Watak Kecil, Kesannya Besar

17 Mar

Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

GANDINGAN tiga pelakon berbakat ini memantapkan persembahan Teater Muzikal Ibu Zain.

Tiga pelakon puas hati jayakan Teater Muzikal Ibu Zain yang dipentaskan dari 13 hingga 22 Mac

MISS Shellebear adalah watak mubaligh Kristian yang pernah mencetus kontroversi kerana ramai yang mempersoalkan kepercayaan agama bekas kumpulan Elite, Avaa Vanja Ramli selepas menyaksikan pementasan teater Muzikal Ibu Zain tahun lalu.

Kini pementasan yang mengangkat tokoh wanita terulung itu sedang dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac, di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Sudah tentu isu mengenai pembabitan gadis berusia 29 tahun ini bakal dibangkit kembali dan Avaa tetap bersedia menjawab persoalan yang cuba ditimbulkan bagi mereka yang tidak memahami peranannya sebagai pelakon.

“Saya sedaya-upaya cuba melakukan yang terbaik pada kerjaya saya. Saya hanya melakonkan watak yang diberikan oleh pengarah mengikut kebolehan dan bakat yang di lihat dari saya.

“Bagi saya lakonan hanyalah ilusi yang cuba diterjemahkan melalui skrip ke atas pentas. Saya sangat berharap orang ramai melihat sendiri watak yang dibawa oleh saya dan jawapannya pasti ditemuinya,” katanya.

Mengenai watak Miss Shellebear, Avaa berpuas hati dengan peranan yang diberikan pengarah Rosminah Tahir.

“Watak saya sama saja dan tiada ada langsung perubahan daripada sebelum ini. Tetapi apa yang pasti kemungkinan cara penyampaian saya menjadi lain sedikit kerana kali ini saya bergandingan bersama Natasha Hudson yang menggantikan Catriona Ross.

“Memang setiap pelakon harus mengenali siapa pasangannya. Bagi saya juga, Natasha adalah pelakon berbakat dan saya tidak ada masalah digandingkan dengannya,” katanya yang mula berlatih sejak 10 Februari lalu.

Bagi Datin Natasha Hudson pula, dia memang sudah lama memasang impian untuk beraksi di pentas teater dan akhirnya tercapai juga selepas dihubungi penerbit teater itu Siti Rohayah Atan.

“Minat saya dalam bidang seni bukan saja kepada lakonan filem dan televisyen. Sebelum ini saya tidak pernah berkesempatan untuk menguji bakat saya dalam bidang teater walaupun sebelum ini banyak tawaran.

“Saya memerlukan masa untuk berfikir disebabkan sayang untuk meninggalkan anak. Akhirnya selepas mendapat nasihat daripada keluarga dan kawan-kawan, saya menerima watak Miss Ruth yang sebelum ini pernah dibawakan oleh Catriona Ross,” katanya.

Natasha yang memiliki Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago mengakui tidak terlalu mengharapkan mendapat peranan kecil memandangkan ini adalah kali pertama dirinya terbabit dalam bidang teater.

“Dapat membawa tiga babak saja dalam teater ini sudah memadai disebabkan saya sangat baru dalam bidang teater,” katanya.

Penyanyi dan komposer wanita, Nur Fatimah Abdul Wahab yang masih mengekalkan watak sebagai Ibu Zain dewasa secara keseluruhan seronok apabila pengarah masih memilihnya untuk membawakan watak itu.

“Secara keseluruhan watak saya tidak berubah. Pengarah hanya mahu dialek Johor harus dipertingkatkan lagi. Walaupun ini kali kedua saya membawakan watak Ibu Zain, namun saya juga harus bekerja keras seperti pelakon lain.

“Bagi saya ini kerja berkumpulan dan kerja teater ini memerlukan komitmen yang tinggi untuk mencapai satu kejayaan. Saya berkorban melakukan ini untuk diri saya dan untuk produksi sendiri. Selain menghafal skrip, saya juga akan menyanyi lebih kurang tujuh lagu secara ‘live’ dan ini adalah cabaran saya,” katanya.

Teater anjuran Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia dengan kerjasama Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Asra), Istana Budaya, CTRA Production, MaTiC, De’Media dan Event Entertainment turut menamakan nama besar dalam bidang lakonan seperti

Datuk Rahim Razali, Liza Othman, Datuk Jalaluddin Hassan, Nurul Elfira Loy, Nurul Syariza Nor Azim, Hamzah Tahir, Sherry Syed Abdullah, Farah Adila Apandi, Mazin Ameen Siraj dan Zuhairi Ibrahim.

Info Avaa

Nama Sebenar: Avaa Vanja Ramli

Panggilan: Avaa

Tarikh Lahir: 18 Jun 1980

Usia: 28 tahun

Tempat Lahir: Ampang, Selangor

Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan pengacara

Status: Bujang

Rancangan TV: Pop TV, Bintang Anugerah 2001 (RTM), Thumb TV dan Thumb Express

Info Natasha

Nama Sebenar: Natasha Liana Hudson

Usia: 26 tahun

Tarikh Lahir: 9 September 1982

Tempat Lahir: Ipoh, Perak

Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago

Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku

Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal

Rancangan TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman

Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara

Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri

Info Nur

Nama sebenar: Nur Fatimah Abd Wahab

Tempat lahir: Ipoh, Perak

Tarikh lahir: 22 Julai 1982

Profesion: Penyanyi, pencipta lagu, penulis lirik, penerbit

Album: Selembut Sutera, Gadis

Teater: Muzikal Ibu Zain

Info

Teater Muzikal Ibu Zain diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan Aman Malaysia yang dinaungi Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, mendapat kerjasama CTRA Production, MaTiC, Aswara, Istana Budaya, De’Media dan Event Entertainment.

Dipentaskan sejak 13 Mac lalu hingga 22 Mac di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur.

Tiket bagi menyaksikan berharga RM20, RM30 dan RM50.

Keterangan lanjut layari http://www.ibuzain.blogspot atau telefon 03-6186 6592, 012-2977220 dan 017- 2004249.

Berita Harian

Leave a comment