Bintang-Bintang Hollywood Hamil

16 Feb

Susunan JESSABELL SOO


JULIA ROBERT bersama anak-anak dan pasangannya.

AKSESORI adalah teman rapat kepada kaum wanita. Tidak kira rantai, subang, gelang, tas tangan mahupun kasut, semuanya menjadi pelengkap hidup wanita.

Mungkin sudah bosan dengan aksesori yang boleh dibeli sesuka hati, golongan selebriti Hollywood kini berlumba melahirkan anak untuk dijadikan sebagai ‘aksesori’ terbaru mereka.

Tidak pasti sengaja atau aliran terkini, dua tahun kebelakangan ini, ramai bayi-bayi Hollywood dilahirkan. Bermula dengan Julia Roberts yang melahirkan anak kembarnya, Hazel dan Phinneaus, 3, serta Henry, 7 bulan dengan suaminya, Danny Moder, aliran kemudian diikuti oleh Angelina Jolie dan Katie Holmes.

Angelina berbaju kebaya?

FOTO Angelina Jolie ini dirakam di Santa Barbara, California baru-baru ini.

Walaupun masih belum berkahwin, Angelina Jolie, 32, melahirkan anak bersama Brad Pitt, Shiloh Nouvel, 19 bulan. Terbaru, dia juga dilaporkan sedang mengandung anak kembar bersama teman lelakinya itu. Namun, pasangan Brangelina itu enggan membuat sebarang komen mengenai perkara tersebut. Ketika mengunjungi Santa Barbara Film Festival di Arlington Theatre di Santa Barbara, California pada 3 Februari lepas, Angelina yang hadir bersama Pitt dilihat menyarung kostum yang seakan-akan kebaya longgar dan ia segera menimbulkan spekulasi mengenai dirinya yang hamil lagi.

Namun pada majlis tersebut, ejen publisiti Angelina telah mengeluarkan arahan kepada para wakil media yang hadir supaya tidak melontarkan sebarang soalan mengenai kehamilan kepada Angelina dan Pitt.

Pelakon filem A Mighty Heart ini sudah mempunyai tiga anak angkat, Maddox, 6, Pax, 4 dan Zahara, 3.

Selain Angelina, Katie Holmes, 29 yang kini merupakan isteri kepada Tom Cruise, 45 turut melahirkan anak sulungnya, Suri sebelum berkahwin. Kini dia dikatakan sedang mengandung apabila dia membeli baju dengan tulisan ‘big sister’ kepada Suri.

Aktres siri hit di TV Alias, Jennifer Garner turut melahirkan anak pertamanya, Violet Anne Affleck pada tahun 2005 dengan suaminya, Ben Affleck.

Penyanyi bermasalah, Britney Spears, 26 juga melahirkan anak pada usia muda dengan bekas suaminya, Kevin Federline. Namun, dia kini telah hilang hak penjagaan kedua-dua anaknya, Sean Preston, 2, dan Jayden James, 16 bulan.

Namun Britney kalah kepada adiknya, Jamie Lynn, 16, yang menjadi selebriti Hollywood termuda hamil anak sulung pada tahun ini.

Pasangan suami isteri Gwen Stefani dan Gavin Rossdale juga sedang menanti kehadiran anak kedua selepas Gwen mendapat pengesahan kehamilannya di hospital Cedars Sinai. Anak sulung Gwen, Kingston kini berusia 20 bulan.

HALLE BERRY

Nicole Richie dan Christina Aguilera masing-masing telah melahirkan bayi bulan lalu di hospital sama. Anak Nicole bersama teman lelakinya, Joel Madden, Harlow Winter Kate Madden dilahirkan pada 11 Januari lalu.

Manakala anak Christina Aguilera, 27 dengan suaminya, Jordan Bratman menyambut kehadiran Max Liron Bratman pada 12 Januari lalu.

Aktres, Tori Spelling yang melahirkan anak pertama, Liam bersama suaminya, Dean McDermott tahun lalu juga sedang mengandung.

Bekas isteri Tom Cruise, Nicole Kidman, 40 turut menyertai senarai bakal ibu selepas dilapor mengandungkan anak pertamanya dengan suami, Keith Urban.

Tahun sibuk buat paparazzi

Seorang lagi aktres yang mengandung pada usia lanjut adalah Halle Berry, 41 bersama teman lelakinya yang merupakan seorang model, Gabriel Aubry, 32.

JESSICA ALBA juga tersenarai dalam barisan wanita terkenal yang sedang hamil ketika ini.

Aktres seksi, Jessica Alba, 26 juga sedang mengandungkan anak sulungnya bersama, Cash Warren, 28.

Sementara itu, Jennifer Lopez, 38 yang sedang mengandungkan anak pertama dengan suaminya, Marc Anthony dilaporkan giat mencari ibu bapa angkat untuk anaknya.

Berlandaskan senarai ibu-ibu selebriti Hollywood yang hamil pastinya tahun ini meriah dengan berita kelahiran bayi-bayi. Nampaknya tahun ini merupakan tahun yang paling sibuk buat paparazzi dalam berusaha mendapatkan foto anak-anak selebriti popular Hollywood ini.

Gambar bayi comel manakah agaknya yang bakal menjadi penghias muka depan tabloid dan majalah dengan harga yang paling mahal? Ini semua menjadi sasaran dan matlamat paparazzi.

Kosmo

Leave a comment