Archive | Adlin Aman Ramlie RSS feed for this section

Terkedu Apabila Aril Tersingkir

29 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ARIL terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada AF7.

Peminat mahu yang popular bukan peserta paling berbakat

SUDAH menjadi hakikat realiti program Akademi Fantasia (AF), apabila kuasa undian di tangan penonton, maka tiada pihak berhak untuk mempertikaikan kuasa mereka dalam menentukan siapa sepatutnya peserta yang boleh kekal meneruskan saingan.

Akibatnya terjadilah insiden peserta kurang berbakat terus maju, manakala mereka yang berpotensi ditunjuk jalan keluar.

Minggu ketujuh AF musim terbaru yang rancak diperbualkan ketika ini, contoh terbaik memperlihatkan betapa kuasa undian di tangan peminat mampu merampas impian peserta berbakat untuk terus menghiburkan penonton.

Suasana di Dewan Sri Putra Bukit Jalil jadi senyap seketika apabila penonton bagai terkedu setelah Aril diumumkan pelajar seterusnya yang harus meninggalkan akademi.

Aril, dilihat antara sebab utama mengapa AF7 masih boleh bernafas, menerusi persembahannya yang mantap pada saban minggu. Selain Hafiz, Aril ialah peserta yang menjadi perhatian apabila hadir dengan pakej yang menarik, serta bakat yang terserlah.


DARI kiri, Aril, Yazid dan Akim.

Lalu, apabila namanya diumumkan peserta yang perlu menarik beg keluar daripada dewan, timbul isu apa sebenarnya yang diinginkan peminat? Apabila tamat persembahan pelajar minggu itu, Hafiz berkongsi jumlah undian dengan Isma iaitu 17 peratus, Aishah dan Yazid masing-masing 15 peratus, Akim (14 peratus), manakala Claudia dan Aril kedua-duanya memperolehi 11 peratus.

Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, berkata, Aril terpaksa meninggalkan AF7 walaupun perbezaan undiannya dengan Claudia adalah cukup sedikit.

“Saya gembira dengan konsert pada malam ini yang menunjukkan peningkatan semua pelajar, manakala peratusan undian juga semakin seimbang apabila tiada peserta jauh meninggalkan yang lain. Namun kita kena akur dengan peraturan yang mengatakan, peserta dengan undian terendah harus disingkirkan,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat konsert.

Sabtu lalu, Aril membakar pentas dengan persembahan bertenaganya menyampaikan lagu Nakal daripada kumpulan Gigi. Rata-rata pengkritik malam itu, Datuk Khatijah Ibrahim, Adibah Noor dan Adlin Aman Ramlie menyukai persembahannya.


CLAUDIA, Aishah dan Isma meneruskan langkah ke konsert seterusnya.

Selain Aril, Akim dengan lagu Situasi (Bunkface) turut mencuri perhatian, manakala Yazid dengan lagu With Or Without You (U2) buat kali pertama menunjukkan persembahan meyakinkan.

“Diharapkan media dan penulis blog boleh membantu mengingatkan peminat, jika mereka asyik ingin membantu peserta bukan pilihan, peserta yang berbakat akan terkeluar daripada saingan,” katanya.

Ketika ditanya apakah Astro mempunyai perancangan untuk mengadakan undian masuk pelajar yang tersingkir, Khairul Mizan berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengumumkan perkara sebegitu.

Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina pula berkata, dia bingung memikirkan kehendak peminat rancangan terbabit.

“Aril antara ikon yang kami mahu lahirkan daripada program AF7. Dia mewakili penyanyi yang kita inginkan dalam industri muzik hari ini. Malangnya, dengan sistem undian diberikan sepenuhnya kepada peminat, kita tidak tahu apa yang mereka mahukan,” kata Tiara.

Aril tidak mahu lemah semangat

PENYINGKIRAN peserta yang dilihat berbakat dalam rancangan AF sebelum konsert akhir memang sudah beberapa kali berlaku. Linda Nanuwil pernah merasai pengalaman itu pada AF2, manakala Idayu pula mengalaminya pada musim ketiga.

Lalu, apakah Aril juga mengharapkan nasib serupa menyebelahinya?

Kata anak muda berusia 24 tahun dari Kuala Lumpur itu, dia tidak berani hendak mengulas persoalan mengenai harapan untuk melihat undian masuk diadakan sekali lagi oleh AF7.

Akui Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, dia tidak terlalu kecewa apabila terkeluar daripada program realiti terbabit, dan dia juga tidak dapat menjangka rentak undian pengundi AF.

“Ada masanya, pelajar yang berbakat seperti rakan saya, Rubisa, terkeluar juga,” katanya.

Padanya, mungkin peminat tidak mengundi dirinya bukan kerana soal tidak berbakat, sebaliknya mereka ingin memberikan peluang kepada rakannya yang lain meneruskan perjuangan.

Ditanya apakah kerana ‘attitude’ yang sering kali dikaitkan dengan dirinya, sebagaimana yang diperkatakan oleh pengkritik, Aril memberitahu, sikap seperti itu perlu ada pada seseorang penghibur yang berada di pentas.

“Apabila berada di pentas, kita perlu tunjukkan pesona kita kepada peminat. Tetapi, apabila berada di luar, tidaklah kita perlu bersikap demikian.

“Saya sendiri tentunya berbangga apabila pengkritik memuji sikap saya yang dilihat perlu ada pada seorang penghibur. Jadi, saya tidak rasa kerana ‘attitude’, peminat tidak menyukai saya,” ujarnya.

Mengenai perancangan selepas ini, jejaka yang petah menjawab segala pertanyaan ini memberitahu, dia akan mengikut rancangan yang diatur oleh Astro Entertainment.

Dari segi muzik pula, katanya tidak salah jika dia ingin mencuba pelbagai bentuk muzik lain selain genre muzik yang menjadi kesukaannya, pop, sebagaimana yang dipersembahkan kumpulan Padi.

“Jika kita mahu menjadi penghibur yang baik, tidak salah sekiranya kita mencuba pelbagai genre muzik. Begitupun, sudah tentulah saya tahu di mana kekuatan saya,” katanya sempat berada selama 61 hari dalam akademi terbabit.

Berita Harian

Aril Tersingkir Konsert Ketujuh AF

26 Apr


Aril

KUALA LUMPUR: Impian Khairil Azam Pilus atau Aril, untuk beraksi sebagai finalis program realiti popular Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) berakhir apabila tersingkir pada konsert ketujuh , malam tadi.

Pada konsert di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini, Aril membawa lagu Nakal nyanyian asal Kumpulan Gigi.

Pengumuman penyingkiran dibuat pengacara AF7, AC Mizal pada konsert itu.

Peserta dari Kuala Lumpur itu hanya mampu bertahan setakat minggu ketujuh mengikut jejak rakannya, Nas Adila, Rini, Obri, Zizi, Rubisa, Sidi dan Qhaud yang tersingkir awal. Persembahan peserta dinilai pengkritik tetap, Datuk Khadijah Ibrahim, Adlin Aman Ramlie dan penyanyi Adibah Noor sebagai pengkritik undangan.

Peserta berusia 24 tahun itu tidak mampu menawan hati pengundi apabila menjadi mangsa undian khidmat pesanan ringkas (SMS) paling rendah. Dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada enam rakan masih bertahan, sekali gus memberi laluan kepada mereka meneruskan perjuangan.

Peserta yang kekal ialah Aishah Bujang, 18, (Sarawak), Afiq Hakim Ahmad, 18, (Johor Bahru), Claudia Fay Geres, 24, (Sarawak), Mohd Hafiz Mohd Suip, 19, (Sarawak), Ismaliza Ismail, 30, (Kuala Lumpur), dan Mohd Yazid Kamal Ibrahim, 22, (Johor Bahru).

Berita Harian

Populariti Siti Belum Dicabar

14 Apr

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff, Zul Husni Abdul Hamid, Farihad Shalla Mahmud & Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my

PENYANYI Wanita Popular kekal milik Siti 12 kali berturut-turut.

Kemenangan muka baru dalam ABPBH 2008 menunjukkan perubahan sikap peminat

TIRAI Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sudah pun dilabuhkan jam 11.30 malam, Ahad lalu, apabila keputusan terakhir Bintang Paling Popular diumumkan pengacara Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira. Begitupun, pastinya peminat masih hangat membicarakan mengenai anugerah edisi ke-22 itu selepas satu nama baru, Ahmad Nabil Ahmad, dinobat pemenang tiga trofi, termasuk kategori utama berkenaan.

Ia umpama mengulangi pencapaian bekas Bintang Paling Popular sebanyak tiga kali (ABPBH 2005 – 2007), Mawi, yang sebaik saja beberapa bulan keluar daripada Akademi Fantasi musim ketiga, dia terus menggenggam tiga trofi (Artis Baru Lelaki Popular, Penyanyi Lelaki Popular, Bintang Paling Popular) pada ABPBH 2005.

Akhirnya, benteng yang dibina kukuh oleh Raja SMS itu runtuh dengan kelucuan yang dihadirkan peserta Raja Lawak musim kedua ini. Peminat memilih untuk memahkotakan seorang artis komedi, pada kali ini, berbanding penyanyi, penyampai radio, pengacara televisyen mahupun pelakon.

Selepas Mawi melakukannya selama tiga tahun, kini giliran Nabil pula menghuni tempat cukup istimewa itu. Lebih bermakna, dengan gelaran yang baru diterima, Nabil memandu pulang kereta Nissan Sylphy 2.0L bernilai RM109,000 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, menerima set barang kemas Rafflesia bernilai RM150,000 dan set perabot tajaan Empire Classic Furniture bernilai RM30,000.

Bukan hanya Nabil yang berjaya merubah keputusan anugerah itu, pada acara yang berlangsung penuh gilang-gemilang di Arena of Stars Genting Highlands, bahkan beberapa nama lain turut mencipta kejayaan tersendiri apabila berdaya menguis turun pemenang sebelum ini.


QUE berkongsi kegembiraan dengan isteri tersayang.

Pelakon Noorkhiriah, umpamanya, menongkah arus untuk muncul pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, selepas pemenang edisi sebelumnya, Sheila Rusly, gagal disenarai ke peringkat akhir. Begitu juga aktres Maya Karin, yang berbekalkan filem Duyung, merampas semula trofi Pelakon Filem Wanita Popular yang pernah dijulang pada ABPBH 2005 daripada tangan Fasha Sandha.

Que Haidar pula, setelah bertahun mencuba, akhirnya pulang dengan trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, mengetepikan pemenang edisi sebelumnya, Rusdi Ramli. Dalam kategori yang dianggap cukup kuat, Que yang baru saja bergelar suami kepada pereka tari Linda Jasmine, membuktikan usaha kerasnya sekian lama memberikan habuan yang bukan kepalang.

Populariti Lagu Untukmu yang menjuarai beberapa acara pertandingan, benar-benar meletakkan kumpulan Meet Uncle Hussain pada kedudukan teratas dalam kategori Artis Berkumpulan / Duo Popular. Calon terkemuka lain seperti Hujan, Estranged dan M Nasir & Malique juga tidak mampu menahan kemaraan mereka.

Stacy yang menjadi artis pembuka tirai ABPBH 2008 bersama Anita Sarawak, terus menyusun langkah kemas untuk bergelar penghibur terkenal selepas membuka mata peminat pada Anugerah Juara Lagu Ke-23. Dia meneruskan tradisi peserta AF mengungguli kategori Artis Baru Wanita Popular selepas Farah melakukannya pada ABPBH 2005 dan Mila pada ABPBH 2007.


JAMAL Abdillah berbual dengan Datuk A Rahman Hassan.

Kategori lain masih menyaksikan calon yang sama masih diangkat peminat sebagai pemenangnya. Fara Fauzana terus unggul dalam kategori Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, manakala Faizal Ismail dan Aznil Nawawi menguasai kategori lelakinya.

Dynas dan Rosyam turut mengelakkan trofi yang dimenangi mereka dalam kategori Pelakon TV Wanita / Lelaki Popular, manakala kumpulan Rabbani menjulang trofi Artis Nasyid Popular sebanyak lapan kali berturut-turut, sejak ABPBH 2001.

Namun begitu, siapa yang dapat menafikan kehebatan Datuk Siti Nurhaliza apabila penyanyi itu menaiki pentas menerima trofi Penyanyi Wanita Popular sebanyak 12 kali berturut-turut. Sejak memenanginya kali pertama pada ABPBH 1996, si penyanyi Di Taman Teman ini tidak pernah melepaskan piala berkenaan ke tangan penyanyi lain.

Dengan keputusan yang menampakkan gelombang perubahan pada ABPBH 2008, peminat nyata semakin berani membuat perubahan pada kedudukan senarai populariti artis kesukaan mereka kali ini. Mereka tidak lagi terikut-ikut dengan corak undian sebelum ini, sebaliknya dengan gah pendirian yang jelas untuk menyatakan pilihan masing-masing.

Keputusan itu sendiri juga turut memberikan harapan kepada nama baru untuk sama-sama meraih populariti, apabila benteng kebal yang dibina beberapa calon sudah dibuktikan kemungkinannya untuk tumbang. Sudah semestinya, jika mereka disokong produk yang baik lagi popular, tidak kiralah filem, lagu, rancangan TV ataupun radio, sampul surat yang mengandungi nama pemenang itu satu hari nanti mungkin mencatatkan nama mereka di dalamnya.

Mungkin mesej yang harus juga direnung artis muda daripada ABPBH kali ini, usah jerat diri anda dalam kontroversi yang memualkan kerana cerita yang tidak sedap didengar juga mampu mempengaruhi pengundi.

Berita Harian

Nabil Menyinar, Siti Bertahan

14 Apr

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

BARU setahun jagung dalam industri, tetapi Ahmad Nabil Ahmad, 26, yang dicungkil bakatnya menerusi program Raja Lawak musim kedua mencatat kejayaan besar pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang berlangsung gilang-gemilang di Arena of Stars, Genting Highlands malam kelmarin.

Nabil bukan saja menang Artis Baru Lelaki Popular dan juga Pelakon Komedi Lelaki Popular malah anak muda dari Mambau, Negeri Sembilan ini mengalahkan nama besar dalam industri untuk Bintang Paling Popular sekali gus mengetepikan Raja SMS, Asmawi Ani atau Mawi yang mengunggulinya tiga tahun berturut-turut sejak 2005 dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Bagi Nabil, anugerah itu cukup bermakna kerana ia pengitirafan paling besar dalam kerjayanya sebagai anak seni. Sepanjang pembabitannya, Nabil membintangi tujuh filem iaitu Sifu dan Tongga, Lu Pikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur, Momok The Movie dan Eee…Hantu.

Selain itu, dia juga menjadi pengacara dalam program Lu Pikirlah Sendiri dan gandingannya dengan Raja Azura dalam Ewah-Ewah.

“Saya sedar kejayaan ini mendadak sekali kerana dalam tempoh setahun saya dapat tiga trofi sekali gus.

Justeru, sama ada saya mampu mempertahankan trofi Bintang Paling Popular ini pada penganjuran akan datang, semuanya saya serahkan 100 peratus kepada peminat.

“Sebagai artis, saya hanya pastikan sentiasa memberikan yang terbaik dalam apa saya lakukan,” katanya.

Katanya, kejayaan itu khusus buat keluarga, teman istimewa, Irma Hasmie dan peminat yang menyokongnya.

“Ia menyuntik semangat kepada saya untuk bekerja lebih keras dalam memantapkan prestasi lakonan dan pengacaraan dari semasa ke semasa.

“Kejayaan itu tidak sekali-kali menjadikan saya lupa diri dengan populariti dikecapinya. Saya masih Nabil yang dulu. Saya juga tidak akan ‘demand’ atau menaikkan harga untuk tawaran mengacara atau berlakon semata-mata sebab sudah menang anugerah.

 

 

“Dalam krisis ekonomi sekarang, sebenarnya, saya masih boleh pertimbangkan dengan bayaran mengacara serendah RM1,000 atau RM2,000 dalam satu persembahan,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, Nabil yang mengagumi pelawak ‘stand up comedian’ seperti Harith Iskander dan Afdlin Shauki berkata, dia bercita-cita menempa nama sebagai pelawak di peringkat antarabangsa.

“Jika Datuk Siti berjaya mengharumkan nama negara dalam bidang nyanyian di Royal Albert Hall, London pada 2005, saya juga bercita-cita mengharumkan nama negara sepertinya tetapi sebagai pelawak. Cuba bayangkan, orang asing yang tidak tahu bahasa dan budaya kita mendengar lawak jenaka saya.

“Selain itu, saya juga ingin mengembangkan cabang lakonan sedia dalam misi menjadi pelakon versatil pada masa depan. Malah, saya bercadang mengikuti kelas bahasa Inggeris untuk meningkatkan tahap penguasaan sedia ada,” katanya.

Jika Nabil menyinar dalam tempoh setahun jagung, Siti yang meraikan ulang tahun ke-14 dalam dunia seni April ini, belum mampu digugat sesiapa untuk Penyanyi Wanita Popular.

Dalam majlis yang disiarkan secara langsung di TV3 jam 9 malam itu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang pada 11 Januari 1979 ini mempertahankan gelaran buat kali ke-12 sejak 1996.

Ternyata kontroversi dikaitkan dengan Siti dan status isteri tidak menggugat populariti pasangan kepada ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini sampai sekarang.

Bagi Siti yang anggun dengan busana dari pereka terkenal, Iszal Ismail dan Rizman Ruzaini pada malam itu, dia mampu mempertahankan trofi itu sekian lama kerana kepercayaan peminat.

“Kejayaan ini kerana kerja keras peminat setia yang tidak pernah berbelah bagi menyokong kerjaya seni dari belakang. Sekalipun format pengundian ABPBH sudah berubah tahun ini, nampaknya peminat terutama ahli kelab peminat, CT Zone tetap setia mengundi saban tahun.

“Sebagai penyanyi, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk membaiki aspek persembahan dari semasa ke semasa untuk kepuasan diri dan peminat. Pada masa sama, saya pastikan peningkatan dari segi kualiti album yang dihasilkan saban tahun.

“Contohnya, bingkisan album terbaru, Lentera Timur mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat sejak menjengah pasaran dan fokus saya untuk mempromosikan album ini dengan lebih giat lagi dengan teknologi terkini sedia ada menerusi syarikat sendiri,” katanya.

Siti juga sebak ketika menerima anugerah pada malam itu mengenangkan arwah bapanya, Tarudin Ismail yang meninggal dunia pada usia 67 tahun pada 15 Februari lalu.

Mengenai kejayaan Nabil yang mengungguli trofi Bintang Paling Popular ABPBH08, Siti berkata, Nabil berhak mendapat anugerah itu kerana kerja kerasnya sejak setahun lalu.

“Nabil banyak berlakon filem dan banyak buat program sejak tahun lalu. Saya juga menonton program lawak yang dikendalikannya dan menyukai lawak jenakanya,” katanya.

Pada malam anugerah itu menyaksikan kejutan bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular kerana menyaksikan kemenangan berpihak pada pelakon Que Haidar apabila menewaskan sifunya dalam bidang lakonan, Rosyam Nor yang mengungguli gelaran itu selama tujuh kali sejak 1997. Mungkin tuah pengantin baru dan bakal bergelar ayah.

Bagi kategori Artis Komedi Wanita Popular, pelakon Norkhiriah berjaya mengambil alih trofi yang dipertahankan pelakon Sheila Rusly sejak 2003, tetapi tahun ini Sheila tidak masuk dalam senarai Top 5 sebaliknya menyaksikan saingan dengan Amyza Adnan, Sheila Mambo, Ruminah Sidek dan Kencaha Dewi.

Bagaimanapun, Norkhiriah yang memikat peminat melalui siri Pepaya, tidak hadir untuk menerima trofi dimenangi begitu juga Dynas yang menang Pelakon TV Wanita Popular untuk dua tahun berturut-turut.

Kategori lain tidak banyak berubah iaitu Mawi mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular buat kali keempat sejak 2005, Rosyam (Pelakon TV Lelaki Popular) sejak 2004, Aznil Nawawi (Pengacara TV Lelaki Popular) buat kali keenam sejak 2003 dan Fara Fauzana (Penyampai Radio Wanita Popular), (Pengacara TV Wanita Popular) dan Rabbani (Penyanyi Nasyid Popular) tujuh kali sejak 2001.

Kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula menyaksikan kemenangan berpihak kepada Maya Karin yang pernah memenanginya pada 2005 manakala Faizal Ismail dua kali berturut-turut menang Penyampai Radio Lelaki Popular. Kategori lain, Artis Baru Wanita Popular (Stacy) dan Penyanyi Duo/Berkumpulan Popular (Meet Uncle Hussain).

Penyanyi Jamal Abdilah menerima anugerah khas, Anugerah Sepanjang Hayat kerana kecemerlangannya sebagai penyanyi sejak menjuarai Bintang RTM 1979.

Secara keseluruhannya, majlis dikendalikan dua pengacara popular, Sharifah Shahirah dan Adlin Aman Ramlie dengan tema Sentuhan Tenun itu menghiburkan. Antara yang menarik ialah persembahan Siti dengan lagu dari album Lentera Timur, Di Taman Teman.

Kumpulan Kristal berkolaborasi dengan artis Pop Yeh Yeh, Datuk A Rahman Hassan dengan lagu Tak mengapa, L Ramlie (Ayahku Kahwin Lagi) dan Datuk Jeffrydin (Kenanganku).

Selain itu, persembahan segmen khas untuk Jamal melalui Siti Sarah (Kekasih Awal dan Akhir), Diddy (Azura) dan Ayu OIAM (Perjalananku). Sarah dan Ayu juga berduet dengan Jamal menerusi Sandarkan Pada Kenangan (Sarah) dan Kehebatan Cinta (Ayu). Tidak ketinggalan, persembahan penutup Faizal Tahir dengan lagu Bencinta. Persembahan lain, Diva Anita Sarawak dengan lagu Akhirnya Kini Pasti, Stacy (Gagap), Aizat (Hanya Kau Yang Mampu), Farah Asykin (Hello) dan Hujan (Dugaanku).

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Perang Ida, Adlin?

12 Apr

Oleh IZWAN MOHAMAD

Rap
DALAM kemeriahan Akademi Fantasia ke-7 (AF7) yang masuk minggu kelima, pasti ada pahit manis yang menjadi rencah dalam program realiti popular ini.

Terbaru, isu tenaga pengajar yang dikatakan mula ‘mengkritik’ pengkritik tetap dan jemputan sewaktu konsert mingguan keempat baru-baru ini menimbulkan kemarahan ramai, termasuk peminat dan warga industri hiburan.

Apa tidaknya, buat julung kalinya pihak produksi membenarkan tenaga pengajar ‘menjawab’ secara langsung sehingga menimbulkan cakap-cakap yang tenaga pengajar tidak menghormati majlis.

Perkara itu turut menyebabkan pengkritik tetap, Adlin Aman Ramlie, kurang senang dengan kejadian itu yang dirasakannya tidak perlu, mewujudkan spekulasi mengatakan Adlin yang juga pengarah dan pelakon mula berperang dengan tenaga pengajar.

Namun pendapat itu disangkal Guru Seni Persembahan AF7, pelakon Ida Nerina yang berasakan itu jalan terbaik bagi tenaga pengajar memberitahu penonton mengenai perkara sebenar bagi mengelak kekeliruan.

“Kami bukan tidak bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan kepada pelajar, sebaliknya kami ingin memberitahu penonton keadaan pelajar yang masih mentah dan tidak adil jika kita hendak lihat perubahan itu dengan sekelip mata,” kata Ida.

Tambahnya, pihak fakulti juga bersetuju dengan pendapat pengkritik, khususnya Adlin yang sentiasa memberi kritikan bernas terhadap persembahan pelajar setiap minggu.

“Kalau anda perasan, kami sering mengangguk apabila mendengar kritikan Adlin. Walaupun banyak mengkritik ‘bahagian’ saya, saya tahu dia juga mempunyai matlamat sama dengan kami iaitu mempertingkatkan persembahan pelajar.

“Pengkritik ada hak untuk mengkritik, kami pula ingin melahirkan bintang yang mampu mewarnai dunia seni tempatan, jadi soal perang antara kami tidak timbul,” katanya.

Tambahnya, dia memahami kehendak Adlin sebagai pengkritik yang mahu melihat pelajar turut menunjukkan transformasi seiring misi AF7 yang inginkan perubahan dari semasa ke semasa, khususnya daripada segi persembahan yang memerlukan kemahiran lakonan dan penghayatan dalam nyanyian.

 

 

Kritikan bukan pematah semangat bagi tenaga pengajar untuk terus bekerja keras memahirkan pelajar dengan teknik persembahan, malah peningkatan ditunjukkan pelajar setiap minggu bagaikan kayu bakar semangat perjuangan mereka.

“Kita kena faham, kebanyakan pelajar AF7 masih mentah dan kami perlu menyesuaikan diri mereka dengan keadaan sekitar dan tugasan diberi supaya mereka tidak terkejut lalu gagal membuat yang terbaik.

“Fakulti berganding tenaga menggabungkan kepakaran dalam setiap aspek supaya tiada kekurangan dalam persembahan pelajar. Alhamdulillah, walaupun ramai tidak nampak peningkatan mereka, kami nampak,” katanya.

Bercakap mengenai pemilihan pelajar cemerlang yang selalu bercanggah dengan pilihan pengkritik dan peminat, Ida menegaskan, anugerah itu berdasarkan matlamat setiap pelajar yang berjaya dicapai setiap minggu.

Ini bermakna pemilihan itu bukan sekadar melihat kecemerlangan pelajar membuat persembahan pada malam konsert semata-mata, sebaliknya mengambil kira transformasi yang dilakukan pelajar itu sendiri.

“Anugerah pelajar cemerlang sebenarnya diberi kepada pelajar yang mampu menyelesaikan masalah dan berjaya membuang tabiat buruk yang sebati dalam persembahan mereka sehingga perubahan itu dapat dilihat semua.

“Sebagai contoh, kita melihat Aril yang lincah di pentas berjaya mengurangkan pergerakannya untuk lagu berentak perlahan, sedangkan kita tidak percaya dia mampu melakukannya kerana sepanjang mengenalinya, dia sukar duduk diam.

“Begitu juga pemilihan Akim baru-baru ini yang menyaksikan dia berjaya melakukan persembahan dengan baik, walaupun menghadapi kesukaran dengan pergerakannya,” katanya.

Ida turut menambah, walaupun ada yang mempertikaikan mengapa pelajar dari Kuching, Mohd Hafiz Mohd Suip yang menunjukkan persembahan konsisten tidak diberi anugerah sama, ini tidak bermakna fakulti tidak adil kerana tidak timbul soal pilih kasih.

Adlin yang ditanya mengenai perkara itu turut menafikan kejadian itu sebagai satu peperangan antara pengkritik dan tenaga pengajar, sebaliknya menganggap kritikannya tidak bersifat peribadi atau berkaitan dengan sesiapa dalam fakulti.

“Saya sekadar melontarkan buah fikiran mengenai apa yang saya nampak di atas pentas, tetapi orang nampak saya banyak menyentuh soal penghayatan dan lakonan dalam nyanyian kerana pengkritik lain selalunya lebih banyak menyentuh vokal dan nyanyian.

“Saya juga selalu menyentuh mengenai hala tuju persembahan, kreativiti dalam pergerakan dan koreografi, bermakna saya memberi kritikan secara menyeluruh dan tidak timbul soal saya cuba mensasarkan mana-mana individu,” katanya.

Adlin turut menyatakan rasa bangga kerana melihat bakat baru yang berpotensi di AF7 mampu menjadi pelapis kepada penghibur tempatan yang semakin pupus.

Malah dia turut teruja dengan perubahan pelajar setiap minggu walaupun ada antara mereka menunjukkan peningkatan perlahan.

“Kalau saya jadi tenaga pengajar, tentu saya akan menyentuh kelemahan pelajar secara menyeluruh tanpa melihat satu elemen saja, namun saya tidak tahu berapa lama setiap pelajar di AF7 berlatih dan membuat persiapan kerana saya tidak ada di ruang itu,” kata Adlin.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Anita, Stacy Gegarkan ABPBH2008!

11 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Gabungan baru dan lama menghangatkan persembahan di malam kemuncak anugerah ke-22 ini

KELINCAHAN penghibur berusia 57 tahun, Anita Sarawak di pentas sentiasa memukau. Tenaga serta aura luar biasa yang dimiliki penyanyi hebat ini sentiasa menyalur kehangatan yang sukar diungkapkan dengan perkataan.

Biar bersilih ganti penyanyi datang dan pergi, Anita kekal di hati pencinta bakatnya dan berdiri selesa dalam liga yang tersendiri.

Tidak tercabar, tiada tandingan membuatkan nama yang begitu sinonim dengan lagu rancak seperti Tragedi Buah Epal dan Akhirnya Kini Pasti selain sentuhan balada antaranya Cintamu Muzik Di Hatiku dan Asmara terus mekar dalam sanubari pencinta seni.

Kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Arena Of Stars, Genting Highlands, malam esok sekali lagi menyenaraikan nama Anita sebagai antara penghibur yang bakal menghangatkan siaran dipancarkan secara langsung menerusi TV3 itu.

Menyuntik kelainan selain meraikan kehebatan aksi dua bintang berbeza era, Anita yang membuka tirai persembahan dengan Akhirnya Kini Pasti akan ditemani Stacy yang membawakan lagu terbarunya, Gagap.

Bertarung kreativiti dan kekuatan koreografi, kedua-dua penyanyi hebat ini akan menghangatkan pentas dengan gerak tari memukau digarap istimewa untuk kemuncak ABPBH 2008.

Seperti kata Stacy, mengadakan persembahan pada kemuncak acara hiburan berprestij seperti ABPBH 2008 sememangnya menjadi impian terutama untuk penyanyi yang sedang bertapak sepertinya.

“Latihan dibuat sekitar dua minggu kerana saya mementingkan kesempurnaan setiap kali menaiki pentas. Biarpun sudah biasa membawakan lagu Gagap, latihan tetap dipergiatkan kerana saya perlu mencari kelainan untuk acara berprestij seperti ABPBH 2008,” katanya.

Selaras dengan objektif penganjuran ABPBH 2008 yang mengiktiraf penggiat seni pelbagai cabang hiburan, peranan peminat yang selama ini menjadi tunggak pemacu industri juga tidak dipinggirkan.

Justeru persembahan yang dirangka memenuhi kehendak serta kepelbagaian cita rasa kelompok pencinta seni berbeza usia dan kegemaran.

Aspek utama yang ditekankan pada ABPBH 2008 adalah sajian lagu menghiburkan, mencakupi kepelbagaian genre yang membentuk acuan kepada industri hiburan.

Keistimewaan lain yang dijangka memberi warna pada malam kemuncak ABPBH 2008 ialah gabungan kumpulan rock generasi baru, Kristal bersama tiga penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan, L Ramlie dan Jefrydin.

Gandingan mereka dijangka meledakkan lagi kehangatan ABPBH 2008 apabila bersatu membawakan medley popular seperti Ayahku Kahwin Lagi, Kenanganku dan Tak Mengapa.

“Elemen menarik ini mampu memberi warna kepada perjalanan ABPBH 2008, malah dijangka membangkitkan kejutan kerana jarang gandingan seperti ini dibawa dalam acara hiburan yang menerima liputan meluas”, kata Pengerusi Pengelola ABPBH 2008 yang juga Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah.

Jamal, Siti, Faizal Tahir merancakkan suasana ABPBH2008

Membariskan nama terbaik, popular serta terkini, acara gemilang itu turut mengiktiraf kehebatan bakat muda seperti Aizat, Farah Asyikin, Faizal Tahir dan Hujan apabila diberi ruang mempamerkan kelebihan mereka di pentas ABPBH 2008.

Setiap mereka akan mempersembahkan lagu popular dan lebih istimewa, buat pertama kali Faizal memperdengarkan secara eksklusif single terbaru yang sedang hangat mendapat putaran radio, Bencinta.

Edisi terbaru ABPBH kata Hanizam, memberi penghormatan kepada pelapis industri kerana mereka ialah penerus legasi yang dicetuskan oleh penggiat seni terdahulu.

“Tiada yang lama maka tiada yang baru. Dalam gemerlapan kerdipan bintang yang diraikan, ABPBH 2008 tidak sesekali meminggirkan mereka yang berjasa serta memberi sumbangan kepada pembangunan industri.

“Peranan mereka sentiasa dikenang ABPBH dan kerana itu slot persembahan dirangka untuk memberi kepuasan kepada semua,” katanya.

ABPBH 2008 juga bakal menyaksikan persembahan istimewa daripada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mempersembahkan lagu terbaru dipetik daripada produksi Lantera Timur, Di Taman Teman.

Satu segmen khas juga disediakan menyaksikan gandingan penyanyi seperti Jamal Abdillah, Sarah Raissuddin, Ayu (OIAM) dan Diddy yang mempersembahkan medley lagu popular sepanjang zaman.

ABPBH 2008 bakal digamatkan dengan gabungan dua pengacara kreatif, Adlin Aman Ramlie dan Sharifah Shahira yang diberi tanggungjawab berat untuk menerajui program selama dua jam setengah itu.

Ia diserikan dengan kehadiran nama seperti Rozita Che Wan, Ayu Raudhah, Lisdawati, Fauzi Nawawi, Mawi & Ekin, Lisa Surihani, Farid Kamil, Fizo Omar, AG, Kieran, Zizie Ezette, Nora Danish, Que Haidar & Linda Jasmine, Maya Karin, Eizlan Yusof, Amy Mastura, Norish Karman dan Umie Aida sebagai penyampai trofi.

Berita Harian

Adlin Mengikut Gaya Sendiri

11 Apr

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

Adlin

Menanti tugasan sebagai pengacara ABPBH2008 dengan penuh debaran

LAGAK selambanya ketika mengacarakan Anugerah Skrin (ASK 2008) November lalu bersama-sama Nurul Syuhada, membuka laluan baru kepada Adlin Aman Ramlie membina nama sebagai hos anugerah.

ukan calang-calang pengacara yang memperoleh peluang berdiri di pentas berprestij yang disaksikan jutaan penonton. Tugas yang digalas menjadi hos anugerah mungkin kelihatan mudah tetapi kemampuan pengacara untuk membuatkan penonton terus melekat di kaca televisyen itulah yang akan menguji kredibiliti seseorang pengacara.

Adlin sudah pun membuktikan kredibilitinya pada ASK 2008 yang lalu, dan kini sekali lagi kemampuannya bakal diuji apabila dia dipertanggungjawab mengendalikan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Ahad ini.

Ramai yang percaya Adlin mampu menggalas tugas yang pernah dipegang Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Raja Azura sejak beberapa tahun lalu, namun anak kepada pelakon veteran Ruminah Sidek dan Allahyarham AR Tompel tetap menyimpan debaran apatah lagi bakal bekerja buat pertama kalinya dengan Sharifah Shahira.

“Setakat ini saya masih belum mengetahui lagi keserasian dengan Sharifah Shahira kerana kami belum pernah berkerja sama. Apa yang akan cuba saya lakukan adalah untuk bertenang dan cuba sedaya upaya menjadi fleksible supaya perjalanan pada malam itu nanti menjadi lancar.

“Saya juga akan berusaha untuk menjadikan kombinasi antara saya dan Shahira nampak menarik pada malam itu nanti. Bagi saya tugas ini cukup menyeronokkan kerana saya dapat bergelumang dalam satu bidang yang baru.

Memang tidak dinafikan ASK 2008 membuka ruang untuk saya melangkah setapak lagi dalam kerjaya seni, mungkin penganjur dan peminat mahu melihat sesuatu yang baru,” katanya.

Menurutnya, mereka mungkin ingin melihat lenggok pengacara lain dan mahu memberi ruang kepada lebih ramai pengacara baru seperti dirinya untuk diketengahkan lagi.

“Saya yakin penonton ABPBH sebelum ini sudah serasi dengan corak pengacara terdahulu. Saya tidak dapat menidakkan kehebatan pengacara terdahulu, namun saya akan berusaha untuk memastikan tanggungjawab sebagai hos ABPBH yang pertama kali saya galas itu dapat dilunaskan dengan baik,” kata Adlin yang bakal menggayakan sut sentuhan pereka fesyen, Michael Shu.

Kerjaya Adlin sebagai pengacara bukanlah baru tetapi dia pernah mengacarakan program Jangan Tidur di TV3. Rancangan yang ke udara pada sebelah malam itu dijangka bakal menemui penonton dengan musim terbaru tidak lama lagi.

Walaupun profesyen pengacara sudah lama tersenarai dalam profilnya, namun Adlin tetap merasakan perbezaan antara mengendalikan program rakaman dan anugerah dan beranggapan pembabitannya masih lagi baru serta masih perlu banyak belajar untuk memantapkan lagi gaya persembahannya.

Pengacara itu bagaimanapun berjanji akan menjalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya dengan menjadi dirinya sendiri tanpa perlu meniru gaya mana-mana pengacara sebelum ini.

Berita Harian

Dengarnya…: Nana Dan Brian Nikah Jun Ini?

7 Apr


NANA ceria di sisi Brian.

SELEPAS Sariyanti dan Yatt ke jenjang pelamin, Cik Normah sedang menunggu kad undangan kahwin daripada Diana Rafar yang khabarnya bakal bernikah Zamarul Hisham.

Diana dan Zamarul, kalau tak silap Cik Normah memilih bulan Mei ini untuk diijab kabul. Pada bulan yang sama juga, Emelda Rosmila dan Adlin Aman Ramlie akan melangsungkan pernikahan. Maknanya susah juga Cik Normah nak jaga badan. Asyik makan nasi minyak saja.

Pada masa sama, nampaknya kenalah Cik Normah tempah banyak pakaian selepas majlis kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 ini. Itu pun kalau Cik Normah ada di Malaysia, maklumlah sudah lama tak bercuti dan menghilangkan tekanan bekerja, Cik Normah merancang untuk bercuti sekitar pertengahan April atau Mei ini.

Dalam pada itu, penyampai radio Era yang juga calon finalis Penyampai Radio Wanita Popular ABPBH 2008, Nana juga memilih rakan sekerja satu bumbung di Astro, Brian atau nama Islamnya Muhammad Raqeem Brian sebagai teman hidup. Brian, jejaka kelahiran Sarawak itu memeluk agama Islam sejak Januari lalu dan bertugas sebagai Pengurus Program radio Hitz FM.

Nana dan Brian khabarnya sepakat memilih bulan Jun ini sebagai hari bahagia mereka. Cik Normah diberitahu sepatutnya perkahwinan untuk dipercepatkan, namun atas beberapa masalah tertentu ia mungkin dibawa ke pertengahan Jun ini.

Bagaimanapun, pemilihan tarikh itu masih dalam peringkat perancangan. Cik Normah dan rakan setugas di meja Hip mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berbahagia kepada mereka semua.

Berita Harian

Dengarnya…: Emelda Jadi Duta Produk Kecantikan

6 Apr

REZEKI orang nak kahwin memang sentiasa ada. Itulah cerita yang sampai ke pengetahuan Cik Normah mengenai tunangan pengkritik program realiti dan hos Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008, Adlin Aman Ramlie. Baru saja mengikat tali pertunangan, Emelda Rosmila yang juga adik kepada Emelda Rosnaida sudah dilamar menjadi duta sebuah produk kecantikan.

Bertuah badan sungguh Emelda, alih-alih dapat jadi duta produk. Cik Normah tumpang gembira dan insya-Allah kalau ada kelapangan akan diluangkan masa menghadiri majlis pernikahannya dengan Adlin sekitar Mei ini. Cik Normah lihat Emelda dan Adlin pun makin berseri-seri sebab bakal bergelar raja sehari.

Pada Mei ini bernafas sikitlah Cik Normah sebab bulan ini memang Cik Normah tak menang tangan sebab sibuk dengan ABPBH 2008. Paling penting Cik Normah pun pasang badan sebab nak melaram sakan baju rekaan seorang pereka fesyen menjelang kemuncak ABPBH 2008 12 April nanti di Genting Highlands. Nantikan kemunculan Cik Normah dengan gaya berbeza seperti kebiasaan.

Nampaknya selepas pelakon Sariyanti dan Yatt melangsungkan perkahwinan, Emelda pula bakal mengikut jejak mereka. Tak dilupakan pelakon Diana Rafar dan Zamarul Hisham pun memilih Mei juga untuk menamatkan zaman bujang. Cik Normah ucapkan tahniah kepada mereka yang nak menamatkan zaman bujang. Siapa pula lepas ini, Cik Normah tunggu saja.

Berita Harian

Rini Rancang Terbitkan Album

4 Apr

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


RINI tersingkir, tetapi masih ada hati untuk menerbitkan album rakaman bersama kembarnya, Rina yang sekian lama tertangguh.


GAYA yang bersahaja dan persembahan yang rancak tidak mampu menyelamatkan Obri.

PRESTASI pelajar program realiti Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) dilihat sudah menunjukkan peningkatan. Walaupun masih ada bahagian yang kurang tetapi persembahan mereka berbeza dengan membawa tema retro lagu 1980-an pada konsert minggu ketiga Jumaat lalu.

Meskipun begitu, sudah namanya pun program realiti TV penyingkiran tetap ada dan apa yang mengejutkan pada konsert minggu lalu yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil menyaksikan dua pelajar tersingkir sekali gus.

Dua pelajar yang dimaksudkan ialah Zuzafrini Zulkifli (Rini) dan Ahmad Sobri Hasmuni (Obri). Meskipun memberi persembahan yang menghiburkan tetapi undian penonton tidak memihak kepada mereka.

Rini yang menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja, nyanyian asal Allahyarham Seha Freedom dilihat mempamerkan persembahan dengan cukup tenang, lagaknya seperti penyanyi profesional dan mendapat pujian daripada pengkritik, Datuk Khatijah Ibrahim, Khairil Johari Johar dan Adlin Aman Ramlie.

Bagaimanapun, Rini yang ditemui pada sidang akhbar selepas konsert berakhir memberitahu, dia reda dengan keputusan penonton yang tidak memihak kepadanya.

“Saya telah cuba yang terbaik dan semasa dua konsert sebelum ini pun saya hanya tawakal kerana sering berada di tempat tercorot menyebabkan saya bersedia untuk tersingkir sedikit demi sedikit.

“Sedih juga sebab terpaksa meninggalkan rakan-rakan dalam akademi, kami semua sudah macam adik-beradik, saya hanya doakan yang terbaik buat mereka,” ujarnya dalam nada sedikit beremosi.

Dia yang sebelum ini pernah mencuba untuk mengeluarkan album bersama adik kembarnya Rina mungkin akan memikirkan kembali perancangan yang pernah tertunggak itu.

“Album itu sudah siap dirakam, cuma keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan membuatkan album itu terperap begitu sahaja. Kalau ada peluang dan rezeki usaha itu akan diteruskan tetapi kenalah lihat dulu bagaimana perancangan pihak pengurusan Astro Entertainment Sdn. Bhd (AESB),” ujarnya.

Obri pula yang dilihat mula menunjukkan peningkatan dan perubahan dengan mendendangkan lagu Abang Beca nyanyian asal Broery Marantika juga menerima takdir yang dia kini tidak lagi bersama AF7.

“Belum rezeki saya. Saya akui tiap minggu ada sahaja kritikan tentang nyanyian saya tetapi semua kritikan negatif yang diterima tidak dianggap sebagai penghinaan, malahan sebagai kritikan membina buat saya.

“Dalam konsert AF inilah kali pertama saya menyanyi kerana saya tak pernah masuk pertandingan nyanyian. Tahap keyakinan saya masih kurang tetapi konsert demi konsert saya semakin yakin.

“Walaupun tersingkir, perjuangan saya tidak akan berhenti sampai di sini. Saya akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan pengalaman bersama AF akan saya kenang sampai bila-bila,” luah Obri.

Bercakap mengenai prestasi keseluruhan pelajar akademi pada konsert ketiga, pengetua AF7 Datin Seri Tiara Jacquelina berpuas hati kerana setiap pelajar menunjukkan peningkatan terutama Yazid.


RINI dan Obri terpaksa menerima undian penonton AF7 yang tidak memihak kepada mereka.

YAZID (kiri) antara pelajar yang menampakkan perubahan dalam persembahannya.

Menurutnya, bermula minggu lalu, pihak akademi telah menggunakan teknik pengajaran yang sedikit berbeza daripada kebiasaannya.

“Kali ini kami menggunakan teknik pengajaran seperti di teater iaitu mendahulukan penghayatan kemudian baru, vokal dan tarian. Apabila pelajar dapat memahami mesej yang harus disampaikan, barulah mereka dapat buat persembahan dengan baik.

“Minggu ketiga konsepnya retro dan kebanyakan lagu mempunyai jalan cerita, kerana itu saya fikir teknik itu sesuai dan akan dipraktikkan untuk konsert-konsert seterusnya,” ujarnya yang bangga dengan pencapaian semua pelajar.

Walaupun begitu, pengkritik yang paling digeruni pelajar, Adlin Aman Ramlie dilihat hanya memuji segelintir pelajar terutamanya Hafiz dan Isma yang memberikan persembahan bertenaga, manakala yang lain ada sahaja kekurangan di mata dan telinganya.

“Bukan saya nak kata apa. Memang ada yang sudah bagus tetapi di minggu ketiga ini juga masih ada yang hancur. Saya tidak tahu apa yang mereka belajar.

“Saya harap mereka akan lebih bersedia bukan sahaja daripada segi vokal tetapi juga persembahan dan penghayatan. Kalau ada lagu yang kena menari mereka harus menari sebaik mungkin bukan mengharap penari latar semata-mata,” kata Adlin.

Nampaknya kini hanya tinggal 11 peserta yang akan meneruskan perjuangan dalam AF7. Mereka ialah Claudia, Zizi, Aishah, Rubisa, Isma, Hafiz, Akim, Yazid, Qhaud, Aril dan Sidi.

Kosmo