Borak Lokasi: Rancang Teliti Aksi Lagak Ngeri

12 Feb

Rap
BAGI filem aksi seperti Remp-It V3, khidmat pelakon aksi lagak ngeri penting dalam menghidupkan adegan yang dilakonkan agar memberi kesan pada penonton. Mohd Razib Salimin bukan hanya terbabit sebagai pelakon aksi lagak ngeri tetapi turut menyelaras adegan berbahaya yang ingin dilakonkan.

Kata Mohd Razib, cabaran melakonkan aksi untuk filem sekuel kali ini mengundang risiko lebih besar berbanding filem pertama yang lalu. Sungguhpun dia sudah membiasakan diri dengan aksi yang ingin dilakonkan tetapi latihan dan perancangan teliti mengenai teknik aksi lagak ngeri perlu dititikberatkan.

“Dalam filem Remp-It yang lalu, saya hanya melakonkan enam aksi membabitkan jatuh dengan motosikal. Namun, untuk sekuel kali ini, saya dikehendaki melakukan 20 aksi jatuh. Saya menganggap lakonan kali ini paling mencabar dan saya perlu pastikan aksi yang dilakonkan nampak seperti kemalangan sebenar.

“Pada saya, lakonan untuk aksi lagak ngeri dikategorikan ekstrem. Jika jatuh biasa, ia tidak mempunyai banyak masalah tetapi jika adegan itu memerlukan jatuh berpusing, ia sebaliknya. Sebelum ini, ketika penggambaran filem ini di Alor Star, saya melakonkan aksi jatuh di tepi empat kereta dan ia cukup berbahaya.

“Filem ini turut menggunakan khidmat 17 pelakon lagak ngeri lain dan sebagai persediaan, kami juga perlu mahir mengendalikan motosikal. Sejak mula berkecimpung dengan bidang ini pada 1997, saya tidak serik untuk berlakon aksi lagak ngeri kerana minat.

“Saya bersama beberapa rakan kerap berlatih sekurang-kurangnya empat kali sebulan. Namun, ada ketika kami hanya berlatih pada masa lapang kerana masing-masing mempunyai kerja lain. Berbeza dengan senario filem tempatan suatu ketika dulu, aksi lagak ngeri tidak terlalu diberi perhatian tetapi kini koreografi lagak ngeri menjadi satu elemen penting khusus untuk filem aksi.

Berdasarkan pengalaman 11 tahun dalam bidang aksi lagak ngeri, Mohd Razib berbangga dengan pencapaian anugerah Penyelaras Aksi Terbaik dan Pelakon Aksi Lagak Ngeri Terbaik pada majlis anugerah Oskar anjuran Persatuan Pekerja Filem Malaysia yang diterima pada 2006. Katanya, dia menganggap anugerah yang diterima sebagai pengiktirafan tetapi prinsip ketika bekerja sentiasa mahu memberikan hasil kerja terbaik.

Mohd Razib, 49, pernah menimba pengalaman sebagai jurulatih pasukan polis untuk latihan bersenjata, kawad dan seni mempertahankan diri sejak 1979 hingga 1993. Pernah terbabit dengan filem Bollywood iaitu Hidden, tiga tahun lalu, dia kini menguruskan syarikat lagak ngeri sendiri iaitu MRS Stuntmaster yang beroperasi sejak lapan tahun lalu.

“Paling penting, setiap pelakon aksi lagak ngeri perlu menjaga keselamatan ketika bekerja. Kemalangan yang paling teruk pernah saya lalui ketika berlakon filem Evolusi KL Drift. Saya yang menggantikan Farid Kamil mengalami kecederaan teruk pada muka selepas melambung atas kereta yang melanggar saya.

“Sebelum ini, saya pernah mendapat tawaran menjadi pengarah pada 2002 tetapi jiwa saya lebih cenderung pada aksi lagak ngeri. Sejak tiga tahun kebelakangan ini, banyak juga tawaran berlakon yang saya terima. Walaupun ada ketika bayaran yang diterima sedikit tetapi saya berhasrat untuk mempromosikan diri agar dikenali ramai,” katanya.

Harian Metro

Leave a comment