Duka Kehilangan Orang Tersayang

22 Oct

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

DARI Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita kembali. Setiap yang bernyawa itu pastikan mati,

Bila sampai saat yang dijanjikan, tidak akan dilewat atau dicepat walau sesaat pun. Demikian janji Tuhan.

Sudah menjadi tradisi selepas melaungkan gema takbir dan menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri, umat Islam akan menziarahi pusara kaum kerabat mereka yang telah pergi dahulu menemui Ilahi.

Jika datang bersama keluarga, mereka akan bergotong- royong membersihkan kubur, menghadiahkan bacaan surah Yasin dan tahlil arwah secara beramai-ramai agar roh mereka ditempatkan dalam golongan para solihin.

Kehilangan orang yang tersayang pastinya amat dirasai khususnya bagi mereka yang pertama kali menyambut lebaran ini tanpa mereka. Apatah lagi, jika kubur masih lagi merah.

Tidak dinafikan, kehilangan orang tersayang boleh menjadi satu tragedi yang menghimpit jiwa dan bagi sesetengah orang, boleh mendorong kepada tekanan perasaan. Pendek kata, hanya orang yang mengalaminya sahaja dapat merasai akan keperitannya.

Setiap dari kita mempunyai tahap pengurusan emosi yang berbeza-beza di antara satu sama lain. Bagi sesetengah orang, kehilangan orang tersayang mampu menjadi titik perubahan yang besar di dalam hidupnya, mengajar erti ketabahan.

Bagi yang tidak dapat menerima kenyataan, fasa berdukacita yang sepatutnya memakan masa di antara enam hingga 18 bulan boleh berlanjutan lebih lama dan bertukar menjadi satu krisis emosi yang tidak normal jika tidak dikawal.

Personaliti turut memainkan peranan dalam menentukan bagaimana seseorang itu berkabung. Begitu juga dengan hubungan di antara si polan dengan si mati. Semakin rapat mereka, semakin berat bebanan yang ditanggung.

Ada yang berkata, tiada kehilangan yang lebih buruk daripada kematian anak-anak. Ini kerana, ibu bapa mengharapkan untuk melihat anak-anak membesar.

Pada jangkaan mereka, ibu bapa yang seharusnya pergi dulu, bukan anak-anak. Maut yang menjemput mereka membawa bersamanya harapan dan impian masa depan. Ibu bapa lazimnya rasa bertanggungjawab di atas kematian si anak, tidak kiralah sejauh mana kewarasannya. Seolah-olah sebahagian daripada identiti mereka turut lenyap bersamanya.

Mungkin inilah yang dirasakan oleh pasangan Azhar Mat Isa, 40, dan isteri, Siti Zaidah Ahmad, 35, yang kehilangan zuriat mereka, Siti Nur Rosalinda, 3, yang rentung selepas terperangkap di dalam kenderaan ketika bapanya mencari perumpun di kawasan selut dalam hutan bakau berhampiran untuk dijadikan umpan memancing.

Azhar hanya mampu menangis di sisi kenderaannya selepas terdengar bunyi alat penggera. Usahanya untuk menyelamatkan si anak menemui jalan buntu apabila pintu kereta tidak boleh dibuka dan api marak dengan begitu cepat.

Dia dan isteri hanya menangis ketika menunggu di Rumah Mayat Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang bersama tiga lagi anak mereka. Malah, mereka kelihatan berada dalam keadaan sugul dan trauma sehari selepas kejadian.

Mohamad Adil Naim, 5, yang terselamat di dalam kejadian itu ketika ditanya sama ada sudah membeli baju raya hanya berkata: “Abang belum beli baju raya. Adik (Siti Nur Rosalinda) sudah buat baju raya tapi belum ambil lagi. Abang nak beli dua baju raya.’’

Bagaimanapun, apabila ditanya ke mana adiknya pergi, dengan suara perlahan dia menjawab, “Sudah mati.’’ Dengan kanak-kanak, pakar-pakar psikologi dan psikiatri menyarankan, tiada yang lebih baik daripada bersikap jujur dan telus menceritakan apa yang sebenarnya telah terjadi.

Dalam kes seperti Azhar, ramai yang mempunyai tanggapan salah bahawa, apabila seseorang lelaki menghadapi kematian orang tersayang terutamanya anak-anak, mereka tidak boleh beremosi dan menangis.

Orang menjangkakan lelaki menjadi semangat dan kuat seteguh batu kepada ahli keluarganya yang sedang bergundah-gulana seperti isteri dan anak-anak lain – seseorang yang tidak mudah jatuh dan tersungkur.

Hakikatnya, jangkaan-jangkaan seumpama itu hanya akan menambahkan penanggungan si bapa, serta keperluan mendesak mereka untuk melalui tempoh berdukacita yang sepatutnya, merupakan satu proses yang normal.

Sementara itu, ketika ditanyakan perihal yang sama kepada artis terkenal, Mawi, yang buat pertama kalinya akan merayakan Syawal ini tanpa ayahanda tercinta, anak lelaki bongsu dalam keluarganya itu berkata:

“Saya memang rapat dengan arwah. Sudah tentu, kehilangannya amat saya rasakan. Saat-saat begini, saya sangat merindui abah…

“Sebagai seorang anak, sudah tentu saya mahu membalas jasa-jasa abah kepada saya kerana membesarkan saya selama ini. Tetapi belum pun sempat, abah pergi dulu menyahut seruan Ilahi.’’

“Kalau abah masih ada, niat saya hanyalah untuk membahagiakan abah, mahu abah gembira dan menikmati rezeki yang saya peroleh ini,’’ ujar juara AF3 itu yang dahulunya hanya seorang anak peneroka Felda yang tak punya apa.

Pada awal Julai lalu, Mawi menyertai anak-anak yatim lain apabila Ani Ahmad, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Atan, menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat komplikasi jantung.

Apa pun, Mawi yang mengakui Aidilfitri kali ini pasti terasa lain – hambar tanpa abah di sisi, jauh di sudut hatinya dia tahu, abahnya gembira dengan kejayaannya sejak bergelar juara AF3 sekalipun arwah tidak menunjukkannya.

Ketika ditanya bagaimana dia berhadapan dengan situasi kehilangan orang tersayang, dengan wajah yang tenang tetapi ‘tegas’:

“Saya pasrah. Bagi saya, yang hidup pastikan mati dan yang pergi akan tetap pergi jua. Saya terima hakikat kejadian Tuhan, tentang ajal dan maut manusia.

“Itulah yang menjadi kekuatan saya. Bagi yang hidup, kita perlu teruskan hidup dan terima hakikat,’’ tutur Mawi yang turut cuba mengasah bakatnya menulis lirik lagu bertajuk Ayah, Aku Rindu Padamu yang dimuatkan dalam album Hari Raya AF.

Menjelang lebaran yang bakal tiba sehari dua sahaja lagi, Mawi yang hari ini khabarnya sudah berada di kampung halaman mengakui, tidak sabar rasanya untuk menziarahi pusara abah pada hari raya pertama nanti.

Katanya, mereka sekeluarga juga akan mengadakan tahlil buat arwah yang sebenarnya sudah dimulakan sejak Ramadan lagi.

Ketabahan yang sama turut dikongsi oleh seorang anak kecil yang baru sahaja kehilangan ibunya, Norsehah Abu Bakar atau Seha, 44, Ramadan lalu akibat kanser paru-paru. Tidak lain dan tidak bukan Karissa Iris Lund.

Walaupun baru berusia 10 tahun, dia memiliki semangat sekental daya juang arwah bondanya. Tidak nampak si comel itu menitiskan air matanya sewaktu berada di tanah perkuburan saat pengebumian berlangsung kerana Karissa tidak mahu roh ibunya tidak tenang di sana.

Karissa yang petah dan bijak berkata-kata itu, reda dengan pemergian mummy tersayang apatah lagi di bulan yang penuh barakah ini.

Kes Karissa lebih unik kerana dia tahu tentang penyakit yang dideritai oleh ibunya dan dia tahu, lambat laun ‘mummy’nya itu akan meninggalkannya jua.

Banyak rasa kehilangan yang dialami sejak awal dan setiap satunya mencetuskan reaksi kesedihan tersendiri. Reaksi mental termasuklah kemarahan, rasa bersalah, bimbang, sedih dan putus harap.

Manakala reaksi fizikal boleh jadi gangguan tidur, hilang selera, masalah fizikal atau sakit. Dari segi sosialnya pula mungkin perasaan untuk menjaga ahli keluarga lain dan meneruskan kelangsungan hidup selepas ini.

Tambahan pula, Karissa diberitahu tentang pemergian Seha buat selama-lamanya ketika dia sedang menghadapi kertas peperiksaan di sekolahnya. Kagum dengan kecekalan Karissa! Walaupun kali ini terpaksa beraya tanpa ibu kandungnya yang amat dikasihi.

Demikian segelintir kisah duka kehilangan orang tersayang dan cara mereka menanganinya. Apabila ajal menjemput seseorang, bagi yang tinggal akan mengalami pelbagai emosi yang bercampur baur sekalipun bagi kematian yang telah dijangkakan.

Kebanyakannya melaporkan rasa kaku pada peringkat awal menyusul khabar kematian tetapi proses yang berlaku tidak semestinya berturutan.

Lain-lain peringkat dukacita yang mungkin dialami termasuklah penafian, rasa tidak percaya, keliru, terkejut, sedih, rindu, marah, terhina, putus harap dan bersalah.

Ini adalah satu perasaan yang normal dan reaksi biasa kehilangan. Ia mengambil masa untuk menyerap kesan kehilangan dari beberapa hari ke beberapa tahun lamanya.

Bagaimana seseorang mengendalikan kehidupannya secara amnya, boleh menjadi kayu pengukur cara mana mereka berhadapan dengan kehilangan dan dukacita.

Anda mungkin tidak akan berhenti daripada merindui mereka yang tersayang tetapi, bersama masa ia akan berlalu pergi sekali gus membolehkan anda meneruskan kehidupan hari muka seperti biasa.

Cara yang terbaik adalah untuk membenarkan diri anda melalui proses bersedih dan meluahkan perasaan. Al-Fatihah buat arwah mereka yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh mereka dicucuri oleh rahmat-Nya. Amin.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a comment