Aweera, Tomok Sama-Sama Setia

14 Apr

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
BERTENTANGAN karakter, namun berkongsi cita rasa hampir sama kerana kedua-duanya adalah peminat muzik rock. Bezanya, muzik pilihan Shah Indrawan Ismail, 24, atau Tomok, lebih terarah kepada pop rock sementara Nasharul Aweera Noriyissham (Aweera), 18, menjurus metal rock.

Pun begitu, di sebalik sedikit percanggahan itu, personaliti Tomok dan Aweera di luar gelanggang One In A Million (OIAM) sebenarnya tidak banyak beza. Sama-sama memiliki perwatakan sopan dan boleh dikategorikan sebagai mamat ‘cool’.

Lebih daripada itu, kedua-dua pemuda ini sebenarnyaberkongsi misi sama dalam memburu kemenangan menerusi program popular terbitan TV8 ini. Perjuangan mereka bukan untuk kepentingan sendiri sebaliknya membawa bersama semangat berkumpulan.

Tomok berkata, pembabitannya dalam OIAM bukan bermakna dia meninjau peluang bergerak solo sebaliknya ‘platform’ ini digunakan untuk kebaikan New Boyz sendiri.

“Sudah 10 tahun saya bersama New Boyz, banyak kenangan pahit dan manis kami lalui bersama. Melaluinya saya membesar, mengenal keindahan muzik dan selagi mampu bertahan, saya akan cuba pertahankannya. Apatah lagi, barisan pemuzik New Boyz yang ada sekarang adalah terbaik.

“Andai suatu hari nanti saya muncul dengan album solo sekalipun, itu tidak bermakna NB dilupakan. Bagi saya, album projek khas yang diperkenalkan ramai artis berkumpulan antarabangsa dan Indonesia bukan lagi fenomena baru,” katanya.

Tomok berkata, seiring kematangan dan peningkatan usia, anggota New Boyz sepakat menggunakan jenama NB sebagai nama kumpulan. Katanya, sebelum menyertai OIAM, dia sempat menyiapkan dua single bersama NB iaitu Kau Pergi dan Terima Kasih Hero.

Menceritakan pengalaman yang ditimba melalui OIAM, jelas ia satu langkah yang bijak kerana melalui platform yang disediakan Tomok dapat menonjolkan bakatnya sebagai pemuzik yang sebelum ini tidak disedari sesetengah pihak.

“Rancang masuk OIAM sejak musim kedua lagi, tetapi masa itu saya masih ada kontrak dengan SRC Records. Sekarang ini New Boyz sudah bebas sepenuhnya daripada syarikat rakaman, jadi senang untuk bergerak.

“Berbeza dengan NB, OIAM memberi saya ruang dan peluang menonjolkan kelebihan dan kemampuan yang ada. Bersama NB, bukan kami sengaja membataskan idea cuma apabila terikat dengan syarikat rakaman bermakna artis tidak bebas membuat keputusan.

 

 

“Di OIAM, saya tumpukan pada persembahan. Apa yang menarik mengenai program ini peserta terpaksa harus menghadapi cabaran menjadikan sesebuah lagu seperti lagu sendiri.

“Di sini, menunjukkan kewibawaan peserta serta daya kreativiti mereka dalam penyusunan dan komposisi lagu. Dari segi vokal juga banyak berubah. Kalau sebelum ini nyanyi main belasah, sekarang lebih lancar.

“Kalau hendak dibandingkan dengan dulu, imej saya sekarang sudah lain. Dulu mana ada pakai celak macam ni. Yang penting, saya mahu penonton tahu saya bukan lagi anak-anak kecil sebagaimana mereka kenali dulu,” katanya.

Akuinya, perjuangan dalam industri muzik adalah serius bahkan lega kerana mutakhir ini sering menerima maklum balas positif daripada penonton yang seakan menghargai usahanya.

Mengenai pembabitan kakaknya, Ismaliza Ismail (Isma), 30, dalam program realiti Akdemi Fantasia 7 (AF7), yang sedang berlangsung kini, Tomok berkata, kakaknya sememangnya layak berada di situ.

“Saya sebenarnya ajak dia masuk OIAM sebab tahu dia ada bakat cuma tidak pernah ada peluang ketengahkan diri. Tapi, katanya, dia malu. Jadi, terkejut jugalah apabila dapat tahu kakak mengikuti uji bakat AF7.

“Dia maklumkan kepada saya yang dia lulus semua peringkat ujian dan akhirnya dipilih antara 20 peserta terbaik. Sejak itu kami tidak dapat berhubung sampailah sekarang,” katanya.

Sama seperti Tomok, Aweera juga mahu meneruskan perjuangannya bersama kumpulan Metronome selepas tamat program ini selain muncul dengan album solo.

“Album solo bersifat lebih peribadi daripada seseorang artis manakala album berkumpulan menghimpunkan idea pelbagai pihak. Jika diberi peluang, saya mahu mencuba kedua-duanya.

“Jujur saya katakan, saya lebih suka membuat persembahan di atas pentas secara berkumpulan kerana ia memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan,” katanya.

Mula mengasah bakat menyanyi seawal usia 12 tahun, peserta berasal dari Utara negara ini menjadikan Awie dari kumpulan Wings sebagai ikonnya.

Mahu mencipta fenomena sebagai penyanyi lelaki memiliki nada suara paling tinggi, Aweera, mempelajari teknik nyanyian tanpa sebarang pendidikan formal sebaliknya usaha keras selama enam tahun.

“Enam tahun saya berlatih untuk mendapatkan suara seperti hari ini. Saya berjoging sejauh 11 kilometer seminggu sekali untuk mengumpul stamina.

“Ramai orang tidak faham kenapa saya mahu menjadi penyanyi memiliki nada suara paling tinggi. Sebenarnya saya berasakan ia satu kelebihan selain mahu cipta sesuatu yang baru dalam industri nyanyian.

“Terpulang pada orang jika mereka yang anggap saya mengarut tetapi, pada saya ia adalah satu kepuasan,” katanya.

Pernah memenangi beberapa pertandingan peringkat negeri dan daerah, anak ketiga daripada empat beradik ini bertuah kerana minatnya mendapat sokongan padu keluarga.

“Keluargalah yang banyak memberi sokongan. Saya tidak pernah terfikir pun untuk menyertai OIAM tetapi kerana desakan merekalah saya mencuba,” katanya.

Mengakui setiap peserta adalah pesaing apatah lagi kesemua yang masih kekal mempunyai ciri khas tersendiri dan kekuatan masing-masing.

“Semua orang pasti ingin menang begitu juga saya. Jika nasib tidak menyebelahi sekalipun, pengalaman yang ditimba melalui program ini sudah cukup besar ertinya.

“Di sini juga persahabatan terjalin dan peserta lelaki khususnya sudah seperti adik-beradik ,” katanya.

innity_pub = “c16a5320fa475530d9583c34fd356ef5”;
innity_cat = “NEWS,MALAY”;
innity_zone = “194”;
innity_width = “260”;
innity_height = “230”;

Harian Metro

Leave a comment