Musim Ketiga Lebih Matang

6 Dec

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
(Yang mengikuti rombongan penggambaran Awan Dania di Seoul, Korea Selatan oleh Astro, baru-baru ini)

KALI pertama mula ditayangkan sekitar dua tahun lalu, drama bersiri Awan Dania dengan pantas meraih populariti yang cukup luar biasa.

Kehebatan drama itu juga menjadikan Awan Dania sebagai salah sebuah drama yang mencatatkan rating tertinggi di Astro Ria.

Mengambil pendekatan berbeza daripada drama bersiri tempatan yang sedia ada, keunikan Awan Dania terletak kepada konsep penceritaan yang memfokuskan tentang dunia awan biru.

Bukan itu sahaja, kelebihan drama bersiri itu juga terletak kepada barisan pelakon yang semuanya boleh dikatakan memiliki pengaruh besar dalam bidang lakonan.

Menerusi Awan Dania jugalah, ia berjaya melonjakkan nama teraju utamanya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau lebih dikenali sebagai Scha Al-Yahya selaku Dania.

Entah di mana silapnya, musim kedua yang ditayangkan tahun lalu tidak berupaya menandingi kehebatan musim pertamanya.

Peminat yang dahulunya menyokong siri itu dilihat semakin berkurangan dan mereka sendiri mengatakan musim kedua Awan Dania semakin hilang taringnya.

Ada yang mengatakan barisan pelakon musim kedua tidak sekuat musim pertama. Tidak kurang juga ada yang melihat jalan ceritanya gagal memikat hati mereka.

Apakah masalah sebenarnya yang menimpa produksi drama bersiri itu sehingga membawa kepada penurunan rating Awan Dania musim kedua?

“Memang saya harus akui banyak masalah yang dihadapi semasa musim kedua sehingga terpaksa berganti syarikat produksi untuk meneruskan penggambaran.

“Kerana itu jugalah, ia telah menyebabkan semua jadual telah bertembung dan kami tidak dapat mengembalikan pelakon asal untuk membintangi Awan Dania musim lepas.

“Banyak yang perlu dilakukan termasuklah rombakan dari skrip agar ia dapat disesuaikan dengan jalan cerita dan barisan pelakon yang baru,” jelas pengarah Awan Dania musim kedua, Dinesh Samby yang enggan menjelaskan lebih lanjut permasalahan yang dihadapi sepanjang tahun lalu.

Pengarah kelahiran India itu ditemui di lokasi penggambaran Awan Dania musim ketiga di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Demi mengembalikan populariti Awan Dania seperti mana musim pertama, Dinesh cukup optimis dengan penghasilan musim ketiga yang sudah pun ditayangkan sejak 22 November lalu.

Masih lagi mengekalkan Scha Al-Yahya dan Jehan Miskin sebagai teraju utama, Dinesh melihat musim terbaru lebih matang seiring dengan perjalanan hidup Dania.

Jika dua musim terdahulu, Dania bertugas di syarikat penerbangan terkenal, kali ini ia memperlihatkan Dania melangkah setapak lagi dalam kariernya sebagai seorang pramugari.

Untuk musim ini, penonton dan peminat drama bersiri itu akan dapat melihat cabaran yang perlu dipikul oleh Dania apabila berkhidmat dengan sebuah syarikat penerbangan peribadi.

Pada masa yang sama juga, penceritaan turut difokuskan kepada kehidupan peribadi Dania menerusi hubungan cintanya dengan Benjy (Jehan).

“Kami banyak belajar daripada pengalaman lalu dan segala kelemahan kami cuba perbaiki untuk musim ketiga ini. Kisah kali ini lebih matang dari segala aspek termasuk watak dan jalan ceritanya.

“Setakat ini, kami cukup berpuas hati dengan hasilnya. Bukan itu sahaja, sebagai pengarah, saya tidak mempunyai masalah dengan para pelakon saya kerana mereka

memberikan apa yang saya mahukan.

“Ada juga ketika kami berdepan dengan masalah komunikasi kerana bahasa Melayu saya yang kurang fasih. Jadi, kadang-kala timbul juga tidak kesefahaman tetapi ia bukan satu masalah besar di lokasi,” kata Dinesh yang sudah menimba pengalaman lebih 15 tahun sebagai seorang pengarah di Jakarta, Indonesia dan India.

Jelas Dinesh yang pernah mengarahkan drama lipur lara, Idaman 3 itu, antara aspek yang cukup diutamakan dalam musim ketiga ini adalah sinematografi memandangkan 40 peratus daripada penggambarannya dilakukan di luar negara.

Untuk penggambaran di Seoul, krew produksi telah berada di sana selama 12 hari dari 10 hingga 22 Oktober lalu. Ia hanya membabitkan tiga pelakon utamanya iaitu Scha, Jehan dan Gambit Saifullah yang diperkenalkan pada musim ini dengan membawakan watak Akmal.

Utusan

Leave a comment