Archive | Erma Fatima RSS feed for this section

Gabung Warisan Dunia

28 Apr

Oleh NOREALYNA MISMAN
metahad@hmetro.com.my

BIARPUN masih bergelar penuntut dan bertaraf amatur, ahli Kelab Teater Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memiliki kejayaan tersendiri yang layak dibanggakan apabila bakat serta kebolehan mereka diiktiraf penggiat seni profesional tanah air.

Ini terbukti apabila ahli kelab itu diberi peluang beraksi dalam pementasan teater ‘Sirah Junjungan’ arahan Erma Fatima di Istana Budaya pada Mac lalu dan mengiringi persembahan kumpulan nasyid Rabbani pada ‘Malam Sinar Maulidur Rasul’ di Stadium Bukit Jalil pada bulan sama.

Presidennya, Zulqarnain Othman, 22, berkata pihaknya sangat teruja dan berbangga apabila Unit Kebudayaan UIAM memberitahu, Erma dan Rabbani menjemput ahli kelab itu menyertai pementasan ‘Sirah Junjungan’ dan ‘Malam Sinar Maulidur Rasul’.

Menurutnya, bukan mudah untuk membuat persembahan di Istana Budaya, dan peluang serta pengalaman yang diberi adalah tapak untuk mereka memulakan langkah di luar UIAM.

 

 

“Ia satu penghormatan besar kepada kami dan peluang beraksi di Istana Budaya di bawah arahan Erma Fatimah memberi pengalaman bermakna kepada kami semua,” katanya.

Zulqarnain berkata, kelab yang ditubuhkan pada 2002 itu ada keistimewaan tersendiri apabila turut dianggotai penuntut UIAM dari luar negara, antaranya Indonesia, Turki, Afrika Selatan dan Arab Saudi.

“Kami tidak menyangka penuntut luar negara berminat untuk terbabit dalam pementasan teater.

“Mereka sangat komited dalam setiap aktiviti yang kami anjur, terutama bengkel teater yang kami adakan dua kali seminggu,” katanya.

Setiausaha kelab, Soffiya Nadira Mohd Saufi, 22, dari Kuala Lumpur berkata, kehadiran penuntut luar negara di dalam kelab itu memberi suntikan idea berbeza kepada perjalanan kelab kerana mampu menggabungkan seni warisan budaya dari seluruh dunia apabila membuat persembahan.

Satu lagi keistimewaan Kelab Teater UIAM yang mungkin tidak dimiliki kelab teater institusi pengajian tinggi (IPT) lain ialah kebolehan mereka membuat persembahan dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Kami pernah mementaskan teater Inggeris yang diadaptasi daripada novel dan puisi William Shakespeare seperti Midsummer Night’s Dream, Dr Faustus dan Christopher Marlowe sempena Minggu Teater Bahasa Inggeris di kampus kami.

“Inilah kelebihan kami, malah tidak keterlaluan jika dikatakan kami mahu kemampuan kami membuat persembahan dalam bahasa Melayu dan Inggeris menjadi identiti unik kelab kami,” kata Ketua Bahagian Pementasan Inggeris, Zarith Sofia Zulkifli, 22.

Menurut penuntut tahun tiga jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris ini, selain mengadaptasi karya sasterawan terkenal, mereka mempersembahkan teater hasil karya sendiri dengan menonjolkan suasana kemelayuan tetapi disampaikan dalam bahasa Inggeris, contohnya dalam teater ‘It Takes Two to Go’.

“Kami mengetengahkan aspek dwibahasa dalam persembahan kerana ia penting untuk kami membina keyakinan untuk bertutur dalam kedua-dua bahasa,” katanya.

Pada masa sama, kata Pengurus Kewangan kelab, Muhd Firdaus Omar, 22, mereka ingin membuktikan teater juga satu medium berkesan untuk memberi kesedaran pada orang awam.

“Buktinya, kami berjaya membuat penonton menitiskan air mata ketika pementasan ‘When the Earth Cries Blood’ di Universiti Multimedia, Melaka, pada Mac lalu yang bertemakan penderitaan penduduk Palestin,” katanya.

Firdaus menambah, dengan menyertai kelab teater, ahli bukan saja berpeluang mendalami bidang lakonan, malah mempelajari ilmu lain yang berkaitan seperti pengarahan, penulisan skrip, penyediaan kostum dan promosi.

Misi terbaru mereka ialah menunjukkan pada dunia luar yang UIAM mampu melahirkan generasi baru dalam dunia teater.

“Yang penting dalam setiap persembahan ialah mesejnya sampai dan penonton mengingati cerita kami,” kata Firdaus.

INFO

NAMA KELAB: Kelab Teater UIAM

PRESIDEN: Zulqarnain Othman, (Tahun 3 Jurusan Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris)

JUMLAH AHLI: 251 orang

PENCAPAIAN: Kumpulan Harapan Festival Teater Selangor 2002; Kumpulan Harapan Festival Teater Selangor 2004; persembahan teater di Lambang Sari, Istana Budaya pada 2008; terbabit dalam teater Sirah Junjungan di Istana Budaya Mac 2009; mengiringi persembahan kumpulan Rabbani pada Malam Sinar Maulidur Rasul di Melaka pada Mac 2009

Harian Metro

Rosyam Terbitkan Pilih Kasih

7 Apr

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

ROSYAM bersama pengacara Pilih Kasih iaitu Reza Mohamed, Raja Azura serta hos Jurnal Harian, Pasha.

Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonan

PENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih.

Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.

Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih.

Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu.

“Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.


TENAGA kerja berpengalaman menjadi nadi yang memperkasakan Pilih Kasih.

“Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan,” katanya.

Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak.

Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas.

“Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti,” katanya.

Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah.

Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana.

“Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini,” katanya.

Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa.

Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini.

“Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini.

“Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak,” katanya.

Cara penyingkiran berbeza

BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza.

Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan.

“Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat.

“Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih,” katanya.

Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka.

Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang.

“RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan,” katanya.

Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam.

Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu.

Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit

Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka.

Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.

Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim.

INFO: Uji bakat

DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam. AEON Bukit Indah, Johor Bahru – 11 April Kompleks Terminal One, Seremban – 12 April KB Mall, Kota Bharu – 18 April Berjaya Megamall, Kuantan – 19 April One Borneo, Kota Kinabalu – 26 dan 26 April Queensbay Mall, Pulau Pinang – 2 Mei Plaza Alam Sentral, Shah Alam – 3 Mei The Spring, Kuching – 9 dan 10 Mei

Berita Harian

Soseh Soseh: Berpeluk, Cium Tak Hirau Sekeliling

1 Apr

Rap
SS hanya tumpang dengar cerita teman SS yang berpeluang menyaksikan showcase Anggun Cipta Sasmi di Hotel Istana, Jumaat lalu. Difahamkan, kehadiran Anggun yang kini melakar nama di Eropah, turut menarik perhatian artis popular tempatan.

Antaranya, Nora Danish, Umie Aida, Erma Fatima dan adiknya, Betty, Zizie Ezette, Shila, Linda Onn, Faradhiya, Datin Ilyka dan Norish Karman yang datang bersama teman. Tidak pasti pula SS siapa gerangan lelaki bersama pelakon utama Spa Q itu apakah orang yang selama ini digosipkan dengannya iaitu abang Faradhiya.

SS juga difahamkan, ada rakan SS yang sanggup meminta kebenaran daripada majikan untuk bekerja separuh masa untuk membuat persediaan. Maklumlah, takkan ke parti glamor dengan pakaian kerja, sekurang-kurangnya dia mahu bersiap rapi.

Nak dijadikan cerita, teman SS itu ditempatkan tidak jauh dengan artis popular bergelar ‘J’. Tapi kata teman SS, artis J yang dimaksudkan bukan pelakon berwajah comel Nora Danish tapi artis wanita lain yang tidak kurang popularnya.

SS difahamkan, dia datang bersama teman lelaki tampan. Cerita teman SS, gelagat mereka berdua tersangatlah intim hingga orang ramai hilang fokus dengan persembahan Anggun.

Katanya, mana tidak hilang fokus, aksi di depan matanya lebih membuat dirinya teruja hingga dia yang berada di belakang tidak lepaskan peluang mencuci mata.

SS tidak tahulah mungkin suara gemersik Anggun tidak cukup menarik buat mereka berbanding peluang berdua-duaan dalam suasana sesak orang ramai mahu berhibur dengan alunan lagu-lagu baru Anggun dari album Evelution.

Keintiman itu melebihi batas dari peluk manja kepada aksi lebih berani berciuman bertubi-tubi tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling. Mula-mula teman SS memuji pasangan ini romantik kerana pelukan dan pegangan erat tangan mereka. Tapi kalau sudah berlebihan, sampai naik benci pula teman SS melihatnya.

Teman itu minta SS nasihatkan pelakon ini supaya menjaga adab orang Melayu di khalayak ramai apabila hadir bersama teman. Maklumlah, dia artis dan mudah dikenali, jagalah adap sopan.

Kalau sudah saling mencintai, segeralah kahwin untuk elak dosa dan tunjukkan perasaan cinta yang bergelora itu dengan ikatan yang sah melalui perkahwinan.

 

 

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “ENTERTAINMENT”;
innity_zone = “154”;
innity_width = “250”;
innity_height = “220”;

Harian Metro

Mahsuri Milik Vee

26 Mar


VEE bakal menjelma sebagai Mahsuri bermula 24 April depan.


FAUZIAH NAWI

Sudah berbulan lamanya Fauziah Nawi mencari calon untuk memegang watak Mahsuri bagi teater terbaru arahannya yang bakal dipersembahkan Istana Budaya (IB). Dalam proses pencarian itu, dia sebenarnya sudah mempunyai calon tersendiri.

Padanya, dia hanya dapat membayangkan Vanidah Imran (Vee) sebagai Mahsuri dan tuah berpihak kepadanya apabila Vee bersetuju apabila menerima tawaran itu.

Bukan senang bagi seorang aktres untuk meninggalkan kerja lain dan hanya bertumpu pada pementasan teater yang akan mengambil masa persediaan yang lama. Namun, Vee tidak kisah mengorbankan masa hanya untuk bekerjasama dengan Fauziah dan menerima cabaran sebagai Mahsuri.

Walaupun dia pada masa ini sedang sibuk dengan teater muzikal Islamik arahan Erma Fatima, Sirah Junjungan musim kedua sehingga 22 Mac lalu, Vee sebenarnya sudah lama tidak berlakon teater sebagai peneraju utama. Kali terakhir adalah menerusi teater Wangi Jadi Saksi (2006).

“Memang diakui berlakon drama atau filem akan mendapat bayaran lebih tinggi. Tetapi saya bersetuju untuk berlakon dalam teater ini kerana kepuasan diri. Memegang watak Mahsuri dan berganding dengan Fauziah bukannya peluang yang biasa diperoleh.

“Lagipun sudah lama saya tidak memegang watak utama dalam teater. Pentas teater sebenarnya adalah tempat yang membolehkan saya belajar semula dan memperbaiki lakonan saya,” kata Vee ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan barisan utama pelakon Mahsuri.

Sungguhpun Vee merupakan pilihan utama pengarah, dia juga diperlukan untuk menghadiri sesi uji bakat bersama calon lain. Tidak mendapat pas mudah, Vee sendiri tidak kisah untuk menghadiri uji bakat kerana melalui proses sama untuk muzikal P. Ramlee dan Puteri Gunung Ledang (PGL).

Sejujurnya Vee mengakui dia tidak begitu mengetahui kisah mengenai Mahsuri. Seperti kebanyakan orang lain, dia hanya mengetahui cerita asas tetapi teater ini akan bercerita daripada sudut suami Mahsuri, Wan Darus.

“Memang saya tidak tahu secara mendalam mengenai Mahsuri tetapi figura itu ialah legenda. Sejak kecil kita sudah belajar dan mendengar ceritanya. Kalau pergi melawat Pulau Langkawi, pastinya semua orang ingin melawat makam Mahsuri.

“Maka, ia adalah satu penghormatan apabila ditawarkan watak ini,” tambahnya lagi mengenai teater yang sudah akan bermula 24 April depan.

Diperlukan bersilat dan menyanyi, Vee yang tidak mempunyai sebarang latar belakang dalam seni mempertahankan diri bagaimanapun lebih menggeruni nyanyian. Suaminya, Rashidi Ishak yang pernah ditawarkan watak Wan Darus merupakan guru vokalnya di rumah.

“Rasanya saya lebih senang bersilat di atas pentas daripada menyanyi. Semasa menyanyi di rumah sahaja saya sudah tertekan apabila Shidi memantau nyanyian saya. Nasib baik saya akan menghadiri kelas vokal yang boleh membantu saya,” katanya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2007.


PASANGAN suami isteri dalam teater Mahsuri, Vee dan Arja.

Berasa seronok di atas pentas dengan emosi berlainan setiap malam, Vee tahu dia kena melakukan yang terbaik kerana ini adalah produksi pertama Fauziah di IB dan Vee inginkan Fauziah berasa bangga dengannya. Maka, dia tidak kisah untuk melakonkan babak ‘intim’ bersama gandingannya, Azharudin Ramli (Arja) yang memainkan watak Wan Darus.

“Jika bercakap mengenai babak mesra, itu adalah lumrah lakonan. Seperti dalam teater Tun Perak, saya juga terlibat dalam babak sedemikian. Namun, dalam budaya Melayu, saya tahu batasannya. Lakonan itu cuma salah satu cara untuk meluahkan perasaan.

“Ada dua babak seperti semasa Darus ingin pergi berperang dan apabila Darus pulang dan mendapati isterinya telah dibunuh. Kedua-duanya memerlukan babak bersentuhan. Namun, lakonan babak itu tidak pernah mengganggu saya atau saya terbawa-bawa watak saya di luar. Ditambah dengan sokongan suami, ia bukan satu masalah kerana Shidi amat memahami saya,” jelasnya lagi.

Baru berjumpa dengan gandingannya, Arja, Vee berharap pelakon baru itu boleh memberi petua dalam nyanyian dan Vee pula boleh membantunya dari segi lakonan. Arja pula masih berasa gementar setiap kali bertentangan mata dengan idolanya, Vee.

“Apabila Fauziah menelefon saya dan menyatakan bahawa saya terpilih, saya berasa amat cemas. Apabila bertemu dengan Vee, saya amat gementar kerana taraf kami sebagai pelakon amat jauh. Dia pernah memenangi pelbagai anugerah dan saya masih baru,” katanya yang pernah terlibat dalam muzikal PGL.

Tidak pernah cenderung dalam lakonan dan belum pernah berlakon dalam teater dengan memegang watak utama, Arja yang berlatarbelakangkan muzik mahu cuba berlakon kerana faktor rezeki. Dia juga tahu dirinya yang dipilih kali ini kerana berpotensi sebagai pelakon.

“Apa yang penting adalah jangan takut atau malu. Saya tidak mempunyai masalah untuk menghafal skrip tetapi berdepan masalah pelat huruf R dan S.

“Satu lagi masalah ialah saya sudah biasa menyanyi lagu pop dan kini perlu menyanyi untuk menyampaikan cerita. Walaupun susah, saya gembira kerana dapat mempelajari benda baru,” tambahnya. – JESSABELL SOO

Kosmo

Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta – Dalam Pahit Ada Manisnya

13 Mar

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BIARPUN dibayangi kekecewaan akibat tiada penajaan, namun perasaan pengarah dan penulis skrip Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta (MSJTC), Erma Fatima mula bertukar sedikit bahagia apabila karyanya mendapat ‘restu’ daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Erma, Sirah Junjungan yang dipentaskan untuk kali pertama sebelum ini dijalankan dengan mengikut syarat yang ditetapkan oleh Jakim disebabkan ia melibatkan jalan cerita berkaitan Nabi Muhammad dan agama Islam.

“Alhamdulillah, MSJTC yang mula dipentaskan 9 Mac lalu tidak berdepan dengan sebarang masalah daripada pihak Jakim.

“Awal teater Sirah Junjungan direalisasikan tahun lalu, Jakim menetapkan beberapa syarat kepada saya sebelum pementasan berlangsung kerana cerita ini dianggap berat.

“Bukannya sembarangan kerana teater ini mempamerkan perjalanan hidup Nabi Muhammad bermula awal kelahiran hingga wafat serta usahanya menyebarkan agama Islam.

“Saya dijelaskan oleh pihak Jakim bahawa watak pelakon yang menyembah berhala tidak boleh diberi kepada individu beragama Islam.

“Selain itu, Jakim awal-awal lagi sudah memberitahu kepada saya watak Nabi Muhammad tidak boleh digambarkan oleh manusia dalam teater ini termasuk dengan watak isteri Nabi, Siti Khadijah.

“Syarat-syarat ini telah saya patuhi sejak pementasan Sirah Junjungan kali pertama diadakan dan pihak Jakim juga turut hadir bagi mengawasi keseluruhan perjalanan teater ini.

“Lantaran itu, saya sudah bersiap-sedia awal-awal lagi dengan mengikut garis panduan Jakim supaya ia tidak melanggar akidah,” katanya selepas pementasan MSJTC pada malam pertama di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur Isnin lalu.


VOKAL Siti Nurhaliza turut menyuntik elemen yang berkesan meruntun perasaan ke dalam naskhah Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Menerangkan lebih lanjut tentang penambahan adegan tarian Sufi dalam MSJTC, ungkap Erma, dia tidak merasakan perkara tersebut harus menjadi subjek utama yang perlu diperbesar-besarkan.

“Saya tidak rasa tarian Sufi yang ditonjolkan ini melanggar akidah walaupun saya sengaja menambah adegan dalam MSJTC bagi menyuntik elemen hiburan, namun ia tidak sesekali melalaikan.

“Paling penting, saya mengkaji serta meneliti setiap adegan yang sedia ada termasuk adegan tambahan dengan berpandukan syarat yang ditetapkan oleh Jakim sebelum ini,” jelas wanita gigih yang mengetuai Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia.

Kos mencecah RM1 juta

Kali pertama MSJTC dipersembahkan kepada umum, Erma tidak henti-henti meluahkan rasa kesyukuran kerana teater dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1 juta itu berlangsung dengan jayanya, walaupun tidaklah sempurna seperti yang diidam-idamkan.

“Kami berdepan dengan masalah kekurangan masa untuk mengadakan latihan kerana hari Ahad lalu (8 Mac), barulah kami dapat melakukan raptai penuh.

“Tidak dinafikan, banyak adegan yang tidak berjalan dengan lancar, malah setiap malam memang akan ada kekurangan dan kelebihan. Saya tidak duduk di bawah sebagai penonton, sebaliknya selaku seorang pengarah yang sentiasa mencari kesalahan pelakon dan keseluruhan teater ini.

“Banyak lagi adegan yang harus diperbaiki agar MSJTC dapat dijayakan dengan sehabis baik dan kekal dalam ingatan penonton,” tutur Erma bersungguh-sungguh.


NASKHAH hebat ini membabitkan lebih 300 pelakon.

Mengimbas semula detik-detik MSJTC ditayangkan pada hari pertama, khalayak seakan-akan terkesima dengan 12 set yang ditonjolkan pada malam tersebut.

Bukan sekadar set biasa, sebaliknya ia mempamerkan set seperti Kaabah, Patung Latar Uzza, Rumah Nabi Muhammad dan Khadijah, Kota Makkah dan Madinah, set semasa perang Abrahah, Badar dan Uhud termasuk Mimbar dan lokasi perbincangan orang Muslim.

Tidak banyak kelemahan yang terdapat dalam MSJTC jika mahu diungkit semula. Teater yang membabitkan lebih 300 pelakon termasuk artis-artis popular tanah air, menampilkan banyak kemanisan berbanding kepahitan.

Berlangsung selama dua jam tanpa henti, namun tidak ada sedikitpun riak kebosanan yang tergambar pada wajah penonton yang hadir, baik golongan muda mahupun yang tua.

Masing-masing ternyata teruja dan tidak sabar-sabar untuk mengetahui dengan lebih lanjut sejarah hidup Nabi Muhammad dan para sahabat dalam usaha menyebarkan ajaran Islam.

Rabecca meraih perhatian

Dalam pada itu, pujian harus dilayangkan kepada pelakon muda dan jelita, Rabecca Nur Islam, 22, yang membawakan watak Hendon, wanita kejam yang menentang perjuangan Rasulullah dengan baik sekali.


TIDAK dinafikan aura vokal Jamal turut menguatkan jiwa pementasan karya Erma Fatima ini.

Kemunculan seketika Rabecca pantas menggamatkan suasana Panggung Sari dengan watak ‘hitam’ yang amat terkesan di hati penonton walaupun adegannya tidak besar dan hanya muncul beberapa minit sahaja.

Selain itu, Rabecca juga dapat mewarnai watak wanita yang membelah dada Saidina Hamzah dan mengunyah jantungnya dengan cukup mendebarkan. Walaupun hanya di sebalik tirai, namun jiwa bergelora, dendam dan amarah Hendon tetap mampu dirasai oleh penonton.

“Untuk membawakan watak ini, saya harus mendalami diri sebenar Hendon yang memiliki semangat juang tinggi membalas dendam atas kematian orang tersayang dalam hidupnya.

“Untuk memastikan watak Hendon nampak menjadi, saya melakukan latihan berkali-kali dalam tempoh hampir tiga minggu hingga mengakibatkan badan saya sakit dan lebam.

“Walaupun ramai yang berpendapat saya ibarat wanita yang lemah-lembut di luar set penggambaran, namun dalam membawakan watak Hendon, saya mampu mengubah diri dengan sebaik mungkin.

“Terima kasih kepada Erma dan seluruh tenaga produksi MSJTC yang memberi tunjuk ajar kepada saya untuk menjayakan watak Hendon.

“Semasa belajar di sekolah sebelum ini, saya sudah mengetahui tentang sejarah Nabi Muhammad dan Hendon.

“Sedikit sebanyak, saya dapat menzahirkan watak ini mengikut kemampuan sendiri kerana ia cukup dekat dalam hati saya,” luah Rabecca dalam getaran suara perlahan.

Vanidah tetap gementar

Walaupun hanya mendengar suara dan bayangannya terlihat di sebalik tirai, watak Siti Khadijah yang dipegang oleh pelakon jelita, Vanidah Imran tetap mempamerkan kekuatan tersendiri yang sukar dipertikaikan.

Beritahu Vanidah, dia sendiri tidak dapat menahan kegembiraan apabila ditawarkan memegang watak sebagai isteri Nabi Muhammad, walaupun penonton hanya dapat melihat bayangan dirinya sahaja.

“Walaupun watak ini tidaklah sebesar mana, namun saya lihat watak Siti Khadijah amat berat untuk direalisasikan dalam pementasan ini.

“Saya kena luahkan dialog dengan sepenuh perasaan walaupun wajah saya tidak dapat dilihat dengan jelas oleh penonton.

“Sukar sebenarnya kerana saya harus melontarkan ketepatan dialog dengan seimbang tidak terlalu kuat dan tidak terlalu perlahan, namun dalam waktu sama, penonton mampu merasai jiwa sebenar Siti Khadijah.

“Walaupun sudah lama berlakon, namun semasa kaki hendak melangkah naik ke pentas, saya tetap gementar takut-takut tidak mampu memberikan yang terbaik untuk watak ini.

“Alhamdulillah, semasa berada di pentas, saya sudah mula berasa selesa sekali gus dapat menumpukan sepenuh perhatian,” terang Vanidah yang tetap kelihatan ayu walaupun muncul tanpa mengenakan sebarang solekan.

Selain Rabecca dan Vanidah, antara pelakon yang membarisi teater ini ialah Mazlan Tahir (narator Muhammad), Ahmad Yatim (Abu Talib), Yus Waisar (Abu Bakar), Rosdeen Suboh (Maisarah), Shahronizam Noor (Hamzah/Sawadah) dan Aman Graseka (Usman).


BIARPUN tidak meraih sebarang tajaan, naskhah ini sebaliknya memiliki jiwa yang besar.

Selain daripada itu, Wong Sip Nen (Umaiyah Khalaf), Jeganathan (Nabih/Abu Sofyan), Norsiah Yatim (Perempuan/Fatimah), Abu Bakar (Ayah/Abu Al- Bakhtari), Jesse Lim (Najdi/Abrahah/Washi), Lakshman (Talha/Abu Lahab) dan Taiyuddin Bakar (Bilal) juga membintangi MSJTC.

Kepada sesiapa yang masih belum berkesempatan menyaksikan MSJTC, jangan lupa beramai-ramai pergi ke Istana Budaya. Pastinya anda akan terpesona apabila menyaksikan keindahan teater berskala besar yang mengangkat rentetan kehidupan Nabi Muhammad dan kesucian Islam sebagai plot penceritaan.

Kosmo

Bade Arah Drama Kejar

7 Mar

Oleh Adam Salleh
adam@hmetro.com.my

Rap
DI SEBALIK kontroversi Spa Q, semangat Zaiton Mohd Jiwa tidak luntur untuk terus aktif menerbitkan drama. Sejak Februari, ketika peminat siri telenovela itu hangat dengan isu ‘gambar panas’ Zaefrul Nadzarine Nordin dan Azizah Mahzan, Zaiton meredakan gelisahnya dengan produk terbaru, Kejar.

Jika Spa Q membara di TV3, Zaiton selaku Pengarah Urusan Global Station Sdn. Bhd., mengharapkan Kejar yang dihasilkan sebanyak 26 episod dapat menambat penonton RTM pertengahan tahun ini.

Ketika ditemui, Zaiton berkata Kejar begitu istimewa bukan saja kerana dibarisi pelakon hebat seperti Nasir Bilal Khan, Mustafa Kamal, Betty Banafe, Zain Ruffedge, Farahdhiya dan Umie Aida, tetapi inilah kali pertama dia menggunakan khidmat Badaruddin (Bade) Azmi selaku pengarah.

Sebelum ini, syarikatnya sudah menggunakan khidmat pengarah seperti Raja Ahmad Alauddin, Along Kamaruddin, Zulkiflee R Shad, Hitler Zami, Feroz Khan, Hanafiah Syarif dan Redza Fahmi Suib.

Menurut Zaiton, bukan mudah untuk Bade mengarah drama kerana komitmennya lebih kepada filem. Namun Zaiton beruntung atas kerjasama Erma Fatima, akhirnya Bade lembut hati mengarahkan Kejar.

“Lebih sepuluh tahun Global Station beroperasi, inilah kali pertama Bade mengarahkan drama terbitan syarikat saya. Bukan saya tidak berminat mengambilnya dulu, tetapi setiap kali terlintas untuk mendapat khidmatnya, hati saya pula berdetik apakah Bade sudi mengarahkan drama kami.

“Kita sendiri maklum, Bade satu nama besar dalam arena perfileman tanah air. Apabila Bade bersetuju mengarahkan Kejar, saya berterima kasih kepada isterinya (Erma Fatima),” katanya.

Bagai dijangka kata Zaiton, sekalipun sudah memberi lampu hijau, tetapi pada waktu sama Bade mahu meneliti skrip yang dihasilkan Eenaz Mokhtar. Sesudah puas hati, baru penggambaran bermula.

“Bade ternyata sensitif pada skrip. Saya memberi kepercayaan penuh untuk dia memilih pelakon mengikut kesesuaian watak pada skrip. Rata-rata pelakon ini sudah biasa dengan Bade.

“Setakat ini 70 peratus penggambaran drama ini sudah selesai. Pihak produksi memaklumkan pada saya, Kejar akan dapat disiapkan pada 26 Mac ini. Lokasi sekitar Lembah Klang tetapi banyak di Seri Kembangan dan saya berpuas hati kerana produksi belum berhadapan dengan masalah besar,” katanya.

Menurut Zaiton, berbanding Bade pihaknya kerap bekerjasama dengan Erma terutama siri Dilema Wanita untuk siaran RTM.

Pihaknya juga dalam proses untuk Erma mengarahkan drama istimewa mengenai cinta lara dua insan seni, sebaik berakhir teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Sementara itu Bade ketika ditemui wartawan RAP di lokasi berkata, Kejar umpama medan untuk ‘memanas badan’ sebelum dia kembali mengarahkan filem yang ada kaitan dengan tuntutan harta pusaka.

“Dalam Kejar, ada konflik keluarga mengenai pembahagian harta pusaka. Saya pula dalam proses mengarahkan filem bercorak begitu yang diberi judul Wasiat.

“Komitmen pertama kali bersama Global Station diharap dapat menajamkan lagi kreativiti saya sebelum menggarap Wasiat,” katanya.

Harian Metro

Semangat Pelakon Kian Membara

3 Mar

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SEKALIPUN berhadapan masalah tajaan untuk mementaskan teater muzikal bercorak Islam, Sirah Junjungan Tahajud Cinta untuk kali kedua, semangat pengarah Erma Fatima tidak pernah luntur.

Malah untuk memastikan pementasan yang bakal berlangsung selama dua minggu di Istana Budaya (IB) bermula 9 Mac ini berjalan sebaik-baiknya, Erma dan barisan pelakon yang menjayakan teater muzikal ini berlatih bersungguh-sungguh sejak dua minggu lalu.

Katanya, setakat ini perkembangan latihan sudah meningkat 60 peratus dan diteruskan sehingga menjelang hari persembahan.

“Seramai 300 pelakon terbabit dalam pementasan ini terutama untuk pasukan tentera Islam dan Quraisy. Antara artis yang terbabit ialah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Persatuan Silat dan Makrifat, Istana Budaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“Seperti tahun lalu, komitmen pelakon juga 100 peratus untuk menjayakan pementasan ini. Kalau dulu ada persembahan nyanyian saja tapi musim kedua ini kita tampilkan tarian.

“Sebagai pengarah, sudah pasti saya menjanjikan yang lebih baik berbanding sebelum ini. Dari segi jualan tiket, ia sudah mula dijual dan setakat ini sambutannya juga menggalakkan,” katanya.

Sirah Junjungan Tahajud Cinta yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 9 hingga 22 Mac ini, dijayakan Ahmad Yatim, Syukor Ibrahim, Mazlan Tahir, Wong Sip Nen, Aman Graseka, Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, Vanidah Imran dan Shahronizam Noor.

Ia turut dimantapkan lagi dengan kehadiran tiga nama besar, Datuk Siti Nurhaliza (pada 18 hingga 20 Mac), Mawi (21 Mac) dan Amy Search (22 Mac) sebagai penyanyi utama.

Sebagai pendatang baru di pentas teater, peluang beraksi dalam pementasan Teater Muzikal Sirah Junjungan musim kedua arahan pengarah berkaliber Erma Fatima cukup bermakna buat Rabecca.

Rabecca, 22, yang juga model dan pengacara berkata, selain diberi kepercayaan memegang watak utama dalam muzikal ini, ia juga julung kalinya beraksi di pentas berprestij di IB. Rebecca ditawarkan watak Hendon Uthbah yang juga anak tentera Quraisy, Uthbah Rabiah yang sebelum ini dijayakan Ellie Suriaty.

Kata Rabecca yang pernah beraksi dalam teater Dimana Bumi Dipijak dan Anom, dia menimba pengalaman berharga bekerja dengan Erma sepanjang sebulan berlatih dalam pementasan teater muzikal berkenaan.

“Kali pertama membaca skrip, saya sudah menyedari cabaran besar yang menanti kerana watak Hendon ini berat buat saya. Malah, pada hari kedua, kami tidak dibenarkan membaca skrip ketika latihan. Pada masa sama, Erma, pengarah yang sangat mementingkan kesempurnaan.

“Sepanjang bekerja dengannya dia memang garang dan tegas ketika latihan tapi apabila di luar latihan, kami boleh menjadi seperti kawan.

“Sekalipun hanya dua babak, watak ini juga berat, tapi selepas lebih seminggu berlatih di bawah bimbingan Erma, saya mula menjiwai watak diserahkan seperti dikehendakinya. Antara yang paling mencabar ialah ketika menjiwai watak Hendon memakan jantung Saidina Hamzah,” katanya.

Ditanya, sama ada watak Hendon boleh menjejaskan akidahnya sebagai seorang Muslimah, Rabecca segera menafikannya. Katanya, dia juga meminta nasihat ibunya sebelum menerima tawaran berlakon dalam teater ini.

“Apapun, watak Hendon sekadar lakonan semata-mata kerana apa yang penting saya tidak ingin melepaskan peluang keemasan beraksi dalam pementasan yang mengisahkan perjuangan Rasulullah s.a.w menegakkan Islam,” katanya.

Seperti pelakon lain, Vanidah juga tidak ingin melepaskan peluang beraksi dalam pementasan muzikal Sirah Junjungan. Katanya, dia tetap teruja sekalipun hanya terbabit dalam dua babak.

Katanya, apa yang penting dia ditawarkan watak isteri kesayangan Rasulullah, Siti Khadijah yang pernah dilakonkan Norish Karman pada pementasan pertama dulu.

“Antara cabaran yang dihadapi ialah untuk menjiwai watak Siti Khadijah kerana saya hanya bergantung sepenuhnya kepada pengucapan dialog semata-mata dan banyak bermain di belakang tabir.

“Sebenarnya, berlakon menggunakan suara itu lebih susah kerana lontaran dialog perlu sampai kepada penonton. Sebagai pelakon, saya perlu memastikan lakonan yang diberikan itu meninggalkan impak kepada penonton nanti,” katanya.

Bagi pelakon Shahronizam Noor pula, dia terpanggil buat kali kedua berlakon dalam teater muzikal itu kerana ia menceritakan perjuangan Rasulullah.

“Saya terima tawaran ini bukan kerana soal bayaran. Malah apabila Erma beritahu dia berhadapan masalah penajaan, saya tetap tampil ke hadapan untuk bersama-sama dengannya menjayakan pementasan ini tanpa bertanya soal bayaran pun,” katanya.

Katanya lagi, dia juga membeli buku riwayat Nabi Muhammad s.a.w sebagai persediaan untuk mendalami watak Saidina Hamzah dan Sawadah yang dilakonkan dalam muzikal ini pada musim pertama dulu.

“Saya tidak ada masalah dari segi dialog kerana ini penampilan kedua. Cuma kali ini, ia lebih mencabar kerana saya perlu terbabit dalam babak perang yang menggunakan pedang dan membabitkan pasukan yang lebih ramai.

“Namun, berkat bimbingan Erma dan tenaga produksi muzikal ini, kami dapat menjiwai watak masing-masing dengan baik,” katanya.

Tiket bagi menyaksikan persembahan ini berharga RM30, RM50, RM80, RM100, RM150 dan RM200. Keterangan lanjut, sila hubungi 03-41498600/03-41428035 atau laman sesawang: sirah@ yayasansenikarya.com

Harian Metro

Zouffi Masih Cari Identiti

12 Feb

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

BAGI yang berkesempatan mendengar lagu, Ku Serahkan, ramai menyangka lagu balada yang hangat diputarkan di corong radio itu adalah single terbaru penyanyi kelahiran Bintang RTM, Izwan Pilus yang sedikit masa lalu melonjak dengan lagu Indah Lelapku.

Kekeliruan timbul, kerana vokal dan cara nyanyian pendatang baru ini dikatakan mempunyai persamaan dengan finalis Artis Baru Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular-Berita Harian 2006 itu.

Kesempatan bertemu Zouffi atau nama sebenarnya Mohd Soffi Baharudin, 28, baru-baru ini turut memberi laluan kepadanya mempertahankan pendirian apabila dikaitkan sebagai klon Izwan Pilus.

“Terus-terang saya tidak tahu sudut manakah yang dikatakan mempunyai persamaan. Rasanya untuk lagu ini, saya sudah melakukan sehabis baik dan menyampaikannya dengan cara saya sendiri.

“Kalau adapun persamaan, mungkin itu secara kebetulan kerana saya tidak pernah terfikir untuk meniru sesiapa. Tidak dinafikan, sebagai pendatang baru saya masih lagi dalam proses mencari identiti dan membina imej tanpa dibayangi sesiapa,” katanya menjadikan Allahyarham Sudirman Hj Arshad dan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idola.

Mengupas sejarah pembabitan Zouffi dalam arena seni suara, ternyata pemuda tinggi lampai bukanlah pendatang baru seperti peminat sangkakan.

Pada penghujung 1999, dia pernah mencuba nasib dalam arena seni suara. Bagaimanapun, waktu itu dia bergerak secara berkumpulan bersama saudara kandungnya, Diana yang diberi jolokan Kajol Malaysia dan Zuen sekali gus memperkenalkan diri mereka sebagai, 2 +1.

Namun, nasib tidak menyebelahi Zouffi serta dua adiknya itu kerana syarikat rakaman yang dinaungi Most Popular Production mempunyai masalah lalu mereka minta dibebaskan walaupun ketika itu album yang diterbitkan Lan dari kumpulan A to Z itu, siap sepenuhnya.

Kini, Zouffi kembali menyemarakkan persada seni suara bersama kematangan dan semangat baru melalui haluan yang dipilihnya sebagai penyanyi solo.

Mempertaruhkan single pertama, Kuserahkan sebuah lagu ciptaan Aidil AF3 yang mana liriknya ditangani komposer itu bersama Eenaz, dijangka melonjakkan nama Zouffi ekoran reaksi kekerapannya berkumandang di radio termasuk reaksi positif pendengar.

“Saya harap percubaan kali ini menjadi sekali gus berjaya menempatkan diri dalam industri sesi suara. Kalau ikutkan, saya serik menjadi penyanyi namun, ketika bertugas dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selain bertugas sebagai juruteknik saya juga menjadi penyanyi untuk majlis-majlis anjuran MPS.

“Bahkan sebelum ini, pernah menjadi artis Dee Show Entertainment yang dimiliki penghibur terkenal, Dee. Di mana saya akan muncul membuat persembahan selingan semasa Dee sedang menukar kostum atau berehat.

“Mendapat bimbingan dan pengalaman bekerja dengan Dee satu kenangan cukup indah kerana dia jugalah saya berpeluang membuat persembahan di Indonesia sempena hari keluarga anjuran sebuah syarikat.

“Dari situ saya mengumpul peminat dan lebih mengejutkan apabila disapa sekumpulan remaja yang sentiasa berada di mana-mana lokasi persembahan yang saya jayakan. Mereka bertanya, bilakah saya mahu buat album supaya mereka boleh membelinya.

“Selain itu, saya juga mempunyai beberapa rakan wartawan yang menyuarakan idea sama. Sejak itu, keberanian datang dan kembali bersemangat untuk mencuba,” katanya.

Melaburkan RM7,000 untuk menyiapkan single berkenaan, Zouffi yang semakin mendapat perhatian mengadakan persembahan antaranya terbaru disempurnakan majlis amal di Istana Budaya anjuran pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima, bertujuan mengisi tabung Gaza.

Dalam temubual itu, Zouffi turut ditanya mengapa Aidil AF3 disenaraikan sebagai produser untuk single pertamanya sedangkan kebanyakan pendatang baru yang lain memasang impian untuk bekerjasama dengan komposer terkenal dan mempunyai rekod yang kukuh.

“Saya mahu lari kebiasaan. Aidil orang muda maka dia bukan saja banyak idea dan sukakan benda-benda yang eksperimental tetapi sedia menerima pendapat saya. Seronok dan selesa bekerja dengannya, terus-terang saya sangat berpuas hati dengan hasil kerjayanya.

“Bagaimanapun, untuk masa akan datang sudah semestinya saya mahu menimba pengalaman bekerja dengan komposer yang berpengalaman untuk menggali lagi kelebihan yang ada,” katanya.

Harian Metro

Keluhan Hati Erma Fatima

5 Feb

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my


ERMA sanggup pergi ke Palestin untuk menghulurkan bantuan walaupun perang sedang meletus.

PADA wajahnya jelas ada riak kekecewaan. Selepas diselidiki, rupa-rupanya pengiat seni tanah air yang dikenali dengan nama Erma Fatima sedikit terkilan dengan sikap karyawan seni tanah air.

Dia sebenarnya kecewa dengan sambutan golongan artis terhadap upacara solat hajat yang diadakan sempena Doa Buatmu Palestin baru-baru ini.

Upacara tersebut sepatutnya disertai ramai penggiat seni di Malaysia yang bukan sedikit jumlahnya, namun yang hadir hanya kira-kira 100 orang termasuk tetamu kenamaan, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal.

“Saya amat gembira dengan perjalanan malam Doa Buatmu Palestin selama dua hari berturut-turut, cuma saya kurang berpuas hati dengan upacara solat hajat yang dibuat di lobi Istana Budaya.

“Sepatutnya solat hajat itu disertai oleh lebih ramai karyawan seni. Perkara ini amat menyedihkan saya. Yang saya lihat turut serta dalam solat hajat itu ialah Linda Onn dan Rabbani.

“Entahlah, saya tidak tahu ke mana perginya artis-artis lain termasuk generasi muda,” luah Erma hampa.


RABBANI juga tidak ketinggalan memberi sokongan seratus peratus untuk majlis amal ini.

Melupakan seketika kedukaan yang dialami, Erma menjelaskan, dia berterima kasih kepada golongan selebriti yang turut meluangkan waktu menghadiri acara Doa Buatmu Palestin.

“Bayangkan, artis-artis yang hadir membuat persembahan tidak diberikan sebarang bayaran apatah lagi wang sagu hati, tetapi mereka tetap datang untuk membabitkan diri dalam majlis amal.

“Tiada sebarang keluhan kerana mereka beranggapan soal bayaran tidak menjadi keutamaan,” tambah Erma yang bertindak selaku Pengerusi Doa Buatmu Palestin.

Diadakan selama dua hari, bermula pada pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam, setiap waktu terisi dengan pelbagai aktiviti seperti solat hajat, karnival jualan, mengaji, berzikir, selawat, bacaan puisi, konsert Palestin serta pameran.

Sebanyak 100 buah gerai dibuka di pekarangan Laman Santai yang juga disertai oleh artis-artis seperti Awal Ashaari, Rebecca Nur Islam, Maya Karin, Umie Aida, Linda Onn, Julia Ziegler, Enot, Rubiah Suparman, Ayati Tasrip dan lain-lain.

Artis yang terbabit dalam lelongan amal pula terdiri daripada Aleeza Kassim, Amy Mastura, Erra Fazira, Fazli Zainal, Fahrin Ahmad, Nur Fazura, KRU, Liyana Jasmay, Melissa Saila, Umie Aida, Zahida Rafik, Rosyam Nor dan Vanidah Imran.

Majlis turut diserikan dengan persembahan artis seperti Rabbani, Fazli Zainal, Betty Banafe, Aqasha, Salwa Abdul Rahman, Sarah Raisuddin, Ezlynn, Siti Fairuz, Noryn Aziz, Raihan, Jamal Abdillah dan Ramli Sarip.


TIGA pendeklamator puisi kebangsaan, (dari kiri), Tengku Khalidah Tengku Bidin, Leftenan Kolonel Radzi Abdul Hamid dan ASP Rosebaini Kassim mendeklamasikan sajak mereka sambil diiringi petikan gitar, Asman Hashimie Abdullah.

Pereka-pereka fesyen tempatan seperti Albert King, Jovian Mandagie, Micheal Ong, Calvin Thoo, Radzuan Radziwill dan lain-lain turut hadir membuat jualan di gerai masing-masing.

“Semua hasil keuntungan barang yang dijual di gerai artis-artis dan sumbangan pengunjung dimasukkan terus ke dalam dana Tabung Kutipan Palestin.

“Pada hari pertama acara ini diadakan, saya telah mengutip derma sebanyak RM50,000. Dicampurkan dengan malam seterusnya, sumbangan keseluruhan yang diperoleh dianggarkan hampir mencecah RM100,000.

“Tiada yang lebih membahagiakan saya dengan jumlah wang yang diperoleh untuk tempoh dua hari.

“Saya bersyukur sangat sebab rancangan bagi menjayakan Doa Buatmu Palestin bersama-sama artis lain, berjaya menampakkan hasil yang membanggakan,” tutur Erma teruja.

Buktikan artis turut prihatin

Sebenarnya Erma terpanggil untuk turut menjadi sukarelawan membantu rakyat Palestin yang dizalimi Zionis ekoran gurauan seorang teman.

Teman yang dimaksudkannya ialah Datuk Shazally Ramli yang menegaskan kepada Erma bahawa golongan artis tidak memiliki kekuatan untuk menjadi sukarelawan membantu penduduk Palestin.

Tidak menganggap gurauan itu sekadar satu usikan nakal, sebaliknya ia jadi pembakar semangat buat Erma untuk direalisasikan kepada khalayak bahawa selebriti juga mampu mempamerkan sumbangan jika diperlukan.


JAMAL mendendangkan lagu Seroja dengan penuh emosi.

Menurut Erma, pada awalnya dia terkejut dengan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom itu kononnya golongan artis sekadar melihat begitu sahaja konflik di Gaza tanpa dapat memberikan apa-apa sumbangan termasuk menjadi sukarelawan Malaysia ke Semenanjung Gaza.

“Saya sedar bukan senang untuk jadi seorang sukarelawan. Apabila sampai sahaja di negara itu, sudah pasti kita sendiri akan berasa terkejut melihat situasi sebenar.

“Berhadapan dengan realiti melihat insan termasuk kanak-kanak yang terbunuh dan cedera parah, kita tidak mampu untuk berdepan dengan situasi genting itu.

“Saya percaya tidak semua selebriti mementingkan diri, sebaliknya saya memiliki beberapa sahabat yang teruja untuk mengambil bahagian sebagai sukarelawan ke Semenanjung Gaza.

“Saya tidak terguris dengan kata-kata Shazally, sebaliknya saya anggap ia sebagai cabaran terbesar untuk saya membuktikan artis juga boleh menjadi sukarelawan,” kata Erma semasa ditemui pada majlis itu.

Bukan calang-calang sumbangan, sebaliknya ia memerlukan sepenuh kekuatan mental dan fizikal apatah lagi mendalami perkara baru yang melibatkan soal korban nyawa dan insan mengalami cedera parah.

Mengimbas detik dia diusik oleh Shazally, Erma berkata, tokoh korporat itu sengaja mahu menyakat dirinya setelah dia menguar-uarkan tentang karnival kebajikan yang ingin dilaksanakan.

Barangkali naluri Erma yang penuh sifat kemanusiaan dan kesejagatan, terus tersentuh dengan usikan daripada rakan.

Lantaran itu, Erma mengambil keputusan untuk menubuhkan ‘tentera’ khas yang merupakan sukarelawan artis.

“Untuk permulaan, saya akan melatih jawatankuasa Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan.

“Mereka yang bakal dilatih ini tidak hanya terhad membantu mangsa serangan Israel di Gaza, sebaliknya berperanan untuk memberi pertolongan jika ada bencana alam di negara sendiri.

“Saya akan cuba mendapatkan khidmat doktor pakar untuk melatih pasukan sukarelawan saya tentang langkah-langkah yang betul bagi memberi pertolongan cemas dan bantuan kepada mangsa yang terlibat dalam kekejaman di Gaza.

“Mudahlah sedikit kalau sudah ada sukarelawan sendiri yang dapat hulurkan bantuan pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan keadaan,” tegas Erma.

Ditanya masa yang sesuai untuk pasukan sukarelawan artis ditubuhkan, lekas sahaja jawab Erma: “Saya bakal melaksanakan perkara ini dalam tempoh terdekat.

“Saya mahu buang persepsi masyarakat tentang artis yang dikatakan hanya tahu jadi ‘penyeri’ jika menghadiri upacara berkaitan kebajikan ataupun sukarelawan.”

Bukan gila publisiti

Bukan hanya mencari sukarelawan untuk dilatih, sebaliknya Erma sendiri menjadi orang pertama yang menawarkan diri bergelar sukarelawan.

“Saya sanggup pergi ke sana menghulur bantuan walaupun waktu itu wilayah itu sedang berperang,” jelas Erma.

Mungkin ada yang berpendapat Erma hanya tahu mencanang dan beranggapan kata-katanya tidak lebih sebagai omongan kosong.


LAGAK Erra sewaktu mahu melelong koleksi baju miliknya.

Erma bagaimanapun pasrah dan akur dengan penilaian negatif manusia lain yang suka merendah-rendahkan dirinya.

“Jika masih ada sesetengah pihak yang mendakwa saya suka bercakap lebih, saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan kepada mereka.

“Cuba bagi bukti yang kukuh. Apa yang pernah saya cakap sebelum ini yang tidak direalisasikan?

“Saya berupaya menubuhkan Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang punya fungsi tersendiri dalam industri seni.

“Banyak perkara sudah saya lakukan dalam hidup ini. Lantas, tiada istilah saya hanya pandai cakap tanpa mengaplikasikan setiap pertuturan saya.

“Saya tidak gila publisiti murahan atau ingin dikenali sebagai individu yang suka cakap lebih, sebaliknya ini adalah tanggungjawab saya untuk mencari orang yang boleh menjadi sukarelawan.

“Kalau saya hendak publisiti, saya boleh laksanakan dalam pengarahan saya. Jadi tidak timbul langsung saya hendak publisiti,” luah Erma dalam lontaran suara yang cukup tenang.

Erma mengakui, kalau dalam tahun 2009 masih belum terbentuknya kumpulan sukarelawan, maka wartawan berhak melabelkan dia sebagai individu yang suka cakap berlebihan.

Kosmo

Jihad Anak Seni

4 Feb

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

ERMA FATIMA bersyukur acara Doa Buatmu Palestin dapat sambutan menggalakkan.

Erma Fatima himpunkan sejumlah besar penggiat seni untuk beramal dalam Doa Buatmu Palestin

TERCAPAI objektif itulah yang dimaklumkan orang kuat Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Erma Fatima di atas penganjuran acara amal Doa Buatmu Palestin bagi mengumpul dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin di Gaza kesan kezaliman rejim Zionis sejak 27 Disember lalu.

Acara yang berlangsung selama dua hari pada 1 hingga 2 Februari lalu di pekarangan Istana Budaya turut mendapat kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) dan Istana Budaya.

Lebih RM100,000 dikumpul mengisi tabung yang bakal diserahkan ke kerajaan di bawah kempen Rayuan Dana Atas Nama Kemanusiaan dan disalurkan ke dalam Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin. Selain sambutan yang cukup memberangsangkan, ini membuktikan kata pepatah, sepakat membawa berkat.

Himpunan pelbagai nama yang mendiami ruang seni ini termasuklah pembabitan pereka fesyen tempatan menjadi satu simbolik betapa kita sebagai rakyat Malaysia begitu prihatin dan bersatu di bawah satu pendirian menentang sekeras-kerasnya peperangan yang membawa kepada kehancuran manusia sejagat.

Erma berkata, usaha yang dilakukannya ini boleh diumpamakan sekecil zarah, namun begitu, sedikit sebanyak ia mampu menjadi azimat yang setidak-tidaknya boleh mengurangkan penderitaan mereka di sana.


AKSI Dynas, Rabecca Nur Islam dan Julia Ziegler mesra melayan pengunjung di gerai jualan mereka.

Katanya lagi, ini adalah jihad mereka sebagai anak seni untuk melihat keamanan dijunjung dan dikembalikan kepada mereka yang berhak menikmatinya.

“Kejayaan ini bukan kejayaan milik saya seorang, malah daripada pembabitan golongan selebriti, pereka fesyen dan petugas yang terbabit dalam jawatan kuasa acara ini. Paling penting ini adalah keikhlasan membuat kerja kebajikan tanpa bayaran. Sepanjang dua hari berturut-turut, pihak kami tidak bayar satu sen pun kepada artis sebagai contohnya untuk terbabit.

“Malahan artis yang menjual barangan di gerai jualan, sanggup mengeluarkan sejumlah wang sebagai duit sewaan tapak. Yang mana duit itu pun akan disalurkan terus ke tabung. Sumbangan masa, penat lelah dan wang ringgit yang golongan selebriti kita berikan amat dihargai.

“Ini juga sebagai gambaran bahawa artis kita tidak semata-mata tidak semata-mata dalam ruang lingkup kilauan glamor saja, malah ini petanda golongan seperti kami juga sedar dan mula bertindak,” katanya sewaktu ditemui Hip pada malam pertama acara ini berlangsung.

Namun dalam nada gembira, isteri kepada pengarah Bade Azmi turut tidak dapat menyembunyikan rasa ralat apabila masih ada golongan selebriti yang tidak mahu turun padang untuk beramal. Tidak memaksa bahkan menuding jari kepada sesetengah golongan ini, cuma inilah lumrah yang harus diterima biarpun terlalu pahit untuk ditelan.

“Saya faham ada yang terikat dengan komitmen seni. Tapi syukurlah lebih ramai menyatakan tanda sokongan dan sedia memberikan kerjasama,” katanya lagi.

Selain gerai jualan yang turut membabitkan selebriti seperti Fazley Yaakob, Linda Onn, Dynas, Julia Ziegler dan Rabecca Nur Islam, ia turut dimeriahkan dengan acara lelongan yang dilakukan selebriti dan pereka fesyen.

Datuk Siti Nurhaliza yang turut memberikan sokongan kepada karnival lelong dan jualan amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 bagi tujuan mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza, turun padang lagi ke acara ini dengan melelong koleksi barang miliknya.

Pereka terkenal tempatan yang memberikan rekaan mereka untuk dilelong seperti Albert King, Alvin Tay, Azura Mazaruddin, Bill Keith, Iszal (Butik Citra), Calvin Thoo, Jarum Emas, Jovian Mandagie, Kem daripada Kapas Couture. Michael Ong, Rizman Ruzaini, Radzuan Radziwill, Salikin Sidek, Shaiful Bahrim dan Zang Toi.

Persembahan pentas daripada selebriti tanah air seperti Maya Karin, Amy Search, Betty Banafe, Noryn Aziz, Ezlynn dan ramai lagi turut menjadi tarikan. Pada masa yang sama, tabung bergerak yang diusung ahli jawatan kuasa acara ini turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi menambahkan lagi kutipan derma.

Selain itu, acara pentas turut dimeriahkan dengan deklamasi puisi daripada Raja Azmi, Khir Rahman termasuk persembahan pantomin. Acara solat hajat turut dilakukan di Istana Budaya bagi memohon keberkatan dan berdoa supaya kemelut kemanusiaan di Gaza akan berakhir. Malah, malam pertama juga diadakan perarakan daripada Persatuan Setiakawan & Persahabatan Malaysia Palestin sebagai tanda protes dan boikot kepada barangan dari Amerika Syarikat.

Sirah Junjungan dipentaskan lagi bulan depan

MENGENAI perkembangan seninya, Erma akan mula sibuk lagi bermula semalam apabila kembali mementaskan teater muzikal Sirah Junjungan buat kali kedua di Istana Budaya selama dua minggu, mulai 9 hingga 22 Mac ini bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul. Kali pertama ia dipentaskan di lokasi dan bulan yang sama iaitu pada 19 hingga 23 Mac 2008.

Menurutnya lagi, beberapa nama besar akan terbabit dan sudah memberikan pengesahan termasuklah Jamal Abdillah yang beraksi lagi buat kali kedua dan Datuk Siti Nurhaliza turut diundang sebagai penyanyi.

Ketika ini, Erma memberitahu sedang cuba mendapatkan dua lagi nama besar untuk sama-sama terbabit.

“Selain Datuk Siti Nurhaliza yang sudah pasti akan terbabit, saya tengah berusaha mendapatkan Datuk Sheila Majid dan Ahmad Dhani dari kumpulan Dewa. Tapi semuanya masih dalam perancangan kerana kita hanya ada lebih kurang sebulan saja untuk berlatih,” katanya.

Bagi pementasan kali ini, pelakon seperti Datuk Rahim Razali, Ahmad Yatim dan Vanidah Imran turut sama berlakon.

Teater muzikal ini merakamkan segala peristiwa penting dari tarikh keputeraan Rasulullah hinggalah baginda wafat. Sirah Junjungan membawa khalayak menelusuri perjalanan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW untuk menegakkan syiar Islam di muka bumi.

Berita Harian