Archive | Liza Hanim RSS feed for this section

Masih Terlalu Amatur

25 Mar

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my


CLAUDIA, ibu beranak satu yang dilihat berpotensi besar.

MASUK minggu kedua program dan konsert Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) kembali mengisi hidup peminat dan pemerhati dunia seni, program yang melaungkan ‘transformasi’ untuk musim ketujuh itu masih tercari-cari rentak dan tari.

Vokal masing-masing boleh dikatakan layak untuk bergelar penyanyi dan biarpun rata-rata pelajar bersemangat waja setiap kali menjayakan tugasan, itu semua belum cukup untuk meletakkan mereka sebagai bintang.

Seperkara lagi, kemampuan beraksi tanpa kekok dan persembahan kesemua pelajar masih di tahap rendah, terlalu amatur bak kata salah seorang pengkritik tetap AF7, komposer popular, Edrie Hashim.

Si pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jaquelina juga mengakui kelemahan yang paling ketara yang ada dalam diri setiap peserta adalah penghayatan lagu.


TIGA pelajar AF7 yang mula mendapat perhatian. (Dari kiri) Qhaud, Hafiz dan Aisyah.

“Kefahaman tentang apa yang hendak disampaikan menerusi lagu selalu menjadi punca kegagalan mereka di pentas.

“Saya sedar masalah itu dihadapi oleh semua pelajar, dan selepas konsert kedua, kami (tenaga pengajar) juga akan fokus terhadap setiap kelemahan pelajar secara individual. Saya harap semua akan faham kedudukan kami di akademi, ini baru minggu kedua dan semua perkara harus ditangani dengan semua oleh semua pelajar termasuk kami, para tenaga pengajar,” ujar Tiara.

Sebenarnya masih terlalu awal untuk menjustifikasi kredit kepada mana-mana pelajar, konsert minggu kedua yang menampilkan tema medley dan setiap pelajar diberi peluang menyampaikan dua buah lagu, satu berentak perlahan dan lagu berentak laju dianggap penyelamat kepada kelesuan persembahan semua 14 pelajar termasuk Adila yang menjadi peserta pertama tersingkir.

Untuk menutup kelemahan atau menyuntik elemen transformasi, ironinya hanya pelajar yang berbakat besar sahaja yang menyerlah di mata pemerhati. Nama-nama seperti Claudia Fay Geres atau sekadar panggilannya Claudia, 24 dan Hafiz, 19, sahaja yang berada di kedudukan teratas dari segi usaha dan kemampuan yang ditunjukkan.

Lain-lain pelajar, Rubisa, Zizi, Aishah dan Qhaud sekadar biasa-biasa sahaja manakala Isma, Rini, Yazid, Sidi, Aril, Akim dan Obri pula bila-bila masa sahaja akan mengheret beg tajaan turun dari pentas setiap konsert berakhir. Itu jika mereka tidak menunjukkan prestasi yang dimahukan semua penonton AF7, namun jika mereka mampu menjadi sebahagian daripada transformasi dalam AF7 seperti yang dilaung-laungkan, nasib mereka mungkin berbeza.


ZIZI, antara yang menyerlah.

Walau bagaimanapun, permainan AF7 sudah bermula sepenuhnya usai konsert minggu kedua, Sabtu lalu. Bukan sahaja dilengkapkan dengan persembahan lagu tema Menuju Puncak dalam gerak tari yang sangat mengujakan sebagai pembuka tirai, di akhir acara pula penyingkiran Adila menjadi penutup tirai.

Sepanjang dua minggu di akademi, Adila bukan pelajar yang lemah, nyanyian dan persembahannya lulus di mata para juri namun di mata peminat dan pengundi SMS, Adila ternyata bukan calon yang dimahukan kekal.

Ketika menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka nyanyian asal Liza Hanim dan Asyik (Amelina), tiada banyak cacat yang dilakukan Adila kecuali disifatkan juri vokalnya terlalu lantang persembahannya juga tidak menggambarkan kesedihan lagu yang dilontarkan, selebihnya Adila antara yang okey.


LINCAH Adila tidak mampu menyelamatkan daripada menjadi mangsa penyingkiran.

“Mungkin status saya sebelum ini sebagai penyanyi yang menyebabkan tidak ramai yang mahu mengundi saya. Tapi saya langsung tidak malu kerana menjadi peserta pertama yang tersingkir kerana sebenarnya saya telah berjaya menempatkan diri daripada 9000 peserta yang datang ke uji bakat. Pengalaman di AF7 ini sangat mahal dan tidak dapat dijual-beli buat saya,” luah pemilik nama sebenar Nas Adila Mohd. Dan itu tega.

Terkejut dan terkilan semuanya bermain di jiwa memikirkan dirinya sudah hilang kesempatan untuk belajar lebih banyak ilmu daripada pengajar di AF7.

“Tujuan saya masuk ke AF7 kerana mahukan pendedahan memandangkan saya tidak bernaung dengan mana-mana syarikat. Selebihnya saya mahukan belajar, namun, saya tiada rezeki di sini.

“Selepas ini, saya masih tiada perancangan, semuanya tergantung kepada Astro dan Maestro,” beritahu Adila yang pernah menghasilkan dua buah album dan satu single itu optimis.


TIARA bersama tenaga pengajar lain berbincang ketika konsert berehat seketika.

Adila turut sedar, penyingkiran pertama yang menutup peluang di AF7 mungkin disebabkan sikapnya yang agak pendiam serta tidak agresif sepanjang di akademi.

“Saya cuma jadi diri sendiri dan tidak banyak ‘drama’, mungkin itu yang menyebabkan saya tidak menarik perhatian penonton. Mereka mungkin mahukan pelajar yang lebih agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus),” tambah Adila mengakhiri temu bual bersama media sejurus selepas konsert berakhir.

Sebagai info, konsert minggu kedua AF7 menampilkan barisan pelajar menyampaikan lagu medley iaitu Isma dengan lagu Jat Da Da Da dan Hello, Rini (Aku Sinderella dan Kiblatku), Claudia (Kumahu dan Wanita), Zizi (Sembilu dan Wonder Women), Aishah (Cuba dan Gila) serta Rubisa (Dingin dan Gagap).


ADILA sedih kerana tidak berpeluang terus menimba ilmu dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal.

Sementara pelajar lelaki, Qhaud pula menyampaikan lagu Bila Nak Saksi dan Lagu Untukmu, Yazid (Lelaki Ini dan Fikirlah), Sidi (Selamat Ulang Tahun Sayang dan Kukoo), Hafiz (Cinta Ini Membunuhku dan Toyol), Obri (Akan Tiba dan Ada Untukmu), Aril (Benar-Benar dan Robot) serta Akim (Satu dan Buronan Cinta).

Kosmo

Adila Tidak Malu Apabila Tersingkir

23 Mar

>>Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Rap
BERGELAR penyanyi dengan memiliki dua album dan satu lagu single tidak memberi kelebihan kepada Nas Adila Mohd Dan, 23, untuk terus kekal dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) apabila dia menjadi pelajar pertama tersingkir daripada program realiti itu, kelmarin.

Menyanyikan dua lagu yang digubah dalam bentuk medley, Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), dia dipuji juri, Adlin Aman Ramlie, Edrie Hashim dan Datuk Yusni Hamid namun Adila gagal menambat hati penonton yang menentukan kedudukan peserta di hujung jari mereka. Undian menerusi SMS memungkinkan apa saja keputusan yang bakal keluar.

Tidak kesal terkeluar awal selepas hanya dua minggu sempat berguru dengan tenaga pengajar AF7, Syafizawati Sharif, Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar, Ida Nerina, A Aris Kadir, Acis dan Datin Seri Tiara Jacquelina selaku pengetua, Adila menyifatkan walaupun masanya di AF7 terlalu singkat, ia tetap pengalaman menarik.

“Walaupun sudah bergelar penyanyi, saya tidak malu tersingkir awal paling utama saya dapat menimba pengalaman dalam akademi. Pengalaman itu tidak boleh dijual beli.

“Dengan pendedahan selama dua minggu di akademi semakin ramai yang tahu bakat saya. Tiada kekesalan di hati kerana daripada 9,000 penyertaan saya terpilih ke akademi.

“Mungkin faktor penyingkiran awal kerana sikap pendiam saya dan tiada ‘drama’ di akademi membuatkan pengundi kurang memberi perhatian. Saya menjadi diri saya sendiri. Penonton agaknya mahukan pelajar yang agresif seperti Aril (Khairil Azam Pilus).

“Perancangan karier saya selepas ini terpulang kepada Astro. Saya akan ikut jadual yang ditetapkan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, konsert mingguan kedua AF7 melakukan transformi dengan memberi dua lagu kepada pelajar yang digubah dalam bentuk medley. Perubahan ini juga barangkali digunakan untuk menutup kelemahan pelajar yang begitu ketara pada konsert pertama dua minggu lalu. Tidak banyak perubahan pada pelajar cuma ada seorang dua yang boleh dipuji seperti Claudia, 24, (Claudia Fay Geres) dan Hafiz, 19, (Mohd Hafiz Mohd Suip).

Persembahan tiga pelajar pertama, Afiq Hakim Ahmad atau Akim, 18, dengan lagunya Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima), Rubisa Tiasin, 23, menerusi lagi Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid atau Qhaud, 25, yang menyanyikan lagu Bila Nak Saksi (Spider), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussain), boleh memikat penonton dan juri. Bagaimanapun, nyanyian daripada pelajar selepas itu bagaikan tiada hala tuju.

Pun begitu persembahan dalam bentuk medley itu percubaan yang baik untuk menguji kecekapan pelajar menukar rentak, gaya dan mood nyanyian tetapi rata-ratanya perlu berusaha lebih kuat. Bukan hendak membuat tuduhan terburu-buru tetapi mungkin populariti yang sedia menanti di luar sana menjadikan mereka kurang berusaha.

 

 

Alasan diberikan baru dua minggu di akademi, tetapi jika mereka benar ingin menjadi penyanyi yang berilmu dan berwawasan jangan salahkan tempoh waktu serta jangan terlalu cepat terbuai dengan keindahan dunia hiburan. Usah terlalu mengambil mudah kerana bekas pelajar AF terdahulu sudah melalui pahit getirnya menjadi anak seni.

Menurut Tiara, setiap minggu fakulti AF7 akan menyediakan konsep persembahan berbeza untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar.

“Minggu ini konsep persembahan berbentuk medley untuk memberi peluang kepada setiap pelajar membawakan lagu berentak perlahan dan rancak. Ia cabaran besar kepada pelajar dan tenaga pengajar kerana perlu membuat persediaan 28 lagu dalam masa beberapa hari saja.

“Saya dapat rasakan pelajar bekerja kuat dan Adila antara yang menunjukkan peningkatan paling bagus. Kebanyakan pelajar masih baru dan tiada kefahaman mengenai lagu. Ini semua satu proses pembelajaran, tetapi mereka ada peningkatan. Dalam masa singkat mereka kena belajar semua perkara.

“Di akademi kami mahu melahirkan pelajar serba boleh, menari, menyanyi dan berlakon kerana untuk menjadi penghibur semua elemen itu perlu ada pada mereka. Minggu ini kami sepakat untuk memfokuskan kekurangan setiap pelajar untuk memantapkan lagi persembahan mereka.

‘Pelajar yang ada masalah vokal di samping mengikuti kelas sedia ada, perlu mengikuti kelas tambahan untuk vokal,” katanya.

Atas nama transformasi juga, pelajar mempersembahkan lagu Menuju Puncak pada awal persembahan yang sekali gus mengembalikan semula identiti AF.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dendang Secara Medley

21 Mar

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
PERSEMBAHAN konsert minggu pertama peserta Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) minggu lalu mendapat kritikan negatif kerana kurang memberangsangkan.

Bagi menarik kembali kepercayaan penonton terhadap rancangan yang disiarkan di Astro Ria itu, pihak produksi cuba memberikan kelainan dengan peserta kehendaki mendendangkan dua lagu secara medley di konsert kedua yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, 9 malam ini.

Pelajar lelaki yang mendapat pujian kerana mempersembahkan Lagu Kita nyanyian asal Aizat dengan baik minggu lalu Mohd Hafiz Mohd Suip (Hafiz) diberikan cabaran mendendangkan Cinta Ini Membunuhku (D-Masiv) dan Toyol (Allahyarham Sudirman Arshad).

Sementara peserta lelaki lain seperti Mohd Yazid Ibrahim (Yazid) menyanyikan lagu Lelaki ini (Anuar Zain) dan Fikirlah (Aizat), Khairil Azam Pilus (Aril), Benar-Benar (Adam) dan Robot (Adam) dan Mohd Qhauhd Abdul Rashid (Qhaud) menyanyikan lagu asal Spider, Bila Nak Saksi juga Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein).

Dua lagi peserta lelaki, Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) menyanyikan lagu Selamat Ulang Tahun Sayang (Imran Ajmain) dan Kukoo (Ferhad), Ahmad Sobri Hasmuni, Akan Tiba (Aliff) dan Ada Untukmu (Nubhan) juga Afiq Hakim Ahmad (Akim) menyanyikan Satu (Dewa 19) dan Buronan Cinta (The Lima).

Pelajar wanita turut diberikan lagu yang bakal mencabar kemampuan vokal dan ada antara mereka menyanyikan lagu dipopularkan penyanyi lelaki seperti Siti Aishah Bujang (Aishah) dengan Faizal Tahir (Coba) dan Gila oleh Mila sementara Zuzafrini Zulkifli (Rini) akan menyanyikan lagu Kiblatku oleh Hazami dan Aku Sindarela dipopularkan Amylea.

Peserta wanita lain seperti Rubisa Tiasin (Rubisa) menyanyikan Dingin (Ziana Zain) dan Gagap (Stacy), Claudia Fay Geres (Claudia) bakal menyanyikan lagu kedua-duanya dendangan asal Datuk Siti Nurhaliza, Ku Mahu dan Wanita.

Peserta yang pernah menghasilkan album Nas Adila Mohd Dan menyanyikan lagu Merawat Cinta Luka (Liza Hanim) dan Asyik (Amelina), Nurfazelah Mohd Tahil (Zizi), Sembilu (Ella) dan Wonder Women (Mulan Jameela) juga Ismaliza Ismail mendendangkan lagu Jat Da Da Da (Dia Fadilla) dan Hello (Farah Asyikin).

Selepas ditiadakan minggu lalu, untuk konsert minggu kedua penonton setia akan dapat menyaksikan persembahan Menuju Puncak.

Bagi memberikan sedikit kelainan ia akan diadakan pada permulaan konsert.

 

 

Minggu ini juga pastinya penyingkiran pertama akan dilakukan dan Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie bertindak selaku pengkritik tetap.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Dengarnya…: Empat Calon ABPBH 2008 Berbadan Dua

12 Mar

Oleh Normah Becok

RITA RUDAINI antara artis yang kini sedang hamil anak sulung.

TAHUN ini Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 menyaksikan beberapa selebriti tanah air yang tercalon dalam beberapa kategori sedang berbadan dua. Sebelum ini, Cik Normah ada menulis mengenai finalis ABPBH 2008, Erra Fazira, Aleya dan Dynas yang mengandung.

Erra kini sedang menghitung hari untuk melahirkan anak dijangka bayi perempuan pada 25 Mac ini. Leya lambat lagi rasanya, Dynas pula dijangka melahirkan bayi perempuan juga pada 4 Julai ini.

Tak silap Cik Normah, Dynas dan Leya kemungkinan besar akan tetap hadir pada malam kemuncak ABPBH 2008 pada 12 April nanti walaupun terpaksa berdepan dengan kedinginan suhu di Genting Highlands. Dynas akan melaram baju rekaan Nik Erwan Roseli, manakala Leya dan suaminya menggunakan khidmat Hazwani. Nik Erwan dan Hazwani juga antara pereka yang terbabit dalam Anugerah Pereka Popular pada tahun ini.

Asyik dok sebut Erra, Dynas dan Leya, Cik Normah terlupa pula kepada Rita Rudaini yang juga sedang berbadan dua dan tersenarai sebagai Pelakon TV Wanita Popular. Maafkan Cik Normah ye Rita, terlupa pula nama you. Tapi apa pun, Cik Normah ucapkan selamat berjaya kepada semua calon dalam setiap kategori ABPBH 2008.

Sebelum terlupa, Cik Normah ucapkan tahniah kepada pelakon Nadia Mustafar yang baru saja melahirkan anak lelaki pada 3 Mac lalu. Bayi seberat 3.2 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Pantai, Cheras. Bayi itu adalah hasil perkongsian hidupnya dengan Hazil Izham.

Ramai lagi selebriti tempatan yang disahkan berbadan dua. Ziana Zain pun Cik Normah dapat tahu bakal mendapat anak kembar seperti Aleya. Rezeki berganda tu dan Cik Normah tumpang seronok. Liza Hanim, Sasha Saidin, Melissa Saila dan Balkish Semundur Khan (Kiss) pun sedang mengusung perut.

Rosma isteri kepada Khai pun mengandung empat bulan dan semasa terbabit dalam siri jelajah ABPBH 2008 di Pasir Gudang minggu lalu, dia masih suka bergaya memakai kasut platform. Jaga-jaga dik, jangan sampai membahayakan kandungan cukuplah. Akhir kata, Cik Normah juga yang tak ada rezeki untuk berbadan dua. Reda sajalah.

Berita Harian

Wana Juara My Starz LG

23 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

BANGGA...Wana (kanan) dan Wan Nashrinie bersama <br>hadiah kemenangan.
BANGGA…Wana (kanan) dan Wan Nashrinie bersama
hadiah kemenangan.

KUALA LUMPUR: Peserta Noriezuana Syed Shafudin atau Wana diumumkan sebagai juara pertandingan akhir program realiti, My Starz LG musim kedua yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Wana, 22, menyampaikan lagu Ku Pendam Sebuah Duka yang pernah dipopularkan Khadijah Ibrahim dan Ku Telah Jatuh Cinta (Agnes Monica) pada segmen pertama, manakala lagu duet Kehebatan Cinta bersama Jamal Abdillah untuk segmen kedua berjaya memikat hati tiga juri profesional iaitu Hattan, Liza Hanim dan Ajai serta penonton yang mengundi menerusi SMS.

Sebanyak 70 peratus markah diberikan juri profesional manakala SMS mewakili 30 peratus.

Kemenangan Wana selaku juara diumumkan pengacara Nazruddin Habibur Rahman bersama Puteri Andreanna Syigim berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 di samping kontrak rakaman bersama Warner Music Malaysia dan TV LCD 42 inci tajaan LG.

Tempat kedua dimenangi Wan Nashrinie Zafri dari Pulau Pinang menerima hadiah kemenangan berupa wang tunai RM20,000 dan TV LCD 32 inci LG.

Wana yang ditemui selepas majlis berakhir berkata dia tidak menyangka muncul sebagai juara walaupun mendapat komen pujian daripada tiga juri berkenaan. Peserta berasal dari Skudai, Johor mahu memberi sepenuh tumpuan pada karier nyanyian selepas ini.

“Malam ini rezeki untuk menang. Kemenangan ini menjadi pendorong pada saya memperbaiki kelemahan dan memberikan fokus kepada nyanyian selepas ini,” katanya.

Empat peserta berentap pada pertandingan akhir kali ini yang disiarkan secara langsung menerusi TV3. Peserta dari Kuching, Sarawak iaitu Cassandra Daniel Manja menduduki tempat ketiga membawa pulang hadiah telefon bimbit LG, Renoir dan peserta Mohd Hairi Kenneith di tempat keempat dengan hadiah penghawa dingin LG.

Hadiah juara dan tempat kedua disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin dan Pengarah Perhubungan Korporat LG Electronic Asia, MF Chin.

Harian Metro

4 Melangkah Ke Akhir

17 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
HANYA empat peserta layak ke peringkat akhir program realiti, My Starz LG musim kedua yang akan berlangsung pada 22 Februari ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Biarpun ada penonton yang berharap lima peserta yang bersaing pada minggu ke-12 pada malam kelmarin melayakkan diri ke akhir, penyingkiran seorang lagi peserta tetap dilakukan.

Antara Mohd Hairi Kenneith (Hairi) dan Mohd Azri Abdullah, keputusan bagaimanapun memihak pada Hairi untuk mengikut jejak langkah tiga rakannya iaitu Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Noriezuana Syed Shafudin (Wana) dan Cassandra Daniel Manja (Cassie) ke akhir.

Berbeza dengan persembahan minggu sebelumnya, kali ini lima peserta diminta membuat persembahan dengan bertemakan lagu penghargaan pada bintang legenda seperti Allahyarham Puan Sri Saloma, Sudirman Arshad, Rosli Khamis (Loloq), Abdul Samad Mian (Lefthanded) dan mendiang Loganathan Arumugam (Alleycats).

Sekadar persembahan nyanyian, tiada juri profesional memberi komen kali ini. Nashrin membuka persembahan dengan lagu Andalusia diikuti Wana (Terasing), Azri (Bila Kau Bercinta Lagi), Cassie (Gelora) dan Hairi (Seruan). Di akhir persembahan, pengacara Nazruddin Habibur Rahman dan Puteri Andreanna Syigim mengumumkan Azri tersingkir daripada program berkenaan.

Kata Azri, 21, walaupun kecewa tersingkir tetapi semangat untuk mencapai cita-cita sebagai penyanyi tetap diteruskan. Dia yang meminati genre muzik pop berharap perjalanan karier seninya selepas ini masih cerah dan mendapat sokongan peminat.

“Mungkin selepas ini saya memasarkan single sendiri berjudul Bagai Puteri. Sebelum ini, saya bersama peserta lain terbabit mencipta lagu sendiri dan ini peluang saya menempatkan diri sebagai penyanyi.

“Sepanjang dalam program ini, banyak pengalaman ditimba antaranya cara interaksi bersama penonton. Saya fikir saya sudah memberikan persembahan terbaik pada setiap minggu,” katanya.

Juri tetap, Hattan yang turut hadir pada malam itu turut bersetuju dengan keputusan empat peserta yang layak ke akhir. Meskipun peserta ini masih mempunyai kelemahan tetapi mereka mempunyai kelainan dalam persembahan masing-masing.

“Apa yang saya lihat, peserta ini sudah bersedia untuk ke akhir tetapi ilmu dalam nyanyian perlu ditambah. Mereka nampak berani untuk bawa pembaharuan dalam persembahan. Juri sebenarnya tidak kisah jika cara nyanyian mereka berbeza kerana kami mahukan penyampaian lagu yang lain daripada penyanyi asal.

“Setiap penyanyi harus fokus pada satu genre saja dan ia adalah adil bila juri menilai sebanyak 70 peratus. Program ini sebagai platform tetapi ia bergantung pada peserta itu sendiri untuk berusaha hingga berjaya atau tidak. Mereka harus ingat, popular tidak semestinya berjaya.

“Sebolehnya mereka mempertingkatkan kemahiran diri dengan mencipta lagu sendiri dan jangan malu bertanya penyanyi lain yang lebih berpengalaman. Kita kekurangan pelapis terutama penyanyi solo lelaki. Saya mahu lihat artis kita cipta kejayaan lebih besar selepas ini,” katanya.

Penerbit Eksekutif, Mohd Suffian Isa berkata persiapan konsert akhir rancak berjalan dan peserta diberi masa seminggu untuk membuat latihan. Menariknya, peserta kali ini berpeluang memilih artis kegemaran mereka untuk menyampaikan satu lagu duet. Setiap peserta dikehendaki menyampaikan dua lagu termasuk satu lagu solo.

“Kita harap empat peserta ini dapat memberikan persembahan terbaik pada malam itu nanti. Pemilihan artis dan lagu dibuat atas perbincangan bersama penasihat vokal, Lah Ahmad dan koreografer, Raimee Salleh. Tiga juri terbabit adalah Hattan, Liza Hanim dan Ajai.

“Memberi tarikan, persembahan peserta ini turut dimeriahkan kemunculan penyanyi jemputan iaitu Mawi, Faizal Tahir dan Rossa dari Indonesia,” katanya.

Bagi Wana, dia memilih Jamal Abdillah sebagai pasangan duet pada persembahan akhir nanti. Katanya, Jamal mempunyai kelebihan dari aspek penghayatan yang baik dan sering menarik perhatian ramai penonton.

“Dia mempunyai aura kuat pada penonton. Mungkin dia boleh membantu saya dalam persembahan akhir nanti. Saya juga perlu perbaiki kelemahan diri seperti pitching (nada suara) dan gemuruh atas pentas,” katanya.

Nashrin pula memilih gandingan bersama Misha Omar atas faktor minat pada penyanyi itu. Berazam mahu memberikan persembahan terbaik bersama gimik, dia juga mahu memperbaiki kelemahan gemuruh ketika berhadapan penonton. Cassie yang memilih Sarah Raisuddin untuk lagu duet turut mahu memperbaiki kelemahan pitching dan penghayatan pada lagu. Menganggap Nashrin sebagai saingan paling dekat, dia berharap undian juri dan penonton seimbang dalam memilih juara.

Menjadi peserta terakhir dipilih ke akhir, Hairi tidak menyangka dan terkejut selepas berjaya mengatasi Azri. Memilih Fiq untuk lagu duet, dia yakin gandingan mereka dapat memberikan persembahan yang hebat. Dia yang meminati genre rock berharap dapat mengatasi masalah pitching dalam diri.

“Sejak mula, saya katakan pada diri, saya tidak akan terkeluar. Jika terkeluar sekalipun, saya tidak mahu berasa kecewa. Dalam membuat persembahan terbaik nanti, saya juga berharap juri dan penonton dapat memberikan undian yang seimbang,” katanya.

Harian Metro

Tekak Mimie Keluar Darah

5 Feb

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
SAINGAN minggu kesepuluh program realiti My Starz LG musim kedua semakin sengit apabila peserta terpaksa berhadapan dengan penyingkiran dilakukan pada setiap minggu.

Jika dua minggu lalu tujuh peserta terdiri daripada Norshamimi Ahmad Haris (Mimie), Cassandra Daniel Manja (Cassie), Wan Nashrinie Zafri (Nashrin), Mohd Hairi Kenneith (Hairi), Mohd Azri Abdullah (Azri), Mohd Farouk Jayfiena Ermand (Feroq) dan Noriezuana Syed Shafudin (Wana) terselamat kerana tiada penyingkiran.

Namun senarionya berbeza pada malam Ahad lalu apabila Mimie diumumkan sebagai peserta yang tersingkir. Persembahannya menerusi lagu Seksis yang pernah dipopularkan Anita Sarawak kurang meyakinkan.

Ternyata Mimie punya alasan kerana masalah kesihatan. Katanya, masalah itu turut mengganggu fokusnya pada persembahan terakhir itu.

“Ketika persembahan, memang kesihatan saya terganggu. Sejak dua minggu saya mengalami sakit tekak hingga keluar darah. Malah, sehari sebelum malam penyingkiran, batuk saya tidak berhenti hingga saya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor menasihatkan saya berehat menyanyi tetapi saya tetap meneruskan cabaran dalam program ini. Bagaimanapun, saya menganggap penyingkiran saya ini tiada rezeki untuk saya melangkah ke peringkat akhir,” katanya.

Mimie akui kecewa kerana gagal beri persembahan terbaik pada minggu itu tetapi katanya, tiada apa yang boleh dilakukannya.

“Pada masa itu, semua juri iaitu Hattan, Liza Hanim dan Hazami sepakat berpendapat persembahan saya kurang bertenaga. Kata Hattan, ada ‘benda’ yang tidak cukup pada diri saya hingga saya kurang menguasai nada rendah dan salah pilih lagu.

“Hazami pula, berkata persembahan saya masih dinamik dan pitching tidak mempunyai masalah kurang bertenaga. Saya sepatutnya menyanyi lagu Memori Tercipta jika saya tidak tersingkir pada malam itu.

“Namun, pada saya, persembahan rakan lain tetap hebat. Masing-masing menunjukkan peningkatan dan persembahan yang dinamik. Sepanjang berada dalam program ini, banyak pengalaman saya timba dan kenangan manis dilalui bersama rakan lain.

“Paling manis apabila saya diberi peluang menggantikan Jaclyn Victor pada latihan untuk Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) yang lalu. Ketika itu, saya berkongsi pentas dengan penyanyi berpengalaman iaitu M Nasir dan Jamal Abdillah. Walaupun ia hanya latihan untuk AJL23 tetapi saya bangga dan berasa bertuah dengan peluang keemasan itu,” katanya.

Kata Mimie, 18, sepanjang sembilan minggu berada dalam program berkenaan, dia juga berpeluang mengikuti kelas vokal dan tarian. Bimbingan daripada tenaga pengajar seperti penyanyi Lah Ahmad sebagai penasihat vokal, koreografer tarian, Raimee Salleh dan Syaiful Baharim bertindak selaku perunding imej, banyak memberi pendedahan baru padanya.

“Mereka banyak beri tunjuk ajar dan sokongan pada saya untuk terus menyanyi dengan lebih baik. Perancangan selepas ini, saya akan sambung belajar mengikuti kursus Diploma Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

“Sepatutnya saya sambung belajar pada bulan Disember lalu tetapi saya tangguh satu semester kerana terbabit dengan program ini. Sejak kecil ketika berusia tujuh tahun saya minat menyanyi dan bercita-cita mahu menjadi pensyarah muzik.

“Saya gembira kerana minat dan cita-cita saya mendapat sokongan keluarga. Dulu, saya kerap membuat persembahan pentas dan mahu mengikuti jejak langkah bapa saya yang juga pernah menyanyi sebelum ini,” katanya.

Pada minggu lalu, persembahan Nashrin paling berjaya memikat hati juri iaitu Liza, Azmeer dan Zainal Abidin. Nashrin yang menyampaikan lagu Firasat nyanyian asal Marcell mendapat pujian tiga juri berkenaan yang dikatakan mempunyai vokalmantap dan penghayatan yang baik. Kejayaan awal itu melayakkan menang hadiah mingguan berupa penghawa dingin LG, Neo Plasma Plus.

Wana pula yang menyampaikan lagu popular Ziana Zain, Madah Berhelah dikritik kerana nyanyiannya mempunyai persamaan seperti penyanyi asal. Kritikan pedas juri juga terkena pada Azri yang membawakan Laguku Untukmu nyanyian asal Hasnol, apabila Zainal mengatakan persembahannya tidak terkawal termasuk penguasaan vokal tidak mencapai tahap diinginkan.

Begitu juga dengan Feroq, walaupun terselamat daripada penyingkiran tetapi dia yang menyanyikan lagu Juwita Citra Terindah dikritik teruk kerana lontaran vokal tidak mempunyai seni dan baju yang digayakan pada malam itu seperti pelayan bar. Hairi pula yang mempersembahkan lagu Search, Mentari Merah Di Ufuk Timur dikatakan hambar hingga nyanyiannya lari dari tempo asal.

Namun, Hairi mampu tersenyum bila menerima komen dia berjaya mengimbangi vokal dengan baik. Kedudukan selesa turut menyebelahi Cassie yang menyanyikan lagu Destinasi Cinta dengan baik. Meskipun mendapat komen positif juri tetapi pergerakannya terbatas kerana pemilihan kasut yang tidak sesuai.

Harian Metro

Dengarnya…: Kalau Sudah Rezeki

23 Jan

Oleh Normah Becok

Sharifah Shahira dan Ani Mayuni

BOLEH dikatakan hampir setiap harilah Cik Normah dengar artis di negara kita kini sedang berbadan dua. Sebelum ini Cik Normah ada tulis mengenai Sharifah Aleya, Liza Hanim, Dynas, Sasha Saidin, Rosma, Melissa Saila dan Balkish Semundur Khan yang sudah berbadan dua.

Cik Normah tumpang gembira biarpun rezeki Cik Normah selepas sekian lama berkahwin untuk berbadan dua belum ada.

Berita seperti ini menunjukkan di sebalik kisah perceraian artis, sebenarnya ramai juga yang hidup bahagia. Itulah yang Cik Normah sentiasa harapkan. Kadang-kadang yang bercerai itu seorang dua tapi hebohnya macam ada 20 orang pula.

Cik Normah tumpang gembira dengan Erra Fazira yang kini sedang menghitung hari, dijangka akan melahirkan bayi perempuan pada 25 Mac ini. Tak lama dah tu.

Selepas dapat tahu bekas bintang Mentor, Nieyl pun sudah mengandung, Cik Normah diberitahu rakan sepejabat yang membuat tugasan pelancaran slot Senda Pagi, memaklumkan Ani Mayuni dan Sharifah Shahira pun berbadan dua. Ani Mayuni terang-terang datang berdepan kawan Cik Normah dan menunjukkan perutnya yang mula membesar. Ani sudah tiga bulan mengandungkan anak keduanya.

Berlainan pula dengan Sharifah Shahira, mulanya kawan Cik Normah hanya meneka saja yang dia mengandung. Rupa-rupanya memang betul dia mengandung tapi baru satu bulan. Amboi subur sungguh pelakon yang terkenal dengan panggilan Shira ini. Itu anak keempatnya hasil perkahwinan keduanya dengan anak aktres Maria Arshad, Ijoy Shaari. Rasanya Cik Normah baru saja datang ke kenduri cukur jambul anaknya dan sekarang Shira mengandung lagi. Itulah yang dinamakan rezeki.

Apa-apapun tahniah kepada semua rakan artis yang mengandung. Cik Normah doakan semoga semuanya baik-baik saja dan jagalah perkahwinan yang didirikan sebaik mungkin.

Oh ya… sebut mengenai perkahwinan, Cik Normah teringat pakaian sedondon Memey dan Norman Hakim masa sebutan semula kes khalwat mereka baru-baru ini. Hai lagi terang, lagi bersuluh mereka sebenarnya bercinta dan peminat pun sudah mudah jelak dengan ‘sandiwara’ mereka. Kahwinlah cepat-cepat, lagi senang tak payah main tarik tali, cakap itu ini. Upsss

Berita Harian

Nazar Potong Rambut

22 Jan

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ERRA dan suami membeli kelengkapan untuk menyambut kelahiran bayi mereka.

“SAYA akan bernazar memotong rambut demi kelahiran anak yang dikandung isteri saya,” demikian ungkap Engku Emran Engku Zainal Abidin mengenai niat dan perancangannya terhadap kelahiran bayi sulung hasil perkongsian hidupnya dengan bintang jelita, Erra Fazira yang dijadual bersalin bayi perempuan pada 25 Mac ini. Selain Erra, tahun ini menyaksikan ramai selebriti yang disahkan berbadan dua seperti Melissa Saila, Rosma, Sharifah Aleya, Dynas, Liza Hanim, Sasha Saidin dan Balkish Semundur Khan. Nora Danish paling awal membuka lembaran 2009 apabila selamat melahirkan bayi lelaki awal Januari lalu.

Betapa terserlah sisi bahagianya hingga berat badannya kembali bertambah dan sama naik dengan perut isteri tercinta. Sebelum ini, Emran berjaya mengawal berat badannya selepas berkahwin dengan pelakon drama Mentua VS Menantu itu.

Akuinya, semakin dekat tarikh jangkaan kelahiran anak mereka, maka makin kencang deruan adrenalinnya. Baik Erra, naluri kebapaan jelas terpancar di wajah Emran, maklumlah ini pengalaman sulungnya melalui situasi begini. Hampir setiap masa, jika tidak mempunyai komitmen kerja, pasti Emran akan menghabiskan masa dengan Erra yang kini usia kandungannya sudah hampir mencecah lapan bulan.

“Paling mengharukan saya dah mula terasa getaran nak bergelar bapa ialah sewaktu saya memegang perut Erra. Seperti bakal bapa lain, saya percaya mereka juga berasakan perkara sama yang saya alami. Kalau orang tanya sama ada saya sudah bersedia untuk bergelar bapa, semuanya akan terjawab apabila lahirnya anak kami itu. Saya tak dapat bayangkan macam mana perasaan itu, namun yang jelas saya memang berdebar-debar. Cuma ada yang memberi nasihat supaya saya tidak terlalu menggelabah memikirkan soal ini.

“Dalam hal persediaan, Erra yang paling berlebih-lebihan, biasalah wanita memang selalu begitu. Kami ada membeli barangan bayi untuk keperluan anak kami nanti. Apabila anak sudah ada depan mata, baru jelas lagi tanggungjawab dan persediaan saya terhadap anak kami nanti.

“Kebelakangan ini pun selera makan saya kembali bertambah. Lucunya saya yang terlebih mengidam berbanding isteri. Sejak Erra hamil, saya suka sangat makan masin dan bayangkan saya boleh meratah garam begitu saja,” katanya sewaktu ditemui di Siri Jelajah Lelong Amal Suria FM di lokasi pertama mereka di Mydin USJ, Subang Jaya 17 Januari lalu. Sebelum majlis bermula, Emran dan Erra berkesempatan membelek-belek barangan bayi di pusat beli-belah itu.


PERPANCAR rona bahagia pada raut wajah pasangan sama padan yang akan bergelar ibu dan bapa tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Erra yang juga Wajah Eksklusif Astro ini sudah mula melupakan kerjaya seninya buat seketika sejak penghujung Disember tahun lalu demi memberi tumpuan penuh kepada bayi yang dikandungnya. Biarpun sarat dan tidak lagi menerima tawaran berlakon dan menyanyi, Erra masih meluangkan masa, turun padang ke acara anjuran stesen radio yang di bawah tanggungjawab suaminya.

Umpama cuti panjang daripada kesibukan kerja, debaran Erra juga memuncak hari demi hari, menghitung detik bergelar ibu. Sewaktu ditemui Hip pada majlis itu, wajah Erra berseri-seri dan mungkin itu tanda bahawa kehidupan aktres yang pernah bergelar ratu ini sedang mendakap bahagia. Dan jangan tak tahu, fokus Erra bukan saja terhadap anak yang bakal lahir nanti, sebaliknya Erra memenuhi masa senggang dengan melakukan aktiviti berfaedah.

Tanpa disengajakan pada hari itu, jahitan sulaman yang sedang diusahakan Erra kelihatan di dalam beg jenama mewah yang digalasnya. Dengan pantas, jurugambar Hasriyashah Sabudin sempat meminta Erra mengeluarkannya untuk diabadikan di dalam Hip.

“Sejak bercuti ini, Erra penuhi masa dengan menghadiri pelbagai kelas belajar termasuklah kelas jahitan, memasak dan menulis skrip. Sudah dekat tarikh nak bersalin, Erra makin sibuk membuat persiapan. Sekarang ini pun kami sudah menghias bilik tidurnya dengan pelbagai dekorasi. Saya akui memang amat teruja apatah lagi ini bayi pertama yang bakal dilahirkan dan saya tahu biarpun dia (Emran) tak tunjuk sangat keterujaannya seperti saya, tapi dalam hatinya dia memang sangat gembira,” katanya.

Menurut Erra, biarpun sudah melakukan proses pengimbasan mengenal pasti jantina anaknya, Erra tidak terlalu yakin dengan keputusan yang disahkan (dijangka jantina perempuan). Alhamdulillah, Erra juga tidak mengalami alahan teruk dan mengidam, cuma pada peringkat awal saja dia berasa loya.

“Erra tak mengidam itu ini, Erra ‘bantai’ saja makan apa yang terasa nak dimakan. Alhamdulillah, Erra kental gamaknya dan bayi dalam perut ini pun tak banyak meragam. Erra juga banyak mendapat tips dan petua sewaktu mengandung dan Insya-Allah usia kandungan ini mencecah lapan bulan. Biarpun sudah dimaklumkan kemungkinan jantina anak kami, tidak semestinya ia tepat. Kami tidak kisah jantinanya, yang pentingnya bayi itu sihat walafiat dan cukup sifat,” katanya ramah.

Mengintai kerjaya seninya, selepas melahirkan anak dan menguruskan badan, mengikut perancangan Erra akan kembali ke set penggambaran drama Mentua VS Menantu dan merakamkan album pertamanya di bawah label SRC.

Kata Erra, setakat ini dia sudah selesai merakamkan 26 episod untuk drama itu di siaran Astro. Kata Erra lagi, mengikut kontrak albumnya bersama SRC, Erra berhutang lima album dan sehingga kini belum ada album lagi sempat dibikin.

Mengenai ‘misteri kehilangan’ pengurusnya, Syed Abu Bakar, ia masih terus menjadi tanda tanya. Jelas Erra, dia sendiri sukar hendak memberi jawapan kepada persoalan ini. Mengakui agak sukar meneruskan kerjaya tanpa pengurus, Erra kini buat sementara waktu mendapatkan khidmat Vernon Kedit Jolly.

“Buat masa sekarang Erra banyak meminta tolong Vernon menguruskan soal kerjaya seni biarpun belum ada kontrak hitam putih di antara kami. Erra ibarat ‘patah kaki’ tanpa pengurus. Kalau tiada perkembangan lanjut mengenai Syed, Erra kena fikirkan sesuatu demi masa depan kerjaya Erra ke depan nanti,” katanya yang memberitahu nama yang bakal diberi kepada anaknya nanti masih dalam peringkat perbincangan.

INFO

Erra-Emran

Erra berkenalan dengan Emran pada Jun tahun lalu. Pasangan itu kemudian memilih 7 September 2007 untuk mengikat tali pertunangan.

Pada 25 Oktober pula, pasangan itu disatukan di Restoran Puteri, Sungai Penchala. Erra tidak meminta wang hantaran, sebaliknya meminta senaskah al-Quran sebagai ganti.

Pernah mengandung awal 2008, bagaimanapun Erra mengalami

keguguran ketika usia kandungannya dua minggu.

Berita Harian

Dengarnya… Musim Artis Mengandung

16 Jan

Oleh Normah Becok

Melissa Saila

AGAKNYA, tahun 2009 ini memang membawa tuah kepada ramai selebriti wanita kita. Yalah, lepas seorang, seorang disahkan hamil dan bakal menimang cahaya mata. Cik Normah juga yang menunggu-nunggu, bila agaknya Cik Normah hendak mengandung. Bimbang juga kalau lama-lama tak ada anak, nanti suami cari lain. Tapi Cik Normah percaya, suami Cik Normah memang lelaki setia.

Bercerita fasal artis mengandung, Cik Normah teringat pada Sharifah Aleya, Liza Hanim, Dynas, Sasha Saidin, Rosma dan beberapa lagi selebriti wanita yang kini disahkan berbadan dua. Termasuk dalam kategori ibu hamil ketika ini ialah seorang lagi pelakon teater muzikal P Ramlee, Melissa Saila.

Khabarnya kini wajah Lis berseri-seri setelah mengandungkan anak ketiga. Eloklah tu Lis, dua anak Lis, si Zain dan Noor pun sudah besar. Zain sudah berusia dua tahun, manakala Noor yang sulung pula empat tahun. Cantik betul anak sulungnya, macam Lis sendiri. Esok bila sudah besar, pasti popular macam ibu atau neneknya, Mariani.

Apabila teringat cerita kedua-dua bintang muzikal P Ramlee ini hamil, Cik Normah terfikir sendiri. Nasib baiklah Enfiniti tidak membawakan kembali muzikal bintang legenda berkenaan pada tahun ini. Jika tidak, susah juga apabila dua pelakon terbabit terpaksa tampil dengan badan yang mungkin agak berisi.

Pada Februari ini, Enfiniti mementaskan semula teater muzikal Puteri Gunung Ledang. Kiranya, kini tiba masa Datin Seri Tiara Jacquelina menghangatkan pentas Istana Budaya sebagai puteri yang bukan saja jelita, tetapi pandai pula menari dan menyanyi. Cik Normah sendiri rasa macam hendak menonton sekali lagi.

Dalam pada itu, hampir terlupa, pelakon drama Balkish Semundur Khan pun sudah disahkan mengandung sebulan. Pelakon itu yang dramanya, Laila Majnun sedang disiarkan di TV3 dan TV9 ada menghantar SMS kepada kawan sepejabat Cik Normah baru-baru ini.

Berita Harian