Saka Jentayu Kupas Asal-Usul Jin Saka

20 Nov

KISAH Jentayu yang sering diganggu jin saka iaitu saka Inyiak Utieh milik datuknya, Tok Jalit adalah paparan menarik dalam drama bersiri seram 13 episod, Saka Jentayu yang akan menemui penonton di TV3 mulai 25 November ini.

Lebih menyeramkan, saka Inyiak Utieh juga mahu mendampingi Jentayu dan ia menimbulkan pelbagai masalah di kampungnya. Ketika ditemui, pengarah drama ini, Abdul Azizi Awang Ghazali berkata, berbeza dengan drama seram yang biasa ditonton, Saka Jentayu memaparkan kisah jin saka yang diilhamkan daripada sumber cerita masyarakat Melayu. “Sebelum ini, cerita seram Durja Ningsun memaparkan kisah roh yang membalas dendam. Saka Jentayu pula sejenis burung (Jentayu) dan Inyiak Utieh pula dalam bahasa Minang adalah hantu putih.

“Keunikan drama Saka Jentayu juga memaparkan seni tradisi Minangkabau seperti teater Randai, Saluang Jo Dendang dan Pencak Silat,” katanya. Abdul Azizi berkata, cabaran paling besar mengarahkan drama itu apabila terpaksa bekerja dengan pelakon yang tidak pernah buat cerita seram. “Pemilihan barisan pelakon Saka Jentayu diputuskan pihak TV3. Ia bergantung kepada pelakon yang ada kelapangan untuk berlakon dalam cerita ini kerana pada peringkat awal memang ramai pelakon disenaraikan. “Nampaknya, ia memang rezeki Zarina Zainordin (Jentayu) dan Ungku Ismail Aziz (Faris) untuk beraksi sebagai watak utama dalam cerita ini. Apapun, semua pelakon termasuk pembantu memberikan komitmen seperti dikehendaki,” katanya. Berkongsi mengenai proses penggambaran pula, kata Abdul Azizi, ia membabitkan tempoh tujuh hari (sebanyak 30 peratus) di Indonesia. “Penggambaran di kawasan pedalaman di daerah Batu Sangkar, Sumatera Barat, Indonesia juga mewujudkan suasana seram dalam drama ini. Ia membabitkan babak imbas kembali zaman muda Tok Jalit ketika menuntut ilmu hitam di sana.

“Pihak kami jayakan penggambaran di Indonesia kerana suasana kampung di sana jauh lebih cantik. Penggambaran juga dibuat di sekitar kawasan kampung di negara ini,” katanya. Abdul Azizi berkata, apa yang menarik, pihaknya tampilkan pergerakan hantu seperti dalam filem seram Jepun, Ju Onn sedikit sebagai kelainan. “Buat CGI untuk babak kena rasuk juga mudah untuk mendapatkan ‘mood’nya. Apabila kena rasuk, wajah pelakon juga tidak nampak pucat dalam cerita ini,” katanya. Bagaimanapun, kata Abdul Azizi lagi, kekuatan cerita itu bergantung kepada barisan pelakonnya sendiri. “Saya pernah tiga kali bekerjasama dengan Zarina dan dia pelakon yang hebat. Dia faham ketika membaca dialognya. Begitu juga Ungku Ismail, walaupun kami baru kali pertama bekerjasama dengannya dalam drama,” katanya.

Drama terbitan Wayang Tinggi Production ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Mubarak Majid, Liza Abdullah, Wan Hanafi Su, Hairi Safwan, Khairil Anwar, Fathil Dani dan Kuswadinata. Abdul Azizi berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama barisan pelakon drama bersiri seram itu di Sri Pentas, baru-baru ini. Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata, populariti slot Seram terbukti dengan rating purata mencecah 2 juta penonton pada setiap minggu. “Tidak dapat dinafikan cita rasa penonton yang menyukai drama berunsur seram terus memberikan ilham kepada pihak produksi dan TV3 untuk mempelbagaikan persembahan jalan cerita.

“Drama terbaru di slot Seram itu akan mengupas asal usul jin saka yang pernah diamalkan nenek moyang masyarakat Melayu di Sumatera, Indonesia pasti memberikan pengajaran kepada penonton supaya menjauhi kepercayaan tahyul dan mistik,” katanya. Drama ini menceritakan perjalanan cinta Jentayu yang sering didatangi pelbagai halangan dan dugaan. Arwah suami Zarina meninggal dunia ketika mereka berbulan madu. Selepas beberapa tahun, Jentayu bakal bertunang dengan Faris. Malangnya, majlis pertunangan terpaksa dibatalkan kerana ibu Faris, Puan Sarimah diserang penyakit ganjil ketika mahu menyarungkan cincin ke jari Jentayu. Selepas kematian tragis Puan Sarimah, pelbagai cemuhan dilemparkan kepada ibu bapa Jentayu, Pak Suman (Mubarak Majid) dan Induk Awa (Liza Abdullah) sehingga memaksa mereka berpindah balik ke kampung Induk Awa. Jentayu dan Faris terpaksa berpisah. Faris memilih untuk mendalami ilmu agama dari Ustaz Hanafi (Fathil Dani). Kepulangan keluarga Jentayu ke kampung tidak disenangi Pak Sadun (Khairil Anwar). Jentayu pula sering diganggu jin saka itu. Pak Suman juga meninggal dunia akibat perbuatan langgar lari. Hidup Jentayu dan Induk Awa bertambah sempit. Mereka terpaksa berdepan dengan fitnah dan cemuhan disebarkan Pak Sadun. Pelbagai cabaran yang mengganggu kehidupan Jentayu dan dia turut dikecewakan oleh Zamri.

Akibat termakan hasut jin saka itu, Jentayu bersetuju untuk mewarisi jin saka nenek moyangnya itu. Semakin hari Jentayu semakin jauh dari ajaran agama. Apakah Faris dapat menyedarkan Jentayu ataupun Jentayu terus hanyut dalam dunia gelap? Slot Seram, Saka Jentayu mula bersiaran mulai setiap Khamis jam 9.30 malam mulai 25 November ini di TV3.

Harian Metro

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: