Tahun Gerhana

31 Dec

GERBANG tahun baru 2008 dibuka dengan penuh rasa cemas dan bimbang. Baik di Malaysia atau di peringkat antarabangsa, seakan ada satu gelombang awal yang mengiakan kebenaran kata Pengarah Program Makanan (WFP), Gian Carlo Cirri: “Tahun 2008 adalah tahun yang sangat berbahaya.”

Menyusuri masa sepanjang tahun 2008, kekalutan akibat kekurangan sumber makanan selain lonjakan harga beras di paras luar biasa, adalah petanda awal sesuatu yang lebih buruk berlaku pada tahun ini.

Krisis harga beras menyebabkan banyak negara di dunia mengalami kebuluran. Harga beras mencecah paras tertinggi dengan harga beras putih yang diimport Malaysia dari Thailand naik lebih 150 peratus dalam tempoh 10 bulan lepas mencecah AS$1,000 setan (RM3,150).

Petaka bagi pengguna tahun ini berterusan apabila peningkatan harga minyak mentah dunia berada di luar kawalan. Daripada harga sekitar AS$90 (RM270) setong pada awal Januari, bahan api itu melonjak sehingga AS$148 (RM473.60) setong pada Julai lalu.


ORANG ramai berebut mengisi minyak pada saat akhir sebelum harga bahan api itu dinaikkan.

Pada 3 Jun, Kerajaan Malaysia terpaksa menaikkan harga bahan api sebanyak 78 sen bagi petrol dan RM1 bagi diesel. Ia menjadikan harga bahan api itu di pasaran mencecah RM2.70 dan RM2.58.

Pengguna di seluruh dunia Oktober lalu juga berdepan dengan kejutan paling dahsyat apabila sejenis bahan kimia dikenali melamin didapati digunakan secara meluas dalam produk susu China. Dengan lebih 53,000 orang disahkan menghidap penyakit ginjal dan empat bayi mati akibat melamin, Malaysia tidak terkecuali terkena tempiasnya.

Tahun ini juga buat julung kalinya mencatatkan sejarah terburuk pilihan raya, apabila lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan menjadi milik pembangkang. Hari pertama persidangan Dewan Rakyat itu turut mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya persidangan Dewan Rakyat diberi liputan siaran langsung televisyen menerusi saluran RTM1 selama 30 minit.


BERAS menjadi komoditi paling bernilai awal tahun ini berikutan harga yang tinggi selain bekalan yang berkurangan.

Kekalahan Malaysia dalam perebutan Pulau Batu Putih kepada Singapura dalam perbicaraan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa juga mencetuskan isu yang bukan sedikit.

Penghujung tahun 2008, menyaksikan Majlis Fatwa meraih perhatian apabila mengeluarkan dua fatwa kontroversi membabitkan pengharaman pengkid dan yoga. Penganugerahan ‘Datuk’ kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan turut mengundang kontroversi di kalangan rakyat negara ini. Satu berita gembira sebelum itu ialah bandar Melaka diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), di samping bandar raya Georgetown di Pulau Pinang.

Mangsa sindiket dadah


RINGGO

SINDIKET dadah antarabangsa yang menggunakan wanita tempatan sebagai kurier dadah turut menjadi kebimbangan. Ini berikutan peningkatan jumlah wanita yang ditahan di luar negara, malah dalam tempoh tiga bulan pertama 2008 seramai 18 wanita tempatan ditahan.

Pemain dram kumpulan Fotograf, Sham Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ringgo turut meringkuk dalam penjara di Caracas, Venezuela kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran dadah.

Dapatkan artikel Imbasan 2008 sepenuhnya di Kosmo! hari ini.

Kosmo

Leave a comment