Archive | October, 2007

Acha Dan Irwansyah Bakal Berpisah

31 Oct

Mereka macam Romeo & Juliet. Sekali pandang, macam Laila & Majnun pun ada. Ibaratnya, mereka ni macam belangkas.

Bagaimanapun, angin Selat Melaka dah mula bertiup kencang mengatakan mereka berdua akan berpisah akhirnya. Hai, betulkah apa yang Murai Batu dengar mengenai pasangan remaja paling serasi ini?

Siapa lagi mereka kalau bukan Acha Septriasa dan kekasihnya, Irwansyah!

Isshh… macam tak percayalah pulak. Jangan pula nanti ada yang bengkak-bengkak mata dengan perpisahan mereka itu. Cukup-cukuplah peminat menangis untuk filem Heart dan Love Is Cinta.

Demi mencari kebenaran, Murai Batu pun terus korek cerita daripada beberapa kawan dari Jakarta yang selalu mengikuti perkembangan Acha dan Irwansyah..

Haa, memang betullah mereka berdua tu hendak berpisah. Ooops, nanti dulu, jangan ambil tisu lagi sebab mereka bukanlah baru putuskan ikatan cinta tetapi berpisah buat sementara….

Oooo, nak ke mana pulak? Dah duduk dekat-dekat, sekarang teringin nak berjauhan pula.

Kata kawan Murai Batu, mereka berpisah demi memburu cita-cita dalam pelajaran. Khabarnya, Acha bercadang untuk melanjutkan pengajiannya, bukan di Australia, England atau Amerika Syarikat, tetapi di….Malaysia!

Buat masa ini Murai Batu tidak pasti pula bila dan kolej atau universiti mana yang Acha akan sertai tetapi yang penting, Murai Batu kagum dengan sikap Acha yang hidup semata-mata kerana mengejar glamor. Nampaknya dia juga pentingkan pengajian walaupun sudah hidup mewah dan terkenal.

Seperkara yang jelas, tentu pakwe-pakwe di Malaysia akan lekas mengintai di mana Acha akan belajar. Irwanshah pula bagaimana? Enggak tahu dong!


MURAI BATU:
Menangis sampai keluar hingus apabila pertama kali tengok Love Is Cinta. Agaknya tengah layan feeling masa tu…


Murai

Ramlah, Suami Tak Ada Masa Bersama?

31 Oct

Selepas berumah tangga, penyanyi yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramlah Ram agak senyap dan tidak pernah bercerita tentang mahligainya. Jom dengar pengakuan Ramlah.


Murai

Tengku Teh Hantar SMS Mengadu Kena Belasah

31 Oct

SHAH ALAM 30 Okt. – Allahyarham Tengku Teh Susilawati Tengku Akhirat yang mayatnya dijumpai di dalam kotak televisyen jenama LG 29 inci kira-kira dua tahun lalu, telah menghantar beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya untuk mengadu yang dia telah dibelasah oleh seorang anggota polis apabila mengetahui dia mempunyai teman lelaki lain.

Tengku Teh Suhira Tengku Akhirat, 24, pekerja Tol Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini hari ini, telah diminta untuk membacakan isi kandungan lima sms (masih lagi disimpan) yang dihantar oleh adiknya atau panggilan manja, Wati Mok (gemuk) ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

SMS yang dihantar pada pukul 8.59 malam, 29 April 2005 tersebut berbunyi: “Aku kawan ngan (dengan) polis da. Dia gado (gaduh) dengan aku. Dia p (pergi) bawak aku kubur. Sekarang aku bukan dekat kubur lagi.”

Suhira kemudiannya membacakan SMS pada pukul 11.08 malam, 1 Mei 2005: “Aku kena belasah. Dia hendak bunuh aku. Pasal dia dengki apabila tahu aku ada kawan lelaki. Phone Book kat telefon aku habis dipadamnya. Semalam masa kau kol (telefon) aku, dia tepis phone aku sampai hendak terjatuh. Sekarang dia buat hal dengan aku.”

Seterusnya saksi membacakan pula SMS Allahyarham pada pukul 2.28 pagi, 1 Mei 2005 iaitu: “Menipu amendanya (apa bendanya). Sumpah demi Allah. Hidung, mulut aku berdarah. Orang ini ugut aku. Dia tolak aku sampai terhantuk kepala dekat tanah. Kau call sekarang.”

Suhira membacakan SMS tersebut di hadapan Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin setelah diminta berbuat demikian ketika disoal dalam pemeriksaan utama oleh Ketua Unit Pendakwaan (KUP) Selangor, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Suhaimi Nik Sulaiman. Beliau dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azmeer Mohd. Sardi.

Perbicaraan bersambung esok.

Powered by Utusan Malaysia

Yusry KRU Damai Di Banglo Idaman

30 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MESKIPUN Erra Fazira sudah menamatkan zaman jandanya dengan Engku Emran Engku Zainal pada 25 Oktober lalu, bekas suaminya, Yusry Abd. Halim masih memilih untuk menyendiri.

Yusry yang turut mendapat undangan tetapi tidak dapat hadir pada hari bersejarah Erra dan Emran kerana berada di Pulau Pinang untuk penggambaran filem Cicak-Man 2, berharap pasangan itu akan berbahagia hingga ke anak cucu.

“Saya tidak rasa apa. Biarlah dia kahwin kerana jodohnya sudah sampai. Saya memang ada niat untuk berkahwin tapi bukan dalam waktu terdekat.

“Lagipun saya belum temui teman istimewa. Sekarang ini saya tidak ada masa untuk memikirkan hal lain kerana sibuk dengan kerja,” kata Yusry yang lebih dikenali Yusry KRU ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya baru-baru ini.

Jika Yusry sudah temui calon wanita idaman pasti dia akan membawa bakal isteri menetap bersamanya di banglo mewah tujuh bilik yang tersergam indah di Jalan Semarak itu.

Yusry yang berada di Pulau Pinang bersama 50 krew untuk penggambaran Cicak-Man 2 sejak 26 Oktober lalu berkata, rumah tersebut dibeli hasil daripada wang pendapatan yang dikumpul sejak awal pembabitan dalam bidang seni.

Yusry yang enggan memberitahu kos pengubahsuaian rumah tersebut hanya memberitahu bahawa itu semua adalah duit titik peluhnya selama ini.

“Rumah ini ada tujuh bilik di mana saya jadikan bilik bacaan, bilik TV, bilik tetamu dan di bahagian atas adalah bilik tidur utama. Dalam bilik tidur utama itulah saya tempatkan ruang untuk saya bekerja,” katanya.

Oleh kerana hidup seorang diri, apabila terasa lapar, Yusry akan singgah rumah ibu bapanya di Keramat dan kembali ke ‘istananya’ untuk bekerja atau tidur.

Cicak-Man 2 lebih menarik

Kejayaan Cicak-Man yang merupakan filem pertama arahannya secara tidak langsung menjadi pendorong kepada Yusry untuk membuat sekuel.

Katanya, untuk filem Cicak-Man 2, dia lebih yakin dan mengaku tidak berkira tentang bajet untuk filem tersebut.

“Untuk filem pertama, saya terikat dengan bajet. Tapi untuk Cicak-Man 2, kami akan guna kos yang lebih dan setakat ini saya tidak tahu berapa yang akan dibelanjakan kerana semuanya bergantung kepada keadaan.

“Lagipun filem ini perlu dibuat lebih baik daripada yang pertama. Malah untuk filem ini pun lebih banyak kesan imej janaan komputer (CGI) yang digunakan. Setiap adegan yang bakal dirakam bergantung kepada storyboard yang saya hasilkan,” katanya tentang perjalanan filem Cicak-Man 2.

Filem Cicak-Man 2 yang turut menampilkan pelakon Tamara Bleszynski dari Indonesia sebagai Rrama, kemungkinan menemui penonton pada hujung 2008.

“Selain daripada menampilkan beberapa wajah baru, kami juga membuat perubahan pada pakaian Cicak-Man,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia

Zarina An-Julie Puntianak Jelmaan Baru

30 Oct
SHUHAIMI Baba (depan lima dari kanan) bersama para pelakon drama Anak Pontianak.

BAGI penonton yang menyaksikan drama bersiri baru berjudul Anak Pontianak yang disiarkan di TV3 setiap Khamis pukul 9.30 malam mulai minggu lepas, pastinya ramai ingin mengetahui pembawa watak Mia.

Gadis tinggi lampai yang diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama sebagai puntianak ini sebenarnya baru pertama kali diberi peluang untuk membawakan watak utama.

Tetapi pemilik nama sebenar Zarina An-Julie ini, optimis untuk membawakan watak tersebut biarpun mengetahui ramai akan membandingkannya dengan Maya Karin.

“Saya tahu ramai yang akan membandingkan antara lakonan saya dan Maya. Tapi saya harap mereka faham yang saya sebenarnya masih baru dan masih memerlukan tunjuk ajar daripada yang berpengalaman. Janganlah ada yang mahu membandingkan antara saya dan Maya,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Anak Pontianak baru-baru ini.

Kata gadis yang berusia 21 tahun ini, mungkin bagi sesetengah pendatang baru tidak mahu menerima watak sebegitu. Namun kata Zarina, beliau menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran dan peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.

Mengakui amat sukar pertama kali membawakan watak tersebut namun berkat nasihat dan tunjuk ajar pelakon yang berpengalaman sedikit sebanyak membantunya di lokasi.

“Jika kita mahu berjaya sebagai pelakon, kita tidak terima watak yang baik-baik sahaja. Kita tak boleh cerewet, apa yang penting kita perlu berusaha menjayakan apa juga watak yang diberikan. Bagi saya biarpun membawakan watak pontianak, yang merupakan waris Meriam, apa yang pasti, berlakon di bawah produksi Pesona Pictures merupakan langkah terbaik untuk saya mempelajari ilmu lakonan dengan tenaga produksi itu,” katanya.

Menceritakan pengalamannya membawakan watak seram tersebut kata Zarina; “Memang menakutkan semasa kami membuat penggambaran di Aswara. Pelbagai perkara pelik berlaku pada waktu malam. Mula-mula saya tak perasan tapi selang dua tiga hari baru saya menyedari perkara menakutkan itu.”

Selain itu, kata Zarina pernah sekali matanya tidak dapat melihat untuk beberapa ketika. Kejadian itu berlaku kerana cecair yang diletakkan di dalam matanya agar kelihatan seperti mata pontianak hampir memudaratkan matanya.

“Saya cukup takut sebab saya ingatkan mata saya dah buta. Bayangkan masa itu saya tak dapat melihat dan mata saya cukup pedih. Tapi alhamdulillah semuanya kembali seperti sedia kala,” katanya.

Drama bersiri Anak Pontianak merupakan kesinambungan kepada filem sekuel Pontianak Harum Sundal Malam (PHSM).

Penerbitnya Shuhami Baba menjelaskan; “Cerita Anak Pontianak merupakan sambungan kepada PHSM. Penceritaannya lebih kepada proses bagaimana waris Meriam dipilih dan menjadi dewasa. Jika PHSM menyaksikan Meriam mahu membalas dendam atas kematiannya. Tapi dalam Anak Pontianak pula penonton dapat melihat warisnya menggunakan kuasanya untuk kearah kebaikan.”

Tambahnya demi memastikan khalayak yang menonton dapat merasai perjalanan ceritanya buat pertama kalinya Maya Karin tampil berlakon dalam drama bersiri.

“Maya memang ada dalam Anak Pontianak ini sebagai pelakon undangan khas. Dia muncul sebagai Meriam demi untuk mewujudkan jalan ceritanya yang ada kesinambungan. Selain Maya pelakon PHSM yang turut berlakon dalam drama ini ialah Ida Nerina, Nanu Baharudin dan Kavita Sidhu.”

Powered by Utusan Malaysia

Project Runway Malaysia Debaran Tiga Pereka Fesyen

30 Oct

Oleh Norliza Mohamad Zakaria

TIADA apa yang dapat diungkapkan dengan kata-kata oleh finalis Project Runway Malaysia selain debaran menanti keputusan bagi meraih gelaran juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM100,000.

Peringkat akhir pertandingan yang mengiktiraf daya kreativiti pereka fesyen tempatan itu akan disiarkan pada 9 November ini pukul 9.30 malam di 8TV atau saluran 708 Astro.

Program TV realiti yang menampilkan 15 pereka fesyen muda berbakat besar itu mula disiarkan setiap Jumaat pukul 9.30 malam di 8TV sejak Ogos lalu.

Bagaimanapun setelah penyingkiran demi penyingkiran dibuat, hanya tiga peserta yang berjaya ke peringkat akhir. Mereka ialah Hatta Dolmat, 24, Felix Tan, 34, dan Alexandrea Yeo Mei Quin, 21.

Sebanyak RM8,000 diberikan kepada setiap finalis untuk merealisasikan idea kreatif mereka pada 12 rekaan eksklusif dengan tema bebas pilihan masing-masing.

Hatta, berasal dari Melaka dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Rekaan Fesyen dari UiTM ketika ditemui berkata; “Saya sangat teruja dengan rancangan ini kerana ia memberi saingan yang sihat kepada setiap peserta.

“Saya mempertaruhkan 12 rekaan yang bertemakan romantik dengan latar warna merah jambu dan emas untuk peringkat akhir itu nanti.”

walaupun pertama kali menyertai pertandingan, Hatta telah pun menempa nama dalam industri fesyen negara dan pernah menghasilkan rekaan untuk beberapa artis ternama negara termasuklah Erra Fazira, Fasha Sandha dan Ning Baizura.

Sementara itu, bekas penuntut Sekolah Fesyen Antarabangsa La Salle Kuala Lumpur, Felix berkata; “Sehingga kini perasaan saya tidak menentu dan saya sangat berdebar menantikan keputusan juri pada peringkat akhir nanti.

“Sekiranya gagal menempa kejayaan, saya tetap bersyukur kerana pengalaman yang saya peroleh sepanjang penglibatan dalam rancangan ini benar-benar membantu saya untuk terus berusaha lebih kuat.”

Felix yang berasal dari Sabah, mempertaruhkan tema Nutation Of Style pada peringkat akhir nanti.

Finalis termuda iaitu, Alaxendrea, yang berasal dari Kuala Lumpur, merupakan bekas penuntut Raffles Design Institute, Kuala Lumpur.

“Saya tidak sabar menantikan keputusan, bagaimanapun saya harus terima hakikat bahawa antara kami bertiga hanya seorang yang akan dipilih menjadi juara.

“Jika saya tidak berjaya merebut gelaran juara, saya tak akan patah semangat sebaliknya menganggap itu sebagai pembakar semangat untuk saya terus berjaya,” katanya yang mengetengahkan tema Mutilation Of The Flesh pada 12 rekaan akhirnya.

Kesemua 12 rekaan setiap finalis akan diperagakan oleh model-model di hadapan barisan juri yang terdiri daripada mereka yang pakar dalam rekaan fesyen iaitu, Datuk Bernard Chandran selaku ketua juri, Gillian Hung, Bernie Chan dan Asiah Mion. Siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Project Runway Malaysia yang pertama? Mungkinkah Hatta, Felix ataupun Alexandrea? Kita tunggu keputusannya.

Powered by Utusan Malaysia

Awal Ashaari Kesal Dituduh Jadi Gay!

29 Oct

Apabila sudah popular, macam-macam cerita mula timbul, Bukan saja cerita yang sedap didengar, malah cerita dan khabar angin yang menyesakkan dada.

Itulah antara dilema pelakon dan pengacara kacak, Awal Ashaari, 26, yang ketika ini terpaksa menelan tohmahan menuduh melulu kononnya dia seorang gay yang perasan.

Di Barat, mungkin fenomena gay menjadi satu kebanggaan segelintir masyarakat termasuk golongan selebriti tetapi di negara kita, ia masih lagi satu taboo dan sesuatu yang melampau kalau tuduhan sebegitu terkena pada seseorang lelaki.

“Pada awalnya saya memang tersentak dengan tuduhan sebegitu kerana saya juga ada famili dan saudara mara. Saya sendiri tak tahu macam mana cerita sebegini boleh timbul. Mungkin juga kerana orang melihat gaya saya kadang-kadang ke arah lelaki metroseksual. Biasalah, artis lelaki juga kena jaga penampilan diri dan berdandan mengikut kesesuaian tempat.

“Tapi lama kelamaan, saya sudah lali dengan khabar angin seperti itu dan apa juga tanggapan masyarakat. ni kerana hanya saya tahu siapa diri saya yang sebenarnya”, kata Awal kepada murai.com.my.

Pelakon filem Diva dan Impak Maksima itu berkata mujurlah tuduhan liar yang mengatakan dia seorang gay tidak menggugat periuk nasinya selama ini.

Apa yang penting katanya, orang-orang dalam industri hiburan lebih menghargai bakat dan dia amat bersyukur dengan peluang demi peluang yang diterima dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan.

Yang jelas, jejaka bertubuh tinggi ini sering dilihat bersama pengurusnya yang cekap, Azlina Merican. Hubungan mereka tampak cukup mesra dan begitu akrab. Itu juga pernah menimbulkan cakap-cakap belakang.

“Sebagai artis dan pengurus, kami perlu ada persefahaman. Di Malaysia, ramai artis lelaki diuruskan pengurus wanita. Antara yang saya tahu Anuar Zain, Afdlin Shauki dan Sean Ghazi. Yang penting keserasian dan profesionalisme”, katanya.

Di sebalik persoalan gay, ramai juga bertanya, siapakah gadis pilihan hati Awal ketika ini. Tidakkah dia terasa sunyi?

“Sunyi tu kadang-kadang memang sunyi. Malah saya pernah menangis seorang diri kerana tak dapat berkongsi masalah peribadi dengan orang yang rapat.

“Saya bukannya tak minat ada girlfriend Cuma sekarang bukan masanya. Fahamlah, kalau ada girlfriend, tentu dia akan cemburu dan yang jadi mangsa adalah kerjaya kita. Kalau mula kena kongkong, nak ambil gambar dengan artis perempuan pun susah – mesti asyik gaduh!

“Jadi jalan terbaik, rasanya biarlah saya membina kerjaya seni yang stabil dulu dan berfikir soal pasangan hidup kemudian”, ujarnya yang baru dilantik sebagai jurucakap pusat karaoke popular Dot Red (Red Box).

Jauh di sudut hati, Awal berharap, dia akan dapat mendirikan rumah tangga pada usia sekitar 32 tahun. Rupanya dalam diam Awal adalah secret admirer kepada pelakon baru, Baizura Kahar. Selain Baizura, Awal juga menyenangi pemenang Dewi Remaja tahun lalu, Sha yang pernah sama-sama berlakon dengannya. Hmmm……

Enfiniti Productions


Murai

Keey Loi Juara Asyik

29 Oct

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

KEEY-Loi muncul sebagai johan pertandingan Juara Asyik.

HANYA Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja yang membuka ruang untuk golongan Orang Asli mengembangkan bakat mereka dalam bidang seni. Tidak dinafikan golongan minoriti ini juga berkemampuan seperti kaum lain namun mereka tidak diberi peluang.

Kini dengan adanya penganjuran pertandingan Juara Asyik oleh radio ASYIKfm, golongan Orang Asli yang terdiri daripada pelbagai suku kaum itu mampu berkarya seperti orang lain.

Malah pemilihan kumpulan Keey Loi dari suku kaum Semai dan Semelai sebagai johan pertandingan Juara Asyik itu mampu membakar semangat rakan-rakan mereka yang lain.

Pertandingan akhir Juara Asyik telah disiarkan secara langsung menerusi RTM1 pada pukul 8.30 malam kelmarin dari Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Keey Loi yang dianggotai oleh Mohidin Katak (bass), Johan Bah Kap (vokalis), Sharizal Udin (gitar utama) dan Mohd. Amri Udin (drammer) itu bagaikan tidak percaya mereka mampu muncul sebagai juara.

Johan yang mendendangkan lagu Resah, ciptaan Sharizal dan Hakikat Perjuangan (Search) dengan gaya tersendiri berjaya memikat hati lima juri profesional yang diketuai oleh Muhamad Asnawi Mutaal dari RTM.

Lain-lain juri yang mengadili pertandingan tersebut dari segi vokal, kepakaran bermain muzik, persembahan dan penampilan ialah komposer Fauzi Marzuki, Johari Teh, Khoo Fook Sin dan Azhar Mohd. Sharif.

Menurut Johan, kelapan-lapan kumpulan yang layak ke peringkat akhir mempunyai kelebihan tersendiri.

Terkejut

“Memang terkejut kerana kami tidak sangka akan muncul sebagai juara. Ini bukanlah pertandingan pertama kami. Sebelum ini kami pernah menyertai pertandingan Rentak Juara tapi tidak ada rezeki,” katanya mewakili rakan-rakan.

Johan yang meminati gaya persembahan Amy Search itu berharap lebih banyak pertandingan yang membabitkan kaum Orang Asli diadakan di masa akan datang.

Meskipun meminati irama rock, namun Johan berkata kumpulan mereka tidak akan melupakan adat budaya.

“Untuk pertandingan ini kami mengambil pendekatan yang mudah dan memandangkan irama rock mudah diterima jadi lagu yang dicipta pun ke arah itu,” jelasnya.

Dengan kejayaan itu, Keey Loi yang berasal dari Kampung Sungai Sampo, Jempol, Negeri Sembilan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Sementara Sharizal yang memenangi wang tunai RM2,000 menerusi kategori Pencipta Lagu Terbaik berkata, dia mengambil masa selama tiga minggu untuk mencipta lagu Resah.

Bagi kumpulan X-Gerimis yang dianggotai oleh Sharman Sulak (gitar utama), Sujak Suak (gitar kedua), Diza Sukri Idris (bass), Muhamad Shahrul Amri Mohd. Fathi Awal (drammer) dan Mirzamardzan Saney Sambut (vokalis) menduduki tempat kedua juga merupakan satu kejayaan.

Tidak kecewa

Menurut Sharman, mereka tidak kecewa kerana masih banyak lagi yang perlu diperbaiki daripada segi persembahan.

“Kejayaan kami mungkin disebabkan tahap persembahan kami setakat itu sahaja. Kami akan memperbaiki lagi persembahan di masa akan datang,” katanya yang turut mencipta lagu Kau Dan Aku.

Jelasnya, lagu tersebut dicipta dalam masa tiga hari dan itulah lagu pertama yang diciptanya.

Kumpulan dari suku kaum Temuan yang berasal dari Kampung Senibai, Johol, Negeri Sembilan itu sering mengadakan persembahan di rumah orang kahwin.

“Seperti kumpulan muzik lain, kami juga menyimpan impian untuk menghasilkan album. Kami harap ada pihak yang sudi untuk memberi ruang kepada kumpulan muzik Orang Asli untuk terus maju kerana di kalangan kami pun ada yang berbakat,” katanya.

Kumpulan X-Gerimis yang menjadi naib johan menerima wang tunai RM8,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara kumpulan D’Yal yang mempertaruhkan lagu Bunga dan Tak Mungkin tampil menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000.

Kumpulan yang berasal dari Pos Iskandar, Bera, Pahang itu dianggotai oleh Arman Ali (vokalis), Harun Samat (bass), Zanira Ali (gitar utama) dan Norsahrol Ali (drammer).

Menurut Arman, inilah pertama kali mereka menyertai pertandingan. Biarpun tanpa alat muzik, namun mereka masih mampu menarik perhatian juri.

“Kesemua anggota D’Yal tidak ada alat muzik. Kami tidak mampu memilik alat muzik kerana kami semua bekerja kampung. Kalau berlatih pun kami hanya menyewa sahaja. Apa pun kami gembira kerana usaha kami selama ini berbaloi,” katanya.

D’Yal yang terdiri daripada suku kaum Semelai itu menerima wang tunai RM5,000.

Lain-lain kumpulan yang turut bertanding pada peringkat akhir Juara Asyik ialah D’Men, A’Boyz, Pearl, Bencaq dan Destinasi BT.

Selain persembahan peserta, penonton turut dihiburkan dengan dendangan daripada kumpulan Itosii, Saleem, Aremeer (Sofaz) dan Zamani.

Powered by Utusan Malaysia

Chords And Notes

29 Oct


Chords and notes


Replay A still from ‘Om Shanti Om’

Upasana Aarti Sangrah

Frankfinn, Rs.45

Here’s yet another compilation of aartis, those traditional devotional songs meant to be sung during the all-important ritual of aarti. Frankfinn Entertainment’s audio CD, ‘Upasana Aarti Sangrah,’ is an album that has eight p
opular devotional songs. The CD starts with an invocation to Lord Ganesha. This track is followed by as many as five songs dedicated to the Mother Goddesses, Gauri, Lakshmi, Santoshi Ma, Ganga and Kali. The last two tracks sing praises of the playful Krishna and the majestic Siva.

The singers, Sadhana Sargam and Vipin Sachdeva, are at their best, their voice modulations and style perfectly suited to devotional rendering. Secondly, at Rs.45, this album is value for money.

OM SHANTI OM

T Series, Rs.160

Clearly, two songs from this movie, ‘Ajab Si’ and ‘Dard-E-Disco’ stand out. While in ‘Ajab Si,’ singer KK’s soft, lilting voice does justice to Vishal’s mushy lyrics and brings out beautifully the emotions of a starry-eyed lover, in ‘Dard-E-Disco,’ singer Sukhwinder Singh keeps on the high of the chartbusting number ‘Chak De’ from yet another Shah Rukh Khan film.

A lovely, peppy score, it can easily lure you to the dance floor.

Music directors Vishal and Shekhar add a remix version of it in the album with help from DJ Aqeel, albeit needlessly.

The title song, ‘Deewangi Deewangi’ should be given some credit for its terrific energy and pulsating rhythm. You might like ‘Main Agar Kahoon’ if you love the voice of Sonu Nigam. ‘Dhoom Tana’ is a typical Bollywood young-blood song.

In ‘Jag Soona Soona Lage,’ Richa Sharma’s rich voice comes to the fore. ‘Dastan-E-Om Shanti Om,’ sung by Shaan, reminds you of the old ’70s number, ‘Ek Haseena Thi’ from the film ‘Karz.’ The rest of the numbers are either remix versions of these scores or medley mixes and as expected, is a play of techno-music. If you like such a play, then they are all yours.


Hindu On Net

Ini Benar-Benar Mengarut

29 Oct

FILEM bukan memaparkan realiti, jauh sekali cerita benar. Sebaliknya filem adalah realiti yang ditafsirkan. Jadi, apa yang dipaparkan dalam filem bukanlah realiti seperti yang kebanyakan orang fahami. Malah filem dokumentari sekalipun bukanlah rakaman sebenar seperti kita menonton newsreel dalam slot berita televisyen.

Maka tidak timbullah persoalan mahu memilemkan kisah benar. Ini kerana sebuah kisah yang benar berlaku tidak boleh difilemkan kerana banyak sebab, salah satu tidak ada ciri-ciri dramatik. Kalau ditokok tambah dengan menyuntik ciri dramatik, ia bukan kisah benar lagi.

Baru-baru ini tersebar desas-desus ada pihak mahu memilemkan tragedi yang menimpa Nurin, kanak-kanak yang mati dibunuh. Kalau benar, ini sekadar strategi untuk mengaut keuntungan. Kisah tragis Nurin bukanlah faktor untuk menjadi sebuah filem atau drama yang baik.

Kisah Nurin dan karya filem adalah dua perkara yang berbeza. Buktinya banyak orang sendu menonton filem Titanic kerana sedih dengan nasib dua watak fiksyen. Filem Titanic bukan kisah benar tetapi bergerak di atas sebuah kisah yang benar berlaku.

Dalam Titanic yang benarnya hanyalah sebuah kapal bernama Titanic telah karam. Tetapi yang lain adalah fiksyen semata-mata. Orang menangis menonton Titanic kerana mereka menonton sebuah fiksyen yang memukau perasaan.

Watak lakonan Leonardo DiCaprio tidak wujud dalam kisah sebenarnya. Tetapi watak itulah yang memerah air mata penonton.

Nah, kalau dalam konteks yang sama, apakah ada pihak yang tergamak menokok tambah kepada kisah tragis Nurin supaya filem ini nanti meruntun air mata penonton? Dari aspek karya filem, tidak ada apa salahnya. Tetapi dari aspek kemanusiaan tentu ada suatu yang tidak kena kalau kisah tragis itu diperlakukan seperti Titanic.

Satu aspek lagi, ketika ini pihak berkuasa belum lagi menyelesaikan kes pembunuhan ini. Pembunuhnya belum ditangkap dan kisah pembunuhan itu tidak ada siapa yang tahu bagaimana ia dilakukan.

Maka, sekali lagi jangan labelkan sebagai kisah benar kalau yang dipaparkan hanya mengikut kepala penulis skrip kemudian tokok tambah si pengarah. Apa yang benarnya? Tetapi kisah Nurin menjadi lain kalau filem dihasilkan selepas semua yang terlibat menerima hukuman dan pihak berkuasa menyelesaikan kes ini. Tetapi sebaiknya tidak usah difilemkan, gunalah cara lain untuk mengambil iktibar daripada tragedi ini.

Sekadar pesanan, kalau berhasrat hendak membuat filem, tidak usahlah bertenggek dengan kisah kontroversi seperti ini. Sebenarnya filem tentang Nurin ini hanya satu khabar angin semata-mata. Tetapi kalau ini benar, kita berdoalah supaya ia bertukar menjadi mimpi karut pembikin filem Malaysia.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Utusan Malaysia