Archive | Aida Rahim RSS feed for this section

Bukan Dejavu Beri Kesan Mendalam

5 Jun

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

KISAH dua pendatang Indonesia yang hidup dibelenggu kemiskinan, Narti dan Yanto yang merindui kampung ha laman sekalipun sudah sepuluh tahun merantau di negara ini antara tema kemasyarakatan menarik yang diangkat dalam naskhah Dejavu karya Ismail Kassan.

Dejavu bukan saja menghiburkan sebagai teater bersifat semi-humor tapi apa yang penting, mesejnya memberi kesan mendalam pada penonton.

Justeru, berdasarkan pencapaian cemerlangnya sejak di pentaskan pada 1999, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Badan Budaya DBP serta Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) bakal mementaskan sekuelnya pula berjudul Bukan Dejavu di DBP, Kuala Lumpur pada 9 hingga 13 Julai nanti.

Naskhah Bukan Dejavu adalah sambungan daripada Dejavu karya penulis yang sama dipilih sebagai Persembahan Teater Perdana DBP tahun ini.

Jika skrip Dejavu pernah memenangi Hadiah Sastera Per dana 2004, Bukan Dejavu pula adalah pemenang hadiah pertama Pertandingan Menulis Skrip 50 Tahun DBP, tahun lalu.

Ketika dihubungi Rap, Pengarah Bukan Dejavu, Siti Ro hayah Attan berkata, skrip Bukan Dejavu menampilkan lebih banyak watak baru dan mempunyai kekuatan tersendiri seperti Norma Hamima, Wan Dol, Udin, Leman, Jamilah, Tahir dan Siti.

“Cerita asal tetap dikekalkan dan persembahan kali ini bermula tiga bulan selepas insiden Narti memukul perompak yang cuba merogol Nora dan Rohana. Watak Narti, Yanto dan Parjo yang penuh dengan sifat lucu dikekalkan.

“Selain itu, watak Parjo yang mendapat tempat di hati penonton juga dikembangkan menjadi lebih dominan. Bukan saja sebagai pendatang Indonesia yang cuba menghiburkan penonton menerusi nyanyian tapi sikap lucunya serta lebih bertanggungjawab,” katanya.

Rohayah berkata, cabaran paling besar yang dihadapinya ialah untuk mementaskan teater itu dalam tempoh dua jam kerana skrip asalnya memerlukan masa empat jam untuk dipentaskan.

“Suntingan dan fokus harus dilakukan dengan tepat dan teliti. Saya percaya dengan kerjasama barisan pelakon, pihak DBP dan sambutan daripada khalayak, kami pasti berjaya melakukannya sekali lagi sebagaimana pementasan Dejavu,” katanya.

Rohayah berkata, pementasan itu membabitkan 26 pelakon dan sebahagian besar adalah pelakon asal.

“Sebenarnya, saya cuba mengekalkan pelakon asal Dejavu tetapi hanya sebahagian saja yang dapat memberikan ko mitmen mereka seperti Juhara Ayob (sebagai Narti), Shukor Yon (Yanto), Safura Ya’cob (Ustazah Salmi), Yussak Kassan (Parjo) dan Hussin Hashim (Penagih Dadah).

“Apa yang penting, mereka tahu jalan cerita dan sudah pasti ia memberi kelebihan kepada mereka untuk meningkatkan lagi kualiti lakonan kerana kekuatan teater ini adalah pada aspek lakonan.

“Pelakon lain yang turut membantu merealisasikan teater ini ialah Datin Norish Karman (Nora), Datuk Jalaluddin Hassan (Tahir), Rasdi Daud (Pak Jamal), Aris Othman (Leman), Arabiah Ahmad Nazri (Jamilah), Mardiana Alwi (Norma), Siti Asmiera Zulaiqha Hasmuri (Siti) dan Eyzendy Aziz (Wan Dol),” katanya.

Mengimbas latarnya, Dejavu pernah dipentaskan dan di arahkan oleh Siti Rohayah Attan sebanyak tiga kali. Kali pertama karya ini dipentaskan dengan menggunakan judul Dejavu Seorang Perempuan pada 23 hingga 30 Oktober 1999 di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Kuala Lumpur. Antara pelakonnya, Erma Fatima, Aida Aris, Aida Rahim, Norzizi Zulkifli, Shukor Yon dan M. Redzuan Deen.

Kali kedua, naskhah ini dipentaskan pada 24 hingga 29 Januari 2004 di tempat sama dan menampilkan Fauziah Datuk Ahmad Daud, Juhara Ayob, Melissa Saila, Norzizi Zulkifli, Mubarak Majid, Shukor Yon dan Shahronizam Noor.

Pementasan kali ketiga pula di Panggung Sari, Istana Budaya pada 18 September 2004. Pelakonnya ialah Fauziah Ahmad Daud, Safura Yaacob, Serina Redzuawan, Rozie Rashid, Shukor Yon, Zuhairi Ibrahim,Juhara Ayob, Yussak Kassan dan ramai lagi.

Teater Bukan Dejavu bakal dipentaskan di DBP, Kuala Lumpur jam 8.30 malam dengan harga tiket RM20, RM30 dan RM50. Manakala, diskaun 50 peratus untuk pelajar dan warga emas.

Mereka yang ingin mendapat maklumat mengenai per kembangan teater ini boleh melayari laman web http://www.bu kandejavu.blogspot.com.

Powered by Harian Metro

Jenazah Anak Mustapha Kamal Selamat Dikebumi

9 Nov

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Jenazah anak pelakon Mustapha Kamal dan bekas isterinya, Yong Rahimah Johari, Ayuna, 15, yang terjatuh dari tingkat 13 Kondominium Danau Impian, Taman Desa di sini pada 22 Oktober lalu, selamat dikebumikan pagi ini.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Mukim Ampang Satu, Ampang Jaya di sini apabila jenazah Ayuna tiba dan kemudian diturunkan ke liang lahad pada kira-kira pada pukul 10.05 pagi ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyang dan dikapankan sebelum dibawa keluar dari Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menggunakan van jenazah kira-kira pada pukul 2.30 pagi ini.

Jenazah disembahyangkan sekali lagi di Masjid Bukit Indah, Ampang kira-kira pada pukul 9 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan dengan diiringi saudara-mara dan rakan artis.

Antara artis yang hadir menziarahi jenazah ialah pelakon Aznah Hamid, Aida Rahim, Elly Suriati dan Kasmadiana.

Sementara itu, Mustapha Kamal ketika ditemui sebaik sahaja selesai urusan pengkebumian anaknya itu berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya itu setelah menjaga arwah sepanjang 18 hari dia dirawat di hospital.

‘‘Malah, kami sekeluarga berada di sisi arwah sehingga arwah menghembuskan nafas terakhirnya,” katanya dalam nada sebak.

Beliau juga melahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada rakan-rakan artis kerana memberikan sokongan serta semangat sepanjang beliau menjaga anaknya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Perhubungan Awam Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Yahaya A. Hamid berkata, Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala.

‘‘Allahyarham meninggal dunia di wad unit rawatan rapi kardiotorasik PPUM pada pukul 10.22 malam semalam,’’ katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ayuna baru selesai menduduki peperiksaan Pernilaian Menengah Rendah (PMR) cedera teruk selepas terjatuh dari tingkat 13 kondominium berkenaan.

Allahyarham merupakan anak sulung daripada dua beradik hasil perkahwinan Mustapha dengan Yong Rahimah yang merupakan seorang penerbit.

Powered by Utusan Malaysia

Rumah Terbuka Tiara Diadakan Tiga Hari, Tiga Malam

10 Nov

Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

Bermacam cara dan gaya untuk menganjurkan rumah terbuka sempena Syawal. Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang sinonim dengan nama Puteri Gunung Ledang, rumah terbukanya diadakan selama tiga hari, tiga malam.

Bermula dari 4 November lalu, kediaman Tiara di Shah Alam, Selangor dikunjungi bukan sahaja kaum keluarga dan sanak saudara tetapi juga sahabat handai, wakil media dan juga krew produksi Puteri Gunung Ledang the Musical (PGLtM).

Menurut Tiara: “Hari pertama, saya jemput krew produksi PGLtM, kaum keluarga suami saya dan keluarga kawan-kawan anak lelaki saya. Hari kedua pula saya jemput keluarga kawan-kawan anak perempuan saya, kawan-kawan saya dan kawan-kawan suami saya.

“Sementara malam ketiga, jemputan terdiri daripada wakil media massa, rakan-rakan artis, jiran tetangga dan rakan-rakan korporat,” katanya.

Mungkin penat melayan tamu selama tiga hari berturut-turut hingga lewat malam, namun bagi Tiara itulah cara terbaik untuknya meraikan Syawal bersama rakan-rakan dan saudara mara.

“Kalau boleh biarlah rumah terbuka ini betul-betul dapat menjalinkan silaturahim yang lebih erat. Sebab itu saya aturkan tiga hari supaya tidak terlalu ramai. Saya bimbang, kalau terlalu ramai nanti saya tidak berpeluang berbual dengan semua jemputan.

“Misalnya pada hari menerima tamu rakan anak- anak saya, ibu bapa mereka pun saya jemput. Peluang itu saya gunakan untuk mengenali keluarga rakan anak-anak saya sambil membincangkan persekolahan anak-anak,” cerita Tiara.

Baginya nilai persahabatan terlalu mahal harganya. Justeru walau sibuk diburu persiapan untuk pementasan PGLtM di Singapura pada 24 hingga 26 November ini, rumah terbuka itu diusahakan juga.

*Pertemuan anggota Kit Kat Club

Khalayak yang mengikuti perkembangan seni Tiara Jacquelina seharusnya mengetahui perjalanan seninya bermula sebagai seorang model yang kemudian mengasaskan model agensi Kit Kat Club.

Lebih 10 tahun berlalu. Pada malam ketiga rumah terbukanya, Tiara cukup terharu kerana antara tamunya yang hadir ialah beberapa anggota kumpulan Kit Kat Club.

“Malam ini umpama malam reunion anggota Kit Kat Club. Bukan senang untuk berkumpul semula seperti ini.

“Masing-masing sibuk dengan tugas tersendiri. Tapi bila dapat berkumpul macam ini, rasanya inilah saat yang paling menggembirakan. Dapat kami imbau semula cerita-cerita zaman dulu.., seronok sangat,” kata Tiara.

Antara bekas-bekas anggota Kit Kat Club yang hadir ialah Sofia Jane, Maria Farida dan Aida Rahim.

*Pertama kali beraya di luar negara

Sambutan raya kali ini amat berbeza buat Tiara sekeluarga. Buat pertama kali, Tiara menyambut Syawal di Seoul, Korea Selatan kerana menghadiri forum 3rd Global Culture Industry.

Berada sembilan hari di sana, Tiara sempat membawa cakera padat (CD) Datuk Sharifah Aini untuk mewujudkan suasana raya di negara itu.

“Memang sedih sambut raya di luar negara. Nasiblah saya bawa CD Sharifah Aini. Baru terasa suasana raya.

“Bagi saya sambut raya di mana-mana pun tak kisah asalkan kita dapat bermaaf-maafan dan berkumpul sekeluarga,” katanya yang menyambut raya di salah sebuah pusat peranginan di Korea Selatan.

Kata Tiara lagi, selain terlibat dalam forum yang diadakan di sana, secara tidak langsung ia juga dapat mengubat hati anak sulungnya, Hani Karmila (hasil perkahwinan Tiara dengan allahyarham Hani Mohsein), 9 tahun yang menyambut raya pertama kali tanpa ayah di sisi.

“Alhamdulillah saya tengok keadaan dia okay. Sebelum raya pun kami sekeluarga pergi menziarah kubur Allahyarham, kemudian baru bertolak ke sana,” kata Tiara.

Powered by Utusan Malaysia

Wan Noraini Buat Filem Semula Selepas 13 Tahun

29 Sep

Oleh: WANDA IDRIS

FILEM Cinta Yang Satu merupakan filem kedua Wan Noraini Wan Noh, 51, selepas 13 tahun beliau menerbitkan filem kontroversi Wanita Bertudung Hitam.

Ia merupakan penerbitan pertamanya setelah sembilan tahun berhenti daripada mengusahakan rumah produksi.

Walaupun filem pertamanya pernah mengalami kegagalan namun Wan Noraini tetap optimis dalam penerbitan filem.

“Kak Wan mahu aktif semula,” katanya ketika Mega menemuinya di lokasi penggambaran filem Cinta Yang Satu di Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut bekas ratu cantik tahun 1970-an itu, Cinta Yang Satu hanyalah sebuah filem komedi romantik santai yang berkisar tentang percintaan tiga segi antara Wira, Jamilah dan Zulaikha.

Namun garapannya akan menjadikan filem itu berlainan daripada filem romantik komedi tempatan yang sering disajikan kepada umum.

Bagi Wan Noraini dan pengarahnya, Zulkifli M. Osman, Cinta Yang Satu ialah sebuah filem komersial dengan sentuhan seni.

Gambaran sifat setiap watak dan pembikinan babak tidak klise. Lebih penting lagi ialah komedinya tidak slapstik.

“Kak Wan memang tak suka menghasilkan komedi yang begitu. Malah sebenarnya Kak Wan sukakan filem seni.

“Tetapi melihat pasaran hari ini yang sukakan filem genre ringan, Kak Wan terbitkan juga filem itu tetapi Kak Wan pastikan ia ada sentuhan seni,” kata Wan Noraini Wan Noh yang senang menggelarkan dirinya Kak Wan.

Katanya, dia begitu selektif dalam memilih pengarah agar keinginannya itu mampu direalisasikan.

“Kak Wan boleh bekerja dengan Arief Karmahani dan Zulkifli M. Osman. Mereka berdua memahami kehendak Kak Wan.

“Malah untuk drama-drama terbitan Kak Wan dulu pun, Kak Wan banyak berkolaborasi dengan mereka berdua.

“Bagi Kak Wan, Zulkifli ialah seorang pengarah yang bagus dalam menghasilkan drama cinta dan komedi romantik.

“Sementara kolaborasi Kak Wan dengan Arief Karmahani pula lebih banyak tertumpu kepada penghasilan drama-drama berat,” jelas Wan Noraini.

*Arahan ke-12 Zulkifli

Zulkifli pula memberitahu, Cinta Yang Satu merupakan filem ke-12 arahannya. Dia mengarah filem terakhirnya, Diari Romeo, beberapa tahun lepas.

Filem pertama arahan Zulkifli ialah Mira Edora yang dihasilkannya sewaktu usianya baru 20 tahun.

“Saya bersetuju untuk bekerjasama dengan Kak Wan kerana ada kelainan yang ingin ditonjolkan dalam filem ini.

“Ia sebuah filem komersial yang berseni ala-ala filem Titanic tetapi komedinya seperti filem My Best Friend’s Wedding dan French Kiss,” jelas Zulkifli yang pernah mengarah filem Kekasih Awal dan Akhir, Cinta Metropolitan, Rimba Malam dan Sahabat.

Kata Zulkifli, dia berkeyakinan filem itu mampu menarik perhatian penonton memandangkan kebanyakan filem yang akan ditayangkan pada tahun depan tertumpu kepada genre aksi.

“Saya rasa pembikinan filem ini kena pada masanya,” tegas Zulkifli.

Bercerita tentang pengarahannya, kata Zulkifli, Cinta Yang Satu merupakan sebuah cerita cinta yang perlukan homework kerana ia banyak bermain dengan perasaan dalaman.

“Ceritanya ringan tetapi wataknya berat,” jelas Zulkifli.

Menelan belanja sekitar RM1.7 juta termasuk urusan promosi dan pemasaran, filem tersebut memulakan praproduksinya sejak Mac lalu.

Kini filem Cinta Yang Satu telah pun siap penggambarannya dan sedang menjalani proses pascaproduksi.

FILEM: Cinta Yang Satu

PENGARAH: Zulkifli M. Osman

PENGARAH FOTOGRAFI: Shazawan

SKRIP: Shafuddin Sharif dan Zulkifli M. Osman

PENERBIT: Wan Noraini Wan Noh

TERBITAN: Wan’s Production Sdn. Bhd.

GENRE: Komedi Romantik

LOKASI: Restoran Casablanca, Jalan Ampang, Kuala Lumpur

PELAKON: Zulhuzaimy, Siti Elizad, Ezany, Tengku Sheera, Nabila Huda, Sharifah Sofia, Aida Rahim, Harun Salim Bachik, M. Rajoli dan Suhana Yahya

TAYANGAN: 2007

Powered by Utusan Malaysia

Rina Khan Kini Aktif Menulis Novel

15 Jun

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

MASIH ingat lagi dengan Rina Khan? Penyanyi berimej rambut pendek ini pernah menghasilkan dua buah album sekitar pertengahan 1990-an, Rina Khan Vol. 1 dan Rina Khan Vol.2.

Rina atau nama sebenarnya Sharifah Bibi Farina Sidek, 37, bila diminta mengimbas semula kariernya sebagai penyanyi berkata:

“Tidak ada apa yang hendak dibanggakan kerana saya bukanlah penyanyi popular. Saya sekadar nak cuba nasib sahaja. Sebab itulah orang tidak ingat lagu-lagu saya,’’ katanya.

Kata Rina, dia menjadi penyanyi kerana sekadar ingin mengukur bakat yang ada pada dirinya.

Jelas Rina, dia pernah menjalani uji bakat untuk menjadi penyanyi sebuah kumpulan muzik di kelab.

“Masa remaja biasalah, kita perasan suara sedap. Jadi pergilah uji bakat. Orang kata suara saya tak sedap. Tapi saya tetap kata suara saya sedap dan bila hari-hari menyanyi adalah sedikit perubahan. Lepas itu baru saya buat album. Album pun ala-ala kadar sahaja sebab suara kita bukanlah meletup seperti penyanyi lain,’’ akuinya.

Rina yang merupakan anak sulung daripada enam beradik berasal dari Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. Dia sedar masa depannya sebagai penyanyi tidaklah secerah artis lain.

Justeru, sewaktu kegawatan ekonomi, Rina cuba menjenguk cabang seni yang lain pula. Atas dorongan penyanyi Dilla Hussein yang telah membabitkan diri sebagai penulis skrip, Rina pun cuba menjadi penulis.

Siapa duga skrip drama pertama Rina, RM100,000, yang diadaptasi daripada novel karyanya mendapat sambutan. Lain-lain novel tulisan Rina ialah Crank Call dan Mengejar Pelangi.

“Dari segi penulisan, mentor saya ialah Kak Dilla. Dia yang banyak memberi dorongan dan semangat pada saya. Kalau tidak kerana Kak Dilla, tidak mungkin saya tahu menulis skrip,’’ katanya yang telah menghasilkan enam buah novel dan aktif menulis skrip sejak 1998.

Rina banyak belajar teknik menulis skrip daripada buku-buku yang dibacanya. Sememangnya, kata Rina, dia minat membaca sejak daripada sekolah rendah dan ternyata hobinya itu membawa rezeki untuknya.

Jelas Rina, sesiapa sahaja boleh jadi penulis skrip jika ada kemahuan dan disiplin diri.

“Saya pun masih belajar lagi tapi setakat ini alhamdulillah skrip tulisan saya tidaklah memalukan. Untuk tulis skrip, kita mesti buat penyelidikan terutama kalau menggunakan terma tertentu. Jangan anggap penonton tidak tahu apa-apa.

“Kalau tidak cukup bahan daripada buku, saya akan terus berhubung dengan orang berkenaan. Contohnya, kalau buat cerita tentang penyakit, saya akan temu bual doktor untuk dapatkan penerangan lebih jelas,’’ katanya yang turut menghasilkan skrip telefilem Jatuh Cinta Sekali Lagi lakonan Aida Rahim dan Arash Mohd.

Rina yang merupakan Pengarah Urusan JRJ Management Consultant sejak 1999 ialah seorang yang optimistik dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Ternyata sikap Rina yang sentiasa positif itu mampu meletakkan namanya sebagai salah seorang penulis skrip yang aktif.

Pada waktu yang sama ibu tunggal kepada Natasha Anina, 19 dan Alwi Illys, 12, ini juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pengarah drama.

Menurut Rina, dalam dirinya sentiasa ada azam untuk mencuba sesuatu bidang baru kerana dia adalah jenis insan yang sukakan cabaran.

“Semasa berlakon, saya terfikir sampai bila orang nak ambil saya berlakon? Kebetulan saya ada minat mengarah dan daripada situ saya asah bakat saya dan kini saya nak tumpukan perhatian pada pengarahan dan penulisan skrip sahaja. Entahlah kalau-kalau pada masa akan datang timbul pula minat baru yang lain,’’ katanya yang sekarang ini belajar teknik fotografi.

Rina kini baru selesai mengarah telefilem Karmila lakonan Haliza Misbun dan Zahim Al-Bakri yang berkisar tentang penderaan isteri oleh suami.

Jelasnya, skrip drama Karmila yang bakal disiarkan di saluran Astro pada September ini merupakan hasil karyanya.

“Semua itu berlaku secara kebetulan. Liza (Haliza) tengah mencari pengarah untuk skrip itu dan bila dia tahu saya ada kelapangan, Liza minta saya mengarah. Tidak dinafikan mengarah drama yang skripnya kita tulis sendiri memberikan kita kelebihan kerana kita dapat menggubah sesuatu adegan bila berada di lokasi,’’ katanya yang mula mengarah sejak tahun 2004.

Drama pertama arahan Rina ialah Ilham Karmila. Lain-lain drama arahannya ialah Eksploitasi, Senafas Takbir Terakhir, Harga Sebuah Cinta serta Antara Gunung dan Lautan.

“Setelah melalui liku-liku kehidupan dalam bidang seni, saya sedar kita perlu ikhlas berbakti kepada bidang ini,’’ kata Rina.

Powered by Utusan Malaysia