Optimistik Nasha

30 Nov

MEMILIKI fizikal yang tidak akan pernah dilupakan orang dan disempurnakan wajah jelita, Nasha Aziz umpama seorang ikon perawan dunia hiburan.

Memulakan kerjaya di pentas glamor seawal usia 19 tahun, model dan pelakon yang lahir pada 14 Mei 1971 ini telah melewati pelbagai fasa manis dan pahit dalam kehidupannya.

Selain suksesnya Nasha di layar lebar, paling lekat di memori, sensasi dia diintip melalui kamera yang dipasang di kediamannya selain kisah cinta yang selalu tidak kesampaian.

Namun Nasha tetap optimis serta berani berhadapan dengan realiti. Putus tunang dengan Pengarah Fotografi, Helmi Mohd. Yusof sekitar tahun ini bukan alasan untuk dia tidak terus melangkah ke hadapan.

Kini, Nasha akui, dia akrab dengan seorang lelaki berbangsa Cina, Tang Wing Poh, yang baru memeluk Islam pada Ramadan lalu dengan nama Islamnya, Nur Iman Tang.

Dalam satu sesi temu bual sebelum ini, Nasha menjawab persoalan tentang hubungan mereka berdua dengan ringkas: “Kami memang rapat dan sudah enam bulan saya berkawan dengannya. Dia bukan peluk Islam sebab saya, tapi dia memang mempraktikkan amalan Islam sejak sekian lama.”

Hanya selepas dua tahun terjun ke bidang lakonan menerusi filem milik Julie Dahlan, Kad Cinta, Nasha yang dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-14, menerusi filem Bara (1999) yang memang sejak dahulu kurang gemar menggembar-gemburkan kisah peribadinya.

Nasha lebih selesa jika khalayak menumpukan perhatian terhadap perjalanan seninya.

Terbaru, bersama pelakon-pelakon Scha Yahya, Irma Hasmie, Remi Ishak, Zizan Nin dan Hans Isaac, Nasha membintangi drama 13 episod berjudul Awan Dania.

Membawa peranan pramugari senior bernama Kay, dia menghidupkan watak seorang senior atau jurulatih di akademi latihan yang selalu bersikap tegas terhadap Dania (lakonan Scha) kerana sikapnya yang kurang feminin.

Awan Dania yang ditayangkan setiap Isnin pada pukul 9.00 malam, di Astro Ria (saluran 104) menceritakan tentang kesungguhan Dania bergelar pramugari dan keazamannya melepasi peringkat latihan biar terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk mencapai matlamatnya.

Kosmo

Leave a comment