Tarikan Awan Dania

30 Nov

Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com.my

Rap

CANTIK, lincah dan bergaya adalah ungkapan tepat bagi menjelaskan personaliti tiga pelakon ini, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, 24, atau mahu dikenali sebagai Scha Al-Yahya, Irma Hasmie Ibrahim, 26 dan Farah Alya As’ri, 24.

Mereka bertiga dipertemukan dalam drama Awan Dania yang kini sedang bersiaran di Astro Ria, setiap Isnin, jam 9 malam. Drama 13 episod itu masih menjalani penggambaran di Akademi Air Asia, Sepang. Terikat dengan komitmen pada drama itu, Scha, Irma dan Fara setiap hari menghabiskan masa di akademi itu.

Pelakon lain drama itu, Mohd Zalimie Ishak atau mesra dengan nama Remy Ishak, 26 dan Nasha Aziz, 37. Tiga lagi watak utamanya, Hans Isaac, Zizan Nin dan Umie Nazeera. Namun mereka tidak menyertai sesi fotografi itu kerana tiada terbabit dalam penggambaran pada hari itu.

Mengenakan sut tiga lapis rona merah darah, sekali pandang mereka adalah sebahagian daripada kakitangan tetap syarikat penerbangan tambang murah terulung itu. Berbeza dengan Scha yang pernah berkhidmat selama setahun dengan Air Asia, semestinya dia tidak kekok pegang watak utama sebagai pramugari bernama Dania. Tetapi ia kejutan buat Irma dan Farah kerana selama ini mereka menyangka pekerjaan di langit biru itu senang.

SUSAH JADI PRAMUGARI

Sorong troli makanan dan melayan penumpang. Itulah gambaran Irma dan Farah mengenai pekerjaan yang dipandang glamor itu sebelum mereka berlakon drama itu. Awan Dania memberikan gambaran sebenar kerjaya itu dan kriteria yang diperlukan untuk menjawat jawatan itu.

Kata Irma, bukan senang seperti yang difikirkannya sebelum ini. Ia bermula dengan proses temuduga dan selepas berjaya mereka terpaksa menghadiri pelbagai kelas termasuk kelas penampilan diri, etika berpakaian, belajar mengenai pesawat dan sistem yang ada di dalamnya, aspek keselamatan serta berenang.

“Untuk menjadi pramugari ia memerlukan disiplin tinggi dan ketahanan mental serta fizikal. Kerap diadakan ujian untuk mengetahui tahap kecekapan dan kemahiran pelatih. Sangat menarik dan membuka minda saya terhadap kerjaya ini,” katanya yang pegang watak ‘budak baik’ bernama Fifi.

Berlakon drama berepisod seperti Awan Dania banyak mencuri masanya sehingga dia terpaksa menolak beberapa tawaran projek lain. Pun begitu, Irma yang sudah empat tahun melayari hidup sebagai anak seni semakin bijak mewarnai karektor.

“Dulu saya tidak tahu apa-apa mengenai lakonan kerana tidak terfikir pun hendak jadi pelakon. Selepas menang pertandingan Gadis Jelita, David Teo (Penerbit MIG) terus ambil saya menjadi artisnya berlakon dalam filem Cinta Fotokopi. Saya hanya fikir selepas menang hendak jadi model sambilan dan bekerja sebagai juruteknik berdasarkan pengkhususan yang diikuti di UTM (Universiti Teknologi Malaysia), Jalan Semarak.

“Namun cita-cita dan takdir hidup saya berbeza. Jadi saya berlakon saja dengan mengikut arahan pengarah. Hendak tanya apa pun saya tak tahu. Saya bukan dilahirkan untuk menjadi orang seni dan tidak minat berlakon.

“Tetapi pengalaman menukar pandangan saya terhadap bidang lakonan. Selepas tiga tahun minat berlakon datang kerana sudah tahu apa itu lakonan. Apabila dah minat saya rajin bertanya pengarah. Dulu paling susah berlakon watak menangis. Pengarah pernah ketuk kepala saya dengan skrip kerana tak boleh menangis.

“Lama kelamaan barulah tahu saya kena ‘masuk’ dalam watak itu baru kita boleh menghayati kesedihan watak itu. Perasaan malu juga menyebabkan lakonan saya terbatas. Gaya rambut dan baju pun tidak pernah berubah. Sekarang saya tahu, setiap watak yang diberikan berbeza personaliti,” katanya.

DARI SUKA-SUKA TERUS MINAT

Scha pula berkata, bukan cita-citanya menjadi pramugari. Saja mencuba nasib langsung berjaya. Tetapi selepas setahun bekerja, kerjaya itu tidak sesuai dengannya. Lalu dia berhenti dan menyertai pertandingan Dewi Remaja 2006/2007. Kemenangan itu membuka hala tuju baru dalam hidupnya apabila terjebak’ dalam persada seni.

“Setiap yang berlaku dalam hidup saya tanpa dirancang. Saya ingat jadi pelakon pun tak lama. Tetapi apabila dah banyak kali berlakon dan tahu selok belok dalam bidang in, saya rasa suka pula. Lagipun sampai bila saya asyik hendak mencuba kerja baru. Usia kian bertambah.

“Jadi inilah kerjaya saya sekarang. Sepanjang dua tahun berlakon, saya nampak bidang ini menjanjikan masa depan cerah jika rajin berusaha.

“Saya tahu bukan senang jadi anak seni. Oleh itu saya bulatkan hati mahu nama saya bersih tanpa gosip panas. Misalnya sekarang saya agak rapat dengan Fahrin. Saya mengaku berkawan dengannya tetapi sejauh mana hubungan kami biar Allah tentukan.

“Jika benar ada sesuatu di antara kami kami berdua, saya akan mengaku pada masyarakat. Saya tidak mahu hidup dalam kepura-puraan. Saya juga tidak mahu terlalu ‘expose’ diri kerana itu membuatkan orang mudah menabur segala bentuk fitnah. Lepas habis kerja balik rumah.

“Saya sudah melalui zaman remaja yang menggembirakan jadi sekarang tumpuan untuk masa depan. Pernah juga rasa ‘give-up’ berlakon kerana gagal puaskan hati penonton. Mereka komplen lakonan saya ‘keras’. Saya memang begini dan memang susah hendak berlagak seperti ‘wanita Melayu terakhir’. Watak Dania yang ala tomboi dalam drama ini memang secocok benar dengan jiwa saya,” katanya.

FARAH PUAS WATAK JAHAT

Farah pula bermula sebagai penulis skrip dengan Astro. Awal tahun ini dia berhenti dan bergerak sendiri. Mengenali ‘orang dalam’ stesen satelit itu dia ditawarkan berlakon drama Renjis 1, Lu Fikirlah Sendiri (program Nabil Raja Lawak), telefilem berjudul Popular serta muncul dalam drama Front Page dan filem Otai.

Dengan raut wajah yang sombong, Farah ditawarkan pegang watak Puteri dalam Awan Dania. Jelasnya, Puteri bukanlah jahat sangat. Dia cuma suka berlagak dan tidak mahu ‘kalah’ dengan kawan-kawan sebab itu orang nampak dia jahat. Hati dia tidak busuk mana pun.

“Puas bawa watak jahat dan tidak kisah jika pengarah terus menawarkan watak itu. Biarlah orang kata ia stereotaip tetapi saya suka. Tidak pernah bosan jadi jahat kerana kejahatan manusia dalam dunia ini pelbagai.

“Setakat ini Awan Dania platform terbaik saya memperkenalkan diri kepada masyarakat,” kata bekas graduan Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

REMY TAK SOMBONG

Remy antara pelakon yang sedang meningkat naik, dilabel sebagai sombong dan mula lupa diri kerana jarang melayani permintaan wartawan mengadakan sesi fotografi dan temubual dengannya.

Menangkis tohmahan itu, jelas Remy dia masih baru dan masih dalam fasa menyesuaikan diri.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon banyak. Ada juga penggambaran drama yang tiada jadual khusus. Seperti saya berlakon dalam Awan Dania ini, tumpuan sepenuhnya kepada produksi ini. Boleh dikatakan saya selalu berada dalam keadaan ‘on call’. Bila-bila masa orang panggil untuk penggambaran.

“Sebagai pelakon baru saya sedar diri. Saya belum ada keberanian minta pengarah menetapkan jadual saya. Nanti saya dikatakan dah mula ‘besar kepala’ dan sebagainya. Oleh itu saya tidak berani berjanji dengan wartawan bila boleh bertemu mereka. Takut gagal memenuhi janji.

“Saya juga tidak berani minta wartawan datang ke lokasi tanpa kebenaran pengarah. Saya memang ada dengar orang kata saya sombong tetapi saya tak sangka pula perkara sekecil itu boleh jadi isu. Saya tahu saya masih bertatih dalam industri.

“Untuk menjernihkan semula keadaan, selepas habis penggambaran Awan Dania, saya akan bercuti dua minggu dan menghubungi wartawan. Waktu itu bolehlah saya memperuntukkan masa untuk apa juga sesi fotografi,” katanya.

NASHA PUJI PELAKON BARU

Nasha Aziz yang berlakon sebagai jurulatih pramugari, tiada masalah bekerja dengan Irma, Scha dan Farah.

“Bekerja dengan mereka menggembirakan saya. Di bilik solek seronok dengar mereka berbual. Mendengar celoteh mereka membuatkan saya teringat masa sebaya mereka dulu. Saya juga buat mereka rasa senang dengan kehadiran saya. Sebagai pelakon baru, lakonan mereka bagus dan mereka cepat belajar.

“Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri dan mereka laksanakan arahan pengarah dengan baik. Dalam cerita ini fokus utama kepada Dania dengan dibantu watak Puteri, Fifi dan Iman (Umie Nazeera). Kru produksi pun bagus dan saling menghormati. Tidak pernah saya dengar mereka mengumpat sesama sendiri,” katanya yang akan berangkat ke Hong Kong dan Shanghai untuk tugas peragaan seusai penggambaran drama itu tamat.

Mewakili Irma dan Farah, Scha berkata, mereka juga suka bekerja dengan Nasha yang sangat mesra.

“Nasha tak sombong. Dia yang banyak mengajar kami cara hendak membawa karektor masing-masing. Tak adalah dia membiarkan kami terkontang-kanting. Mulanya segan juga tetapi dengan caranya yang begitu ringkas kami senang dengan kehadirannya,” katanya.

Harian Metro

Leave a comment