berselindung berkata, dia berkeyakinan siri yang dibintangi Aaron Aziz, Rita Rudaini, Arash Mohamad, Ifa Raziah, Watie Sadali, Hafizzuddin Fadzil, Azlan Kamiran, Rosnah Johari dan Nurul Abdul Wahab itu mampu meraih perhatian penonton, bukan hanya kerana jalan ceritanya, malah dek kehebatan barisan bintangnya.

“Apabila menerbitkan sesebuah drama, kita tentunya akan lebih berasa gembira apabila ia ditonton orang ramai. Sebagai pelakon juga, kita lebih puas apabila usaha kita ditonton peminat yang ramai,”ῠkata Rosyam pada majlis pelancaran drama berkenaan di Finas, baru-baru ini.

Bukan hanya mementingkan jalan cerita, bahkan Rosyam turut mengaku agak cerewet apabila tiba ke bab pemilihan pelakon. Dia tidak mahu projek terbitannya dihiasi pelakon yang menarik semata-mata, tetapi tidak mampu memberikan lakonan yang memberangsangkan.

“Saya juga sentiasa mencari pelakon yang berbakat dan berdisiplin. Pelakon yang tidak berdisiplin akan hanya menyusahkan pihak produksi. Biarlah berbakat macam mana sekali pun, jika pelakon itu tidak mempunyai disiplin yang baik, saya tidak akan menerimanya beraksi dalam projek terbitan Suhan Movies,” katanya.

Begitu juga dia berhati-hati dalam pemilihan skrip, bagi memastikan drama keluarannya sentiasa menerima sambutan baik. Antara penulis yang tidak asing di sisi projek terbitan Suhan Movies ialah Sharifah Abu Salem. Rahsia Hati ialah satu lagu naskhah tulis penulis wanita terbabit, yang juga novelis terkenal tanah air.

Penulis itu juga bakal menghasilkan skrip filem Kekasih, yang akan menggunakan bakat baru daripada program realiti Pilih Kasih terbitan Rosyam sendiri sebagai pelakonnya.

“Cerita-cerita tulisan Sharifah tidak pernah mengecewakan saya. Selalunya, apabila saya menggunakan khidmat penulis ini bagi sesebuah penerbitan saya, ia mendapat perhatian ramai penonton,” ujar Rosyam yang membelanjakan kira-kira RM1.6 juta bagi menghasilkan drama bersiri ini.

Menggunakan lokasi sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu, siri berkenaan memakan masa hampir lima bulan untuk disiapkan, apabila memulakan rakamannya pada Jun tahun lalu.

Antara lain, Rahsia Hati mengisahkan bagaimana Datuk Azmi berdepan masalah syarikat yang membabitkan anaknya, Syamir serta tirinya, Fazlan. Fazlan ialah anak kepada Maria, yang mahu mengaut harta suaminya.

Pada masa yang sama, Syamir berkenalan dengan Kamilia, rakan sekerja kawannya, Ammar. Masing-masing saling menyukai, tetapi tidak meluahkan rasa yang terbuku di hati. Kamilia hanya mencurahkan perasaan sebenar apabila Syamir hampir ‘berkahwin’ dengan ibunya, Normah, seorang ibu tunggal.

Begitupun, percintaan kedua-duanya penuh liku apabila Maria muncul sebagai penghalang. Kebahagiaan yang mula dirasa hancur dek kehitaman hati wanita terbabit. Bagi mengikuti kesudahan cerita arahan Amie Maziah yang menyayat hati ini, jangan ketinggalan menonton Rahsia Hati yang disiarkan setiap Khamis, menerusi Astro Prima.

Berita Harian

Dengarnya…: Sukar Cari Pelakon Lelaki Sejati

23 Apr

BUKAN sekali dua Cik Normah dengar fasal industri perfileman tempatan kekurangan pelakon lelaki pelapis yang mantap. Ramai juga produser dan pelakon veteran yang bercakap mengenai hal ini.

Cik Normah pun turut perasan, sukarnya hendak mencari pengganti kepada pelakon utama lelaki sedia ada. Sebab itu, tidak lama dulu, kebanyakan filem tempatan dikuasai sesetengah nama saja seperti Rosyam Nor dan Awie. Kini, muncul pula pelakon seperti Que Haidar, Farid Kamil dan Awal Ashaari.

Bilangan pelakon memanglah ramai, tetapi hendak cari yang benar-benar jantan, bak kata Rosyam, memang agak susah. Tetapi, Cik Normah dengar, dia sempat menamakan beberapa pelakon yang dianggapnya boleh terus maju sebagai pelakon lelaki sejati. Tiga pelakon terbabit ialah Aaron Aziz, Fahrin Ahmad dan Remy Ishak.

Khabarnya, tiga pelakon ini antara aktor yang benar-benar mempunyai kualiti hero Melayu. Pacak saja kamera di sudut mana sekali pun, kejantanan mereka terserlah. Jadi, tak payahlah kru hendak guna tipu helah itu dan ini untuk menampakkan kelelakian pelakon tadi.

Iyalah, badan masing-masing pun tegap, ditambah paras rupa yang kacak, tentulah kamera pun seronok merakam aksi pelakon ini. Mereka pun bukanlah pelakon ‘kayu’. Maknanya, masing-masing boleh beraksi dengan baik di depan kamera. Sebab itulah juga masing-masing menjadi nama yang disebut-sebut di kalangan produser.

Namun Cik Normah dengar, Rosyam masih belum berpuas hati dengan hanya beberapa nama yang ada. Sebab itulah dia terbitkan rancangan Pilih Kasih, yang bakal disiarkan TV2 tidak lama lagi.

Khabarnya, dia hendak cari lebih ramai pelakon yang mantap, disertai dengan pakej menarik. Katanya, kalau sekadar cantik dan kacak, tetapi tak boleh berlakon, hendak buat apa? Agaknya, lebih baik jadi model saja.

Berita Harian

Tersentuh Keadaan M Rajoli

22 Apr

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

RAKAN artis melawat M Rajoli di kediamannya di AU3, Keramat.

Rakan artis ziarahi pelakon yang kini derita barah kelenjar otak

GAMBARNYA yang dilihat melalui sistem pesanan multimedia (MMS) dalam keadaan uzur menyentuh hati 20 rakan artis, lalu membuka hati mereka untuk menziarahi pelakon M Rajoli, baru-baru ini.

Pelakon yang nama sebenar Mohd Rajoli Mohd Zain, 63, kini hanya terlantar di kediaman isteri pertamanya Hassimah Mat Din selepas keluar hospital akibat menghidap kanser di kelenjar otak atau lymphoma sejak setahun yang lalu.

Namun keadaannya kini kian beransur pulih selepas menjalani fisioterapi di sebuah klinik di Taman Melawati yang dilakukan tiga kali seminggu.

Kunjungan artis muda itu diketuai Penerbit Eksekutif Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nazri dan Pengarah Urusan Global Network Entertainment, Den Wahab. Mereka mengambil inisiatif mengumpul seberapa ramai artis untuk membatu pelakon yang sering membawakan watak lelaki warak dalam drama yang pernah dilakonnya.

Menurut Den, sejak mengetahui keadaan sebenar M Rajoli, dia dan Idham segera menghubungi waris M Rajoli untuk menziarahi dan meminta keizinan isterinya bagi membawa seberapa ramai artis bagi membantu suaminya.


AZIZ turut bertanya khabar M Rajoli.

“Selepas menonton program Melodi beberapa minggu lalu, saya cukup tersentuh dengan keadaan M Rajoli lalu saya berpakat dengan Idham untuk membantu setakat mana yang kami termampu.

“Lalu saya terus mendapatkan nombor telefon dan alamat penerbit Melodi, Nas Ahmad dan terus ke rumah M Rajoli di kediamannya di Menara Rajawali, AU2 Keramat, Kuala Lumpur.

“Saya dan Idham cukup tersentuh melihat keadaannya sekarang kerana sebelum ini saya mengenalinya sebagai seorang yang cukup periang dan sering menghiburkan teman di lokasi penggambaran drama,” katanya.

Lalu menurut Den, keizinan yang diperoleh daripada isteri M Rajoli disambut baik demi melihat suaminya kembali ceria seperti sebelum ini.

“Saya sempat mengambil beberapa keping gambar M Rajoli semasa melawatnya dan menghantar MMS kepada rakan artis dan menjemput sesiapa yang sudi mengunjunginya.

“Alhamdulillah hari ini saya melihat ramai artis yang hadir membantu menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung isterinya. Antara artis yang hadir dan membantu seperti Datuk Aziz Sattar, Baharuddin Omar, Rebecca Al Islam, Anne Abdullah dan Noniswara.

“Turut menziarahinya, Sharifah Shahira, Aida Aris, Sulaiman Yassin, Imuda, Nabil (Raja Lawak), Rosyam Nor, Jehan Miskin, Mawi, Pak Ngah dan ramai lagi,” kata Den yang turut bermurah hati menaja khidmat tukang urut berpengalaman, Wak Hassan yang didatangkan khas dari Pulau Jawa, Indonesia.

M Rajoli kini hanya terlantar di katilnya sejak dimasukkan ke hospital pada 10 Oktober tahun lalu dan dibenarkan keluar sebulan selepas itu.

Hassimah berkata, kesihatan suaminya kini dilihat menunjukkan sedikit perubahan berbanding sebelumnya.

“Alhamdulillah saya dapat melihat perubahannya hari ini mungkin dengan kehadiran ramai rakan artis yang memberikan semangat kepadanya. Sebelum ini hidupnya muram saja sejak terlantar di rumah mungkin bersedih kerana tidak ramai yang mengunjunginya.

“Hari ini dia lebih berselera untuk makan dan ingatannya semakin pulih apabila dia mampu mengenali ramai orang.

“Namun dia masih tidak mampu untuk berjalan dan melakukan pergerakan yang banyak sehingga terpaksa membuang air besar dengan menggunakan lampin saja,” katanya.

Berita Harian

Kak Engku, Reza Gamatkan Pilih Kasih

22 Apr

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com

Rap
PENGALAMAN dimiliki kedua-duanya, bezanya bagai langit dengan bumi, namun itu bukan halangan untuk menyatukan gandingan ini. Mana tidaknya, seorang masih baru dalam bidang hiburan manakala seorang lagi sudah mengecapi erti populariti yang sebenar.

Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi halangan buat Raja Azura Tengku Ahmad Tajuddin atau Kak Engku dan penyampai radio Era, Syaiful Reza Mohamed (Reza) berganding dalam program realiti untuk mencari pelapis pelakon, berjudul Pilih Kasih.

Sudah tentu gandingan baru dan pengalaman ini akan menjanjikan satu kelainan serta mampu menggamatkan suasana program realiti terbaru itu.

Kak Engku dan Reza menerima lamaran Rosyam Nor bagi mengendalikan rancangan realiti terbaru mencari bakat dalam bidang lakonan, Pilih Kasih yang bakal bersiaran Jun ini.

Pilih Kasih akan disiarkan di TV2, jam 8.30 malam apabila rancangan siaran langsung dikendalikan Kak Engku dan Reza sementara laporan harian dikendalikan Pasha Abdul Rahim.

Menurut Kak Engku, dia pertama kali bergandingan dengan Reza bagi program realiti itu dan perkenalan seketika sudah cukup membuatkan mereka serasi.

“Kami cepat serasi kerana Reza bersikap terbuka, aktif dan rajin. Kerajinan serta sikapnya yang menghormati saya sebagai artis senior dan individu berumur membuatkan saya selesa bekerja dengannya.

“Pertama kali bergandingan dengan Reza pada majlis pelancaran program realiti lakonan itu, Reza sudah menyediakan skrip dan meminta pandangan saya sama ada skrip itu perlukan perubahan atau tidak.

“Saya lihat dia kuat berusaha serta bersedia menerima kritikan dan ini membuatkan kami cepat mesra,” katanya.

Kata Kak Engku, pada awalnya dia hampir menolak tawaran itu kerana bimbang tidak mampu melakukannya berikutan mempunyai jadual yang ketat.

 

 

Namun, setelah beberapa kali dipujuk Rosyam akhirnya Kak Engku bersetuju menerima tawaran itu kerana dia hanya mengendalikan siaran langsung.

“Lagipun, Rosyam sudah berjanji dengan saya untuk menghantar e-mel mengenai aktiviti program dua hari sebelum berlangsungnya Pilih Kasih dan ini sedikit sebanyak membantu mengacarakan rancangan itu,” katanya.

Bagi Reza pula, mengendalikan program itu bersama Kak Engku dianggap satu peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan.

“Saya gembira dan teruja apabila diberitahu akan digandingkan dengan Kak Engku dalam program Pilih Kasih kerana dia pengacara yang saya jadikan rujukan.

“Walaupun Kak Engku seorang yang sangat berpengalaman dalam bidang pengacaraan, namun dia tidak pernah kedekut ilmu dan membantu saya jika tidak memahami sesuatu perkara.

“Kami sama-sama bersikap terbuka dan petah bercakap, jadi saya dapat rasakan keseronokan apabila dapat mengacarakan program ini bersama Kak Engku,” kata Reza.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Que Tolak Tawaran Luar KL

21 Apr

Oleh Sakini Mohd Said
sakini@hmetro.com

Rap
Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah seminggu berlalu, namun bagi pelakon dan pengantin baru, Que Haidar, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk membawa pulang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular di majlis kemuncak anugerah di Arena Of Stars, Genting Highlands, baru-baru ini.

Malah, ketika menanti detik pengumuman itu, Que, suami kepada pereka tari, Linda Jasmine, sangat yakin keputusan itu tidak akan berpihak kepadanya.

Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que berkata semua ini adalah rezeki selepas berkahwin dan seterusnya membuktikan usaha kerasnya sekian lama akhirnya membawa tuah.

“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Nampaknya, rezeki saya selepas berkahwin semakin melimpah-ruah.

“Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki anak sulung yang bakal lahir nanti,” kata Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar.

Que, selepas bertahun-tahun mencuba, akhirnya berjaya menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997, namun tidak pernah berasakan dirinya begitu hebat kerana memenangi anugerah itu.

“Setiap yang tercalon mempunyai populariti tersendiri dan tidak semestinya timbul isu tak popular jika gagal memenangi pencalonan berkenaan.

“Lagipun, bukan mudah untuk mempertahankannya pada masa akan datang kerana semuanya bergantung kepada kepercayaan peminat.

“Bagaimanapun, saya akan terus melakukan yang terbaik kerana inilah sumber rezeki saya,” kata Que yang sebelum ini pernah memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama di Anugerah Skrin dan Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia ke-19 pada 2006.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, nyata Que tidak sabar untuk bergelar seorang ayah dan mengakui kehidupannya sekarang ini semakin bahagia bersama isteri dan Qalif Khan (anak Linda hasil perkahwinan pertamanya).

 

 

“Kehidupan rumah tangga saya sangat membahagiakan. Saya juga bersyukur kerana isteri sangat memahami jadual kerja saya walaupun dia dalam keadaan mengandung ketika ini.

“Sebagai suami, saya akan sentiasa memberi sokongan kepadanya dengan sentiasa berada di sampingnya.

“Disebabkan itu, saya terpaksa menolak tawaran berlakon di luar Kuala Lumpur kerana ingin memastikan setiap hari saya mesti pulang ke rumah,” katanya.

Mengenai perkembangan terbarunya, kata Que, mulai Jun ini dia akan menjalani penggambaran filem ‘Romance’ yang diadaptasi daripada novel ‘Lagenda Budak Setan’ dan antara pelakonnya ialah Farid Kamil dan Lisa Surihani.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

'Apek Tetap Idola Saya'

18 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SELANG sehari selepas meraih trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, bintang yang dicungkil menerusi program Raja Lawak musim kedua, Nabil atau nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad, 26, menjadi tetamu dalam program bual bicara TV3, Malaysia Hari Ini (MHI).

Seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Mawi, Nabil juga mempunyai auranya tersendiri. Justeru, tidak hairanlah dia juga sentiasa mencuri perhatian ramai termasuk diserbu 80 peminat kanak-kanak dari Tunas Budaya Sabah dan Pahang yang turut membuat persembahan untuk MHI pagi itu.

Sebenarnya kanak-kanak itu beraksi di pekarangan Sri Pentas, tetapi sebaik mengetahui Nabil diundang secara langsung, mereka menyerbu studio menjadikan suasana hiruk-pikuk dibuatnya.

Bagai dijangka, Nabil memberikan kerjasama yang baik dan melayan semua peminatnya sebaik mungkin terutama kanak-kanak yang mahu bergambar dengannya sebagai kenangan.

Secara peribadi, Nabil berkata, dia sendiri tidak menyangka mengalahkan nama besar seperti Siti Nurhaliza dan Mawi untuk merebut trofi Bintang Paling Popular, ABPBH 2008.

“Saya juga tidak sangka jumlah undi begitu tinggi dan meninggalkan saingan terdekat yang juga nama besar dalam industri hiburan kerana pembabitan saya masih baru dalam bidang seni.

“Malah, saya tidak mensasarkan sebarang anugerah pada malam itu kerana semua saingan hebat. Saya masih baru dan tidak berani membuat sebarang ramalan kerana undi peminat tidak dapat dijangka.

“Kalau orang tanya dari segi aura pula, saya hanya tampilkan diri yang sebenar dan ‘tidak plastik’. Apa yang anda lihat ini adalah diri saya sendiri,” katanya.

Baru setahun jagung bergelar anak seni, Nabil mengakui sudah berhadapan pelbagai ujian. Selepas insiden ‘terpeluk’ teman istimewanya, Irma Hasmie, Nabil juga terbabit dalam kemalangan jalan raya di Simpang Bukit Jelutong, Shah Alam, petang Selasa lalu.

“Saya bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan. Cuma, insiden saya ‘terpeluk’ Irma Hasmie itu masih diperkatakan orang. Saya minta maaf kerana terlalu teruja ketika itu. Apapun, saya sudah bersedia untuk berhadapan dengan apa saja cabaran dalam dunia seni.

 

 

“Saya juga menganggap Saiful Apek sebagai sifu kerana dia banyak membantu dalam kerjaya seni. Saya menang bukan bermaksud menewaskan Apek, tetapi ia kemenangan kami berdua. Dia tetap idola saya dalam industri seni dan saya cuma menyambung perjuangannya dalam dunia lawak,” katanya.

Terus terang, kata Nabil, dia sendiri tidak menyangka rezekinya dalam bidang seni semakin mencurah sekarang. Nabil percaya, rezeki akan datang jika betul-betul ikhlas dengan kerja dilakukan.

“Semoga saya tidak akan berubah atau lupa diri dengan tawaran berlakon, mengacara dan jurucakap produk yang mencurah ini kerana ada harga yang perlu dibayar atas semua itu,” katanya.

Nabil berkata demikian ketika ditemu bual pengacara Ahmad Fedtri Yahya berkaitan topik Analisis ABPBH 2008 yang disiarkan secara langsung menerusi MHI di Sri Pentas, baru-baru ini. Turut menjadi tamu undangan itu, Pengarang Hiburan Adam salleh.

Sementara itu, Adam berkata ABPBH boleh diibaratkan medan artis beraksi ala wakil rakyat untuk memancing undi. Justeru, selebriti atau artis popular, perlu bijak menambat hati peminat dan menjaga hubungan baik dengan media untuk terus bertahan.

“Selebriti popular tanah air yang mempunyai pengaruh yang besar dan terus mendapat kepercayaan pihak media dan peminat sampai hari ini ialah Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Aznil Nawawi dan Rabbani.

“Ia terbukti apabila masing-masing terus mempertahankan gelaran pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008) baru-baru ini.

“Jika Siti terus mempertahankan trofi Penyanyi Wanita Popular selama 12 tahun berturut-turut, Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular lapan tahun berturut-turut) dan tidak ketinggalan, Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular selama enam tahun berturut-turut),” katanya.

Adam berkata, artis juga perlu mesra media kerana publisiti sangat penting buat mereka. Katanya, ada artis lama bergiat di bidang seni, tapi kurang mesra media dan wartawan tidak dapat menulis perkembangan karier mereka.

“Antara artis yang sangat mesra media ialah Siti Nurhaliza, Rosyam Nor, Rabbani dan Que Haidar. Hubungan artis dan wartawan perlu erat kerana mereka saling bekerjasama.

“Harus diingat di belakang penulisan seseorang wartawan itu, ada jutaan pembaca yang menatap kisah seseorang artis itu. Wartawan cuma perantaraan antara artis dengan peminatnya, ” katanya.

Adam berkata, artis perlu memasang pelbagai strategi untuk memancing undi peminatnya.

“Saya difahamkan ada artis yang dicalonkan pada peringkat awal ABPBH dulu buat majlis tahlil, melawat ke rumah anak yatim dan sebagainya untuk meraih undi peminat.

“Bagi saya, ia strategi mereka untuk mendapat publisiti dan ia sama seperti ahli politik yang bertanding dalam pilihan raya. Cuma ‘tempoh berkempen’ golongan artis lebih lama,” katanya.

Kata Adam lagi, artis perlu menganggap mereka sebagai produk untuk berjaya dalam bidang seni.

“Sebelum kemuncak ABPBH 2008, ramai wartawan membuat ramalan masing-masing. Saya sendiri meramalkan Nabil atau Aznil bakal menang trofi Bintang Paling Popular. Bagaimanapun, pada malam anugerah, saya lihat siapa yang menang lebih daripada satu anugerah, dia dapat membawa pulang trofi itu.

“Saya melihat Nabil sebagai contoh yang baik. Dia menguasai skrin televisyen ketika ini. Filem lakonannya juga berderet menanti masa untuk ditayangkan. Dia juga bijak mempromosi dan meletakkan dirinya pada tempat dan waktu yang sesuai.

“Pada masa sama, Nabil juga bebas daripada kontroversi yang boleh membunuh kariernya. Memasarkan diri dengan tepat dan pada masa sama tidak hanyut dengan populariti yang diraih,” katanya.

Kata Adam, ada artis yang berasa dirinya disanjung begitu tinggi dan ia juga boleh membahayakan mereka.

“Artis perlu ada mentor seperti rakan artis atau wartawan senior berpengalaman yang mampu berkongsi tip penting atau panduan untuk berada lebih lama dalam dunia hiburan supaya langkah tidak sumbang.

“Ramai artis yang datang dan pergi dalam dunia seni, tapi semuanya bergantung kepada cara mereka membawa diri,” katanya.

Mengenai masa depan pelawak pula, Adam berkata, sebelum kemenangan Apek, dia melihat pelawak atau artis komedi diletakkan pada kelas yang tidak begitu berprestij.

“Status atau imej mereka agak terasing berbanding penyanyi dan pelakon. Kemenangan Apek dan Nabil menunjukkan pelawak boleh diterima masyarakat. Ia senario yang baru dan bagus untuk masa depan dunia lawak kerana mereka sudah menaikkan prestij pelawak pada status lebih baik,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Jarum Emas: Nabil Usah Kalut

18 Apr

Oleh Adam Salleh

Rap
BARU setahun jagung, Ahmad Nabil Ahmad (ANA) melakar sejarah muncul Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH 2008). Bukan mudah meraih anugerah berprestij itu, rata-rata artis maklum hakikat ini.

Ada yang berlakon sejak kecil, tidak kurang pulun keliling, dalam erti kata berlakon filem, drama dan teater, tetapi usahkan menjadi bintang paling popular, nama tersenarai top lima pun sakit.

Peminat, terutama pembaca, ada pilihan dan cita rasa tersendiri. Ini yang dikata rezeki untuk insan terpilih seperti Nabil menikmatinya. Kejayaan Nabil mengulangi sejarah Saiful Apek kerana lazimnya peminat kita retorik memilih kelompok artis kalangan penyanyi dan pelakon saja.

Kejayaan pelawak, itu dikira ‘rezeki tercampak’. Cuma saya menanti giliran juruhebah radio yang mutakhir ini glamor sakan mengalahkan artis, walhal peranan mereka dengan bidang saya sama saja.

Masing-masing bertugas menyebar berita dan maklumat kepada pembaca. Berbanding juruhebah radio dan pengacara televisyen (TV), pengacara TV ada potensi untuk meraih ABPBH. Sebab itu melalui kolum ini minggu lalu, jika tidak Nabil, pilihan kedua saya adalah Aznil, apatah lagi dia juga juruhebah radio.

Cuma dibandingkan Nabil dan Mawi pula, saya menilai aura Mawi lebih hebat daripada Nabil. Sejarah ABPBH sukar menidakkan, artis yang asasnya menyanyi ada kelebihan mempertahankan anugerah berkenaan untuk tempoh dua atau tiga tahun lagi sepertimana dinikmati Datuk Siti Nurhaliza.

Mawi mempunyai aura, justeru tidak hairan sebaik dia melangkah ke Arena Of Stars, Genting Highlands ramai meneriak namanya, tetapi Nabil pula spesies artis yang bekerja keras. Lihat saja dia menguasai banyak program di televisyen dan filem lakonannya juga bersusun, Mawi masih dengan Aduh Saliha.

Namun tiada jaminan apakah Nabil boleh mempertahankan anugerah ini seperti Siti mahupun Mawi kerana segala-galanya bergantung pada tingkah laku Nabil.

Jika Nabil masih diterima peminat untuk terus menyimpan anugerah itu, bermakna dia mengatasi Saiful Apek. Bukan tidak mustahil, tetapi Nabil perlu panjang akal merangka strategi popularitinya.

Dalam dunia hiburan tanah air, Nabil harus sedar tingkah laku dan status selebriti itu diambil kira peminat fanatik mereka. Insiden Nabil memeluk Irma Hasmie sejurus diumumkan Bintang Paling Popular ABPBH 2008 tidak seharusnya terjadi kerana siapa tahu ada yang meluat melihat aksi itu.

 

 

Selang sehari meraih anugerah itu, Nabil diundang ke Malaysia Hari Ini (MHI). Melalui siaran secara langsung dari TV3 itu, Nabil mengambil kesempatan memohon maaf di atas insiden memeluk Irma.

Kebetulan saya turut menjadi tetamu apabila pihak TV3 melalui Ahmad Fedtri Yahya mahukan pandangan bukan dari Berita Harian selaku penganjur. Bagi saya, sama ada mohon maaf Nabil diterima rakyat Malaysia atau tidak, yang pasti dia membuat kesilapan besar kerana membawa ‘kekasih’.

Bagi saya, terlalu awal untuk Nabil bermain dengan gosip. Yang untung dalam hal ini adalah Irma kerana tempias artis paling popular dirasainya. Selepas ini tidak mustahil ada filem mereka berdua.

Sekadar contoh kemenangan Rosyam Nor dan Saiful Apek melalui ABPBH. Ketika kedua-duanya meraih anugerah itu, mereka tidak ditemani wanita yang boleh dilabelkan media sebagai kekasih. Kita maklum status Rosyam Nor yang mengasingkan isteri dari dunia seninya, Saiful Apek pula duda.

Langkah kedua-duanya menerima anugerah itu nampak cantik tanpa kontroversi jelek. Sekalipun kita sedar kehidupan artis berbeza dengan masyarakat biasa, cuma artis generasi baru seperti Nabil harus sedar, berpeluk dengan bukan muhrim di khalayak ramai masih tidak boleh diterima mereka.

Bukan berniat menyinggung perasaan Nabil, tetapi sudah ada yang memperli kemalangan yang menimpa Nabil di simpang Bukit Jelutong, Shah Alam, diibarat balasan di atas apa dilakukan. Memang pedih jika ada pihak sembur kita begini, tetapi inilah harga yang perlu dibayar Nabil bila sudah popular.

Nabil belum merasai pahit getir menjadi anak seni. Dalam tempoh dua tiga bulan ini, sememangnya dia akan sentiasa ceria kerana statusnya selaku bintang paling popular tetapi harus diingat, Nabil usah kalut dengan pujian, populariti dan glamor kerana segala-galanya boleh hilang dengan sekelip mata.

Secara peribadi, kalaupun bintang Nabil pudar selepas ini, tidak ada yang mengejutkan saya kerana sebelum Nabil lahir, saya sudah berdamping dengan AR Badul, R Jaafar, Hamid Gurkha dan Mr Os.

ADAM: Terkejut, terpeluk, terbaring – nasib baik tidak terpejam!

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro